Category: Semasa

  • Letak jawatan KM Melaka: Sulaiman perlu beri penjelasan

    Letak jawatan KM Melaka: Sulaiman perlu beri penjelasan

    DATUK Seri Sulaiman Md Ali diminta memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Melaka, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh berkata, ini kerana Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu dan asas yang kuat bagi menjamin kestabilan kerajaan, seterusnya melaksanakan agenda bagi kepentingan rakyat.

    “Timbul persoalan apabila BN mempunyai majoriti dua pertiga secara tiba-tiba berlaku peletakan jawatan sekali gus mengesahkan desas desus bahawa wujud pergolakan dalam pimpinan BN Melaka didakwa tercetus sejak Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada November 2021.

    “Saya melihat dengan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman itu menunjukkan bahawa BN sejak menang PRN Melaka, agenda mereka bukanlah untuk rakyat, sebaliknya memenuhi nafsu kerakusan kuasa diri sendiri.

    “Rakyat sekarang sedang dihidangkan sikap sebenar pemimpin BN bahawa mereka melakukan tebuk atap terhadap rumah sendiri bagi memenuhi agenda mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sheikh Ikhzan yang juga Majlis Eksekutif Pusat Pejuang berkata, laungan undi BN bagi menjamin kestabilan politik semasa PRN juga hanya omong kosong bagi memperdayakan rakyat.

    Beliau berpandangan bahawa sepatutnya mereka mengutamakan tentang masalah rakyat yang sedang meruncing dan fikirkan solusi penyelesaian.

    “Janganlah selepas esok ada lagi berlaku pertukaran Ketua Menteri yang tidak berkesudahan,” ujarnya lagi, lapor Sinar Harian.

    Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam
    mengesahkan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen kelmarin.

  • Kerajaan PH-BN undur negara ke politik lapuk

    Kerajaan PH-BN undur negara ke politik lapuk

    LANGKAH kerajaan persekutuan membelakangi pemimpin kerajaan negeri yang berbeza parti politik dianggap bertentangan dengan semangat federalisme.

    Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, amalan sedemikian dianggap tempang, lebih-lebih lagi kerajaan sekarang mahu dikenali sebagai Malaysia Madani.

    Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, tindakan seumpama itu jelas mengundurkan negara ke belakang dan bertentangan dengan prinsip dan amalan federalisme.

    “Semua pihak harus bersikap profesional dalam konteks pelaksanaan dasar mahu pun program yang melibatkan hubungan dua hala persekutuan dan negeri.

    “Apatah lagi dalam perkara berkaitan urus tadbir kerajaan, perbezaan politik harus diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harakahdaily.

    Semalam Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Noor mendedahkan beliau dihalang daripada terlibat dengan mana-mana program kerajaan persekutuan termasuk LIMA di Langkawi.

    Malah program Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan yang dijadual diadakan di Dewan A, MEAPS Serdang 9 April ini turut diarah ditarik balik.

    Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya tidak mengundurkan negara ke landskap politik lapuk.

    Beliau menambah, polemik itu dicetus apabila projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah cuba disukarkan kerajaan sekarang.

  • ‘Badi Ketua Menteri Melaka’ masih berterusan

    ‘Badi Ketua Menteri Melaka’ masih berterusan

    LANGKAH Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di pusat pentadbiran kerajaan, Kompleks Seri Negeri selaku ketua tertinggi kerajaan Melaka berakhir setelah beliau secara rasmi meletak jawatan Ketua Menteri ke-12, hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu daripada UMNO itu akhirnya terpaksa akur dengan ketentuan partinya sendiri setelah beberapa kali ‘usaha’ menukar beliau dengan pemimpin lain berjaya dielakkan sebelum ini.

    Sulaiman atau mesra disapa Tok Leman mula menjadi Ketua Menteri Melaka pada Mac 2020 yang bermakna beliau hanya mampu bertahan selama tiga tahun selepas kali kedua mengangkat sumpah jawatan itu pada November 2021, susulan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pengunduran diri Sulaiman itu menjadikan beliau menjadi Ketua Menteri Melaka seterusnya yang terpaksa mengosongkan kedudukan secara ‘terpaksa’, ‘kontroversi’, ‘tidak bersedia’ dan pelbagai lagi pandangan pemerhati politik.

