Category: Semasa

  • 4 keluarga tinggal sehelai sepinggang 2 minggu menjelang Aidilfitri

    4 keluarga tinggal sehelai sepinggang 2 minggu menjelang Aidilfitri

    EMPAT keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah yang didiami mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Baru, Jalan Bundusan, Penampang malam tadi.

    Bagaimanapun, seorang wanita cedera ringan dalam kebakaran kira-kira 9 malam itu.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, enam jentera bersama sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Lintas serta Kota Kinabalu bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.33 malam.

    “Sebaik tiba di lokasi, operasi pemadaman dijalankan dan kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, api dilaporkan terkawal pada 10.32 malam, manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Seorang mangsa, Ariffin Reduaan Rudi, 21, berkata, dia tinggal di rumah dua tingkat itu bersama abang, sepupu dan bapa saudaranya.

    Ketika kejadian, dia yang masih berada di tempat kerja dihubungi keluarganya.

    “Semuanya musnah terbakar. Hanya tinggal baju dan seluar kerja yang sedang saya pakai,” ujarnya.

  • Bas ekspres dua tingkat bawa 20 penumpang terbakar

    Bas ekspres dua tingkat bawa 20 penumpang terbakar

    SERAMAI 20 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbakar di Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur malam tadi.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Fadil Hesam Mohamed berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan panggilan kecemasan pada pukul 10.23 malam.

    “Seramai 17 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Sri Hartamas bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Fadil Hesam berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kejadian melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat dengan kemusnahan kebakaran dianggarkan 50 peratus.

    Katnaya, bas itu dalam perjalanan dari KL Sentral menghala ke Jalan Tuanku Abdul Halim, seramai 20 penumpang dan pemandu bas itu selamat.

    “Kebakaran dapat dikawal pada jam 11.47 malam dan padam sepenuhnya jam 12.09 tengah malam. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Op Tapis:Pengedar dadah rempuh polis maut ditembak

    Op Tapis:Pengedar dadah rempuh polis maut ditembak

    SEORANG pengedar dadah maut ditembak selepas bertindak agresif merempuh polis dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Op Tapis dalam kejadian di tepi jalan Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Fasa 2 di Lahad Datu, seamlam.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 11.45 pagi melibatkan suspek yang berusia 28 tahun memandu kereta jenis Perodua Viva.

    “Sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri selepas dilanggar suspek ketika menjalankan operasi berkenaan.

    “Bertindak atas maklumat aktiviti pengedaran dadah, semasa polis hendak menahan sebuah kereta yang dinaiki suspek, secara tiba-tiba suspek bertindak mengundurkan kenderaannya dengan agresif dan merempuh salah seorang anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, suspek juga membuat ‘u-turn’ sebelum memecutkan kenderaannya dalam pergerakan melawan arus serta merempuh seorang lagi anggota serbuan yang cuba menghalang suspek.

    Namun dalam masa sama anggota terbabit sempat melepaskan tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri sebelum dilanggar.

    Menurutnya, suspek kemudian cuba memecutkan kenderaannya untuk melarikan diri tetapi terbabas pada jarak sejauh 400 meter dari lokasi kejadian.

    Pemeriksaan lanjut katanya, mendapati suspek sudah tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

    “Siasatan dalam Perodua Viva tersebut turut membawa dadah jenis syabu sebanyak 7.45 gram bernilai RM1,490 serta parang samurai.

    “Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau melibatkan pelbagai kesalahan narkotik dan merupakan orang dikehendaki bagi kes jenayah komersil,” katanya lapor Sinar Harian.

    Rohan Shah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar syabu.

  • Polis buru individu main mercun sebabkan 2 cedera

    Polis buru individu main mercun sebabkan 2 cedera

    POLIS sedang mengesan individu disyaki bermain mercun sehingga menyebabkan dua mangsa cedera di Kampung Changkat, Gombak pada 31 Mac lalu.

    Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad berkata pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu yang tular sejak semalam memaparkan sekumpulan individu bermain mercun menghala ke sebuah rumah.

    “Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 12.05 tengah malam 31 Mac lepas, menyebabkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 19 dan 24 tahun cedera di paha dan telinga,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, usaha mengesan suspek masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435/324 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Nur Atikah Adnan di talian 018-3648044 atau IPD Gombak 03-61262222.

  • Permohonan pengampunan Najib guna desakan politik – Muhyiddin

    Permohonan pengampunan Najib guna desakan politik – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) menyifatkan usaha Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai desakan politik.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun perkara tersebut terserah kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu mempertimbangkan atau sebaliknya berhubung permohonan itu.

    “Isu ini (memohon pengampunan) ada proses dan prosedur tertentu. Setahu saya siapa yang boleh memohon, namun dia (UMNO) menggunakan desakan politik,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat khas bersama kepimpinan PN Kelantan di Paser Putih semalam.

    Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor dan barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

    Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pengesahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam proses penilaian permohonan Lembaga Pengampunan itu.

    “Saya tidak boleh komen kerana perkara itu bersandarkan perlembagaan undang-undang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Semalam media melaporkan, MKT UMNO telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan bagi Najib, yang juga bekas Presiden, daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Setiausaha Agungnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO yang berlangsung semalam.

  • Isu logo PRN, PN guna formula PRU-15

    Isu logo PRN, PN guna formula PRU-15

    ISU penggunaan logo antara parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dianggap selesai untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila mereka akan menggunakan formula Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu akan terus kekal menggunakan simbol bulan.

    Menurutnya, empat lagi iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN.

