Category: Semasa

  • KPM rancang pengambilan khas tangani kekurangan guru

    KPM rancang pengambilan khas tangani kekurangan guru

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengadakan pengambilan khas guru baharu dalam tempoh terdekat bagi mengatasi masalah kekurangan guru di seluruh negara ketika ini.

    Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata KPM kekurangan guru kira-kira 4.49 peratus atau 19,431 orang berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

    “Sekarang kita mengalami masalah kekurangan guru dan pelbagai usaha serta langkah sedang dijalankan oleh KPM untuk mengatasi masalah itu antaranya kami dalam rancangan untuk adakan pengambilan khas guru-guru baharu.

    “Pengambilan itu akan diumumkan dalam satu atau dua bulan lagi bagi mengatasi masalah kekurangan guru terutama bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Institut Pengajian Tinggi Awam Siri 2 Tahun 2023 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shang Wu, George Town hari ini.

    Lim berkata masalah kekurangan guru itu berlaku di seluruh negara dan bukan hanya negeri tertentu malah turut membabitkan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

    Sementara itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata pameran itu bertujuan menyediakan platform kepada pelajar sekolah menengah khasnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia untuk mengetahui dengan lebih mendalam peluang yang disediakan oleh kerajaan dan agensi untuk mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan masing masing.

    Katanya, KPM menyeru agar semua pelajar menyertai pameran pendidikan institusi pengajian tinggi awam yang diadakan di empat lokasi iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor untuk meneroka peluang pendidikan yang boleh disertai selepas tamat pendidikan peringkat menengah.

    “Menyedari betapa pentingnya kualiti pendidikan, semua lapisan masyarakat perlu didedahkan dengan peluang yang setara agar masa depan anak-anak kita terjamin dan menjadi aset kepada negara,” katanya.

  • ESSCom rampas RM33.291 juta dadah,barang kawalan di ESSZone tahun lalu

    ESSCom rampas RM33.291 juta dadah,barang kawalan di ESSZone tahun lalu

    KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merekodkan rampasan barang kawalan serta dadah bernilai RM33.291 juta di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) pada tahun lalu, kata Komander ESSCom Datuk Hamzah Ahmad.

    Katanya rampasan itu adalah hasil operasi di darat dan laut yang dikoordinasikan oleh ESSCom dengan pelaksanaan 1,401,593 pemeriksaan terhadap individu, kenderaan dan bot sekali gus menghasilkan 1,003 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

    “Elemen penting yang mempengaruhi kejayaan operasi keselamatan pada tahun lalu adalah kerjasama baik antara pasukan keselamatan dan masyarakat di ESSZone” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan sempena hari ulang tahun ke-10 ESSCom di Lahad Datu hari ini.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata ESSCom yang ditubuhkan pada 10 tahun lalu terus unggul mempertahankan kedaulatan di wilayah pantai timur Sabah selain dapat menangani pelbagai jenayah rentas sempadan termasuk penculikan bagi wang tebusan.

    “Kali terakhir kes penculikan melibatkan wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf berlaku di ESSZone pada 15 Jan 2020 dan antara sebabnya, kawalan keselamatan yang ketat yang berterusan termasuk pelaksanaan perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah di ESSZone (Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Kinabatangan, Sandakan),” katanya.

    Di samping itu katanya kerajaan sedaya upaya meningkatkan kawalan keselamatan di ESSZone melalui pembinaan dan menaik taraf pos kawalan pasukan keselamatan sejak 10 tahun lalu.

    “Pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk pemerkasaan persempadanan selain membina sistem pengawasan di laut bagi tujuan pemantauan pergerakan komuniti maritim ESSZone,” katanya.

  • Buaya tembaga muncul lagi di Sungai Melaka

    Buaya tembaga muncul lagi di Sungai Melaka

    SELEPAS ‘menghilang’ sejak sembilan bulan lalu, seekor buaya tembaga hampir dua meter muncul di persisiran Sungai Melaka, Melaka sejak minggu lalu.

    Kelibat dipercayai buaya sama kali pertama dirakam di kawasan pokok bakau pada Julai 2022 oleh penjaga tokong berhampiran pusat beli-belah The Shore di Melaka, namun ketika itu dikatakan saiznya masih kecil.