    Sebelum ini, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam yang menjadi Ketua Menteri Melaka kesembilan juga tidak bernasib baik pada karier politiknya apabila tewas Pilihan Raya Umum setelah bertindak bertukar kerusi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen.

    Malah, pengunduran paling kontroversi sudah tentu melibatkan Ketua Menteri Melaka keenam iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang menduduki jawatan itu sejak 1982 hingga 1994.

    Selepas Mohd. Ali, Datuk Seri Ir. Idris Haron pula berdepan nasib sama, kerana walaupun berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang pada 2018, parti diketuainya di Melaka tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus beliau hanya bergelar Ketua Menteri sepenggal.

    ‘Badi ketua menteri’ Idris disambung pula oleh Adly Zahari pada tahun 2020 meskipun beliau daripada parti berbeza apabila Adly yang satu-satunya bukan Ketua Menteri berasal dari UMNO setakat ini dijatuhkan pada 2 Mac tahun berkenaan.

    Kekosongan yang terpaksa ditinggalkan Adly selepas mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri ke-11 pada Mei 2018 itu diteruskan pula oleh Sulaiman hari ini yang menerima nasib sama dengan ketua-ketua menteri sebelumnya.

    Jawatan beliau hampir pasti akan digantikan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang merupakan nama sering menjadi spekulasi selepas PRN Melaka 2021 lalu.

    Sekiranya Ab. Rauf direzekikan menjadi Ketua Menteri Melaka yang seterusnya esok, sudah pasti beliau hanya ada tempoh kurang tiga tahun sebelum PRN seterusnya perlu diadakan pada 2025.

    Sama ada beliau mampu bertahan atau berdepan cabaran besar untuk mempertahankan Melaka di bawah cengkaman UMNO bagi penggal seterusnya, Ab. Rauf sudah tentu perlu bersedia pula dengan segala kemungkinan kerana beliau menyandang ‘badi’ seterusnya.

    Maka benar seperti hikayat Hang Tuah dahulu yang diceritakan penderhakaan Hang Jebat kerana perbalahan dua wira Melaka itu menjadikan negeri itu kacau bilau sehingga tidak ada Sultan sampai ke hari ini.

  • Ada surat arahan Kabinet agar Sanusi dihalang serta majlis kerajaan?

    Ada surat arahan Kabinet agar Sanusi dihalang serta majlis kerajaan?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, surat arahan Kabinet agar beliau dihalang daripada menghadiri majlis-majlis Kerajaan Persekutuan telah dilihat oleh salah seorang pegawainya.

    Dakwanya, surat itu ditunjukkan pegawai sebuah agensi kerajaan Persekutuan kepada individu tersebut ketika kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat di Langkawi kelmarin.

    “Agensi berkenaan ada mesyuarat di Langkawi kelmarin.

    “Pegawai agensi tersebut tunjuk kertas arahan Kabinet kepada pegawai Pejabat Menteri Besar yang turut hadir mesyuarat berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Wan Romani Wan Salin ketika dihubungi berkata, pimpinan Kerajaan Persekutuan termasuk dalam kalangan menteri dilihat tidak bersikap profesional setiap kali hadir membuat lawatan kerja rasmi ke Kedah.

    Menurutnya, setiap kali Perdana Menteri mahu pun anggota Kabinet turun ke Kedah, tiada jemputan kepada Menteri Besar mahu pun Exco terlibat untuk turut sama terlibat dalam majlis berkenaan.

    “Sebagai contoh, lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil semalam dan hari ini melibatkan beberapa program terkait dengan portfolio saya sebagai Exco di Kedah, tetapi saya tak dijemput hadir ke program berkenaan untuk turut serta dalam majlis sedangkan kita ada ruang untuk menjalin kerjasama.

    “Dalam Facebook Fahmi, memanglah diletakkan gambar kononnya dia menjemput orang itu dan ini termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti yang sama parti dengannya. Tetapi mengapa saya sebagai Exco berkaitan serta ADUN Kuala Nerang dan Pedu tidak dipanggil atau dimaklumkan langsung?” katanya.

    Tambahnya, tindakan sedemikian seolah-olah menafikan hak kerajaan negeri.

    “Perkara sebegini tak pernah berlaku dalam pemerintahan Perdana Menteri lain sebelum ini. Kami di Kedah ini berkhidmat untuk menyelesaikan isu semua rakyat Kedah termasuk penyokong-penyokong parti mereka.

