Category: Semasa

  • Bomba bantu polis tangkap pengedar dadah atas bumbung flat

    Bomba bantu polis tangkap pengedar dadah atas bumbung flat

    SERAMAI 26 lelaki dan seorang wanita ditahan di Flat Jinjang Baru, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan dadah.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, operasi yang dijalankan pada pukul 5 hingga 10 pagi itu dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

    “Seramai sembilan lelaki dan seorang wanita ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Mengulas lanjut Yahaya berkata, hasil serbuan tersebut juga telah membawa kepada tangkapan seorang lelaki dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dua lelaki di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, 13 lelaki di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta seorang lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Beliau berkata, ketika operasi dijalankan seramai 19 suspek telah bertindak keluar melalui tingkap dan melarikan diri ke atas bumbung.

    “Anggota bomba telah membantu pasukan serbuan naik ke atas bumbung untuk menangkap suspek.

    “Selain itu, sebanyak empat buah rumah yang digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah telah dipecahkan dan pintu rumah telah dipotong dengan bantuan anggota bomba,” katanya.

    Yahaya berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 40 tahun telah dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, untuk siasatan lanjut.

    Hasil operasi telah membawa kepada rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 59.44 gram bernilai RM5,944, dua buah kereta Perodua Myvi, sebuah motosikal Yamaha Y15, seutas rantai loker berwarna kuning, tiga utas gelang tangan, tiga bentuk cincin, sebuah jam tangan dan wang tunai berjumlah RM603.

    “Saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

    “Kesemua suspek mempunyai rekos jenayah lampau berkaitan dadah dan direman pada esok,” katanya.

    Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

    Tambahnya, polis percaya dengan tangkapan suspek ini telah berjaya menumpaskan sindiket dadah yang bergerak aktif di kawasan Sentul sejak enam bulan lalu.

  • Lawatan PM ke Arab Saudi ‘kesilapan diplomatik yang besar’ – KJ

    Lawatan PM ke Arab Saudi ‘kesilapan diplomatik yang besar’ – KJ

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi adalah satu “kesilapan diplomatik yang besar”.

    Khairy yang mesra disapa KJ berkata, ini kerana Anwar gagal bertemu pemerintah Arab Saudi, Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammad Salman yang juga perdana menteri.

    “Saya bersetuju dengan pendapat (lawatan Anwar ke Arab Saudi) adalah satu kesilapan diplomatik yang besar.

    “Beliau tidak sepatutnya pergi Arab Saudi sekiranya tidak ada temujanji yang ditetapkan untuk bertemu dengan Raja Salman atau putera mahkota,” kata Khairy dalam program “Keluar Sekejap” bersama Shahril Hamdan, lapor Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Khairy berkata, kebiasaannya seorang perdana menteri tidak akan melawat negara lain melainkan ada satu pertemuan dengan rakan sejawat ditetapkan.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, kegagalan Anwar bertemu rakan sejawatnya di Arab Saudi adalah sesuatu yang memalukan, lebih-lebih lagi Arab Saudi adalah negara penting untuk Malaysia.

    “Arab Saudi memainkan peranan penting di (Asia Barat) rantau itu dan ada banyak peluang perniagaan dan pelaburan di sana,” katanya.

    Semalam, Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Anwar menjelaskan bagaimana lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi memberi manfaat kepada negara.

    Setiausaha Politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi menolak dakwaan sesetengah pihak yang mempolitikkan lawatan itu sebagai gagal dan membazir wang rakyat.

    Katanya, lawatan tiga hari Anwar ke Arab Saudi sangat berhasil, antara lain dalam memperkukuhkan hubungan Putrajaya-Riyadh.

    Menurutnya, lawatan itu diisi jadual padat dan tersusun menyebabkan Anwar tidak dapat menemui pemimpin lain dalam kerajaan Arab Saudi, tetapi beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Dunia Islam.

  • MP PN kemuka usul tergempar bincang lawatan Anwar ke Saudi

    MP PN kemuka usul tergempar bincang lawatan Anwar ke Saudi

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang hari ini mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membincangkan kesan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, beliau memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memberi laluan kepada usul itu bagi membincangkan kesan ekonomi dan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi hasil lawatan rasmi Anwar dari 22 hingga 24 Mac lalu.

    Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu juga mahu butiran terperinci kos lawatan yang disifatkannya penting kerana membabitkan wang pembayar cukai.

    “Lawatan rasmi itu diperlihat sebagai lawatan tidak berimpak tinggi memandangkan perdana menteri tidak berjaya melakukan pertemuan dengan pemerintah tertinggi kerajaan Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mahupun Putera Mahkota Mohammed Salman yang merupakan perdana menteri Arab Saudi.

