Category: Semasa

  • Bekas suami Loh didenda RM20,000 kerana hina mahkamah

    Bekas suami Loh didenda RM20,000 kerana hina mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM20,000 ke atas bekas suami kepada ibu tunggal Loh Siew Hong kerana menghina mahkamah.

    Hakim Evrol Mariette Peters pagi ini memerintahkan Muhammad Nagahswaran Muniandy yang merupakan mualaf membayar denda dalam tempoh 14 hari, jika tidak, dia akan dipenjarakan selama 14 hari, lapor Malaysiakini.

    Pada 20 September tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte untuk Loh memulakan prosiding komital terhadap Muhammad, yang telah dituduh menculik tiga anak mereka dan mendaftarkan mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

  • Zuraida ingin kembali ke Bersatu tapi ditolak

    Zuraida ingin kembali ke Bersatu tapi ditolak

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti itu pada Mei tahun lalu memohon untuk menyertai semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Bagaimanapun permohonan Zuraida ditolak katanya, kerana beliau tidak melepaskan jawatan menteri yang diisi atas kuota Bersatu selepas keluar parti berkenaan.

    “(Permohonan Zuraida) Dihantar awal tahun tak silap saya,” katanya kepada FMT, dan menambah keputusan menolak permohonan Zuraida itu sebulat suara.

    Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Mei 2022, kerana dikatakan tertarik dengan perjuangan parti baharu itu.

    Meskipun Bersatu menuntut calon baharu daripada parti itu dilantik ke jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi, perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri, mengekalkan Zuraida.

    “Sebabkan dulu kuota menteri beliau itu kuota Bersatu. Sebab itu kita tolak (permohonannya),” kata Fayhsal.

    PRU15 menyaksikan Zuraida gagal mempertahankan Parlimen Ampang yang dimenanginya atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak tiga penggal lalu.

    PBM menang satu daripada lima kerusi Parlimen yang ditandingi.

    Sebelum ini, Zuraida diuar-uarkan sebagai presiden menanti PBM namun tidak lama kemudian, pada Disember, parti itu mengumumkan pemecatannya.

    Pada bulan sama, Zuraida menyertai NGO Muafakat Nasional yang ditubuhkan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

  • Tiga muka baharu dilantik menjadi Exco Melaka

    Tiga muka baharu dilantik menjadi Exco Melaka

    SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP antara tiga muka baharu yang dilantik menganggotai Exco kerajaan perpaduan Melaka.

    Ini menjadikan Exco Melaka terdiri daripada sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

    Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Jumaat lalu, mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

    Harian Metro melaporkan tujuh wakil rakyat yang dilantik semula sebagai Exco Melaka ialah ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang dilantik sebagai Exco Kanan bagi portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.

    Ia disusuli dengan ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan); ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh (Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan); ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti);

    Turut dilantik semula, ADUN Gadek, VP Shanmugam (Exco Belia, Sukan dan NGO); ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan) serta ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama).

    Tiga ADUN baharu yang dilantik adalah ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan (Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital); ADUN Ayer Limau (Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Exco Kerja Raya, Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan) serta Adun Kesidang, Seah Shoo Shin (Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna).

    Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh pagi ini.

    Dua Exco yang digugurkan ialah ADUN Serkam, Zaidi Attan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar) dan ADUN Rembia, Datuk Jailani Khamis (Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan).

  • Pengarah syarikat minta dibicara kes rasuah penjualan Menara KL

    Pengarah syarikat minta dibicara kes rasuah penjualan Menara KL

    SEORANG pengarah syarikat minta dibicarakan kerana didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM7.5 juta sebagai dorongan untuk seorang menteri mempercepatkan cadangan penjualan saham dan pengambilalihan konsesi daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (Menara KL).

    Pengarah Urusan Hydroshoppe, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh yang syarikatnya telah mengambil alih konsesi itu, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia, Tan Sri Annuar Musa melalui pengarah MyCreative Ventures Tan Ser Lay.

    Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM yang dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, tawaran itu dibuat antara Julai dan Ogos tahun lalu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya, lapor Malaysiakini.

    Sebelum ini, SPRM dilaporkan menyiasat dakwaan berhubung penjualan saham yang mencurigakan dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Telekom Malaysia (TM).

  • Mahkamah benar permohonan Guan Eng dapatkan perbualan WhatsApp dua saksi

    Mahkamah benar permohonan Guan Eng dapatkan perbualan WhatsApp dua saksi

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pihak pendakwaan untuk mengemukakan mesej perbualan WhatsApp antara dua saksi pendakwaan utama dalam kes rasuah terowong dasar laut Lim Guan Eng yang sedang berlangsung.

    Menurut Hakim Azura Alwi, permohonan Guan Eng itu memenuhi semua keperluan undang-undang.

    “Mahkamah mendapati terdapat dua ‘versi’ tentang siapa penerima bayaran RM2 juta itu.

    “Fakta penuh perlu dikemukakan di hadapan mahkamah supaya kebenaran dapat diketahui,” katanya, lapor FMT.

    Berita lanjut menyusul…

  • Bomoh pengganda wang bunuh 10 pelanggan ditahan polis

    Bomoh pengganda wang bunuh 10 pelanggan ditahan polis

    SEORANG bomoh pengganda wang dikenali sebagai ‘Mbah Slamet’ yang disyaki membunuh 10 orang pelanggan sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah pada Sabtu lepas.

    Slamet Tohari, 45, ditahan di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

    Kegiatannya terbongkar apabila Polis Banjarnegara menjalankan siasatan berhubung kehilangan mangsa terakhir yang gagal dihubungi keluarga sejak 24 Mac lepas.

    Ketua Polis Banjarnegara, Hendri Yulianto berkata, mangsa memaklumkan sedang berada di rumah Mbah Slamet kepada anaknya melalui pesanan WhatsApp.

    “Mangsa dari Sukabumi, Jawa Barat berpesan agar menghubungi polis jika beliau masih belum pulang selepas 26 Mac,” katanya.

    Bertindak atas laporan, polis menemukan mayat mangsa dipercayai akibat diracun, di ladang Desa Balun serta penemuan tiga kubur mangsa lain yang majoriti dari luar Banjarnegara termasuk dari Palembang.

    Sebanyak 10 mayat dipindahkan pihak berkuasa setakat ini.

    Kesemua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (RM11,822) kepada lima bilion rupiah (RM1.5 juta).

    Kes disiasat di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara.

  • Jururawat rugi lebih RM200,000 terpedaya panggilan ‘inspektor’

    Jururawat rugi lebih RM200,000 terpedaya panggilan ‘inspektor’

    SEORANG jururawat kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis antara November tahun lalu sehingga 1 April lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada November tahun lalu, mangsa berusia berusia 40-an berada di Tanah Merah dan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dia ada membuat tuntutan insurans.

    “Mangsa pada mulanya menafikan perkara itu dan diminta membuat laporan laporan di Balai Polis Ampang.

    “Mangsa sekali lagi mendapat panggilan kononnya daripada pegawai polis berpangkat Inspektor yang menyatakan wanita itu mempunyai waran tangkap dan waran pembekuan harta kerana terbabit dengan kes jenayah.

    “Mangsa diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang bagi siasatan, namun diberi pilihan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada kakitangannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Koa Bharu, hari ini.

    Katanya, pada hujung November tahun lalu, mangsa pergi ke sebuah bank untuk membuat akaun baharu seperti yang diarahkan suspek kononnya bagi tujuan siasatan ke atas wang yang dimiliki mangsa.

    Menurutnya, mangsa diarah untuk mendaftar nombor telefon yang dimiliki suspek ketika membuka akaun bank itu.

    Sehingga Februari lalu katanya, mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank lain ke akaun bank baharu bagi tujuan jaminan diri termasuk dua pinjaman bank yang dibuat dalam tempoh sebulan berjumlah RM148,000.