    “Jadi tak bolehlah mereka bertindak demikian. Apa yang dilakukan terhadap Menteri Besar serta kepimpinan kerajaan negeri kini adalah tidak profesional,” katanya.

  • Kos haji: Pas cadang kerajaan benar pengeluaran Akaun 2 KWSP

    Kos haji: Pas cadang kerajaan benar pengeluaran Akaun 2 KWSP

    BAGI menampung kenaikan kos haji pada ketika ini, Pas mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melebihi RM3,000 kepada pencarum yang layak .

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pertimbangkan.

    “Pas menyedari akan faktor-faktor luar kawal dan luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (LTH) yang menyebabkan kenaikan kos mengerjakan rukun Islam kelima pada tahun ini yang dijangka lebih dari RM31,000 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM28,632.

    “Pas juga menyedari bahawa kerajaan akan menanggung penuh kenaikan kos haji bagi golongan B40, manakala golongan M40 perlu membayar tambahan RM3,000 sementara golongan T20 pula perlu melunaskan sendiri bayaran penuh kenaikan kos haji ini.

    “Oleh yang demikian, melalui sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin, Pas telah mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Agama untuk mengurangkan bebanan kenaikan ini kepada bakal Dhuyufurrahman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut laporan Astro Awani.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, Pas selain itu Pas mahu Kerajaan mempertimbangkan bantuan kepada golongan T20 yang turut terkesan dengan kos sara hidup.

    “Kerajaan tidak menggunakan kaedah pukul rata kepada golongan T20. Kerajaan dicadangkan untuk mempertimbangkan bantuan kepada golongan ini juga berdasarkan kepada faktor-faktor berkait seperti bebanan kewangan, lokaliti dan kos sara hidup,” katanya.

    Beliau menambah, Pas sehubungan itu berharap Menteri Agama, Datuk Mohd Nai’im Mokhtar mengambil maklum cadangan yang diberikan dan dibincangkan di peringkat kementerian bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang terbabit.

  • ‘Ini spesies baru kelahiran UMNO, Ketua Menteri pintu belakang’ – Exco

    ‘Ini spesies baru kelahiran UMNO, Ketua Menteri pintu belakang’ – Exco

    EXCO Kerajaan Melaka mendakwa negeri itu bakal mempunyai Ketua Menteri ‘pintu belakang’ susulan peletakan jawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Ali.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis mendakwa rakyat memahami istilah ‘kerajaan pintu belakang’.

    “Apa yang tuan-tuan akan saksikan dalam beberapa hari berikutnya ialah Ketua Menteri tebuk atap atau Ketua Menteri pintu belakang.

    “Ini spesies baharu kelahiran UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia seperti dilaporkan oleh portal berita, FMT.

    Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dilaporkan enggan mengulas khabar angin negeri itu akan mempunyai Ketua Menteri baharu sehingga ada maklumat seterusnya.

    Ketua Menteri baharu itu akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ali Rustam, esok bagi menggantikan Sulaiman.

    FMT melaporkan, khabar angin mengenai kedudukan Sulaiman bakal digantikan bukan perkara baharu.

    Selepas Pilihan Raya Negeri pada November 2021, Rauf didakwa cuba melobi pemimpin tertinggi parti untuk dinamakan sebagai Ketua Menteri.

    Beliau juga tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah Sulaiman.

    Rauf kemudian menafikan cakap-cakap berhubung pergolakan dalam kerajaan negeri yang baru ditubuhkan dengan berkata, Sulaiman mendapat sokongan semua ketua bahagian UMNO.

    Rauf turut dilantik sebagai Exco perindustrian, pelaburan dan pembangunan usahawan negeri.

    Disember lalu, Sulaiman menafikan spekulasi akan melepaskan jawatannya pada bulan berikutnya.

    Ini menyusul laporan media beliau akan meletak jawatan pada 3 Januari untuk memberi laluan kepada Rauf.

    Rauf kemudian mendakwa ada pihak tertentu cuba memecahbelahkan hubungannya dengan Sulaiman dengan menyebarkan khabar angin berniat jahat mengenainya.

