Category: Semasa

  • Kedah Aerotropolis: Belum sampai masa mohon lesen AOL, kata Sanusi

    Kedah Aerotropolis: Belum sampai masa mohon lesen AOL, kata Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, pelaksanaan projek Kedah Aerotropolis ketika ini masih belum sampai ke tahap yang memerlukan pihak terlibat memohon lesen aerodrome (AOL) seperti didakwa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini.

    Menjelaskan perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, Anthony juga dalam masa sama seakan mengubah sedikit tuduhannya terhadap negeri ini, hari ini apabila mendakwa Kedah tidak tidak pernah memohon lesen aerodrome kepada kementeriannya.

    Sedangkan katanya, sebelum ini Anthony mendakwa kerajaan negeri tidak pernah mengemukakan apa-apa permohonan berkaitan projek tersebut.

    “AOL iaitu lesen pengurusan ruang angkasa yang berada di bawah bidang kuasa beberapa pihak iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa pihak lain hanya boleh dipohon oleh operator lapangan terbang.

    “Operator lapangan terbang akan mengemukakan permohonan itu setelah lapangan terbang siap dan bersedia untuk memulakan operasi penerbangan. Pada peringkat ini AOL belum lagi diperlukan dan permohonan lesen itu tidak perlu dibuat lagi,” katanya.

    Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai perkembangan Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) serta permohonan Kedah mengenai projek itu di Dewan Rakyat hari ini, Anthony mendakwa kementeriannya itu belum menerima permohonan aerodrome secara rasmi.

    Berikutan itu Anthony mendakwa, soal kerajaan menolak pembangunan projek berkenaan tidak berbangkit kerana permohonan aerodrome secara rasmi belum dibuat.

    Muhammad Sanusi menambah, hal itu sudah pun dijelaskan secara terperinci dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 15 Mac lalu.

    “Kita belum duduk lagi, takkan ‘depa’ nak suruh bersila dah? Apa yang dilaksanakan kerajaan Kedah setakat ini adalah permohonan kelulusan untuk membina lapangan terbang sebagai ‘enabler’ kepada industri hub kargo serta penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO).

    “Sekarang ini, belum sampai kepada peringkat permohonan memohon AOL yang harus dilakukan mengikut turutan proses projek,” katanya.

  • Kempen antirasuah kerajaan hanya mahu jatuhkan pemimpin pembangkang – Dr M

    Kempen antirasuah kerajaan hanya mahu jatuhkan pemimpin pembangkang – Dr M

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kempen antirasuah dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bertujuan menyingkirkan pemimpin pembangkang menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

    Beliau sebaliknya berkata, pemimpin kerajaan yang diketahui terlibat dengan rasuah pula tidak disiasat.

    “Ini menunjukkan kempen antirasuah adalah berkaitan menjatuhkan pemimpin pembangkang supaya tidak ada penentangan terhadap kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

    Enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal mengadakan PRN pertengahan tahun ini, setelah tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

    Kenyataan Dr Mahathir berkaitan menyingkirkan pemimpin pembangkang itu dipercayai menjurus kepada tindakan kerajaan PH-BN yang mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; dan beberapa pemimpin Bersatu yang lain.

    Dalam pendakwaan terpilih bermotifkan politik dan dendam, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa kononnya menerima rasuah dan pengubahan wang haram, sedangkan sumbangan politik yang diterima Bersatu semuanya dimasukkan ke dalam akaun parti, bukan akaun peribadi, seperti dilakukan beberapa pemimpin UMNO.

    Dalam kenyataan terbaharu itu, Dr Mahathir juga berkata kerajaan PH-BN yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sekarang ini telah memutuskan bahawa rakyat tidak boleh bercakap mengenai bangsa dan agama.

    Jelas sekali katanya, peraturan itu ditujukan kepada orang Melayu.

    “Peraturan ini sebenarnya bersifat perkauman kerana menafikan hak orang Melayu. Bercakap tentang berbilang kaum dan agama tidak mengapa. Tidak mengapa kerana ia memihak kepada kaum lain. Ini juga rasis.

    “Tiada siapa boleh menafikan bahawa di negara ini orang Melayu berhadapan dengan pelbagai masalah. Adalah jelas bahawa jika masalah ini tidak ditangani sekarang ia akan menjadi lebih teruk. Kerajaan tahu ini.

    “Larangan ke atas orang Melayu membincangkan masalah mereka dan mencari jalan untuk mengatasinya adalah paling tidak demokratik dan anti-Melayu. Itu sekali lagi adalah perkauman.

