Category: Semasa

  • Lelaki turun landasan LRT ambil fon telinga ditahan, didakwa di mahkamah

    Lelaki turun landasan LRT ambil fon telinga ditahan, didakwa di mahkamah

    PERBUATAN seorang lelaki turun ke landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Taman Paramount, Petaling Jaya untuk mengambil fon telinganya yang terjatuh hanya mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 9.28 pagi.

    Katanya, laporan itu berkaitan tangkapan lelaki terbabit oleh Polis Bantuan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

    “Kejadian berlaku pada pukul 8.09 pagi selepas penggera landasan berbunyi dan didapati terdapat seorang lelaki tempatan berada di landasan platform 1 (northbound).

    “Lelaki itu dikesan mengambil earphone di landasan terbabit hingga menyebabkan tren tergendala selama tiga minit,” katanya, hari ini lapor Sinar Harian.

    Mohamad Fakhrudin berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun itu kemudian ditahan kerana menceroboh landasan kereta api.

    Katanya, lelaki terbabit telah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa di bawah Seksyen 62 Akta Keretapi 1991.

    Tegasnya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan jenayah.

  • Kerajaan kembalikan RM2.1 juta dana didakwa milik 1MDB

    Kerajaan kembalikan RM2.1 juta dana didakwa milik 1MDB

    KERAJAAN diarah mengembalikan semula RM2.1 juta yang dilucut hak kepada dua parti politik dan tujuh individu lain atas dakwaan dana itu berasal daripada 1MDB.

    Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memberitahu tiga panel hakim Mahkamah Rayuan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak akan mencabar permohonan rayuan pemohon bagi pengembalian wang tersebut.

    “Representasi mereka kepada Jabatan Peguam Negara diterima. Kami tidak mencabar rayuan mereka,” Kamal memberitahu panel hakim dipengerusikan Hakim Kamaludin Said, lapor FMT.

    Pada 2020, tiga Mahkamah Tinggi berasingan membenarkan kerajaan melucut hak RM1 juta daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA Pahang (RM835,258.19), dan tujuh individu (keseluruhan RM265,146.16).

    Pagi ini, Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Abu Bakar Jais dan Hakim Supang Lian, mengenepikan keputusan tersebut dan memerintahkan wang terbabit dikembalikan kepada perayu dalam tempoh dua bulan, bersama faedah terkumpul.

    Peguam Avinash Kamalanathan mewakili PBRS, manakala Nur Jehan Abu Bakar mewakili tujuh individu itu.

    Rayuan berkenaan merupakan rayuan terakhir melibatkan kes pelucutan hak yang tertangguh di Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah sebelum ini, mengarahkan kerajaan memulangkan semula RM21.7 juta kepada 11 individu, entiti perniagaan, dan parti politik atas situasi sama.

    Pada 30 Januari, Kamal memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan sama bahawa pihak pendakwaan menarik rayuan mereka terhadap pihak berkenaan.

    11 responden itu termasuk Jakel Trading Sdn. Bhd. (RM10,747,042.77), Mediaedge CIA Sdn. Bhd. (RM4,631,602), AGA Touch Sdn. Bhd. (RM3 juta), dan Barisan Nasional (BN) Johor (RM957,395.65).

    Pada 5 Februari, pihak pendakwaan juga menggugurkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang kerajaan melucut hak kira-kira RM194.5 juta diberikan Datuk Seri Najib Razak kepada parti politik dan entiti perniagaan.

    Penerima terbabit adalah Ibu pejabat UMNO (RM192.6 juta), UMNO Pahang (RM2.5 juta), dan UMNO Kedah (RM1.05 juta).

    Kerajaan sudah mengembalikan wang dilucut hak itu kepada perayu susulan arahan mahkamah dibuat pada Januari dan Februari.

  • 2 bot, 9 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    2 bot, 9 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan Indonesia serta sembilan kru warganegara itu kerana didapati menceroboh perairan negara semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kedua-dua buah bot nelayan itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia pada kedudukan 83 kilometer dan 88 kilometer barat daya Pulau Kendi dalam rondaan rutin kira-kira pukul 11.40 pagi dan 12.10 tengah hari.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan oleh empat kru manakala bot kedua pula dikendalikan lima kru.

