Category: Semasa

  • UMNO ‘enggan berubah’, walaupun hadapi dugaan

    UMNO ‘enggan berubah’, walaupun hadapi dugaan

    POLITIKING yang jelas dalam perebutan jawatan Ketua Menteri Melaka ketika ini boleh dilihat sebagai bukti UMNO enggan mengubah caranya walaupun prestasinya merosot sejak kebelakangan ini.

    Penganalisis politik, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, itu merupakan manifestasi perebutan kuasa antara puak UMNO.

    Beliau merujuk kepada peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Ali yang digantikan dengan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

    “Ia membuktikan UMNO masih dibelenggu politik ‘panglima perang’,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Rauf, Pengerusi UMNO Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, dijangka dinamakan Ketua Menteri yang baharu.

    Beliau telah berulang kali dikaitkan dengan jawatan itu sejak Barisan Nasional (BN) memenangi PRN Melaka pada November 2021.

    Ab. Rauf didakwa melobi jawatan itu sejurus selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

    Fauzi berkata, perihal ketua menteri itu, secara besar-besaran, akan menjejaskan reputasi Barisan Nasional (BN) kerana ia akan mengukuhkan semula naratif bahawa gabungan itu kemaruk kuasa.

    Beliau berkata, rakyat kini akan menganggap sebarang cakap-cakap mengenai kestabilan politik oleh Umno hanya demi menarik sokongan.

    “UMNO memberikan gambaran bahawa politik hanya stabil apabila ia berkuasa,” tambahnya.

    Penganalisis politik Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, perkara ini contoh situasi biasa dalam UMNO, dengan ‘panglima perang’ mengambil kesempatan daripada perebutan kuasa dalam kalangan orang atasan untuk menambah baik nasib politik mereka sendiri.

    Merujuk kepada perpecahan dalam UMNO selepas parti memutuskan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya, Oh berkata, mereka di Melaka mengeksploitasi keadaan ini supaya mereka boleh meletak sasaran lebih tinggi.

    Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin ini perlu membina tapak kuasa pada peringkat tempatan terlebih dahulu, katanya.

    “Jika tidak, (mereka) tidak akan mempunyai tapak dan akan mudah dikalahkan atau disingkirkan.”

    Seorang lagi penganalisis, Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway berkata, perbalahan dalam UMNO Melaka akan mengecewakan ‘pengundi atas pagar’, menyebabkan mereka tidak keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Katanya, ramai pengundi Melayu beralih kepada Perikatan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) lepas kerana mereka bosan dengan sikap UMNO yang berlebih-lebihan. Ini merujuk kepada tuduhan keangkuhan dan rasuah, serta ketidakpercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH).

    “Kekecohan mengenai jawatan ketua menteri ini akan mengingatkan mereka bahawa UMNO tidak berubah dan PH, disebabkan kerjasamanya dengan BN, juga bukan satu alternatif,” katanya.

  • AS tuduh penyanyi rap melobi secara haram bersama Jho Low

    AS tuduh penyanyi rap melobi secara haram bersama Jho Low

    PENDAKWA raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menuduh penyanyi rap yang juga pemenang Anugerah Grammy, Prakazrel ‘Pras’ Michel dari kumpulan hip hop The Fugees selepas secara haram mengambil puluhan juta dolar untuk melobi kerajaan negara itu bagi pihak ahli perniagaan Low Taek Jho dan kerajaan China.

    Tuduhan itu dibuat pada permulaan perbicaraan yang menurut pendakwa raya Nicole Lockhart akan mengaitkan Michel dengan pembiaya Jho Low, yang disyaki menggelapkan AS$4.5 bilion (RM19.90 bilion) daripada dana kekayaan negara 1MDB, dan kempen kerajaan China bertujuan membawa pulang penentangnya Guo Wengui.

    Michel dibicarakan atas 11 pertuduhan jenayah termasuk pelbagai pertuduhan konspirasi untuk apa yang dikatakan pendakwa raya sebagai tiga skim lobi berasingan untuk mempengaruhi pentadbiran bekas presiden Barack Obama dan Donald Trump.

    Michel bagaimanapun menafikan kesemua dakwaan tersebut.

    “Ini adalah kes mengenai wang asing, pengaruh dan penyembunyian,” kata Lockhart sewaktu kenyataan pembukaannya di Washington pada Khamis.