    “Sebenarnya kerajaan tidak tahu apa yang akan diperkatakan pada perhimpunan tersebut. Malah deklarasi itu tidak menyalahkan kaum lain. Ia menyalahkan pemimpin Melayu yang telah didapati bersalah kerana mencuri wang kerajaan, pengubahan wang haram dan rasuah,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • 34kg ganja dirampas polis, dua individu ditahan

    34kg ganja dirampas polis, dua individu ditahan

    POLIS merampas 34 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM85,000 ketika operasi snap check di Kilometer (KM) 8 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Gua Musang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam operasi 6 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan wanita warga Filipina berusia 46 tahun ditahan.

    “Hasil siasatan terhadap kenderaan Perodua Axia menemukan 34 ketulan ganja mampat di tempat duduk belakang.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 34 bungkusan ganja mampat dengan anggaran kasar satu kg setiap ketulan. Dipercayai ganja itu diperoleh dari negara jiran untuk dibawa ke Kuala Lumpur melalui negeri ini.

    “Ketulan ganja ini boleh digunakan seramai 34,000 penagih dan anggaran harga kira-kira RM85,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Gua Musang, hari ini.

    Katanya, lelaki terbabit dipercayai sebagai transporter dan pihaknya percaya itu adalah penghantaran kali kedua bagi suspek.

    “Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek lelaki mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (2019 & 2016).

    “Suspek wanita tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan negatif dadah,” katanya, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

  • Farid tak dapat jumpa anak, dihalang masuk rumah

    Farid tak dapat jumpa anak, dihalang masuk rumah

    PEGUAM syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili aktres Diana Danielle mengesahkan Farid Kamil tidak dapat memasuki kediamannya sejak awal bulan ini.

    Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan alasan dihalang berbuat demikian.

    Akberdin berkata, pihaknya diarahkan melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan cerai.

    “Melalui JKP, wakil dilantik akan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian, sebelum hasil perbincangan dikemukakan kepada mahkamah.

    “Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati berlaku shiqaq, Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan berkenaan,” ujarnya, lapor Berita Harian.

    Akberdin berkata demikian selepas Farid mendakwa dirinya tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya, Diana sejak awal bulan ini.

    Perkara tersebut dimaklumkan pada prosiding permohonan cerai yang difailkan oleh Diana di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Permohonan cerai tersebut difailkan Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

    Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu dalam permohonannya ialah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

    Hakim Shukran kemudian menetapkan 28 Mac ini untuk membolehkan Farid memaklumkan mahkamah wakil bagi pihaknya dalam JKP tersebut.

    Beberapa bulan lalu, ketika mengulas isu rumah tangga rakan baiknya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, Diana menyatakan dia memahami keadaan perasaan rakannya.

    Kata Diana, tiada wanita yang ingin bercerai tanpa sebab.

    “Dalam kehidupan, kita tidak boleh menjangka pengakhiran yang berlaku dalam apa juga keadaan,” katanya.

    Farid dan Diana mendiri rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

  • Petaling Jaya, Manjung dan Kluang antara bandar paling bahagia di Malaysia

    Petaling Jaya, Manjung dan Kluang antara bandar paling bahagia di Malaysia

    PETALING Jaya, Manjung dan Kluang diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2022 di Malaysia, menurut Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022.

    Gua Musang, Klang, Kulai, Krai, Kuantan, Rompin dan Alor Gajah juga tersenarai dalam kajian dibuat oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia yang jatuh pada 20 Mac setiap tahun.

    Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memberitahu, Datuk M Noor Azman Taib, kajian itu melibatkan 42,000 responden dari 117 pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Daripada kajian itu, kita dapati 79 peratus tau 92 bandar mencapai status mampan dengan skor melebihi 80 peratus sementara 25 bandar (21 peratus) mencatatkan peratus sederhana bahagian dengan skor antara 50 dan 79 peratus,” katanya, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2023 di Putrajaya.

    Indeks kebahagian merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi aspek kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.

    Antara aspek utama yang menyumbangkan kepada tahap kebahagian adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perlhidmatan yang diberikan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur.

    Mengulas lanjut, kata M Noor Azman, pengukuran indeks kebahagiaan di Malaysia dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets.

    Menurutnya, MURNInets merupakan satu sistem di bawah seliaan PLANMalaysia bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di Malaysia.

    bandar paling bahagia, Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022, Petaling Jaya, manjung,

  • Kontroversi rumah tangga: ‘Biar mahkamah saja tentukan’ – Farid Kamil

    Kontroversi rumah tangga: ‘Biar mahkamah saja tentukan’ – Farid Kamil

    “BIAR mahkamah yang tentukan apa,” UJAR Farid Kamil ketika ditanya mengenai tindakan isterinya, Diana Danielle, yang memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Kuala Lumpur, hari ini.

