Category: Semasa

  • Zahid perlu bertanggungjawab gagal kemudi UMNO – Hassan Karim

    Zahid perlu bertanggungjawab gagal kemudi UMNO – Hassan Karim

    DATUK SERI Anwar Ibrahim tidak wajar dipersalahkan selepas kerusi majoriti Melayu ditandingi gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berpindah kepada Perikatan Nasional.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata individu yang jelas perlu bertanggungjawab terhadap prestasi itu adalah Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi apabila Presiden UMNO itu  gagal mengemudi parti Melayu tersebut sehingga kalah 89 daripada 108 kerusi ditandinginya.

    “Anwar adalah panglima perang dalam PRN ini,” katanya menyifatkan kejayaan Pengerusi PH memimpin calon kerajaan perpaduan mempertahankan tiga negeri ditadbirnya sebelum ini di medan PRN semalam sebagai “penting untuk diiktiraf”. Yang jelas tewas dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan Umno di 89 kerusi ditandinginya dengan logo BN ialah presiden UMNO,” katanya kepada FMT dari Makkah.

    Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Anwar dan Zahid perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri susulan referendum rakyat hasil keputusan PRN enam negeri, apabila PN menang 146 atau 60% kerusi daripada 245 keseluruhan DUN ditandinginya.

    Hassan berkata, keputusan kurang memberangsangkan rakan sekutu PH itu perlu diteliti dengan cermat oleh Perdana Menteri sebelum melangkah ke “medan perang” lebih besar iaitu PRU16.

    “UMNO-BN memang jelas tewas. Anwar perlu membuat persiapan menjelang PRU akan datang untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu yang jelas banyak berpindah kepada PN.

    “(Kerjasama dengan UMNO) perlu diteliti dengan cermat, tetapi bukan sangat dengan UMNO sebaliknya (kerjasama) dengan Presiden UMNO (Zahid) secara peribadi.”

    Terdahulu, beberapa penganalisis berpandangan UMNO perlu menukar kepimpinan di peringkat atasan dengan Zahid berundur sebagai tonggak parti itu sehingga timbalan perdana menteri dibebaskan daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

    Ahmad Fauzi Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kerajaan perpaduan berisiko kehilangan lebih banyak sokongan politik dan gagal meraih undi Melayu yang amat diperlukan kerajaan Anwar jika kepimpinan UMNO tidak berubah.

    Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, prestasi buruk UMNO menunjukkan masalah besar, dan lebih ramai pengundi Melayu beralih taat setia daripada parti itu.

  • Sikap ‘abang besar’ punca BN-PH putih mata di Terengganu, kata Raja Bahrin

    Sikap ‘abang besar’ punca BN-PH putih mata di Terengganu, kata Raja Bahrin

    GABUNGAN  Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menang beberapa kerusi di Terengganu jika sikap “abang besar” tidak mendominasi pembahagian kerusi negeri itu.

    Pengerusi PH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata dua gabungan itu bersetuju untuk memberikan kerusi campuran khususnya di DUN Bandar dan Chukai kepada PH pada peringkat awal namun ia tidak dilaksanakan.

    “Ini adalah kesilapan yang besar dan kita telah hilang peluang memenangi kerusi seperti ini di mana PH mempunyai kelebihan. Di sinilah perlunya mengakui kelebihan tertentu rakan gabungan dalam menghadapi pengundi di kawasan bandar serta pengundi campuran dan jangan mengamal sikap abang besar,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT

    BN bertanding di 27 kerusi manakala PH lima. Bagaimanapun gabungan calon perpaduan itu kalah di semua DUN Terengganu, selain Umno gagal mengekalkan kemenangan di 10 kerusi dimenanginya pada PRU14.

    Beliau menyifatkan keputusan buruk BN-PH pada PRN semalam tidak begitu mengejutkan, susulan gabungan itu gagal menggunakan strategi dan perancangan baik.

    Sebelum ini, Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan PKR supaya “ukur baju di badan sendiri” susulan permintaan parti itu bertanding di banyak kerusi pada PRN.

    Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, PH perlu sedar kekuatan jenteranya dan menerima hakikat pertarungan sebenar di negeri itu hanya membabitkan PAS dan Umno.

    Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah Raja Kamarul yang menyifatkan semua parti dalam kerajaan campuran mempunyai kelebihan tersendiri, sambil mendakwa Amanah walaupun parti baharu mampu menjadi penentu di negeri berkenaan.

  •  PRN: PN ‘kafankan’ UMNO Terengganu 

     PRN: PN ‘kafankan’ UMNO Terengganu 

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) diwakili Parti Islam SeMalaysia) Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu semalam bukan sahaja mampu mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri daripada dikuasai Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Sebaliknya, kemenangan  bergaya 32-0 termasuk kejutan menawan 10 kerusi milik UMNO dianggap sebagai diluar jangkaan.

    Ini kerana 10 kerusi berkenaan dianggap sebagai antara kubu kuat parti itu  sejak sekian lama seperti DUN Seberang Takir, Telemung, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit dan Kijal.

    Maka itu, banyak pihak menyifatkan kemenangan yang diraih itu boleh dikatakan PN kini telah berjaya ‘mengkafankan’ UMNO di negeri ini.

    Selain itu, para penganalisis dan pemerhati politik tempatan pula menyifatkan perkembangan ini bukan setakat mengulangi kejayaan PN menawan kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November tahun lalu, sebaliknya ia menyaksikan UMNO kini seakan sudah lumpuh dan tidak lagi kebal di bumi Terengganu.

    Mereka turut berpendapat, walaupun pada peringkat awal ada ramalan mengatakan UMNO akan tewas, tetapi tidak menjangka dengan jumlah kerusi dan majoriti agak besar. Pada peringkat awal ramalan keputusan 32-0 dibuat dikatakan lebih bersifat politik semata-mata di samping sentiasa berubah-ubah.

    Ada yang mengatakan kerusi dimenagi UMNO bakal tinggal batu nesan sahaja iaitu Seberang Takir dan Telemung dan ada pula mengatakan persaingan semakin sengit di mana UMNO masih berpeluang untuk menang di Terengganu. Realitinya, PN kini berjaya mencatat banyak sejarah baharu  dalam PRN kali ini di mana buat pertama kalinya parti itu tiada langsung suara atau wakil dalam DUN Terenggnu pada penggal ini.

    Bayangkanlah dalam sesebuah pentadbiran kerajaan negeri tiada wakil daripada pihak pembangkang yang bersuara, memberi pendapat dan berhujah sewaktu persidangan DUN berlangsung. Sejarah juga tercipta apabila kesemua orang kuat UMNO termasuk bekas dua orang Menteri Besar (MB) tersungkur di tangan PN diwakili calon Bersatu.

    Kedua-duanya ialah Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi UMNO Terengganu tewas kepada Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris di DUN Kijal. Razali yang mendapat 13,403 undi menang dengan majoriti 3,758 undi menewaskan Ahmad yang mendapat 9,645 undi. Maka itu, berakhirlah riwayat politik Ahmad di Kijal yang disandangnya sejak tahun 1990 lalu.

    Manakala seorang lagi bekas MB, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pula tewas kepada Ketua Bersatu Kuala Nerus, ustaz Khazan Che Mat. Khazan yang juga bekas ADUN Batu Rakit dan bekas Pengerusi Agama dan Penerangan negeri yang mendapat 12,156 undi menang dengan majoriti 2,797 undi menewaskan Ahmad Razif yang mendapat 9,359 undi.

    Dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini Seberang  Takir merupakan kerusi UMNO yang tidak pernah tewas kepada pihak lawan. Selain itu satu lagi  sejarah baharu yang tercipta ialah menerusi calon wanita tunggal PN mewakili Pas, Zuraida Mohd Noor yang menang di  DUN Ladang dengan majoriti 4,373 undi.

    Kemenangan bekas ADUN Wanita yang mendapat 11,663 undi menewaskan calon BN, Datuk Mohd Sabri Alwi sekaligus berjaya memecah kebuntuan calon wanita di negeri ini dikatakan agak sukar untuk menang  dalam  pilihanraya mutakhir ini.

    Ramai pengalisis dan pemerhati politik di Terengganu berpendapat antara faktor kejayaaan PN adalah disebabkan berlakunya protes dalaman ahli dan penyokong akar umbi di samping kepulangan anak perantauan dan juga kehadiran pengundi muda di bawah usia 18 tahun.

    Berdasarkan itulah, kebanyakan calon PN meraih kemenangan undi  dengan majoriti lebih besar pada PRN kali ini.

