Category: Semasa

  • 3 maut nahas kereta langgar kren di Bukit Seputeh

    3 maut nahas kereta langgar kren di Bukit Seputeh

    TIGA maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta melanggar kren berhampiran Sekolah Tinggi Kuen Cheng di Jalan Syed Putra, Bukit Seputeh, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada pukul 3.46 pagi sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah digerakkan ke lokasi.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II K Segar berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga melanggar belakang sebuah kren yang diletakkan di bahu jalan.

    “Seorang pemandu lelaki didapati tersepit dalam kereta, manakala dua pekerja keselamatan yang menjaga kren turut cedera akibat dilanggar kereta terbabit.

    “Pasukan bomba bertindak mengeluarkan pemandu yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat, namun mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, dua pekerja keselamatan yang menjaga kren dan didapati cedera kemudian turut disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans.

    Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • ‘Ini perang saraf kerana UMNO tak menang’ – Abdul Hadi

    ‘Ini perang saraf kerana UMNO tak menang’ – Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai memberi keterangan berhubung petisyen yang difailkan UMNO untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dimenanginya bagi Parlimen Marang.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi.

    Abdul Hadi yang juga saksi ketiga pihak responden memberi keterangan lebih satu jam di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

    Beliau ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu memaklumkan perbicaraan hari ini berjalan dengan lancar dan sudah menjawab semua soalan diberikan.

    “Tak ada apa, biasa (dan) saya jawab semua soalan peguam kita (responden), peguam dia (pempestiyen).

    “InsyaAllah kerana tak membabitkan kesalahan undang-undang pilihan raya, (ia) lebih berlaku dari segi perang saraf kerana UMNO tak menang melalui pilihan raya, nak menang melalui mahkamah,” katanya.

    Sementara itu, peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi berkata, pihak responden sudah selesai memanggil ketiga-tiga saksi dengan Ahli Parlimen Marang itu adalah saksi yang terakhir.

    Katanya, ketika ini, pihak pempestiyen belum lagi selesai memanggil saksi bagi pihak mereka.

    “Mereka kemukakan saksi (dan apabila selesai), kemudian kita akan berhujah,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU-15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.

    Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

    Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

    Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

  • Sultan Kedah titah penjawat awam agar bersikap profesional, berkecuali

    Sultan Kedah titah penjawat awam agar bersikap profesional, berkecuali

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KALANGAN penjawat awam di negeri ini diingatakan agar bersikap profesional dan berkecuali, tanpa menyebelahi mana-mana pihak terutamanya berkaitan politik dalam melaksanakan tugas.

    Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, prinsip ‘rules of law’ perlu dipegang penjawat awam di semua peringkat dengan tugas awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi.

    Baginda dalam pada itu turut menyeru agar amanah dan tanggungjawab yang dijunjung dalam berbakti kepada negeri dan rakyat jelata, hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaiknya secara profesional serta neutral tanpa mengira kaum, agama, politik mahu pun kedudukan.

    “Beta menyedari akan kewujudan pimpinan politik dan penjawat awam yang menjadi dua komponen penting dalam sesebuah pentadbian kerajaan. Jalinan kerjasama dan persefahaman tinggi di samping saling hormat-menghormati, mempercayai dan menasihati hendaklah menjadi satu budaya kerja yang utama antara penjawa awam dan pimpinan politik.

    “Sehubungan itu beta ingin berpesan agar setiap penjawat awam perlu bersikap profesional dan berkecuali tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan tugas diamanahkan.

    “Prinsip ‘rules of law’ perlu dipegang tanpa mengira peringkat. Dalam hal ini, tugas awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi,” titah baginda dalam majlis bersama penjawat awam Kedah yang julung-julung kali diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman hari ini.

    Baginda dalam majlis bersama penjawat awam Kedah yang julung-julung kali diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman hari ini.

    Sementara itu Sultan Sallehuddin bertitah kepada setiap penjawat awam dan agensi kerajaan negeri agar tidak mudah berpuas hati dengan sesuatu pekerjaan dilakukan.

    Baginda bertitah, kalangan penjawat awam dan agensi kerajaan itu sebaliknya perlu sentiasa peka tentang perkembangan semasa dengan menghasilkan idea-idea baharu serta budaya kerja di luar kelaziman, demi keberhasilan luar biasa.

