Category: Semasa

  • KWSP: NGO bantah pengeluaran bercagar, tuntut pengeluaran bersasar

    KWSP: NGO bantah pengeluaran bercagar, tuntut pengeluaran bersasar

    PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) yang mendesak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap Yang di-Pertuan Agong dapat mendengar keluhan rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan mereka secara bersasar bukan bercagar.

    NGO itu ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

    Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Azmi Mohd Tahir yang mewakili NGO berkata, sebanyak 50,000 pencarum mengisi petisyen bantahan pengeluaran KWSP bercagar yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua hari.

    “Wang itu wang simpanan rakyat mengapa perlu dicagarkan, mengapa kami perlu berhutang dan bayar bunga pula sedangkan duit sendiri?,” katanya pada sidang media selepas selesai menyerahkan memorandum bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara di ibu negara, hari ini.

    Tegas Azmi, inisiatif itu hanya menambah beban hutang pencarum yang rata-rata mahukan pengeluaran bersasar untuk menyelesaikan hutang sedia.

    Menurutnya, pihaknya melihat isu terbabit sangat serius dan menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu secara bersasar kepada yang betul-betul memerlukan.

    Sehubungan itu, pihaknya berharap dengan penyerahan memorandum itu Yang di-Pertuan Agong dapat menasihati kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.

    “Pencarum sangat-sangat terkesan, ini bukan perkara main-main. Kami akan terus desak kerajaan benarkan pengeluaran termasuk dari akaun satu.

    “Kalau pengeluaran akaun dua yang pasti buat pengeluaran bukan golongan M40 atau B40 tapi T20. Sebab golongan B40 dan M40 sudah tak ada baki dalam akaun dua. Mereka yang paling terkesan sebenarnya,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, inisiatif mencagarkan simpanan KWSP untuk mendapatkan pinjaman bank bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu kesempitan hidup rakyat.

    Beliau berkata, pihaknya tidak bersetuju jika inisiatif itu dilaksanakan oleh bank kerana ia dilihat hanya akan menambah hutang rakyat.

    “Kita tak setuju idea pinjaman bank ini. Kalau kerajaan bagi pinjaman menerusi agensi kerajaan yang ada kadar diskaun itu lain tapi yang ini komersial, konsepnya saya tak setuju.

    “Ini bukan pengeluaran tapi pinjaman, buatnya pencarum tak mampu bayar balik? Sudahlah pencarum dalam kesusahan.

    “Kalau dia tak mampu bayar pinjaman itu sudah habis hilang pula duit simpanan KWSP dia,” tambahnya lapor Harian Metro.

  • Guna simpanan KWSP sokong pinjaman bermasalah, kata Wan Saiful

    Guna simpanan KWSP sokong pinjaman bermasalah, kata Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan dalam Akaun 2 untuk menyokong permohonan pinjaman peribadi menimbulkan masalah.

    Jelasnya, isu berhubung perkara itu tiada kaitan dengan umur pencarum dibenarkan membuat pengeluaran, sebaliknya konsep itu sendiri.

    “Konsep digunakan di sini ialah seseorang perlu meminjam daripada bank untuk menyelesaikan sebarang pinjaman (sedia ada) daripada bank.

    “Jadi, sebenarnya pinjaman itu tidak akan dilangsaikan dan ini walaupun pencarum KWSP mempunyai simpanan dalam akaun mereka (untuk berbuat demikian).

    “Ini sebabnya kami tidak setuju dengan idea kerajaan (menggunakan simpanan KWSP untuk menyokong permohonan pinjaman).

    “Konsep ini menjadi ‘komersial’ dan ia hanya menguntungkan bank, bukannya rakyat,” katanya ditemui pemberita di luar Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, perkara tersebut tidak bermasalah jika kerajaan sendiri meminjamkan wang itu melalui agensinya dengan kadar faedah lebih rendah.

    Terdahulu Wan Saiful menemani pemandu teksi, Noorazlan Ismail, 48, menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi.

    Noorazlan berjalan lebih 300km dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara untuk menggesa skim pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar.

    Perjalanannya yang bermula 28 Mac lalu tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet serta ahli politik, seperti Wan Saiful dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau yang tiba di Kuala Lumpur semalam, dibawa menaiki kenderaan ke Istana Negara dengan Wan Saiful untuk mengelakkan sebarang masalah dengan pihak berkuasa.

    Noorazlan dijangka dibawa ke Parlimen petang ini untuk menemui Ahli Parlimen lain, lapor FMT.