    Melihat kepada perkembangan ini penulis percaya tidak mustahil PN akan terus menjadi gabungan parti politik terkuat dan pilihan utama rakyat Terengganu selepas pasca PRN ini bagi menggantikan UMNO.

  • Calon MB: Sanusi tidak tahu siapa calon

    Calon MB: Sanusi tidak tahu siapa calon

    CALON Menteri Besar Kedah akan ditentukan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu di luar pengetahuannya dan beliau tidak pasti sama ada namanya disenaraikan sebagai calon menteri besar untuk terus menerajui Kedah selepas PN menang besar di negeri itu.

    Menurutnya, perkara berkaitan sedang diuruskan parti dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

    “Hal ini diuruskan oleh parti dan SUK. Sama ada bawa nama saya atau nama siapa sebagai calon, saya tak tahu. Kepimpinan PN akan putuskan, bukan saya. Saya tak tahu nama saya ada dalam senarai atau tidak,” katanya pada sidang akhbar selepas PN diumumkan menang dalam PRN Kedah di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, lapor Sinar Harian.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, kerajaan negeri sementara yang dipimpinnya ketika ini masih berfungsi sehingga pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu dilakukan.

    “Jawatan kita tak boleh minta, itu adalah disiplin dalam Pas,” ujarnya.

    Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, PN akan mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu di ketiga-tiga negeri dimenangi gabungan itu pada PRN dalam masa terdekat.

    Katanya, ini bagi mendapatkan perkenan daripada Sultan di negeri terbabit iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Pada PRN kali ini, PN menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah selain kerusi Parlimen Kuala Terengganu serta 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, 22 di Selangor dan lima di Negeri Sembilan.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan kenyataan tular di media sosial berhubung Pas menolak calon DUN Jitra, Haim Hilman Abdullah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.

    Beliau dilaporkan berkata, kenyataan bertarikh 11 Ogos itu adalah palsu.

    Menerusi kenyataan tular itu memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas yang berlangsung kelmarin memutuskan antara lain, Bersatu menuntut jawatan Menteri Besar diberikan kepada calon parti itu atau calon DUN Jitra.

    Sehari sebelum hari pengundian, Takiyuddin mengumumkan, Sanusi dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, masing-masing kekal sebagai Menteri Besar Kedah dan Terengganu jika PN menang PRN.

    Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Rusila, Terengganu, dipengerusikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, namun pelantikan mereka masih tertakluk pada perkenan sultan kedua-dua negeri.

  • PN mampu rampas Pulau Pinang daripada DAP pada masa depan

    PN mampu rampas Pulau Pinang daripada DAP pada masa depan

    PAS bersama Perikatan Nasional (PN) mampu merampas pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada DAP pada masa depan.

    Keyakinan itu dilaungkan Pesuruhjaya Pas III Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah berdasarkan momentum sokongan rakyat terhadap Pas dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

    Jelasnya, kejayaan Pas ‘merampas’ enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang selain mengekalkan satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam dianggap sebagai momentum kebangkitan yang ditunggu-tunggu selama ini.

    Selain Pas, ujar beliau, keupayaan rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meraih empat lagi kerusi DUN membuktikan gabungan parti itu begitu bersungguh-sungguh untuk ‘menawan’ Pulau Pinang.

    “Gelombang PN di Pulau Pinang ketika ini cukup kuat walaupun kita boleh dianggap sebagai satu gabungan parti yang masih baharu.

    “Tidak mustahil, Pas dan PN mampu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada DAP dengan usaha keras secara berterusan pada masa depan.

    “Kalau nak ikut, DAP pun berapa kali ‘depa’ (mereka) buat Ops Tanjong (sebelum berjaya mentadbir Pulau Pinang). Pilihan raya tahun 1990, 1995, 1998 dan 2004. Semua gagal. Tahun 2008 baru berjaya.

    “Lima kali ‘depa’ lancarkan operasi (untuk tawan Pulau Pinang). Jadi, kita (PN) pun baharu lagi dan memang kita nampak gelombang (kebangkitan) sekarang memihak kepada PN,” katanya kepada pemberita malam tadi.

    Terdahulu, beliau diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga buat penggal kedua selepas berjaya menewaskan pencabarnya, Mohd. Naim Salleh yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 5,537.