    Sultan Sallehuddin turut menzahirkan harapan agar kerajaan dapat menyegerakan penyediaan infrastruktur jalur lebar 5G serta liputan perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar lebih meluas di luar bandar, dalam negeri ini.

    “Usaha ini akan mendorong transformasi ke sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri yang lebih efisien bagi memenuhi keperluan rakyat masa kini,” katanya.

    Baginda dalam pada itu turut memandang serius akan perkara yang melibatkan kepentingan kerajaan negeri, khususnya dalam menjaga kerahsiaan maklumat di jabatan kerajaan.

    “Justeru beta ingin menegaskan kepada semua penjawat awam supaya bertanggungjawab untuk menjaga hak kepentingan dan kerahsiaan kerajaan negeri serta tidak membocorkan maklumat rahsia kerajaan demi kepentingan diri kerana ia boleh mengganggu-gugat keselamatan kerajaan dan kedaulatan negeri,” titah baginda.

  • Penganjuran ‘Proklamasi Melayu’ dibatalkan, ganti sidang media

    Penganjuran ‘Proklamasi Melayu’ dibatalkan, ganti sidang media

    SEBUAH program kontroversi menampilkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijadualkan hari ini dibatalkan selepas dua venue menarik balik kebenaran mereka untuk mengadakan Proklamasi Melayu.

    Jurucakap penganjur, Sekretariat Tanah Air memberitahu, program berkenaan telah digantikan dengan sidang media oleh bekas Ahli Parlimen Langkawi itu di Ibu pejabat Putra, pada 3 petang ini.

    Semalam, dilaporkan pihak penganjur memutuskan untuk menangguhkan acara itu selepas dua venue membatalkan kebenaran mereka untuk mengadakan program itu.

    Program itu dijangka dihadiri sekurang-kurangnya 300 orang, lapor FMT.

    Sekretariat Tanah Air menggambarkan dirinya sebagai sekumpulan sukarelawan Melayu berjuang untuk menyelamatkan majoriti etnik negara daripada ditakluki oleh minoriti.

    Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada pihak dikatakannya menggunakan kaum dan agama untuk mencetuskan perbalahan.

    Beliau berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk hasutan perkauman dan akan terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan, berjanji akan memimpin kerajaan inklusif.

  • Gerak ke hadapan, jadi PM berdedikasi, wartawan veteran tegur Anwar

    Gerak ke hadapan, jadi PM berdedikasi, wartawan veteran tegur Anwar

    SEORANG wartawan veteran menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bergerak ke hadapan dan fokus menjadi Perdana Menteri yang berdedikasi.

    Datuk A. Kadir Jasin dalam catatan menerusi Facebook miliknya berkata, Anwar kini berada dalam kedudukan ‘sangat berkuasa’, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    “Anwar juga mempunyai bidang kuasa ke atas Wilayah Persekutuan, hal ehwal agama dan hal undang-undang, merujuk kepada portfolio bawah Jabatan Perdana Menteri.

    “Jadi, ‘let’s make it happen’. Bergeraklah ke hadapan sebagai perdana menteri yang berdedikasi,” kata bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    Kadir berkata, selepas lebih 100 hari Anwar memegang jawatan tertinggi negara itu, nampaknya beliau masih ‘terperangkap dalam lipatan masa dengan beban masa lampau’ seperti yang dapat dilihat daripada ucapannya.

    “Semua kita, tidak kira mulia atau hina, tinggi atau rendah, ada cerita. Tetapi ramai tidak ada masa, kedudukan dan saluran untuk bernostalgia dan bermegah-megah dengan parut di dahi dan calar di hati,” katanya sambil meminta Anwar melupakan permusuhan lalu.

    Tambahnya, Anwar boleh terus bercerita tentang ‘derita hari-hari perjuangannya’, tetapi bagi rakyat, ini tidak ‘menghidangkan makanan dan membayar tambang bas sekolah anak’, lapor FMT.

    Semalam, media melaporkan Anwar menyindir pihak yang mendakwa kononnya orang Melayu semakin ditindas dan hilang kuasa bawah pentadbiran kerajaan perpaduan.

