Category: Semasa

  • PN Negeri Sembilan anggap menang lima kerusi permulaan baik

    PN Negeri Sembilan anggap menang lima kerusi permulaan baik

    KEMENANGAN lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelmarin, disifatkan sebagai satu permulaan yang baik kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

    Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, pencapaian lima kerusi itu disifatkan satu permulaan yang baik di negeri Adat Perpatih ini selepas tidak memiliki sebarang kerusi dalam DUN sebelum ini.

    “Alhamdulillah, PN sudah mula bertapak kerana sebelum ini langsung tidak ada… kosong (kerusi), sekarang kita sudah ada lima kerusi.

    ”Ini bermakna kita akan ada wakil di Dewan Undangan Negeri untuk membawakan suara pengundi,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri itu.

    Mengulas kekalahan PN di beberapa kerusi dengan majoriti sangat tipis seperti di DUN Lenggeng dan Sungai Lui, beliau menyifatkan itu sebagai pencapaian yang baik dalam pilihan raya kali ini.

    “Dengan pencapaian dengan majoriti yang kecil ini dan ia tidak akan mematahkan semangat bagi calon-calon kita di DUN berkenaan.

    “Saya juga percaya bahawa gerak kerja akan diteruskan untuk kita memikirkan semula, melihat semula, malah melipatgandakan usaha bagi mengatasi sebarang kelemahan yang ada.

    “Jadi ini saya percaya ini akan menjadi satu dorongan galakan kepada pengundi-pengundi di DUN-DUN berkenaan,” katanya di Port Dickson, hari ini.

    Rafiei turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti, sama ada tempatan dan negeri berjiran dari Melaka, Pahang dan Johor yang banyak membantu serta bekerja keras sehingga berjaya mencapai keputusan itu.

    “Bagi pihak PN Negeri Sembilan, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada negeri-negeri bantu juga kepada jentera-jentera tempatan Negeri Sembilan.

    “Saya kira apa yang dilakukan itu usaha yang bersungguh-sungguh adalah suatu petunjuk bahawa kita sebenarnya sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha menghadapi pilihan raya,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Rogol 2 anak, lelaki dihukum penjara 702 tahun, 234 sebatan

    Rogol 2 anak, lelaki dihukum penjara 702 tahun, 234 sebatan

    SEORANG bapa dijatuhkan hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah atas 30 tuduhan rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua anaknya, sejak enam tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 53 tahun didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua anaknya, kini masing-masing berusia 12 dan 15 tahun dengan seorang daripadanya hamil lima minggu.

    Lelaki yang juga pekerja pembersihan itu membuat pengakuan bersalah selepas setiap pertuduhan termasuk 19 kes rogol dan 11 kes cabul kehormatan dua anaknya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, lapor Berita Harian.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, Muar.

    Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.

    Hakim menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan merogol, 10 tahun penjara serta dua sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal serta tambahan hukuman bagi Seksyen 16 (1) Kanun Keseksaan iaitu dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.

    Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun, manakala hukuman sebatan kekal 234 kali.

    Namun, Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah 24 kali.

    Mengikut fakta kes, pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar membuat laporan polis selepas mendapati seorang mangsa hamil ketika mendapat rawatan akibat sakit dada.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Bakar berkata tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandungnya selain seorang daripadanya hamil.

  • BN Terengganu hormat, terima keputusan rakyat, kata Ahmad Said

    BN Terengganu hormat, terima keputusan rakyat, kata Ahmad Said

    BARISAN Nasional (BN) Terengganu akur dan menghormati keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu yang berlangsung kelmarin.

    Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kekalahan dialami itu disifatkan sebagai lumrah dalam setiap pertandingan.

    “Saya mewakili Barisan Nasional Terengganu menerima dan menghormati keputusan rakyat dalam PRN Terengganu semalam (Sabtu). Adat bertanding ada pihak kalah dan ada yang menang.