    ”Kesemua mereka merupakan warga Indonesia berumur antara 17 hingga 41 tahun dan kedua-dua bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan Indonesia serta sembilan kru warganegara itu kerana didapati menceroboh perairan negara semalam.

    Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    Sehubungan itu, ujar beliau, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

    “Kedua-dua bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Tambahnya, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan negara.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Ribut ‘lipat’ bumbung ketika suri rumah siapkan juadah berbuka

    Ribut ‘lipat’ bumbung ketika suri rumah siapkan juadah berbuka

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG suri rumah tidak menyangka ribut yang melanda di kawasan kediamannya di Kampung Padang Belakang Bernas dekat Yan, Kedah petang semalam, mampu ‘melipat’ sebahagian bumbung rumahnya ketika dia sibuk menyediakan hidangan berbuka puasa.

    Menurut Pairus Mehat, 48, dia bagaimanapun bersyukur kerana tiada dalam kalangan ahli keluarga termasuk tiga anaknya mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

    Katanya, ketika kejadian dia sedang memasak di dapur manakala tiga anaknya berada di bahagian depan rumah.

    “Kira-kira pukul 5.40 petang angin dan hujan seakan datang serentak. Kejadian berlaku cukup pantas sampaikan saya yang di dapur tak sedar bahawa bumbung di depan dah ‘terlipat’ hingga menyebabkan ruang tamu ‘lopong’.

    “Selain itu bumbung di dapur juga berlubang, mungkin akibat ditimpa barangan lain yang diterbangkan angin. Rumah saya basah di beberapa kawasan dan beberapa barangan seperti televisyen dan kipas tak dapat diselamatkan.

    “Namun saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat dalam kejadian itu. Ini kali pertama kejadian seumpamanya berlaku dan saya memang tak pernah jangka ini akan berlaku,” katanya.

    Seorang lagi penduduk di situ, Abdul Rahim Abdullah, 60 memberitahu, ketika kejadian dia dan isteri tiada di rumah kerana mengambil cucu pulang dari sekolah.

    “Tiba-tiba saya menerima panggilan dari sepupu yang tinggal di depan rumah memaklumkan bumbung rumah ‘terbang’ dibawa angin. Sebaik dimaklumkan, saya dan isteri terus bergegas pulang.

    “Apabila tiba di rumah, hujan sudah berhenti namun saya terkejut apabila melihat bumbung dah tak ada. Akhirnya kami dapati bumbung rumah saya dibawa angin sampai ke belakang rumah seorang jiran,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini beliau agak bimbang mengenai perancangan untuk keluarga mereka berkumpul di rumah tersebut menjelang ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.

    “Anak-anak semua dah merancang nak balik tetapi apabila berlaku begini, mungkin perancangan itu terjejas,” katanya.

    Sementara itu jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, bancian awal mendapati sebanyak kira-kira 34 buah rumah didapati terjejas dalam kejadian itu di daerah Yan.

    Menurutnya, setakat ini pihaknya masih dalam proses mengumpulkan maklumat dengan kalangan anggota masih berada di lapangan.

  • Anak mengaku salah kelar ibu, adik hingga cedera parah

    Anak mengaku salah kelar ibu, adik hingga cedera parah

    SEORANG penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini atas dua pertuduhan mencederakan ibu dan adik perempuannya dengan mengelar mereka menggunakan pisau pemotong daging.

    Muhammad Hidayat Abu Samad, 24, didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada Sapiah Abdul Kadar, 49, dan Noor Iman Dania Abu Samad 11, dengan menggunakan pisau pemotong daging yang merupakan suatu alat untuk menetak di sebuah rumah di Taman Bukit Larang Indah, Melaka Tengah pada 10 malam, 10 Mac lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon Muhammad Hidayat yang tidak diwakili peguam menjalani pemeriksaan di Hospital Permai, Johor bagi mendapatkan laporan kesihatan mental.

    Hakim Mohd Sabri Ismail membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan psikiatri.

  • Tidak ada satu pun negara tidak sambut saya – Tun M

    Tidak ada satu pun negara tidak sambut saya – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan beliau tidak pernah disambut pegawai rendah sesebuah negara dalam kunjungan rasmi sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia.

