Category: Semasa

  • Pengundi profesional, muda di Terengganu diramal sebelahi PN

    Pengundi profesional, muda di Terengganu diramal sebelahi PN

    PENGUNDI kategori profesional dan pengundi muda diramalkan menyebelahi Perikatan Nasional (PN) di Terengganu berdasarkan temu bual kumpulan berfokus (FGD), sekali gus mengekalkan pentadbiran sebelum ini.

    Malah, sentimen itu turut mempengaruhi jentera apabila perayu undi PN tidak lagi begitu teruja kerana sangat yakin memenangi pilihan raya negeri (PRN), manakala kelesuan pula dilihat di bangsal panas UMNO.

    Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, ini menjadikan PN yang bertanding di bawah logo Pas mendahului persaingan.

    Wan Rohila Ganti berkata, PN juga tidak mustahil menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “FGD saya dengan pengundi kategori profesional dan pengundi muda (mahasiswa) di negeri ini, dua hari lalu jelas menunjukkan kedua-dua kumpulan pengundi sudah membuat keputusan untuk mengundi Pas.

    “Walaupun impak debat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd. Syahir Sulaiman bagi kesan pada pengundi muda serta mereka akui Pas tidak ada misi ekonomi yang jelas, mereka tetap akan mengundi PAas” katanya kepada Berita Harian hari ini.

    Wan Rohila Ganti berkata, dalam lingkungan pengundi lebih berusia, penyokong Barisan Nasional (BN) dijangka memilih untuk tidak keluar mengundi.

    “Tambahan pula, calon BN tidak trampil, calon kitar semula dan jika ada calon muda, ia adalah calon tangkap muat,” katanya.

    Bagaimanapun, Wan Rohila Ganti ralat apabila apabila Manifesto dan Tawaran Pas Terengganu sangat simplistik dan biasa biasa.

    “Namun, sentimen Melayu, agama dan tanah air menutup kekurangan berkenaan,” katanya.

  • Tun Mahathir ramal status quo di enam negeri

    Tun Mahathir ramal status quo di enam negeri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal berkuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Bekas Perdana Menteri itu jelas berpandangan bahawa status quo akan kekal di enam negeri apabila turut menjangkakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan terus menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    “Saya yakin, Kedah ini PN boleh menang lagi. Saya fikir kita (PN) ada peluang di Kelantan dan Terengganu dapat kepada PN.

    “Di Selangor, Negeri Sembilan masih ada peluang kepada PH manakala Pulau Pinang PN sukar sebab tak banyak kawasan yang mereka boleh menang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah di Alor Setar hari ini.

    Mengulas lanjut kata Tun Mahathir, sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya PH dan BN tewas besar kali ini.

    “Itu akan Ia menghantar satu mesej kepada kerajaan Pusat bahawa rakyat mempunyai pendirian. Kalau PH dan BN kalah, mereka patut ambil berat tentang penolakan kerajaan ini oleh rakyat.

    “Kalau berlaku di peringkat negeri, jadi ada kemungkinan berlaku juga di peringkat Pusat. Tetapi kita harus ingat, dulu UMNO menang di Melaka dan Johor tetapi kalah teruk seluruh negara, jadi kita tak boleh ambil itu sebagai petanda yang tepat,” katanya.

    Sementara itu, Tun Mahathir mendakwa, pelaksanaan peraturan 3R (agama, kaum dan raja) tidak mengikut undang-undang selain mengikat kebebasan calon yang bertanding dalam PRN ini.

    “Ini tidak ikut undang-undang. Tak ada undang-undang yang kata kita tak boleh bercakap 3R.

    “Kalau tak boleh, ia patut dijadikan sebahagian undang-undang dan rakyat diberitahu tak boleh cakap mengenainya.

    “Ia tak adil dan lepas itu ada ugutan kalau cakap akan batal pencalonan. Ugutan ini bukan cara demokratik,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan pelaksanaan undang-undang tersebut yang didakwanya tidak merujuk ke Parlimen terlebih dulu.

    “Kalau dulu nak undi tak ada sekatan tentang apa yang nak suarakan tapi sekarang tidak ada lagi kebebasan.