    Lockhart memberitahu juri kes itu akan menyerlahkan “muslihat politik, rundingan sulit… talian sementara dan penipuan.”

    The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy bagi album terlaris mereka pada 1996, ‘The Score’.

    Namun menjelang 2012, pendakwa raya berkata, Michel sangat memerlukan wang tunai, dan beliau menemui penyelesaian kepada masalahnya melalui Low, yang diketahui membayar selebriti Hollywood untuk berpesta dengannya.

    Dalam skim pertama yang didakwa, pendakwa raya berkata Michel bersetuju untuk menyalurkan kira-kira AS$2 juta daripada Low ke dalam kempen pemilihan semula Obama pada 2012.

    Disebabkan undang-undang pilihan raya persekutuan melarang orang asing daripada memberi sumbangan politik kepada kempen AS, pendakwa raya berkata Michel menyembunyikan sumber dana dengan menggunakan pihak ketiga.

    Sebagai pertukaran untuk membantu Low, kerajaan berkata Michel mengaut AS$18 juta.

    “Melalui skim ini, defendan menipu kempen Obama,” kata Lockhart kepada juri, lapor MalaysiaNow.

    Beberapa tahun kemudian, pendakwa raya berkata tumpuan kempen melobi Michel beralih, apabila Jabatan Kehakiman AS memperhebat siasatannya terhadap Low berhubung penyelewengan yang disyakinya melebihi AS$4.5 bilion daripada 1MDB.

    Low “memerlukan jenis bantuan berbeza,” kata Lockhart, sambil menambah bahawa beliau membayar Michel berjuta-juta dolar untuk cuba “mendapatkan pengaruh di peringkat tertinggi kerajaan AS” yang akan membatalkan siasatan.

    Michel dan Elliott Broidy, bekas pengerusi kewangan Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, dan konspirator lain dituduh melancarkan kempen ‘saluran gelap’ bagi meyakinkan pentadbiran Trump untuk menarik balik siasatannya terhadap Low.

    Pendakwa raya berkata mereka juga cuba melobi pentadbiran Trump atas arahan China untuk mengembalikan ahli perniagaan China yang dalam buangan, Guo Wengui ke China.

    Untuk kerjanya dalam dua kempen melobi ini bagi pihak Low dan China, pendakwa raya berkata, Michel dibayar AS$70 juta.

    Pendakwa raya juga berkata, Michel gagal mendaftar sebagai ejen asing seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

    Kemudian, selepas mengetahui beliau sedang disiasat atas tuduhan jenayah, pendakwa raya berkata Michel cuba menghalang siasatan dengan menghubungi saksi serta menghantar surat tuntutan kepada penderma daripada kempen 2012 yang mengancam mereka dengan tuntutan mahkamah jika mereka tidak membayar balik dana.

    Guo sejak itu didakwa atas tuduhan penipuan AS yang tidak berkaitan.

    Low kekal sebagai orang dalam buruan bagi kes Michel.

    Beliau juga berdepan tuduhan jenayah AS secara berasingan kerana bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram berbilion-bilion daripada 1MDB.

    Pada 2019, Jabatan Kehakiman memperoleh penyelesaian sivil yang berasingan daripada tindakan jenayah terhadap Low, dan beliau bersetuju untuk memulangkan aset bernilai kira-kira AS$1 bilion.

    Broidy mengaku bersalah atas peranannya pada Oktober 2020, tetapi Trump memberinya pengampunan penuh sebelum kalah dalam pemilihan presiden.

    Pasukan pembelaan Michel pada Khamis memilih untuk menangguhkan kenyataan pembukaan mereka sehingga selepas pendakwa selesai memfailkan kes mereka.

    Peguamnya dijangka berhujah bahawa Michel tidak mengetahui yang dirinya bertindak sebagai ejen asing dan percaya beliau melakukan untuk kepentingan AS.

    Kes itu dijangka menampilkan keterangan daripada saksi terkemuka yang mungkin termasuk pelakon Leonardo DiCaprio, serta bekas pegawai tertinggi ketika pentadbiran Trump.

  • Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan kes SRC Najib

    Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan kes SRC Najib

    (KEMAS KINI) MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

    Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal.

    Empat panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan untuk menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu.

    Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat ketika membacakan keputusan itu memberitahu, hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan.

