Category: Semasa

  • Polis buru wanita curi barang jemaah dalam Masjid Taman Temerloh Jaya

    Polis buru wanita curi barang jemaah dalam Masjid Taman Temerloh Jaya

    POLIS kini memburu seorang wanita yang bertindak mencuri barangan milik jemaah wanita di Masjid Taman Temerloh Jaya pada malam Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menerima dua laporan mengenai kejadian pada petang kelmarin.

    Beliau berkata, dalam kejadian pukul 8.48 malam, suspek dipercayai seorang wanita Melayu berusia 40-an dilihat mencuri barang peribadi milik jemaah wanita bernilai RM3,500.

    “Siasatan mendapati suspek menaiki kereta Proton Wira biru atau kelabu dan kertas siasatan kini dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, suspek kini giat dikesan dan sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarja Md Tarmizan Mohamed di talian 013-3418771 atau kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di talian 09-2716222.

  • Mahkamah tolak permohonan Jamal gantung penghakiman saman fitnah Teressa Kok

    Mahkamah tolak permohonan Jamal gantung penghakiman saman fitnah Teressa Kok

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menggantung perlaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Kim berhubung dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada tahun lepas.

    Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Kok berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Mohd Arief Emran Arifin menolak permohonan Jamal selaku defendan dengan kos RM3,000 yang perlu dibayar kepada Kok iaitu plaintif.

    “Mahkamah menolak permohonan (Jamal) untuk menggantung perlaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi itu dengan alasan tidak wujud apa-apa keadaan istimewa untuk penggantungan,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding secara dalam talian hari ini.

    Sementara itu, peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan pihaknya akan merayu terhadap keputusan berkenaan.

    Pada 26 Julai 2022, Kok berjaya memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan menyalahgunakan dana Yawas selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan saman Kok selaku plaintif terhadap defendan iaitu Jamal, yang difailkan pada 6 April 2017.

    Dalam keputusan itu, JC Mohd Arief turut mengarahkan defendan (Jamal) membayar kos RM50,000 kepada plaintif.

    Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

    Dalam penyataan tuntutan, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

    Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

  • Dua lelaki maut pacuan empat roda rempuh pokok

    Dua lelaki maut pacuan empat roda rempuh pokok

    SANDAKAN – Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok dalam kemalangan di Jalan Batu 5 Sandakan pukul 1.15 pagi.

    Raynerd Noell Tan, 22, yang merupakan pemandu kenderaan terbabit disahkan maut di lokasi manakala penumpang yang juga berusia 22 tahun meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

    Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan itu melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbabas sendiri.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku kenderaan terbabit dari Batu 4 menghala ke Taman Mawar.

    “Sebaik tiba di lokasi, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke tengah pembahagi jalan dan merempuh pokok.

    “Akibat kejadian itu kedua-dua pemandu dan penumpang maut akibat kecederaan parah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HDOK.

    Tambah beliau, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Hina Islam, Nabi: Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

    Hina Islam, Nabi: Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

    KUMPULAN ajaran sesat Si Hulk yang menyebarkan video tular menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sedang giat dikesan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, JAINJ sudah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan di TikTok sejak Isnin.

    Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

    “Di dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi ia adalah Si Hulk. Penyebaran video tular mengenai ajaran Si Hulk ini memberi gambaran ajaran sesat ini masih ada pengikut setia walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

    “Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak agar menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

    Video tular berdurasi seminit 17 saat itu memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

    Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor dan telah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini.

    Antaranya ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

    “Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

    “Justeru, fahaman dan ajaran sesat hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat,” katanya.

    ajaran sesat, Si Hulk, TikTok, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

  • PN isytihar ‘Siap Siaga 100 Hari Gempur PN Best!’ tawan 3 negeri

    PN isytihar ‘Siap Siaga 100 Hari Gempur PN Best!’ tawan 3 negeri

    PERIKANTAN Nasional (PN) mengisytiharkan kempen ‘Siapsiaga 100 Hari Gempur PN Best!’ bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini di enam negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Kempen siap siaga itu diumumkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi, kata Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

    Difahamkan, mesyuarat turut membincangkan pelbagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan, termasuk pembahagian kerusi.