    “Sebelum ini, pada Mac 2021, perdana menteri kelapan berjaya mendapat persetujuan kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji sebanyak 10,000 jemaah dan peningkatan eksport minyak sawit ke Arab Saudi berjumlah 500,000 tan yang nilainya mencecah RM 1 bilion.

    “Justeru, besar harapan saya agar perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta keizinan majlis mesyuarat demi kepentingan rakyat,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang media di luar Dewan Rakyat berkata, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul menerima usul itu pada 9.50 pagi tadi.

    Katanya, beliau turut menyerahkan soalan berhubung isu itu untuk waktu pertanyaan kepada perdana menteri (PMQT) esok.

    Semalam, setiausaha politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi menolak dakwaan sesetengah pihak yang mempolitikkan lawatan itu sebagai gagal dan membazir wang rakyat.

    Katanya, lawatan tiga hari Anwar ke Saudi sangat berhasil, antara lain dalam memperkukuhkan hubungan Putrajaya-Riyadh.

    Menurutnya, lawatan itu diisi jadual padat dan tersusun menyebabkan Anwar tidak dapat menemui pemimpin lain dalam kerajaan Saudi, tetapi beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Dunia Islam.

  • Skandal LCS: Penerusan projek kapal tempur diputuskan Kabinet

    Skandal LCS: Penerusan projek kapal tempur diputuskan Kabinet

    KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) sedang di peringkat akhir memuktamadkan cadangan penerusan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

    Katanya, cadangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk diputuskan tidak lama lagi.

    “Kami di peringkat akhir cadangan itu dan ia akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

    “Perincian berkaitan (penerusan projek) akan dikongsi sebaik sahaja ia dimuktamadkan oleh Kabinet,” katanya pada sesi penggulungan kementerian bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini, Lapor Agenda Daily.

    Menurutnya setakat ini, pendirian kementerian adalah memastikan projek LCS diteruskan, terutama selepas status pencapaian kemajuannya 94.7 peratus, berbanding 82 peratus yang diluluskan Naval Group.

    Isu kapal LCS mendapat perhatian susulan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mendedahkan tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut yang dikurniakan kepada BNS melalui tender terbuka.

    Ketika awal pendedahan laporan PAC, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang sekarang ini Menteri Ekonomi secara terbuka mengaitkan beberapa nama individu dalam skandal penyelewengan terbesar selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Antara nama dikaitkannya ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kini Timbalan Perdana Menteri); bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kini di dalam penjara); dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ahli Parlimen Sembrong).

    Ketiga-tiga individu merupakan pemimpin kanan dalam UMNO dan pernah memegang portfolio Kementerian Pertahanan.

    Rafizi mendakwa ratusan juta wang dalam projek tersebut hilang dan lesap akibat penyelewengan yang berlaku.

    Malah, Rafizi juga memberi amaran kepada Najib supaya tidak berpura-pura tidak tahu berhubung skandal LCS kerana waktu itu beliau merupakan Perdana Menteri ketika kerajaan menandatangani perjanjian bagi projek LCS bersama Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) pada 2011 serta merupakan satu-satunya pihak yang berkuasa mempengaruhi penukaran reka bentuk kapal tersebut daripada keperluan tentera laut.

    Persoalannya kini, adakah PH dan Rafizi khususnya akan meneruskan desakan supaya pesalah dalam skandal ini ke muka pengadilan atau selepas menjadi rakan baharu kepada UMNO, isu rasuah dan penyelewengan ini akan hanya diam begitu sahaja?

  • Pindah lapangan sasar ke kawasan selamat, kata Tuan Ibrahim

    Pindah lapangan sasar ke kawasan selamat, kata Tuan Ibrahim

    KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) dicadang memindahkan lapangan sasar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kampung Penor, Kuantan, ke kawasan yang lebih strategik dan selamat.

    Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, pemindahan lapangan sasar tersebut bertujuan mengelakkan menjadi ancaman kepada penduduk.

    “Isu yang saya nak bangkitkan berhubung satu lapangan sasar TUDM di Kampung Penor, Kuantan.

    “Saya fikir banyak kali sudah perkara ini dibangkitkan, kawasan ini sangat tidak sesuai kerana berada di tengah-tengah perkampungan.

    “Beberapa kali insiden yang menyebabkan lembu penduduk terkena bedilan dari udara ke bumi kerana ia berada berhampiran pantai, ia mendatangkan risiko kepada nelayan pantai yang sentiasa berada di kawasan tersebut,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, walaupun kawasan itu dipagari tetapi sebahagian besar pagar telah rosak.

  • Kementerian tubuh jawatankuasa kaji bukan Islam wajib kursus kahwin

    Kementerian tubuh jawatankuasa kaji bukan Islam wajib kursus kahwin

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses menyediakan kertas cadangan bagi penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji kebolehlaksanaan mewajibkan kursus praperkahwinan kepada pasangan bukan Islam.