    Muhamad Zaki berkata, mangsa diarahkan supaya tidak membuat semakan ke atas akaun bank sepanjang tempoh siasatan.

    “Pada pukul 6 petang, 1 April lalu, mangsa membuat pemeriksaan akaun dan mendapati wang berjumlah RM207,000 tiada dalam simpanan sebelum membuat laporan polis.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Parti Hijau Malaysia gesa PM tarik balik tender dua projek mega di Selangor

    Parti Hijau Malaysia gesa PM tarik balik tender dua projek mega di Selangor

    PARTI Hijau Malaysia (PHM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam dua projek di Selangor yang didakwa dijalankan tanpa tender terbuka.

    Setiausaha Agungnya, Abdul Razak Ismail mendakwa dua projek di Selangor yang membabitkan projek pembangunan semula kompleks sukan di Shah Alam dan projek melebarkan sungai, Gerbang Maritim Selangor, tidak dianugerahkan secara telus.

    Tegas beliau, ini bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik.

    Menyedari pendirian tegas Anwar mengenai tadbir urus yang baik dalam pengendalian projek kerajaan yang besar, Abdul Razak menggesa Perdana Menteri untuk segera menarik balik tender untuk kedua-dua projek itu.

    Katanya, ini kerana harga yang ditawarkan adalah ‘terlalu tinggi’ dan mungkin disebabkan oleh rundingan terus.

    “Adalah pandangan Parti Hijau Malaysia bahawa kerajaan negeri (Selangor) tergesa-gesa untuk memuktamadkan kedua-dua projek mega ini sebelum pembubaran DUN secara automatik pada 25 Jun.

    “Terdapat beberapa isu yang perlu dirungkai Anwar sebelum ini,” kata Abdul Razak yang juga bekas ahli kumpulan pro-Anwar, dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada Julai 2022, kerajaan Selangor mengumumkan sudah melantik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk melaksanakan pembangunan semula kompleks sukan di Shah Alam melalui perkongsian swasta-awam selepas menyaring kira-kira 15 firma lain.

    Razak menekankan anggaran kos berbeza yang terlibat dalam projek itu dan mempersoalkan sama ada 14 syarikat lain turut ditawarkan pertukaran tanah seperti yang ditawarkan kepada MRCB.

    Sementara itu, projek Gerbang Maritim Selangor akan menyaksikan pelebaran dan kerja mendalamkan sungai Klang dari Mid Valley City, Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

    Mac lalu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Shukor Mustaffa membuat laporan polis terhadap menteri besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco kerajaan negeri Izham Hashim dengan mendakwa projek itu diberikan melalui rundingan terus.

    Amirudin menafikan dakwaan itu, dengan menyatakan beliau dan Izham berada dalam Lembaga Pengarah Landasan Lumayan Sdn. Bhd. untuk mewakili kepentingan kerajaan negeri.

    Untuk rekod, Landasan Lumayan Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak untuk projek itu dalam usaha sama dengan firma swasta.

  • Serbuan di stor:4 lelaki diberkas, mercun RM1 juta dirampas

    Serbuan di stor:4 lelaki diberkas, mercun RM1 juta dirampas

    POLIS merampas mercun bernilai RM1 juta dalam serbuan di sebuah stor di Sungai Lang Baru, di Banting, pukul 6 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Perisikan Siasatan Khas (CPSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

    “Ketika serbuan, empat lelaki tempatan dikesan sedang memunggah kotak-kotak mercun daripada sebuah lori. Kesemua mereka berusia 19 hingga 39 tahun kemudian ditahan.

    “Polis telah merampas 627 kotak mengandungi mercun dianggar bernilai RM1 juta selain rampasan sebuah lori yang dipercayai baharu tiba dari Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan awal mendapati tempat penyimpanan terbabit yang dipercayai aktif sejak Januari lalu belum mendapat sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa.

    Semua tangkapan itu katanya, kini direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM100,00 atau kedua-duanya.

    Ahmad Ridhwan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menawarkan apa-apa penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan permit daripada pihak polis.

