Category: Semasa

  • Wilayah Persekutuan pula larang penceramah tak bertauliah

    Wilayah Persekutuan pula larang penceramah tak bertauliah

    JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mengeluarkan peringatan agar semua masjid dan surau di bawah pentadbirannya mematuhi arahan untuk memastikan intitusi itu kekal sebagai zon aman dan bebas daripada pengaruh politik.

    Pengarah JAWI, Mohd. Ajib Ismail berkata semua, masjid dan surau di Wilayah Persekutuan tertakluk kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), Kaedah-kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam (Jawatankuasa Kariah 2019) dan pekeliling semasa.

    “Ini bagi memastikan institusi tersebut ditadbir secara efisien dan profesional khususnya melibatkan program pengimarahan dan pengajian agama.

    “Masjid dan surau di ilayah-wilayah Persekutuan hendaklah memastikan semua penceramah mempunyai tauliah mengajar Islam serta kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

    Wilayah Persekutuan adalah antara negeri yang mengenakan peraturan hanya penceramah bertauliah dibenarkan memberi kuliah atau syarahan di masjid dan surau.

    Sebelum ini sudah ada beberapa negeri turut mengenakan peraturan sama, termasuk Selangor, Terengganu, Perak dan Johor.

    Terdahulu isu program ceramah atau kuliah agama menjadi tumpuan selepas beberapa negeri menegaskan sekatan menyampaikan kuliah bagi mereka yang tidak mempunyai tauliah termasuk ahli-ahli politik.

    Pada 26 Februari lalu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan program ceramah oleh penceramah bebas Azhar Idrus di sebuah masjid negeri itu susulan ketiadaan tauliah.

    Azhar kemudiannya akur dan kuliahnya pada tarikh tersebut dipindahkan dan berlangsung di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur, yang terletak di bawah bidang kuasa JAWI.

    Mohd. Ajib berkata, sebarang pelanggaran terhadap ketetapan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    “Institusi masjid dan surau seharusnya menjadi medan yang memberikan pencerahan kepada ummah, menyebarkan semangat muhibah dan perpaduan, bukan sebaliknya menjadi punca kekeliruan, perbalahan dan persengketaan yang memecahbelahkan masyarakat,” jelasnya, lapor Malaysiakini.

  • Jangan ada sikap balas dendam, cari salah kerajaan, titah Sultan Ibrahim

    Jangan ada sikap balas dendam, cari salah kerajaan, titah Sultan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didingatkan supaya tidak mencari salah kerajaan dan bersikap membalas dendam.

    Sultan Johor semasa bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ke Dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini, mengingatkan pembangkang di negeri ini bukan sekadar membangkang.

    “Sebaliknya mereka juga adalah pengimbang kepada segala cadangan dan tindakan kerajaan negeri. Gelaran pembangkang yang diberikan kepada ADUN di pihak bukan kerajaan, kurang sesuai.

    “Ini kerana peranan mereka bukan hanya membangkang segala cadangan pihak kerajaan, tetapi mereka bertanggungjawab menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

    “Namun begitu jangan ada sikap balas dendam atau suka mencari salah kerajaan sahaja,” titah baginda.

    Sultan Ibrahim bertitah, tingkah laku dan imej setiap ADUN perlu selari dengan gelaran ‘Yang Berhormat’ dan menjaga kemuliaan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Saya tiada masalah dengan pihak pembangkang. Mereka boleh menghadap saya dan beri pendapat serta idea mereka.

    “Saya amat berharap keadaan politik yang stabil ini terus dikekalkan. Dan semua pihak bekerjasama demi untuk rakyat dan Johor,” tambah baginda.

    Dalam pada itu, baginda berpuas hati dengan prestasi kerja Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Exco.

    Namun titah baginda, kerajaan negeri perlu berusaha untuk lebih cekap dan memajukan negeri ini.

    “Pengurusan kewangan kerajaan negeri, selalu saya tekankan. Kerajaan negeri mesti mempunyai kewangan kukuh dan tidak menanggung hutang yang banyak.

    “Syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri yang berjaya rekodkan lebihan hasil pada tahun lepas berbanding baki defisit pada tahun sebelumnya.

    “Walaupun lebihan itu tidak besar, sekurang-kurangnya kita tidak belanja lebih dari hasil yang kita kutip,” titah Sultan Johor lagi.

