Category: Semasa

  • ‘Menu Rahmah tutup kebenaran kos harga makanan meruncing’ – MUDA

    ‘Menu Rahmah tutup kebenaran kos harga makanan meruncing’ – MUDA

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyifatkan inisiatif Menu Rahmah sebagai penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi krisis ekonomi utama iaitu kos harga makanan yang meningkat.

    Menurut Ketua Penerangan MUDA Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal Shah Ghazni, Menu Rahmah masih mempunyai kelemahan sendiri kerana ia hanya memberi fokus kepada sesetengah peniaga.

    Beliau menjelaskan, peniaga yang mempunyai perniagaan lebih stabil dalam menyediakan juadah selaras dengan inisiatif dilancarkan kerajaan itu, mendapat manfaat berbanding peniaga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

    “Kesannya, peniaga yang ingin menawarkan Menu Rahmah hanya sedikit. Ini membuktikan Menu Rahmah yang diuaruarkan hanya satu lagi fasad politik yang menutup kebenaran sebenar kos harga makanan yang semakin meruncing sekaligus membebankan lagi rakyat yang tidak mampu untuk membeli makanan pada harga yang rendah dan berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Shah Fariq Aizal berkata, kegusaran rakyat mengenai tahap kebersihan dan kualiti makanan yang dihasilkan dalam Menu Rahmah juga salah satu asbab mengapa inisiatif ini dipertikaikan.

    Katanya, umum sedia maklum bahawa penghasilan makanan yang bersih dan berkualiti memerlukan kos yang tinggi.

    Ini katanya menunjukkan Menu Rahmah adalah terbatas dari segi pemilihan makanan untuk rakyat nikmati dan juga buat para peniaga untuk menawarkan juadah yang berkhasiat.

    “Oleh itu, bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terjamin, kerajaan perlu memastikan kesedaran mengenai krisis ekonomi difahami.

    “Selain itu, usaha untuk memperhalusi inisiatif-inisiatif lain juga dapat membantu meringankan beban rakyat sekaligus mencapai matlamat Malaysia Madani.

    “Diharapkan dengan adanya pelaksanaan program kesedaran yang betul seperti bertemu dengan rakyat setempat untuk memahami keresahan mereka dapat dilaksanakan sekaligus meningkatkan keupayaan masyarakat untuk meneruskan kehidupan seharian selain daripada mengharapkan satu inisiatif begini sahaja,” katanya.

  • Bekas Penolong Setiausaha Eksekutif MPNM diarah bela diri kes pecah amanah

    Bekas Penolong Setiausaha Eksekutif MPNM diarah bela diri kes pecah amanah

    MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini memerintahkan bekas Penolong Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Melaka (MPNM) membela diri atas 30 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan bayaran sewa bangunan berjumlah RM63,400, lapan tahun lepas.

    Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Daniel Osman, 33, bagi kesemua pertuduhan.

    “Mahkamah mendapati anggapan undang-undang mengikut Seksyen 409B Kanun Keseksaan yang dihujahkan pendakwaan bahawa tertuduh mempunyai niat curang menyalahgunakan wang sewaan itu adalah terpakai bagi semua tuduhan. 

    “Atas alasan-alasan ini dan merujuk kepada Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dipanggil membela diri terhadap semua pertuduhan,” katanya ketika memberi keputusan di akhir kes pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 8, 9 dan 22 Jun depan untuk Ahmad Daniel membela diri.

    Ahmad Daniel didakwa menyalahgunakan harta milik MPNM iaitu bayaran sewa tiga premisnya berjumlah RM63,400 yang tidak dimasukkan ke akaun pertubuhan, tetapi diguna untuk kegunaan sendiri.

    Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut sekitar negeri ini sejak 15 Oktober 2015 hingga 30 Januari 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan denda bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

    Sepanjang perbicaraan bermula 13 Sept 2022, pihak pendakwaan memanggil 21 saksi memberi keterangan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam P Purshotaman dan R. Senthil. 

  • UMNO kini adalah ‘bangkai’ yang diperalat-Tun M

    UMNO kini adalah ‘bangkai’ yang diperalat-Tun M

    BEKAS Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, UMNO sudah gugur daripada perjuangan asalnya.

    Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, UMNO tidak ada lagi dan apa yang wujud kini adalah ‘bangkai’ yang diperalat untuk menyelamat pemimpin yang bergelumang dengan jenayah.

