MENTERI Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata beliau sentiasa terbuka menerima padangan dan teguran daripada rakyat dan tidak cepat ‘koyak’ demi kebaikan bersama ke arah pembangunan negeri itu.
“Saya baca teguran di kumpulan WhatsApp tapi saya tak tulis (balas), saya tidak pernah koyak pun apabila dikomen yang berbagai-bagai,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang) berhubung perancangan kerajaan bagi menjadikan pandangan dan idea rakyat sebahagian daripada kerangka pembangunan negeri.
Mohd Shukri (PAS-Sanglang) berkata beliau menyertai berpuluh-puluh kumpulan WhatsApp melibatkan pelbagai komuniti dan akan membaca setiap komen yang diberikan dan menerimanya dengan positif.
Beliau turut menasihati orang ramai agar mengemukakan pandangan dan teguran terus kepada pihak kerajaan negeri atau menerusi wakil rakyat.
“Insya-Allah, kita di kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima apa-apa pandangan daripada rakyat,” katanya dan menambah pandangan rakyat akan diambil kira dalam merangka pembangunan di setiap kawasan, sebagai contoh menerusi Program Publisiti dan Penyertaan Awam bersama rakyat.
Beliau berkata kerajaan negeri turut menerima permohonan, aduan dan cadangan daripada pelbagai lapisan rakyat menerusi Bahagian Pentadbiran Daerah, selain menerusi Platform Aduan Integriti dan Aduan Awam yang boleh disampaikan melalui email di [email protected] dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). – BERNAMA
SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menyindir Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dengan mendakwa PH yang sebelum ini menentang rasuah tetapi, kini sudah berjinak-jinak dengan jenayah itu.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dalam perbahasan di Dewan Rakyat, juga membangkitkan persoalan mengenai pelantikan beberapa pemimpin politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Pada 14 December 2022, Jemaah Menteri kerajaan PH-BN memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan mereka.
“Pada 10 March 2023, bekas Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi Mara yang baharu. Asyraf Wajdi kawan baik saya, saya memang menyokong pelantikannya.
“Tetapi masalahnya PH kena isytiharkan kepentingan mereka bahawa pelantikan politik sekarang ini boleh buat pula.
“Dulu mereka kata tidak mahu pelantikan politik tetapi sekarang sudah mahu pula. Jadi saya minta diubah. Berubahlah. Kami terimalah sebab kerajaan selalu berubah-ubah diri mereka. Dulu menentang rasuah, sekarang nampak macam berjinak-jinak pula,” katanya, lapor Agenda Daily.
Shahidan berkata, kerajaan yang diterajui PH perlu mengubah pendirian dan akui lantikan politik boleh dibuat dalam kalangan pemimpinnya.
“Saya cuma minta kerajaan PH yang disokong oleh BN dan juga UMNO ini supaya ubah pendirian mereka bahawa pelantikan politik boleh dibuat dan lantik dalam kalangan Backbenchers ini yang tiada jawatan seperti Rara (Ahli Parlimen Bentong) semua ini lantiklah sebagai pengerusi,” jelasnya.
SUATU program yang diberi nama ‘Jom Ziarah Gereja’ yang telah dianjurkan oleh Impact Malaysia, sebuah badan yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan di mana menterinya ialah YB Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Ia telah mencetuskan rasa tidak selesa di kalangan rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Melayu-Islam saat iklan dan kempen program ini mula disiarkan kepada umum.
YB Hannah Yeoh telah menjawab mengenai isu ini di Parlimen semalam. Namun jawapan jawapan yang diberi berkenaan isu ini masih tidak jelas dan tidak memuaskan hati.
Pertamanya, YB Menteri menjelaskan program ini dijalankan hanya untuk bukan-Muslim di Malaysia ini. Namun anehnya, iklan yang dibuat tidak pula disebut seperti itu. Yang terdapat pada poster iklan hanya melarang belia bukan-Kristian dari menyertai program tersebut. Bahkan iklan itu pula disebar secara terang-terangan dan secara terbukanya di media-media sosial. Ini sangat biadab dan tidak peka dengan sensitiviti masyarakat majoriti Melayu-Islam.