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata jawatankuasa itu akan mencadangkan program bersesuaian dan ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, mengulas cadangan Senator Aknan Ehtook agar pasangan bukan Islam yang bakal berkahwin juga melalui kursus praperkahwinan bagi membekalkan ilmu kekeluargaan kepada mereka.

    Sementara itu, mengulas mengenai kekurangan pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat penempatan sementara (PPS) ketika banjir, Aiman Athirah berkata jabatan itu sudah mengambil langkah bagi mengatasi isu berkenaan menerusi pemerkasaan komuniti.

    “JKM telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan komuniti dengan melantik ketua komuniti, ketua agensi tempatan, pengetua, guru-guru besar dan lain lain sukarelawan komuniti sebagai penyelia dan ahli jawatankuasa dan petugas di PPS yang diaktifkan semasa berlaku banjir besar.

    “Melalui pendekatan pemerkasaan dan daya tahan masyarakat semasa bencana, ia akan membolehkan ketua-ketua komuniti membuka dan mengoperasikan PPS dengan pemantauan minima daripada kakitangan JKM,” katanya.

  • Isu Pasport TPM: Shahidan ‘cadang’ pasport Rosmah turut dipulangkan

    Isu Pasport TPM: Shahidan ‘cadang’ pasport Rosmah turut dipulangkan

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) beberapa kali membangkitkan isu pasport antarabangsa yang dikembalikan secara kekal kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Memetik laporan Astro AWANI, sambil menyindir, beliau mendakwa keputusan yang dibuat mahkamah itu adalah ‘keputusan hebat’.

    Malah, beliau juga mencadangkan pasport antarabangsa Datin Seri Rosmah Mansor, 71, turut dipulangkan.

    “Kalau sekiranya kita bagi kepada TPM, kita kena bagi juga kepada Datin Seri Rosmah. Datin Seri Rosmah dapat pasport sementara… Setuju tak Tampin? Kita bagi kepada Rosmah?

    “Kita bagi, mana boleh kita tak bagi. Kenapa boleh bagi kepada TPM, kat Rosmah tak bagi? Kasihan kat Rosmah dan juga rakyat Malaysia yang lain,” katanya sinis.

    Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa kemudian mencelah: “Tampin hanya mempercayai dari sudut undang-undang. Kalau undang-undang kata begitu, reda sajalah,” katanya.

    Shahidan kemudian berkata: “Yang Berhormat, ini saya cadangkan supaya pasport antarabangsa diberi kepada semua, bukan kepada individu tertentu sahaja.

    “Saya menyokong supaya diberi kepada semua sebab ini Madani…Madani maksudnya bagi kepada semua,” katanya lagi.

    Terdahulu media hari ini melaporkan Ahmad Zahid berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

    Ia susulan pada 3 Februari lalu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequera (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan itu untuk Ahmad Zahid mendapatkan pasport diplomatik.

    Dokumen perjalanan itu seterusnya perlu menyerahkan semula kepada mahkamah selepas urusan permohonan diplomatik selesai.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Sementara itu, pada Selasa lalu, Rosmah dibenarkan untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya bagi membolehkan dia berlepas ke Singapura bagi melawat anak perempuannya dan seorang daripada cucunya yang tidak sihat.

    Pasport Rosmah diserahkahkan kepada mahkamah pada 2019 selepas dia didakwa atas pertuduhan rasuah.

    Pada 1 September tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion.

    Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun; di samping denda RM970 juta, yang jika gagal dibayar akan boleh membawa kepada hukuman penjara 30 tahun.

    Rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan hukuman itu akan didengar pada Julai depan.

    Shahidan Kassim, Zahid Hamidi, pasport antarabangsa, Mahkamah Rayuan,

  • Dewan rakyat bising, bertekak pasal UMNO

    Dewan rakyat bising, bertekak pasal UMNO

    SESI petang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mendakwa RSN Rayer (PH-Jelutong) menyebut UMNO sebagai parti celaka yang dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam.

    Ahmad Tarmizi ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, perkara itu dinyatakan oleh Rayer sewaktu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, sebelum ini.

    “Saya nak bertanya. Bagaimana kenyataan ADUN Seri Delima lalu yang hari ini telah menjadi Ahli Parlimen Jelutong, satu ketika beliau telah menyatakan satu penghinaan.

    “Beliau menyebut UMNO parti celaka dan ketika itu, ia dianggap sebagai penghinaan kepada orang Melayu dan orang Islam,” katanya.

    Rayer kemudian bangun sambil meminta agar Ahmad Tarmizi supaya menarik balik kenyataan dibuat dan memohon maaf kerana beliau didapati tidak bersalah apabila ia diputuskan di mahkamah.

    Rayer turut berkata, peguam kes itu adalah Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo yang turut hadir di Dewan Rakyat.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang mengendalikan mesyuarat meminta Ahmad Tarmizi untuk menarik balik kenyataan dibuatnya selepas menilai mengenai keputusan mahkamah itu.