    Malah beliau berkata, tiada negara tidak pernah menyambutnya dalam lawatan rasmi.

    “Semasa saya Perdana Menteri, banyak melakukan lawatan rasmi tidak ada satu negara pun yang tidak sambut dan saya disambut oleh ketua negara,” katanya menerusi sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas kunjungan Anwar ke Arab Saudi, baru-baru ini.

    “Tak tahulah kenapa (Anwar tidak disambut), saya pun tak faham Raja Saudi dan Raja Mohamad tidak mahu jumpa dengan Anwar, tetapi mereka mungkin mempunyai satu pandangan yang kita tak tahu yang menyebabkan mereka tidak ingin berjumpa (dengan Anwar).

    “Apabila pergi ke sana, yang jumpa dengan Anwar pun pegawai yang berpangkat rendahlah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, blok pembangkang menuntut Anwar menjawab persoalan berhubung lawatan rasminya ke Arab Saudi.

    Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, lawatan rasmi Anwar dianggap gagal dan memalukan negara kerana tidak berjumpa dengan pemimpin tertinggi negara tersebut.

  • Polis rampas 31 kilogram ganja bernilai lebih RM78,000 terbesar di Pahang

    Polis rampas 31 kilogram ganja bernilai lebih RM78,000 terbesar di Pahang

    POLIS merampas 32 ketulan mampat disyaki ganja seberat lebih 31 kilogram dengan anggaran nilai RM78,207.50 berikutan penahanan seorang pembantu kedai makan, minggu lepas, yang merupakan rampasan terbesar di Pahang untuk tahun ini.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dadah itu ditemukan dalam bangsal di Kampung Chendering di Kuantan, susulan penahanan suspek bersama satu ketulan mampat dadah itu, dipercayai sedang menunggu pelanggan, pada 5.30 petang, 21 Mac lepas di Jaya Gading.

    “Bangsal itu terletak di tepi rumah keluarga suspek dan pemeriksaan menemukan ketulan mampat dadah tersebut disimpan dalam guni dan bekas plastik.

    “Suspek dipercayai mula mengedar dadah sejak dua bulan lepas dan bergerak secara solo dengan bekalan dibawa masuk dari Kelantan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini.

    Ramli berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 65,566 penagih sehari dengan anggaran penggunaan sebanyak 0.5 gram.

    Ramli berkata ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah selain turut mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

    Polis, menurut Ramli akan memohon supaya reman suspek selama seminggu yang berakhir hari ini, disambung bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali.

  • Mansuh pelepasan cukai SSPN tindakan antirakyat, antianak muda

    Mansuh pelepasan cukai SSPN tindakan antirakyat, antianak muda

    Oleh WAN SAIFUL WAN JAN

    Tindakan PH-UMNO memansuhkan pelepasan cukai bagi penyimpan SSPN akan memusnahkan usaha menggalak penabungan pendidikan demi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada hutang untuk membiayai pendidikan anak bangsa. Akibat tindakan PH-UMNO ini, anak muda akan terus bergantung kepada hutang PTPTN. Kenapa anak muda dilayan sebegini?

    Pemansuhan pelepasan cukai ini menyerlahkan sikap anti-rakyat PH-UMNO dan membuktikan mereka ada dendam terhadap anak muda yang rata-rata memilih PN.

    Pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan SSPN adalah insentif yang saya usahakan semasa saya menjadi Pengerusi PTPTN untuk menggalakkan rakyat menabung demi masa depan anak bangsa. Saya mahu penyelesaian jangka panjang agar anak bangsa kita tidak terbeban dengan hutang selepas graduasi. Penabungan awal adalah jawapan jangka panjang yang sebenar, sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan tinggi percuma.

    Saya dan pegawai-pegawai kanan PTPTN naik turun Pejabat Menteri Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri berkali-kali pada 2018 dan 2019 untuk merayu kenaikan pelepasan cukai bagi simpanan SSPN dari RM6,000 ke RM8,000 sebagai penggalak penabungan lebih besar. Saya berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan bermula Belanjawan 2019.
    Hasilnya, jumlah deposit tahunan SSPN melonjak dari tahun ke tahun. Pada tahun 2017, jumlah deposit hanya RM 726.84 juta sahaja. Apabila saya mengambil alih jawatan Pengerusi PTPTN pada 2018, saya memulakan penekanan kepada penabungan.