    “Penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera dan petugas Barisan Nasional yang memberikan komitmen yang tinggi tanpa mengenal penat dan lelah untuk membantu kempen sepanjang PRN berlangsung,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya.

    Dalam pada itu, Ahmad turut merakam penghargaan terhadap kerja keras jentera parti yang bertungkus lumus bagi memastikan kemenangan parti itu.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih juga kepada penyokong dan pengundi DUN Kijal yang telah mengundi saya serta semua pengundi yang mengundi calon Barisan Nasional di negeri ini.

    “Sesungguhnya UMNO dan BN berbesar hati akan terus subur untuk menabur bakti khusus kepada ahli dan masyarakat negeri Terengganu Darul Iman ini.

    “Tidak lupa penghargaan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), PDRM (Polis Diraja Malaysia), RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan semua yang terlibat dalam membantu proses pengundian berjalan dengan lancar,” tulisnya, lapor Sinar Harian.

    PRN kelmarin menyaksikan beberapa kejutan besar berlaku setelah Ahmad yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tewas kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi.

    Razali yang merupakan muka baharu yang bertanding atas tiket Pas mengalahkan Ahmad dengan memperoleh 13,403 undi.

    Keputusan rasmi pilihan raya itu menunjukkan Pas Terengganu menyapu bersih 32 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen di negeri tersebut.

  • Aminuddin akan dilantik MB Negeri Sembilan semula

    Aminuddin akan dilantik MB Negeri Sembilan semula

    DATUK Seri Aminuddin Harun dijangka dilantik semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, susulan spekulasi siapa akan memegang jawatan tertinggi negeri itu.

    Sumber Pakatan Harapan Negeri Sembilan mendakwa perkara itu selesai dengan pelantikan Aminuddin yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukamat disahkan semalam.

    “Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedang menuju ke istana (untuk upacara angkat sumpah),” kata sumber itu kepada FMT.

    Semalam, Aminuddin dilaporkan berkata, Menteri Besar seterusnya akan mengangkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 3 petang ini dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, calon untuk jawatan itu belum dimuktamadkan.

    Terdapat spekulasi bahawa Aminuddin akan digantikan untuk jawatan tertinggi negeri itu.

    Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DatuK Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PH perlu memberikan jawatan itu kepada ketua Barisan Nasional negeri, Datuk Jalaluddin Alias.

    PH dan BN akan membentuk kerajaan negeri baharu selepas memenangi majoriti dua pertiga di 36 kerusi DUN Sabtu lalu.

    PH menang 17 kerusi (DAP 11, PKR lima dan Amanah satu) manakala BN menguasai 14 kerusi, semuanya melalui UMNO.

    Perikatan Nasional memenangi baki lima kerusi menerusi Pas (tiga) dan Bersatu (dua). Ia tidak memenangi sebarang kerusi sebelum ini.

  • Jangan jadikan keputusan PRN untuk ‘hukum’ rakyat Kedah

    Jangan jadikan keputusan PRN untuk ‘hukum’ rakyat Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berharap segala urusan pentadbiran kerajaan selepas ini dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya tanpa menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah untuk ‘menghukum’ rakyat negeri itu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah yang mengetuai negeri itu meraih kemenangan besar pada pilihan raya berkenaan menyatakan kesediaan kerajaan negeri Kedah membuka lembaran baharu dalam soal hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

    “Saya sudah bersedia untuk lembaran baharu, kalau mereka bersedia, Alhamdulillah. Tetapi kalau mereka masih simpan (dendam) di dalam hati, tak tahu lah.

    “Mana boleh simpan dalam hati hal-hal pemerintahan kerajaan, urusan kena ikut prosedur kerajaan. Hal-hal hati tak boleh bawa masuk ke dalam itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Terdahulu, beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit.

    Muhammad Sanusi berkata, kepimpinan Kerajaan Persekutuan perlu memberikan tumpuan yang sama kepada semua negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.