    “Ada undang-undangkah? Tanpa rujuk kepada Parlimen dan tiba-tiba ugut kalau bercakap berkenaan 3R akan diambil tindakan,” katanya.

  • Abdul Hadi: Pertukaran MB Kelantan, timbalannya kerana mahu semangat baharu

    Abdul Hadi: Pertukaran MB Kelantan, timbalannya kerana mahu semangat baharu

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan untuk menukar Menteri Besar Kelantan dan timbalannya jika Pas diberikan mandat mengekalkan pentadbirannya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), dibuat kerana inginkan semangat baharu di negeri itu.

    Beliau berkata, pertukaran dua pemegang jawatan itu telah mendapat persetujuan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

    “Menteri besar (Ahmad) mengundurkan diri kerana uzur. Bahkan dahulu dia merayu supaya tidak dilantik (sebagai Menteri Besar) tetapi kita minta lagi. Memang beliau keuzuran dan kena jalani rawatan, jadi kali ini kita pertimbangkanlah.

    “Kita juga mahu supaya ada semangat baharu di Kelantan, mahu ada perubahan. Sebab itu Timbalan (Timbalan Menteri Besar) juga diubah,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Ru Rendang di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di Marang hari ini.

    Menafikan wujudnya desakan atau isu yang mendorong kepada pertukaran penyandang kedua-dua jawatan itu, Abdul Hadi berkata, beliau yakin kedua-dua calon baharu Menteri Besar dan Timbalannya itu nanti akan mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan diterima rakyat.

    Sementara itu, di KOTA BHARU, Mohd. Amar berkata, Presiden Pas akan menentukan siapa calon yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, jika mandat keputusan PRN memihak kepada parti itu.

    Ditemui pemberita selepas selesai mengundi di SK Panji, beliau berkata, kebiasaannya Presiden Pas akan memberikan nama calon kepada Pesuruhjaya PAS Negeri untuk dipersembahkan kepada Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan.

    Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata kerajaan Kelantan yang ditadbir Pas dijangka memiliki gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu selepas PRN ini.

    Takiyuddin berkata gabungan kepimpinan baharu yang akan dikemukakan itu adalah seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.

  • Tiada rasa gemuruh petanda nak menang – Sanusi

    Tiada rasa gemuruh petanda nak menang – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yakin Perikatan Nasional (PN) tidak berdepan laluan sukar untuk menang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri terutama di Kedah.

    Menteri Besar Kedah yang juga calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri berkata, perasaannya juga tenang ketika ini dan langsung tidak berasa gusar.

    “Saya tidak rasa gemuruh atau gementar, biasanya kalau tak ada perasaan seperti ini tanda-tanda hendak menang.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Kedah yang keluar mengundi, ikutlah pilihan masing-masing kerana itu hak kita cuma sebagai calon yang bertanding saya harap parti saya menang,” katanya.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas itu berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya, Jeniang di Sik.

    Beliau yang juga penyandang kerusi itu hadir mengundi bersama isteri, Toh Puan Jusmalailani Jusoh pada pukul 11 pagi.

    Muhammad Sanusi yang mengundi di saluran dua dilihat selesai mengundi kira-kira 20 minit kemudian dan berkesempatan beramah mesra dengan pengundi lain di pusat mengundi berkenaan.

    Beliau akan mempertahankan kerusi DUN Jeneri dalam pertembungan dua penjuru dengan calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhammad Sanusi menang kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 2,455 undi menewaskan pesaingnya, Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd. Nazri Abu Hassan (Pakatan Harapan).

  • Isu kos sara hidup hantui pengundi

    Isu kos sara hidup hantui pengundi

    KETIKA ahli politik cuba menarik perhatian dengan berbalah sesama sendiri, kebimbangan utama segelintir pengundi ialah peningkatan kos sara hidup dan ketidakupayaan mereka menyediakan lebih banyak simpanan pada setiap hujung bulan.

    Bagi sesetengah penduduk di Selangor yang juga negeri terkaya, pendapatan mereka hanya cukup untuk meneruskan kehidupan keluarga, dengan sedikit baki. Penduduk di kawasan lain pula yang memperoleh pendapatan kurang daripada itu terpaksa mengikat perut.

