Category: Semasa

  • Kemenangan mutlak di Terengganu beri lebih kekuatan kepada Pas – Hadi

    Kemenangan mutlak di Terengganu beri lebih kekuatan kepada Pas – Hadi

    PERIKATAN Nasional (PN) memenangi kesemua 32 kerusi yang dipertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu semalam sekali gus menyaksikan buat julung kalinya, tiada wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

    Gabungan Pas dan Bersatu, yang bertanding menggunakan logo ‘Bulan,’ membentuk kerajaan negeri di Terengganu setelah menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15. 

    Pada PRN kali ini, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS mempertahan kerusi Ru Rendang dengan majoriti 17,286 setelah memperoleh 20,927 undi untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaimi Sulaiman yang meraih 3,641 undi.

    Bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said pula bertanding atas tiket PH-BN namun kalah apabila hanya memperoleh  9,645 undi berbanding 13,403 undi yang dimenangi calon Pas, yang juga merupakan Pengerusi Bersatu Datuk Razali Idris, lapo BERNAMA.

    Seorang lagi bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman tewas di kerusi Seberang Takir setelah mendapat 9,359 undi berbanding Khazan Che Mat daripada Bersatu (Pas) yang memperoleh 12,156 undi.

    Satu-satunya calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Terengganu, Luqman Long, yang bertanding di DUN Bandar dan calon Bebas di DUN Hulu Besut, Dr Che Harun Kamariah, hilang deposit selepas masing-masing sekadar meraih 372 dan 180 undi.

    Sementara itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya proses semak dan imbang masih boleh berfungsi meskipun tiada wakil pembangkang dalam DUN Terengganu. 

    Ahli Parlimen Marang itu berkata kemenangan mutlak di 32 kerusi DUN akan memberikan lebih kekuatan kepada Pas Terengganu untuk memimpin negeri tersebut dan banyak masalah berbangkit boleh diselesaikan. 

    “Walaupun tiada pembangkang tetapi Ahli Dewan sendiri boleh nasihatkan kerajaan. Kita akan galakkan budaya nasihat dalam dewan dan rakyat juga bebas untuk menyuarakan kritikan melalui saluran yang betul,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRN dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu di Masjid Rusila, malam tadı.  

    Ahmad Samsuri pula berkata kerajaan negeri tiada masalah untuk meneruskan kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan.

    “Kami di negeri ini sangat terbuka, jadi kita mengharapkan kerajaan Pusat dapat berlapang dada untuk menerima keputusan rakyat Terengganu ini,” katanya. 

  • Calon wanita tunggal PN Terengganu raih kejayaan

    Calon wanita tunggal PN Terengganu raih kejayaan

    CALON wanita tunggal Perikatan Nasional (PN) di negeri ini, Zuraida Md. Noor memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

    Berita Harian melaporkan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita itu menewaskan pencabar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Sabri Alwi.

    Ketua Pengarah Ameerah Malaysia itu menang dengan majoriti 4,373 undi selepas memperoleh 11,663 undi manakala Mohd Sabri peroleh 7,290 undi.

    Pencalonan Zuraida pada PRN kali ini menggantikan penyandang kerusi DUN berkenaan, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang memilih tidak bertanding bagi memberi laluan kepada muka baharu.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tengku Hassan memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan Mohd. Sabri dengan memperoleh undi sebanyak 8,201, manakala Mohd Sabri (7,838).

    Selain mengekalkan DUN Ladang, tiga lagi DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu iaitu Bandar, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk kekal dimenangi Pas.

    Pada PRU14 lalu, Pas memenangi 22 daripada 32 DUN, sekali gus berjaya merampas semula kerajaan negeri, manakala BN memperoleh 10 kerusi.