    Mengulas mengenai kejayaannya mempertahankan kerusi DUN tersebut, kata Mohd. Yusni, beliau begitu seronok dan gembira kerana tidak lagi menjadi wakil tunggal pembangkang untuk berbahas pada sesi persidangan DUN selepas ini.

    “Insya-Allah, kali ini kita (pembangkang DUN) akan kembali balik dengan lebih kuat dan kita akan tengok apa yang kita boleh tawarkan daripada manifesto (PN) sebelum ini (untuk dilaksanakan).

    “Walaupun kita tidak mampu untuk mentadbir dan mengambil alih (kerajaan negeri), tetapi kita tetap akan bawa serta cadangkan kepada pihak kerajaan hari ini (termasuk dari segi projek pembangunan dan sebagainya),” katanya.

    Selain DUN Penaga, Pas turut menang di Pinang Tunggal; Sungai Dua; Permatang Pasir, Sungai Bakap; Permatang Berangan dan Pulau Betong.

  • Saya tetap bertahan walaupun berdarah – Sanusi

    Saya tetap bertahan walaupun berdarah – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor buat pertama kali mengakui beliau terpaksa ‘berlakon’ seperti tidak terkesan dan terjejas dengan serangan bertubi-tubi pihak lawan yang dihadapinya sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan pada 28 Jun lalu.

    Menteri Besar yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sedikit sebanyak beliau tetap ‘tercedera’ dan ‘berdarah’ akibat serangan tersebut yang dihalakan terhadapnya oleh kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Lepas bubar DUN tipulah kalau saya katakan saya tidak rasa tertekan dengan semua serangan yang dihadapkan kepada saya sebagai ketua kerajaan. Saya buat-buat cool untuk memastikan calon-calon yang diamanahkan PN terus tenang menghadapi cabaran ini.

    “Saya absorb semua serangan kepada diri saya sendiri supaya semua rakan-rakan lain terselamat daripada tembakan, sipi-sipi kenalah (juga) kepada calon-calon lain dan sipi-sipi pergi ke negeri-negeri lain.

    “(Tetapi) tipulah kalau saya tak berdarah, berdarah juga berlari merata tapi Alhamdulillah kekuatan menghadapi semua ini hadir daripada Allah SWT,” katanya ketika berucap selepas kemenangan PN pada pilihan raya negeri (PRN) Kedah di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, Alor Setar malam tadi.

    Pada PRN kali ini, Muhammad Sanusi berjaya mempertahankan kemenangan di DUN Jeneri dengan majoriti 16,050 undi menewaskan calon muka baharu BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim yang hanya mendapat 5,773 undi berbanding beliau yang meraih sebanyak 21,823 undi.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau pada masa sama mahu mempersembahkan ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di atas bimbingan, pandangan dan nasihat baginda untuk beliau terus berjuang sepanjang tiga tahun ini.

    Sementara itu, Pengerusi PN Kedah itu turut yakin barisan kepimpinan serta rakyat negeri Kedah akan terus berada di belakangnya bagi menangkis serangan yang mungkin berlanjutan daripada pimpinan Kerajaan Persekutuan.

    “Pudin (Datuk Seri Saifuddin Nation Ismail); Abang Non (Datuk Seri Anwar Ibrahim); cak uban (Datuk Mahfuz Omar) Wak Jahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan semua kepimpinan PH dan BN di Kedah dan seluruh negara menghalakan meriam masing-masing ke Kedah.

    “Mereka telah memilih Kedah sebagai medan tempur dalam peperangan PRN. Sekali kita bangun kita akan terus melangkah maju ke depan jangan siapa cuba menghalang kita ini bangsa fighter, bangsa pahlawan yang tiada siapa pun ada hak menentukan masa depan kita, kita sendiri lah yang berhak menentukan ke mana kita nak pergi, di mana kita nak gantungkan harapan kita,” katanya.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau masih memerlukan sokongan rakyat negeri itu untuk meneruskan perjuangan termasuk beberapa kes mahkamah serta saman bernilai ratusan juta ringgit yang dihadapinya.

    Tambah beliau, pihaknya turut memberi jaminan untuk tidak akan menganiaya sesiapa termasuk rakan-rakan daripada PH dan BN, malahan akan terus bersikap adil.