    Nor Mimi Rahman, 43, seorang guru di Selangor, dan suaminya berpendapatan RM8,000 sebulan, cukup untuk menampung pinjaman, makanan untuk lima sekeluarga, dan keperluan anak yang belajar di sekolah vokasional.

    “Kami boleh berjimat, tetapi tidak banyak, terutamanya apabila ada perkara yang timbul secara tiba-tiba,” katanya kepada FMT.

    Alicia Netto, 23, seorang pemasar digital yang berpendapatan sekitar RM3,000, mempunyai perbelanjaan bulanan RM1,500.

    Katanya, dia berjaya memperuntukkan sejumlah kecil selepas membayar bil dan membantu menyara keluarga.

    “Ada kekangan tetapi saya tetap menyimpan sedikit,” katanya, sambil menambah bahawa dia berharap kerajaan Persekutuan akan meneruskan skim bantuan tunai Rahmahnya, yang membantu mengurangkan bebannya.

    Di Kedah, peniaga sayur Safarin Saad, 32, berkata, dia melakukan dua pekerjaan untuk memperoleh pendapatan kira-kira RM 3,200 sebulan untuk menyara keluarganya. Pada waktu siang, dia menghantar sayur-sayuran untuk pembekal, dan pada waktu malam, dia membuka kedai di pasar basah untuk menjual sayur-sayuran yang tidak dihantar.

    “Saya membelanjakan kira-kira RM2,000 sebulan untuk perbelanjaan rumah, termasuk bil dan bayaran kereta saya,” kata bapa kepada dua anak itu.

    Safarin berkata bantuan kerajaan seperti skim Rahmah amat berguna semasa kecemasan, termasuk membawa anak-anaknya ke klinik.

    Aiman Ridhwan Abdullah, 19, tukang masak restoran di Gurun, hanya memperoleh RM1,200 sebulan, di mana lebih separuh daripadanya digunakan untuk membayar bil dan perbelanjaan lain.

    “Saya tidak boleh berjimat kerana saya juga perlu membelanjakan kira-kira RM50 seminggu untuk petrol, jadi saya perlu teruskan baki (dari gaji saya) setiap bulan.”

    Seorang penjaja yang mahu dikenali sebagai Hafiz, 37, dari Batu Kikir, Negeri Sembilan berkata, kos yang lebih tinggi dan kuasa beli yang lebih rendah telah menjejaskan perniagaannya dan peniaga lain.

    Beliau berkata harga bahan mentah secara amnya lebih tinggi di kawasan terpencil, termasuk kos pengangkutan.

    Pemilik restoran Samsul, 52, dari Sendayan, percaya kerajaan telah mencapai kemajuan yang baik dalam menangani kos sara hidup tetapi berkata, banyak restoran telah ditutup sejak lapan bulan lalu berikutan bilangan pelanggan yang semakin berkurangan.

  • MB, TMB atau ADUN biasa – Mohd. Amar terima keputusan parti

    MB, TMB atau ADUN biasa – Mohd. Amar terima keputusan parti

    TIMBALAN Menteri Besar Kelantan,Datuk Seri Mohd. Amar Abdullah menegaskan beliau akan menerima sebarang keputusan parti berhubung kedudukannya dalam kerajaan Kelantan nanti, jika Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir di negeri itu.

    Menurutnya nama calon Menteri Besar akan dicadangkan oleh penyandang sedia ada dan diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk diputuskan.

    “Menteri Besar ditentukan parti terutamanya Presiden dan mesti mendapat perkenan daripada istana, ada dua proses. Jadi sekarang ini belum ada makluman, apa-apa kita tunggulah.

    “Saya tak tahu (siapa) presiden putuskan, dia akan berikan nama kepada pesuruhjaya Pas negeri dan akan hantar ke istana.

    “Setahu saya dalam mesyuarat (Pas) hari khamis lalu, memang biasa macam tu (tidak dinamakan), kadang-kadang hari mengundi baru disebut sebab cadangan datang daripada Menteri Besar sedia ada.

    “Dialah yang angkat cadangan kepada Presiden, kemudiannya presiden akan buat keputusan untuk dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Kelantan,” katanya kepada media selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Panji, Kota Bharu, hari ini.

