Category: Semasa

  • Dewan Rakyat kecoh, semua Ahli Parlimen PN keluar dewan

    Dewan Rakyat kecoh, semua Ahli Parlimen PN keluar dewan

    PEMBUKAAN sesi Dewan Rakyat pagi ini, kecoh selepas hampir semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan.

    Tindakan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    Wan Ahmad Fayshal berkata, usul berkenaan perlu dibahaskan hari ini kerana persidangan Dewan Rakyat akan tamat esok, lapor BH.

    Bagaimanapun usul berkenaan ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kerana keputusan sudah dibuat Yang Dipertua, Datuk Johari Abdul.

  • Warga emas OKU rentung dalam kebakaran

    Warga emas OKU rentung dalam kebakaran

    SEORANG warga emas kurang upaya (OKU) dilaporkan rentung selepas rumahnya di Kampung Tagas, Tuaran terbakar malam tadi.

    Mayat Agus Ebah, 72, ditemui pasukan bomba selepas api dipadamkan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.35 malam memaklumkan seorang mangsa dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran rumah.

    Katanya, 14 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera serta kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Pasukan bomba memadamkan api sehingga berjaya dikawal dan menemui mangsa dalam keadaan rentung pada 11.57 malam,” katanya menurut FMT.

    Beliau berkata, kebakaran terbabit memusnahkan 100% struktur rumah separuh kekal itu.

    Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah tak menurun sebaliknya meningkat

    Keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah tak menurun sebaliknya meningkat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan, keluasan tanah rizab Melayu (TRM) di Kedah kini meningkat berbanding jumlah diwartakan pada 1933.

    Pendedahan itu dibuat sebagai maklum balas kepada kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di Parlimen baru-baru ini yang mendakwa Kedah merupakan antara tiga negeri yang menunjukkan penurunan TRM antara 2021 hingga 2022.

    Menurut Muhammad Sanusi, keluasan asal TRM di Kedah pada 1933 mengikut warta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) adalah 721,496.949 hektar.

    “Dari 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan TRM yang dicabut keluar adalah 4,751.369 hektar dan diganti balik seluas 5,160.034 hektar.

    “Ini menjadikan keluasan TRM di Kedah pada Januari 2023 ialah seluas 721,905.613 hektar.

    “Angka ini menunjukkan berlaku peningkatan keluasan TRM kira-kira 408 hektar pada 2023 berbanding keluasan 1933,” katanya melalui satu status dimuat naik di laman Facebook malam tadi.

    Dalam sidang Parlimen pada 29 Mac lalu, Nik Nazmi memaklumkan keluasan kawasan pewartaan TRM di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar pada 2021, kepada 716,537.28 hektar pada tahun lalu.

    Namun Muhammad Sanusi dalam ceramahnya di Kompleks Pas Kedah kelmarin menafikan dakwaan tersebut sambil mendakwa soalan berkaitan perkara itu sengaja ‘dibina’ bagi memberi gambaran kononnya Kedah adalah negeri paling banyak kehilangan tanah rizab Melayu.

    Perkara itu kemudiannya turut mendapat perhatian Sultan Kedah yang bertanya mengenai perkara tersebut kepada Setiausaha Kerajaan negeri menyebabkan Muhammad Sanusi terus mengarahkan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri dan mengadakan mesyuarat semalam, bagi memastikan berapa keluasan tanah rizab Melayu di Kedah.

    Muhammad Sanusi menambah, angka didedahkannya itu direkodkan PTG negeri.

    “Inilah angka yang menjadi pegangan kerajaan negeri Kedah.

    “Helo kawanku, cuba lebih kuat pada lain masa. Jangan main-main,” katanya sinis.

  • 3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    TIGA lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 23 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, salah seorang suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

    Jelas beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 1 April, pukul 12.30 tengah malam di luar stadium.

    ”Pergaduhan berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan lawan, pihak polis berjaya mengawal keadaan serta menahan tiga lelaki tenpatan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Video pergaduhan itu yang menunjukkan sekumpulan penyokong bola sepak membuat rusuhan di luar kawasan stadium dipercayai di kawasan Pulau Pinang turut tular di media sosial sejak awal pagi ini.

    Menurut Soffian, hasil awal saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan bebas daripada sebarang jenis dadah dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis setelah soal siasat selesai.

