Category: Semasa

  • Pertimbang semula pembatalan pelepasan cukai SSPN – Syed Saddiq

    Pertimbang semula pembatalan pelepasan cukai SSPN – Syed Saddiq

    KERAJAAN didesak mempertimbangkan semula pembatalan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Beliau berkata, perkara itu bukan perkara kecil kerana memberi kesan kewangan yang agak besar kepada golongan pertengahan.

    Menurutnya, simpanan SSPN adalah untuk pendidikan anak-anak, bukan untuk membeli barangan mewah dan kerana itu, beliau berpendapat pelepasan cukai harus dikekalkan.

    “Saya merayu kepada kerajaan, kepada keprihatinan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula keputusan ini.

    “Saya teliti sebab mengapa pelepasan itu tidak dilanjutkan, mereka kata kerana sudah ada insentif pelepasan cukai yang lain seperti pembelian perubatan daripada RM8,000 ke RM10,000. Itu hanya RM2,000.

    “RM8,000 (pelepasan cukai SSPN) ini adalah untuk tujuan pendidikan dan akan berterusan untuk tahun akan datang,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, keputusan seperti itu akan mengundang kemarahan rakyat khususnya golongan pertengahan yang terkesan.

    Malah katanya, niat mereka untuk melabur bagi pendidikan anak-anak juga mungkin menurun disebabkan tiada lagi insentif sebegitu buat mereka.

    Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong pada Isnin dilaporkan berkata, bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

    Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Steven Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

    Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.

  • Sayap Bersatu desak menteri tarik balik pembekuan pekerja asing

    Sayap Bersatu desak menteri tarik balik pembekuan pekerja asing

    SAYAP Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar menarik balik keputusan membekukan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor.

    Ketua Penerangannya, S. Subramaniam berkata, keputusan menteri menangguhkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing bercanggah dengan keputusan jemaah menteri sebelum ini.

    “Keputusan menteri untuk menarik balik Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang sepatutnya tamat pada 31 Mac ini bukan berdasarkan keperluan industri tetapi, seolah-olah ‘siapa cepat dia dapat’, yang lambat perlu ‘gigit jari’.

    “Nampaknya, kerajaan hari ini masih tidak faham isu pekerja asing. Kalau nak menangguh permohonan baru tidak mengapa.

    “Tapi ini membeku semua proses termasuk majikan yang mendapat kelulusan dan sedang menunggu untuk temuduga juga dibekukan. Memang tak adil,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Pada 18 Mac, Sivakumar mengumumkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

    Dalam kenyataannya menteri itu berkata, kerajaan meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing setakat 14 Mac 2023.

    Bagaimanapun, Subramaniam mendakwa kenyataan menteri tidak menunjukkan situasi sebenarnya.

    “Angka yang diberikan oleh beliau adalah termasuk kelulusan hampir 580,000 pekerja asing yang diberikan semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Sasaran kerajaan hari ini di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang bermula pada 17 Jan lalu adalah 500,000. Berdasarkan pecahan yang diberikan oleh menteri sehingga 14 Mac hanya 415,000 kelulusan diberikan oleh kerajaan hari ini.

    “Jadi, KSM masih kurang 85,000 kelulusan untuk mencapai sasaran. Kenapa menteri tergesa-gesa membekukan,” soalnya.

    Pada 17 Januari, kerajaan mengumumkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing untuk membawa masuk pekerja asing melibatkan lima sektor yang dianggap sebagai kritikal iaitu restoran, perkilangan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, majikan yang berjaya membawa masuk pekerja asing di bawah pelan penggajian dan kuota baru akan diberi tempoh enam bulan untuk mematuhi prasyarat tersebut.

    Prasyarat ini termasuk pematuhan kepada undang-undang buruh, melayakkan pekerja asing mengambil kuota di bawah Kementerian Sumber Manusia dan membayar gaji minimum.

    Beliau juga berkata penguatkuasaan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan akan dilaksanakan selepas tempoh enam bulan.

