Category: Semasa

  • PN menang di DUN Ijok

    PN menang di DUN Ijok

    PEMPENGARUH TikTok, Jefri Mejan, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, malam ini.

    Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti 907 undi, selepas meraih 12,178 undi, mengalahkan lawannya yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Amidi Abdul Manan (11,271 undi) dan calon Bebas, CK Tan (194 undi).

    Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), kerusi itu dimenangi bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memperoleh undi 7,196 undi.

    Selepas itu, pada PRU13 dan PRU14 pula kerusi itu dimenangi Dr. Idris Ahmad daripada PH.

    Bagaimanapun, pada PRN ini, Dr. Idris tidak dicalonkan.

    Untuk rekod, DUN Ijok mempunyai seramai 30,662 pengundi.

  • PN kecewa peratusan keluar undi rendah

    PN kecewa peratusan keluar undi rendah

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluahkan kekecewaan atas peratusan keluar mengundi yang rendah, namun optimis Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kejutan pada PRN enam negeri.

    “Kita mencatatkan beberapa keputusan baik di Terengganu, Kelantan dan Kedah,” katanya di lokasi perhimpunan kepimpinan PN pusat.

    “Rakan kita (yang bertanding) di kerusi getir sebelum ini juga dah berjaya. Kita gembira untuk mereka,” katanya tanpa mengulas lanjut.

    Menurut kemas kini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 4 petang tadi, Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi 70%, diikuti Kedah (68%); Pulau Pinang (67%); Selangor (65%); Negeri Sembilan (62%); dan Kelantan (56%).

    Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan gabungan mana yang mendahului di mana-mana negeri.

    “Terlalu awal untuk dikatakan (menang atau tidak), tetapi kita masih optimis.

    “Cumanya kita nak tengok keputusan di Selangor dan Negeri Sembilan,” kata pengerusi PN Negeri Sembilan itu, lapor FMT.

  • Gema Selawat, istighfar dan takbir sambut kemenangan PN di Kompleks Pas Kedah

    Gema Selawat, istighfar dan takbir sambut kemenangan PN di Kompleks Pas Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    PERIKATAN Nasional (PN) setakat ini sah menguasai majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah apabila sudah mencatat kemenangan di 31 daripada 36 kerusi dipertandingkan di negeri tersebut. 

    Kemenangan dicatatkan gabungan itu lebih manis apabila mereka berjaya menumbangkan beberapa gergasi Pakatan Harapan (PH) di Kedah termasuk Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar serta Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew. 

    Ketika ini kalangan penyokong PN berpusu-pusu hadir ke Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut manakala suasana di Bangunan Tunku yang menempatkan Ibu Pejabat UMNO, kelihatan suram. 

    Situasi ketika ini menampakkan sokongan padu orang Melayu terhadap PN apabila tiada satu kerusi pun yang dimenangi calon-calon Melayu PH serta BN di negeri ini. 

    Panglima Perang PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor jelas berada di kelas tersendiri apabila menundukkan pencabarnya dari BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim di Dun Jeneri dengan majoriti lebih 14,000.

    Ketika ini kalangan penyokong PN di Kompleks Pas Kedah menggemakan selawat serta beristighfar sementara menanti keputusan dari DUN-DUN lain.

  • [RASMI] Anak Noh rampas DUN Permatang

    [RASMI] Anak Noh rampas DUN Permatang

    ANAK Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yahya Mat Sahri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    Sinar Harian melaporkan, Nurul Syazwani memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 1,728 undi selepas mendapat undi 12,850 manakala Mohd. Yahya memperoleh 11,122 undi.

    Kemenangan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya DUN Permatang, Tirmidzy Che Mat di Institut Pengurusan Peladang, Sungai Kajang Tanjong Karang, Kuala Selangor hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).

    Rozana memperoleh 9, 208 undi menewaskan Sulaiman yang mendapat 8, 050 undi dan Muhammad Jafaruddin meraih 2,746 undi.

  • Tidak rasmi: PN kekal penguasaan di Kedah

    Tidak rasmi: PN kekal penguasaan di Kedah

    PERIKATAN Nasional (PN) menepati ramalan mengekalkan penguasaan di Kedah selepas memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri hari ini.

    Berdasarkan kedudukan semasa sehingga pukul 9.30 malam tadi, PN disahkan menang di 19 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini, lapor Berita Harian.

    Kerusi itu membabitkan DUN Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Pengkalan Kundor, Anak Bukit, Kubang Rotan, Tokai, Sungai Tiang, Sungai Limau, Guar Chempedak, Gurun, Belantek, Jeneri dan Tanjong Dawai.

    Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor, yakin PN akan memenangi 33 kerusi DUN dalam PRN kali ini.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) PN berkata, ramalan itu berdasarkan sokongan kuat kepada gabungan politik itu yang disertai PAS, BERSATU dan GERAKAN sepanjang tempoh 12 hari kempen.

    Sebelum ini, PN menguasai 20 kerusi DUN iaitu 14 melalui Pas dan enam milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    PH pula dengan 10 kerusi iaitu masing-masing empat milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah selain dua DAP. UMNO dan Parti Pejuang tanah Air (Pejuang) pula menguasai masing-masing dua kerusi.

    Baki dua lagi kerusi kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun daripada PKR, Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu selepas dilantik Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala ADUN Belantek daripada Pas, Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

  • Pas pertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

    Pas pertahan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

    CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila mendahului pencabarnya, Azan Ismail daripada PH pada pilihan raya kecil (PRK), hari ini.

    Sehingga pukul 9 malam, Ahmad Amzad memperoleh undi sebanyak 26,791 undi, manakala Azan hanya 8,115 undi, lapor Berita Harian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti sebanyak 40,907 undi.

    PRK Kuala Terengganu terpaksa diadakan serentak dengan Pilihan Raya negeri (PRN) selepas mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangan Ahmad Amzad atas dakwaan sogokan.

    Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memperoleh sebanyak 63,016 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).

  • Pas hampir pasti perintah Kelantan, MB mendahului lawan

    Pas hampir pasti perintah Kelantan, MB mendahului lawan

    PAS hampir kekal memerintah Kelantan apabila berjaya menang 40 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan setakat ini.

    Setakat pukul 9 malam ini, gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (PH) hanya menang dua kerusi di DUN Kota Lama dan Galas.

    Sementara itu, calon DUN Pasir Pekan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mendahului lawannya, Zaman Sahri Ibrahim dengan majoriti 11,788 berdasarkan keputusan tidak rasmi ketika ini.

    Jumlah undi tidak rasmi yang diperoleh Ahmad setakat ini ialah 17,774.

    Perhatian rakyat kini tertumpu kepada beliau yang tidak mahu lagi memegang jawatan berkenaan selepas PRN kali ini.

    Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Kota Lama di sini pada tahun 1998, lapor Sinar Harian.

  • [RASMI] Kerusi DUN Sungai Burong milik Dr Zamri, PN tewaskan BN

    [RASMI] Kerusi DUN Sungai Burong milik Dr Zamri, PN tewaskan BN

    PERIKATAN Nasional (PN) berjaya menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

    Pengumuman secara rasmi dibuat Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Burong sebentar tadi.

    Calon PN, Dr. Zamri Mantop menang dengan majoriti 6,842 undi dengan jumlah 15,447 undi meninggalkan calon Barisan Nasional (BN), Ustaz Khir yang mendapat 8,605 undi.

    Selangor Utara merupakan medan perang utama PN dalam misi menawan Selangor.

    Sungai Burong, merupakan kerusi pertama gabungan itu di Selangor.

  • PN Terengganu dahului di semua 32 kerusi

    PN Terengganu dahului di semua 32 kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) Terengganu setakat ini mendahului semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Sumber Barisan Nasional (BN) berkata, antara yang kecundang Datuk Seri Dr. Ahmad Said di kerusi DUN Kijal yang disandang selama sembilan penggal.

    Ia sekali gus menyaksikan Datuk Razali Idris daripada BERSATU diangkat sebagai ‘giant killer’ pada pilihan raya kali ini menurut laporan BH.

    Menurut sumber, pengundi muda dilihat menolak BN apabila rata-rata saluran pengundi muda memihak kepada PN.

    Katanya, hanya DUN Telemong yang kini masih mampu bertahan, namun keputusan perbezaan undi calon BN dan PN-Bersatu bersaing sengit.

  • [KEPUTUSAN TIDAK RASMI] Sanusi mendahului dengan majoriti lebih 14,000

    [KEPUTUSAN TIDAK RASMI] Sanusi mendahului dengan majoriti lebih 14,000

    BERDASARKAN keputusan tidak rasmi, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi N24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendahului dengan majoriti sebanyak 14,159 undi.

    Menteri Besar Kedah itu memperoleh undi sebanyak 18,943 sehingga pukul 8.45 malam.

    Pencabarnya, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dari Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) memperoleh undi sebanyak 4,784.

    Sementara itu, undi rosak dikenal pasti sebanyak 124 undi, menurut laporan Sinar Harian.