    Hasil usaha keluarga PTPTN, jumlah deposit SSPN meningkat signifikan menjadi:
    2018: RM 1.14 bilion
    2019: RM 1.37 bilion
    2020: RM 1.99 bilion
    2021: RM 3.01 bilion

    (Rujuk kenyataan PTPTN yang disertakan)

    Jelas sekali apabila saya dan pegawai-pegawai PTPTN berjaya mendapatkan kenaikan pelepasan cukai menjadi RM8,000 bermula 2019, ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan signifikan deposit SSPN. Tetapi langkah yang mesra rakyat inilah yang mahu dihapuskan oleh PH-UMNO.

    PH-UMNO pasti akan beri pelbagai alasan kenapa mereka menghapuskan pelepasan cukai untuk simpanan SSPN. Mungkin mereka akan kata bahawa pelepasan cukai memberi manfaat kepada mereka orang yang mampu menabung sahaja. Sebenarnya memanglah dalam menggalakkan penabungan, kita mensasarkan golongan yang mampu menabung. Ini kerana kita tidak mahu mereka terus berhutang, padahal mereka mampu menabung demi pendidikan anak bangsa. Maka insentif itu adalah alat yang berkesan dan kumpulan sasarnya juga adalah tepat.

    Ibu bapa yang menabung dalam SSPN perlu ingat kezaliman PH-UMNO ini. Disebabkan sikap anti-rakyat PH-UMNO, ibu bapa hilang insentif untuk menabung SSPN.

    Anak muda juga perlu ingat kezaliman PH-UMNO ini. Disebabkan sikap PH-UMNO yang mendendami anak muda, hutang PTPTN anak muda akan terus meningkat.

    Penulis ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor

  • Pelukis pelan mengaku tidak bersalah hantar komunikasi teks, gambar jelik

    Pelukis pelan mengaku tidak bersalah hantar komunikasi teks, gambar jelik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pelukis pelan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan menghantar komunikasi teks dan gambar jelik pada tahun lalu.

    Tertuduh, Muhammad Firdaus Embong, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Ibrahim.

    Mengikut kertas pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh melakukan kesalahan itu pada 17 Mac 2022 sehingga 18 Ogos 2022 menerusi Facebook ‘Firdaus Embong’ dengan menghantar gambar dan teks jelik dengan niat menyakitkan hati.

    Hantaran tersebut telah dilihat di sebuah bank di Kulai pada pukul 2 petang, 14 September 2022.

    Pertuduhan terhadap Muhammad Firdaus yang juga orang kena saman (OKS) dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fazril Sani Mohamed Fadzil serta Pegawai Pendakwa SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin menawarkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan.

    Namun, OKS yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan rendah iaitu RM10,000.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula 15 Mei depan.

  • Rasuah: Bukan hanya pembangkang, pemimpin kerajaan turut disiasat – PM

    Rasuah: Bukan hanya pembangkang, pemimpin kerajaan turut disiasat – PM

    PERDANA Menteri mengesahkan terdapat juga anggota Parlimen kerajaan yang disiasat berkaitan dakwaan rasuah selain pemimpin pembangkang.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau ada bertanya perkara tersebut kepada pihak penguatkuasa dan mereka sahkan ada siasatan terhadap pemimpin kerajaan.

    Namun katanya, sama ada pendakwaan dibuat atau tidak bergantung kepada Jabatan Peguam Negara.

    “Tentang siasatan dana politik, saya terbuka, tiada masalah tapi kena faham undang-undang. Sekarang ini membolehkan derma kepada parti politik.

    “Yang dikaitkan dengan pendakwaan sebelum ini, pendakwaan yang terkait dengan kontrak diberikan.

    “Jadi kalau ada cadangan, ada permasalahan, kekhuatiran bawah ada unsur rasuah dalam derma kepada Keadilan (Parti Keadilan Rakyat), itu boleh dibangkitkan.

    “Saya tiada masalah…cuma soalnya kena faham undang-undang,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

    Anwar Ibrahim, dana politik, pembangkang, kerajaan,