    Mohd. Amar yang juga penyandang dan calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor berkata demikian ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar Kelantan bagi menggantikan posisi Datuk Ahmad Yakob yang memilih untuk bersara.

    Semalam Pas mengumumkan cadangan perubahan bagi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam pengumuman khas semalam memaklumkan gadingan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan terdiri daripada tokoh ulama dan teknokrat.

    Sementara itu ditanya sama ada bersedia menggalas jawatan Menteri Besar, Mohd. Amar berkata beliau atau sesiapa sahaja akan menerima sebarang keputusan dibuat parti.

    “Tak ada masalah apa, saya pun bermula kosong sebelum ini, jadi wakil rakyat biasa. Jadi kalau berbalik pada asal pun tak ada masalah apa.

    “Itu kalau parti dah buat keputusan (dilantik) kita terpaksa terima, sebab sebelum ini pun saya tak pernah minta. Jadi timbalan menteri besar pun saya tak minta,” katanya yang juga naib Presiden Pas.

    Dalam perkembangan berasingan, Malaysiakini melaporkan Mohd. Amar mengesahkan Ahmad secara sukarela tidak ingin lagi memegang jawatan Menteri Besar.

    Katanya hasrat itu dinyatakan sejak PRU14 lagi namun Abdul Hadi merasakan penyandang dan calon DUN Pasir Pekan perlu terus memimpin kerajaan negeri.

    “Tiada isu digugurkan kerana Ahmad Yakob memang sejak PRU14 lagi meminta untuk tidak bertanding, namun Presiden parti mahu dia terus memimpin.

    “Bagaimanapun kali ini dia minta secara bersungguh-sungguh dan Presiden parti ambil maklum dengan mengambil kira faktor kesihatan dan usia,” katanya.

  • Lebih 9.67 juta pengundi di enam negeri mengundi hari ini

    Lebih 9.67 juta pengundi di enam negeri mengundi hari ini

    LEBIH 9.67 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini bagi memilih wakil rakyat kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Turut diadakan hari ini adalah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

    Kesemua pusat pengundian di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan termasuk di Kuala Terengganu dijadual dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup pada 6 petang.

    Pengundian PRN bakal menyaksikan 9,674,456 pemilih berdaftar mengundi di 3,190 pusat pengundian yang mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran, manakala 122,160 pengundi akan terlibat dengan proses pengundian di PRK Parlimen Kuala Terengganu melalui 41 pusat mengundi yang mengandungi 217 saluran.

    Pada Selasa (8 Ogos), pengundian awal PRN telah berlangsung yang menyaksikan 72,554 anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah peratusan keluar mengundi di Kedah adalah 96.02 peratus, Terengganu (95.91), Selangor (95.87), Pulau Pinang (95.01), Negeri Sembilan (94.05) dan Kelantan (93.90).

    Pengundian awal pada hari sama bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula melibatkan seramai 1,286 pengundi atau 95.47 peratus anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing.

    Selepas proses penamaan calon 29 Julai lepas, sebanyak 570 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya enam negeri manakala PRK Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan dan PAS.

    Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 29 Julai selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan berakhir pada 11.59 malam tadi.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi menerusi laman sesawangnya semalam meramalkan cuaca hujan di satu dua tempat di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pagi ini.

    Hujan turut diramal berlaku di Kedah, yang melibatkan banyak kawasan pantai, manakala cuaca mendung di Terengganu dan Kelantan dijangka cuaca baik.

    PRN ini melibatkan pertandingan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang, Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Terengganu (32) dan 45 DUN di Kelantan.

    PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.

  • Demi adik, abang Sanusi tolak tawaran kerja di luar negara

    Demi adik, abang Sanusi tolak tawaran kerja di luar negara

    Oleh BADLISHAH MAT

    ABANG kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu Shabudin, 57, membuat keputusan menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar bagi memastikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) ditunaikan.

    Menurut Shabudin, mereka 13 beradik termasuk kedua ibu bapa merupakan pengundi berdaftar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Sik.

    “Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu, tapi kerana perjuangan saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.