    Itu reaksi ringkas Farid Kamil yang merupakan pelakon filem Anwar: The Untold Story itu.

    Biarpun berdepan konflik rumah tangga, beliau memaklumkan fokusnya adalah mencari nafkah.

    “Saya tengah shooting mencari nafkah,” ujarnya memetik laporan Astro Awani.

    Menerusi satu portal berita hari ini, Farid Kamil berharap isu rumah tangganya dapat diselesaikan dengan jalan perdamaian.

    Katanya lagi, keengganan melafazkan talak juga disebabkan masih sayangkan keluarganya.

    “Saya masih sayangkan Diana dan tentunya, dua cahaya mata, Muhammad dan Aurora,” katanya.

    Dalam pada itu, Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari turut menafikan wujud krisis antaranya dan Diana hingga membawa keretakan dalam hubungan mereka.

    Media turut difahamkan, pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.

    Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan pasangan pelakon itu untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan permohonan ditetapkan semula untuk sebutan pada 28 Mac ini.

    Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, mendirikan rumah tangga dengan Farid pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7.

  • Diskaun kompaun dan saman PDRM sehingga 60 peratus

    Diskaun kompaun dan saman PDRM sehingga 60 peratus

    SEMPENA Hari Polis Ke-216, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pengurangan kadar kompaun dan saman sehingga 60 peratus bermula hari ini.

    PDRM berkata, tawaran itu diberikan kepada pesalah trafik tertakluk kepada saman terpilih sehingga 31 Mac ini.

    “Tawaran pengurangan kompaun saman trafik secara dalam talian sehingga 60 peratus tertakluk kepada saman terpilih melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara.

    “Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan termasuk kemalangan, bicara mahkamah, waran, kenderaan berat, memotong secara bahaya, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, pengubahsuaian ekzos dan saman Op Selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Orang ramai yang mahu membuat bayaran boleh mendaftar MyBayar Saman dan tidak perlu beratur panjang di kaunter bayaran trafik.

    Pendaftaran boleh dibuat menerusi portal https://mybayar.rmp.gov.my; Google playstore; Apple store dan Huawei Appstore.

  • Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas KPDN Pulau Pinang

    Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas KPDN Pulau Pinang

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya mematahkan lapan percubaan menyeludup diesel bersubsidi membabitkan rampasan berjumlah 50,340 liter dengan nilai RM369,231 menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan sepanjang bulan ini setakat semalam.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, jumlah itu termasuk dua kes rampasan diesel bersubsidi di Bandar Perda, Bukit Mertajam kelmarin dan di Sungai Bakap, Nibong Tebal, semalam.

    Jelas beliau, dalam operasi di Bandar Perda, pihaknya mengesan sebuah lori seberat tujuh tan yang mencurigakan hasil pemantauan di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 3 petang.

    Katanya, sepasukan anggota penguat kuasa kemudian bertindak mengekori lori tersebut yang membuat pembelian berulang dari sebuah stesen minyak ke sebuah stesen minyak lain.

    “Bagaimanapun, apabila menyedari diekori, pemandu lori itu kemudian menghentikan kenderaannya di kawasan bangunan lama sebuah pusat beli-belah di Bandar Perda sebelum melarikan diri.

    “Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit kemudian mendapati terdapat satu unit tangki besi tambahan berukuran 20x7x3 yang disyaki mengandungi diesel selain dua unit pam motor dan hos di bahagian lantai lori berkenaan yang digunakan untuk menyedut minyak diesel dari tangki asal,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Jegan, modus operandi bagi kes ini ialah dengan membeli bahan api itu di beberapa tempat berasingan sebelum dikumpul di satu tempat untuk dijual kepada pihak ketiga.

    Ujar beliau, pihaknya turut mengesyaki sindiket tersebut menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi aktiviti mereka selain memantau pergerakan pihak berkuasa dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

    “Dalam operasi malam semalam di Sungai Bakap pula, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama 4,600 liter diesel susulan pemeriksaan terhadap tiga buah lori kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Jegan berkata, turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan bersama 80 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram (kg) setiap satu yang disimpan di sebuah stor simpanan khas dalam serbuan di Permatang Pasir, Balik Pulau, Jumaat lalu.

    Jelasnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah lori yang digunakan untuk membekalkan barang kawalan tersebut dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM23,528.

  • Siasatan ‘Jom Ziarah Gereja’: Chegubard dakwa ada usaha lindungi Yeoh

    Siasatan ‘Jom Ziarah Gereja’: Chegubard dakwa ada usaha lindungi Yeoh

    POLIS akan memanggil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi membantu siasatan terhadap acara ‘Jom Ziarah Gereja’ yang telah dibatalkan.