    Sebaliknya, katanya, peguam beliau, Datuk Hisyam Teh Po Teik enggan mengemukakan penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Tengku Maimun.

    Justeru, katanya, Tengku Maimun akhirnya terpaksa menolak rayuan tersebut.

    “Sehubungan itu, tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim pada tahun lalu,” katanya di Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

    Dalam keputusan majoriti 4-1, panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada Ogos 2022 itu.

    Keputusan yang dibacakan Vernon Ong itu disokong Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, namun Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.

    Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mendapati Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

    Mohd. Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

  • Angkat sumpah KM Melaka petang ini, tumpuan terarah ke Seri Negeri

    Angkat sumpah KM Melaka petang ini, tumpuan terarah ke Seri Negeri

    KETUA Menteri Melaka yang baharu dijangka mengangkat sumpah di Dewan Sri Utama, Kompleks Seri Negeri, Melaka, hari ini.

    Perkembangan siapa Ketua Menteri Melaka ke-14 itu sudah tentu menjadi tumpuan negara terutama rakyat negeri tersebut.

    Ini susulan Pejabat Setiausaha Kerajaan Melaka menerusi kenyataan media semalam mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri bakal berlangsung 3 petang ini.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, jawatan itu bakal diisi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

    Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang merupakan ADUN Lundu melepaskan jawatan yang dipegang beliau sejak 9 Mac 2020 dan dilantik semula pada 21 November 2021, lapor Astro Awani.

    Beliau menggantikan Adly Zahari yang gagal mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka ketika itu.

    Pada Rabu, ADUN Lendu itu menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Zahid kemudian menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon bagi jawatan tersebut dengan Ab Rauf menjadi calon tunggal yang dinamakan UMNO.

    Sebelum ini, semasa politik Melaka bergelora pada 2020, nama Ab. Rauf disebut-sebut untuk dilantik sebagai Ketua Menteri.

    Dilanda kemelut sekali lagi, Melaka terpaksa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman dan menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan 21 daripada 28 kerusi DUN pada November 2021.

    Susulan kemenangan itu, Sulaiman dilantik semula sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Sehingga semalam, iaitu pada hari peletakan jawatannya, beliau telah mengemudi Melaka selama lebih tiga tahun.

  • Adakah Mahkamah Persekutuan beri Najib bicara rayuan ‘wajar’?

    Adakah Mahkamah Persekutuan beri Najib bicara rayuan ‘wajar’?

    ADAKAH Datuk Seri Najib Razak mendapat perbicaraan sewajarnya di Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan terhadap sabitan dan hukumannya? Itu antara persoalan kritikal yang perlu ditangani mahkamah tertinggi apabila membuat keputusan pagi ini.

    Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Rahman Sebli dijangka memutuskan sama ada mahkamah tertinggi akan menyemak keputusannya yang mengesahkan sabitan dan hukuman bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International.

    Hakim lain yang turut bersidang terdiri daripada Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

    “Seperti yang diketahui, keputusan (mengenai merit rayuan) hanya satu setengah muka surat penghakiman,” kata peguam cara Najib, Shafee & Co, dalam hujahan bertulis yang difailkan untuk semakan.

    Katanya, draf penghakiman yang bocor terlebih dahulu melalui internet, menggunakan istilah ‘hampir serupa’ dengan penghakiman sebenar, mencadangkan keputusan rayuan telah ‘ditetapkan lebih awal’.

    Peguam-peguam Najib juga berkata, panel yang bersidang pada Ogos tahun lepas tidak memberikan bekas perdana menteri itu perbicaraan sewajarnya.

    Setelah menolak permohonan penangguhan oleh pasukan pembelaan yang baru ditubuhkan, cadangan mahkamah agar peguam utama Hisyam Teh ‘Meluangkan hujung minggu’ untuk membuat persediaan ‘berhubung mana-mana 94 alasan rayuan’ sebelum perbicaraan disambung semula pada Selasa, 23 Ogos, adalah tidak munasabah”, kata mereka, lapor FMT.

    “Hisyam (perlu) membaca rekod penuh rayuan untuk mengembangkan hujah sepenuhnya mengikut piawaian diperlukan oleh peguam mahir dan dapat mengutamakan alasan mengikut kepentingan,” tambah hujahan itu.

    Peguam-peguam itu juga mencabar cara prosiding dijalankan.