  • Peniaga mengaku tidak bersalah perdagang dua wanita untuk seks

    Peniaga mengaku tidak bersalah perdagang dua wanita untuk seks

    SEORANG peniaga hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi seks di Bahau, Jempol.

    Tertuduh, Muhammad Soleh Abdullah, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Mengikut pertuduhan, Muhammad Soleh bersama seorang lagi yang masih bebas didapati antara November 2022 hingga 11 Mac lepas, pada 11.50 malam di Taman Khaya 2 Bahau, Jempol, memperdagangkan seorang wanita berusia 28 tahun bagi eksploitasi seks.

    Bagi pertuduhan kedua, dia bersama seorang lagi yang masih bebas antara 2 Mac hingga 11 Mac, pada tempat dan waktu yang sama didapati memperdagangkan seorang lagi wanita berusia, 34, bagi tujuan yang sama.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala Muhammad Soleh diwakili peguam, M. Gobinathan.

    Hakim kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah turut mengarahkan supaya Muhammad Soleh tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai dan menetapkan 9 Mei ini bagi sebutan semula kes.

  • SPRM nafi dua pegawai kanan dalang rasuah korporat

    SPRM nafi dua pegawai kanan dalang rasuah korporat

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dua pegawai kanannya dalang dalam isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan syarikat korporat.

    SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan kepada pegawai suruhanjaya itu bagi menimbulkan persepsi negatif.

    “Kedua-dua pegawai tersebut telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan mereka seterusnya membuat laporan polis untuk menyangkal tohmahan tersebut.

    “Namun begitu, sekiranya wujud bukti, pihak berkaitan harus tampil membuat aduan atau laporan kepada penguat kuasa dan bukan membuat tohmahan menerusi media sosial yang berselindung di sebalik identiti palsu,” kata SPRM.

    Tegas suruhanjaya itu, pihaknya tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.

    “Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan prinsip pengasingan kuasa, Pejabat Peguam Negara (AGC) berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan hanya kes yang mempunyai bukti dan fakta kukuh diberikan izin untuk mendakwa mengikut budi bicaranya.

    Dalam pada itu juga, SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan oleh mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini.

  • 1 maut, 2 parah dalam kejadian kejar kereta selepas curi telefon bimbit

    1 maut, 2 parah dalam kejadian kejar kereta selepas curi telefon bimbit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN berani seorang lelaki memandu kenderaannya mengejar sebuah kereta selepas telefon bimbitnya dicuri menyebabkan seorang maut manakala dua parah dalam kejadian di Batu Pahat, pukul 3.30 petang semalam.

    Insiden tersebut berlaku di Jalan Parit Jalil melibatkan tiga buah kenderaan iaitu SUV Mazda CX5, Proton Wira dan Perodua Axia.

    Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penumpang dan pemandu kereta Proton Wira cuba melarikan diri selepas mencuri telefon bimbit milik pemandu kereta jenis SUV Mazda CX5.

    “Penumpang berkenaan berusia 43 tahun manakala pemandu Proton Wira pula berusia 29 tahun. Pemandu SUV Mazda CX5 yang berusia 31 tahun mengejar mereka dan sebaik sampai di lokasi kejadian, SUV Mazda CX5 secara tiba-tiba hilang kawalan.

    Kemalangan itu menyebabkan Proton Wira melanggar sebuah kereta lain dan mengakibatkan suspek maut akibat cedera parah

    “SUV Mazda CX5 berkenaan kemudian melanggar bahagian belakang kereta Proton Wira yang dikejarnya itu.

    “Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta Proton Wira dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia dinaiki sepasang suami isteri yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ismail berkata, penumpang Proton Wira mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandunya hanya cedera ringan.

    Ujarnya, pasangan suami isteri yang menaiki kereta Produa Axia cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat manakala pemandu kereta SUV Mazda CX5 tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan 1987 kerana melibatkan kematian dan sekiranya ada mana-mana saksi awam yang melihat kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Asma’i Md Yusuff di talian 013-6550128,” Katanya.