    Terbaharu tular video dan gambar buaya itu berjemur di dahan pokok bakau di kawasan terbabit hingga menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai ancaman reptilia ganas itu.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong, beliau meninjau lokasi minggu lalu, selepas dimaklumkan mengenai buaya itu yang muncul ketika cuaca panas antara pukul 2 hingga 4 petang.

    “Saya sendiri nampak buaya itu di persisiran The Shore. Jadi saya berharap pihak berkaitan dapat memasang papan tanda mengingatkan orang ramai yang bersiar-siar di persisir Sungai Melaka supaya berhati-hati.

    “Pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) juga diharap bertindak segera untuk menangkap buaya itu,” katanya dihubungi, lapor Berita Harian.

    Beliau difahamkan sejak pertengahan tahun lalu penduduk melihat buaya itu yang dipercayai bersarang di bawah jambatan kayu di persisir sungai.

    Disebabkan kerja pembinaan jambatan kayu berdekatan kawasan Bunga Raya Pantai di Melaka katanya, sarang buaya mungkin diganggu dan ia menghilang untuk sementara waktu.

    “Namun, apabila pembangunan jambatan kayu dihentikan baru-baru ini, buaya itu muncul semula,” katanya sambil meminta orang ramai berhati hati.

    Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Mohd. Firrdhaus Mahmood ketika dihubungi berkata, siasatan sedang dijalankan pegawainya susulan aduan terbaru diterima.

    Beliau berkata, usaha menjejaki buaya terbabit termasuk memasang perangkap dilakukan sejak tahun lalu, namun tidak berhasil.

    “Pihak kami juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka untuk melaporkan segera jika terserempak buaya di Sungai Melaka,” katanya.

  • RM56 juta terpedaya skim pelaburan saham antarabangsa

    RM56 juta terpedaya skim pelaburan saham antarabangsa

    SERAMAI 400 menjadi mangsa dengan kerugian RM56 juta selepas terpedaya dalam skim pelaburan saham antarabangsa.

    Suri rumah hanya mahu dikenali sebagai Siti, 47, kerugian RM230,000 apabila wang peninggalan arwah suaminya ‘lebur’ dalam pelaburan terbabit.

    Dia mula melabur pada 2021 dan mendapat pulangan empat peratus selama 10 bulan.

    “Namun syarikat dikenali dengan platform ‘planetrade’ itu gagal membayar keuntungan pada Februari tahun lalu.

    “Saya membuat laporan polis tahun lalu sebelum membuat satu lagi laporan polis awal bulan ini,” katanya pada sidang media bersama ‘Malaysia International Humanitarian Organisation’ (MHO) di Sungai Besi di Kuala Lumpur, hari ini.

    Seorang lagi suri rumah, Azian, 43, mendakwa, dia hanya membuat laporan pada bulan lalu selepas setahun dalam ketakutan apabila terlihat rakan-rakan serta ejen mengambil tindakan berkenaan namun ditahan polis.

    “Malah mereka kata harta, kereta semua dibeku jadi saya tidak lapor kerana takut jika menerima nasib sama,” katanya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim menggesa pelabur yang menjadi mangsa untuk membuat laporan polis.

    “Kebanyakan mangsa didakwa takut membuat laporan polis selepas beberapa ejen dan pelaburan yang mengambil tindakan sebegitu ditahan polis, disiasat selain akaun bank dan harta dibeku pihak berkuasa,” ujar beliau.

    Kegiatan itu katanya, didalangi lelaki bergelar ‘Tan Sri’ palsu sebagai pengarah syarikat dengan menawarkan pelaburan saham berlandaskan syariah serendah RM30,000.

    “Syarikat itu turut menjanjikan dividen sehingga empat peratus menyebabkan ramai mula melabur pada awal 2021 dan mendapat pulangan dalam tempoh beberapa bulan.

    “Syarikat pelaburan itu gagal membayar dividen pada Disember 2021 sehingga kini menyebabkan beberapa ejen dan pelabur membuat laporan polis tahun lalu,” katanya.

    Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, ejen ditahan polis sehingga menyebabkan mangsa lain yang tertipu takut untuk melaporkan kepada polis.

    Setakat ini, 140 aduan diterima MHO dan dianggarkan kira-kira 400 mangsa terpedaya dalam pelaburan berkenaan, menurut beliau lagi.

    “Saya juga nak perbetulkan pemikiran mereka (mangsa), jika tidak membuat laporan walaupun tahu ia satu jenayah, ia adalah salah di sisi undang-undang iaitu Seksyen 202 Kanun Keseksaan.