    “Takkan pilihan rakyat nak dimarah pula kan, menghukum rakyat Kedah kerana rakyat pilih PN, mana boleh macam itu, (pilihan raya) ini (proses) demokrasi. Duduk dalam politik sudah berpuluh tahun tapi demokrasi tak faham, tak boleh begitu. Rakyat buat pilihan kemudian kita hukum dia, kena ingat dosa pahala sama,” tambahnya.

    Sebelum ini, hubungan Muhammad Sanusi dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet dilihat tegang susulan kelantangannya mengkritik pentadbiran negara terutama sepanjang kempen PRN.

    Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pelantikan 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah akan dibuat secepat mungkin dan akan diselesaikan dalam minggu ini setelah nama-nama calon itu ditentukan oleh kepimpinan parti-parti komponen dalam PN.

    “Kita akan adakan mesyuarat parti petang ini dan saya akan tengok nama-nama yang dicadang sebelum memilih mereka yang mampu untuk melaksana dan menterjemahkan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

    “Tetapi, memang susah untuk pilih kerana kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ada kelayakan yang baik. Jumlah Exco masih sama iaitu 11 orang termasuk saya dan portfolio mungkin ada penyesuaian mengikut keperluan semasa,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi mengakui tanggungjawab sebagai Menteri Besar pada penggal ini lebih mencabar kepadanya kerana bimbang dengan hasrat rakyat yang meletakkan harapan terlalu tinggi kepadanya.

    “Saya berazam dan akan cuba sedaya upaya tunaikan amanah rakyat. Kita pun ada 32 lagi ADUN pelbagai latar belakang dan mereka juga sudah pasti mempunyai azam yang sama untuk berkhidmat kepada rakyat Kedah.

    “Ada tiga ADUN pembangkang bukan Melayu tetapi saya tiada masalah untuk beri khidmat bakti kepada rakyat bukan melayu di Kedah kerana kita sama sekali tidak mendiskriminasi atau memilih bulu terhadap rakyat Kedah,” katanya.

  • Sanusi mohon maaf danturut maafkan pihak menyerang dirinya

    Sanusi mohon maaf danturut maafkan pihak menyerang dirinya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon maaf dan memaafkan apa yang berlaku sepanjang kempen PRN berlangsung.

    Menteri Besar Kedah itu merujuk ucapan beliau dan sebarang tingkah laku jentera Perikatan Nasional (PN) di sepanjang tempoh berkempen.

    Beliau turut menghulurkan salam persahabatan sambil menzahirkan harapan supaya semua pihak dapat hidup dalam keadaan cukup harmoni.

    “Kalaulah sepanjang kempen PRN ini ada pihak terasa hati, dipalu hingga menusuk kalbu dengan istilah ucapan mahu pun perbuatan, saya mewakili seluruh jentera PN memohon ampun maaf kepada seluruh rakyat Kedah serta negeri-negeri lain.

    “Ada yang kami tak sengaja, ada kami terpaksa dan ada yang kami ‘diprovoke’. Ada yang kami terlalu sakit untuk menahannya, maka kami lepaskan supaya kamu turut rasa apa yang kami rasa.

    “Di atas kekasaran bahasa dan tingkah laku kami orang Kedah sama ada dalam platform media sosial, ceramah mahu pun pertemuan bersemuka, kami mohon ampun serta maaf. Kami hulur salam persahabatan dengan harapan kita hidup di bumi Allah dalam keadaan harmoni sebelum bertemu Allah SWT pada bila-bila masa,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar malam tadi.

    Tidak hanya sekadar memohon maaf, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah turut memaafkan semua pihak yang menyerangnya selama ini.

    “Bagi pihak diri saya, Muhammad Sanusi Md. Nor yang telah diserang bertubi-tubi dan bertalu-talu, saya maafkan semua serangan itu. Anda yang tersakiti kalau nak maafkan, boleh lafazkan sendiri tetapi bagi pihak saya, saya maafkan.

