Category: Semasa

  • PRN: ‘Poster boy’ PN di Selangor belum muktamad

    PRN: ‘Poster boy’ PN di Selangor belum muktamad

    PERIKATAN Nasional (PN) masih belum memutuskan calon menteri besar Selangor yang juga “poster boy” dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, soal sama ada calon menteri besar daripada Pas atau Bersatu masih lagi dalam rundingan.

    “Belum ada keputusan (calon menteri besar Selangor PN),” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Pada soalan sama ada PN telah mempunyai nama-nama yang akan diketengahkan sebagai calon menteri besar, Roslan Shahir berkata: “Belum sampai ke situ lagi, (masih) dalam rundingan”.

    Semalam, Pas Kedah mengesahkan menteri besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merupakan ‘poster boy’ untuk negeri itu dalam menghadapi PRN.

    Perkara itu disahkan Setiausaha Pas Kedah Musoddak Ahmad yang menyifatkan prestasi serta sokongan rakyat kepada Muhammad Sanusi menjadi asas untuk diangkat sebagai ‘poster boy’.

    Sanusi juga pengarah pilihan raya PN bagi PRN akan datang, yang melibatkan enam negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Pada 12 Mac lalu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bersatu akan memegang jawatan menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Pas kekal mentadbir di Kedah, Kelantan dan Terengganu jika PN menang di negeri-negeri tersebut dalam PRN akan datang.

    Sementara itu sumber Bersatu turut mengesahkan bahawa soal calon menteri besar Selangor masih lagi dalam perbincangan.

    “Masih dalam perbincangan dan belum ada nama-nama yang boleh disebut sehingga kini.

    “Bagaimanapun kita sudah ada beberapa calon yang dikenal pasti,” katanya.

  • Pas seru pemimpin UMNO digantung, dipecat buat pendirian – Tuan Ibrahim

    Pas seru pemimpin UMNO digantung, dipecat buat pendirian – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan pemimpin UMNO yang sudah dipecat atau sedang menjalani hukuman gantung keahlian selama enam tahun supaya tidak menunggu untuk ditendang parti itu baru lah hendak menyambung perjuangan mereka.

    Jelas Timbalan Presiden Pas itu, kekuatan mereka selaku ‘orang lama politik’ sia-sia apabila bersendirian, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) mengiktiraf masing-masing cukup berpengaruh dalam masyarakat.

    “Kita perlu kekuatan untuk bergabung bagi masa depan negara.

    “Orang dah dibuang dan digantung enam tahun harus buat pendirian, takkan hendak tunggu orang tendang keluar … sedar-sedarlah diri,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Beberapa nama terkenal dalam UMNO dipecat keahlian sebelum atau selepas perhimpunan agung UMNO pada Januari lalu, antaranya bekas setiausaha agung Tan Sri Annuar Musa, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, bekas ketua UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, dan bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar atas kesalahan berkait PRU15.

    Beberapa lagi digantung keahlian selama enam tahun, antaranya bekas naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas naib ketua Pemuda, Shahril Hamdan, dan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. Ketiga-tiga mereka mendakwa tidak tahu atau tidak jelas sebab digantung.

    Shahidan bertanding PRU15 atas tiket Perikatan Nasional selepas BN tidak menamakan beliau sebagai calon.

    Tuan Ibrahim mengambil contoh situasi Annuar yang dilihat tidak puas hati kerana hanya bergerak bawah NGO Muafakat Nasional.

    “Orang politik tidak begitu dan orang lama mesti ada parti. Kalau tiada dia berjuang rasa tawar dan hambar,” katanya.

    Beliau turut menyentuh situasi Tajuddin, yang masih menaruh harapan UMNO menarik balik penggantungannya.

    Tajuddin memberitahu FMT baru-baru ini bahawa dalam rayuannya beliau memohon maaf atas kelantangan mengkritik Presiden Zahid Hamidi.

    “Kalau tak puas hati tetapi hanya bagi tahu sendiri-sendiri, mana ada kekuatan,” kata Tuan Ibrahim.

  • Tommy Thomas dakwa Najib selepas terima kertas siasatan lengkap, tiada niat jahat – Mahkamah

    Tommy Thomas dakwa Najib selepas terima kertas siasatan lengkap, tiada niat jahat – Mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas tidak sewenang-wenangnya mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak dengan niat jahat tetapi hanya selepas menerima kertas siasatan yang lengkap daripada agensi penyiasat.