    “Ejen yang ditahan hanya dijadikan saksi, namun walaupun pengarah syarikat kini didakwa di mahkamah, namun ramai lagi mangsa tidak mendapat pembelaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • 8 lelaki termasuk berparang samun peniaga larikan emas, wang tunai

    8 lelaki termasuk berparang samun peniaga larikan emas, wang tunai

    SEORANG peniaga diserang dan disamun sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjata parang di kediamannya di Taman Bukit Kinrara, Puchong, Serdang pukul 4.40 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, mangsa berusia 24 tahun yang berada di pekarangan rumahnya telah didatangi lapan lelaki sebelum salah seorang daripada mereka bertindak menumbuk mangsa beberapa kali.

    Katanya, mangsa yang juga peniaga kedai runcit kemudian dipaksa untuk memberitahu tempat simpanan wang.

    “Ibu mangsa juga turut dipaksa untuk membuka barang kemas yang dipakainya sebelum suspek menyelongkar setiap bilik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kumpulan penyamun itu kemudian berjaya melarikan diri dengan membawa beg berisi emas seberat hampir empat kilogram.

    Katanya, turut dilarikan adalah wang tunai anggaran RM5,000.

    “Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

  • Dua lelaki parah ditetak selepas kacau bini orang

    Dua lelaki parah ditetak selepas kacau bini orang

    DUA lelaki parah ditetak kerana cuba mengganggu isteri orang dalam kejadian di Jalan Mutiara Raya, Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

    Kejadian itu diterima pihak polis pada pukul 4 pagi selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerima makluman daripada anggota ronda cegah jenayah Balai Cheras mengenai kes pergaduhan dan tetak menggunakan parang.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, mangsa melibatkan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun yang parah di tangan serta belakang leher.

    “Bertindak atas maklumat, polis telah menahan seorang wanita berusia 39 tahun di sekitar Cheras kira-kira pukul 7.30 malam, hari yang sama untuk membantu siasatan.

    “Siasatan awal dipercayai kes bermotifkan mangsa yang dikatakan cuba mengganggu wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, susulan itu, polis giat mengesan seorang lelaki iaitu H S Heranpal Singh, 45, yang juga suami kepada wanita terbabit untuk membantu siasatan.

    Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu

    Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Polis kesan pemilik kereta tabur paku atas jalan

    Polis kesan pemilik kereta tabur paku atas jalan

    POLIS sedang mengesan pemilik kereta jenis Nissan Almera bagi membantu siasatan berkaitan kejadian menabur paku di atas jalan yang tular dalam media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut dekat Pusing.

    “Satu laporan polis diterima oleh pengguna yang mendakwa tayar keretanya bocor selepas melalui lokasi kejadian.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

    “Sehubungan itu, pemilik kenderaan jenis Nissan Almera dengan nombor pendaftaran AJK 869 sedang dikesan untuk siasatan lanjut,” katanya lapor Utusan Malaysia.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Ramlah Abdullah di talian 016-7676287 bagi membantu siasatan.

    Terdahulu tular video berdurasi 24 saat dalam Facebook yang memaparkan tindakan pemandu sebuah kereta menabur objek dipercayai paku di atas jalan raya.

    Perbuatan tidak bertanggungjawab individu itu mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata mengecam tindakan tersebut dan menggesa hukuman tegas dikenakan terhadap pesalah. 

  • 5 kanak-kanak sempat selamatkan diri dalam kebakaran 4 rumah

    5 kanak-kanak sempat selamatkan diri dalam kebakaran 4 rumah

    LIMA kanak-kanak nyaris maut dalam kebakaran melibatkan deretan empat buah rumah dalam kejadian di Lorong Surau Sayyidah Zainab, Kampung Delek Kanan di Klang pukul 10 pagi tadi.

    Bagaimanapun kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan itu sempat menyelamatkan diri.

    Kebakaran tersebut juga tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.09 pagi.

    Susulan itu katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Pelabuhan Klang dengan kekuatan seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran dan tiba pada pukul 10.19 pagi.

    “Kebakaran memusnahkan empat unit rumah sewa melibatkan satu unit bangunan satu tingkat.

