Category: Semasa

  • Enam warga Filipina dipenjara guna MyKad orang lain

    Enam warga Filipina dipenjara guna MyKad orang lain

    GARA-GARA mengggunakan MyKad milik individu lain untuk memasuki negara ini minggu lepas, enam warga Filipina termasuk seorang remaja masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara satu hingga enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Sepang hari ini.

    Lima tertuduh Sahara Jamil, 51; Husin Jailun, 48; Nur Aisah Isanul, 19; Ujirin Pandakan, 43; Mukmin Oskar, 29; masing-masing dihukum penjara enam bulan dan turut didenda RM5,000 seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

    Kesemua mereka juga diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Remaja perempuan berusia 15 tahun pula dihukum penjara selama sebulan dan tiada dikenakan denda selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

    Mahkamah memerintah kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu Khamis lepas dan diarah supaya dirujuk kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua individu berkenaan didakwa telah menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri di Gate J11, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang, kira-kira 1.30 tengah hari pada Khamis lepas.

    Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zulkarnain Ahmad dan Nor Fadilah Mat Shaari.

    Terdahulu, Zulkarnain dan Nor Fadilah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh masuk ke negara ini melalui saluran yang tidak sah dan tindakan itu merupakan ancaman yang besar kepada negara.

    Pada Sabtu lepas, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa disyaki terbabit sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin di Sabah dalam operasi khas Op Lancar bersama JPN.

  • Dua jurutera mangsa ‘scammer’ rugi lebih RM250,000

    Dua jurutera mangsa ‘scammer’ rugi lebih RM250,000

    DUA jurutera di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerugian lebih RM250,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan ‘scam’ dalam dua kes berasingan pada Rabu dan Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kes pertama melibatkan seorang mangsa berusia 41 tahun yang ditipu oleh sindiket tawaran kerja yang tidak wujud di laman sosial Facebook.

    Katanya, mangsa melihat tawaran kerja sebagai petugas kemasukan data itu sebelum menghubungi ejen syarikat terbabit yang dikenali sebagai ‘Aminah’ menerusi aplikasi WhatsApp.

    Tambahnya, mangsa kemudian ‘diumpan’ sebanyak RM10 untuk setiap tugasan yang diberikan dan dijanjikan komisyen sebanyak 20 peratus apabila membuat transaksi pindahan wang seperti diarahkan.

    Jelasnya, mangsa yang percaya dengan janji itu kemudian membuat pindahan wang ke tujuh akaun berbeza sehingga berjumlah RM126,000 antara 18 hingga 22 Mac lalu.

    “Namun, apabila tiada sebarang komisyen dibayar seperti dijanjikan, mangsa akhirnya menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis,”katanya kepada pemberita di SPT hari ini.

    Sementara itu, katanya, seorang lagi jurutera berusia 27 tahun menjadi mangsa sindiket penipuan cabutan bertuah tidak wujud yang menawarkan hadiah sebanyak RM326,000.

    Ujarnya, mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang memintanya membuat tekaan lagu untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.

    Jelas beliau, mangsa kemudian sekali lagi dihubungi dan dimaklumkan kononnya memenangi cabutan bertuah itu, namun perlu melakukan pembayaran ke tiga akaun berbeza untuk tujuan proses pendaftaran akaun dan perpindahan wang dalam negara.

    “Mangsa yang terpedaya memasukkan wang secara berperingkat sehingga berjumlah RM125,600, namun mula menyedari ditipu selepas suspek memintanya menambah sebanyak RM50,000 lagi,” katanya.

    Ujar Cheng San, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan atau denda.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menerima panggilan atau berurusan dengan orang yang tidak dikenali dan membuat semakan terlebih dahulu terhadap akaun-akaun persendirian sebelum membuat apa-apa bayaran.

    “Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my atau menghubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di nombor 997 untuk sebarang aduan,” katanya.

  • Suami isteri maut kereta berlanggar dengan lori

    Suami isteri maut kereta berlanggar dengan lori

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEPASANG suami isteri maut setelah kereta dinaiki mereka kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 38.2, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Alor Setar, petang semalam.

    Dalam nahas pada pukul 6.29 petang itu, mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian merupakan lelaki berusia 35 tahun dan isterinya yang berumur 31 tahun.

    Ketika kejadian, kereta jenis Proton Preve tersebut dipandu wanita terbabit, manakala suaminya berada di tempat duduk penumpang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian terbabit dipercayai berpunca akibat daripada tayar sebuah lori yang pecah.