    “Bagi individu yang mempunyai permit menjual mercun perlulah mematuhi peraturan di mana tempoh penjualan hanya dibenarkan selama tiga puluh hari iaitu 25 hari sebelum dan 5 hari selepas tempoh musim perayaan untuk mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Pihak polis katanya juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mercun tanpa lesen untuk segera tampil membuat aduan di balai polis terdekat.

  • ‘Kenapa PM tak arah polis, SPRM siasat Zahid isu LCS’

    ‘Kenapa PM tak arah polis, SPRM siasat Zahid isu LCS’

    AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, mempersoalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan atau membuat pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kata laporan.

    Memetik laporan Berita Harian, ia susulan Perdana Menteri sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini, didakwa amat lantang bersuara hingga menyatakan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan sebagai pemimpin yang perlu menjawab isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).

    Menerusi penyataan pembelaan difailkan terhadap saman oleh Perdana Menteri, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, Anwar menyatakan Ahmad Zahid bersubahat dan bersekongkol dalam perolehan LCS, selain menerima rasuah itu dirasakannya (Ahmad Zahid) lebih penting dari negara.

    “Satu konklusi jelas bahawa kerajaan plaintif (Anwar) akan cuba melindungi atau melengahkan penyelesaian isu membabitkan sekutu politik terkini, namun akan bingkas dan tegas terhadap seteru politik terutama Perikatan Nasional (PN).

    “Maka ini yang dimaksudkan oleh defendan (Awang) sebagai strategi dan kaedah mengugut yang secara jelas bukannya merujuk kepada satu perlakuan jenayah, namun adalah strategi dan kaedah politik yang digunakan terutama dalam politik sebenar.

    “Oleh demikian, kenyataan defendan adalah pandangan peribadi dan politik berdasarkan fakta yang sebenar,” katanya dalam penyataan pembelaan difailkan firma guaman mewakilinya, Tetuan Tengku Amalin & Faizi di Mahkamah Tinggi, semalam.

    Pada 3 Mac lalu, Anwar, 76, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memfailkan saman menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.

    Anwar mendakwa, bekas timbalan menteri itu mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Awang membuat kenyataan berhubung pendakwaan terpilih itu ketika ditemui media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.

    Dengan merujuk pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, Awang dilaporkan mendakwa, ia adalah permulaan daripada tindakan Perdana Menteri.

    Awang berkata, pertuduhan ke atas Wan Saiful pada 21 Februari lalu, hanya kira-kira tiga bulan daripada tarikh Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

    Beliau berkata, tindakan sepantas itu yang dimaksudkannya sebagai permulaan Perdana Menteri ke-10.

    “Kontroversi paling besar dalam sejarah pentadbiran Dr Mahathir adalah Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, membabitkan penahanan ratusan orang termasuk pemimpin politik seperti Lim Kit Siang (DAP), mendiang Karpal Singh (DAP), (Datuk Dr) Ibrahim Ali (UMNO) dan Halim Arsyat (PAS).

    “Operasi Lalang ini lanjutan daripada bantahan Dong Jiao Zong terhadap guru tiada kelayakan bahasa Cina dihantar oleh Kementerian Pendidikan (yang dipimpin Anwar ketika itu) ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

    “Jika dibandingkan tindakan kontroversi kerajaan Dr Mahathir dengan tindakan kontroversi kerajaan plaintif ketika ini jelas menunjukkan dari jangka masa, kerajaan Dr Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya enam tahun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

    “Pertuduhan terhadap seteru politik dibuat plaintif pula hanya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

    Awang menegaskan dia tidak angkuh, namun hanya menyatakan pandangan peribadi dan politik berdasarkan fakta sebenar.

    “Sememangnya plaintif memfailkan banyak saman atas isu politik. Gelaran ‘bapa saman negara’ adalah jolokan ‘in jest’ (gurauan) kepada seseorang yang memulakan satu trend baharu iaitu dalam kes ini menyaman pengkritik politik plaintif,” katanya.