Category: Semasa

  • Tiada desakan, lepaskan jawatan kerana desakan hati, kata Sulaiman

    Tiada desakan, lepaskan jawatan kerana desakan hati, kata Sulaiman

    SELEPAS 48 jam mengunci mulut, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan keputusannya melepaskan jawatan sebagai ketua menteri dibuat tanpa desakan mana-mana pihak.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu sebaliknya berkata, keputusan tersebut sudah lama dibuat kerana ‘desakan hatinya’ selain pernah beberapa kali menyatakan hanya ingin memikul tanggungjawab berkenaan selama sepenggal.

    “Apa nak komen lagi, kenyataan sudah dikeluarkan Kerajaan Negeri dan Presiden UMNO dan apa yang (mereka) cakap, itu lah dia.

    “(Tiada) desakan, (ini) desakan hati saya dan datangnya daripada naluri. Dah penat lah, bagilah orang lain peluang pula, itu sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi dekat Masjid Tanah, hari ini

    Mengulas lanjut Sulaiman berkata, beliau sudah beberapa kali menyatakan hasrat berkenaan kepada Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatannya sebelum ini.

    “Sudah lama dah (mohon lepas jawatan), dulu saya pernah cakap sepenggal cukup lah,” katanya.

    Menurut Sulaiman, beliau mengharapkan sesiapa sahaja yang bakal menggantinya termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disebut-sebut bakal mengambil alih tugas itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

    “Masing-masing semua ada kelebihan, kita mesti sokong dan saya harap siapa sahaja bakal menggantikan buat lah yang terbaik (kerana) benda semua sudah ada,” tambahnya.

    Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka pada Khamis turut mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan Jumaat ini.

    SUK negeri, Datuk Zaidi Johari dalam kenyataannya berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.

  • PRN enam negeri libat kos RM420 juta, kata Ahmad Maslan

    PRN enam negeri libat kos RM420 juta, kata Ahmad Maslan

    PERBELANJAAN untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan tahun ini dianggarkan melibatkan kos RM420 juta, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Pada persidangan Dewan Rakyat, Ahmad menjelaskan, jumlah itu mengambil kira situasi semasa jika PRN dibuat tahun ini.

    “Saya ingin menyatakan bahawa PRN di enam negeri, kita menganggarkan memerlukan RM420 juta.

    “Ini enam negeri yang akan datang nanti dan saya bersetuju dengan apa yang YB Bachok (Mohd Syahir Che Sulaiman, PN – Bachok) cadangkan supaya diadakan pilihan raya itu pada hari Sabtu.

    “Elok hari Sabtu sebab hari Jumaat di sebelah Pantai Timur cuti, elok hari Sabtu, saya setuju dan saya kira SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) juga tiada masalah untuk itu,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Tahun (2022) 2023 di Dewan Rakyat.

    Mohd Syahir dalam perbahasannya sebelum itu mencadangkan PRN di enam negeri itu ditetapkan pada hari cuti bagi memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

  • Sangka tiada orang di rumah, jiran hiba 4 beradik maut kebakaran

    Sangka tiada orang di rumah, jiran hiba 4 beradik maut kebakaran

    JIRAN tidak menyangka kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar semalam berakhir dengan tragedi empat beradik terkorban kerana beranggapan tiada siapa di rumah.

    Jiran terdekat, Limat Sawal, 53, berkata ketiadaan Perodua Kancil yang biasa membawa empat kanak-kanak itu keluar menguatkan lagi anggapan mereka tiada orang di rumah semasa kejadian.

    “Biasanya kami melihat empat anak ini bermain di luar rumah dan ada kereta, tetapi semasa kejadian, tiada kereta, jadi kami fikir tiada orang. Kami memang tidak sangka terdapat mangsa di dalam dan hanya menyedari ada mangsa di dalam, apabila ibu mangsa yang baru tiba memaklumkan anaknya masih di dalam,” katanya.

    Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, dilaporkan maut dalam kebakaran di rumah sewa mereka di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor kira-kira 7.49 malam tadi.

    Polis dilaporkan berkata, ketika kejadian, ibu mangsa keluar membeli kelengkapan rumah, manakala bapa mereka bekerja di sebuah restoran.

    Limat yang tinggal kira-kira 100m dari rumah mangsa berkata, dia antara orang terawal menyedari kebakaran itu dan memanggil penduduk lain memadamkan kebakaran bersama.