    “Kalau dia buat lagi, kita lawan lagi,” katanya.

  • Buat kali pertama, ADUN bukan Melayu dominasi kerajaan Selangor

    Buat kali pertama, ADUN bukan Melayu dominasi kerajaan Selangor

    BUAT pertama kali di Selangor, wakil rakyat bukan Melayu membentuk majoriti dalam blok pemerintah, realiti pedih bagi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menghabiskan sembilan bulan cuba melawan reputasi ditolak pengundi Melayu.

    Keputusan itu juga berlaku selepas kempen dalam talian yang sengit oleh penyokong PH menjelang beberapa jam sebelum penutupan pusat mengundi 12 Ogos lau, menggesa penyokong keluar dan mengundi sambil mengingatkan mereka bakal berdepan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Selangor yang kini di bawah PH. 

    Kali terakhir Selangor menyaksikan bukan Melayu mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah pada Pilihan Raya Umum 1969, apabila Parti Perikatan pimpinan UMNO, gabungan politik sebelum wujudnya BN, berdepan kekalahan besar di tangan DAP dan Gerakan yang dikuasai Cina, yang bersama-sama dengan calon Bebas menyaksikan keputusan seri 14-14. 

    Parti Perikatan kemudiannya mampu membentuk kerajaan dengan sokongan satu-satunya wakil rakyat Bebas, walaupun iklim politik pasca pilihan raya yang berbaur perkauman kemudian mencetuskan salah satu rusuhan kaum terburuk di Malaysia.

    Keputusan pilihan raya 1969 bagaimanapun berlatarbelakangkan kaum Cina sebagai kumpulan etnik majoriti di Selangor, yang mempunyai populasi kira-kira 1.6 juta pada masa itu. 

    Statistik dari tahun 1970 menunjukkan orang Cina membentuk kira-kira 46% di Selangor, manakala Melayu 35%, dan India 18%.

    Sejak itu, faktor penghijrahan antara negeri, kadar kelahiran tinggi dan pembukaan bandar baru menyaksikan orang Melayu terus menjadi kaum majoriti sejak awal 80-an. 

    Menurut bancian 2020, orang Melayu membentuk 60.6% daripada 6.4 juta penduduk, diikuti Cina (27.3%) dan India (11.3%).

    Walaupun perpecahan kaum ini digambarkan di DUN – 38 daripada 56 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), atau kira-kira 68% adalah Melayu – sebahagian besar daripada mereka bukan dalam blok kerajaan.

    Hanya 16 daripada 34 Adun PH-BN adalah Melayu. 

    Sementara semua 22 kerusi dimenangi PN disandang wakil rakyat Melayu, menjadikan mereka blok pembangkang Melayu terbesar dalam sejarah Selangor. 

    Perbandingan terdekat adalah ketika BN tewas di Selangor pada pilihan raya 2008, menyebabkan 18 ADUN Melayu daripada UMNO beralih ke bangku pembangkang. 

    Penguasaan UMNO dikurangkan kepada 12 kerusi pada 2013, dan kepada hanya empat pada 2018. 

    Ini dapat difahami, kerana dalam ketiga-tiga pilihan raya ini, PH mempunyai rakan Melayu yang kuat: Pas pada 2008 dan 2013, dan Bersatu pada 2018. 

    Ini tidak berlaku pada Sabtu lalu, apabila PH bertanding tanpa parti Melayu yang kuat. 

    UMNO, yang sudah dikalahkan oleh PN pada pilihan raya umum tahun lalu, hanya berjaya memperoleh dua kerusi selepas tewas kepada calon Bersatu dan Pas, situasi yang turut dapat dilihat di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Perebutan pelbagai jawatan negeri

    Keputusan pilihan raya di Selangor, yang demografi kaumnya mencerminkan keadaan negara secara amnya, akan merumitkan usaha gabungan PH-BN untuk menepis persepsi bahawa ia berkuasa atas sokongan bukan Melayu. 