    Terdahulu, KWSP hari ini mengumumkan ia memuktamadkan mekanisme, terma dan syarat penggunaan simpanan Akaun 2 bagi menyokong permohonan pembiayaan pinjaman peribadi.

    Dana itu berkata, simpanan dalam Akaun 2 akan menjadi asas untuk mendapatkan pembiayaan peribadi menerusi permohonan awal skim ‘Pengeluaran Bersyarat Umur 50 atau 55 Tahun’.

    Skim itu akan membabitkan dua fasa, dengan fasa pertama bermula 7 April ini untuk pencarum berusia 40 tahun ke atas.

  • Had usia teksi, e-hailing seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun – APAD

    Had usia teksi, e-hailing seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun – APAD

    AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan pelanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing di seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun.

    Menurut APAD dalam kenyataan hari ini, langkah itu sejajar hasrat Kementerian Pengangkutan untuk melestarikan industri teksi dan e-hailing ke arah penambaikan sistem pengangkutan negara.

    Menurut agensi itu pelanjutan tersebut terguna pakai bagi kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang telah mencapai had usia maksimum bermula 1 Jan tahun ini.

    Antara syarat lain ialah semua kenderaan yang akan diberi kelulusan tersebut mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala wajib Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), selain mematuhi syarat operasi lain yang ditetapkan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pengguna dan imej industri terjamin, menurut kenyataan itu.

    “Sehubungan itu, pihak APAD berharap pemain industri teksi dan e-hailing dapat meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya menjadikan perkhidmatan ini sebagai mod pilihan rakyat yang diyakini dan berkualiti,” katanya.

    Maklumat dan pertanyaan lanjut boleh didapati di laman portal rasmi APAD iaitu www.apad.gov.my atau hadir terus ke pejabat APAD berhampiran.- BERNAMA

  • Mogok doktor kontrak: Keadaan terkawal di HKL

    Mogok doktor kontrak: Keadaan terkawal di HKL

    HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) berada dalam keadaan terkawal di sebalik ura-ura berlakunya mogok doktor kontrak selama tiga hari hingga Rabu ini.

    Tinjauan UtusanTV di HKL mendapati, keadaan lengang dengan tiada sebarang bentuk perhimpunan diadakan di persekitaran hospital berkenaan.

    Malah, klinik pesakit luar juga berfungsi seperti biasa dengan petugas kesihatan terus memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

    Situasi itu sekali gus membuatkan perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan berjalan lancar setakat ini.

    Difahamkan, kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula hari ini, tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.

    Suasana di Kaunter Farmasi kelihatan tenang dan terkawal berikutan laporan bahawa Doktor kontrak akan mengadakan mogok ketika tinjauan Warta Rakyat di sekitar Hopital Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

    Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peringatan kepada kakitangan perubatan supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram.

    Dalam satu hantaran Facebook, KKM berkongsi Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan pada 2011 susulan terdapat khabar angin kumpulan doktor kontrak bakal mengadakan mogok pada Isnin hingga Rabu ini.

    Surat bertarikh 30 Jun 2011 itu kembali disiarkan di Facebook KKM dengan Unit Integriti kementerian itu menyatakan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4 (1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993.

  • Geram kad bank ‘ditelan’, lelaki pecah skrin mesin ATM

    Geram kad bank ‘ditelan’, lelaki pecah skrin mesin ATM

    POLIS menahan seorang lelaki kerana melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri awal pagi tadi.

    Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata lelaki tempatan berusia 35 tahun itu disyaki berada bawah pengaruh alkohol ketika melakukan perbuatan berkenaan, kira-kira 3.15 pagi.

    Beliau berkata, lelaki tersebut bertindak demikian selepas berang apabila kad banknya tidak dikembalikan oleh mesin itu ketika melakukan transaksi.

    “Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Iskandar Puteri berjaya menangkap suspek yang disyaki melakukan khianat pada harta-benda.

    “Pemeriksaan mendapati suspek memecahkan skrin sebuah daripada mesin ATM di bank tersebut selain turut menendang tong sampah yang mengandungi resit dalam bank terbabit akibat geram,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

  • ‘Saya mahu pemimpin nampak’ – Noorazlan jelas misi jalan kaki dari Johor ke Istana Negara

    ‘Saya mahu pemimpin nampak’ – Noorazlan jelas misi jalan kaki dari Johor ke Istana Negara

    PEMANDU teksi, Noorazlan Ismail yang berjaya menamatkan perjalanan lebih 300 kilometer dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara hari ini dalam usaha menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

    Lelaki berusia 48 tahun itu tiba di pintu Istana Negara dan dibenarkan masuk pada pukul 11.15 pagi bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

    Dia ditemani oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dari Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, dia menerima galakan daripada orang ramai yang menyokong usaha itu sepanjang perjalanan selama enam hari itu.