  • Ali pertahan rumah, janji langsai hutang RM60,000 Siti Norhidayah

    Ali pertahan rumah, janji langsai hutang RM60,000 Siti Norhidayah

    PELAWAK, Ali Puteh berkata, dia akan menjelaskan bayaran RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali sebelum Aidilfitri ini selepas permohonan bayaran ansuran ditolak.

    “Dari awal saya mohon untuk bayar secara ansuran, tetapi ditolak. Jadi, saya akan usahakan untuk bayar serentak dengan penuh seperti yang diminta. Insya-Allah, sebelum Aidilfitri ini saya akan selesaikan.

    “Apa nak buat, saya tak boleh nak menidakkan sebab ini kerja Tuhan. Tak mengapa, saya bincang dengan isteri, kami akan usahakan apa yang termampu biarpun terpaksa bergadai.

    “Saya pun sudah hubungi peguam saya semalam (kelmarin), dan rasanya hari ini (semalam) surat pun sudah dihantar. Insya-Allah, sebelum Aidilfitri selesai,” katanya menurut laporan BH Online.

    Ali ditemui ketika rakaman program Melodi Raya di Luxury Garden Hall, semalam.

    Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Siti Norhidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram (IG), dua tahun lalu.

    Mengulas lanjut, Ali turut tidak menafikan dia mempunyai kekangan untuk membayar jumlah begitu besar memandangkan sudah lama tidak menerima tawaran kerja seni.

    “Memang tawaran kerja tidak seperti sebelum arwah Abam meninggal dunia, rasanya sudah lebih kurang enam bulan saya tiada ‘job’. Sekarang saya berniaga dalam media sosial. Saya gunakan platform apa yang ada untuk cari duit.

    “Jadi, saya gunakan apa yang saya ada untuk selesaikan bayaran balu Abam. Saya kesal sebab saya bukan penjenayah, di mana saya digari dan dimasukkan dalam penjara, sebaliknya ini hanyalah urusan keluarga yang tidak membabitkan jenayah.

    “Saya pelik sampai begini kerjaya saya terganggu. Saya merasakan ia tak adil, tetapi nak buat macam mana, saya harap bila bayaran selesai, isu ini tidak berpanjangan,” katanya.

    Sementara itu, mengenai rumah arwah Abam yang dituntut Siti Norhidayah, Ali berkata, dia tidak boleh menyerahkannya kerana rumah itu adalah rumah pusaka arwah ibunya.

    Justeru, kata Ali, pihaknya akan membayar saman untuk mengelakkan rumah berkenaan disita.

    “Sebenarnya, ada perselisihan faham mengenai rumah berkenaan. Ia adalah rumah pusaka arwah ibu, tetapi banyak pula peguam bersuara.

    “Saya juga sudah menghubungi peguam balu Abam dan mereka minta saya menjawabnya di mahkamah. Tetapi, saya malas nak teruskan di mahkamah lagi.

    “Jadi, kami tolak tepi perkara itu sebab mereka tidak tahu apa terjadi dengan keluarga kami. Dan selepas berbincang dengan kakak dan adik susulan rumah pusaka disita, kami akan sediakan bayaran saman secepat mungkin. Insya-Allah rumah itu akan selamat.

    “Kalau selepas bayar masih mahukan rumah arwah ibu, tidak tahulah. Kita sudah bayar, dia nak apa lagi?

    “Tetapi, kami juga pelik bukannya sita harta saya, sebaliknya harta arwah ibu,” katanya.

  • Abai kucing peliharaan hingga mati, jurujual dipenjara 2 tahun

    Abai kucing peliharaan hingga mati, jurujual dipenjara 2 tahun

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 terhadap seorang jurujual atas pertuduhan mengabaikan lima kucing peliharaannya hingga mati kebuluran.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim, Siti Aminah Ghazali, menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chia Lin, 31, dan memerintahkan lelaki tersebut dipenjara setahun jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, Chia Lin sebagai pemilik atau penjaga lima kucing didakwa tidak menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi hingga menyebabkan haiwan peliharaan yang dikurung mati dan bangkainya ditemui kemudian.