    Tanpa menamakan pihak itu, Anwar dipercayai merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menurutnya, tidak memperjuangkan nasib orang Melayu ketika menjadi Perdana Menteri, sebaliknya hanya mengayakan diri dan keluarganya.

  • Petisyen PRU15: Abdul Hadi, Mohd Nor hadir ke mahkamah

    Petisyen PRU15: Abdul Hadi, Mohd Nor hadir ke mahkamah

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd. Nor Hamzah hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini pada jam 9 pagi.

    Kedua-duanya hadir bagi memberi keterangan berhubung Petisyen Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) Parlimen Marang.

    Mohd. Nor tampil ke mahkamah susulan waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu berikutan kegagalan beliau hadir untuk memberi keterangan bersabit kes itu pada Khamis lalu.

    Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya mengeluarkan perintah itu selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap beliau.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Abdul Hadi tampil buat kali pertama itu bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

    Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.

    Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan, lapor Sinar Harian.

  • RUU355 tak mampu tawan undi Melayu pada PRN

    RUU355 tak mampu tawan undi Melayu pada PRN

    CADANGAN meningkatkan hukuman jenayah di Mahkamah Syariah menerusi rang undang-undang (RUU) dikenali sebagai RUU355 tidak akan membantu gabungan pemerintah meraih undi Melayu pada PRN akan datang, menurut penganalisis politik.

    RUU355 merujuk kepada cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2017 namun terbantut susulan pembubaran Parlimen.

    Menurut Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb, walaupun gabungan kerajaan mungkin berpendapat mereka boleh menaikkan imej Islamnya, mereka tidak akan pergi jauh.

    “Pakatan kerajaan tersilap besar jika berpendapat pengundi Melayu akan memilih mereka pada PRN akan datang disebabkan cadangan pembentangan RUU355.

    “Pengundi Melayu memilih parti berdasarkan identiti Islam. Mereka akan sentiasa memilih Pas kerana dilihat lebih tulen dan jujur dalam memperjuangkan kepentingan Islam,” katanya, lapor FMT.

    Sementara itu, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin sedang cuba ‘menggilap’ kelayakan agamanya jika RUU355 masih dalam agenda mereka.

    Bagaimanapun, Ei Sun berkata, kerajaan mungkin hanya akan ‘tersedar’ pada malam keputusan PRN diumumkan kerana ia ‘bukan tandingan bagi status agama Pas yang cemerlang’.

    “Gesaan Pas untuk sebuah negara teokratik semakin diterima dalam kalangan sebahagian besar pengundi,” dakwanya.

    Awal minggu ini, Menteri Hal Ehwal Agama, Na’im Mokhtar berkata, pindaan RUU355 akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
    Katanya, kementeriannya sedang menyediakan kertas Jemaah Menteri.

    RUU355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dan hukuman dikenakan bagi kesalahan jenayah syariah.

    Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, parti dalam gabungan kerajaan mungkin mencapai keputusan lebih baik dalam PRN jika penyokong bukan Melayu menyokong RUU tersebut 100 peratus.

    “Ia mungkin menjadi perkembangan positif (buat pengundi Melayu) dari segi melindungi Islam sebagai agama dan kepentingan mereka,” katanya.

    Tambahnya, persepsi bahawa Pas lebih bagus dalam melindungi Islam boleh dilenyapkan kerana gabungan kerajaan perpaduan akan menunjukkan mereka memperjuangkan perkara sama.

    Dengan pembangkang menuduh kerajaan tidak mengambil berat tentang Islam, Azmi berkata, penyokong bukan Melayu mungkin tidak membantah RUU itu.

    “Saya fikir ia juga baik untuk DAP kerana akan menunjukkan parti itu boleh menjadi sangat fleksibel dan memahami,” katanya.

  • Kerajaan tanggung kenaikan kos haji RM1,000 untuk B40 – Anwar

    Kerajaan tanggung kenaikan kos haji RM1,000 untuk B40 – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan menanggung kenaikan kos menunaikan ibadah haji sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah haji golongan B40 pada tahun ini.

    Anwar berkata perkara itu merupakan perubahan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan berkaitan pemberian subsidi kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

    “Kita buat perubahan untuk golongan B40, walaupun tahun lalu semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini untuk B40 (kos haji) naik RM1,000. Tahun ini sepatutnya naik RM1,000, saya kira-kira rasanya untuk B40 tak perlu.

