Category: Semasa

  • Bekas MP DAP, Charles Santiago Pengerusi SPAN baharu

    Bekas MP DAP, Charles Santiago Pengerusi SPAN baharu

    BEKAS Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dilantik sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa pada 20 Mac lalu.

    Pelantikan bekas Ahli Parlimen DAP itu secara amnya telah melengkapkan barisan kepimpinan Anggota Suruhanjaya baharu SPAN bagi penggal 2023 hingga 2025.

    Charles sebelum ini memegang jawatan itu dari November 2018 hingga April 2020 ketika Pakatan Harapan berada dalam kerajaan.

    Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, penyerahan watikah bagi pelantikan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

    Beliau berharap kepimpinan baharu SPAN dapat membantu mencapai objektif agenda Transformasi Sektor Air (WST 2040).

    “Saya percaya bahawa barisan ini akan mampu memacu SPAN untuk terus kekal menjadi sebuah organisasi yang progresif, proaktif dan disegani dalam pengawal seliaan perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Sinar Harian.

    Nik Nazmi dalam pada itu berkata, mendepani cabaran yang lebih getir terhadap perkhidmatan air di masa hadapan, SPAN melalui warga kerjanya serta anggota suruhanjaya perlu bergerak secara sinergi dalam memastikan perkhidmatan air dapat dilestarikan melalui perancangan strategik, pengawal seliaan yang rapi serta penguatkuasaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

    “Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada barisan anggota suruhanjaya terdahulu yang telah menjalankan tugas mereka dengan berdedikasi,” katanya.

  • Dua warga asing maut selepas langgar belakang treler

    Dua warga asing maut selepas langgar belakang treler

    DUA lelaki warga asing maut selepas motosikal yang dinaiki melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 3.5, Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, Batu Pahat lewat malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 11.20 malam.

    Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori treler berusia 37 tahun meletakkan kenderaan di bahu jalan untuk pulang ke rumah.

    “Tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua lelaki lalu melanggar belakang treler.

    “Akibat perlanggaran tersebut, kedua-dua lelaki mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, mayat dibawa ke hospital bagi bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 2 penjawat awam antara 7 ditahan terlibat sindiket pengedaran dadah

    2 penjawat awam antara 7 ditahan terlibat sindiket pengedaran dadah

    DUA penjawat awam antara tujuh ditahan kerana disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah di sekitar pusat bandar di Tawau, baru-baru ini.

    Semua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada Isnin dan Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama membabitkan lima lelaki dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kenderaan berhampiran sebuah kawasan perumahan pada pukul 2 pagi.

    “Hasil pemeriksaan lanjut turut ditemukan dadah jenis syabu seberat 103.4 gram di dalam kenderaan terbabit.

    “Selain itu, kesemua lima suspek juga masing-masing mempunyai antara satu hingga empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Tawau, hari ini.

    Jasmin berkata, susulan tangkapan itu, pihak polis kemudiannya membuat satu lagi serbuan dan tangkapan ke atas dua lelaki tempatan pada 12.30 tengah malam pada Selasa.

    “Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 36 tahun yang juga penjawat awam itu ditahan bersama lima bungkusan plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 1177.5 gram,” katanya, lapor Harian Metro.

    Semua suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu direman tujuh hari sehingga 29 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Tarawih 10 minit: JAIPk siasat, beri teguran

    Tarawih 10 minit: JAIPk siasat, beri teguran

    SUSULAN video tular sekumpulan jemaah menunaikan solat tarawih dengan cepat di sebuah masjid, semalam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuat siasatan lanjut berhubung bacaan imam dalam solat berkenaan.

    Menurut Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, tindakan lanjut termasuk teguran akan diberikan sekiranya didapati bacaan berkenaan tidak menepati hukum tajwid.

    “Setakat ini belum ada laporan dibuat, namun sekiranya kami dapati bacaan imam tidak menepati hukum tajwid, maka teguran akan diberikan kepada pihak berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video berdurasi 1 minit 29 saat itu dimuat naik di laman Twitter sejak Jumaat menunjukkan sekumpulan jemaah menunaikan solat tarawih di sebuah masjid di Perak.

    Keadaan itu menjadi pertikaian orang ramai apabila solat lapan rakaat itu didirikan dengan cepat dan hanya selesai dalam tempoh 10 minit.

  • RUU mansuh hukuman mati dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

    RUU mansuh hukuman mati dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

    RANG Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Ketika mengemukakan rang undang-undang tersebut, Azalina berkata ia juga akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.

    Menurutnya, naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, rang undang-undang itu bertujuan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan; serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya dengan meminda tujuh akta berkaitan.

    Akta-akta tersebut ialah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

    Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua perundangan.

