Category: Semasa

  • Jackie Chan ke Malaysia tahun depan untuk penggambaran filem

    Jackie Chan ke Malaysia tahun depan untuk penggambaran filem

    BINTANG filem ternama Hong Kong, Jackie Chan menyatakan minatnya untuk menjalani penggambaran sebuah filem di Malaysia pada tahun depan.

    Beliau yang turut menempa kemasyhuran di Hollywood secara peribadi sangat merindui Malaysia dan begitu teruja untuk kembali lagi ke sini.

    “Saya yakin penonton di Malaysia akan mengalu-alukan saya menjalani penggambaran di sana (Malaysia). Sebetulnya, sudah ada jalan cerita (filem) yang akan menjalani penggambaran di sana.

    “Penerbit juga sudah mengenal pasti beberapa lokasi di Malaysia. Jika semua perkara berjalan lancar berdasarkan rancangan, kami akan melakukan penggambaran filem di sana,” kata Jackie seperti dilaporkan portal berita The Star.

    Pelakon berusia 68 tahun itu berkata demikian dalam wawancara eksklusif di Beijing, China sempena filem baharu lakonannya, Ride On yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

    Dalam wawancara itu, beliau turut berseloroh memberitahu tidak akan ‘meletupkan’ tempat atau melakukan aksi ‘terbang’ bangunan kali ini dalam lakonan terbaharunya kelak.

    Sekalipun tidak berkongsi panjang lebar mengenai filem yang belum memiliki tajuk itu, Jackie, bagaimanapun, memaklumkan, ia bukan filem bergenre aksyen.

    Kali terakhir Jackie menjalani penggambaran di Malaysia ialah pada tahun 1991 iaitu filem aksyen Supercop yang turut menampilkan pelakon kelahiran Malaysia yang juga pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh.

    Ketika penggambaran filem berkenaan berlangsung, beberapa jalan sekitar Dataran Merdeka teah ditutup.

  • Pesara, suri rumah kerugian RM200,000 ditipu ‘polis’, ‘pegawai insurans’

    Pesara, suri rumah kerugian RM200,000 ditipu ‘polis’, ‘pegawai insurans’

    DUA individu kerugian lebih RM200,000 selepas ditipu scammer menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan ejen insurans.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dua kes itu membabitkan mangsa lelaki, pesara swasta berusia 60-an kerugian RM109,750, manakala seorang lagi membabitkan suri rumah berusia 50-an kerugian RM120,400.

    “Bagi kes pesara swasta, ketika mangsa berada di rumah di Bukit Bunga, Jeli, lelaki itu dihubungi oleh seorang wanita mendakwa dari Balai Polis Ampang, Selangor.

    “Mangsa dimaklumkan terbabit jenayah penggubahan wang haram dan bagi siasatan, mangsa mendedahkan semua butiran akaun banknya kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian diarahkan supaya memasukkan wang ke dalam akaun banknya sebagai ikat jamin sendiri dan diminta supaya tidak membuat semakan ke atas akaun sepanjang siasatan.

    Pada 30 Mac lalu ujarnya, mangsa pergi ke bank dan mendapati wang dalam akaun hanya tinggal RM100 dan mengesyaki ditipu dengan nilai kerugian RM109,750.

    Susulan itu katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Bunga pada 2 April lalu.

    Muhamad Zaki berkata, bagi kes suri rumah, ketika berada di rumahnya di Pasir Mas pada 22 Februari lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita menyamar sebagai ejen insurans dan mendakwa dia membuat tuntutan palsu RM68,800 di Hospital Ampang Puteri.

    Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum talian disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan bercakap dengan seorang Sarjan serta Inspektor.

    “Mangsa juga disambungkan talian kepada seorang peguam wanita yang menyuruh mangsa membuka akaun bank baharu dan mendaftarkan nombor telefon milik suspek atas akaun itu.

    “Mangsa membuat pindahan ke dalam akaun baharu iaitu wang yang dipinjam sebanyak RM60,000 dan simpanan RM70,000,” katanya, lapor Harian Metro.

    Pada 31 Mac, mangsa menceritakan kepada anaknya sebelum membuat semakan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mendapati hanya tinggal RM490,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Johor kesan eksploitasi terhadap Orang Asli

    Johor kesan eksploitasi terhadap Orang Asli

    KERAJAAN Negeri Johor mengesan tindakan eksploitasi yang dibuat terhadap Orang Asli di negeri itu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara eksplotasi terhadap Orang Asli yang dikesan ialah penerokaan secara tidak sah tanah-tanah rizab Orang Asli di Johor yang dibangunkan untuk tujuan komersial.

    “Orang Asli turut digunakan sebagai jurupandu untuk memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

    “Malah terdapat juga Orang Asli digunakan untuk mengekstradisi hasil hutan secara haram seperti kayu gaharu dan logam-logam bernilai.

    “Kerajaan Negeri sangat peka dan prihatin terhadap eksploitasi yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini kepada Orang Asli di Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kerajaan negeri akan menggunakan undang-undang sedia ada bagi melindungi mereka, antaranya Akta Orang Asli 1954 (Akta 134, Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966.

    Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bahawa semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah ‘Sultanate Land’ supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

    Jelas beliau, mana-mana kawasan yang telah diwartakan sebagai ‘Sultanate Land’ bukanlah bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan, tetapi tanah itu dilindungi oleh Sultan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut.

    “Tuanku adalah custodian kepada tanah rizab ini bagi terus menjaga hak dan kepentingan Orang Asli di Negeri Johor dan Orang Asli Johor boleh menggunakan dan menikmati hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954.

    Tambahnya, sejarah telah membuktikan bahawa semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan sebelum wujudnya Akta Orang Asli 1954, kedudukan dan penempatan Orang Asli di Johor telah dijaga dan dibela oleh Kesultanan Johor.

    Sehubungan itu, Onn Hafiz berharap tiada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli.

    “Janganlah menangguk di air yang keruh dan memutarbelitkan hasrat murni kerajaan negeri ini.

    “Jika ada mana-mana pihak memerlukan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci boleh berhubung dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Kerajaan perlu terbuka terima pandangan pakar

    Kerajaan perlu terbuka terima pandangan pakar

    KERAJAAN perlu bersikap lebih terbuka dengan meraikan perbezaan dan kepelbagaian pandangan terutama kalangan pakar dalam pelbagai bidang.

    Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, pandangan pakar wajar dialu-alukan bagi mendapat idea baharu bagi menangani isu semasa.

    Beliau percaya jika boleh meraikan kepelbagaian pandangan, kerajaan juga akan dapat manfaat hasil dialog dan percambahan idea.

    “Namun paling penting, pandangan-pandangan yang berbeza itu bukanlah mengganggu ketenteraman awam.

    “Pada masa sama, semua pihak perlu bertanggungjawab atas kebebasan bersuara dan jangan menyalahgunakan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persepsi yang timbul apabila kerajaan didakwa menyekat pihak tertentu yang tidak sehaluan termasuk tidak dibenarkan muncul di media mesra kerajaan termasuk membabitkan ahli politik dan penceramah.

    Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, persepsi negatif yang timbul ketika ini mungkin kerana perbalahan secara umum antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Keadaan itu katanya, menyebabkan timbul persepsi negatif mengaitkan beberapa ahli politik dan penceramah yang condong kepada pembangkang termasuk dikatakan tidak dibenarkan muncul dalam media sama ada cetak atau televisyen.

    “Tetapi bagi saya, ia cuma persepsi kerana setahu saya tiada arahan yang diberikan kepada media tempatan supaya tidak menjemput penceramah atau ahli politik cenderung pembangkang daripada muncul dalam media mereka. Itulah dia yang dikatakan persepsi,” katanya.

    Namun ujar beliau, jika ada arahan tertentu mengenainya maka perkara demikian tidak sepatutnya berlaku.

    “Kemungkinan bukan sebab mereka pembangkang, mungkin ada sebab lain.

    “Tetapi penceramah dan ahli politik yang terkesan membuat kesimpulan mempersoalkan mengapa mereka tidak dijemput media adalah kerana mereka lebih mirip kepada pembangkang. Inilah juga yang dikatakan persepsinya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Justeru, katanya, apabila timbul persepsi negatif itu maka wajar Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Menterinya, Fahmi Fadzil mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan tiada arahan seperti digambarkan itu.

    Katanya, jika tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mengenainya maka persepsi negatif itu akan menjalar dan memberi impak yang tidak baik kepada kerajaan terutama Perdana Menteri.

  • Penjawat awam Terengganu terima bantuan khas Aidilfitri RM700

    Penjawat awam Terengganu terima bantuan khas Aidilfitri RM700

    KERAJAAN Terengganu mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri berjumlah RM700 kepada penjawat awam di negeri ini.

    Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian itu membabitkan lebih 12,000 penjawat awam termasuk kakitangan kontrak di Terengganu dengan peruntukan hampir RM9 juta.

    “Pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka yang menggerakkan pentadbiran kerajaan.

    “Kita menyedari semua kakitangan kerajaan sudah berusaha bekerja dengan begitu keras sekali untuk mengembalikan ekonomi negeri dalam keadaan yang lebih baik.

    “Alhamdulillah, kita merasa sangat gembira dengan pencapaian kita dan itu (pemberian bonus) sebagai sumbangan kerajaan negeri kepada mereka semua,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Prihatin Ramadan Daerah Kuala Nerus di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Ahmad Samsuri berkata, pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat sebelum sambutan Aidilfitri membabitkan semua kakitangan sama ada tetap atau kontrak.

    Beliau berharap, bantuan kewangan itu dapat meringankan beban penjawat awam di Terengganu dalam membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri.

    Tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam di negeri itu.

  • Budak maut jatuh kondo selepas kelas mengaji

    Budak maut jatuh kondo selepas kelas mengaji

    SEORANG kanak-kanak warga Somalia maut dipercayai terjatuh dari kondominium di Jalan Langkawi, Setapak.

    Kejadian itu disedari penduduk kira-kira 7 malam tadi, apabila terdengar dentuman kuat sebelum menemui mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu.

    Difahamkan, mangsa baru selesai ke kelas mengaji di blok A kondominium itu.