    Pelancaran ‘Siapsiaga 100 Hari Gempur PN Best!’ itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Dalam kenyataan ringkas hari ini (21 Mac 2023) Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dan Ketua Pemuda Pas Pusat berkata PN akan berusaha untuk menawan tiga negeri yang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

    “Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional malam tadi, serentak pengisytiharan SIAP SIAGA 100 HARI GEMPUR sempena PRN di enam negeri.

    “Kekalkan kemenangan di tiga negeri, tawan tiga lagi negeri Insya Allah,” katanya, lapor AgendaDaily.

    Tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu kini ditadbir PN menerusi Pas, manakala Negeri Sembilan dan Selangor (PH-PKR) dan Pulau Pinang (PH-DAP).

    Enam negeri itu dijangka mengadakan PRN Julai depan, setelah tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022.

    Sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam PRN itu iaitu 56 kerusi di Selangor; Kelantan (45); Pulau Pinang (40); Negeri Sembilan serta Kedah masing-masing 36 kerusi; dan Terengganu (32).

    Pada PRN ke-15 di enam negeri itu, PN akan berdepan saingan daripada gabungan DAP, UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    Sementara MCA dan MIC yang turut menyertai kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional PH-BN mungkin tidak diberi sebarang kerusi.

  • Husam sahkan dilantik Pengerusi SPNB

    Husam sahkan dilantik Pengerusi SPNB

    BEKAS naib presiden Amanah Husam Musa mengesahkan pelantikannya sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang baharu.

    Bagaimanapun bekas exco kanan Kelantan itu enggan mengulas lanjut mengenai pelantikan tersebut buat masa ini.

    “Ambo (saya) belum masuk pejabat lagi, insya-Allah hari Khamis cadangnya. Nanti selepas itu (bagi kenyataan),” katanya ringkas, lapor Malaysiakini.

    Husam berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelantikannya selepas dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

    Terdahulu portal berita tempatan yang memetik sumber turut melaporkan pelantikan Husam.

    Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 Husam pernah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

    Pada pilihan raya umum lalu Husam dicalonkan PKR untuk mewakili PH di Parlimen Pasir Mas, namun tewas kepada penyandangnya daripada PAS Ahmad Fadhli Shaari.

  • Misi tawan Selangor bermula

    Misi tawan Selangor bermula

    Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

    MENTERI Besar Selangor telah pun mengisytiharkan bahawa ADUN Umno Selangor adalah sebahagian daripada Kerajaan PH Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri Jun ini.

    Bermakna Ahli-ahli DUN Umno Sg Air Tawar (Datuk Rizam), Sg Panjang (Datuk Imran), Hulu Bernam (Datuk Rosni), Sg Burong (Datuk Samsuddin) dan Semenyih (Hj Zakaria) kini dikira sebahagian dari Kerajaan PH Selangor yang Menteri Besarnya dari PKR dan Exconya ada PKR, DAP dan PAN.

    Bagi para pengundi Melayu di Selangor termasuklah anak-anak muda yang telah mencetuskan ‘Gelombang Hijau‘ dalam PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini hingga memenangkan PN di Hulu Selangor (dalamnya DUN Hulu Bernam), Sabak Bernam (dalamnya DUN Sg Air Tawar), Sg Besar (dalamnya DUN Sg Panjang), Tg Karang (dalamnya DUN Sg Burong), Kapar dan Kuala Langat sedarlah bahawa dalam PRN Selangor ke-15 nanti Umno akan bekerjasama dengan PH dan akan lawan PN. Pimpinan Umno sanggup dan tergamak lawan PAS.

    Dulu Umno minta kita tolak DAP tolak PKR. DAP dikatakan ekstremis, rasis menentang agenda Melayu Islam manakala PKR pula liberal dan sanggup bersekongkol dengan DAP. Tapi hari ini mereka pula sudah berkawan.