  • Ab Rauf calon ketua menteri Melaka baharu – Zahid Hamidi

    Ab Rauf calon ketua menteri Melaka baharu – Zahid Hamidi

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Ab Rauf Yusoh sebagai calon ketua menteri Melaka baharu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, cadangan itu telah dibuat kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

    “Saya telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk menerima peletakan jawatan ketua menteri Melaka.

    “Dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri baharu, noktah, ia telah dipersembahkan,” katanya kepada media di Parlimen.

    Pada soalan alasan peletakan jawatan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri, Zahid memaklumkan keputusan itu dibuat atas faktor kesihatan.

    “Dia (Sulaiman) beritahu sebab kesihatan,” katanya.

    Ditanya sama ada barisan exco baharu akan membabitkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), Zahid berkata, pelantikan itu akan mengambil semangat pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

    “Saya membincangkan barisan exco oleh kerana kita mengambil semangat kerajaan perpaduan yang berjalan baik di nasional, saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tetapi rakyat Malaysia,” katanya.

    Rauf sebelum ini berulang kali dikaitkan dengan jawatan ketua menteri sejak Barisan Nasional menang PRN Melaka, pada November 2021.

    Sebelum PRN Melaka, Sulaiman adalah ketua menteri, manakala Rauf sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN). Sulaiman kemudian dilantik semula sebagai ketua menteri selepas kemenangan besar BN.

    Bagaimanapun, khabar angin Sulaiman akan digantikan timbul sejurus keputusan PRN mula diketahui, yang mana Rauf mendakwa ada cubaan melobi pimpinan tinggi parti untuk jawatan ketua menteri. Beliau tidak hadir ketika Sulaiman mengangkat sumpah.

    Rauf selepas itu menafikan cakap-cakap berlaku pergeseran dalam kerajaan negeri baharu ditubuhkan, sambil menyatakan Sulaiman disokong semua ketua bahagian UMNO negeri.

  • ‘Kestabilan politik hanya mitos, Sulaiman dipaksa lepas jawatan’

    ‘Kestabilan politik hanya mitos, Sulaiman dipaksa lepas jawatan’

    DATUK Seri Sulaiman Md. Ali meletak jawatan Ketua Menteri Melaka kerana terpaksa tunduk kepada pihak tertentu sedangkan hakikatnya, beliau tidak mahu melepaskan jawatan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang dari Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Aleef Yusof mendakwa, beliau yakin Sulaiman enggan berbuat demikian tetapi terpaksa akur kepada pihak terbabit.

    Justeru itu, beliau mendakwa kestabilan politik yang dilaungkan pemimpin Barisan Nasional (BN) Melaka sebelum ini hanyalah mitos.

    “Kestabilan yang dilaungkan hanya cerita mitos. Saya percaya Sulaiman sebenarnya tidak mahu melepaskan jawatan tetapi beliau terpaksa tunduk dan akur.

    “Inilah yang berlaku di negeri yang dikuasai UMNO dan BN. Berbanding di negeri lain yang tidak dikuasai UMNO dan BN, tiada gangguan dan perebutan kuasa seperti di Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada November 2021 adalah akibat perbalahan dalam kalangan pemimpin UMNO untuk menjadi Ketua Menteri.

    “Selepas UMNO menang besar, kestabilan politik tidak berlaku kerana dalam kalangan mereka ada sikap tamak untuk merebut kuasa.

    “Saya dengar dalam kalangan mereka, ramai tidak setuju dengan perubahan ini tetapi masing-masing tidak dapat melakukan apa-apa,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau mendakwa, krisis politik yang berpanjangan di negeri ini hanya menyebabkan rakyat semakin bosan dan kecewa.

    Dr. Aleef berkata, perubahan kepemimpinan negeri tidak menjamin kestabilan politik, apatah lagi dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka yang dicadangkan Kerajaan Pusat.

    Sulaiman meletak jawatan melalui surat yang diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh disebut-sebut sebagai bakal Ketua Menteri baharu.

  • Rauf dijangka jadi Ketua Menteri Melaka

    Rauf dijangka jadi Ketua Menteri Melaka

    KETUA UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-14 esok susulan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Lendu Sulaiman Md. Ali.

    Sumber memberitahu FMT, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mungkin mencadangkan Rauf bagi jawatan berkenaan apabila Presiden UMNO itu bertemu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

    Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara, sebelum ini berulang kali dikaitkan dengan jawatan itu sejak Barisan Nasional menang PRN Melaka,pada November 2021.