    Dalam pada itu, katanya, polis juga sedang giat mengesan individu-individu lain yang terlibat dengan kejadian ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

    “Kita juga menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video kejadian itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

  • Keluarkan cecair vape daripada Akta Racun tindakan tidak bijak – Pemuda UMNO

    Keluarkan cecair vape daripada Akta Racun tindakan tidak bijak – Pemuda UMNO

    Oleh DR AKMAL SALEH

    1. Mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin dari Akta Racun supaya ia boleh dikenakan cukai semata-mata bukanlah satu tindakan yang wajar dan bijak pada ketika ini.
    2. Benar sebelum ini, kesemua cecair vape tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada di dalam senarai Akta Racun, akan tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa yang panjang adalah jauh lebih penting dari keuntungan yang diperoleh hasil dari pungutan cukai ke atas cecair vape ini.
    3. Penarikan cecair yang mempunyai nikotin dari Akta Racun ini seolah lesen besar membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur untuk mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan. Kebimbangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan yang besar khususnya
      kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan.
    4. Oleh demikian, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan agar keputusan ini perlu dinilai dan ditarik semula sehingga parlimen meluluskan Rang UndangUndang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan mewujudkan Generasi Penamat Rokok dan Vape yang lahir selepas tahun 2007 (Generational End Game) supaya kesan buruk jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan.
    5. Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu barulah Kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape di kalangan masyarakat.
    6. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian tegas agar cadangan yang dikemukakan ini dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya juga akan menyerahkan surat berhubung perkara ini, menyatakan bantahan serta cadangan kepada YAB Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan.

    Penulis ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

  • Usah hukum doktor kontrak terlibat mogok – PN

    Usah hukum doktor kontrak terlibat mogok – PN

    KERAJAAN diingatkan agar tidak mengenakan hukuman terhadap kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula esok.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tunjuk perasaan yang tidak mengganggu ketenteraman awam adalah satu cetusan dan luahan yang normal dalam sistem demokrasi.

    Menurutnya, pihak jawatankuasa juga menasihati peserta mogok agar menjaga diri masing-masing supaya dapat terus berkhidmat untuk rakyat.

    “Kami percaya, cetusan rasa ini didorong oleh rasa cinta pengamal kesihatan awam untuk terus berbakti kepada rakyat. Kami di peringkat jawatankuasa Kesihatan PN akan terus memantau dan bersedia untuk mendengar permasalahan yang dihadapi oleh kumpulan ini.

    “Sekali lagi kami menyeru kepada pihak kerajaan untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini. Ini bukanlah masalah kerajaan semata-mata, malah tanggungjawab ini harus juga diselesaikan bersama pihak pembangkang demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan negara yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, pihak jawatankuasa juga percaya bahawa suruhanjaya perkhidmatan kesihatan harus ditubuhkan dengan kadar segera dan berfungsi secara aktif dan melakukan reformasi kesihatan awam negara.

    Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga kertas putih kesihatan dibentangkan Parlimen.

    Katanya, dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, adalah sesuatu yang merugikan semua pihak jika perkara ini boleh menyumbang ke arah kenaikan penghijrahan (brain drain) tenaga kerja terlatih dan pakar.

    “Pihak jawatankuasa juga menyeru kerajaan jangan memandang ringan tentang permasalahan ini.

    “Mereka sudah tidak mampu untuk bersabar kerana sudah bertahun menunggu, termasuklah menanti pembentangan kertas putih kesihatan yang dijangka pada bulan Jun nanti walaupun mereka tetap terus menjalankan tugas dengan cemerlang dan dibebani tekanan mental dan fizikal yang berterusan,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Yunus berkata, Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PN juga berpendirian kebajikan dan keadilan kepada anggota kesihatan adalah teras utama dalam usaha untuk mencapai sistem kesihatan yang baik dan cemerlang.

    Beliau berkata, pihak jawatankuasa amat memahami perasaan, keluhan dan pengorbanan yang telah dilakukan anggota-anggota kesihatan.

    “Telah bertahun keluhan demi keluhan disuarakan, kerajaan telah silih berganti, Menteri Kesihatan datang dan pergi namun masalah yang membelenggu sektor kesihatan masih tidak dapat diselesaikan.

    “Tinjauan kami mendapati persekitaran kerja dan manfaat yang diterima oleh pengamal kesihatan awam adalah di tahap amat mendukacitakan.

    “Sistem aduan bagi menyampaikan rungutan mereka juga tidak berfungsi dengan baik. Ini menjejaskan jasmani, minda dan emosi kakitangan kesihatan awam, seterusnya merendahkan mutu sistem kesihatan awam negara,” tambahnya.

    Difahamkan, kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula esok, tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.

    Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

    Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peringatan kepada kakitangan perubatan supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram.

    Dalam satu hantaran Facebook, KKM berkongsi Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan pada 2011 susulan terdapat khabar angin kumpulan doktor kontrak bakal mengadakan mogok pada Isnin hingga Rabu ini.

    Surat bertarikh 30 Jun 2011 itu kembali disiarkan di Facebook KKM dengan Unit Integriti kementerian itu menyatakan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4 (1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993.

  • Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

    Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

    RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan di Hospital Putrajaya (HPj), semalam.

    Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu, dan pembedahan selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah pada pukul 6.40 petang.

    “Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata terutamanya di negeri Perlis serta semua kaum kerabat dan sahabat handai yang sama-sama mendoakan kehadapan Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesembuhan segera ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu memaklumkan Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan warga kerja HPj termasuk pakar perubatan dan petugas kesihatan lain serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan urusan rawatan dan pembedahan Raja Perlis itu dapat berjalan dengan sempurna.