    Kesalahan dilakukan di sebuah unit kediaman yang disewa di Bayu Tasik Condominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras antara 14 Jun dan 3 Julai tahun lalu.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 29(1)(D) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes pula, pengadu yang juga pemilik unit berkenaan menerima aduan daripada penduduk di kondominium itu bahawa rumah yang disewakannya kepada tertuduh berbau busuk seperti bangkai, pada 11 Mac lalu.

    Pengadu kemudian memeriksa unit berkenaan dan mendapati ada beberapa bangkai kucing dalam sangkar yang diletakkan di luar rumah di sebelah pintu.

    Pengadu menasihati penyewa supaya membuang sangkar berkenaan bagi mengelakkan penduduk membuat aduan terhadapnya.

    Dua hari kemudian, pengadu bersama pengawal keselamatan dan pengurus bangunan pergi ke rumah itu untuk meminta sewa bulanan yang tertunggak sebanyak RM1,400.

    Pengadu mendapati sangkar itu masih tidak dibuang manakala pintu rumah tidak berkunci menyebabkan mereka masuk untuk membuat pemeriksaan.

    Bau busuk dikesan di bahagian dapur berpunca daripada peti ais dan daging kisar dalam baldi, manakala tertuduh sedang tidur dalam bilik.

    Terdahulu ketika prosiding, Chia Lin yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

    Lelaki itu memberi alasan bahawa `tong’ itu untuk menyimpan ayam perap, namun penjelasannya dipintas oleh hakim yang memaklumkan tertuduh hanya boleh merayu bagi meringankan hukuman.

    “Tak kisah kucing perap ke ayam perap ke kerana kamu sudah mengaku bersalah terhadap pertuduhan. Kamu boleh merayu untuk meringankan hukuman saja,” tegas Siti Aminah.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, memohon tertuduh dipenjarakan untuk tempoh panjang sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.

    Beliau berkata, lelaki itu sepatutnya menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi serta tempat yang selesa, namun meninggalkan haiwan peliharaan kering-kontang tanpa belas kasihan.

    “Tertuduh pulang ke kampungnya di Sarawak selama sebulan bermula Jun 2022 tanpa menyediakan sebarang makanan dan minuman hingga kucing itu mati kebuluran.

    “Tertuduh tidak mengambil langkah proaktif untuk menanam bangkai, sebaliknya membiarkan begitu saja hingga menimbulkan masalah bau busuk dalam kejiranan kondominium berkenaan.

    “Bukan saja pencinta kucing, orang biasa pun akan merasa sedih melihat bangkai binatang dibiarkan begitu sahaja dalam keadaan menyayat hati,” katanya.

  • Pesara rugi lebih RM190,000 diperdaya sindiket penipuan

    Pesara rugi lebih RM190,000 diperdaya sindiket penipuan

    SEORANG pesara di Alor Gajah kerugian sebanyak RM194,210 akibat diperdaya sindiket penipuan yang mendakwanya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa iaitu seorang wanita berusia lewat 50-an menerima panggilan telefon daripada wanita bernama Faridah yang mendakwa sebagai peguam ketika mangsa berada di rumahnya, kira-kira 8.30 malam pada 21 Dis lepas.

    “Suspek mendakwa mangsa yang juga bekas kerani agensi kerajaan terlibat dalam pengubahan wang haram sebelum perbualan mereka disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Selangor bagi membuat laporan polis.

    “Seorang lagi suspek yang menyamar sebagai polis kemudian mengesahkan nama mangsa terlibat dalam jenayah itu dan terdapat waran tangkap atas nama mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa menafikan penglibatannya dalam jenayah itu tetapi beliau telah disoal siasat dan diminta memberikan segala butiran akaun bank termasuk jumlah baki yang dimilikinya.

    Katanya mangsa juga diarah membuat akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya itu ke dalam akaun baharu berkenaan bagi tujuan siasatan.

    Arshad berkata akibat diperdaya sindiket itu, mangsa telah memindahkan kesemua wang miliknya berjumlah RM194,210 secara berperingkat bermula 28 Dis 2022 hingga 2 Jan 2023 dan mangsa menyedari semua wang tersebut kemudian telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya pada 6 Jan lepas.