    Selain itu, pindaan terhadap Akta 574 dilakukan bertujuan menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati yang tertakluk dengan budi bicara antaranya bagi kesalahan di bawah Seksyen 121A, 130C, 302 dan 374A.

    Dengan pindaan itu, mahkamah mempunyai nilai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak melebihi 40 tahun.

    Kerajaan sebelum ini bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022. – BERNAMA

  • Dr Zakir naik akan pulang ke Malaysia

    Dr Zakir naik akan pulang ke Malaysia

    PENCERAMAH bebas, Dr. Zakir Naik, akan kembali ke negara ini dalam masa terdekat, selepas selesai beberapa program di Oman.

    Peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader, ketika mengesahkan langkah itu, memaklumkan Zakir Naik masih mempunyai program di negara terbabit.

    “Dia (Zakir Naik) akan pulang dalam masa terdekat selepas selesai semua program di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Zakir Naik berada dalam keadaan selamat dan diberi layanan yang baik sepanjang berada di Muscat, Oman.

    Menurutnya, penceramah terbabit turut mengirimkan pesanan memaklumkan beliau selamat dan berada di hotel.

    “Zakir juga memaklumkan, laporan yang mendakwa penahanannya sekadar berita rekaan,” katanya, lapor BH Online.

    Beliau berkata, selepas itu dia akan pulang semula ke Malaysia namun tidak dapat diperincikan perjalanan pulang itu demi keselamatannya.

    Media sebelum ini melaporkan penceramah bebas, Dr. Zakir Naik yang menjadi buruan di India tiba di Muscat, Oman bagi menyampaikan ceramahnya selepas tarawih pada malam semalam dan esok.

    Zakir Naik yang menetap di Malaysia, berdepan dakwaan mahkamah di India, berhubung pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.

    Malah Kerajaan India pernah menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisinya pada Januari 2018

  • Pahang belum putuskan bentang RUU enakmen antilompat parti

    Pahang belum putuskan bentang RUU enakmen antilompat parti

    KERAJAAN Pahang belum memutuskan sama ada akan membentangkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan Mei ini atau sebaliknya.

    Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan masih mempertimbangkan perkara itu dan pada masa sama sedia mengadakan perbincangan dengan pembangkang sebelum membuat keputusan muktamad.

    “Kita sedang fikirkan sebab kalau bentang, kerajaan negeri perlu dapat sokongan dua per tiga (untuk diluluskan).

    “Kerajaan (negeri) yang ada pada waktu ini tidak cukup dua per tiga.

    “Kalau mereka (pembangkang) setuju, kita akan bentang, kalau tak setuju nak bentang buat apa?” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, di Kuantan, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Wan Rosdy berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan Pahang akan membawa usul dan membentangkan RUU antilompat parti pada sesi DUN akan datang.

    Setakat ini hanya tujuh negeri membentangkan RUU itu di peringkat sidang DUN masing-masing dan diluluskan.

    Pulau Pinang adalah negeri paling awal memperkenalkan RUU itu dan diluluskan sidang DUN negeri berkenaan pada Nov 2012.

    Negeri lain yang turut meluluskan pindaan bagi mengekang tindakan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti ialah Sarawak, Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Kelantan.

    Kerajaan Terengganu pada November tahun lalu pula memaklumkan tidak ada keperluan untuk RUU itu diperkenalkan di negeri terbabit kerana hanya ada wakil rakyat Pas dan UMNO sahaja di negeri itu.

    Di peringkat persekutuan RUU antilompat parti diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 sebelum dibentangkan dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.

    Secara keseluruhan DUN Pahang mempunyai 42 kerusi. Hasil PRU ke-15 pada November tahun lalu, buat pertama kali BN gagal memperoleh majoriti apabila memenangi 17 kerusi, sama seperti PH.

    PN pula hanya memenangi lapan kerusi.

    BN dan PH kemudian mencapai persetujuan untuk bekerjasama sekali gu membentuk kerajaan perpaduan.

  • Peniaga nasi ‘tengah hari’ sorok makanan dalam mesin basuh, tandas

    Peniaga nasi ‘tengah hari’ sorok makanan dalam mesin basuh, tandas

    MUSLIHAT seorang peniaga yang menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa bertindak menyembunyikan nasi bungkus dalam mesin basuh dan lauk di tandas tengbongkar apabila berjaya dikesan pihak berkuasa.

    Situasi itu berjaya dikesan dalam operasi oleh Pejabat Agama Daerah Bachok, Kelantan dan Majlis Daerah Bachok di sekitar kawasan Tangok, semalam.

    Pegawai Agama Jajahan Bachok Suratemi Mat Yusof berkata, dalam operasi itu antara 10 pagi hingga 12 tengah hari itu pihaknya berjaya merampas lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam dan minuman teh o ais.