    Dulu gandingan PAS dan Umno atas nama MN telah menumbangkan PH di PRK Semenyih hasil kesedaran politik umat Melayu Islam. Hari ini Umno memilih bersama PH yang kita tumbangkan.

    Agenda memperjuangkan nasib dan masa depan serta mempertahankan hak umat Melayu Islam hari ini nampaknya cuma digalas PN yang dalamnya ada PAS dan BERSATU.

    Kita mahu umat Melayu Islam memimpin dengan bermaruah dan berdaulat di tanah airnya sendiri. Kehidupan dan kebajikan anak-anak bangsa yang miskin dan merempat mesti dibela dan dipulihkan segera. Rasuah kepincangan dan salah guna kuasa mesti ditentang.

    Agama Islam yang menjadi pegangan kita mesti dimulia dan dimartabatkan sebagai asas kekuatan kita dunia hingga akhirat. Melaluinya kita lahirkan pimpinan anak-anak Melayu yang bertaqwa, berwibawa dan penuh berintegriti.

    Dalam waktu yang sama kita berikan hak dan keadilan pada sahabat-sahabat kita masyarakat bukan-Melayu terutama yang dipinggirkan.

    Kita tidak mahu DAP yang berfahaman sekular itu menentukan arah tuju kehidupan kita. Itulah punca No DAP dulu, malangnya Umno seakan telah lupa.

    Kita tidak mahu agenda liberalisma, pluralisma dalam beragama yang dijaja PH merosakkan masa depan ummah.

    Lalu kita kesal kawan-kawan kita dalam Umno yang dulu bersama kita membina dan memperkasakan politik Penyatuan Ummah, mengangkat dan memperkuatkan kuasa politik umat Melayu hari ini memilih bersama PH yang didominasi DAP.

    Kita sedar umat Melayu Islam termasuklah di Selangor rata-rata lebih cenderung pada politik Penyatuan Ummah, inilah arus yang telah melonjakkan ‘Gelombang Hijau’ kebangkitan kesedaran politik umat Melayu Islam. Ahli-ahli biasa Umno yang selesa dan cenderung MN juga ramai, lebih matang dari pimpinan tertinggi mereka di WTC.

    Lantas jika Umno telah muktamad memilih PH dan DAP, meninggalkan perjuangan keramat ini maka suka tidak suka perjuangan ini akan kita diteruskan.

    Gelombang ini akan terus kita pacu dan pastikan bergelora, oleh kerana pimpinan tertinggi Umno telah memilih meninggalkannya maka kekuatan gelombang ini yang kita bangkitkan dahulu untuk melanggar PH dan DAP insya-Allah kini akan kita gunakan untuk melanggar Umno sekali, bersama ahli-ahli mereka yang sedar.

    PAS Selangor akan bekerja kuat sebagaimana kita bekerja di PRK Semenyih dahulu, kali ini untuk menawan Sg Air Tawar, Sg Panjang, Sg Burong dan Hulu Bernam kerana bagi kita jelas No PH, No DAP, No PKR dan kini No Umno.

    “Selangor BEST PN BEST“
    “Tumbang PH”

    Penulis ialah Setiausaha Pas Negeri Selangor

  • RM21.4 juta sudah disalurkan kepada mangsa banjir – MB Kelantan

    RM21.4 juta sudah disalurkan kepada mangsa banjir – MB Kelantan

    SEBANYAK RM21.4 juta bantuan banjir sudah diagihkan kepada mangsa banjir di Kelantan sehingga kini.

    Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob, berkata ia meliputi RM12.3 juta bagi mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan RM9.1 juta bagi mangsa yang tidak berpindah.

    “Sebanyak RM30,000 diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir.

    “Untuk makluman peruntukan RM50 juta yang diumumkan Kerajaan Pusat diberikan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) dan mesyuarat juga sudah diadakan dengan ketua jajahan bagi mendapatkan senarai mangsa banjir yang berpindah dan tidak berpindah.

    “Susulan itu, penyaluran bantuan kepada sebahagian mangsa banjir sudah dibuat membabitkan nilai RM21.4 juta.