     “Pertemuan hari ini (semalam) kita bincang soal politik dan persiapan bagi berdepan PRN. Agihan kerusi gabungan di enam negeri sudah hampir diselesaikan.

    “Perkara tersebut sudah dibawa kepada perbincangan di peringkat pusat menerusi Jabatan Perundingan Kerusi Pusat untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat PN peringkat negeri Kelantan di Pasir Puteh semalam.

    Turut dihadir Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Kamarudin Md. Nor.

    Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, isu menifesto yang akan digunakan pada PRN kali ini turut dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan.

    Katanya, secara keseluruhan Kelantan sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN.

    “Mengenai parti mana yang akan berlawan di kawasan UMNO, itu kita akan bincang selepas ini,” ujarnya lapor Utusan Malaysia.

  • Kerana cemburu, wanita maut ditikam suami

    Kerana cemburu, wanita maut ditikam suami

    SEORANG wanita mati ditikam suaminya yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu, dalam kejadian di sebuah gerai sayur di Kota Kinabalu, semalam.

    Pembantu kedai berusia 38 tahun itu disahkan meninggal dunia, selepas dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I dalam keadaan parah kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Difahamkan, kejadian itu disedari orang awam sebelum memaklumkan polis.

    Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Kalsom Idris berkata siasatan awal mendapati mangsa didatangi suspek ketika membantu kakaknya menjual sayur di kawasan itu.

    Katanya, suspek menikam bahagian belakang mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

    “Wanita yang parah itu kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.21 petang,” katanya menurut Harian Metro.

    Kalsom berkata, suspek ditahan di Jalan Kepayan pada pukul 8.30 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

    “Polis menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu. Sebilah pisau turut dirampas di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.”

    Katanya, suspek yang juga warga asing itu direman untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Dera di taska: Mangsa digigit kanak-kanak seusia – Polis

    Dera di taska: Mangsa digigit kanak-kanak seusia – Polis

    KECEDERAAN seorang kanak-kanak yang dilaporkan digigit dalam kejadian di sebuah taska dekat Putrajaya, adalah selari dengan kesan gigitan kanak-kanak seusia.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata perkara itu disahkan pegawai perubatan selepas mangsa dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang wanita berhubung beberapa kesan gigitan di tangan anaknya ketika dihantar ke taska berkenaan pada 10.26 malam, 5 Januari lalu.

    Katanya, susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan semakan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska tersebut berdaftar dan mempunyai lesen sah.

    “Pada mulanya kedua-dua pihak bersetuju untuk tuntutan ganti rugi terhadap kejadian, namun begitu sehingga kini tiada penyelesaian dapat dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, tular hantaran artikel bergambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “EL Ameerah” berkaitan kecederaan yang dialami kanak-kanak perempuan berusia satu tahun semasa berada di sebuah taska.

    Media turut melaporkan ibu kanak-kanak itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska tersebut yang didakwa mengabaikan anaknya yang ditinggalkan bersama beberapa orang kanak-kanak lain di sebuah bilik tanpa pengawasan.

    A. Asmadi turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan tidak menularkan artikel tersebut kerana ia boleh mendatangkan ketidakharmonian serta mengganggu siasatan polis. – BERNAMA

  • Bersatu Wilayah agih 1,500 bubur lambuk, rai 300 asnaf sempena Ramadan

    Bersatu Wilayah agih 1,500 bubur lambuk, rai 300 asnaf sempena Ramadan

    BERSATU Wilayah Persekutuan menderma 300 kotak sumbangan berbentuk makanan dan wang ringgit kepada asnaf pada program ‘Iftar Badan Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan’ yang berlangsung di Hotel Tamu, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

    Program buka puasa itu bertujuan menyantuni lebih 300 golongan asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan dengan sumbangan diserahkan menerusi 130 penerima.

    Turut hadir Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dan Ketua Sayap Bersekutu Malaysia, Datuk Dr. Chong Fatt Full.

    Dalam pada itu, turut berlangsung penyerahan watikah pelantikan pegawai perhubungan baharu jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri (BPN) yang dijangka memberi impak positif kepada gerak kerja Bersatu Wilayah Persekutuan.

    Ketua Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail dilantik Setiausaha Negeri baharu, Ketua Bersatu Cheras, Zamzuri Muhammad dipilih sebagai Bendahari manakala jawatannya sebelum ini selaku Ketua Penerangan digalas oleh Ketua Bersatu Segambut, Mahathir Mohd Rais.

    Badan Pimpinan Negeri Bersatu Wilayah Persekutuan turut bersetuju Ketua Sayap bersekutu Segambut, Datuk Simon Suresh V. untuk dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Negeri baharu.

    Sementara itu, Bersatu Segambut dan Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan meneruskan tradisi tahunan mengagihkan 1,500 bubur lambuk dalam menyemarakkan semangat perpaduan.

    Perkarangan pejabat Bahagian Bersatu Segambut dipenuhi kereta, motor orang ramai bagi menerima juadah berbuka puasa itu yang cukup sinonim dengan bulan Ramadan.

  • Azan Maghrib awal dua minit, masjid mohon maaf

    Azan Maghrib awal dua minit, masjid mohon maaf

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENTADBIR Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan memohon maaf atas kesilapan melaungkan azan Maghrib, dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.

    Timbalan Pengerusi masjid itu, Ustaz Ahmad Nasir berkata, kesilapan tersebut adalah disebabkan masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.

    “Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Jame’ Badlishah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan dan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqadha’.

    “Begitulah pandangan Jumhur Ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hambali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’,” katanya dalam satu kenyataan rasmi masjid itu bertarikh 1 April lalu.