Category: Semasa

  • Kesilapan peguam punca Najib meringkuk dalam penjara

    Kesilapan peguam punca Najib meringkuk dalam penjara

    HAKIM Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, kesilapan dilakukan peguam menjadi punca Datuk Seri Najib Razak terpaksa meringkuk dalam penjara.

    Abdul Rahman adalah hakim tunggal yang menentang keputusan majoriti panel hakim yang menolak permohonan Najib bagi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

    Keputusan itu dibuat empat panel hakim iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat; Datuk Rhodzariah Bujang; Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

    Ketika membacakan penghakimannya, beliau berkata, peguam Najib pada ketika itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi membela tertuduh.

    Katanya, ini menyebabkan hanya satu pihak iaitu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang mengemukakan permohonan di hadapan panel terdahulu.

    “Rayuan Najib tidak didengari dan berada dalam ketidakadilan yang besar. Beliau berada dalam keadaan kurang bernasib baik kerana tidak diwakili semasa rayuan.

    “Oleh itu, sabitan terhadap tertuduh perlu dibatalkan kerana tiada representasi undang-undang,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, tertuduh wajar dibenarkan penangguhan kerana tidak mempunyai representasi undang-undang semasa rayuan.

    “Saya menyebelahi permohonan Najib untuk menyemak tujuh pertuduhan kes menyeleweng dana SRC International terhadapnya namun keputusan majoriti menyebabkan perkara itu tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri itu,” katanya.

    Terdahulu, hakim dalam keputusan 4-1 menolak rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu, sekali gus melepas dan membebaskannya daripada tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

    Berikutan keputusan itu, Najib kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

  • Sokong kepimpinan baharu, Sulaiman beritahu rakyat Melaka

    Sokong kepimpinan baharu, Sulaiman beritahu rakyat Melaka

    DATUK Seri Sulaiman Md. Ali menyeru rakyat Melaka terus memberikan sokongan dan kerjasama terbaik kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu, sama seperti diterimanya selama ini.

    Beliau yang melepaskan jawatan sebagai ketua menteri, turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri itu atas segala sokongan, pandangan, cadangan mahupun kritikan sepanjang melaksanakan amanah diberikan.

    “Hari ini, sempena sayyidul ayyam, adalah hari terakhir saya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran kerajaan negeri Melaka sebagai ketua menteri Melaka ke-12 bermula dari 9 Mac 2020 yang lepas.

    “Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Melaka atas segala sokongan, dokongan, pandangan, cadangan mahupun kritikan yang diberikan sepanjang melaksanakan amanah tersebut.

    “Saya menyeru dan merayu kepada rakyat Melaka agar dapat terus memberikan sokongan dan kerjasama yang terbaik kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu, sama seperti diberikan kepada saya sebelum ini,” katanya menerusi Facebook miliknya, lapor FMT.

    Sulaiman, 58, mengangkat sumpah jawatan kali pertama sebagai ketua menteri pada Mac 2020 selepas Barisan Nasional (BN) bersama rakan sekutu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

    Beliau kemudian dilantik semula sebagai ketua menteri selepas BN menang besar dalam PRN Melaka pada 20 Nov 2021.

    Pada Selasa, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri atas faktor kesihatan.

    Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau mencadangkan Adun Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebagai calon ketua menteri Melaka yang baharu.

    Rauf dijadual mengangkat sumpah sebagai ketua menteri hari ini di hadapan Yang di-Pertua Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

  • Kes pukul imam, tertuduh dihantar ke Hospital Permai

    Kes pukul imam, tertuduh dihantar ke Hospital Permai

    LELAKI yang memukul imam jemputan di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan akan dihantar ke Hospital Permai, Johor bagi mendapatkan pemantauan dan laporan mengenai keadaan mentalnya.

    Keputusan itu dibuat Mahkamah Majistret Kuantan terhadap Ahmad Paijan Abd Rashid, 35, selepas pertuduhan dilakukan, hari ini.

    Harian Metro melaporkan, ketika prosiding, Ahmad Paijan hanya menjawab “saya terdengar suara” selepas disoal adakah dia faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

    Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi menjalankan pemeriksaan.

    Ezuain Farhana juga meminta tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan sehingga mendapat laporan psikiatri dari hospital berkenaan.

    Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki menyerang imam ketika solat subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. – FOTO IHSAN POLIS

    Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, pada 26 Mac lalu pada pukul 6.30 pagi di ruang solat utama Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, tertuduh dengan sengaja menyebabkan gangguan kepada sembahyang subuh yang sedang dijalankan dengan sah di sisi undang-undang.

    Oleh yang demikian tertuduh melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

    Media sebelum ini melaporkan, lelaki dipercayai kurang siuman itu telah menyerang seorang imam ketika solat subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu, pada 26 Mac lalu.

    Mangsa adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath, Ilhan Muhammad Irham yang menjadi imam jemputan untuk solat subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 di masjid berkenaan.

  • Warga emas mengaku tak bersalah halang anggota MBPJ tangkap anjing liar

    Warga emas mengaku tak bersalah halang anggota MBPJ tangkap anjing liar

    SEORANG lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas dalam satu operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lalu.

    Tertuduh, Patrick Khoo Kian Wui, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, Patrick didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota MBPJ daripada menjalankan tugas-tugas jawatannya.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya sekitar pukul 9 malam pada 22 Mac lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, lapor Utusan TV.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000.

    Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, Rajsurian Pillai memohon jaminan minimum memandangkan Patrick bekerja sendiri dan menanggung seorang pekerjanya.

    Tambahnya, Patrick turut memberikan kerjasama penuh sepanjang disiasat oleh pihak berkuasa.

    Majistret Shahril kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin warganegara

    Mahkamah menetapkan 16 Jun depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Pada 24 Mac lalu, UtusanTV melaporkan satu insiden membabitkan tertuduh bergelut dengan anggota MBPJ ketika cuba melindungi beberapa ekor anjing liar daripada ditangkap.

    Kejadian itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat yang mempersoalkan prosedur operasi standard MBPJ ketika melakukan operasi tersebut.

  • Pentadbiran negeri Melaka sudah jadi kartun

    Pentadbiran negeri Melaka sudah jadi kartun

    KETUA Pemuda Pas, Fadhli Shaari menyifatkan tindakan UMNO untuk menukar Ketua Menteri Melaka sebagai situasi pentadbiran negeri itu sudah menjadi kartun.

    Beliau mendakwa, ini kerana alasan diberikan berkenaan pertukaran Ketua Menteri Melaka itu berbeza.

    “Presiden kata Ketua Menteri letak jawatan kerana ada masalah kesihatan. Ketua Menteri kata, masalah kesihatan ada sedikit demam dan batuk.

    “Exco pula kata, Ketua Menteri yang baru jadi ‘Ketua Menteri tebuk atap’.

    “Pentadbiran negeri sudah jadi kartun,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan parti itu sudah menghantar nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, DatuK Seri Ab. Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri yang baharu menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang meletakkan jawatan.

    Ditanya sebab berbuat demikian Zahid sekadar berkata, Sulaiman berdepan isu kesihatan, tanpa menghuraikan lanjut.

    Keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati beberapa pemimpin pembangkang, termasuk ahli UMNO sendiri yang mendakwa Sulaiman terpaksa tunduk kepada kehendak pihak tertentu, walaupun tidak mahu melepaskan jawatan berkenaan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia yang juga adalah Exco kerajaan negeri, Muhammad Jailani Khamis sebelum ini membuat kenyataan bahawa Melaka bakal mempunyai Ketua Menteri ‘tebuk atap atau pintu belakang’.

    Susulan itu juga beberapa pemimpin pembangkang tampil meminta penjelasan mengapa Sulaiaman melepaskan jawatannya sedangkan Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    Isu pertukaran kepimpinan Melaka hangat beberapa bulan sebelum dan juga selepas kemenangan besar BN pada PRN pada 20 November 2021.

    Pada 27 Mac lalu, Ahmad Zahid mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri itu.

    Istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri yang baharu dijadualkan berlangsung hari ini.

  • Penuntut kolej ditahan, edar enam kilogram kek ganja

    Penuntut kolej ditahan, edar enam kilogram kek ganja

    SEORANG PEnuntut kolej swasta ditahan bersama enam kilogram (kg) kek ‘brownies khayal’ dalam serbuan di sebuah premis di Jalan 9, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melancarkan serbuan pada pukul 5 petang hasil risikan dijalankan pihak polis.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya menahan lelaki warga tempatan berusia 19 tahun dan merampas enam kilogram kek yang mengandungi ganja bernilai RM21,000.

    “Suspek adalah penuntut kolej swasta. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

    “Suspek dipercayai aktif menjalankan pengedaran kek ganja sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca bekalan diperolehi.

    Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia bebas daripada sebarang jenis dadah, ujarnya.

    “Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Penolong Ketua Kampung ditembak 20 das di hadapan isteri

    Penolong Ketua Kampung ditembak 20 das di hadapan isteri

    SEORANG penolong ketua kampung maut apabila dua lelaki melepaskan lebih 20 das tembakan ke arahnya di Pattani, Selatan Thailand, kelmarin.

    Ketua Polis Wilayah Pattani Pol Mej Jen Archan Chansiri berkata dalam kejadian pada kira-kira 6.30 pagi (waktu tempatan) kelmarin, mangsa berusia 50 tahun ditembak di hadapan isteri.

    Beliau berkata mangsa yang bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat baru habis kerja.

    “Dua lelaki yang bersembunyi di tepi jalan telah melepaskan tembakan ke arah mangsa.

    “Mangsa ditembak dari jarak dekat untuk memastikan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya pada satu sidang media di Pattani.

    Beliau menambah bahawa pistol milik mangsa turut dilarikan suspek.

    Archan berkata, polis sedang mempergiatkan usaha untuk menjejaki suspek termasuk meneliti sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

  • Lelaki hilang dua hari ketika berjoging dakwa pengsan diketuk di kepala

    Lelaki hilang dua hari ketika berjoging dakwa pengsan diketuk di kepala

    SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang dua hari semasa keluar berjoging di satu kawasan perumahan di Anjung Bercham Indah, Ipoh, Selasa lalu mendakwa pengsan selepas diketuk di kepala.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan lelaki berusia 32 tahun itu.

    “Siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut keluar berjoging di kawasan perumahan tersebut pada pukul 6.45 petang Selasa.

    “Mangsa menyatakan bahawa semasa berjoging, telah pengsan akibat diketuk oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali dari belakang.

    “Mangsa telah tersedar lebih kurang pukul 3 pagi, pada 30 Mac lalu pulang ke rumah dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Terdahulu, tular dalam media sosial seorang lelaki dilaporkan hilang setelah keluar berjoging di satu kawasan perumahan, sejak Selasa lalu.

    Yahaya berkata, mangsa mengadu mengalami sakit kepala dan kini sedang menerima rawatan di hospital, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan (cubaan samun).

    Sehubungan itu, pihak polis meminta orang awam yang melihat kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Komisioner Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.

  • Sindiket perjudian dalam talian warga asing tumpas

    Sindiket perjudian dalam talian warga asing tumpas

    TAKTIK sindiket perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik perniagaan snuker terbongkar menerusi Operasi Khas dilakukan Jabatan Imigresen pada 28 dan 29 Mac lalu.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata, kejayaan tersebut adalah hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dan pihaknya menahan 15 warga asing termasuk seorang tempatan.

    “Serbuan pertama pada Selasa dijalankan di sebuah premis yang berselindung di sebalik perniagaan snuker.

    “Pihak berkuasa berjaya menahan tiga lelaki warganegara Indonesia, seorang lelaki warganegara Bangladesh dan dua wanita warganegara Indonesia. Suspek yang berusia antara 25 dan 40 tahun itu tidak memiliki sebarang pas sah bekerja sebagai operator mesin perjudian

    “Sementara seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun turut ditahan dipercayai sebagai penyelia dan penjaga kepada premis tersebut,” katanya dalam kenyatan hari ini.

    Katanya, susulan operasi pertama, serbuan kedua dilakukan pada 29 Mac pukul 10.30 malam di tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur.

    Dalam operasi itu dalang utama sindiket, iaitu seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 40 tahun yang memiliki pas lawatan sosial, berjaya ditahan.

    Suspek yang merupakan suami kepada seorang wanita tempatan dipercayai mempunyai syarikat perkhidmatan yang telah beroperasi hampir dua tahun.

    Turut ditahan, enam lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki warganegara Nepal dan seorang perempuan warganegara Indonesia yang berusia antara 25 dan 40 tahun.

    Kesemua yang ditahan bekerja sebagai operator mesin judi di premis tersebut.

    “Kita mengesyaki cleaner (pekerja pembersihan) yang atur pekerja-pekerja asing itu. Kita masih siasat lagi apa lagi perniagaannya, sebab pas pekerjanya sudah tidak sah.

    “Mungkin dia sudah lama berada di sini,” kata Ruslin, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, turut dirampas dalam operasi itu, 46 unit komputer pelbagai jenama, 37 pasport dan wang tunai sebanyak RM114,450 yang dipercayai hasil aktiviti perjudian.

    Sindiket ini dipercayai mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun.

    Warga asing yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, seterusnya ditahan di Depot Imigresen.

    Lelaki tempatan itu pula telah dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan.

  • Kes bunuh pekerja ladang: Dua suspek ditangkap di sempadan Indonesia

    Kes bunuh pekerja ladang: Dua suspek ditangkap di sempadan Indonesia

    CUBAAN dua suspek kes bunuh seorang pekerja ladang di Lundu untuk melarikan diri gagal apabila ditahan di hadapan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Biawak, dekat Lundu, kelmarin.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kedua-dua suspek lelaki itu masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

    “Mereka ditangkap oleh sepasukan polis di lokasi CIQ Biawak untuk siasatan lanjut.

    “Polis turut merampas sebatang senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa dalam kejadian terbabit.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Jelasnya, kes bunuh itu dilaporkan berlaku pada 10 Mac lalu di hadapan ladang Polima Sdn. Bhd. Lundu sekitar pukul 9.20 malam.

    “Hasil siasatan mendapati, suspek bertindak agresif dengan menyerang mangsa yang merupakan seorang pekerja ladang berumur 25 tahun di bahagian kepala dan muka, sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

    Tegasnya, siasatan terperinci akan dijalankan dari pelbagai sudut.

    “Hasil siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pertuduhan,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini, seorang lelaki dari Kampung Senibong Lundu dijumpai mati dipercayai dibunuh di kawasan jalan raya di sebuah ladang sawit di Kuching.

    Mangsa mengalami kesan koyak, lebam dan berdarah di bahagian muka dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

    Kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan yang berlaku dengan orang luar yang masuk ke kawasan ladang.