Kedua, mengapakah Kementerian Belia dan Sukan sibuk dengan agenda perpaduan negara? Sudah tidak ada kerja lain kah kementerian ini sibuk mengambil tugas dan misi Kementerian Perpaduan? Apakah ini sebenarnya satu mesej dari YB Hannah Yeoh bahawa Kementerian Perpaduan tidak buat kerja sehingga YB sibuk sibuk menolong tugas dan portfolio Kementerian Perpaduan Negara yang dipengerusikan oleh Datuk Aaron Ago Dagang? Atau sebenarnya YB ada agenda lain?
Ketiga, apakah manfaat dan signifikannya dana dan peruntukan kementerian yang dibelanjakan, yang sumbernya datang dari seluruh rakyat Malaysia hari ini, yang majoritinya Melayu Muslim mendanai program lawatan ke gereja? Tidakkah ini satu pembaziran kepada duit rakyat? Apakah perbelanjaan dari kementerian ini suatu yang setiap majaroti rakyat Malaysia yang terdiri dari kalangan Melayu Islam redha duit mereka dibelanjakan untuk program program seperti ini?
Hujah-hujah yang YB Hannah jawab di Dewan Parlimen dengan membawa contoh dari lawatan ke gereja yang dilakukan oleh Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula sangat jauh dari apa yang cuba YB bawa dengan inisiatif kementerian.
Benar, Islam tidak melarang melawat gereja selagi mana ia tidak melibatkan upacara ibadat. Namun, program lawatan itu tidak bolehlah didanai dari duit kerajaan. Tidak boleh juga untuk ia dipromosikan kepada umum kerana kepentingan untuk menjaga aqidah dan pegangan agama orang-orang Islam lebih utama dari program-program yang melibatkan agama selain Islam.
Penulis ialah Ketua Penerangan Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz)
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga di pasar basah yang menggunakan alat penimbang berat mekanikal yang tidak tepat (timbang dua muka) untuk menipu pengguna.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di hampir kesemua pasar basah di Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan pelekat penentu ukur pada beberapa alat penimbang berat tidak dipaparkan kepada pengguna.
Sedangkan, tambah beliau, pelekat penentu ukur itu sepatutnya perlu dilihat oleh pengguna supaya mereka pasti akan ketepatan alat penimbang berat itu dan jika ia sesuai untuk digunakan bagi perniagaan.
“Di samping isu pelekat penentu ukur, kami juga mendapati alat penimbang berat yang digunakan oleh kebanyakan peniaga adalah kurang memuaskan memandangkan jarum petunjuk tidak bermula daripada “0” (sifar) dan kadangkala jarum pada permukaan plastik yang telus itu juga kotor menyebabkan bacaan pada jarum itu menjadi sukar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohideen, para peniaga perlu menghantar alat penimbang berat mereka untuk penentuan ukur setiap tahun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Ujarnya, pihak Kementerian perlu mempertimbangkan dengan serius untuk mencetak tahun penentu ukur dalam huruf terang yang besar pada pelekat penentu ukur untuk memudahkan pengguna membacanya.
Malah, kata beliau, para peniaga juga perlu diingatkan yang mana bahagian alat penimbang dengan pelekat penentu ukur perlu dipamerkan dengan jelas di depan pengguna.
“Pihak kementerian juga perlu memastikan bahawa setiap pasar mempunyai dua alat penimbang berat (satu daripadanya untuk digunakan bagi barangan halal) untuk pengguna mengesahkan berat barangan mereka jika mereka meraguinya.
“Nombor untuk dihubungi juga perlu disediakan di tempat alat penimbang berat supaya pengguna boleh menghubungi jika mereka mempunyai sebarang aduan berhubung kekurangan berat, kenaikan harga barangan utama atau amalan perniagaan yang tidak sihat,” katanya.
SYARIKAT-syarikat yang mengambil bahagian dalam tender projek besar kerajaan tidak akan dinamakan ketika semakan jawatankuasa tender bagi memastikan wujud ketelusan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah itu akan dapat menjamin tender hanya diberikan kepada syarikat berkemampuan untuk melaksanakan projek berkenaan.