    “Selain itu, seorang wanita juga pemilik rumah yang diserbu berusia 40-an juga diberi amaran agar tidak mengulangi aktiviti terbabit.

    “Operasi itu dilakukan hasil pemantauan dan aduan awam yang mendapati pemilik rumah menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa,” katanya kepada media, hari ini.

    Katanya, hasil operasi menemukan lebih 20 bungkus nasi yang disorok dalam mesin basuh dan ayam yang diperap dalam tandas.

    Pihaknya turut menemukan teh o ais yang disembunyikan dalam bilik tidur.

    “Hasil soal siasat, pemilik rumah mengaku membungkus nasi itu sebelum pembeli menghubunginya untuk mengambil makanan itu.

    “Wanita berkenaan memaklumkan dia menjual dari rumah pada Ramadan kepada individu yang tidak berpuasa,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Tambah Suratemi, pihaknya memberi nasihat kepada wanita itu supaya tidak menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa dan wanita itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terbabit pada masa akan datang.

    “Peniaga itu juga akan dipanggil untuk diberi kaunseling supaya tidak menjual makanan pada waktu pagi sepanjang Ramadan ini.

    “Dalam operasi itu, tiada tangkapan dibuat berikutan mereka sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” jelasnya.

  • Tiada lagi pelepasan cukai bagi pencarum SSPN tahun ini

    Tiada lagi pelepasan cukai bagi pencarum SSPN tahun ini

    PEMBAYAR cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000, bermula tahun ini kata Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

    Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

    “Ini adalah disebabkan tambahan senarai pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak dua peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan yang ditingkatkan dari RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan yang lain.

    “Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik untuk peminjam yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,800,” kata Sim.

    Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.

  • Lapan penumpang LRT saman Rapid Rail, Prasarana

    Lapan penumpang LRT saman Rapid Rail, Prasarana

    LAPAN penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) memfailkan saman sebanyak RM860,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

    Saman berkenaan membabitkan kejadian dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung sehingga menyebabkan beberapa penumpang cedera pada pukul 9.15 malam, 24 Mei 2021 lalu.

    Mereka ialah Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47; Marvena Jitol, 28; Riezariel Haeqal, 23; Rozita Che Rus, 28; Ng Siow Nee, 36; Siti Nuraliah Hashim, 26; Nurul Athirah Mohd. K. Jabayee, 36 dan Muhammad Firdaus Mohd. Saleh, 35.

    Menerusi pernyataan tuntutan difailkan menerusi Tetuan Vin Partnership, kesemua penumpang selaku plaintif pertama hingga kelapan, menamakan dua pihak terbabit sebagai defendan pertama dan kedua.

    Kesemua plaintif mengemukakan saman itu kerana Rapid Rail selaku defendan pertama manakala Prasarana defendan kedua, gagal dan cuai dalam memastikan keselamatan mereka sehingga menyebabkan kecederaan, dua tahun lalu.

    Plaintif berkata, defendan-defendan gagal memastikan LRT yang digunakan beroperasi dengan selamat bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh tren lain.

    “Mereka gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyumbang kepada insiden itu.

    “Dua defendan itu juga gagal mengambil sebarang tindakan untuk mengelak kemalangan dan gagal untuk memberhentikan, memperlahankan dan mengawal LRT supaya kemalangan dapat dielakkan,” kata pernyataan tuntutan itu, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (ketika itu), turut berjenaka dengan berkata kedua-dua kereta api itu ‘bercium’ antara satu sama lain dan dilihat ketawa ketika sidang media berhubung kejadian berkenaan.

    Justeru itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, faedah pada kadar lima peratus setahun dari dari tarikh pemfailan writ sehingga ke tarikh penghakiman.

    Mereka turut meminta ganti rugi khas dan faedah pada kadar sama dari tarikh kemalangan hingga ke tarikh penghakiman dibuat.

    Berdasarkan semakan di laman web kehakiman, pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohamad Hafizul Awang pada 11 April ini.

    Pada Mei 2021 lalu, video dan gambar mengenai insiden itu tular di media sosial, menunjukkan ratusan penumpang bergelimpangan termasuk sebahagiannya mengalami kecederaan parah.

    Untuk rekod pada tarikh berkenaan, seramai 213 penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru di Kuala Lumpur.

    Suasana panik berkenaan dapat dilihat dengan jelas menerusi sebuah rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial.

    Beberapa penumpang juga dilihat terduduk di lantai yang penuh dengan kaca berderai dan terdapat penumpang yang menangis teresak-esak sambil menutup bahagian tubuh yang berdarah selepas terjatuh akibat insiden tersebut.