    “Jadi kenaikan RM1,000 itu akan ditanggung Kementerian Kewangan supaya orang (B40) boleh pergi (menunaikan ibadah) haji tanpa kenaikan (kos),” katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Shah Alam hari ini.

    Bagi golongan M40 pula, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan kos haji adalah sebanyak RM3,000 manakala golongan T20 perlu membayar kos haji sepenuhnya.

    “Jadi ini cara kita melihat yang tidak dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini kerana tahun sebelumnya masih naik (kos haji),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Tabung Haji menjangkakan kos bagi menunaikan haji tahun ini akan meningkat lebih RM2,000 kepada RM30,850 bagi seorang. – BERNAMA

  • Dakwaan pihak hilang kuasa tiup sentimen kaum tak sepatutnya timbul

    Dakwaan pihak hilang kuasa tiup sentimen kaum tak sepatutnya timbul

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menggesa semua parti politik bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum di negara ini dan tidak menuding jari kepada pihak tertentu, termasuk pembangkang jika timbul isu yang menyentuh sentimen kaum dan agama.

    Menurut beliau, semua ahli politik tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan tindakan yang menyentuh sensitiviti Islam boleh mengundang kemarahan umat, seperti program ziarah gereja oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dibatalkan baru-baru ini.

    Sehubungan itu katanya, tidak seharusnya timbul dakwaan ada pihak yang hilang kuasa menggunakan program itu untuk meniupkan sentimen kaum dan agama, malah orang miskin didakwa digunakan untuk membuat kekacauan, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

    “Pihak yang membuat laporan polis adalah NGO dan mereka antara yang lantang bersuara dalam isu ini. Parti politik tidak terbabit di luar dan hanya bercakap mengenainya di Parlimen.

    “Bukan saja NGO, malah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut mengeluarkan kenyataan membantah program itu.

    “Jadi, kenyataan Perdana Menteri bahawa ada pihak yang hilang kuasa cuba meniupkan sentimen perkauman, seolah-olah mahu merujuk kepada pembangkang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang Perdana Menteri. Beliau sepatutnya mencari jalan meredakan keadaan, bukan lebih mengeruhkan suasana,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri menegaskan, ada usaha orang kehilangan kuasa menggunakan isu program ziarah rumah ibadah untuk meniupkan sentimen kaum dan agama di negara ini.

    Beliau berkata, biarpun ia masih terkawal ketika ini, jika tindakan itu melampau sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak.

    Program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dijadualkan hari ini di sebuah gereja di Klang, menimbulkan kontroversi dan dibatalkan pihak penganjur, semalam.

    Program itu adalah inisiatif diterajui Impact Malaysia, NGO yang bernaung di bawah KBS.

    Jumaat lalu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mendakwanya menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam melalui program yang dikaitkan dengan kementeriannya.

    Mengulas program berkenaan, Razali berkata, prosedur operasi program (SOP) bagi program seumpama itu perlu diperketat.

    “Kita boleh mengunjungi gereja dan menganjurkan program dengan yang bukan Islam tetapi SOP perlu ketat, tidak boleh lebih kurang.

    “Jika program dibuat secara terbuka seperti mempromosi agama lain, dengan SOP yang tidak ketat, ia dibimbangi boleh menjejaskan akidah anak muda Islam,” katanya.

  • Pergaduhan cemari Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu

    Pergaduhan cemari Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu

    MESYUARAT Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, Sabah hari ini berlangsung kecoh dan dicemari insiden pergaduhan.

    Memetik laporan Astro AWANI yang memetik sumber, insiden itu didakwa berlaku akibat provokasi daripada segelintir penyokong-penyokong calon yang bertanding dalam Pemilihan UMNO berkenaan.

    Berdasarkan video tular, ketika Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Mejar (B) Khalid Harun berucap, terdapat penyokong yang tidak berpuas hati menceroboh menaiki pentas.

    Tindakan itu seterusnya menyebabkan lebih ramai lagi penyokong menaiki pentas sehingga mencetuskan pergaduhan.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Rohan Shah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    Tambahnya, satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam waktu terdekat berhubung kejadian itu.