Category: Semasa

  • Mahkamah Rayuan diberitahu pertuduhan terhadap Sam tidak sah, tidak boleh disabitkan

    Mahkamah Rayuan diberitahu pertuduhan terhadap Sam tidak sah, tidak boleh disabitkan

    MAHKAMAH Rayuan diberitahu bahawa sabitan kerani Sam Ke Ting bagi kesalahan memandu secara melulu sehingga mengorbankan lapan remaja penunggang basikal tidak boleh bertahan kerana pertuduhan yang dikenakan terhadapnya mempunyai kekurangan.

    Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili wanita itu berhujah bahawa terdapat penggandaan pertuduhan kerana pendakwa raya telah memasukkan dua kesalahan berbeza dalam pertuduhan iaitu memandu secara melulu dan memandu secara berbahaya.

    “Ini salah. Hanya satu kesalahan dibenarkan di sisi undang-undang untuk dinyatakan dalam pertuduhan,” katanya.

    Hisyam berhujah demikian dalam rayuan Sam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya dengan kesalahan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda.

    Peguam itu berkata berlaku prejudis terhadap anak guamnya kerana terdapat ‘kegagalan keadilan’ kerana dia telah disabitkan dengan pertuduhan yang tidak diiktiraf dalam undang-undang.

    “Hakim Mahkamah Tinggi mensabitkan kesalahan Sam kerana memandu secara melulu atau berbahaya. Perayu (Sam) tidak mendapat apa yang sepatutnya dinyatakan dalam undang-undang,” katanya di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.

    Sam, 27, pada mulanya dibebaskan dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 18 Nov 2019, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian remaja yang menunggang basikal diubah suai, dikenali sebagai basikal lajak.

    Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.  Sam berusia 22 tahun ketika kejadian.

    Pada 18 Feb 2021, hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengarahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Majistret untuk Sam membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu. 

    Pada 10 Okt 2021, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Sam pada akhir kes pembelaan. Pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Tinggi.

    Tertuduh, Sam Ke Ting bersama peguamnya selepas hadir bagi prosiding rayuan terhadap sabitan kesalahan, hukuman penjara enam tahun dan denda kerana memandu secara melulu, sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017 di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pada 13 April tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu. Sam dihukum penjara enam tahun dan denda RM6,000.

    Wanita itu kemudiannya merayu di Mahkamah Rayuan dan pada 18 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda serta membebaskannya dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya didengar.

    Dalam perbicaraan rayuan hari ini, Hisyam turut berhujah bahawa di Mahkamah Majistret, kes pendakwaan adalah kes memandu secara melulu, tetapi apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi pertama, pendirian pendakwaan bertukar kepada memandu secara berbahaya.

    Sementara itu, seorang lagi peguam mewakili Sam, Harvinderjit Singh berhujah bahawa apa yang berlaku pada hari itu adalah ‘keadaan kecemasan’ dan mengatakan bahawa keadaan itu dicipta oleh mangsa dan bukannya Sam.

    Mangsa menunggang basikal yang diubah suai pada 3 pagi, katanya dan menambah bahawa dapatan prima facie terhadap Sam oleh Mahkamah Tinggi pertama adalah salah.

    Mahkamah menetapkan 11 April untuk menyambung semula prosiding rayuan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman berkata beliau akan mengambil masa dua jam untuk berhujah.

  • Isu KM Melaka:’Berhentilah berbohong, tak takut ke nak jumpa Allah nanti’ – Exco Melaka

    Isu KM Melaka:’Berhentilah berbohong, tak takut ke nak jumpa Allah nanti’ – Exco Melaka

    PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis tidak gentar untuk berkata benar termasuk lantang menyuarakan tentang isu ‘Ketua Menteri pintu belakang’.

    Malah beliau menegaskan tidak bimbang sekiranya digugurkan dalam barisan Exco kerajaan negeri yang akan dibentuk nanti.

    “Bukan sebab jawatan. Kalau sayang jawatan saya akan diam. Rezeki Allah yang menentukan,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Beliau ditanya rasional kenyataannya mengenai isu ‘Ketua Menteri pintu belakang’ seperti dilaporkan portal berita yang dikaitkan berpunca desas-desus dirinya bakal digugurkan sebagai Exco.

    Muhammad Jailani mendakwa, beliau mengetahui punca sebenar Datuk Seri Sulaiman Md. Ali melepaskan jawatan Ketua Menteri adalah kerana ‘paksaan’ dan bukan sebab lain termasuk masalah kesihatan dan bagi melancarkan pentadbiran.

    “Kenyataan saya dikatakan menjejaskan kestabilan kerajaan, tapi adakah peletakan jawatan ini mengukuhkan kerajaan?

    “Tujuan (peletakan jawatan) untuk melunaskan pentadbiran kerajaan adalah paksaan.

    “Sulaiman bukan jenis orang yang melawan. Jika dikatakan alasan sakit, saya juga ada sakit, tapi sakit dihidapi beliau (Sulaiman) tidaklah sampai menghalangnya menjalankan tugas (Ketua Menteri).

    “Berhentilah tipu rakyat. Sulaiman tahu dan saya tahu, mereka yang terbabit mempertahan dan yang menjatuhkan beliau juga tahu,” katanya.

    Muhammad Jailani mendakwa beliau dan barisan Exco juga tidak dibawa berbincang berhubung cadangan menamakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri ke-13.

    “Saya bukan ‘pak turut’, benar kata benar. Benda tak benar saya tak akan sokong demi Allah untuk agama, bangsa dan negara.

    “Nasihat saya pada kepimpinan di peringkat nasional juga di peringkat negeri Melaka…kita orang Melayu, kita orang Islam kita sedang berpuasa.

    “Sudah-sudahlah, berhenti berbohong tak takut ke tak lama lagi nak jumpa Allah,” katanya lagi sambil memaklumkan akan mengadakan sidang media khas petang ini.

    Beliau juga mengesahkan tidak akan menghadiri istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Ketua Menteri Ke-13 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama di Yer Keroh petang ini.

  • Ab. Rauf sah Ketua Menteri Melaka ke-13

    Ab. Rauf sah Ketua Menteri Melaka ke-13

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13, hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), Ayer Keroh hari ini.

    Terdahulu, pengumuman Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari yang memaklumkan pelantikan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka.

  • Sindiket edar dadah antarabangsa tumpas, 183kg syabu bernilai RM6j dirampas

    Sindiket edar dadah antarabangsa tumpas, 183kg syabu bernilai RM6j dirampas

    BAWA bekalan syabu sebanyak 183 kilogram (kg) bernilai lebih RM6 juta dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut.

    Bagaimanapun, rancangan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu berjaya dipatahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang dalam operasi bermula kelmarin dan semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam beberapa serbuan di sekitar negeri itu dan Kuala Lumpur, lima lelaki warga asing serta seorang lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun turut berjaya ditahan.

    Katanya, kesemua suspek bekerja sebagai peniaga, buruh binaan serta penganggur dan mereka dipercayai aktif mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu.

    Jelas beliau, suspek pertama iaitu seorang lelaki warga asing di AutoCity, Juru, kira-kira pukul 6 petang, Rabu lalu yang mana polis merampas lima bongkah plastik berwarna hitam mengandungi 178 bungkusan berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 183.6 kilogram yang disimpan di dalam kereta jenis Honda CRV yang dipandunya.

    “Menerusi tangkapan itu, polis berjaya mendapatkan maklumat yang menjurus kepada penahanan suspek-suspek lain di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.

    “Suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 4 pagi semalam di sebuah rumah di Bukit Bintang yang mana polis merampas wang tunai berjumlah RM500,000 serta menyita beberapa buah kenderaan mewah antaranya Porsche, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan sebagainya,” katanya.

    Tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas enam suspek negatif dadah manakala semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

    Jelasnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 5 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Tambah beliau, selain tujuh buah kenderaan bernilai RM1.38 juta, turut disita dalam operasi tersebut sebuah bot fiber bersama dua buah enjin bernilai RM380,000.

    “Bot itu dipercayai digunakan untuk membawa dadah ke negara jiran yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

    “Dua nelayan warga asing turut ditahan dalam operasi ini dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah-dadah ini ke negara jiran dan mereka bergerak dari Kuala Juru,” katanya.

  • SRC International: ‘Najib sendiri penyebab gagal rayuannya’ – Mahkamah Persekutuan

    SRC International: ‘Najib sendiri penyebab gagal rayuannya’ – Mahkamah Persekutuan

    MAHKAMAH Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebenarnya menjadi penyebab prosiding rayuan beliau bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tidak didengar oleh panel hakim terdahulu.

    Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan penghakiman majoriti 4-1 itu, telah menolak permohonan bekas perdana menteri untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    “Tiada penafian hak pemohon (Najib) dan tiada pelanggaran keadilan dalam kes itu,” katanya.

    Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

    Dalam penghakimannya, Ong berkata peguam Najib sendiri yang enggan membuat penghujahan lisan sejak permulaan prosiding rayuan tahun lepas, walaupun peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim sebelum ini yang menolak rayuan itu.

    “Pemohon berhujah bahawa haknya telah dicabuli. Bagaimanapun, di sini jelas pemohon adalah punca nasib malangnya sendiri. Kami tidak nampak sebarang sebab untuk menyemak sebarang keputusan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu.

    “Setelah mempertimbangkan semua rekod, mahkamah mendapati bahawa semua sabitan awal terhadap pemohon adalah selamat dan hukuman yang dikenakan terhadap pemohon tidak keterlaluan, dan oleh itu, disahkan,” kata Ong.

    Mengenai permohonan semakan berhubung keengganan Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan itu, hakim itu berkata undang-undang mengenai penarikan diri juga telah diselesaikan dengan baik berdasarkan prinsip ujian ‘bahaya berat sebelah’.

    Beliau berkata keputusan Tengku Maimun untuk tidak menarik diri disokong oleh ahli panel yang lain dalam penghakiman berasingan.

    Hakim itu selanjutnya berkata tiada kegagalan korum dalam apa jua perkara kerana hakim boleh mendengar sebarang penarikan diri yang dibuat terhadap mereka.

  • Bungkusan ubat gigi ‘ganja’ misteri: Polis kenal pasti pengirim kepada PM, Rafizi

    Bungkusan ubat gigi ‘ganja’ misteri: Polis kenal pasti pengirim kepada PM, Rafizi

    POLIS telah mengenal pasti pengirim bungkusan mengandungi tiub ubat gigi bercorak daun ganja kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata pihaknya telah mendapat butiran pengirim dan dalam usaha mengesan individu itu yang dipercayai warga tempatan, untuk ditahan.

    “Bungkusan itu selepas kita hantar ke makmal kimia dan hasil analisa mendapati tidak mengandungi sebarang jenis dadah dan ia adalah ubat gigi,” katanya pada sidang media hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat penghantaran bungkusan yang disyaki mengandungi barang terlarang, dialamatkan kepada Anwar dan Rafizi.

    Terdahulu, Hussein memaklumkan polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah susulan penahanan tujuh individu warga tempatan.

    Tangkapan yang turut melibatkan seorang wanita itu dilakukan Selasa lepas di sekitar Selangor dan Tanjung Malim, Perak.

    “Jumlah dadah yang dirampas bagi kedua-dua kes adalah bernilai RM11.034 juta membabitkan dadah jenis methaphetamine dan heroin yang dipercayai untuk dipasarkan di Lembah Klang,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Wan Fayhsal kemuka usul gesa bahas pengeluaran KWSP

    Wan Fayhsal kemuka usul gesa bahas pengeluaran KWSP

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul menggesa Dewan Rakyat membahaskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    Usul itu dikemukakan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1) dan (2).

    “Usul ini hendaklah disegerakan memandangkan pelbagai lapisan rakyat menyatakan kehendak ini buat suatu tempoh yang mendesak dan bertambahnya jumlah kumpulan rakyat yang tidak dapat menampung belanja kehidupan pada waktu dan ketika ini,” katanya.