    “Apakah UMNO sudah diperalat oleh pemimpin yang durjana, yang menjadi UMNO alat untuk kepentingan pemimpinnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dr. Mahathir melontar perkara itu mengulas antara ketetapan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung kebimbangan parti itu sentimen permainan kaum dan agama yang terus menular.

    UMNO menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena yang boleh merosakkan keharmonian negara.

    Katanya, keputusan MKT itu bertentangan dengan Perlembagaan UMNO Perkara 3.3 yang menyebut UMNO parti membela kepentingan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli termasuk perkara dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

    Katanya, sekarang orang Melayu yang rancang melancar proklamasi masalah yang dihadapi oleh orang Melayu pun tidak dibenar.

    “Proklamasi yang tidak sentuh kaum lain dianggap rasis.

    “Jika orang Melayu tidak dibenar bincang masalah orang Melayu dan tidak boleh sentuh kaum lain, tidak pun boleh bincang akan ajaran agama Islam, maka akan terhapuslah kebebasan bersuara oleh orang Melayu.

    “Apakah ini perjuangan UMNO. Apakah ini UMNO,” soal beliau, lapor Berita Harian.

    Justeru. Beliau mengajak orang UMNO sedar bahawa UMNO sudah gugur perjuangan asalnya.

  • Kutip RM240 hanya beberapa jam mengemis di bazar Ramadan

    Kutip RM240 hanya beberapa jam mengemis di bazar Ramadan

    SEORANG wanita warga asing berjaya mengutip sebanyak RM240 hanya beberapa jam mengemis di tapak Bazar Ramadan Keramat Permai, Ampang, semalam.

    Namun tindakan suspek berumur lingkungan 50-an itu membawa padah apabila diberkas dalam operasi yang dijalankan sepasukan anggota polis.

    Modus operandi suspek mudah iaitu hanya bermodalkan bekas berwarna merah jambu sambil duduk menadah tangan meraih simpati orang ramai.

    MenurutKetua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kegiatan suspek dibongkar menerusi aduan yang diberikan oleh orang awam.

    “Suspek didapati meraih simpati di lokasi dengan meminta sedekah daripada orang ramai.

    “Suspek kemudiannya ditahan sebelum pemeriksaan dalam beg yang disandang suspek mengandungi wang kira-kira RM240 hasil kegiatan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan dijalankan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 27(C) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Selepas Touch ‘n Go, Kerajaan pecahkan monopoli Puspakom pula

    Selepas Touch ‘n Go, Kerajaan pecahkan monopoli Puspakom pula

    KERAJAAN memecahkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai pemeriksa berkala kenderaan tunggal bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas pembayaran tol melalui Touch ‘n Go (TnG).

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam kenyataan berkata, perkhidmatan itu akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat selepas konsesi semasa kepada Puspakom tamat tempoh pada 31 Ogos tahun depan.

    “Proses pelawaan pihak-pihak yang berminat dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dijangka akan bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama tahun 2024.

    “Keputusan tersebut adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Idea berkaitan penamatan monopoli itu dikatakan telah dibincangkan selewat-lewat pada tahun 2015 lagi. Syarikat-syarikat kerajaan dilapor berpotensi mendapatkan kontrak itu.

    Media kewangan The Edge melaporkan antara nama-nama yang disebut ketika itu, termasuk Kumpulan Naza group yang dimilik oleh keluarga SM Nasimuddin SM Amin serta Sime Darby Bhd serta UMW Holdings Bhd.

    Dua entiti terakhir itu dimiliki oleh syarikat kerajaan Permodalan Nasional Bhd.

    Sementara itu, Loke berkata bagi melaksanakan ketetapan terbabit MOT bersama JPJ akan membangunkan beberapa syarat.

    “Ia seperti syarat-syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak-pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor,” katanya.

    “Bagi memastikan keseragaman peraturan dan keadilan dalam aspek persaingan, mana-mana pihak yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor akan diwajibkan untuk memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang telah dikenakan kepada Puspakom bawah perjanjian konsesi.

    “Ini termasuklah kewajiban melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sahaja, menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh JPJ.