    Hakim Datuk Ahmad Bache berkata hanya setelah mengkaji dan berpuas hati dengan bukti yang dikumpul, Thomas mengeluarkan persetujuan untuk mendakwa bekas perdana menteri itu terhadap 35 pertuduhan dalam empat kes.

    Kes itu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Beliau berkata isu ‘menyasarkan bekas perdana menteri atau sasaran niat jahat’ tidak timbul kerana menjadi tugas Thomas sebagai Pendakwa Raya untuk mendakwa Najib.

    Hakim berkata dalam kes ini, semasa saman difailkan pada 2021, pendakwaan terhadap 35 pertuduhan dalam empat kes itu masih diteruskan atau belum selesai dan Thomas telah meletak jawatan pada 28 Feb 2020.

    “Oleh itu, beliau (Thomas) tidak dan tidak akan terlibat dalam menjalankan prosiding 35 pertuduhan dalam empat kes itu, dan belum ada penentuan muktamad bagi empat kes itu,” katanya dalam penghakiman setebal 37 muka surat bertarikh 28 Feb dalam saman yang difailkan Najib terhadap Thomas.

    Pada 25 Nov tahun lepas, Ahmad membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib berhubung dakwaan salah guna jawatan awam kerana mendakwanya atas pertuduhan membabitkan kes 1MDB.

    Hakim itu berkata untuk bersetuju dengan cadangan bahawa Thomas telah melakukan ketiga-tiga kesalahan atau sebab tindakan (salah guna dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses yang berniat jahat dan kecuaian) walaupun kuasanya, juga akan membuka kepada semua tindakan Pendakwa Raya akan dipersoalkan.

    Beliau berkata ia juga membuka kepada penelitian awam, sekali gus mencabar budi bicara yang hampir tidak terikat yang diberikan kepadanya (Thomas) di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan juga timbalannya (Timbalan Pendakwa Raya -TPR) untuk melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.

    “TPR juga akan takut untuk mengemukakan pertuduhan terhadap suspek walaupun terdapat bukti yang terlalu banyak, kerana risiko mendedahkan mereka kepada saman sivil kemudiannya. Oleh itu, ini berpotensi membawa kepada peningkatan ketara aktiviti jenayah di negara ini.

    “Paling teruk, ia akan mengundang tertuduh untuk memfailkan tuntutan terhadap Pendakwa Raya meski pun sebelum prosiding dimulakan atau sebelum mereka dibebaskan seperti kes sekarang di mahkamah ini. Ini jelas akan menyebabkan kucar-kacir dan sistem keadilan jenayah kita akan terancam secara berbahaya,” katanya.

    Hakim berkata Pendakwa Raya dan TPR kemudiannya perlu hadir ke mahkamah dalam perbicaraan penuh untuk memberi keterangan dan menjelaskan bagi setiap kes, membuang masa rasminya dan dana awam serta menjejaskan dengan serius integriti institusi Peguam Negara atau Pendakwa Raya.

    Beliau berkata ini bertentangan dengan dasar awam dan bercanggah sepenuhnya dengan undang-undang prosedur yang ditetapkan dan Kanun Tatacara Jenayah.

    “Oleh itu, ini tidak sepatutnya dibenarkan dan tuntutan itu perlu dibatalkan kerana ia remeh dan menyusahkan. Ia juga akan menetapkan duluan buruk dan berbahaya apabila orang yang dituduh boleh memfailkan tuntutan terhadap Peguam Negara/Pendakwa Raya untuk setiap pembebasan,” katanya.

    Hakim berkata beliau berpendapat tindakan plaintif memfailkan tuntutan ini boleh dilihat sebagai serangan kolateral terhadap pendakwaan 35 pertuduhan jenayah kerana plaintif akan mengambil tindakan sivil secara pramatang berdasarkan pertuduhan jenayah yang masih belum selesai di mahkamah jenayah.

    Hakim berkata mahkamah berpendapat tuntutan itu tidak sepatutnya difailkan sama sekali, sebelum perbicaraan empat kes itu selesai.