    “Alhamdulillah, kaki saya sekadar melecet. Ramai yang mahu bantu beri duit dan tumpangkan saya.

    “Tapi bukan itu motif. Kalau nak cepat sampai lebih baik naik bas.

    “Saya mahu pemimpin nampak,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini. 

    Menurut Noorazlan, dia tidak menyangka dapat memasuki Istana Negara untuk menyerahkan memorandum.

    Lelaki itu turut menerima cenderahati daripada Sultan Abdullah, meskipun tidak dapat bertemu baginda.

    “Baginda tahu saya ada di sini,” katanya, lapor SatuBerita.

    Katanya, wang KWSP tersebut mahu digunakannya untuk membayar hutang.

    Sebelum ini, Noorazlan mengadakan panggilan video bersama Ketua Pembangkang, DatuK Seri Hamzah Zainuddin untuk memaklumkan mengenai tujuannya berjalan kaki.

    Nooazlan dijangka dibawa ke Parlimen untuk bertemu wakil-wakil rakyat petang ini.

    Dalam perkembangan lain Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berhubung pengeluaran bersasar KWSP. 

    Seruan membenarkan pengeluaran KWSP turut disuarakan oleh bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam Parlimen. 

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pencarum KWSP boleh mencagarkan wang mereka kepada pihak bank untuk pinjaman yang mahu dibuat. 

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata konsep mencagarkan wang KWSP kepada bank tidak menyelesaikan masalah pencarum yang rata-rata mahu membayar komitmen dengan pengeluaran bersasar.

  • 2 wanita kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang maut

    2 wanita kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang maut

    DUA kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 55 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin di Pekan pukul 8.30 pagi tadi.

    Kedua-dua mangsa yang bertugas sebagai pembantu perangkaan iaitu pemandu kereta, Ruzana Mohamad Agin, 50 dan penumpang, Suhaizan Abdullah, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan terbabit melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan lori jenis Man TGA.

    “Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu dan penumpang kereta terbabit dalam perjalanan dari Pekan menghala ke Rompin.

    “Apabila sampai di tempat kejadian selepas kereta itu melalui selekoh ke kiri dan keadaan jalan licin menyebabkan Myvi telah terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu terlanggar lori yang datang dari arah hadapan.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pemandu lori berusia 44 tahun itu pula selamat dan tidak mengalami kecederaan, lapor Sinar Harian.

    Jelas Mohd. Zaidi lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan dan bedah siasat akan dijalankan selepas memperoleh keputusan ujian swab Covid-19 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.

  • Harap ada berita gembira buat rakyat – Azlan

    Harap ada berita gembira buat rakyat – Azlan

    PERJUANGAN Noorazlan Ismail, 49 yang nekad berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berakhir selepas tiba di Kuala Lumpur, hari ini.

    Norazlan yang memulakan misi perjalanan solonya pada 28 Mac lalu tiba di ibu negara semalam selepas mengharungi enam hari perjalanan.

    Bapa kepada lima orang anak itu membawa misi agar kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP one-off untuk golongan yang terkesan sepertinya.

    “Alhamdulillah saya tiba semalam dengan selamat dan membawa satu misi rakyat iaitu pengeluaran secara bersasar KWSP.

    “Perjalanan saya juga dipermudahkan dan ramai yang ingin membantu sepanjang enam hari tersebut.

    “Sepanjang perjalanan membawa misi ini, saya berdepan dengan pelbagai cabaran terutama cuaca dan kaki sedikit melecet namun tidak berdepan sebarang masalah keesihatan lain,” katanya pemberita ketika ditemui di hadapan pintu Istana Negara hari ini.

    Menurutnya, dia gembira berjumpa sultan dan berharap akan ada berita gembira buat rakyat Malaysia.

    “Saya harap dapat membantu membawa suara rakyat yang mahukan pengeluaran KWSP demi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya, lapor SatuBerita.

    Turut hadir, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia, Azmi Mohd. Tahir.

    Media tempatan sebelum ini melaporkan, Norazlan mengakui tindakan berjalan kaki ke Istana Negara itu umpama ‘misi gila’, namun dia menganggapnya sebagai usaha agar kerajaan memahami betapa terdesak individu sepertinya mahukan pengeluaran caruman tersebut.