    Semua mata akan tertumpu kepada DAP dan bagaimana ia menguruskan dominasinya di Selangor.

    Sebelum pilihan raya, parti itu menuntut jawatan speaker, mengatakan ini sebagai pertukaran kepada kerusi Dusun Tua yang diberikan kepada calon UMNO. 

    Ia adalah satu daripada dua kerusi yang diwakili oleh seorang ADUN Melayu DAP. 

    Perebutan jawatan dalam 12 majlis kerajaan tempatan di Selangor juga akan menjadi lebih menarik, di mana ahli politik parti memerintah sering diperuntukkan jawatan ahli majlis. 

    Kali ini, dengan UMNO berada dalam gabungan, parti itu berkemungkinan menuntut lebih banyak perwakilan dalam majlis tempatan, perkembangan yang boleh membingungkan dalam kalangan NGO dan aktivis yang menyalahkan parti berkenaan atas penyelewengan masa lampau.

    Kempen ajak keluar mengundi 

    Sementara itu, terdapat persoalan yang masih belum terjawab mengapa PN tidak dapat menawan lebih banyak kerusi di Selangor walaupun penduduk Melayunya ramai, segmen yang menyokong kuat gabungan itu.

    Kempen dalam talian merayu lebih ramai  penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional turun mengundi.
    Kempen dalam talian merayu lebih ramai penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional turun mengundi.

    Buat masa ini, jawapan yang jelas terletak pada peratusan keluar mengundi, iaitu 72% di Selangor.

    Adalah selamat untuk mengandaikan peratusan pengundi Melayu yang lebih besar pada hujung minggu lalu boleh menyaksikan PN memenangi lebih banyak kerusi di negeri ini, terutamanya di kerusi separa bandar dan bandar yang berpenduduk padat dengan pengundi Melayu yang ramai. 

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengakui perkara ini, dengan berkata gabungan itu akan dapat menawan negeri itu sekiranya lebih ramai yang keluar mengundi. 

    Walaupun tiada kaedah yang tepat untuk mengukur peratusan keluar mengundi berdasarkan kaum, ia tidak menghalang penyokong PH untuk melancarkan kempen dalam talian yang sengit untuk mendapatkan orang Cina, yang dilihat sebagai deposit selamat gabungan itu sejak 2008, untuk keluar mengundi.

    Ketika kemas kini statistik setiap jam menunjukkan peratusan keluar mengundi rendah di beberapa bandar utama dengan sebahagian besarnya pengundi Cina, beberapa pemimpin dan penyokong PH menuju ke media sosial dengan mesej tular dan grafik menggesa orang ramai untuk mengundi. 

    Adalah jelas kepada siapa mesej itu disasarkan, kerana banyak yang ditulis dalam bahasa Cina. 

    Malah ahli akademik Wong Chin Huat, yang mengakui dirinya penganalisis politik bebas, memuat naik kiriman di Facebook yang mendakwa “kehadiran pengundi Cina dan India kelihatan rendah”.

    “Bersiaplah untuk Selangor dan Negeri Sembilan menjadi seperti Kedah selepas malam ini,” kata Wong, sebelum beliau terlibat dalam perdebatan hangat dengan netizen yang mengkritik hantarannya kerana mencetuskan situasi panik.

    “Kenapa mesti bersiap?” tanya seorang pengguna maya di ruang komen, di mana Wong menjawab: “Hanya kerana anda suka Sanusi, saya tidak dapat berdepan prospek seperti itu?”, merujuk kepada pemimpin popular Pas Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

    “Tahukah anda mengapa kita diciptakan berbeza?” soal Wong.

    Jurucakap kontroversi DAP Hew Kuan Yaw juga aktif berkempen, berulang kali memberi amaran tentang ‘gelombang hijau’ akan berkuasa. 