    “Siasatan awal mendapati lori tersebut berada di lorong kiri manakala kereta Proton Preve pula di lorong kanan. Secara tiba-tiba, tayar belakang sebelah kiri lori itu pecah dan hilang kawalan sebelum berlanggar dengan kenderaan mangsa.

    “Ekoran itu, Proton Preve tersebut terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Shukri berkata, pemandu lori itu turut mengalami kecederaan di kepala dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

    “Jenazah kedua-dua mangsa turut dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, kedua-dua mangsa yang maut didapati tersepit dalam kereta tersebut.

    “Pihak kami terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum jenazah kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • JKDM Kelantan rampas rokok bernilai RM551,749

    JKDM Kelantan rampas rokok bernilai RM551,749

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM551,749 dalam dua serbuan premis di Kuala Krai, Isnin lepas.

    Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan itu dilakukan pada 11 pagi oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang.

    “Hasil daripada maklumat yang diterima dan intipan yang dilakukan, pasukan operasi merampas 441,120 batang rokok dan dua kenderaan turut disita.

    “Rampasan rokok dianggarkan bernilai RM174,300 di pasaran tempatan dengan kehilangan nilai cukai berjumlah RM367,449,” katanya dalam sidang media di JKDM Rantau Panjang di Kelantan hari ini.

    Wan Jamal Abdul Salam berkata susulan serbuan terbabit seorang lelaki berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

    “Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengangkut masuk rokok-rokok tersebut dari selatan tanah air dan disimpan di suatu tempat sebelum diedarkan kepada pelanggan untuk pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. 

    Jika sabit kesalahan, boleh didenda minimum 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mana yang lebih besar dan maksimum 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara selama suatu tempoh minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

  • DAPsy usah berkokok di luar gelanggang bela Guan Eng

    DAPsy usah berkokok di luar gelanggang bela Guan Eng

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sudah semakin terdesak hingga terpaksa dibela oleh Pemuda DAP (DAPsy) dalam isu berkaitan cukai Yayasan Al-Bukhary.

    Menurutnya, pada awalnya Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba membela Guan Eng, tetapi kenyataan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dalam isu berkaitan semakin mengelirukan.

    “Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Akhirnya jawapan pembelaan Anwar semakin menjerat dirinya dan melilit lebih ketat leher Guan Eng.

    “Hari ini, satria DAP iaitu Kelvin Yii dari DAP Socialist Youth (DAPsy) pula cuba masuk gelanggang dengan mencabar saya.

    “Apakah kerana kuda tua Guan Eng tidak lagi berupaya mempertahankan dirinya maka budak suruhannya disuruh menyalak kuat,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Marang berkata Kevin tidak perlu mencabar beliau kerana perbuatan seperti itu seperti menegakkan benang basah.

    Malah katanya, adalah terlalu kebudak-budakan untuk beliau melayan cabaran Pemuda DAPsy itu, sedangkan isu yang dibangkitkan adalah mudah dan jelas, namun Guan Eng gagal menjelaskannya.

    Beliau menggariskan beberapa perkara berkaitan hal itu iaitu:

    Bukankah benar Yayasan Al-Bukhary adalah badan kebajikan Islam yang layak dan telah mendapat pengecualian cukai?;
    Bukankah benar LHDN tidak iktiraf pengecualian cukai tersebut dan mengenakan cukai penalti terhadap yayasan itu?;
    Bukankah benar hal ini terjadi semasa Guan Eng Menteri Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di bawah kawalan Menteri Kewangan?;
    Bukankah benar Anwar mengatakan di Dewan Rakyat bahawa kuasa Ketua Pengarah LHDN adalah mutlak?
    Bukankah benar kenyataan Anwar adalah bohong kerana Seksyen 44(6B) dengan jelas menyatakan keputusan Ketua Pengarah LHDN boleh dirayukan kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan boleh buat keputusan yang sewajarnya?; dan
    Bukankah benar terdapat satu lagi peruntukan Seksyen 127(3) yang lebih meluas yang merupakan kuasa Menteri Kewangan berkenaan pengecualian cukai?

    “Oleh yang demikian bukankah benar Anwar tidak menyatakan sepenuhnya hal yang saya sebutkan di atas sehinggakan jawapannya adalah ‘half truths’ iaitu satu pembohongan?

    “Maka, bukankah wajar Anwar dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana beliau telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan bersifaf menghina Dewan Rakyat pada 21 Mac 2023?