    “Ia juga telah menimbulkan kekeliruan dan pelanggaran bidang kuasa antara bidang kuasa mahkamah sivil dan jenayah dan ini tidak sepatutnya dibenarkan sama sekali,” katanya.

    Mahkamah berpendapat punca tindakan penyelewengan dalam jawatan awam dan proses yang dipanggil berniat jahat adalah tidak mampan dan bukan permulaan kerana Thomas tidak menjalankan atau mengambil bahagian dalam pendakwaan empat kes itu, katanya.

    “Walaupun Thomas mempunyai agenda terhadap plaintif (yang tidak dipersetujui oleh mahkamah ini), beliau tidak akan menjalankan pendakwaan terhadap plaintif.

    “Bagaimana boleh beliau dikatakan melakukan salah guna dalam jawatan awam dan kesalahan lain. Oleh itu, tidak ada keperluan bagi saman ini untuk dibicarakan sepenuhnya dan tiada sebab untuk Thomas datang ke mahkamah untuk menjelaskan kerana tuntutan itu harus dibatalkan secara ab initio,” katanya.

    Dalam saman yang difailkan pada 22 Okt 2021, Najib mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan pada masa itu.

    Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah menyalah guna jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

  • Ayob Khan pengarah baharu JSJ mulai 16 April

    Ayob Khan pengarah baharu JSJ mulai 16 April

    PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang baharu.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan malam ini berkata pelantikan berkenaan berkuat kuasa pada 16 April ini.

    Pelantikan Ayob Khan sebagai Pengarah JSJ yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang akan bersara wajib dalam tempoh terdekat ini.

    Terdahulu, Ayob Khan, 57, menjadi Pengarah JSJN pada 25 Dis 2021 selepas menyandang jawatan Ketua Polis Johor pada 6 Mac 2020.

    Beliau sebelum itu merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman.

  • Wanita OKU rentung dalam kebakaran

    Wanita OKU rentung dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Parit Haji Elias, Ayer Baloi, Pontian, hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil berkata, wanita berkenaan ditemui di ruangan bilik tidur rumah berkenaan.

    “Sejurus menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah melalui talian MERS999, pada 12.27 tengah hari, satu jentera Fire Rescue Tedner (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian.

    Keadaan rumah yang diduduki mangsa terbakar 70 peratus. – Foto bomba

    “Seramai 23 anggota diketuai Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil terlibat dalam operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, setibanya ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat jenis kekal dan berkeluasan 30 x 60 x 12 kaki dan dianggarkan 70 peratus daripada keseluruhan rumah musnah dalam kebakaran.

    PKO juga ujar beliau, menemukan seorang wanita OKU ditemui rentung dalam bilik tidur rumah berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Dua remaja cedera, motosikal langgar MPV polis

    Dua remaja cedera, motosikal langgar MPV polis

    DUA remaja cedera apabila motosikal yang dinaiki berlanggar dengan sebuah unit kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Persimpangan Lembah Hijau, Bandar Tasik Puteri, Rawang di Gombak pukul 10.10 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian itu kereta peronda tersebut dari arah Bandar Tasik Puteri menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar).

    “Setibanya di persimpangan lampu isyarat Persiaran 3, Lembah Hijau, motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja masing-masing berumur 14 tahun itu telah melanggar bahagian kiri kereta peronda polis tersebut.

    “Pelanggaran mengakibatkan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa terbabas sebelum kedua-duanya terjatuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

    Katanya, dua anggota polis yang berada dalam kereta peronda tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ujar Zainal Mohamed, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta segera tampil bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Norazlan Noorudin di talian 0197974466 atau IPD Gombak di talian 03-61262222,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Duda rugi RM183,000 angkara Love Scam

    Duda rugi RM183,000 angkara Love Scam

    SEORANG jurukimpal di Kuantan kerugian RM183,600 akibat terpedaya sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita tempatan melalui Facebook.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata disebabkan sayang dan merancang untuk berkahwin, lelaki berusia 55 tahun itu sanggup membuat pinjaman peribadi.

    “Selain itu, mangsa turut mengeluarkan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    “Berdasarkan laporan, mangsa berstatus duda yang kematian isteri berkenalan dengan seorang wanita melalui Facebook pada Januari lalu.