    Menurut mereka, tugas mahkamah adalah untuk mendengar semula kes itu, yang akan melibatkan pertimbangan semula semua material di hadapan hakim perbicaraan.

    Sebaliknya, Mahkamah Persekutuan ‘semata-mata menganggap rayuan itu sebagai semakan kehakiman’.

    Hakim hanya menerima kes tidak dijawab yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan memutuskan bahawa dapatan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan ‘tidak bertentangan’, tanpa memeriksa keterangan itu sendiri.

    Prosedur sedemikian hanya dilakukan dalam semakan kehakiman, yang memberikan tumpuan kepada prosedur dan proses wajar sesuatu keputusan, bukannya merit sesuatu kes, kata mereka.

    ‘Kegagalan prosedur’ ini, dakwa peguam Najib, adalah pelanggaran keadilan asasi dan melanggar hak perlembagaan beliau untuk didengar.

    Selain itu, peguam Najib juga berkata, mahkamah tidak sepatutnya menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman secara serentak.

    Tambah mereka, Mahkamah Persekutuan silap dalam menafikan pendengaran untuk Najib mengenai hukuman dan haknya untuk mengurangkannya.

    Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dipetik dalam hujahan sebagai berkata:

    “Berdasarkan keseluruhan keterangan, kami dapati sabitan perayu atas semua tujuh tuduhan kukuh. Kita juga dapati hukuman yang dikenakan tidaklah secara nyata keterlaluan.

    “Oleh itu, rayuan ini sebulat suara ditolak dan sabitan serta hukuman disahkan (kekal). Waran komital akan dikeluarkan.”

    Keputusan itu, menurut peguam Najib, ‘tidak sah di sisi undang-undang dan bercanggah dengan perlembagaan’.

    “Undang-undang menuntut perbicaraan berbeza dan berasingan untuk (hukuman) apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan (Najib) terhadap sabitan,” hujah peguam.

    Bagaimanapun, Najib mahupun peguamnya tidak dirujuk sebelum hukuman dijatuhkan, tambah mereka.

    Tanpa penghujahan, para peguam Najib mempersoalkan bagaimana Mahkamah Persekutuan boleh membuat kesimpulan bahawa hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tidak ‘keterlaluan’.

    Kegagalan berbuat demikian serupa melanggar keadilan asasi dan menjadi ‘ketidakadilan berat’ yang memerlukan campur tangan melalui semakan, kata mereka.

    Najib disabitkan kesalahan pada 28 Julai 2020 oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Kedua-dua sabitan dan hukuman dikekalkan, dengan yang pertama oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, kemudian oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Tengku Maimun pada 23 Ogos tahun lepas.

    Panel tersebut turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak ketika itu, Abang Iskandar Abang Hashim, serta Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Diah.

    Najib kini menjalani hukuman penjara, bermula 23 Ogos tahun lepas, setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

    Dua minggu kemudian, pada 6 September, beliau memfailkan permohonan ini mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, memohon kebenaran mahkamah tertinggi untuk menyemak keputusannya.

    Panel baharu, diketuai Rahman, mendengar hujah selama enam hari antara 19 Jan dan 28 Feb, dan menangguhkan kes itu ke hari ini untuk membuat keputusan.

  • Muhammad Sanusi nekad pastikan LIMA ’23 berjalan lancar walaupun ‘terpaksa’ digantikan

    Muhammad Sanusi nekad pastikan LIMA ’23 berjalan lancar walaupun ‘terpaksa’ digantikan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan kerajaan negeri memberi komitmen 100 peratus untuk membantu melancarkan perjalanan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23), walaupun semua acara melibatkannya ‘terpaksa’ digantikan individu lain.

    Menurutnya, langkah itu bagi memastikan semua acara di LIMA ’23 berjalan lancar dan sempurna walaupun semua acara melibatkan beliau, terpaksa dipinda untuk digantikan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali.

    Menerusi status terbaru dimuat naik di laman Facebooknya tengah malam tadi, beliau memaklumkan yang Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah diarahkan untuk memastikan bekalan air bersih ke Langkawi sepanjang tempoh LIMA ’23 dilangsungkan tidak terganggu walaupun akan menghadapi penggunaan mendadak.

    “Semua infrastruktur bekalan air terutamanya ke Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Baru, jajaran paip dasar laut ke Langkawi, Empangan Saga serta Bukit Malut akan disenggara sebaiknya untuk memastikann bekalan air dapat dibekalkan sempurna.