  • Penolakan ahli BN terhadap gabungan bersama PH bantu kecemerlangan PN di Kedah

    Penolakan ahli BN terhadap gabungan bersama PH bantu kecemerlangan PN di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan, kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Kedah turut dibantu oleh penolakan ahli-ahli parti dalam Barisan Nasional (BN) terhadap tindakan gabungan tersebut bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH).

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu, apa yang berlaku menunjukkan manifestasi daripada gabungan BN serta PH yang tidak direstui ahli-ahli mereka.

    “Ini adalah satu petanda bahawa berlaku gelombang untuk mengelak PH dan BN. Saya rasa orang BN pun menolak kerjasama PH dan BN.

    “Sebelum ini saya menang dengan majoriti kira-kira 2,400 tetapi kali ini lebih 16,000. Saya tak jangka dapat majoriti sebanyak itu dan saya dapati, ada juga penyokong BN tak keluar mengundi.

    “Rakan saya, Datuk Muhammad Khizri Abu Kasim (Calon BN DUN Jeneri) menjadi mangsa kepada percaturan pimpinan parti yang telah bergabung dengan PH. Kebanyakan pengundi menolak perkara itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang di Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama Sik, Kedah.

    Sanusi diumumkan sebagai pemenang di Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama Sik, Kedah, malam ini.

    Setakat ini keputusan rasmi menunjukkan PN telah menguasai Kedah dengan kemenangan dua pertiga dan Muhammad Sanusi mencatat kemenangan majoriti sebanyak 16,050 ke atas Muhammad Khizri.

    Diminta mengulas penularan gambarnya yang memegang kertas undi dalam keadaan terbuka hingga menampakkan undiannya pagi tadi, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkannya kepada umum seperti yang terpapar di kebanyakan medium ketika ini.

    “Gambar tular itu disebabkan ada wartawan tak bertanggungjawab. Apabila saya sampai ke tong undian, wartawan minta saya pusing ke sana sini dan tanpa disengajakan kertas itu terbuka.

    “Dalam banyak-banyak gambar, dia (wartawan) pilih gambar itu untuk siarkan. Saya fikir itu etika yang tak bagus untuk wartawan kerana ada beribu lagi gambar yang elok tetapi kenapa pilih gambar itu?” soalnya.

    Tambahnya, beliau telah melayan kehendak wartawan tetapi wartawaan berkenaan kemudiannya ‘mengenakannya’ dalam hal itu.

    “Saya akan cari dia sampai lubang cacing untuk beri nasihat. Jadilah mata lebah, bukan mata lalat. Orang nak ‘pekena’ saya ini banyak sampai menteri pun ada turun sini nak buat demikian, tapi tak ‘kena’ pun.

    “Jadi tak payahlah buat kerja begitu kerana banyak lagi gambar lain lebih baik. Tak elok buat kerja begitu,” katanya.

  • PRN Terengganu: Dua bekas Menteri Besar tumbang

    PRN Terengganu: Dua bekas Menteri Besar tumbang

    DUA bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman tewas kepada pencabar masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Ahmad yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tewas kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi.

    Razali yang merupakan muka baharu mengalahkan Ahmad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu selepas memperoleh 13,403 undi.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.

    Ahmad menerima 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang menerima 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.

    Sementara itu, Ahmad Razif juga tewas kepada pencabarnya, Khazan Che Mat dengan majoriti 2, 797 undi.

    Ahmad Razif yang merupakan penyandang kerusi Seberang Takir sejak 2008 memperoleh 9,359 undi manakala Khazan mendapat 12,156 undi, lapor Sinar Harian.

  • Mahdzir Khalid kalah di Pedu

    Mahdzir Khalid kalah di Pedu

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini.

    Beliau kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas yang juga penyandang kerusi DUN itu, Mohd. Radzi Md. Amin dengan majoriti 6,373 undi.

    Keputusan rasmi yang diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pedu, Iman Hazwan Abd Halim di pusat penjumlahan undi di Dewan Badlishah, Kolej Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Nerang, malam ini menyaksikan Mahdzir memperoleh 8,024 undi manakala Mohd. Radzi mendapat 14,397 undi.

    Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah pernah menyandang kerusi DUN Pedu selama dua penggal antara 2004 hingga 2013.

    Mahdzir sebelum ini juga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu selepas tewas kepada calon PN dalam saingan tiga penjuru.

  • Azmin Ali menang di Hulu Kelang

    Azmin Ali menang di Hulu Kelang

    PERCATURAN Perikatan Nasional (PN) meletakkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang membuahkan hasil selepas bekas Menteri Besar Selangor itu menang di kerusi berkenaan.

    Keputusan rasmi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan Mohamed Azmin menang dengan majoriti 1,617 undi.

    Pengerusi PN Selangor itu memperoleh 25,597 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli dengan 23,980 undi.

    Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN sebelum ini memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa atas tiket Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Susulan perpindahan itu, PN menampilkan peguam yang juga aktivis kemasyarakatan, Shasha Lyna Abdul Latiff untuk mempertahankan DUN Bukit Antarabangsa.

  • [RASMI] Dr Afif menang tipis DUN Taman Medan, tewaskan PH

    [RASMI] Dr Afif menang tipis DUN Taman Medan, tewaskan PH

    CALON Perikatan Nasional (PN), Dr. Afif Bahardin berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Taman Medan menewaskan saingannya daripada Pakatan Harapan (PH), Ahmad Akhir Pawan Chik.

    Dr Afif menewaskan Ahmad Akhir dengan majoriti tipis sebanyak 30 undi sahaja.

    Beliau mendapat 22,316 undi manakala Ahmad Akhir meraih 22,286 undi, lapor Astro Awani.

  • [Keputusan tak rasmi] Bekas Naib Canselor UUM menang dengan majoriti lebih 20,000 undi

    [Keputusan tak rasmi] Bekas Naib Canselor UUM menang dengan majoriti lebih 20,000 undi

    BEKAS Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah membalas kepercayaan Perikatan Nasional (PN) apabila menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah ke-15, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini.

    Bekas pensyarah berusia 50 tahun itu menewaskan pencabar daripada Pakatan Harapan (PH), Datin Sabrina Ahmad, 45, yang juga Ketua Wanita PKR Kedah dengan majoriti besar, 23,172 undi selepas semua kertas undi dari 111 peti dikira.

    Dalam persaingan dua penjuru itu, Haim Hilman mendapat 34,342 undi, manakala Sabrina hanya 11,170 undi. Dalam proses penjumlahan, bekas Naib Canselor UUM itu mendahului sejak undi dari peti pertama dikira.

    Kemenangan beliau mencipta rekod tersendiri buat PN apabila buat pertama kali, gabungan itu menguasai keseluruhan kerusi DUN dalam Parlimen Kubang Pasu, termasuk Bukit Kayu Hitam.

  • [RASMI] PRN: Mahfuz kalah di Alor Mengkudu

    [RASMI] PRN: Mahfuz kalah di Alor Mengkudu

    NAIB Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah hari ini.

    Berdasarkan data keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) Muhamad Radhi Mat Din dengan majoriti 10,104 undi.

    Muhamad Radhi yang juga bekas pemain bola sepak Kedah memperoleh 18,936 undi manakala Mahfuz yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah memperoleh 8,832 undi.

    Kedua-dua mereka pernah bersaing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 di kerusi Parlimen Pokok Sena yang menyaksikan Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi.

  • PN berjaya bentuk kerajaan di Terengganu, Kelantan – SPR

    PN berjaya bentuk kerajaan di Terengganu, Kelantan – SPR

    PERIKATAN Nasional berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus di Terengganu dan Kelantan seterusnya berjaya membentuk kerajaan di kedua-dua negeri berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, di Terengganu, gabungan parti politik itu memenangi 17 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

    “Sementara Kelantan pula berjaya memenangi 23 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR, hari ini.