    “Selain itu, menyediakan perkhidmatan dengan mematuhi skop, standard dan prosedur pemeriksaan motor yang ditetapkan sepenuhnya, hanya boleh mengenakan kadar fi pemeriksaan yang telah ditetapkan sahaja dan tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan,” katanya.

    Menurut Loke, pihak JPJ juga akan secara berterusan mengaudit dan memantau semua pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut bagi memastikan pematuhan, kualiti dan integriti pemeriksaan.

    “Mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa syarat ditetapkan boleh dikenakan penalti atau dibatalkan kebenaran menjalankan pemeriksaan terlibat.

    “MOT juga akan memastikan bahawa pembukaan pemeriksaan berkala kepada pihak-pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat serta membawa kesan negatif kepada penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bawah Akta 333,” tegasnya.

    Sebelum ini, kerajaan telah memulakan usaha untuk memecahkan monopoli Touch N Go dalam pembayaran tol.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mengakui tiada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dengan sistem itu walaupun telah diguna pakai kira-kira dua dekad.

  • SM Faisal, bekas isteri akan runding selesai kes luar mahkamah

    SM Faisal, bekas isteri akan runding selesai kes luar mahkamah

    MAHKAMAH Majistret hari ini diberitahu, Emilia Hanafi dan bekas suaminya, SM Faisal SM Nasimuddin akan berunding secara baik untuk menyelesaikan kes berhubung dakwaan wanita itu dicederakan oleh ahli perniagaan tersebut, di luar mahkamah.

    Peguam pemerhati Nazri Yahya yang mewakili Emilia, memaklumkan kepada Majistret Nadia Othman bahawa kedua-dua pihak berhasrat menyelesaikan kes di luar mahkamah secara serius, dan memohon untuk melapangkan prosiding perbicaraan pada hari ini sebelum mengetahui status rundingan pada tarikh akan datang.

    “Hari ini, Emilia yang merupakan saksi terakhir dan pengadu dalam kes ini, sepatutnya perlu memberi keterangan.

    “Bagaimanapun saya ingin memaklumkan bahawa pihak-pihak (Emilia dan SM Faisal) berhasrat untuk berunding secara serius untuk menyelesaikan kes.

    “Perkara ini sudah dimaklumkan kepada peguam SM Faisal dan kami akan memaklumkan status rundingan itu kepada mahkamah sebelum atau pada 30 Mac,” kata peguam itu pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.

    Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal turut mengesahkan perkara itu dan rundingan akan dilakukan mengikut cadangan yang tertakluk kepada terma anak guamnya.

    “Saya memohon mahkamah merekodkan, sekiranya tiada penyelesaian, pihak kami tidak mahu membuang masa dan akan meneruskan perbicaraan pada 30 Mac.

    “Saya tiada bantahan terhadap permohonan untuk melapangkan kes hari ini,” katanya.

    Majistret Nadia kemudian menetapkan 30 Mac ini untuk mengetahui status rundingan berkenaan.

    Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Akberdin mengesahkan rundingan itu termasuk kes tuntutan harta sepencarian dan mutaah pasangan itu di Mahkamah Syariah.

    “Kalau ada penyelesaian, kita berhasrat untuk selesai semua kes termasuk di Mahkamah Syariah. Ia bergantung kepada terma dan persetujuan kedua-dua pihak.

    “Kes ini sudah berjalan terlalu lama, kita mahu tamatkannya,” katanya.

    SM Faisal, 43, didakwa mencederakan Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang 22 Nov 2015, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Armada Bersatu pula buat laporan polis terhadap Guan Eng, PM

    Armada Bersatu pula buat laporan polis terhadap Guan Eng, PM

    BEBERAPA pemimpin Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini memfailkan laporan polis terhadap pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

    Laporan tersebut berkenaan penafian sebelum ini bahawa Lim, ketika menjadi Menteri Kewangan telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

    Bercakap kepada pemberita hari ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayshal mendakwa penjelasan Anwar bahawa kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan bukannya menteri atau Perdana Menteri mengikut subseksyen 44(6) Cukai Pendapatan Akta 1967 adalah mengelirukan.

    Sebaliknya, Wan Ahmad Fayshal mendakwa bahawa Anwar gagal menyebut subseksyen 44(6) yang membolehkan Lim, yang ketika itu Menteri Kewangan, merayu sebarang keputusan yang dibuat oleh ketua pengarah LHDN, lapor Malaysiakini.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menuduh Lim membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika dia menjadi Menteri Kewangan.