    Beliau berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada 24 Mac lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Dua peniaga dilepas, bebas tuduhan edar, miliki dadah

    Dua peniaga dilepas, bebas tuduhan edar, miliki dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan dua peniaga atas pertuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.

    Keputusan itu dibuat Hakim Noor Hayati Mat ke atas tertuduh, Lim Kean Yi, 32, dan Lee Chen Khang, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu pada akhir kes pendakwaan dan kedua-dua mereka tidak perlu membela diri.

    Dalam alasan penghakimannya, Noor Hayati menyatakan bahawa hasil penilaian daripada semua keterangan yang dikemukakan di mahkamah, mendapati berlaku ralat dalam kes pendakwaan itu.

    “Terdapat tiga individu ditahan ketika kejadian, bagaimanapun suspek ketiga bukan sahaja tidak dituduh, malah tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

    “Pendakwaan perlu buktikan kedua-dua tertuduh ini mempunyai akses ke lokasi kejadian itu, tetapi gagal dan ini menjejaskan kes pendakwaan.

    “Oleh itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” hujahnya.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama telah mengedar dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 202.47 gram di sebuah apartment servis di Jalan Persiaran Indah Utama di Johor Bahru, pada pukul 12.05 tengah hari, 30 Mei 2019.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai atau penjara seumur hidup dengan maksimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

    Di mahkamah sama, kedua-dua tertuduh turut dilepas dan dibebaskan bagi dua lagi pertuduhan iaitu secara bersama memiliki dadah jenis ketamin seberat 675.67 gram dan racun jenis Carbamazepine seberat 68.26 gram, di lokasi dan waktu yang sama.

    Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 boleh dihukum Seksyen 32(2) akta sama dan kedua-duanya dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norliza Abdullah, manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

  • 27 penyelidik ipt dipilih terima geran MPDP 2.0

    27 penyelidik ipt dipilih terima geran MPDP 2.0

    SEBANYAK 27 penyelidik dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara terpilih menerima geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin, pihaknya komited sebagai peneraju penyelidikan dasar dalam menyokong penghasilan kajian berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

    Beliau berkata, MPDP 2.0 adalah kesinambungan daripada MPDP yang diperkenalkan pada September 2021.

    “Senarai penerima geran MPDP 2.0 yang terpilih ini diluluskan dan dimuktamadkan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah MASA pada 27 Mac lalu dan akan menerima geran penyelidikan bernilai RM10,000 untuk kertas ringkasan polisi yang dihasilkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini, penyelidik MPDP berjaya menghasilkan penyelidikan berkualiti berkaitan kemiskinan situasi; pendidikan kumpulan B40; aspek perancangan bandar lestari bagi kumpulan B40 dan keterangkuman wilayah, khususnya di Sabah dan Sarawak.

    Selain itu, model perusahaan sosial bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS); potensi ekonomi hijau; sekuriti makanan serta pemerkasaan sektor eko pelancongan.

    Pada tahun ini, sebanyak 254 kertas cadangan dikemukakan oleh 29 IPTA dan IPTS dengan bidang tumpuan perubahan iklim; keterjaminan makanan; pembinaan daya tahan kesihatan dan kesiapsiagaan krisis masa depan; menangani keciciran pembelajaran; memacu perniagaan; rumah mampu milik dan perlindungan sosial.

    Sementara itu, Azril berkata, penerima geran MPDP juga digalakkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan masing-masing dalam jurnal berwibawa, sama ada di dalam atau luar negara.

    “MASA mengucapkan sekalung tahniah kepada penerima geran yang berjaya dan berharap hasil penyelidikan MPDP 2.0 ini dapat memperkukuhkan misi dan visi MASA untuk mempromosi gagasan kemakmuran bersama bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat sejagat,” katanya lapor Berita Harian.

    Senarai penerima geran MPDP 2.0 boleh dilayari di laman sesawang https://institutmasa.com/ms/program-pembangunan-dasar-masa/