  • Sultan Johor titah pecat AJK masjid, surau bawa penceramah tiada tauliah

    Sultan Johor titah pecat AJK masjid, surau bawa penceramah tiada tauliah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor bertitah, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di negeri ini akan dipecat, jika membenarkan penceramah tanpa tauliah memberikan ceramah di negeri tersebut.

    Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan mana-mana penceramah yang hendak menyampaikan ceramah di negeri perlu memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

    “Semua ahli jawatankuasa masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah.

    “Mereka perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan.

    “Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua ahli jawatankuasa masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat,” titahnya.

    Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

    Pada 8 Mac lalu, MAINJ akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tindakan juga akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat.

    Titah Sultan Johor, tindakan tersebut bukan untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi adalah untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri itu.

    Sultan Ibrahim bertitah, keadaan itu juga untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.

    “Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkat mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titahnya.

  • Mahkamah Paris kekalkan penangguhan diberi kepada Malaysia terhadap tuntutan kumpulan Sulu

    Mahkamah Paris kekalkan penangguhan diberi kepada Malaysia terhadap tuntutan kumpulan Sulu

    MAHKAMAH Rayuan Paris mengekalkan penangguhan yang diberikan kepada Malaysia terhadap penguatkuasaan final award kepada kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu.

    Sekretariat khas kerajaan yang mengendalikan isu berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, mahkamah tersebut memutuskan bahawa cabaran waris kumpulan Sulu terhadap perintah penangguhan itu, tidak boleh diterima.

    “Oleh itu, penangguhan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022, untuk penguatkuasaan final award itu, kekal,” menurut kenyataan itu.

  • Penyelewengan RM596 juta:Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan, pemegang saham ditahan

    Penyelewengan RM596 juta:Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan, pemegang saham ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu susulan kes penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

    Semua lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

    Tiga daripada mereka direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM.

    Sementara seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Menurut sumber, semua suspek terbabit adalah Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga syarikat yang terbabit secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

    “Sukuk itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek berkenaan perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

    “Namun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022, disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk,” katanya, lapor Harian Metro.

    Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik sudah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun, manakala sukuk itu dijangka mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

    Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

  • Wee Ka Siong gesa Deepak buat laporan polis untuk bersihkan nama

    Wee Ka Siong gesa Deepak buat laporan polis untuk bersihkan nama

    AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mempertahankan dakwaan bahawa beliau menerima panggilan berbaur ugutan pada 13 Mac lalu berhubung isu bekalan telur import.

    “Saya memiliki rekod berhubung panggilan berdurasi tujuh minit untuk diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” tegasnya yang juga Presiden MCA.

    Sehubungan itu, Ka Siong menggesa ahli perniagaan Deepak Jaikishan yang menafikan membuat panggilan sedemikian sekiranya merasakan ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyamar dan menggunakan namanya.

    “Hanya melalui laporan polis, Deepak boleh membersihkan namanya, sekali gus membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti individu yang membuat panggilan berkenaan, ” katanya dalam sidang media hari ini.

    Katanya, jika Deepak merasakan ada orang yang menyamar beliau atas nama Deepak membuat panggilan kepada kepadanya pada 13 Mac 2023 pukul 9.51 pagi, Ka Siong menyeru agar ahli perniagaan itu membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

    “Saya bersedia bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan mendedahkan segala bukti yang ada, biarlah PDRM menyiasat perkara ini termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta syarikat telco (telekomunikasi) untuk mencari identiti Deepak dengan nombor telefon bimbit 019-9999 989,” jelas Ka Siong lagi.

    Ka Siong turut mendedahkan, beliau sebetulnya menerima dua panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Deepak.

    “Pada pukul 9.51 pagi saya terima panggilan selama 33 saat sebelum terputus, kemudian disusuli pada pukul 9.52 pagi dengan perbualan selama tujuh minit.

    “Saya ada lakukan screen shot (tangkap layar) telefon bimbit saya dengan sela masa panggilan berjalan, dua panggilan saya terima,” ujar beliau.

    Semalam, di Dewan Rakyat, Ka Siong, mendakwa menerima ugutan berhubung kenyataannya membabitkan isu bekalan telur import.

    Beliau memberitahu, menerima panggilan pada pukul 9.51 pagi Selasa, daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech.