    “Mangsa berkenalan dengan lebih rapat dan berbincang untuk berkahwin. Pada awal Februari lalu, mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian ke akaun suspek berjumlah RM25,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata beliau, tujuan wang itu digunakan untuk pembayaran kos kiriman wang AS$600,000 (RM2,642,187) untuk perbelanjaan perkahwinan mereka.

    Ramli berkata, selepas itu, mangsa membuat 10 kali transaksi pembayaran kepada dua akaun bank yang berbeza sebagai penambahan perbelanjaan perkahwinan.

    Katanya, mangsa kemudiannya terus didesak untuk memasukkan RM30,000 untuk tujuan bayaran kepada Bank Negara bagi menyelesaikan masalah kiriman wang terbabit.

    “Tetapi mangsa enggan berbuat demikian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Isteri maut, suami dirawat di ICU selepas makan ikan buntal

    Isteri maut, suami dirawat di ICU selepas makan ikan buntal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG suami isteri di Kluang yang pertama kali makan ikan buntal mengalami pening kepala, sesak nafas dan menggigil pada Sabtu lalu.

    Anaknya kemudian menghantar ibunya ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di Kluang pada pukul 3 petang.

    Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kira-kira satu jam kemudian suami mangsa turut mengalami gejala sama.

    “Pasangan berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada jam 5 petang, namun wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada 7 malam, manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HEBHK.

    “Pasangan suami isteri itu mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara pra tempahan melalui Facebook (FB),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, selepas menerima ikan tersebut pada Sabtu lalu, mangsa menggoreng untuk hidangan tengah hari dan difahamkan adalah kali pertama pasangan itu menjamu masakan ikan buntal.

    “Siasatan lanjut mendapati ikan berkenaan diperoleh dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat,” katanya.

    Katanya, penjual ikan buntal yang berasal dari Batu Pahat akan menghantar kepada pelanggan berdasarkan tempahan melalui Facebook.

    “Sebanyak 15 kilogram ikan sudak dijual kepada masing-masing empat pelanggan di Chamek dan Paloh, dan seorang di Yong Peng pada hari itu.

    “Selain pasangan terbabit, pelanggan lain belum memakan ikan buntal itu,” katanya.

    Kata Tian Soon, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat sudah mengambil sampel ikan itu daripada pelanggan yang dibeli dari penjual berkaitan untuk dihantar ke makmal bagi dianalisa.

    Jelas beliau, sehingga kini tiada lagi pelaporan baru berkaitan dengan ikan buntal.

    “Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati ketika memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang diketahui,” katanya.

  • Penuntut Malaysia dijemput ajal, ketika perjalanan membeli kitab

    Penuntut Malaysia dijemput ajal, ketika perjalanan membeli kitab

    KELUARGA seorang pelajar lelaki yang maut di Jordan dalam kemalangan jalan raya ketika perjalanan dari Mu’tah ke Amman dengan tujuan membeli kitab, reda apabila Muhamad Haziq Haikal, 23, menghadap penciptaNYA pada bulan Ramadan yang mulia ini.

    Bapa arwah, Md. Noor Hussain, 63, berkata, pemergian anak bongsu kesayangan daripada enam beradik itu amat dirasai mereka sekeluarga.

    Dia terkilan kerana hampir dua minggu tidak dapat berkomunikasi dengan arwah berikutan sibuk dengan pelbagai urusan selepas kediaman keluarga mereka dekat Tongkang Pechah di Batu Pahat, dilanda banjir awal bulan ini.

    “Sudah hampir enam bulan arwah mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam jurusan Usuluddin di Fakulti Syariah di Universiti Mu’tah.

    “Pengajiannya di Jordan selama dua tahun dan merancang untuk menamatkan pengajian terus tanpa pulang ke kampung dalam tempoh masa pengajian,” katanya.

    Md. Noor berkata, arwah yang juga bekas penuntut Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) meninggal dunia dalam kemalangan kereta ketika dalam perjalanan membeli kitab bagi kegunaan peribadi pada Jumaat lalu iaitu hari kedua Ramadan.

    Dia berkata, keluarganya reda kerana yakin Allah berikan kelebihan kepada arwah yang dikebumikan di tanah perkuburan Mu’tah, sebuah lapangan peperangan yang mulia di antara sempadan Syria dan Jordan.