    Usaha itu dilakukannya, bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kepayahan rakyat disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Dia kehilangan pekerjaan sebagai pemandu kepada individu bergelar Datuk di Johor Bahru, akibat pandemik Covid-19

    Lebih malang, berikutan hilang punca pendapatan, dia turut mengalami masalah rumah tangga yang menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan isteri kerana faktor kewangan.

  • Najib petik hujah Rahman Sebli untuk pengampunan diraja

    Najib petik hujah Rahman Sebli untuk pengampunan diraja

    DATUK Seri Najib Razak akan memperkukuhkan permohonannya untuk mendapatkan pengampunan diraja berdasarkan keputusan bertentangan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

    Peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini selepas mahkamah persekutuan Jumaat lalu menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan kesnya.

    “Ini termasuk hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International RM42 juta,” katanya ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

    Peguam kanan itu berkata, keputusan Rahman yang tidak bersetuju tersebut telah dimasukkan dalam permohonan pengampunan diraja.

    “(Permohonan) pengampunan kami adalah sama seperti yang dikatakan oleh Rahman Sebli dalam penghakimannya.

    “(Permohonan) pengampunan ini adalah mengenai individu itu (Najib) yang tidak mendapat perbicaraan yang adil, ia (rayuan terhadap keputusan dan hukuman bersalah SRC) tidak didengari oleh Mahkamah Persekutuan, dan mereka (mahkamah persekutuan) hanya mendengar (sisi cerita) pendakwaan (dan bukannya Najib).

    “Kami akan menghantar penghakiman Rahman Sebli kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dibacakan (sebagai sebahagian daripada permohonan pengampunan),” kata Shafee, lapor Malaysiakini.

    Walaupun Rahman dalam penghakimannya berkata, beliau cenderung untuk memberikan Najib pembebasan, ahli panel lain tidak bersetuju, menyebabkan keputusan majoriti 4 berbanding 1 untuk menolak permohonan semakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

    Anggota lain yang menganggotai panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

    Shafee sebelum itu menghadiri prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur berhubung kes pecah amanah (CBT) Najib membabitkan RM6.6 bilion dana kerajaan yang dibayar kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) berhubung 1MDB.

    Peguam Negara hari ini memohon agar perbicaraan yang dijadualkan membabitkan Najib dan Tasn Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah ditangguhkan ekoran ada ‘perkembangan baru’.

  • Pencarum KWSP boleh buat pinjaman bank mulai 7 April

    Pencarum KWSP boleh buat pinjaman bank mulai 7 April

    PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 40 tahun ke atas layak membuat pinjaman bank bermula 7 April ini dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2.

    KWSP dalam kenyataan berkata, dua bank menyediakan kemudahan pinjaman itu iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank serta akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan.

    Menurut KSWP, pinjaman itu ditawarkan dengan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) adalah antara empat hingga lima peratus iaitu lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.

    “Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000 tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

    “Perkara itu dimaklumkan KWSP setelah memperincikan mekanisme, terma dan syarat bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) yang merupakan kemudahan bagi membantu ahlinya mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

    “Simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta),” jelas KWSP, hari ini.

    Bagaimanapun kata KWSP, pengeluaran itu adalah bersyarat di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta.

    Tambah KWSP, pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka.

    “Permohonan pembiayaan peribadi ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian,” katanya.

    Kata KWSP lagi, sebelum membuat permohonan, ahli perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 dan ia hendaklah dilakukan mengikut terma serta syarat yang dipersetujui dengan institusi perbankan.

    Jelas kumpulan wang tersebut, setelah permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal pengeluaran kepada KWSP berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

    KWSP berkata, FSA 2 akan dilaksanakan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

    “KWSP akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan,” ujarnya.

    Menurut kenyataan, semasa Fasa 1 yang akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

    Tambah KWSP, tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

    “Kemudahan ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan yang berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka,” katanya.

    KWSP berkata, kemudahan pembiayaan ini disasarkan kepada ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka.

    Tambahnya, fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka.

    “Sekiranya ahli membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun, mengikut pilihan ahli.

    “Jika ahli memilih Pengeluaran Umur 55 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun.

    “Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli,” katanya.

    KWSP turut memaklumkan bahawa simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan terus menerima dividen tahunan, seterusnya membolehkan mereka mengambil manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan, di samping masih memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka.

    Tambahnya, ahli boleh membatalkan notis awal Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan memaklumkannya kepada KWSP sekiranya telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka.

    “Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran prapersaraan lain daripada KWSP.

    “Bermula 5 April 2023, ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon, serta soalan-soalan lazim berserta jawapan berkenaan fasiliti ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pencarum perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

    Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan FSA2, mereka boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.