    “Itulah yang akan dilakukan oleh Armada dan ketika itulah Ahli Parlimen DAPsy boleh berhujah di Dewan Rakyat. Jangan sekadar berkokok di luar gelanggang seperti anjing menyalak bukit!,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • 47 tahun terima RM114, kerajaan digesa kaji pencen hilang upaya ATM

    47 tahun terima RM114, kerajaan digesa kaji pencen hilang upaya ATM

    KERAJAAN digesa mengkaji semula pemberian kadar pencen hilang upaya (PHU) bekas anggota Angkatan Tentera (ATM).

    Gesaan tersebut dibuat Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang merujuk kadar RM114 diterima seorang bekas veteran ATM yang kehilangan buku lali dan ke bawah kerana terkena jerangkap samar, ketika dalam perkhidmatan sebelum ini.

    “Timbalan Menteri lawat dia Jumaat lepas, seorang anggota saya, berpangkat koperal dari buku lali hilang kerana jerangkap samar.

    “Tahu tak berapa dia terima, RM114 sebulan selama 47 tahun sehingga sekarang. Jadi kenapa tak dapat nak kaji lagi perkara ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

    Cadangan Khlir itu turut mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat yang lain.

    Selain itu, Khlir juga menggesa kerajaan menilai semula skim pencen bekas anggota ATM secara menyeluruh.

    “Apabila kita buat penyelarasan gaji mesti buat penyelarasan pencen. Jadi kita dengar tadi sejak 1 Januari 2013 tidak ada penyelarasan pencen menyebabkan unjuran antara pencen orang yang bekerja selepas 2013 dengan sebelum 2013 amat-amat jauh.

    “Sebagai contoh sarjan mejar kelas 1 yang pencen tahun 1995 terima RM600 sahaja, tapi sekarang sarjan mejar yang pencen sekarang terima RM3,500 hingga RM4,500. Jadi ada jurang yang amat besar,” katanya.

    Menurutnya, veteran ATM bukan meraih simpati sebaliknya ia perkara wajib ditunaikan kerajaan.

    “Saya berharap menteri dan Perdana Menteri dengar keluhan saya dan urus penyelarasan pencen secepat mungkin untuk bantu mereka sangat daif,” katanya, lapor FMT.

  • Mengapa tergesa-gesa lawat Arab Saudi, tanya MP PN

    Mengapa tergesa-gesa lawat Arab Saudi, tanya MP PN

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kerana tergesa-gesa merancang lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, lawatan rasmi itu disifatkan memalukan Malaysia dan Arab Saudi kerana kegagalan Anwar bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.

    “Mengapa PMO boleh membuat lawatan tergesa-gesa, yang mengatakan seolah-olah ada lawatan rasmi, tetapi sebenarnya tidak ada?

    “Kami menuntut penjelasan tuntas daripada perdana menteri dan menteri luar negeri. Jangan kita ulangi kesilapan diplomatik yang merugikan negara,” katanya pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Anwar mengakhiri lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini tanpa bertemu rakan sejawatnya Mohammed Bin Salman.

    “Sebelum berangkat pulang, kerajaan Arab Saudi juga memohon agar saya melanjutkan lawatan ini bagi membolehkan beberapa pertemuan dengan pimpinan lain dilakukan.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, namun atas kekangan waktu dan jadual mendatang yang agak padat saya harus pulang ke ibu negara,” menurut satu kenyataan oleh Anwar.

    Mengulas lanjut, Wan Fayshal berkata, berbanding lawatan Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa beberapa kejayaan hasil lawatan dengan negara Arab itu antaranya tambahan kuota haji selepas Covid-19 selain minat menggandakan pembelian minyak sawit Malaysia yang mencecah RM1 bilion.

    Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, Wisma Putra tidak menunjukkan butiran hasil lawatan Anwar.

    “Ia memberi kesan kepada hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.

    “Apakah benar kerajaan Arab Saudi tidak mahu bertemu dengan perdana menteri,” soalnya.

    Menurut beliau, PN berharap agar soalan-soalan berhubung lawatan itu akan dijawab oleh Anwar esok semasa sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat esok.

  • 11 warga asing berpesta dadah di kondominium diberkas

    11 warga asing berpesta dadah di kondominium diberkas

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai 11 warga asing berusia antara 18 hingga 54 tahun ketika sedang asyik berpesta dadah di sebuah kondominium di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga China termasuk seorang wanita serta enam wanita warga Vietnam.

    Beliau berkata, polis menyerbu kondominium itu pukul 12.30 malam selepas menerima aduan daripada jiran mereka.