Menurutnya, perkara itu dicadangkan olehnya dalam mesyuarat jawatankuasa tender semalam. Dengan itu, segala keputusan akan dibuat secara telus, berdasarkan kemampuan, rekod keupayaan serta keupayaan kewangan syarikat terbabit.
“Pada mesyuarat yang saya hadir hari ini (semalam) dengan jawatankuasa tender yang membuat keputusan mengenai projek-projek besar, saya memberitahu mereka bahawa nama syarikat itu tidak perlu diketahui.
“Kami (jawatankuasa tender) akan membuat keputusan tanpa pengetahuan siapa yang mendapat perolehan tender projek itu.
“Hanya syarikat A, B, C. Kita memutuskan bahawa keputusan harus dibuat semata-mata berdasarkan keupayaan, rekod prestasi dan keupayaan kewangan,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau menyatakannya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jika ia membabitkan tender projek seperti Jana Wibawa, maka ia perlu diberikan kepada syarikat Bumiputera melalui proses terpilih tetapi proses itu juga perlu telus.
Amalan ini satu permulaan yang bagus dan patut menjadi garis panduan untuk penganugerahan tender.
Anwar menegaskan, proses pemberian tender yang telus adalah penting untuk memerangi rasuah di negara ini yang kini dilabel sebagai endemik.
“Rasuah akan menjadi endemik jika tidak dilakukan (pencegahan) secara sistematik di negara ini. Perlu keberanian dan keazaman untuk berubah,” katanya.
Pada November lalu, Anwar menegaskan supaya tatakelola pentadbiran kerajaan baharu tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender dalam usaha membendung rasuah dan ketirisan.
Katanya, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.
Sementara itu, Anwar berkata, isu-isu yang melanda sektor perumahan boleh diselesaikan dengan mempercepat serta mengubah proses lapuk dengan memudahkannya.
Katanya, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan bagi peraturan negara serta kadar kelulusan yang diperlukan (oleh pemaju).
“Kita sudah berbincang dengan semua Menteri Besar supaya majlis perbandaran di negeri-negeri dapat memudah dan mempercepatkan proses,” katanya.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal memanggil lebih ramai individu yang mungkin juga orang kenamaan bagi diambil keterangan berhubung siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak akan memberi pengecualian dan perlindungan kepada mana-mana pihak.
“Kita mendapat maklumat daripada pegawai penyiasat bahawa ramai lagi saksi-saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan dan keterangan itu bukan sahaja di dalam negara tetapi juga membabitkan dari luar negara.
“Sesiapa sahaja baik orang kenamaan, atau sesiapa yang terbabit semuanya akan dipanggil bantu siasatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 26 Bil 1/2020 (Penolong Penguasa P29 di Kompleks SPRM Negeri Johor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa siasatan berhubung isu pembinaan LCS itu perlu diteruskan.
Anwar berkata, pendakwaan berhubung isu pembinaan LCS pada peringkat awal yang dijalankan sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan, malah mendakwa pendakwaan sebelum ini juga tidak melibatkan tindakan kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.
Sehubungan itu, Perdana Menteri sudah menyatakan perkara berkenaan kepada SPRM dan dipersetujui oleh mereka akan ada pendakwaan peringkat kedua.
“Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih,” kata Anwar.
Mengulas lanjut, Azam memaklumkan, siasatan kes itu sebenarnya masih lagi dijalankan pihaknya bagi membuktikan bagaimana berlaku kehilangan wang begitu besar dalam kes LCS.
“Siasatan kes ini ke arah untuk membuktikan bagaimana ia berlaku dan bagaimana kehilangan wang begitu besar berlaku, jadi beri masa kita untuk siasat dan selesaikan kes ini,” katanya.
Pada masa sama, Azam turut memaklumkan perkembangan membabitkan kes Jana Wibawa masih lagi berjalan.
“(Kes Jana Wibawa) masih ade lagi, masih teruskan siasatan. Yang dah dituduh, dituduhlah, tetapi masih ada lagi satu dua fail yang masih kita jalankan siasatan,” katanya lagi.