    Katanya, lelaki itu turut mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

    Deepak dalam reaksi balasnya menafikan mengeluarkan ugutan terhadap Ka Siong, berhubung isu bekalan telur import.

    Kepada portal BH Online, Deepak memaklumkan tidak pernah berhubung dengan bekas Menteri Pengangkutan itu berkait apa-apa perkara pun.

    “Saya tidak pernah ‘hubungi’ dia, nombor telefon dia (Ka Siong) pun saya tiada.

    “Macam mana pula ada berhubung dengan dia, ini tidak benar,” kata Deepak seperti dilaporkan.

  • DKKP wajar disalur terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui JPP

    DKKP wajar disalur terus kepada kerajaan negeri, bukan melalui JPP

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN Pusat diminta agar menyalurkan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) membabitkan royalti petroleum secara terus kepada kerajaan Terengganu sepertimana tahun lalu.

    Justeru, pelbagai pihak termasuk rakyat Terengganu berharap Kerajaan Pusat tidak mengulangi cara lama iaitu pembayaran dibuat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan menamakannya sebagai ‘wang ehsan’.

    Ia penting untuk membolehkan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat mengurus serta melaksanakan perancangan pembangunan secara lebih berkesan termasuk melibatkan hal-hal kepentingan rakyat.

    Maka itu, penulis dan rakyat Terengganu turut mengharapkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengamalkan sikap terbuka berhubung perkara ini.

    Apa yang penting ialah tidak terlalu ‘berpolitik’ di samping mengelakkan soal remeh temeh sehingga ia boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

    Pada masa sama, PM juga diharap sypaya tidak hanya bercakap ‘manis dibibir’ ketika berjanji termasuk beberapa perkara penting ketika pertemuannya dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Ibu negara, Selasa lalu.

    Dalam pertemuan tersebut, Anwar dikatakan ada memberi jaminan bahawa Terengganu dijangka menerima DKKP daripada Kerajaan Pusat, pada hujung bulan ini.

    Bagaimanapun, ketika bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam, Samsuri mengatakan beliau tidak tahu jumlah sebenar yang bakal diterima Kerajaan Terengganu nanti.

    Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua kiri) beramah mesra bersama ADUN Barisan Nasional (BN) selepas Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

    Sebaliknya, beliau menjangkakan jumlahnya agak banyak juga berbanding tahun lalu.

    Jangkaan itu berdasarkan kedudukan harga minyak dunia yang agak tinggi pada tahun lalu.

    Dalam pertemuan itu juga turut dibincangkan beberapa perkara penting termasuk projek pembangunan dan kewangan kerajaan negeri ini di mana ia berlangsung dengan penuh keterbukaan di mana beberapa keputusan penting juga akan dilaksanakan PM.

    Persoalannya, apakah Kerajaan Terengganu bakal menerima bantuan DKKP ini secara terus?

    Ini kerana, Anwar sebelum ini pernah mengatakan bahawa bantuan peruntukan untuk Terengganu akan disalurkan terus kepada rakyat menerusi JPP.

    Banyak pihak berpendapat, tindakan itu seolah-olah jenama ‘wang ehsan’ bakal kembali semula ke negeri ini, sekaligus mengulangi peristiwa ketika Pas memerintah Terengganu pada tahun 1999 lalu.

    Malah sewaktu mengumumkan bantuan segera peruntukan banjir RM50 juta pada akhir tahun lalu, ia juga disalurkan menerusi JPP, bukannya secara terus kepada kerajaan negeri.

    Ekoran itu, Samsuri sebelum ini pernah menyifatkan ia sebagai keputusan tidak wajar kerana bantuan berkenaan sepatutnya diberikan terus kepada Kerajaan Negeri untuk diuruskan bersama agensi Kerajaan Persekutuan bagi melicinkan proses bantuan.

    Selain itu, ia juga boleh mewujudkan keharmonian sekali gus mampu mengelakkan berlaku kelemahan termasuk pertindihan kerana amalan kebiasaannya, diuruskan kerajaan negeri.

    Maka itu, apa yang diharapkan ialah selesaikanlah isu pembayaran DKKP ini dengan kaedah terbaik demi kepentingan semua pihak, khususnya rakyat jelata.

  • Cubaan bawa masuk hasil pertanian, produk haiwan dari Thailand gagal

    Cubaan bawa masuk hasil pertanian, produk haiwan dari Thailand gagal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian dan produk hasilan haiwan bernilai RM5,870 secara tidak sah dari Thailand, Vietnam dan Indonesia.