    “Kejadian dipercayai melibatkan lima kanak-kanak, bagaimanapun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

    “Api berjaya dikawal dari merebak pada jam 10.30 pagi,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

    Tambah beliau, anggaran kemusnahan rumah itu antara 70 hingga 90 peratus.

    “Setakat ini punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • KKM tubuh jawatankuasa khas tangani isu doktor kontrak

    KKM tubuh jawatankuasa khas tangani isu doktor kontrak

    JEMAAH Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini.

    Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, jawatankuasa itu turut melibatkan gabungan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN).

    Katanya, isu berkenaan telah dibincangkan di mesyuarat Kabinet pada 31 Mac 2023 dan bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa itu.

    “Ia gabungan beberapa kementerian dan agensi termasuk KSN bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak yang menjadi topik hangat banyak pihak sama ada di media sosial mahupun media arus perdana,” katanya dalam kenyataan.

    Pihaknya menyedari terdapat berita tular menerusi media sosial mengenai jemputan penganjuran mogok dalam kalangan doktor kontrak akan diadakan pada 3 hingga 5 April ini.

    Menurutnya, KKM berpandangan mogok bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap apa juga permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.

    “Perkhidmatan kesihatan adalah suatu perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya sambil memaklumkan KKM tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok bakal diadakan.

    Sementara itu, Dr. Zaliha berkata, KKM telah mengambil tindakan terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan.

    “Antaranya adalah mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

    “Skim kesihatan yang lain juga diambil peduli dan ditambah baik,” katanya, lapor FMT.

    Sebelum ini, satu kumpulan yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia memaklumkan, kira-kira 8,000 doktor kontrak bercadang menyertai mogok yang akan diadakan bulan ini.

    Kumpulan itu juga mengancam pekerja kesihatan boleh bertindak meletak jawatan secara beramai-ramai.

  • MSN gantung jurulatih laku gangguan seksual terhadap atlet berbasikal negara

    MSN gantung jurulatih laku gangguan seksual terhadap atlet berbasikal negara

    JURULATIH yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet berbasikal wanita negara telah digantung tugas oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

    Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sambil menjelaskan kes tersebut akan menjalani dua siasatan secara serentak iaitu daripada pihak polis dan MSN secara dalaman.

    Beliau yang memandang serius gejala tersebut telah mengarahkan seorang pegawai pelindung ditempatkan di dalam skuad berbasikal untuk memastikan keadaan kembali normal.

    “Saya telah baca laporan polis yang dibuat oleh atlet berbasikal kita dan saya telah menghubungi MSN serta-merta dan kita telah aktifkan pegawai pelindung terutamanya selepas pelancaran kod sukan selamat.

    “Jurulatih tersebut telah digantung sementara siasatan pihak polis, MSN dan juga Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, jadi saya akan memantau perjalanan siasatan ini dan akan pastikan tindakan dilakukan cepat.

    “Saya nak kes ini dijalankan sebagai satu contoh di mana dengan adanya kod sukan selamat apakah SOP kita mengendalikan aduan seperti ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Pengumpulan Dana Pasukan Kebangsaan Footgolf Malaysia ke Piala Dunia Footgolf di Orlando, hari ini.

    Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab semalam mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita negara, bagi acara berbasikal bukit (MTB).

    Atlet wanita berusia 20-an itu yang membuat laporan polis pada semalam mendakwa, mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri, semasa menjalani latihan bersama pasukan.

    Abu Samah berkata susulan laporan polis dibuat, pihaknya telah mengambil tindakan serta-merta menggantung jurulatih berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

    Dalam pada itu, Hannah memuji tindakan atlet berkenaan membawa perkara tersebut ke pengetahuan pihak berkuasa dan tidak sekadar berdiam diri serta berasa bersalah untuk memperbetulkan keadaan.

    Beliau juga memberi amaran, sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes gangguan seksual sama ada ia merupakan atlet nombor satu negara atau sebagainya tindakan tegas pasti akan diambil.

    “Ini adalah amaran kepada semua di luar sana tak kira sama ada jurulatih atau atlet atau pun sesiapa sahaja, kalau kita dimaklumkan kita akan mengambil tindakan tegas.

    “Saya bangga atlet ini telah membuat laporan polis dan tindakan simpan insiden ini dan ini adalah tindakan yang betul, jadi orang yang pergi mengadu kepada polis jangan rasa bersalah,” katanya lagi, lapor Utusan TV.