    Beliau berkata, usul itu melibatkan kepentingan orang ramai berdasarkan keluhan dalam media sosial.

    Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut merujuk tindakan seorang pemandu teksi Noorazlan Ismail, 49, dalam misi berjalan dari Johor Bahru ke Istana Negara, Kuala Lumpur, sebagai usahanya menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP.

    Sementara itu, di Facebooknya Wan Fayhsal berkata mengikut Peraturan Mesyuarat, speaker perlu menerima usul itu secara bertulis sebelum 10 pagi iaitu 24 jam sebelum ia boleh dibangkitkan dan dibahas.

    “Memandangkan soalan saya berkenaan hal ini tidak dapat dijawab oleh menteri kewangan semalam maka ada keperluan ia disegerakan minggu depan kerana hari persidangan hanya berbaki dua hari lagi sebelum tamat sesi Dewan Rakyat kali ini.

    “Moga Yang di-Pertua menerima usul ini untuk dibahaskan memandangkan ianya adalah perkara yang amat mustahak melibatkan kepentingan awam,” katanya lapor FMT.

  • China-AS: ‘Saya tidak menentang sesiapa’- PM

    China-AS: ‘Saya tidak menentang sesiapa’- PM

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada pihak yang harus menentukan pendirian Malaysia untuk ‘berpihak’ kepada mana-mana negara termasuk dalam hubungan dua hala melibatkan ekonomi.

    Sehubungan itu, Perdana Menteri menolak persepsi segelintir pihak bahawa Malaysia bersikap berat sebelah, kerana didakwa ‘pro-China’.

    Jelasnya, Sebagai sebuah negara kecil, Malaysia sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama termasuk dengan Amerika Syarikat (AS).

    “China adalah jiran (rakan dagang) yang penting dan perdagangan utama tetapi AS sebagai sebuah negara yang mesra terhadap kita (Malaysia). Kita adalah sebuah negara yang kecil, tiada siapa patut ‘memerintah’ kita.

    “Sebagai sebuah negara yang merdeka, kita perlu memutuskan apa yang terbaik untuk negara. Kita sedar perdagangan kita dari China, dan gembira menjadi jiran yang baik, mesra serta mendapat manfaat daripada kejayaan mereka.

    “Jika AS mahu menyumbang, ia adil. Tetapi seperti saya katakan, tiada siapa harus ‘memerintah’ kita,” katanya dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan ucapan di Tshinghua University, di Beijing hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia bersetuju dengan inisiatif yang dibawa oleh Presiden China, Xi Jinping termasuk meluaskan isu kemanusiaan dan ketamadunan.

    “Saya tidak mengatakan bahawa saya menentang sesiapa pun.

    “Tetapi kita harus melihat ke hadapan dan saya tidak mengatakan China sebagai pesaing atau ancaman kepada kita. Ya, terdapat banyak perkara yang kami bersetuju, dan juga beberapa perkara yang kami tidak bersetuju (tindakan China),” ujarnya lagi, lapor Astro Awani.

    Kedua-dua ekonomi besar dunia itu bertelagah dalam pelbagai isu termasuk perdagangan dan Taiwan.

    Semalam, Perdana Menteri ketika berucap di Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) berkata persaingan teknologi seharusnya menjadi antara agenda utama untuk perbincangan di peringkat tertinggi, setanding dengan wacana mengenai hal-hal keselamatan dan ekonomi am.

    Anwar ketika ini dalam rangka kerja rasmi ke China selama empat hari sehingga esok.

  • Pesara didakwa di mahkamah kerana menipu

    Pesara didakwa di mahkamah kerana menipu

    SORANG pesara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tuduhan memperdayakan lelaki bagi urusan mendapatkan pekerja asing melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

    Tertuduh, Mohd. Logan Abdullah, 68, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh, lapor Harian Metro.

    Dia dituduh memperdayakan lelaki berusia 50 tahun dengan menjadi ejen mendaftarkan warga asing di bawah program RTK dan sengaja mendorong lelaki itu untuk membuat bayaran berjumlah RM63,000 bagi urusan tersebut.