    Pengerusi Penaja Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin mendakwa, wujudnya konspirasi untuk melindungi menteri tersebut berdasarkan siasatan dilakukan mengikut kaum pegawai polis yang mengambil keterangan beliau dan Yeoh.

    Badrul yang lebih dikenali dengan nama Chegubard berkata, laporan polis Yeoh terhadapnya diserahkan kepada seorang inspektor Cina, manakala laporannya terhadap Yeoh diberi kepada inspektor India.

    “Tak mungkin ia satu kebetulan yang kedua-dua pegawai polis ini bukan beragama Islam.

    “Namun saya yakin ia bukan keputusan polis sebaliknya tekanan dari pihak atasan,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul sebelum memberi keterangan, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Badrul menegaskan, tidak menentang agama lain namun tindakan mempromosi agama lain kepada orang Islam adalah salah.

    Terdahulu, Badrul mendakwa Yeoh ingin menjalankan program Kristian evangelis menerusi acara ‘Jom Ziarah Gereja’.

    Acara itu adalah sebahagian daripada program kunjungan golongan muda ke rumah ibadat pelbagai agama untuk memupuk pemahaman mereka berkenaan agama lain.

    Yeoh menafikan dakwaan unsur Kristian evangelis dan membuat laporan polis terhadap Badrul.

    Beliau juga menjelaskan golongan muda bukan Islam juga terlibat dalam program ‘Jom Ziarah’, antaranya ke masjid.

  • ALIF perkenal marjerin eksklusif buat GTR Burger

    ALIF perkenal marjerin eksklusif buat GTR Burger

    PENGUSAHA minyak sawit, Sime Darby Oils (SDO) di bawah jenama ALIF miliknya memperkenalkan marjerin eksklusif untuk dipasarkan bersama jenama burger tempatan, GTR Burger.

    Ketua Jualan Pelanggan SDO, Mohammad Rahimi Abdullah berkata, marjerin eksklusif itu dipasarkan khas menerusi kerjasama antara Sime Darby Oils dan GTR.

    “SDO adalah pengusaha minyak sawit yang mampan di Malaysia, dengan kerjasama ini bekalan tidak putus dan memenuhi keperluan pelanggan.

    “Sebagaimana diketahui umum minyak masak ALIF dihasilkan daripada minyak sawit mentah bermutu tinggi yang diuji untuk menentukan kualitinya terlebih dahulu dan kemudian disuling untuk menghasilkan minyak masak.

    “Hari ini, kami umumkan kerjasama antara Sime Darby dan GTR Burger menerusi perjanjian eksklusif di mana marjerin ALIF akan dibekalkan di semua gerai GTR, ” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian selapas menandatangani majlis Memorandum Persefahaman Bersama (MOU) antara marjerin ALIF untuk GTR Burger bersama Sime Darby Oil di Petaling Jaya.

    Yang turut hadir ialah Pengasas Bersama GTR Burger, Nordin Mat dan Najib Jalil.

    Dalam pada itu, Nordin berkata, GTR Burger yang mula beroperasi pada tahun 2021 kini sudah memiliki 300 cawangan dan tiga pusat pemprosesan di Kuching Sarawak, Puchong, Selangor dan Kota Kinabalu, Sabah.

    “GTR merancang untuk membuka sehingga 500 cawangan pada Julai nanti dan 1,000 cawangan pada akhir tahun nanti.

    “Kami akan pasarkan marjerin ALIF ini ke seluruh cawangan kami.

    “GTR Burger memang mempopularkan bahan tempatan, produk tempatan guna daging segar tempatan, sekarang sokong GLC tempatan iaitu SDO disamping membantu membuka peluang niaga kepada anak tempatan.

    “Kolaborasi perniagaan Bumiputera ini mampu mengangkat dua jenama tempatan dalam satu platform, lagipun jenama ALIF sangat sesuai untuk roti GTR, sesuai untuk produk roti John, ” katanya.

    Terdahulu GTR Burger memaklumkan kerjasama bersama Pertubuhan Rezeki Infaq (RI) untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena kedatangan bulan Ramadan nanti.

    Dinamakan “Kebahagiaan Ramadan 2023”, program yang akan dilancarkan itu nanti mensasarkan 2 juta umat Islam menerima manfaatnya.

    Kerjasama dengan RI itu juga membuka peluang kepada pihak-pihak lain untuk beramal sempena bulan Ramadan menerusi infak dan sedekah jariah menerusi program tersebut.

    Orang ramai yang mahu menyertai peluang niaga bersama GTR Burger boleh melayari www.gtrburger.my.