    “Kejadian berlaku terlalu pantas, kami berusaha padam kebakaran dengan menjirus air daripada paip berdekatan.

    “Saya rasa sangat sedih dan hiba. Saya tak sanggup melihat keadaan kanak-kanak itu yang seusia lebih kurang cucu saya. Ibu mereka ada bergaul dengan orang dan sering bertanya khabar, anak-anaknya juga selalu bermain di sini, jadi saya sedih.”

    Idris Sehan, 76, hanya mengetahui kebakaran itu selepas selesai solat tarawih.

    “Saya terkejut apabila dimaklumkan ada rumah terbakar dan lebih mengejutkan lagi, rumah itu adalah rumah sepupu saya yang disewakan kepada keluarga itu sejak empat tahun lepas,” katanya sambil memaklumkan ibu bapa mangsa kini tinggal di balai raya.

    Dalam kejadian 7.49 malam tadi, empat beradik yang maut sebelum itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi dalam bilik air di bahagian dapur rumah.

    Sementara itu, Nabila Sedu, 31, terkilan tidak sempat membeli kelengkapan dan baju raya untuk anaknya.

    “Ada (pesanan) daripada anak-anak. Mereka hendak baju raya warna hitam,” kata wanita Orang Asli itu di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah sambil ditemani suaminya yang juga warga Myanmar, Thein Ko Htut, 30.

    Siasat semua aspek

    Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya akan menyiasat dari semua aspek, termasuk jika terdapat elemen kecuaian dalam kebakaran itu.

    Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan forensik berhubung punca kebakaran.

    “Siasatan awal setakat ini tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada litar pintas di bahagian dapur, namun siasatan lanjut masih dijalankan.”

  • Kastam rampas RM5.16 juta minuman keras

    Kastam rampas RM5.16 juta minuman keras

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    CUBAAN satu sindiket menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama dengan menggunakan lapan kontena tidak berjaya selepas berjaya dihidu kastam di Pelabuhan Klang pada 3 Mac lalu.

    Anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Marin Sungai Pulai menemukan minuman keras dalam semua kontena berkenaan selepas melakukan pemeriksaan pada pukul 6.30 petang.

    Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Misbahudin Parmin berkata, kegiatan penyeludupan minuman keras itu berjaya dipatahkan setelah menerima maklumat dan mendapat kerjasama risikan zon selatan.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran Borang Kastam 1 (BK1), dagangan yang diikrar adalah alat ganti mesin, tidak sama dengan muatan yang terdapat dalam kontena.

    “Modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan membuat pengikraran palsu dan perakuan tidak benar dalam BK1 bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta mengelak dari dikenakan duti import,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai di Gelang Patah, Iskandar Puteri hari ini.fg

    Menurutnya, anggaran barang dagangan yang dirampas adalah bernilai RM922,000 manakala jumlah duti dan cukai terlibat bernilai lebih RM4.16 juta.

    Katanya, lapan kontena yang disita itu dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah keseluruhan dagangan termasuk cukai dan kontena adalah lebih RM5.16 juta.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan tidak berkastam atau barangan larangan.

    Pesalah ujar beliau, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau penjara tidak kurang daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.

  • Saya takut, tidak boleh bercakap masalah Melayu, kata Dr M

    Saya takut, tidak boleh bercakap masalah Melayu, kata Dr M

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa bimbang dan takut kerana mendakwa tidak boleh bercakap tentang masalah orang Melayu walaupun berada di tanah air sendiri.

    Menerusi perkongsian di media sosial, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa perhimpunan untuk melancarkan proklamasi Melayu yang terpaksa dibatalkan baru-baru ini adalah atas arahan pihak atasan.

    Beliau turut mendakwa langkah untuk melancarkan proklamasi orang Melayu tanpa menyentuh kaum lain pun dianggap hasutan.