    Katanya, mereka sekeluarga membenarkan jenazah anaknya itu disemadikan di Mu’tah pada keesokan hari (Sabtu lalu) selepas waktu Zohor (waktu Jordan) kerana bagi memastikan urusan terakhirnya berjalan lancar.

    “Arwah adalah anak yang sangat baik dan soleh dan minat mendalami ilmu agama, dia pernah menjadi imam tarawih di sekitar Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru, selain mendapat syahadah hafazan al-Quran di Melaka dan mensyahadahkan hafazan al-Quran pelajar di Sarawak.

    “Dia anak yang ringan tulang, suka membantu ibu ayah di rumah, gemar membantu individu lain, aktif dalam khidmat masyarakat dan memiliki hubungan yang baik dengan rakan mahupun pensyarah.

    “Malah dia juga gemar memasak dan menyediakan sajian berbuka puasa ketika bersama keluarga,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid hari ini.

    Sementara itu, abang arwah, Muhamad Aizuddin, 36, yang juga Penolong Pendaftar MARSAH, menyifatkan adiknya seorang insan peramah yang sentiasa dirindui ahli keluarga.

    “Memang kami terkilan tidak dapat mengurus pengebumiannya, namun mungkin ia sudah suratan takdir, apa pun kami bersyukur semua urusannya lancar.

    “Hajat kami sekeluarga untuk melawat pusaranya di Jordan namun berikutan kekangan kewangan, kami masih mengumpul dana terutama kos pembelian tiket penerbangan ke sana.

    “Kami berharap segala urusan dipermudahkan supaya hajat kami untuk menziarahi maqam (kubur) arwah dalam tempoh terdekat tercapai,” katanya.

    Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga Allahyarham Muhamad Haziq boleh disalurkan ke akaun Bank Islam milik Muhamad Aizudin 01032020509946 atau hubungi 013-7019077.

  • Pelepasan cukai SSPN: Pembayar cukai kecewa, kesal keputusan kerajaan

    Pelepasan cukai SSPN: Pembayar cukai kecewa, kesal keputusan kerajaan

    KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 terhadap pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN mengundang rasa kecewa dan kesal khususnya ibu bapa yang membayar cukai.

    Memetik laporan Harian Metro, pekerja Swasta, Ayati Omar, 50 berkata keputusan itu sewajarnya dipertimbangkan semula.

    Menurutnya yang sudah mencarum SSPN untuk empat anaknya sejak 2008, caruman di SSPN adalah langkah terbaik untuk mengurangkan rebat cukai.

    “Saya sangat terkejut dan kecewa. Selain menyimpan, sejujurnya ia tujuan kita buka SSPN itu untuk pelepasan cukai, setiap tahun saya akan mencarum bagi setiap akaun anak, dalam masa sama dapat rebat pengurangan cukai.

    “Jika SSPN, kita boleh menabung, ada faedah walaupun tidak banyak dan paling penting dapat pelepasan cukai. Pelepasan cukai menerusi caruman SSPN saya pernah dapat paling tinggi RM3,000,” katanya, hari ini.

    Ayati turut meminta kerajaan supaya melihat semula pemansuhan berkenaan.

    Katanya sekiranya diteruskan, kemungkinan ramai pencarum akan berhenti menabung.

    “Kalau SSPN tiada pelepasan cukai, lebih baik simpan di bank lain atau pelaburan lain.

    “Contoh saya, setahun kena cukai lebih RM4,000, saya tidak ambil insurans peribadi dan pembelian barangan, maknanya kita tidak dapat rebat pulangan cukai itu semula.

    “Kalau tolak rebat SSPN ini, paling tidak saya dapat semula RM2,500, jadi nampak kurang pembayaran cukai,” katanya.

    Sementara itu, Pekerja Swasta, Nor Shikin Md Salleh berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan itu.

    “SSPN itu adalah galakan untuk rakyat menabung, pada masa sama boleh mengurangkan pembayaran cukai.

    “Saya harap kerajaan timbangkan semula, janganlah sampai memansuhkan pelepasan cukai daripada SSPN.

    “Mungkin ada kaedah lain yang boleh berikan situasi menang-menang kepada kami pembayar cukai,” katanya.

    Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.