    “Demikian juga agensi-agensi kerajaan lain khususnya di Langkawi yang telah bersedia sepenuhnya sebagai tuan rumah LIMA ’23,” katanya.

    Kelmarin, Muhammad Sanusi menerusi laman Facebook rasminya mendakwa mendakwa beliau telah dihalang daripada menghadiri sebarang majlis Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA ’23 yang bakal berlangsung antara 23 hingga 27 Mei depan.

    Melalui status sama Muhammad Sanusi mendakwa, itu merupakan keputusan terbaru yang diambil Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut Muhammad Sanusi, kertas arahan Kabinet berhubung perkara itu ditunjukkan pegawai seorang agensi kerajaan Persekutuan, kepada pegawai Pejabat Menteri Besar ketika mereka bertemu dalam satu mesyuarat di Langkawi, beberapa hari lalu.

    Menerusi status sama, Muhammad Sanusi turut memberi jaminan untuk memastikan kalangan pengunjung memiliki pengalaman indah berada di Langkawi sepanjang tempoh itu.

    “Kepada semua syarikat, agensi, pegawai kementerian, delegasi dari dalam dan luar negara yang terlibat serta para pengunjung, selamat datang ke Pulau Langkawi, permata Kedah.

    “Kami akan pastikan kunjungan semua pihak ke Langkawi adalah kunjungan terindah sepanjang hayat,” katanya.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dalam pada itu turut mengakhiri statusnya dengan hadis riwayat Al-Bukhari berbunyi:

    “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya.

    “Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”

  • Kaut RM1.5 juta setahun, sindiket judi didalangi warga asing tumpas

    Kaut RM1.5 juta setahun, sindiket judi didalangi warga asing tumpas

    JABATAN Imigresen melumpuhkan rangkaian sindiket perjudian dalam talian yang didalangi warga asing susulan beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada Selasa dan semalam, serta menahan 15 individu dengan 14 daripadanya adalah warga asing.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata serbuan pertama pada kira-kira 10 malam Selasa di sekitar Selangor, membabitkan sebuah premis yang berselindung di sebalik perniagaan snuker dengan menyediakan bilik rahsia yang diubah suai sebagai pusat perjudian.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, pihak imigresen menahan tiga lelaki Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai dalang sindiket.

    Katanya turut ditahan dua wanita Indonesia masing-masing berumur 25 dan 40 tahun yang bekerja sebagai operator mesin perjudian di premis berkenaan selain didapati tidak memiliki sebarang pas yang sah, dan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dipercayai penyelia yang juga penjaga premis berkenaan.

    “Pelanggan yang ingin memasuki bilik rahsia berkenaan mesti mempunyai kod rahsia yang ditetapkan oleh sindiket terbabit,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Ruslin berkata serbuan seterusnya dibuat di beberapa premis di Kuala Lumpur melibatkan penahanan enam lelaki Bangladesh, seorang lelaki Nepal dan seorang wanita Indonesia.

    Menurutnya dalang yang berusia 40 tahun itu memiliki Pas Lawatan Sosial Suami kerana berkahwin dengan wanita tempatan selain turut mempunyai syarikat perkhidmatan yang telah beroperasi hampir dua tahun.

    Katanya antara yang dirampas dalam serbuan tersebut adalah 46 komputer, 37 pasport milik individu berkenaan dan individu lain, selain wang tunai sebanyak RM114,450 dipercayai hasil aktiviti perjudian.

    “Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas jabatan percaya sindiket ini mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun,” katanya.

    Ruslin berkata kesemua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka ditahan di Depot Imigresen, manakala lelaki warga tempatan direman tiga hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • “Wajah empat beradik comel bersih. Tidak terbakar” – Ebit Lew

    “Wajah empat beradik comel bersih. Tidak terbakar” – Ebit Lew

    WAJAH empat beradik yang maut dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor, Muar, malam tadi dalam keadaan bersih dan tidak terbakar.

    Perkara itu didedahkan pendakwah terkenal, Ebit Lew menerusi perkongsian di akaun media sosialnya malam ini.

    “Adik kecil Puteri Aisyah 8 tahun, Mohd Hakim 6 tahun, Mustakim 4 tahun, Fatihah Aisyah 3tahun. Kecil-kecil semuanya. Melihat wajah bersih cantik semuanya.