    “Insya-Allah selepas ini saya akan terbang ke negara lain, saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya, Sik.

    Pada 10 Julai lalu, nama Shabudin menjadi perhatian ramai apabila tular sebuah banglo di Kampung Batu 8, di Sik yang didakwa milik Muhammad Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE).

    Muhammad Sanusi kemudiannya menafikan gambar banglo di Sik yang ditularkan pihak tertentu menerusi media sosial adalah miliknya dan memaklumkan ia adalah kepunyaan Shabudin yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut.

    Sementara itu, Shabudin mengakui dia tidak berasa tertekan dengan keadaan itu berikutan sudah biasa dengan alam pekerjaan yang menuntut komitmen dan kesabaran yang tinggi.

    “Kerja saya pun sudah dalam keadaan tertekan, jadi saya sudah biasa dalam keadaan ini, saya tak kisah dengan apa yang berlaku (kisah banglo tular),” katanya.

    Dalam pada itu, bapa kepada Muhammad Sanusi, Md. Nor Taib, 82, yang hadir berkerusi roda turut selesai mengundi pada pukul 9.15 pagi tadi sambil ditemani seorang lagi abang kepada Muhammad Sanusi iaitu Sobri, 54.

    “Alhamdulillah pak cik sudah selesai mengundi, sejak negara ada kan pilihan raya, pak cik tak pernah ponteng mengundi,” katanya.

    DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya, Muhammad Sanusi daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

  • Azmin: Rakyat mahu perubahan, yakin menang di Hulu Kelang

    Azmin: Rakyat mahu perubahan, yakin menang di Hulu Kelang

    DATUK Seri Azmin Ali yakin menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang serta Perikatan Nasional (PN) akan merampas Selangor.

    Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, sokongan yang dilihat ketika kempen ‘mega finale’ PN semalam adalah petanda rasa tidak puas hati rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).

    Sebahagian daripada penyokong-penyokong PN yang hadir pada Program Grand Finale Selangor Bangkit Gemilang di Taman Melawati, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Ia petunjuk rakyat mahukan perubahan sebenar, bukan saja di Selangor tetapi seluruh negara.

    “Selangor sedia maju. PN ingin terus mengangkatnya, bukan dengan membuat janji kosong seperti PH, tetapi dengan melaksanakan dasar,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Hulu Kelang pagi tadi.

    Beliau ditemani isterinya, Datin Seri Shamsida Taharin, lapor Malaysiakini.

  • Reformasi ‘dah mati’, rakyat ditipu – Wan Fayhsal

    Reformasi ‘dah mati’, rakyat ditipu – Wan Fayhsal

    KETUA Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melaungkan berakhirnya Reformasi, slogan yang pertama kali digunakan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diterima pakai oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) bagi menuntut pembaharuan.

    Sebaliknya, Wan Ahmad Fayhsal mengetuai penyokong Perikatan Nasional (PN) melaungkan Referendum yang mencerminkan pandangan bahawa pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri esok turut akan menjadi undi terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

    Wan Ahmad Fayhsal, ketika berucap pada ceramah pilihan raya PN di Gombak malam tadi berkata, pengundi dijanjikan ‘reformasi kosong’ oleh kerajaan perpaduan, termasuk janji yang tidak ditunaikan.

    “Sejak 10 bulan lepas, mereka (PH) laung ‘reformasi’. (Tetapi) percaya lah, reformasi sudah mati. Macam mana nak hidup (reformasi) kalau orang nombor 2 ada 47 kes mahkamah,”
    katanya, merujuk kepada tuduhan dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi.

    Zahid sedang dibicarakan atas 47 tuduhan rasuah berkait yayasan pimpinannya.

    Sebanyak 12 tuduhan membabitkan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 melibatkan pengubahan wang haram.

    “Cukuplah sekali kita ditipu, dibohongi, dijanjikan reformasi kosong,” katanya sambil memimpin sorakan Referendum bersama hadirin, lapor FMT.

    Beliau menggesa pengundi di Hulu Kelang keluar beramai-ramai menyokong calon PN, Datuk Seri Azmin Ali, yang akan bersaing satu lawan satu menentang calon PH, Juwairiya Zulkifli.