Category: Semasa

  • Remaja disyaki dirogol bapa tiri, suspek suami isteri ditahan

    Remaja disyaki dirogol bapa tiri, suspek suami isteri ditahan

    SEPASANG suami isteri selepas dipercayai terlibat dalam kejadian rogol membabitkan anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

    Suspek yang merupakan bapa tiri serta ibu kandung mangsa masing-masing berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan pukul 9.30 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) sejurus tiba dari Sabah.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, perbuatan terkutuk suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu turut diketahui isterinya yang merupakan ibu kandung mangsa.

    “Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin ada menerima satu laporan mengenai kejadian rogol ke atas satu remaja perempuan berusia 16 tahun di Jasin, Melaka.

    “Bertindak atas maklumat, tangkapan telah dilakukan ke atas bapa tiri dan ibu kandung mangsa di KLIA 2, Sepang, Selangor,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, remaja perempuan yang masih bersekolah itu dipercayai menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak tahun 2020.

    Jelasnya, penahanan reman terhadap kedua-dua suspek sedang berjalan hingga 15 April ini bagi membantu siasatan.

    Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada pagi tadi telah membenarkan permohonan reman dua suspek ini selama tujuh hari bermula hari ini hingga Sabtu depan, katanya.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan/109 kanun sama,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Difahamkan, perbuatan terkutuk suspek terbongkar selepas mangsa yang sebelum ini melarikan diri lebih dua minggu memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak polis.

  • OPV pertama diserah 24 Julai, kata Saifuddin

    OPV pertama diserah 24 Julai, kata Saifuddin

    METNERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kapal peronda luar pesisir (OPV) pertama akan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 24 Julai ini.

    Katanya, TH Heavy Engineering (THHE) yang bertanggungjawab membina kapal itu turut memaklumkan OPV kedua dijangka diterima Maritim Malaysia hujung tahun ini.

    Beliau berkata, THHE sudah menyelesaikan beberapa masalah yang menjadi punca kelewatan itu, termasuk pembayaran kepada vendor atau pembekal.

    “Saya sekali lagi mengadakan lawatan ke Pulau Indah minggu lalu dan kali ini mereka ada tarikh lebih jelas.

    “Jadi, mereka (THHE) memberikan tarikh baharu untuk penghantaran kapal OPV pertama, bukan Mac tetapi mereka berganjak ke 24 Julai tahun ini,” katanya menurut Berita Harian.

    Februari lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata, dua daripada tiga OPV itu dijangka siap dan diserahkan kepada Maritim Malaysia pada pertengahan serta hujung tahun ini.

    Walaupun mengalami kelewatan berbanding jadual asal pada Mac dan Oktober ini, katanya, tiada tambahan kos dikenakan kepada projek itu.

    Pada 6 Januari lepas, Saifuddin meminta projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan pada Mac dan Oktober ini.

    Tetapi, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama dan kerajaan berpendirian tarikh serahan tidak diubah.

    Kerajaan sebelum ini menyuntik pinjaman RM152.6 juta untuk memastikan projek OPV yang kini diambil alih Kementerian Kewangan, disiapkan tahun ini.

  • PRN: Pusat ambil alih rundingan jika negeri gagal capai kata putus – Saiffudin

    PRN: Pusat ambil alih rundingan jika negeri gagal capai kata putus – Saiffudin

    PIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan mengambil alih rundingan jika peringkat negeri gagal mencapai kata putus agihan kerusi dalam tempoh ditetapkan bagi berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, itu proses yang ditetapkan jika rundingan yang sedang berlaku di peringkat negeri ketika ini menemui jalan buntu.

    “Arahannya adalah negeri mulakan dahulu (rundingan) melalui proses yang berdasarkan parameter ditentukan Pusat…(jika) negeri tak dapat menyelesaikan (baru Pusat akan ambil alih), selalunya macam itulah, akan ada satu dua kerusi (gagal capai kata sepakat).

    “Mereka (pimpinan negeri) diberi satu tempoh untuk berunding kerusi tetapi saya tak ingat berapa lama tempoh itu untuk menyelesaikannya.

    “Maknanya kalau sampai tempoh itu, pimpinan negeri BN dan PH ada lagi beberapa kerusi gagal dipersetujui misalnya, hal itu akan diambil alih oleh peringkat Pusat,” katanya kepada BH, hari ini.

    Katanya, ketika ini Kedah dan Selangor sudah memulakan rundingan manakala Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, sudah menetapkan tarikh untuk melakukan rundingan.

    Bagaimanapun, ujar Saifuddin Nasution, pihaknya masih menunggu bagi Kelantan dan Terengganu.

    Dalam pada itu, mana-mana wakil rakyat PKR yang menyandang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, belum tentu akan dicalonkan semula untuk PRN.

    Namun, beliau berkata, sama ada mereka kekal bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau hanya tumpu kepada Parlimen, akan dibincangkan lebih lanjut oleh parti.

    “Ayat lebih tepat, ada kemungkinan mereka kekal, ada kemungkinan mereka digantikan, antara dua kemungkinan itu, parti akan tentukan, tetapi belum ada apa-apa keputusan terhadap kedudukan itu.

    “Sebab waktu Parlimen (PRU15) tempoh hari, kami tumpu kepada calon terbaik yang boleh menyumbang kemenangan dan kebetulan ketika itu, calon terbaik itu adalah (datangnya dari) ADUN,” katanya.

  • Apalah nasib Melayu, dilabel malas dan angkuh

    Apalah nasib Melayu, dilabel malas dan angkuh

    APALAH nasib umat Melayu, apabila pemimpin yang berada di pundak kuasa sering kali larut dalam naratif jelik yang merendahkan bangsa.

    Seakannya tidak pernah mengakar langsung, tidak membumi dalam meninjau hakikat masyarakat apatah lagi nilai sebenar budaya bangsa sendiri.

    Barangkali mereka ini lama terpenjara atas perlawanan kuasa dan terpesona dengan gagasan yang nak dibawa sehingga sanggup memperleceh dan mempersendakan masyarakat di bawah kononnya ingin menjadi penyuluh walhal bersifat ‘antidialogikal’ dengan menanam elemen penaklukan minda lantaran Melayu dicemuh.

    Sikap yang ditonjolkan pemimpin-pemimpin sebegini lazimnya kerana jiwa mereka adalah jiwa ‘penindas’!

    Kerana larut dalam kehendak dan kemahuan mereka untuk berkuasa mahupun kekal berkuasa sebegitu demi pengaturan masyarakat secara ‘antidialogikal’ sebagai contoh memberi keterasingan Melayu – cipta naratif ‘seksi’ untuk jadi populis dapat raih sokongan, maka mencipta naratif-naratif ‘pukul rata’ yang bercorak penaklukan yang sama ada secara sedar atau tidak sedar sememangnya bersifat menindas.

    Manusia antidialogikal, dalam hubungannya dengan manusia lain bercita-cita untuk menakluki mereka dengan bersungguh-sungguh dan dengan apa cara sekalipun, dari cara yang kasar kepada cara yang halus, dari bersikap sangat keras kepada sikap bertimbang rasa (paternalisme).

    Setiap tindakan penaklukan memerlukan adanya penakluk dan orang atau benda yang ditaklukinya.

    Penakluk mengenakan objektifnya ke atas mereka yang tewas dan menjadikan mereka miliknya. Dia mengadakan peraturannya sendiri ke atas mereka yang tertawan, yang kemudiannya menghayati ajaran penakluk dan menjadi makhluk penuh kesangsian yang merupakan ‘perumah’ kepada orang lain.

    Pada permulaannya lagi, tindakan penaklukan yang menurunkan manusia kepada status benda-benda bersifat ‘nekrofilik’.

    Ini adalah sepertimana penulisan Paulo Freire dalam makalah ilmiahnya bertajuk Pedagogi Kaum Tertindas yang malah dengan jelas menyebut:
    Adalah penting bagi kaum penindas mendekati rakyat melalui penaklukan untuk mengawal mereka supaya pasif.

    Cara ini tidaklah melibatkan berada bersama rakyat atau memerlukan komunikasi sejati. la boleh dicapai oleh kaum penindas menerusi taburan mitos, kerana yang sangat mustahak adalah pemeliharaan ‘status quo’.

    Keinginan untuk menakluki sentiasa wujud dalam tindakan ‘antidialogikal’.

    Jadi di sini penindas-penindas cuba memusnahkan nilai manusia sebagai ‘pemikir-pemikir’ tentang dunia.

    Oleh kerana pemimpin bersifat penindas tidak berjaya sepenuhnya dalam pemusnahan ini, maka mereka mesti mendongengkan tentang dunia.