    “Jika ada kadar pertumbuhan purata 5% sejam, purata peratusan keluar mengundi di semua lima negeri sepatutnya mencecah 70%, kecuali Kelantan, hehehehe,” katanya dalam beberapa kiriman dalam bahasa Cina yang memberi amaran bahawa lebih ramai orang Melayu keluar.

    Malah calon DAP Subang Jaya, Michelle Ng pula menggesa orang ramai untuk memerhati orang di sekeliling mereka sama ada jari mereka ditandakan dakwat kekal ataupun tidak sebagai bukti sudah turun mengundi.

    “Kalau you all dah undi, bila keluar untuk makan tengah hari, tolonglah tengok siapa jarinya masih bersih, tolong tegur mereka, pastikan mereka keluar undi,” katanya dalam video yang disiarkan pada 1 tengah hari pada hari pengundian, lapor MalaysiaNow.

  • Ini bukan maruah UMNO yang kita kenal, kata Pemuda PN

    Ini bukan maruah UMNO yang kita kenal, kata Pemuda PN

    KEPUTUSAN pilihan raya di enam negeri baru-baru ini adalah ‘manifestasi daripada rakyat’ supaya pemimpin UMNO memahami keutamaan menjaga kepentingan orang Melayu berbanding kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    Timbalan Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, UMNO wajar bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan Islam dan Melayu.

    “Sepatutnya kita bersama-sama dalam muafakat ummah yang digagaskan dan kembali kepada nilai perjuangan terkait Islam serta Melayu, bukannya apabila kita terhimpit dan dihina, kita bertegas pula dengan menyatakan tak boleh bercakap soal agama, raja dan kaum (3R),” katanya dipetik lapor Utusan Malaysia hari ini.

    Beliau juga melihat apa yang berlaku sekarang ini sesuatu yang baru buat UMNO.

    “Itu bukan maruah UMNO yang kita kenal,” katanya lagi.

    Bekas jurugambar di sebuah portal berita yang memenangi kerusi Kota Siputeh itu juga berkata, beliau lebih selesa disapa dengan nama panggilannya, Acap, berbanding YB.

    Katanya sebagai wakil rakyat di situ beliau mahu membawa budaya baru, iaitu hubungan yang lebih erat dengan penduduk setempat membabitkan sebarang isu termasuk yang paling kecil.

    “Orang luar nak panggil ‘YB’ tak apa tetapi bukan orang Kota Siputeh.

    “Saya di sini untuk berkhidmat buat rakyat, merendah diri dan menjadi ‘hamba’ kepada mereka.

    “Jadi tolonglah jangan panggil ‘YB’, cukup sekadar Ashraf atau Acap dan kalau orang yang berusia, panggil saya ‘anak’ pun dah mencukupi,” katanya.

    Kelmarin, Ashraf meraih 17,180 undi untuk menewaskan penyandang kerusi tersebut, Dr. Salmee Said, dari PH, selain calon Bebas, Abdul Ramli.

  • Sanusi ingatkan ADUN PN jangan khianati mandat rakyat

    Sanusi ingatkan ADUN PN jangan khianati mandat rakyat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan ADUN PN tidak mencari ‘kebahagiaan’ untuk diri sendiri atau keluarga terlebih dulu.

    Katanya, mereka perlu sedar dan insaf bahawa perjuangan yang didokong ketika ini bukanlah untuk diri sendiri mahu pun anak-anak sebaliknya perjuangan rakyat.

    “Dengan kepercayaan sebesar ini, janganlah terdetik di hati tuan-tuan atau semua ADUN yang telah diberi amanah untuk cari kebahagiaan bagi diri sendiri dan keluarga terlebih dulu. Ini bukan perjuangan hang (kami) dan anak-anak sebaliknya ini perjuangan rakyat.