    Sebelum PRN Melaka, Sulaiman adalah Ketua Menteri, manakala Rauf sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Sulaiman kemudian dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas kemenangan besar BN.

    Bagaimanapun, khabar angin Sulaiman akan digantikan timbul sejurus keputusan PRN mula diketahui, yang mana Rauf mendakwa ada cubaan melobi pimpinan tinggi parti untuk jawatan ketua menteri.

    Beliau tidak hadir ketika Sulaiman mengangkat sumpah.

    Rauf selepas itu menafikan cakap-cakap berlaku pergeseran dalam kerajaan negeri baharu ditubuhkan, sambil menyatakan Sulaiman disokong semua ketua bahagian UMNO negeri.

    Rauf kemudian dilantik sebagai Exco mengetuai portfolio perindustrian, pelaburan dan pembangunan usahawan negeri.

    Pada Disember, Sulaiman menafikan spekulasi akan meletak jawatan daripada menerajui kerajaan negeri susulan laporan beliau didakwa dijangka berbuat demikian pada 3 Januari, untuk memberi laluan kepada Rauf.

    Dalam pada itu, Rauf mendakwa ada segelintir pihak cuba merenggangkan hubungannya dengan Sulaiman menerusi khabar angin berniat jahat.

    Semalam, Zahid mengesahkan Sulaiman meletakkan jawatan sebagai ketua menteri, dua hari selepas beliau mengumumkan Melaka akan menyaksikan pembentukan kerajaan perpaduan tidak lama lagi.

  • Tidak adil sekat ketua kerajaan negeri

    Tidak adil sekat ketua kerajaan negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    MELARANG Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada menyertai program anjuran Kerajaan Persekutuan merupakan satu bentuk penganiayaan dan layanan tidak adil terhadap seorang ketua kerajaan negeri.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, Kerajaan Persekutuan yang mengetengahkan Malaysia Madani tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia bertentangan dengan konsep dilaung-laungkan mereka.

    Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, elemen pentadbiran dan pemerintahan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya dimasukkan elemen politik yang boleh menjejaskan kedua-dua pihak.

    “Sekiranya benar perkara itu berlaku, saya rasa tidak adil sebab dalam konteks Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23’) yang akan dianjurkan walaupun dibiayai Kerajaan Persekutuan, pameran itu dibuat dalam Kedah dan Pulau Langkawi merupakan jajahan negeri Kedah.

    “Kalau Menteri Besar orang yang tertinggi dari segi pentadbiran Kedah sendiri tidak dibenar ambil bahagian, dihalang dan sebagainya ini sudah pasti penganiayaan kepada ketua kerajaan negeri,” katanya.

    Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa, beliau dilarang menghadiri sebarang majlis dan program dianjurkan Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA 23 di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei ini.

    Tambah Mohd. Suhaimi, rakyat sedang menilai tindak-tanduk kerajaan dan sekiranya benar larangan dikenakan kepada Muhammad Sanusi itu, ia tidak akan menyenangkan rakyat yang sedang berhadapan pelbagai kepayahan terutama isu kos sara hidup.

    “Kalau kita dengar Perdana Menteri menjelaskan mengenai pentadbiran Madani, kita boleh buat kesimpulan bahawa tafsirannya betul-betul memang baik, tidak ada salah guna kuasa, banteras bukan sahaja rasuah tetapi segala kejahatan yang berlaku,” katanya.

    Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada larangan itu berkaitan kebimbangan kerajaan menghadapi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Mohd. Suhaimi berkata, fasa pilihan raya adalah proses yang tiada sempadan.

    “Apabila datang pilihan raya, tidak ada sempadan, ia melibatkan parti-parti, PN parti seluruh Malaysia, Pakatan Harapan (PH) juga parti seluruh Malaysia. Tidak ada sempadan, contoh Pengerusi PN orang Johor tidak semestinya tak boleh berkempen di Kedah atau Pulau Pinang.

    “Begitu juga PH, Perdana Menteri kawasannya di Tambun, ia tidak menegah beliau pergi berkempen sehingga ke Sabah dan Sarawak. Maka, dalam konteks Muhammad Sanusi dia juga berhak kerana bukannya beliau Menteri Besar Kedah mai ganggu pentadbiran Selangor, itu memang salah,” katanya.