    Muhyiddin membuat dakwaan selepas bekas Perdana Menteri itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merakamkan kenyataannya dan antara isu yang dibangkitkan agensi anti rasuah itu ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

  • Sindiket pecah rumah sasar kondominium, pangsapuri di tiga negeri tumpas

    Sindiket pecah rumah sasar kondominium, pangsapuri di tiga negeri tumpas

    SINDIKET pecah rumah yang menyasarkan kondominium dan pangsapuri di Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita secara berasingan di luar Melaka pada 14 dan 22 Mac lepas.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dua lelaki daripada kesemua suspek berusia 34 hingga 51 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur pada 14 Mac manakala masing-masing seorang suspek wanita dan lelaki ditahan di Selangor pada 22 Mac.

    Beliau berkata penahanan kesemua suspek berkenaan susulan jenayah pecah rumah yang dilakukan sindiket itu di sebuah kondominium Klebang, Melaka pada 2 Mac lepas, membabitkan kerugian wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan berjumlah RM50,000. 

    “Susulan kejadian pecah kondominium itu, anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka telah menjalankan siasatan dan risikan sehingga berjaya menjejaki penjenayah terlibat.

    “Hasil tangkapan, polis berjaya merampas pelbagai barangan berjenama mewah antaranya jam tangan, beg tangan, beg duit, telefon bimbit, dua kenderaan, peralatan pecah rumah serta pakaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam lapan kes jenayah pecah rumah di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

    Katanya kesemua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 27 dan 29 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

  • Zainab tampil jelas dakwaan isteri kedua Dr. Abdul Latiff, tuntut Rafizi mohon maaf

    Zainab tampil jelas dakwaan isteri kedua Dr. Abdul Latiff, tuntut Rafizi mohon maaf

    WANITA dikenali dengan nama Zainab Mohd. Salleh yang didakwa sebagai isteri kedua kepada Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad menyerahkan notis tuntutan permohonan maaf terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

    Notis Tuntutan oleh Zainab, 56, itu dikeluarkan menerusi Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, semalam.

    Astro Awani difahamkan ini merupakan kali pertama Zainab tampil kepada media melalui peguam untuk memberikan penjelasan dan mengambil tindakan terhadap Rafizi.

    Berdasarkan notis tuntutan, Zainab yang juga ahli perniagaan mendakwa, Rafizi melalui beberapa laman sesawang dan media sosial yang dimiliki atau dalam kawalannya mengaitkan dirinya sebagai isteri kepada Dr. Abdul Latiff yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang didakwa terpalit kontroversi isu projek kapal tempur persisir (LCS).

    NOTIS TUNTUTAN

    Astro Awani berkesempatan melihat notis tuntutan tersebut yang mengaitkan beberapa artikel dimuat naik di laman sesawang atau blog Rafizi Ramli bertarikh 22 Ogos hingga 23 Ogos dan 25 hingga 26 Ogos 2022 serta 1 November 2022 telah mendakwa Zainab adalah isteri kedua kepada Dr. Abdul Latiff.

    Antara artikel disiarkan dalam laman sesawang atau blog Rafizi Ramli bertajuk ”Syarikat Palsu Dimiliki Keluarga Menteri’, ‘Dr. Latiff dan Zainab Memiliki Bersama Subkontraktor Projek Pertahanan Negara’, ‘Konon Bekal Alat Gantian, Tapi Boleh Beli Dekat Mydin, Latiff Belum Nafi Zainab (tarikh lahir 30 April 1967) Isteri Kedua Dia’, ‘Latiff Ahmad Perlu Saman Auditor, BHIC dan Saya’ dan ‘Rakan Niaga Latiff Ahmad Dinamakan Sebagai Penerima Bayaran Palsu Dalam Progek SGPV.

    Dalam notis tuntutan tersebut juga mengaitkan satu video di aplikasi Tik Tok bertajuk ‘Dari Jho Low ke Jhay Nab’ yang mendakwa Zainab merupakan isteri kepada Dr. Abdul Latiff dan lahir pada 30 April 1967.

    Peguam Zainab, Yusfarizal Yussoff berkata, anak guamnya mengambil keputusan untuk tampil menjelaskan perkara tersebut bagi membersihkan namanya.