    Kesalahan dilakukan pada Mac 2021 sehingga 25 September 2021 di Green Street Homes, Seremban 2, di Seremban dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala tertuduh diwakili Peguam Jayaprakash Rao.

    Terdahulu, Jayaprakash merayu anak guamnya diberi jaminan minimum mengambil kira tertuduh perlu menanggung isteri serta tiga anak selain mempunyai masalah jantung dan sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes.

    Dalam pada itu, di kamar berbeza di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md. Yusop, tertuduh turut didakwa memperdaya seorang lelaki dalam urusan mendapatkan pinjaman peribadi daripada bank dan berkaitan pinjaman kereta.

    Lelaki itu memasukkan cek berjumlah RM1,400 ke atas nama tertuduh yang mana dia tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesalahan dilakukan di Green Street Homes 1, Seremban 2, Seremban pada 29 Oktober 2005 dan pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal dan tertuduh dibenar ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

  • Fahmi berang selepas akhbar petik pakar ramal OPR naik

    Fahmi berang selepas akhbar petik pakar ramal OPR naik

    MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dikritik pengguna media sosial selepas meluahkan kemarahan dengan sebuah laporan biasa oleh sebuah akhbar yang memetik penganalisis sebagai menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik dalam beberapa bulan ini.

    Laporan Berita Harian itu antara lain melaporkan penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

    Pandangan pakar itu berdasarkan unjuran perkembangan ekonomi yang dipacu permintaan domestik kukuh ekoran pemulihan pekerjaan dan paras pendapatan lebih baik.

    Bagaimanapun, Fahmi yang sebelum ini dikritik di sebalik pendekatan beliau menguruskan kebebasan akhbar, menyifatkan laporan itu ‘fitnah’.

    “Ini Fitnah. Rencana dengan jelas kata ini pandangan penganalisis, bukan keputusan bank negara mahupun kerajaan,” katanya dalam catatan di Facebook.

    “Berita Harian Online wajib betulkan dan jelaskan.”

    Ia kemudian diikuti dengan Fahmi mengumumkan akan berjumpa dengan pengurusan akhbar tersebut.

    Komen Fahmi itu mengundang kritikan pengguna media sosial yang menasihatkan beliau supaya memahami laporan yang diterbitkan.

    Ramai pengguna media sosial turut menekankan perkataan ‘dijangka’ yang bermakna kenaikan OPR itu tidak semestinya akan berlaku.

    “YB Fahmi Fadzil cuba faham sikit. Dia cakap dijangka bukannya dia cakap sah akan naik. Cari kamus dewan bahasalah YB cari apa maksud dijangka,” tulis pengguna Facebook Faizal Ariffin.

    “Dijangka. Maknanya diambil dari sumber-sumber yang buat kajian.

    “Benda mudah pun gelabah,” tulis seorang lagi pengguna Facebook Firdaus Saleh.

    “Ini jangkaan dari analisis. Celah mana fitnahnya.

    “Benda ini dikira fitnah, serius lah YB.. Bukan PH wira kebebasan bersuara ke?” kata pengguna Facebook Khairil Anwar.

    Sementara itu, pengguna media sosial yang dilihat bersetuju dengan pandangan Fahmi menggesa supaya syarikat akhbar itu dikenakan tindakan tegas.

    “Panggil editor kanan bagi surat tunjuk sebab, suruh dia sediakan jawapan dalam masa 48jam/2hari.

    “Kena tegas tanpa beri muka kepada pihak yang terbabit!” tulis salah seorang pengguna Facebook Shidi Shidiamin di ruangan komen itu.

    Ini bukan kali pertama Fahmi menerima kritikan ramai sejak menyandang portfolio itu, yang sebahagian besarnya dilihat sebagai bertanggungjawab ke atas organisasi media di negara ini.

    Awal bulan ini, beliau mempersoalkan hasil tinjauan yang dijalankan oleh beberapa agensi media pada 100 hari pertama kerajaan berkata, penemuan itu tidak boleh dipercayai dan tidak benar-benar mencerminkan pandangan rakyat.