  • Serangan berlebihan PHBN sumbang kemenangan besar PN di Kedah

    Serangan berlebihan PHBN sumbang kemenangan besar PN di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan kemenangan besar diraih Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam antaranya disumbangkan oleh serangan secara berlebihan oleh kem Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) di sepanjang tempoh berkempen sebelum ini.

    Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu, tindakan PH dan BN memakan diri hingga menyebabkan kedua-dua gabungan tersebut dihukum rakyat.

    Selain itu katanya, kemenangan besar itu turut berpunca daripada keyakinan rakyat terhadap keupayaan PN mentadbir negeri ini.

    “Saya lihat serangan berlebihan PH dan BN telah memakan diri mereka. Rakyat yang berada dalam PH dan BN di Kedah ini seolah-olah membutakan mata serta pekak telinga kepada pencapaian dibuat sepanjang tiga tahun mentadbir negeri ini. Mengapa orang lain boleh lihat (kebaikan) tetapi ‘hangpa’ tak? Apa yang ternampak di mata mereka hanyalah perkara negatif yang dihamburkan setiap hari, maka rakyat tunjukkan mereka jalan keluar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dijalankan di Kompleks Pas Kedah, malam tadi selepas selesai majlis keraian sempena kemenangan PN di Kedah.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata, kemenangan besar dicatatkan PN jelas membuktikan bahawa proses pengambil alihan kerajaan negeri yang berlaku pada 17 Mei 2020, bukanlah dilakukan secara tebuk atap.

    “Telah terbukti bahawa kita masuk ikut pintu depan dan kini pintu itu terbuka lebih luas dengan sokongan serta undi yang diberikan rakyat,” katanya.

    Ditanya mengenai peranan semak dan imbang berikutan jumlah pembangkang yang terlalu sedikit, Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin kerajaan dibentuk PN tidak berdepan masalah untuk melaksanakannya.

    “Saya rasa kalau tiada pembangkang pun, kita tiada masalah kerana peranan semak dan imbang itu memang dilaksanakan secara dalaman antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan. Kita dah buktikan dalam tempoh tiga tahun ini, kita tak buat perkara yang mengundang kemarahan rakyat serta melanggar undang-undang dan peraturan,” katanya.

  • Chow Kon Yeow angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang

    Chow Kon Yeow angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua di Seri Mutiara, di Georgetowan hari ini.

    Chow, 65, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada pukul 9.35 pagi.

    Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Datuk Mohd Sayuthi Bakar serta barisan pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) negeri.

    Chow, yang sebelum ini pernah diumumkan menjadi calon Ketua Menteri oleh PH jika parti itu memenangi pilihan raya, akan mengetuai Kerajaan Negeri Perpaduan setelah gabungan PH-BN itu memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, lapor BERNAMA.

    Beliau memperoleh 8,261 undi dengan majoriti 7,116 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) H’ng Khoon Leng yang mendapat 1,145 undi.

    Chow, yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan, menyandang kerusi DUN Padang Kota sejak 2008 hingga sekarang.

    Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 14 Nov 1958, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Jalan Sungai Besi (1), Kuala Lumpur sebelum ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 1971.

    Chow menyambung pendidikan tinggi ke Kolej Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1976 hingga 1977 sebelum menyambung pengajian tinggi di Universiti Sains Malaysia untuk Ijazah Sains Sosial pada 1980 hingga 1984.

    Pada 1978, Chow pernah berkerja sebagai Penggubal Undang-undang di firma swasta dan sebagai Penolong Penyunting, National Echo (Mingguan Sabtu) pada 1985.

    Kerjaya politik Chow bermula apabila beliau mula bertugas sebagai setiausaha politik kepada Lim Kit Siang pada 1986 dan memegang jawatan Penolong Setiausaha DAP Pulau Pinang pada 1989.

    Beliau pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum 1990 dan berjaya menewaskan calon BN Dr Loh Hock Hun di DUN Pengkalan Kota dengan majoriti 3,670 undi.

  • Kemenangan besar PN Pulau Pinang manifestasi rakyat tolak gabungan PH-BN

    Kemenangan besar PN Pulau Pinang manifestasi rakyat tolak gabungan PH-BN

    KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN) semalam disifatkan sebagai satu manifestasi dan referendum penolakan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

    Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, meskipun tiga daripada 10 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pas tewas, namun undi yang diperolehi mereka melebihi 40 peratus sekali gus menunjukkan gelombang kebangkitan rakyat telah berlaku.