    Dalam serbuan itu, ujar beliau, polis merampas tiga bungkusan plastik berisi serbuk dipercayai dadah jenis MDMA seberat 117 gram bernilai RM5,850.

    Turut dirampas, tambahnya, dua paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah jenis ketamin seberat kira-kira 2.42 gram bernilai RM363 dan satu jag kaca berisi cecair disyaki dadah MDMA seberat 700ml (mililiter) yang bernilai RM500.

    “Siasatan mendapati, rata-rata suspek yang ditahan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan majoriti daripada mereka masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelancong.

    “Ada juga dalam kalangan suspek yang dipercayai telah berkahwin dengan orang tempatan atau dibawa masuk ke negara ini melalui teman lelaki yang dipercayai warga tempatan sebagai perempuan simpanan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPT hari ini.

    Menurut Cheng San, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

    Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengenal pasti sama ada suspek-suspek itu terlibat dengan kegiatan lain seperti sindiket penipuan atau ‘scam’ dan sebagainya,” katanya.

  • Lelaki warga India didakwa bunuh pesara

    Lelaki warga India didakwa bunuh pesara

    LELAKI warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan membunuh seorang pesara.

    S Logamurugan, 27, bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Sa’adon Sahat, 57, di belakang premis bangunan tiga tingkat Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim antara 2.44 pagi hingga 3.10 pagi, 27 Feb lalu.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes.

  • Speaker tegur Timbalan Menteri tak bersedia jawab soalan

    Speaker tegur Timbalan Menteri tak bersedia jawab soalan

    TIMBALAN Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying ditegur Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor hari ini kerana gagal bersedia seperti sepatutnya.

    Insiden itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi apabila ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) itu tidak dapat memberikan jawaban kepada soalan yang dikemukakan ahli parlimen.

    Hui Ying sepatutnya menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan peruntukan untuk program rancangan makanan tambahan (RMT) dan mekanisme pemantauan untuk memastikan pelajar mendapat makanan yang berkhasiat.

    Hui Ying (PH-Tanjung) sepatutnya menjawab pertanyaan tersebut kerana Menterinya, Fadhlina Sidek, tidak hadir pada ketika itu.

    Bagaimanapun Hui Ying terdiam untuk beberapa ketika sebelum Ramli bertanya sama ada Timbalan Menteri terbabit bersedia dengan jawapan sepatutnya atau tidak.

    “Yang berhormat menteri, saya rasa soalan ni ditanya sejak awal… Ada jawapan atau tidak,” tanya Ramli.

    “Minta maaf tuan yang dipertua, sebab jawaban saya tak sediakan. Bolehkah saya berikan secara bertulis (kemudian)?” jawab Hui Ying.

    Kenyataan Hui Ying itu mengundang rasa tidak senang ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang berpendapat kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

    Ronald yang pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat menjelaskan soalan yang ditanyakan itu diberi kepada pihak yang berkenaan lebih awal.

    “Menteri sepatutnya menyediakan jawaban dari awal,” katanya.

    Ramli yang sependapat dengan Ronald kemudian berkata, kejadian seperti itu tidak wajar berlaku.

    “Saya harap pihak kerajaan, ketua majlis ambil maklum perkara ini,” katanya.

    Hui Ying kemudian berdiri untuk meminta maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi tindakan tersebut.

    Mengikut perintah tetap Dewan Rakyat, seseorang ahli Parlimen tidak boleh bertanya soalan tanpa notis terlebih awal, melainkan speaker ‘berpendapat bahawa ia bersifat mendesak dan berkaitan sama ada dengan perkara kepentingan awam atau pengaturan urusan awam’.

    Peraturan Mesyuarat 22(2) menyatakan soalan perlu dikemukakan kepada setiausaha parlimen tidak kurang daripada 10 hari bekerja sebelum persidangan bermula.

    Sementara itu pada sidang media kemudian, Ahmad Marzuk mendesak Fadhlina dan Hui Ying meletak jawatan ekoran gagal memberikan jawaban di Parlimen.

    Beliau yang pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kerajaan PN sebelum ini mendakwa, kerajaan membazirkan wang untuk membayar gaji kepada seorang Timbalan Menteri yang gagal memenuhi tanggungjawabnya.

    “Ia suatu tugas yang sangat mudah, iaitu menjawab satu soalan.

    “Maka hari ini saya mencadangkan Timbalan Menteri dan menteri yang berkenaan meletak jawatan. Ini tidak sepatutnya berlaku.

    “Sepanjang ingatan saya, kejadian sebegini tak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen kita,” katanya, lapor Malaysiakini.