DUA lelaki warga United Kingdom (UK) yang terbabit sindiket penipuan pelaburan antarabangsa berjumlah lebih RM600,000 dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas Andrew Mark Peters, 55, dan Darren Anthony Mcnicholas, 51, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.
Andrew yang juga orang kurang upaya (OKU) turut didenda RM180,000, manakala denda terhadap Darren Anthony sebanyak RM140,000, lapor Harian Metro.
Mahkamah memerintahkan kedua-duanya hukuman penjara ditambah masing-masing 22 bulan dan 16 bulan (Darren) jika gagal membayar denda dengan hukuman penjara bermula tarikh ditangkap, 21 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, Andrew Mark sebagai dalang sindiket penipuan antarabangsa bersubahat dengan mengarahkan Darren Anthony melalui ejen dikenali ‘David Henshaw’ dan ‘Henry Paxton’ menipu warga Scotland, lan Strachan.
Ia bagi memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa akan dijamin mendapat keuntungan yang tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat, yakni pembelian saham di syarikat dikenali Novocure Limited serta Lithion Power Corp yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.
Dengan itu, mereka dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan AS$5,672.41 (RM25,528.68) dan EURO€121,200 (RM577,691.87) ke dalam akaun OCBC Bank dan CIMB Bank (M) Berhad milik Premier Tranfers Ltd, di Menara Mitraland, Jalan PJ 5/1, Selangor, pada 21 Mei dan 27 Jun 2019.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.
Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum atas alasan mereka adalah pesalah pertama dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan.
“Andrew Mark ada tiga anak dan lima cucu, selain mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan. Dia menghadapi kekangan untuk bergerak ke tempat awam kerana memerlukan kerusi roda.
“Darren Anthony pula ada isteri dan anak warga Malaysia. Hukuman dikenakan akan memberi impak kepada keluarga tertuduh.
“Pengakuan bersalah oleh kedua-dua anak guam menjimatkan kos dan masa mahkamah serta pendakwaan, selain mereka menzahirkan rasa menyesal dan memohon maaf atas kesalahan terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.
Dua Lelaki warga United Kingdom, Andrew Mark Peters (berkerusi roda) dan Darren Anthony Mcnicholas (belakang) didakwa berhubung Op Tropicana di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.
“Kena ambil kira kekerapan dan penularan kes penipuan itu bukan saja di Malaysia tetapi serata dunia.
“Mengikut fakta kes, sindiket penipuan antarabangsa itu berpangkalan di Malaysia sejak 2015. Hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan.
“Hukuman terlalu rendah kepada tertuduh akan memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa mahkamah tidak mengambil berat kesalahan seperti ini,” katanya.
Media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga UK dalam serbuan secara berasingan di 24 premis pada 21 Februari lalu.
Op Tropicana dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.
Difahamkan, sindiket itu mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam sidang media pada 22 Februari lalu berkata, serbuan dibuat selepas siasatan berasaskan risikan, penyiasatan kewangan, penyamaran dan beberapa kaedah lain.
Katanya, risikan juga dijalankan dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM.
AHLI perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas tiga hari disiasat dalam kes yang berkaitan dengan siasatan ke atas program Jana Wibawa.
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membebaskan Hussein Nasir, 54, selepas SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk lanjutan reman.
Selasa lepas, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan agensi antirasuah tersebut untuk mereman ahli perniagaan itu hingga hari ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Hussein hadir di mahkamah hari ni sebagai formaliti, bagi membolehkan pihak SPRM memaklumkan tiada lanjutan reman, menurut peguamnya, Fahmi Abd Moin.
Bagaimanapun, lelaki itu kemudiannya ditahan untuk siasatan kes lain membabitkan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009, tambah Fahmi.
“Reman tidak disambung, pagi ini anak guam saya akan ke SPRM Kuala Lumpur bagi proses jaminan. Setakat ini, tiada maklumat bila akan dituduh di mahkamah.
“Anak guam saya kemudian akan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan pihak siasatan akan mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret esok,” katanya kepada wakil media, lapor FMT.
Dilaporkan pada Isnin lepas, Hussein, dipercayai menjadi perancang utama kes rasuah melibatkan program Jana Wibawa, ditahan SPRM selepas menyerah diri.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu atas kesalahan menerima rasuah.
Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.
MAHKAMAH Pilihan Raya Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Exco kerajaan negeri, Mohd. Nor Hamzah yang tidak hadir hari ini untuk menyambung keterangan dalam pendengaran petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang.
Peguam Amin Othman, yang bertindak bagi pempetisyen Jasmira Othman berkata, hakim Hassan Abdul Ghani mengeluarkan waran tangkap apabila Mohd Nor tidak hadir pada prosiding hari ini.
Jasmira merupakan calon BN bagi kawasan itu semasa pilihan raya umum lalu.
“Pada 14 Mac, Hassan Abdul Ghani telah mengarahkan Mohd Nor untuk kembali ke mahkamah pada 16 Mac untuk menyambung semula keterangannya.
“Bagaimanapun pada pagi 16 Mac iaitu hari ini, Mohd. Nor gagal hadir ke mahkamah.
“Oleh itu, atas permohonan peguam pempetisyen, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor.
“Perbicaraan petisyen pilihan raya Parlimen Marang akan disambung pada 19 Mac,” kata Amin kepada Malaysiakini.
Media sebelum ini melaporkan petisyen itu difailkan pada 3 Jan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ketua UMNO Terengganu, DatuK Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah dakwaan Pas telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student – antara 15 dan 17 Nov 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Abdul Hadi mempertahankan kerusi Marang dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga calon lain – Jasmira, Azhar Ab Shukur (Pakatan Harapan) dan Zarawi Sulong (Parti Pejuang Tanah Air).
Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusoff yang bertindak bagi responden menjelaskan, Mohd. Nor pada mulanya memohon untuk hadir pada sebelah petang memandangkan saksi ada urusan penting yang perlu diselesaikan.
Peguam itu menjelaskan bahawa mahkamah pilihan raya bagaimanapun tidak membenarkan dan mahu saksi itu datang pagi ini dan waran tangkap dikeluarkan apabila saksi tidak hadir.
“Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap untuk YB (Mohd. Nor) untuk terus memberi keterangan pada Ahad,” kata Yusfarizal ketika dihubungi.
Hari kelepasan am Terengganu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, oleh itu mahkamah di negeri ini beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis (jika tiada sebarang cuti umum lain).
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan lima bank di negara ini digunakan sindiket penipuan antarabangsa untuk membuat transaksi wang haram ke luar negara.
Maklumat berkenaan diperoleh susulan siasatan lanjut SPRM berkait Op Tropicana selepas menahan 11 individu termasuk sindiket menerusi didalangi oleh warganegara United Kingdom (UK).
“Sindiket berkenaan dipercayai mampu membuat transaksi wang kira-kira RM1 juta setiap hari.
“Bank terbabit berperanan mewujudkan akaun bank untuk kegunaan sindiket dalam proses pemindahan wang ke luar negara.
“Ada pegawai bank di institusi berkenaan dibayar antara RM1,000 sehingga RM2,000 bagi melepaskan transaksi berkenaan tanpa melalui tapisan dan prosedur operasi standard (SOP),” menurut sumber kepada Utusan Malaysia.
Sumber itu berkata, kira-kira lima hingga 20 pegawai bertugas di bank berkenaan dikenal pasti terlibat dalam aktiviti itu.
“Akaun ini adalah transit kerana sindiket akan memindahkan wang terbabit ke dalam akaun sebenar,” katanya.
Mengulas lanjut, sumber berkata, SPRM turut mengenal pasti syarikat ‘palsu’ digunakan sindiket bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.
Kata sumber, turut terlibat ialah golongan profesional dipercayai peguam, juruaudit, setiausaha syarikat, akauntan serta pengarah syarikat disyaki bersekongkol dengan sindiket.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diwujudkan bagi proses pemindahan wang.
Jelasnya, pemindahan wang berkenaan dipercayai akan dihantar ke Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UK.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.
“SPRM akan menuduh dua warga UK yang disyaki dalang sindiket di Mahkamah Shah Alam esok.
“Kita akan teruskan siasatan meskipun dua individu termasuk dalang sindiket ini dituduh esok,” jelasnya.