    “Pembedahan Tuanku Raja Perlis telah dijalankan bersama empat orang Pakar Perunding Ortopedik dan tiga orang Pakar Perunding Anestesia. Turut berada di hospital pada semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Pengarah (Endokrin) HPj Dr Mohammad Khairol Anwar Yusop,” menurut kenyataan itu.

    Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Pemangku Raja dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berada di HPj ketika pembedahan itu dilaksanakan.- BERNAMA

  • Perjuangan KWSP Noorazlan dibawa ke Parlimen, kata Hamzah

    Perjuangan KWSP Noorazlan dibawa ke Parlimen, kata Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan membawa misi perjuangan pemandu teksi, Noorazlan Ismail ke Parlimen dengan harapan ia akan mendapat perhatian kerajaan.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, misi murni Noorazlan yang berjalan kaki dari Tol Skudai Johor ke Istana Negara bagi memperjuangkan agar pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar dibenarkan perlu disokong semua pihak.

    “Insya-Allah perjuangan murni saudara Noorazlan ini akan kami bawa ke Parlimen dan Perikatan Nasional akan terus bersuara hingga pengeluaran KWSP bersasar dibenarkan,” katanya dalam satu entri di Facebook miliknya.

    Dalam hantaran itu Hamzah turut berkongsi video perbualannya bersama Noorazlan yang antara lain menyatakan alasan di sebalik misi berjalannya itu.

    “Dalam menahan sebak, Noorazlan beritahu dia mengambil keputusan berjalan kaki dari Tol Skudai, Johor ke Istana Negara bagi memperjuangkan haknya agar dibenarkan pengeluaran simpanan KWSP demi anak-anaknya.

    “Allahuakbar. Sedih dan sebak saya dengar luahan hati saudara Noorazlan. Dia benar-benar terdesak dan perlukan duit simpanan KWSP demi keluarganya,” kata Hamzah.

    Hamzah berkata, beliau juga telah meminta ADUN Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub membantu Noorazlan yang kini mengalami kesakitan di kaki akibat melecet teruk kerana perjalanan yang lama.

    Sementara itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu turut menyindir pihak tertentu yang telah banyak berubah selepas mendapat kuasa.

    “Kami bukan seperti orang tu. Dulu kononnya dialah pejuang rakyat tetapi bila dah berkuasa suara hati rakyat sudah tak dipedulikan.

    “Ketika dia susah, dia suruh rakyat turun ke jalanan tetapi apabila rakyat sedang susah hingga terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer demi menuntut pengeluaran KWSP, dia boleh berlakon berlari-lari di Parlimen,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Promosi baju raya RM1, butik kecoh diserbu ratusan pelanggan

    Promosi baju raya RM1, butik kecoh diserbu ratusan pelanggan

    ANGKARA mempromosikan jualan baju Melayu berharga RM1 bagi 100 pelanggan pertama, sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, Shah Alam, diserbu lebih 500 pengunjung sehingga berlaku kekecohan, semalam.

    Video berdurasi 22 saat yang memaparkan orang ramai menyerbu kedai tersebut turut tular di media sosial sejak Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu yang memaklumkan berlaku kekecohan di kedai berkenaan.

    “Kita dimaklumkan kedai terbabit membuat promosi di mana 100 pelanggan pertama akan dapat membeli baju dengan harga serendah RM1, manakala 50 pelanggan berikutnya akan mendapat baju kurta secara percuma.

    “Dianggarkan lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi tersebut sehingga berlaku insiden tolak menolak dan kekecohan,” katanya dalam kenyataan, di Shah Alam, pada Ahad.

    Mohd Iqbal menambah, atas faktor keselamatan kerana sudah tidak dapat mengawal bilangan pelanggan, pihak pengurusan kedai tersebut menutup operasi kira-kira pukul 11.45 pagi.

    Menurutnya, setakat ini tiada sebarang laporan dibuat mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

    Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan sebarang promosi terutamanya pada musim perayaan.

    “Peniaga pula diingatkan sentiasa peka dan elak daripada membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai bagi mengelakkan kejadian seperti tidak berulang lagi,” ujarnya, lapor Astro AWANI.

  • Pemandu bas tular guna telefon disaman

    Pemandu bas tular guna telefon disaman

    TINDAKAN pemandu bas menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tular di media sosial mengundang padah apabila polis mengeluarkan saman ke atas lelaki itu.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, tindakan diambil ke atas pemandu bas berkenaan mengikut Peraturan 17A LN166/59 kerana memandu menggunakan telefon tanpa alat bebas tangan.

    Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu di Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).

    “Polis berjaya mengesan pemandu bas terbabit dan mengarahkan dia hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, hari ini.

    Mohd Shuhaily berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    Namun katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas pemandu bas itu didapati ia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

    Terdahulu tular video berdurasi 21 saat pada Jumaat lalu memaparkan seorang pemandu bas menggunakan telefon ketika memandu dan perbuatan itu mendapat reaksi warga net yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya.