Category: Semasa

  • Pelaburan Planetrade: Sembilan ditahan, kerugian mangsa cecah RM17.55 juta – PDRM

    Pelaburan Planetrade: Sembilan ditahan, kerugian mangsa cecah RM17.55 juta – PDRM

    SEMBILAN individu termasuk enam wanita warga tempatan ditahan kerana terlibat dalam skim penipuan pelaburan ‘Planetrade’ pada tahun 2022.

    Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, sebanyak 92 laporan polis berkaitan skim penipuan tersebut diterima dengan nilai kerugian RM17.55 juta sepanjang tempoh Januari 2021 sehingga kini.

    Menurutnya, suspek yang merupakan dalang skim penipuan itu telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

    “Seorang lagi suspek yang merupakan pengarah syarikat mengendalikan skim tersebut juga telah didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Sementara tujuh lagi suspek telah dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Noorsiah berkata, polis turut membekukan 27 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM700,533.47, enam kenderaan dengan nilai RM1.17 juta dan 11 juta unit saham di empat buah syarikat berkaitan di bawah seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

    Jelasnya, dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pelaburan ‘Planetrade’, PDRM ingin menegaskan bahawa siasatan telah dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

    Kesemua suspek yang ditahan katanya, mempunyai penglibatan dan berperanan sama ada menguruskan, mengendalikan dan mempromosikan skim penipuan itu.

    “Antara suspek ditahan juga merupakan pelabur atau mangsa skim yang berperanan sebagai ‘Authorised Introducer’ iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk ke dalam skim tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.

    Justeru, Noorisah menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa untuk tampil segera membuat laporan polis.

    Pada 1 April lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa individu yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan Planetrade diminta membuat laporan polis dengan segera.

  • Seludup mercun guna kenderaan PDRM, anggota polis ditahan

    Seludup mercun guna kenderaan PDRM, anggota polis ditahan

    DUA lelaki termasuk seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes penyeludupan mercun melibatkan penggunaan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian berlaku pada jam 7.45 petang kelmarin ketika sepasukan anggota risikan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa mengekori sebuah kenderaan Toyota Hilux milik PDRM.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lampu isyarat Wakaf Bata, Machang, anggota polis itu didapati bersama seorang lelaki yang juga mekanik berusia 35 tahun.

    “Anggota PGA mengekori mereka berikutan kenderaan yang dinaiki dua suspek itu berada dalam keadaan mencurigakan dari Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Muhamad Zaki berkata, pemeriksaan lanjut menemui sejumlah mercun dan bunga api di bahagian belakang kenderaan yang keseluruhannya bernilai RM25,000.

    Tambah beliau, polis juga sedang mengenal pasti sama ada anggota tersebut berada di luar kawasan kerana tugas atau sebaliknya.

    “Semakan turut mendapati anggota polis itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu manakala mekanik pula mempunyai lima rekod lampau berkaitan narkotik.

    “Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

  • Bekas pembantu Anwar tarik balik rayuan batal tuntutan balas

    Bekas pembantu Anwar tarik balik rayuan batal tuntutan balas

    BEKAS pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya untuk membatalkan tuntutan balas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap dakwaan salah laku seksual.

    Yusoff Rawther turut menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Anwar yang didakwanya tidak relevan dengan saman itu.

    Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng kemudian membatalkan rayuan itu dan membenarkan kos RM5,000 seperti dimohon peguam Anwar, Navpreet Singh, lapor FMT.

    Yusoff memfailkan saman itu terhadap Anwar pada 2021, dengan mendakwa beliau melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2 Oktober 2018.

  • Skim pinjaman bercagar KWSP kurang berkesan bantu rakyat

    Skim pinjaman bercagar KWSP kurang berkesan bantu rakyat

    KEPUTUSAN membenarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk membuat pinjaman kecemasan sebenarnya tidak menyelesaikan masalah kewangan rakyat.

    Profesor ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata
    Ini kerana antara lain disebabkan ia tidak memenuhi keperluan rakyat untuk mendapat akses kecemasan kepada dana.

    Malah katanya, tidak akan memberi manfaat kepada golongan yang paling memerlukan bantuan kewangan kerana kekangan skim tersebut.

    “Ini juga disebabkan oleh had pinjaman RM3,000 dan had tidak boleh meminjam lebih daripada apa yang ada dalam Akaun 2 KWSP mereka.

    “Kebanyakan orang termiskin tidak mempunyai apa-apa dalam akaun mereka. Sekitar 75 peratus ahli KWSP tidak akan mendapat manfaat dan kebanyakannya (kumpulan pendapatan) M40 dan T20 akan mendapat faedah itu,” kata Williams kepada Malaysiakini.

    Kelemahan lain katanya, ialah pemberi pinjaman masih akan mendapat wang dan menghabiskan simpanan pencarum yang menggunakan skim pinjaman KWSP, melainkan mereka membayar balik sebelum tenpoh pinjaman tamat.

    Bagaimanapun, Williams menyatakan reka bentuk konservatif kemudahan sokongan tersebut akan melindungi orang ramai dan ia adalah lebih baik berbanding skim pengeluaran langsung.

    Pandangan sama dikongsikan Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Shankaran Nambiar yang berpendapat memang bagus apabila bank-bank yang terbabit menawarkan kadar faedah yang lebih rendah kepada peminjam.

    Katanya, langkah itu akan mengurangkan beban kepada peminjam yang menyertai skim itu nanti.

    “Bagaimanapun, ia tidak menyelesaikan masalah akses kepada dana dalam situasi kecemasan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito berkata beliau ‘bukan peminat tegar’ kepada cadangan skim pinjaman KWSP.

    Pada masa sama beliau menekankan bahawa dana itu seharusnya disimpan untuk masa depan pencarum.

    Beliau juga menegaskan Malaysia adalah antara negara dunia yang mempunyai hutang isi rumah tertinggi kepada nisbah keluaran dalam negara dan ia menjadikan orang ramai terdedah kepada kitaran ekonomi.

    “Selain itu, ia menjejaskan lagi kestabilan kewangan masa depan dengan memperkenalkan idea bahawa KWSP adalah sesuatu yang boleh digunakan, sedangkan ia sepatutnya menjadi alat untuk menghadapi masa depan.

    “Sesuatu pinjaman harus disokong oleh sumber semasa, bukan oleh sumber akan datang,” katanya.

    Walaupun Carmelo mengakui terdapat beberapa had dan syarat dalam skim pinjaman KWSP, beliau menegaskan prinsip menggunakan KWSP untuk dana kecemasan itu sendiri adalah salah.

    Williams dan Nambiar juga berkata, kerajaan harus meneroka cara lain untuk menangani masalah kewangan dihadapi rakyat.

    Untuk permulaan, Nambiar berkata, kerajaan perlu melihat kepada pendapatan asas sejagat bagi mereka yang tidak berada dalam skim pencen, dan campur tangan awam dalam penyediaan pembiayaan perumahan dan penjagaan kesihatan.

    “Sekiranya polisi di atas dilaksanakan, kebergantungan kepada KWSP sebagai sumber kredit akan berkurangan,” katanya.

  • Padah langgar kontrak, Amelia Henderson diarah bayar RM90,000 kepada A. Aida

    Padah langgar kontrak, Amelia Henderson diarah bayar RM90,000 kepada A. Aida

    MAHKAMAH Sesyen Sivil hari ini mengarahkan pelakon, Amelia Henderson membayar ganti rugi sebanyak RM90,000 kerana melanggar kontrak syarikat penerbitan, A. Aida Production Sdn. Bhd.

    Hakim Zulqarnain Hassan turut memutuskan supaya pelakon terbabit memadam video mengandungi kenyataan fitnah berkaitan syarikat itu dan meminta maaf.

    Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk Datuk A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, memberi keterangan.

    Ketika perbicaraan, pengurus produksi A. Aida Production, Fazeyla Ahmad, 42, dilaporkan memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia, lapor BH Online.

    Namun, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika menerima tawaran untuk membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

    Amelia dan dan seorang lagi pelakon, Idris Khan, berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.

    A. Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.

    Bagaimanapun, saman antara A. Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.

  • Pindah minyak tanpa kebenaran, kapal tangki, tug bot ditahan

    Pindah minyak tanpa kebenaran, kapal tangki, tug bot ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki serta tug bot selepas didapati melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran pukul 2.10 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya mengesan sebuah kapal tangki MT Mekar Jaya dan sebuah tug bot YKP Karishma merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Pertiwi di 0.16 batu nautika timur perairan Persiaran Karpal Singh.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan, kapal tangki MT Mekar Jaya berbendera Malaysia dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang warga tempatan berumur antara 26 hingga 46 tahun.

    Sementara itu, ujarnya, tug bot YKP Karishma berbendera Thailand dikendalikan enam kru termasuk nakhoda iaitu empat warga Indonesia dan dua warga Thailand berumur antara 35 hingga 51 tahun.

    “Kesemua kru kapal tangki dan tug boat memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak Ship to Ship (STS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, tambah beliau, nakhoda dan ketua jurutera kapal serta tug bot termasuk dokumen berkaitan telah dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan sebarang aktiviti haram dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

     
    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Kenyataan SPRM siasat kes salah guna kuasa KSN, KPPA palsu – JPM

    Kenyataan SPRM siasat kes salah guna kuasa KSN, KPPA palsu – JPM

    KENYATAAN media yang didakwa dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri berhubung siasatan kes salah guna kuasa terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) adalah palsu.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi penafian yang dimuat naik di laman Facebook rasmi hari ini, memaklumkan Pejabat Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang ditularkan menerusi media sosial.

    “Tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut ternyata berniat jahat dan mengelirukan rakyat.

    “Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” menurut JPM.

    Terdahulu, kenyataan palsu yang bertarikh 6 April itu memaparkan dakwaan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan dengan kadar segera terhadap kes salah guna kuasa melibatkan perkhidmatan KSN dan KPPA. – BERNAMA

  • Pasangan kekasih dirakam buat jelik dalam kereta ditahan

    Pasangan kekasih dirakam buat jelik dalam kereta ditahan

    POLIS menahan sepasang kekasih yang tular di media sosial kerana melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, penahanan dibuat membabitkan seorang lelaki berumur 22 tahun dan seorang wanita berumur 17 tahun di dua lokasi berbeza petang tadi.

    Menurutnya, rakaman kejadian itu berlaku pada pukul 3.03 petang, 29 Mac lalu, tetapi hanya tular di media sosial tiktok baru-baru ini.

    “Polis mengesan video tular berkenaan sebelum mendapati lokasi kejadian adalah di kawasan letak kenderaan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

    “Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek telah ditahan secara berasingan, masing-masing di Taman Johor Jaya dan Taman Kota Masai antara pukul 4.15 petang hingga 5.15 petang, hari ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut Mohd Sohaimi berkata, semakan dibuat mendapati kedua-dua warganegara tempatan itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    “Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia berwarna merah dan sehelai t-shirt berwarna merah dan putih.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara selama tempoh dua tahun,” katanya.

    Mohd Sohaimi turut mengingatkan orang awam agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan insan negara ini.

    Terdahulu, tular satu rakaman berdurasi 23 saat yang merakamkan perbuatan jelik kedua-dua individu berkenaan di dalam sebuah kenderaan.

  • SPRM melangkaui bidang kuasa dalam siasatan Nazlan, dakwa peguam

    SPRM melangkaui bidang kuasa dalam siasatan Nazlan, dakwa peguam

    PEGUAM mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melangkaui bidang kuasanya dalam siasatan terhadap hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Kenyataan itu selepas menteri undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan dalam surat kepada peguam Datuk Seri Najib Razak bahawa SPRM mendapati Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mempengerusikan kes SRC International.

    Menurut bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan, ia juga merupakan kes campur tangan eksekutif.

    “Ini, pada pandangan saya, campur tangan eksekutif yang jelas, melampaui bidang kuasa oleh SPRM dan rancangan licik untuk menjejaskan badan kehakiman.

    “Semuanya kerana beberapa pelanggar undang-undang enggan bertanggungjawab. Adakah ini boleh diterima oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim?” soalnya dalam ciapan Twitter, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, peguam Najib mengesahkan Azalina telah menghantar surat kepada mereka yang mengesahkan aspek siasatan SPRM ke atas Nazlan.

    Menurut sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu, Shafee Abdullah menulis surat kepada Azalina meminta menteri itu mengesahkan sama ada SPRM mendapati Nazlan berkonflik kepentingan ketika mempengerusikan kes SRC International atau tidak.

    Dia juga ingin tahu sama ada SPRM mendapati Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim atau tidak.

    Dalam jawapannya kepada Shafee bertarikh 20 Mac, Azalina dilaporkan menyatakan “Saya boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan bahawa soalan-soalan tersebut telah dijawab secara afirmatif.”

    Dalam pada itu, Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet yang juga seorang peguam berkata, SPRM tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk membuat penemuan sedemikian.

    “Terdapat mekanisme yang sangat khusus untuk ini. Jawatankuasa Etika Hakim di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 adalah satu-satunya pihak berkuasa (untuk membuat penemuan sedemikian).

    “Azalina patut jawab,” katanya.

    Dia menambah bahawa ini adalah sama mengelirukan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat penemuan bahawa satu kesalahan di bawah Akta SPRM telah dilakukan.

    “Ia sama sekali tanpa sebarang kuasa atau kepakaran untuk membuat kesimpulan sedemikian,” katanya

    Siasatan SPRM telah dilancarkan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan yang mengaitkan hakim itu dengan perjanjian 1MDB Tanjung Energy Holdings Sdn Bhd ketika bertugas dengan Maybank.

    Pada 24 Feb, panel yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan bahawa siasatan SPRM ke atas Nazlan tidak mengikut protokol.

    Tengku Maimun yang membacakan keputusan itu berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada agensi penyiasatan jenayah seperti SPRM untuk menyiasat hakim yang sedang bersidang serta membenarkan pendakwa raya memulakan prosiding mahkamah jenayah terhadap hakim tersebut, kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan dengan niat baik dan hanya bagi kes-kes yang betul.

    Ini penting, katanya, bagi memastikan badan kehakiman dapat menjalankan fungsinya secara bebas.

    Nazlan, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta kepada Najib kerana rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

  • Laut China Selatan: Muhyiddin anggap kenyataan Anwar cuai, tidak bertanggungjawab

    Laut China Selatan: Muhyiddin anggap kenyataan Anwar cuai, tidak bertanggungjawab

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia sedia berunding dengan China jika Beijing merasakan sebuah kawasan di Laut China Selatan yang sedang dibangunkan oleh Petronas sebagai hak mereka adalah cuai.

    Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau hari ini:

    Dalam sidang Dewan Rakyat bertarikh 4 April 2023, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan “terutama kebimbangan negara China kerana PETRONAS telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China”. Beliau menambah, “kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan.”


    Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri. Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.


    Pada hakikatnya, kawasan cari gali PETRONAS yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China.


    Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara. Kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara. Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing.


    Keduanya, Perdana Menteri juga membuat kenyataan berikut di Dewan Rakyat:


    “…tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China. Itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan.”


    Dalam soal kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia tetapi didakwa oleh China sebagai perairan antarabangsa, Perdana Menteri sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.


    Sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan. Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia.


    Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct.


    Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali. Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN.

    TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

    Pengerusi Perikatan Nasional

    6 April 2023