    Jelasnya, Facebook dengan akaun nama Rafizi Ramli yang membuat naik artikel-artikel berkenaan bertarikh 22 hingga 26 Ogos dan 1 November secara keseluruhan mendapat 60,200 tanda suka, dikongsikan 7,876 kali dan 8,658 komen, setakat tarikh pemfailan tuntutan itu.

    “Twitter pula dengan akaun Rafizi Ramli yang menerbitkan artikel-artikel berkenaan juga mendapat keseluruhan 6,402 ciapan semula, 11,701 tanda suka dan 535 komen.

    “Manakala video-video yang disiarkan di Tik Tok dengan akaun Rafizi Ramli berkaitan dengan anak guam kami turut mendapat 13,600 tanda suka, 1,114 komen dan 1,538 perkongsian serta 475 jumlah simpanan.

    DOKUMEN ‘REVIEW OF LCS…….PROGRAMME’ BUKAN LAPORAN FORENSIK AUDIT

    Tampil menjelaskan perkara tersebut Yusfarizal memaklumkan, anak guamnya menegaskan, artikel dan video yang dimuat naik itu adalah suatu pembohonan, tohmahan jahat dan penyelewengan yang direka berdasarkan fakta yang tidak sah serta dimanipulasi.

    Jelasnya lagi, dokumen bertajuk ‘Review of LCS….Programme’ disediakan oleh Alliance bagi tujuan kegunaan dalaman syarikat BHIC adalah draf yang tidak ditandatangani dan bukan laporan forensik audit serta bukan bertujuan untuk disebar kepada orang awam.

    Malah, katanya, beberapa muka surat di dalam dokumen tersebut juga telah digelapkan (redacted).

    “Dokumen tersebut yang diaudit Alliance secara jelas mempunyai ‘Notice to Reader’ yang menyatakan mereka bergantung kepada representasi lisan dan dokumen diberikan pihak yang terlibat dengan isu terakit di mana Alliance tidak dapat menilai keesahan representasi diberikan.

    “Oleh itu, kandungan di dalam dokumen tersebut menyatakan anak guam kami adalah isteri kepada Dr. Abdul Latiff adalah tidak benar dan dimanipulasi yang selanjutnya digunakan untuk memfitnah Zainab.

    ZAINAB TIADA SUAMI / BEKAS SUAMI BERNAMA ABDUL LATIFF AHMAD

    Yusfarizal yang bercakap bagi pihak Zainab berkata, anak guamnya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan individu bernama Abdul Latif Ahmad.

    “Anak guam kami tidak mempunyai suami atau bekas suami yang bernama Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad malah beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Dr. Abdul Latiff sama ada secara peribadi atau secara profesional.

    “Ia secara jelas menfitnah anak guam kami dan merendah-rendahkan maruahnya di mata masyarakat sekali gus menjejaskan reputasinya dalam kapasiti peribadi atau profesional,” tambah beliau.

    KENYATAAN RAFIZI DIKELUARKAN MENJELANG PRU15

    Yusfarizal menambah, Zainab mendakwa, tindakan Rafizi mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah itu berniat jahat dan didorong oleh motif yang tidak wajar atau lebih sekadar satu sensasi bagi menjatuhkan reputasinya demi kepentingan peribadi atau politik.

    “Ia dibangkitkan dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang jelas merupakan sebahagian daripada bahan kempen.

    “Tiada sebarang pemeriksaan latar belakang secara teliti berkenaan identiti sebenar yang dikaitkan dengan Dr. Abdul Latiff dan bertindak secara melulu mendedahkan maklumat-maklumat sulit yang jelas mencerobohi hak peribadi anak guam kami.

    ZAINAB BERI MASA 14 HARI KEPADA RAFIZI MOHON MAAF

    Sehubungan itu, Yusfarizal menegaskan anak guamnya Zainab memberikan tempoh 14 hari kepada Rafizi untuk mengeluarkan aku janji untuk berhenti daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadapnya.

    “Rafizi juga dituntut mengeluarkan draf permohonan maaf dalam kenyataan media bagi tujuan penerbitan dan mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah,” ujarnya.

    LATAR BELAKANG KES

    Pada 1 September 2022, Dr. Abdul Latiff dilaporkan membuat laporan polis terhadap Rafizi yang didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).
    Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook (FB), Twitter dan Tiktok.