    Menurut Astro Awani, ibu mangsa yang hendak menjemputnya pulang ke rumah, cemas apabila gagal menemui anaknya.

    Wanita itu kemudian menemui anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri atas jalan dekat blok B.

    Dua beranak itu dipercayai warga Somalia yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak 2017.

    Difahamkan, polis turut menemui beg sandang mengandungi al-Quran dekat tangga tingkat 4 berhampiran blok B.

  • Mekanik didakwa edar kanabis lebih 60kg

    Mekanik didakwa edar kanabis lebih 60kg

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Batu Pahat hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 60kg bulan lepas.

    Mohd Borhan Saim, 37, didakwa mengedar kanabis seberat 63,120 gram di tepi Jalan Kampung Parit Selamat, Mukim 7, Yong Peng di Batu Pahat, pada 8.30 malam, 26 Mac lepas.

    Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu mengangguk faham selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • 60 pelajar MRSM Gerik keracunan makanan

    60 pelajar MRSM Gerik keracunan makanan

    SERAMAI 60 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan juadah ayam masak merah ketika berbuka puasa pada Ahad.

    Namun tiada kes dirujuk ke hospital, sebaliknya mereka hanya dirawat pasukan perubatan bergerak sebagai pesakit luar.

    Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A. Sivanesan berkata, pelajar Tingkatan Satu hingga Lima itu mengalami gejala sakit perut, cirit birit, muntah dan sakit kepala.

    Kerajaan negeri katanya, kecewa dengan kejadian berkenaan kerana melibatkan ramai pelajar.

    “Temu bual dengan pelajar mendapati masakan ayam telah berbau semasa dimakan.

    “Semasa makan pun sudah ada bau, takkanlah penyelia tidak tahu, takkanlah tukang masak tidak tahu. Jadi, macam mana ini dihidang kepada anak-anak kita?

    “Disyaki bahawa, ayam mentah telah rosak sebelum dimasak,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ipoh, hari ini.

    Sivanesan pada masa sama mempersoalkan mengapa ayam berkenaan terus dimasak dan dihidangkan sedangkan disyaki telah rosak dari awal.

    “Kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan ia akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco hari ini untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, dapur asrama sekolah berkenaan telah diarahkan tutup selama tiga hari dan 10 sampel klinikal telah diambil untuk dianalisa.

    Untuk rekod, pada Januari 2018, media melaporkan seramai 34 pelajar maktab yang sama, terpaksa menerima rawatan apabila dipercayai mengalami keracunan makanan.

  • Melaka wujud semula Timbalan Exco, 10 ADUN akan dilantik esok

    Melaka wujud semula Timbalan Exco, 10 ADUN akan dilantik esok

    MELAKA akan mewujudkan semula jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi memantapkan lagi struktur pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk di negeri itu.

    Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pengumuman lantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu akan dilakukan esok, melibatkan wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Lantikan Timbalan Exco yang akan (diumumkan) komposisinya nanti cantik serta menarik, dan meletakkan semua ADUN berperanan untuk bersama-sama dengan Exco yang dilantik di bawah pentadbiran saya, menjadi lebih mantap.

    “Saya akan melantik Timbalan Exco dan saya akan umumkan esok selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,” katanya di Ayer Keroh hari ini.

    Ab. Rauf berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia 10 Exco yang berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri.

    Terdahulu, 10 Exco mengangkat sumpah dengan tujuh ADUN dilantik semula menyertai barisan yang baharu itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

    Pembentukan itu terdiri daripada sembilan ADUN BN dengan dua muka baharu serta seorang ADUN PH.

    Ab. Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, pendekatan mewujudkan jawatan Timbalan Exco bukan merupakan suatu pembaziran.

    “Sebaliknya saya mahukan semua ADUN BN dan PH dapat menyumbang peranan bersamanya dalam membawa Melaka ke peringkat yang lebih baik.

    “Lain dahulu, lain sekarang. Ia bergantung kepada cara kita. Dan zaman saya uruskan ketika ini, lebih sesuai meletakkan Exco dengan mengadakan Timbalan Exco, untuk bekerjasama membangunkan Melaka,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, tidak ada wakil rakyat yang tidak diberikan peranan ntuk bersama-sama dengannya dalam majukan Melaka.

  • Lori jatuh laut, pemandu dikhuatiri lemas

    Lori jatuh laut, pemandu dikhuatiri lemas

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjatuh dalam laut di Terminal Maritim Lumut di Manjung, hari ini.

    Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 5.30 pagi.

    Ketua Operasi, Mohd Azizi Zakaria berkata, membabitkan mangsa berusia lingkungan 20-an dan lori berkenaan terjatuh dalam laut pada anggaran kedalaman 11 meter.

    Katanya, maklumat diperolehi mengesahkan terdapat hanya seorang mangsa dalam lori terbabit.

    “Kapal berdekatan dengan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi menyelamat dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

    Ujar beliau, operasi menyelamat masih dilakukan dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor.

    “Dua unit kren dari pelabuhan, dalam tindakan untuk membawa naik lori ke tebing,” katanya, lapor Sinar Harian.