    “Saya jamin kepada tuan-tuan bahawa selama mana saya diberi amanah mengetuai jentera ADUN-ADUN di Kedah, saya akan pastikan mereka semua tak jadi kaya.

    “Mereka takkan pernah terpalit dengan sebarang skandal rasuah dan penyelewengan, saya akan pastikan begitu. Saya tidak izinkan mana-mana ADUN untuk berkejar ke sana-sini mencari projek untuk diri sendiri atau kawan-kawan.

    “Siapa yang terpalit, kita akan terus laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). ‘Hangpa’ mai ambil orang ini, angkut bawa kurung dan kita takkan lindungi sesiapa,” katanya.

    Menurutnya, cabaran yang bakal dilalui ADUN-ADUN itu cukup besar kerana ada musuh yang akan sentiasa memasang perangkap bagi menjerat mereka.

    “Kita berdepan cabaran besar tetapi ada lagi rintangan lebih besar menanti di depan. Tuduhan dan serangan akan datang lagi dan tak ketinggalan, perangkap dipasang musuh untuk kenakan kita. Kita mesti berhati-hati 24 jam.

    “Mungkin perangkap itu datang dari terus daripada musuh, mungkin juga dari kawan-kawan atau ahli keluarga kita. Perkara ini amat penting untuk diawasi bagi memastikan amanah dipikul benar-benar direedai Allah.

    Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri di bawah pimpinannya sebelum ini telah menggalas amanah dengan susah payah.

    “Kalau betul ada sikit sesiapa yang terpalit dengan kerja-kerja bodoh ini, serangan kerajaan Persekutuan dan segala jenteranya sepanjang kempen tempoh hari tentu berbagai hingga menyebabkan kita masuk ‘dalam’.

    “Oleh kerana kita bersih, tak pernah terpalit sebarang skandal, tak cari kekayaan dengan kedudukan serta tak buat benda haram, maka serangan bertali arus selama berminggu-minggu ke atas kita tidak langsung menyebabkan sehelai bulu roma kita berdiri,” katanya.

  • Jangan hukum, denda rakyat Kedah kerana pilih PN dalam PRN

    Jangan hukum, denda rakyat Kedah kerana pilih PN dalam PRN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PIMPINAN kerajaan Pusat diingatkan agar tidak menghukum mahu pun mendenda rakyat negeri Kedah kerana memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kehendak rakyat negeri ini perlu dihormati dengan mereka yang berada di Pusat tidak seharusnya berbuat-buat seolah-olah tidak faham dengan amalan demokrasi dilaksanakan.

    “Pudin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), Piji (Rafizi Ramli) dan Bang Non (Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan buat-buat tak faham dengan mandat diberikan rakyat Kedah kepada PN. Jangan cuba nafikan, ketepikan, cuba memaksa, menghukum atau denda rakyat negeri Kedah kerana menolak kamu.

    “Dalam politik negara ini, kita sama-sama menerima hakikat demokrasi bahawa apabila rakyat membuat pilihan, maka semua pihak harus berlapang dada serta akur. Jangan sempitkan dada kamu,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, malam tadi.

    Mengulas lanjut katanya, kalangan petugas di agensi serta jabatan kerajaan juga seharusnya tidak menuruti secara melulu arahan pihak tertentu berkaitan kepentingan negeri ini.

    “Kamu telah lihat apa yang rakyat lakukan di negeri ini, apa yang rakyat mahu, siapa rakyat percaya serta perjuangan siapa yang rakyat terima. Kamu lihat sendiri dan jangan cuba butakan mata dengan menurut membuta tuli arahan dari mereka.

    “Kamu agensi penguat kuasa atau jabatan yang meluluskan apa-apa, sila pandang suara rakyat Kedah ini dalam konteks demokrasi. Inilah kehendak, insipirasi rakyat Kedah yang diterjemahkan dalam peti undi. Jadi sila beri penghormatan kamu,” katanya.