    Dr. Abdul Latiff Ahmad pernah menjela.skan isterinya tiada bernama Zainab Mohd. Salleh
    Dr. Abdul Latiff Ahmad pernah menjelaskan isterinya tiada bernama Zainab Mohd. Salleh.

    Ia berkaitan kenyataan yang menyebut Dr. Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

    Pada 22 Ogos 2022, Dr. Abdul Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan dilaporkan menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.

    Dr. Abdul Latiff dilaporkan berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.

  • BNM dijangka naikkan OPR pada Julai susulan langkah terbaharu Fed – Pakar Ekonomi

    BNM dijangka naikkan OPR pada Julai susulan langkah terbaharu Fed – Pakar Ekonomi

    BANK Negara Malaysia dijangka hanya menaikkan kadar faedah semalaman (OPR) pada Julai, dan akan mengekalkan paras sedia ada walaupun Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar dasarnya, kata beberapa pakar ekonomi.

    Mereka berpendapat Bank Negara akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya pada awal Mei sebelum membuat kenaikan 25 mata asas (bps) pada separuh kedua tahun itu.

    Selepas Mei, mesyuarat MPC seterusnya akan diadakan pada awal Julai.

    Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar dana persekutuannya sebanyak 25bps kepada 4.75-5.00 peratus, paras tertinggi sejak September 2007 pada Rabu.

    Ketua ekonomi dan analisis pasaran Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Bank Negara ‘sangat bebas’ dalam penilaian ekonomi dan keputusan dasar monetarinya.

    Bank Muamalat, katanya, masih menaruh harapan untuk kenaikan 25 mata asas dalam OPR pada separuh kedua 2023.

    “Walaupun Feds dijangka lebih dovish pada masa hadapan, perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai Bank Negara. Ini memandangkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang kukuh tahun lepas pada 8.7 peratus.

    “Kita dapat melihat jumlah transaksi hartanah berkembang pada klip pantas 23.6% pada 2022 berbanding kadar pertumbuhan purata kompaun (CAGR) 30 tahun sebanyak 7.0 peratus setahun,” kata Afzanizam kepada NST, lapor Astro Awani.

    Beliau menambah bahawa aktiviti ekonomi yang normal menunjukkan bahawa permintaan dalam negeri terus kukuh.

    Perkara yang sama boleh dikatakan untuk jualan automotif yang meningkat 39 peratus pada Februari, kata Afzanizam.

    Sementara itu, pakar ekonomi, Datuk Jalilah Baba berkata, langkah Fed akan menjejaskan kadar dasar Bank Negara.

    Jalilah berkata kenaikan kadar faedah akan menyebabkan pinjaman menjadi lebih mahal kepada syarikat swasta dan individu.

    “Ini akan menyebabkan kurang perbelanjaan isi rumah dan syarikat juga, tetapi ia juga mungkin menurunkan harga barangan dan perkhidmatan. Pada masa yang sama, keadaan ini boleh menjejaskan perniagaan secara negatif kerana perbelanjaan akan dihadkan,” katanya.

    Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata Bank Negara akan ditekan untuk mengurangkan jurang kadar antara Malaysia dan AS.

    Jurang itu, yang melebar kepada 2.00 mata peratusan, akan menjejaskan keputusan pelabur untuk melabur di Malaysia kerana mereka akan lebih berminat untuk melabur di AS, tambah beliau.

    Ahmed Razman berkata kenaikan Fed akan mengakibatkan aktiviti ekonomi AS menjadi perlahan. Ini akan memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia yang disebabkan oleh penurunan permintaan eksport tersebut ke AS.

    Beliau menjangkakan kenaikan 25 mata asas dalam OPR pada Mei, tertakluk kepada pergerakan kadar inflasi dalam beberapa bulan akan datang.

    Kenanga Research berkata Bank Negara berkemungkinan mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus untuk baki 2023, walaupun pengerusi Fed telah menyebut langkah itu sebagai mempertahankan daya tahan sektor perbankan dan usaha menentang inflasi.

    “Walau bagaimanapun, kemungkinan sebarang keputusan kadar untuk melaraskan kadar dasar bergantung terutamanya kepada arah aliran inflasi dan prospek pertumbuhan, dan pada tahap tertentu sebarang keputusan dasar fiskal utama yang dibuat oleh kerajaan,” katanya.