    Ahmad Tarmizi mengambil masa untuk melaksanakan hasrat Rayer walaupun didesak beberapa kali oleh Johari dengan hanya berkata ‘ok’.

    Situasi kekecohan itu terus berlarutan apabila Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula membangkitkan perkataan dikeluarkan oleh Rayer apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pernah berkata, Pas sebagai parti ajaran sesat.

    Ayat itu dikeluarkan oleh Rayer ketika gilirannya sewaktu berbahas peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Ahmad Fadhli menggesa agar Rayer menarik balik ayat itu kerana beliau menggunakan perkataan ‘masih’ menuduh Muhyiddin.

    “Tadi saya terdengar Jelutong menyebut berbanding Pagoh yang ‘masih’ berpendirian bahawa Pas parti ajaran sesat. Macam mana Jelutong boleh tahu Pagoh masih berpendirian Pas parti ajaran sesat?

    “Ini satu tuduhan 36 (12) mana-mana ahli mengeluarkan kenyataan di dewan,” ujarnya, lapor Harian Metro.

    Ketegangan itu akhirnya reda selepas Rayer bersetuju untuk membetulkan semula ayat yang diungkapkannya.

    “Saya akan rephrase (betulkan ayat),” katanya.

  • Guru pusat asuhan bongkar budak 6 tahun didera bapa tiri

    Guru pusat asuhan bongkar budak 6 tahun didera bapa tiri

    SEORANG lelaki ditahan kerana disyaki mendera anak tirinya berusia enam tahun di Kampung Alor Lanchang Jejawi, di Arau.

    Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi, pihaknya menerima laporan daripada guru pusat asuhan tempat kanak-kanak itu belajar pada 22 Mac lalu.

    Guru wanita terbabit katanya, telah membuat pemeriksaan terhadap tubuh kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan dan menemui beberapa kesan lebam lama dan baharu pada tubuh mangsa.

    “Guru terbabit bertanya mangsa sebelum diberitahu dia telah dipukul oleh bapa tirinya kerana tidak menuruti kata-kata suspek.

    “Guru terbabit kemudian menghubungi ibu mangsa dan ibu mangsa turut maklumkan bahawa dia dan anaknya telah menjadi mangsa pukul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Mohsin berkata, hasil siasatan mendapati mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

    Katanya, pemeriksaan di hospital mendapati terdapat kesan parut lama pada bahagian belakang, tangan kanan dan kiri, paha kanan serta pipi kanan mangsa.

    “Doktor juga mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan atau parut pada bahagian badan ibu mangsa dan dua adik mangsa yang lain,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

    Suspek berusia 34 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 30 Mac untuk membatu siasatan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan fizikal terhadap kanak-kanak dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Harga makanan dijangka terus naik pada Ramadan, Aidilfitri

    Harga makanan dijangka terus naik pada Ramadan, Aidilfitri

    HARGA makanan dijangka terus meningkat semasa Ramadan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    Menurut CGS-CIMB Research, unjuran peningkatan berkenaan dibuat berdasarkan kepada lonjakan permintaan yang akan berlaku pada bulan tersebut.

    Firma itu memberitahu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa harga ayam meningkat sebanyak lapan peratus.

    “Bagaimanapun, sub komponen makanan luar rumah menjadi sederhana kerana pelancaran Menu Rahmah oleh kerajaan yang merupakan inisiatif popular di seluruh negara untuk menggalakkan peniaga menjual makanan pada harga murah.

    “Jadi untuk mengehadkan potensi kenaikan harga, maka kerajaan baru-baru ini melancarkan Jualan Rahmah iaitu inisiatif di bawah Payung Rahmah bermula 23 Mac hingga 22 April depan dengan menawarkan diskaun 40 peratus bagi lebih 150 barangan keperluan asas,” katanya memetik laporan portal berita Dagang News hari ini.

    Selain itu, CGS-CIMB menyatakan kerajaan juga bercadang untuk mengumumkan skim kawalan harga tempoh cuti sama seperti telah dilancarkan pada musim perayaan sebelum ini.

    Pada Februari lepas, Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 0.2 peratus dari bulan ke bulan dan 3.7 peratus dari tahun ke tahun selain lebih tinggi dari jangkaan firma itu dan Bloomberg.

    Bagi makanan dan makanan subkomponen di rumah adalah pemangkin utama meningkat 5.8 peratus didorong oleh subkumpulan daging (sembilan peratus) dan nasi (6.6 peratus).

    Bagaimanapun, peningkatan lebih perlahan berlaku bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7 peratus berbanding Januari lepas (empat peratus) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.

    Firma itu mengekalkan unjuran inflasi negara pada paras tiga peratus pada tahun ini.