    “Saya lihat wajah anak-anak semua comel bersih. Tidak terbakar. Ada calar-calar sikit-sikit. 4 beradik dijumpai dibilik air. Mungkin lemas asap dan haba panas,” katanya.

    Kejadian yang berlaku pada pukul 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.

    Jenazah empat beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahat kira-kira 8.15 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di Muar.

    Menceritakan lawatannya itu, Ebit Lew berkata, dia sedih dan menangis selepas menghadiri pengkebumian jenazah empat beradik berkenaan yang dipercayai lemas akibat rumah terbakar.

    Katanya, dia turut sebak melihat tangisan ibu bapanya sepanjang urusan di Muar Johor.

    “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Ya Allah ampunilah sayangilah rahmatilah keluarga ini,” katanya.

    Menurut Ebit Lew, ibu kepada empat beradik itu berasal dari Kuala Kubu Bharu dan mereka adalah dari keluarga susah sehingga tidak mempunyai barang elektrik dan televisyen.

    Malah katanya, wanita itu memaklumkan salah seorang anaknya, Aisyah terlalu ingin menemuinya.

    “Ibunya keluar 5 minit beli barang bergesa balik lihat dah jadi begitu. Ya Allah tuhanku sedihnya dengar,” katanya.

    Ebit Lew pada masa sama merakamkan terima kasih kepada Majlis agama Islam Johor dan Hospital Muar menguruskan keluarga berkenaan.

  • Tiada pekeliling larang Sanusi hadir acara kerajaan Persekutuan

    Tiada pekeliling larang Sanusi hadir acara kerajaan Persekutuan

    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat surat rasmi atau pekeliling yang melarang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghadiri sebarang acara rasmi kerajaan Persekutuan.

    “Saya tidak pernah mendengar adanya arahan untuk beliau (tidak boleh) menghadiri mana-mana majlis rasmi anjuran kerajaan Persekutuan melainkan jika arahan itu dikeluarkan pada beliau secara peribadi, saya tidak mengetahui mengenai perkara itu.

    “Tiada (surat atau pekeliling). Kalau dakwaan itu benar, mungkin Menteri Besar Kedah boleh menyebarkan arahan atau pekeliling untuk (yang menyebut) melarang beliau menghadiri mana-mana majlis kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, di sini, hari ini, ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri mengenai perkara itu.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi, menerusi Facebook rasminya mendakwa beliau telah dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada 23 hingga 27 Mei ini. – BERNAMA

  • Tiga termasuk anggota Rela, pengawal keselamatan maut dalam kemalangan

    Tiga termasuk anggota Rela, pengawal keselamatan maut dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pengawal keselamatan antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kudus di kilometer (KM) 5.7 Jalan Parit Semerah- Parit Kudus, Pontian hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, kemalangan pada pukul 5.10 petang itu melibatkan kereta Proton Saga dinaiki anggota Rela dan pengawal keselamatan itu bersama dua lagi rakannya dengan Proton Perdana dinaiki seorang lelaki.

    “Kemalangan berlaku semasa Proton Saga dari arah Parit Semerah menghala ke Parit Kudus dan Proton Perdana dari arah bertentangan.

    “Siasatan awal mendapati pemandu Proton Saga sampai di tempat kejadian telah gagal mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan Proton Perdana yang berada dilaluannya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

    Beliau berkata, Proton Saga itu kemudian terjunam ke dalam parit yang berair dan semua mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut.

    Akibat kemalangan itu, anggota Rela berkenaan, Jamaludin Abd. Wahab, 58, dan pengawal keselamatan tersebut yang memandu Proton Saga, Muhamad Shah Rizal Jamaludin, 22, yang kedua-duanya beralamat di Chenderiang, Perak meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, turut terkorban seorang lagi penumpang Proton Saga, Muhamad Nor Azlan Roz, 28, yang beralamat di Kajang, Selangor.

    “Semua ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia itu cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

    Menurut Mohamad Shofee, seorang lagi penumpang Proton Saga, Mohd. Faizal Saari, 35, beralamat di Batu Caves, Selangor juga cedera di kepala manakala pemandu Proton Perdana, Donny Tauh, 20, beralamt di Nabawan, Sabah cedera di kaki dan tangan.

    Tambahnya, ketiga-tiga mayat dihantar ke forensik Hospital Pontian untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ujar beliau.