    Berikut kenyataan penuh Dr Mahathir:

    SAYA TAKUT

    1. Apa sudah jadi.
    2. Saya takut.
    3. Kerana di tanah air saya, di Malaysia, di Tanah Melayu saya tidak boleh bercakap berkenaan masalah orang Melayu.
    4. Tidak boleh berjumpa pun. Tidak ada tempat. Semua tolak. Empat kali kena tolak “atas arahan pihak atasan”.
    5. Nak lancar proklamasi orang Melayu tanpa sentuh kaum lain, itu hasutan. Sedition.
    6. Saya takut.
    7. Nak guna sosial media ini bolehkah???
    8. Akan dituduh menghasutkah?
    9. Saya minta ampun jika dakwaan ini salah.
      10.Jika salah saya mengeluh tentang nasib orang Melayu, tak apalah. Saya tidak lagi akan mengeluh.
    10. Orang Melayu miskin jual negara.
    11. Okaylah. Orang miskin tidak perlu negara.
    12. Jangan buat apa-apa.
    13. Itu hasutan.

    DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
    30 Mac 2023

  • Sulaiman tak sedih tinggal jawatan KM Melaka, cuma…

    Sulaiman tak sedih tinggal jawatan KM Melaka, cuma…

    DATUK Seri Sulaiman Md Ali mengakui berasa sedih untuk meninggalkan kakitangan yang telah berkhidmat dengan cukup baik sepanjang beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu yang melepaskan jawatan Ketua Menteri berkuatkuasa esok turut meminta semua kakitangan pejabatnya di Seri Negeri terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penggantinya.

    Memetik laporan BH Online, Sulaiman meminta supaya prestasi perkhidmatan kakitangan dikekalkan untuk Ketua Menteri baharu, sama seperti yang diberikan kepada dirinya.

    Beliau juga mengakui tidak berasa sedih untuk melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka itu.

    “Saya tidak sedih untuk meninggalkan jawatan ini (Ketua Menteri), saya tidak sedih untuk meninggalkan kerusi yang empuk di tingkat empat Seri Negeri ini, tetapi saya sedih untuk meninggalkan semua kakitangan saya yang baik, cemerlang dalam perkhidmatan serta sentiasa jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.

    “Saya tidak mampu lagi memperoleh staf seperti ini dan sudah pasti jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan,” katanya yang turut menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas ada hari terakhir memasuki pejabatnya, hari ini.

    Video ucapan Sulaiman yang dilihat mengesat air mata turut tular di media sosial.

    Pertemuan turut membabitkan kira-kira 50 kakitangan Pejabat Ketua Menteri Melaka, termasuk pegawai kanan, staf sokongan, kerani, pembantu tadbir, pekerja am serta pengawal keselamatan.

    Pada masa sama, Sulaiman turut mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua kakitangan di pejabatnya.

    “Saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan pejabat ini yang banyak membantu saya dan memberikan perkhidmatan sangat cemerlang sepanjang saya berada di sini.

    “Sama-sama kita berdoa semoga Allah limpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua,” katanya.

    Sulaiman, 58, pertama kali diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka pada bulan Mac 2020 selepas Barisan Nasional (BN) dan rakan sekutu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

    Beliau kemudiannya dilantik semula selepas BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada November 2021.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa parti itu sudah pun mencadangkan ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

    Ahmad Zahid memberitahu, Sulaiman meletakkan jawatan disebabkan masalah kesihatan.

    Menurut Ahmad Zahid, UMNO sudah pun mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berhubung peletakan jawatan Sulaiman.

  • Remaja didenda RM300 buat laporan polis palsu

    Remaja didenda RM300 buat laporan polis palsu

    TINDAKAN seorang remaja memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dua bulan lalu mengundang padah apabila dia didenda RM300 oleh Mahkamah Juvana Kuala Lumpur.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, sekiranya gagal membayar denda itu, pelajar kolej berusia 17 tahun itu berdepan hukuman penjara tujuh hari.

    Hukuman itu dijatuhkan selepas remaja itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Farahain Roslan.

    Remaja itu didakwa memberi maklumat palsu kepada penjawat awam, Noradilah Azmee, di Balai Polis Wangsa Maju pada 3.03 petang 3 Jan lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, selepas mendakwa kad pengenalannya hilang akibat dirompak.

    Siasatan polis bagaimanapun mendapati tiada rompakan sedemikian berlaku.

    Peguam Mohd Hafifi yang mewakili tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama dan pelajar itu dijaga bapa tunggal.

  • Terkilan tak sempat sedia baju raya anak warna hitam

    Terkilan tak sempat sedia baju raya anak warna hitam

    EMPAT beradik yang maut dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor, Muar, malam tadi ada meninggalkan pesan kepada ibu mereka membelikan pakaian raya berwarna hitam.