    Menurut Maqis dalam satu kenyataan, produk buah limau, daging babi dan susu dirampas daripada pelancong negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai, semalam.

    “Semua produk seberat 787 kilogram (kg) itu disembunyikan di dalam bagasi pakaian bagi mengaburi pegawai pemeriksa.

    “Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis mendapati terdapat segelintir pelancong membawa masuk pelbagai produk pertanian dan hasilan pertanian seperti buah limau, daging babi dan susu dengan menyembunyikan dalam bagasi pakaian bagi mengaburi pegawai pemeriksa.

    “Berikutan itu, pegawai Maqis dengan kerjasama pihak Kastam berjaya mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian yang dibawa tanpa sebarang dokumen yang sah,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Maqis memberitahu, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran produk haiwan dan hasilan haiwan tanpa permit import Maqis menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

    Jika disabit kesalahan jelas Maqis, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran haiwan dan hasilan haiwan yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambah kenyataan itu.

  • Ahli Parlimen PKR pertahan tindakan Hadi terus beri kuliah di masjid

    Ahli Parlimen PKR pertahan tindakan Hadi terus beri kuliah di masjid

    TINDAKAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meneruskan ceramah di masjid yang dilihat bertentangan dengan institusi diraja, mendapat sokongan daripada ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

    Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berpandangan, adalah demokratik untuk orang Islam mendengar ajaran Islam yang disampaikan di luar kalangan imam atau penceramah rasmi.

    “Sekurang-kurangnya ada orang yang berani mencabar,” kata beliau dalam forum politik anjuran Gerak Budaya dan dikendalikan pengarahnya, Chong Tong Sin.

    Hadi sebelum ini tetap meneruskan rutinnya menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di Marang, Terengganu, walaupun setelah larangan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu.

    Ahli Parlimen Marang itu sebelum itu berkata, tiada salahnya untuk ahli politik menyampaikan kuliah di masjid atau surau dan malah menegaskan mereka mempunyai kewajipan untuk bersuara dalam pelbagai perkara termasuk politik.

    Mengulas lanjut, Hassan berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan syarat pihak yang memberi kuliah itu tidak menggunakan masjid untuk propaganda politiknya.

    Beliau berkata tiada sesiapa pun, termasuk istana atau mana-mana parti politik yang boleh memonopoli perkara berkaitan Islam.

    Katanya, semua pihak perlu menerima bahawa wujudnya sistem feudal di Malaysia, tapi pada masa sama institusi diraja tidak boleh dibenarkan ‘mengawal semuanya’.

    Larangan terhadap semua ahli politik, termasuk ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan senator, daripada menyampaikan kuliah atau khutbah di semua masjid dan surau di seluruh Terengganu berkuat kuasa pada 2 Mac lalu.

    Larangan itu dikeluarkan selepas Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

    Pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam.

    Menurut semakan di data.gov.my, setakat 4 Mac lalu, Hadi tidak berdaftar sebagai penceramah bertauliah di Terengganu.

    Sebelum ini, Hadi meramalkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.

    Ketika ditanya jika usaha Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kerajaan mencabar titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kestabilan politik, Hadi berkata, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, titah tersebut bukan penghalang kepada perubahan kerajaan.

  • Saman fitnah: MP Kepong diarah bayar RM2 juta pada syarikat, pengasas

    Saman fitnah: MP Kepong diarah bayar RM2 juta pada syarikat, pengasas

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Monspace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya Jessy Lai, berhubung saman fitnah yang difailkan syarikat itu.

    Hakim Akhtar Tahir turut mengarahkan Lim untuk membayar kos RM250,000 kepada Lai dan syarikatnya.

    Ketika dihubungi, peguam Lim, Guok Ngek Seong mengesahkan keputusan itu yang dibuat dalam prosiding dalam talian hari ini, lapor Malaysiakini, hari ini.

    Lai dan Monspace memfailkan saman sivil terhadap Lim pada 2019 berhubung dakwaannya yang syarikat itu terlibat dalam skim pelaburan yang gagal memberi pulangan kepada pelabur seperti dijanjikan.

    Pada tahun sama, media juga melaporkan beberapa pengasas syarikat didakwa di mahkamah berkaitan kes skim piramid.