    “Namun sebahagian lagi mangsa belum diberikan dan akan disalurkan dalam masa terdekat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kota Bharu, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau menjawab soalan dikemukakan Rodzi Ja’afar (Pas-Gaal) yang bertanyakan kaedah penyaluran bantuan RM50 juta kepada mangsa banjir.

  • Semak syarat atau tutup saja Lynas- Wan Fayhsal

    Semak syarat atau tutup saja Lynas- Wan Fayhsal

    WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menggesa kerajaan menyemak semula empat syarat dikenakan ke atas Lynas, yang menghalang syarikat itu mengimport dan memproses nadir bumi selepas 1 Julai.

    “Jika syarat itu masih dikenakan, sebaiknya Lynas ditutup dan Malaysia tidak perlu terlibat dalam pemprosesan nadir bumi.

    “Yang kita nak longgar syarat tersebut supaya kita juga bolah jadi pemain dalam sektor ini.

    “Saya harap sektor pemprosesan yang ada di Malaysia boleh bantu Malaysia jadi salah satu pengeluar utama nadir bumi untuk kegunaan industri,” katanya.

    Beliau bekata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Dewan Rakyat, hari ini.

    Februari lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kerajaan mungkin membatalkan lesen Lynas jika gagal mematuhi syarat melarang pengeluaran sisa radioaktif di Malaysia selepas 1 Julai ini.

    Selepas lesen Lynas dilanjutkan tiga tahun lagi, katanya, pengeluar nadir bumi Australia itu perlu mematuhi syarat yang menghalangnya daripada mengimport dan memproses bahan itu selepas tarikh itu.

    Lynas Pada 14 Feb lalu mengumumkan lesen operasinya di Malaysia, yang akan tamat pada Mac, diperbaharui tiga tahun lagi tanpa sebarang perubahan terhadap empat syarat ditetapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

    Dalam pada itu, Wan Fayhsal berkata, apa dilakukan kerajaan ketika ini adalah langkah ke belakang.

    “Tidak guna Lynas ada dalam negara jika empat syarat itu masih dikenakan. Ketika ini kita tahu nadir bumi adalah masalah yang bukan sahaja melangkaui sains tetapi geo politik dan ekonomi,” katanya, lapor FMT.

    Sebelum ini, empat syarat dikenakan kepada syarikat itu-pertama Lynas mula membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk melupuskan sisa radioaktifnya dalam tahun pertama dari tarikh lesen diluluskan.

    Syarat kedua ialah mengemukakan pelan pembangunan kerja pembinaan PDF dan melaporkan statusnya seperti ditetapkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

    Lynas juga perlu memastikan kilang ‘cracking and leaching’ di luar Malaysia beroperasi sebelum Julai dan ia tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.

    Syarat terakhir ialah mempunyai deposit kewangan bagi mematuhi syarat lesen berkaitan.

  • Mayat buruh lemas ditemui selepas 30 jam

    Mayat buruh lemas ditemui selepas 30 jam

    MAYAT seorang buruh yang lemas semasa mandi bersama rakannya di Sungai Lebir, Manek Urai, Kuala Krai kelmarin ditemui dalam keadaan terapung di kawasan sungai tersebut selepas lebih 30 jam hilang.

    Mangsa, Mohd. Zulkifli Salleh, 31, dijumpai kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia mandi selepas memancing bersama tiga rakannya oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis dan bomba kira-kira pukul 7.24 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Slor Machang, Sungai Sak di Kuala Krai ditemui terapung di bahagian sebelah kiri sungai berkenaan.

    “Mayat mangsa dibawa ke darat sebelum proses pengecaman dilakukan oleh keluarga mangsa.

    “Mayat Mohd. Zulkifli dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk dibedah siasat dan operasi mencari mangsa ditamatkan pada pukul 7.50 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Kosmo!.

    Media sebelum ini melaporkan, kegembiraan empat sahabat memancing di Sungai Lebir, Manek Urai di sini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas semasa mandi di sungai itu petang Ahad lalu.