    “Inilah julung kali dalam sejarah Pas Pulau Pinang memenangi sehingga tujuh kerusi DUN sejak PRU pertama sehingga PRN Ke-15 ini, bermakna Pas memenangi 70 peratus daripada jumlah calon yang bertanding,” katanya kepada pemberita semalam.

    Muhammad Fauzi turut menang kerusi DUN Sungai Dua dengan majoriti 5,509 menewaskan lawannya yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Shaikh Hussein Mydin yang bertanding atas tiket PH-BN.

    Muhammad Fauzi menambah, kemenangan Pas di Pulau Pinang isyarat jelas yang mana penyokong Pas-PN tidak berkompromi dengan politik retorik seperti yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh parti DAP.

    “(Kemenangan) Ini bukan retorik, dan mereka menolak politik retorik, politik DAP dan juga PH yang selama ini tidak mengotakan janji mereka kepada rakyat sendiri.

    “Justeru, kita berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bakal ditubuhkan nanti sedar dengan kehadiran suara rakyat ini dan jangan lagi menindas dan menekan mana-mana pihak yang tidak sealiran dan tidak bersetuju dengan mereka,” katanya.

    Pada PRN kali ini, calon-calon Pas menang selesa di DUN Penaga; Pinang Tunggal; Permatang Berangan; Sungai Dua; Permatang Pasir; Sungai Bakap dan Pulau Betong.

  • UMNO sudah tidak relevan, PN wadah utama politik Melayu – Muhyiddin

    UMNO sudah tidak relevan, PN wadah utama politik Melayu – Muhyiddin

    Kejayaan besar Perikatan Nasional meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa Perikatan Nasional adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini. 

    Berikutan itu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,UMNO telah menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

    Berikut kenyataan penuh selepas keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diumumkan malam tadi;

    PERIKATAN Nasional ingin mengucapkan setinggi-tnggi terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberi sokongan kepada semua calon Perikatan Nasional yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 di 6 buah negeri yang telah berlangsung pada hari ini (semalam)

    Perikatan Nasional juga mengucapkan tahniah kepada 146 calon Perikatan Nasional yang telah memenangi pilihan raya ini. Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan kepada Perikatan Nasional yang bertanding sebanyak 245 kerusi. Ini bermakna Perikatan Nasional telah memenangi sebanyak 60% kerusi yang ditandingi.

     Kejayaan Perikatan Nasional mempertahankan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktkan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional.

    Pada masa yang sama, Perikatan Nasional juga telah membuat major inroads di Negeri Selangor dengan memenangi 22 kerusi berbanding hanya 5 kerusi yang disandang oleh PN sebelum ini.  Kesemua 22 kerusi ini ialah kerusi majoriti Melayu yang membuktikan bahawa Perikatan Nasional mendapat sokongan besar pengundi- pengundi Melayu di negeri Selangor.

     Kejayaan memenangi 22 kerusi ini juga bermakna Perikatan Nasional telah berjaya menafikan majoriti 2/3 kerajaan PH-BN di negeri Selangor, yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat mereka. Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, Perikatan Nasional akan berjaya merampas negeri Selangor.

    Di negeri Pulau Pinang, seperti mana dijangka gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu telah membawa kejayaan besar kepada Perikatan Nasional dengan memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu. Ini adalah satu tamparan hebat kepada Anwar Ibrahim apabila semua kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh Perikatan Nasional.

     Kejayaan besar Perikatan Nasional meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa Perikatan Nasional adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.  UMNO telah menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi. Ini bermakna UMNO kalah 82% daripada keseluruhan jumlah kerusi tersebut.

     Perikatan Nasional juga berjaya memenangi kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majori5 kecil Melayu seper5 Derga yang menunjukkan bahawa Perikatan Nasional turut mendapat sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu.

     Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.

     Maka benarlah pilihan raya negeri ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta merta.

      Alhamdulillah, Perikatan Nasional menghormati suara pengundi dan menerima keputusan pilihan raya ini dengan hati yang terbuka.

     Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jentera parti, semua pengundi Perikatan Nasional, petugas Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia, petugas keselamatan dan semua pihak yang terlibat dalam Pilihanraya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15.