    Ibu kepada empat beradik malang itu, Nabila Sedu, 31 berkata, dia terkilan tidak sempat menyediakan kelengkapan berkenaan seperti mana yang diminta anak-anaknya sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

    Nabila ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dilihat mencium dan mendakap baju Tadika anaknya.

    “Ada (pesanan) dari anak..mereka hendak baju raya warna hitam…,” katanya sambil mencium baju anaknya menurut laporan Berita Harian.

    Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut dari Nabila dan suaminya Thein Ko Htut, 30, gagal kerana mereka sangat sedih dan tergesa-gesa meninggalkan perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

    Pasangan itu yang menetap di rumah sewa di Kampung Sabak Awor bersama empat anaknya sejak empat tahun lalu.

    Dalam kejadian malam tadi, empat anak pasangan itu maut dalam kebakaran di rumah mereka.

    Mereka ditemui di bahagian bilik air rumah dipercayai cuba menyelamatkan diri ketika kejadian.

    Ketua Polis Daerah Muar Asistant Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan awal mendapati kemungkinan berlaku litar pintas, dipercayai bermula daripada dapur rumah berkenaan.

    Beliau berkata mayat kesemua kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, untuk bedah siasat.

    Kejadian yang berlaku pada pukul 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.

  • Lelaki hancur 4 jari terkena mercun bola

    Lelaki hancur 4 jari terkena mercun bola

    EMPAT jari tangan kiri seorang lelaki hancur
    akibat terkena letupan mercun bola yang digunakan untuk menghalau anjing liar selepas mengganggu ternakan kambingnya dalam kejadian di Pokok Sena, malam tadi.

    Kejadian dipercayai berlaku pukul 10 malam apabila mangsa berusia 34 tahun membakar mercun untuk menghalau anjing yang mengganggu kambing peliharaannya berhampiran rumah di Kampung Paya Besar.

    “Sebaik membakar sumbu, mercun itu tiba-tiba meletup tanpa sempat dilempar. Akibat letupan mercun itu, saya lihat tangan saya sudah nampak tulang putih, manakala empat jari hancur selain cedera di perut.

    “Di kawasan rumah, memang banyak anjing liar dan sebelum ini pernah makan kambing saya antara tujuh hingga lapan ekor. Saya baling mercun bola untuk halau anjing liar di situ.

    “Tetapi tak sangka ini yang terjadi,” katanya menurut Berita Harian.

    Mangsa berkata, dia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

    Katanya, kejadian menyebabkan dua jarinya terpaksa dipotong, manakala dua lagi kudung.

    Sementara itu, Ketua Polis Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan kejadian itu berlaku semalam namun tiada laporan dibuat setakat ini.

  • MP PN persoal MB Kedah dihalang hadiri LIMA ’23

    MP PN persoal MB Kedah dihalang hadiri LIMA ’23

    TINDAKAN menghalang Menteri Besar Kedah daripada menghadiri sebarang program anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di Langkawi dibangkitkan seorang Ahli Parlimen Pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ia dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dengan mengemukakan Peraturan Dewan selepas sesi soal jawab.

    Menurut beliau, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan program tersebut dijadualkan akan diadakan di Langkawi, Kedah, Mei hadapan.

    “Oleh itu, saya membangkitkan perkara tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan perlu disegerakan,” katanya bangun membangkitkan Peraturan Dewan, lapor Harakahdaily.

    Bagaimanapun, Speaker Datuk Johari Abdul, meminta Shahidan mengemukakan usul tersebut secara bertulis bagi membolehkan beliau membuat pertimbangan.

    Katanya, sehingga sekarang beliau belum lagi menerima usul tersebut daripada Arau.

    “Saya mengangap berita mengenainya belum pasti hitam putih kerana sekadar dilapor media,” katanya.

    Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendedahkan beliau dihalang menghadiri program LIMA `23 di Langkawi.

    Selain itu, katanya kebenaran mengadakan program Iftar Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan bersama Menteri Besar yang dijadualkan pada 9 April ini di Dewan A, MAEPS Serdang, ditarik balik oleh pihak tertentu.

    Sedangkan menurutnya sebelum itu kelulusan penggunaan dewan tersebut sudah diberi kepada kerajaan Kedah.