    Paulo Freire turut menjelaskan: “Demi untuk memberi perhatian kepada kaum tertindas dan tertakluk dalam sebuah dunia kebohongan yang bakal menambahkan lagi keterasingan dan ketidakberdayaan mereka, kaum penindas menggariskan beberapa siri kaedah yang menghindari sebarang gambaran dunia sebagai satu masalah dan sebaliknya menunjukkan dunia sebagai suatu entiti yang tetap, sebagai sesuatu yang ditakdirkan – keadaan yang mana manusia hanyalah penonton dan mesti menyesuaikan diri.”

    Melayu angkuh vs Melayu malas

    Memahami penjelasan yang disampaikan di atas, secara nyata cubaan menakluk dan penindasan yang dilakukan pemimpin-pemimpin ini sememangnya adalah suatu elemen ‘mitos’ yang cuba diterapkan dan ditanam dalam minda untuk melebarkan agenda mereka bagi proses seterusnya iaitu ‘pecah dan perintah’.

    Pengasingan ini akan memudahkan mereka mengurus dengan memisahkan sebegitu menarik sikit demi sedikit dalam meraih sokongan untuk seseorang atau suatu pihak meninggalkan jiwa merdeka dan tertakluk dalam belenggu sebuah gagasan yang dicipta dan dibuat-buat dengan langsung tidak mencerminkan realiti sebenar.

    Berbalik kepada persoalan, mengapa sering kali hanya Melayu yang digambarkan buruk? Benarkah Melayu begitu rasis dan angkuh? Adakah Melayu malas? Ini sekadar suatu ‘mitos’ dan pembohongan yang dicipta para pemimpin berjiwa penindas.

    Malaskah Melayu bila sumber dan peluang tidak diberi secara adil? Dibolot oleh elit politik, dengan amalan kroni dan nepotisme? Dipegang aturannya oleh para cukong dan kapitalis?

    Angkuhkah Melayu bila menjaga rukun dan nilai atas resam budaya dan agama demi menjaga pemikiran sebegitu nasab keturunan? Dengan menolak pemikiran, ajaran serta amalan budaya songsang. Bukankah itu yang dianjurkan dalam maqasid syariah?

    Angkuhkah Melayu? Pernah dengar Melayu mahu pengasingan-pengasingan melainkan yang mana hak dan termaktub ke atas mereka kerana nasib keberadaan mereka sendiri dalam pada ianya dipelihara Perlembagaan?

    Pernahkah Melayu menolak sesuatu atas kononnya ‘nilai komersial’ sehingga merendahkan bahasa negara sendiri? Siapa yang mahu terpisah-pisah proses sosialisasinya di sekolah-sekolah? Banyak lagi.

    Mengapa harus Melayu sahaja? Angkuhkah Melayu?

    Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    *Tulisan ini yang disiarkan MalaysiaNow adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian Warta Rakyat.

  • Empat maut insiden tembakan di selatan Thailand

    Empat maut insiden tembakan di selatan Thailand

    SEKURANG-KURANGNYA empat terbunuh dalam kejadian tembakan di selatan Thailand semalam.

    Polis memberitahu serangan bermula kira-kira jam 5 petang (waktu tempatan) di daerah Khiri Rat Nikhom di wilayah Surat Thani—kira-kira 600 kilometer (km) di selatan ibu negara Bangkok.

    “Empat orang maut,” kata ketua polis tempatan Kriangkrai Kraikaew kepada AFP tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

    Lapor media tempatan, tembakan berlaku berhampiran rumah bekas ketua kampung.

    Dalang serangan masih diburu dan motif serangan dalam siasatan.

  • KSM nafi sokong sistem baharu ambil pekerja asing

    KSM nafi sokong sistem baharu ambil pekerja asing

    KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) berkata, ia tidak pernah berbincang dengan mana-mana pihak mengenai Sistem Pengambilan Pekerja Asing dan Pengurusan Sumber Manusia (SPDRM).

    Justeru katanya, dakwaan KSM memberi sokongan penuh kepada penggunaan sistem baharu itu tidak benar.

    “KSM berharap penjelasan ini akan menjawab sebarang persoalan atau kekeliruan dalam kalangan majikan atau industri, khususnya perwakilan diplomatik negara sumber mengenai SPDRM,” katanya dalam kenyataan.

    Semalam, Berita Harian melaporkan majikan hanya perlu membayar RM1,000 kepada syarikat pengambilan pekerja, WOWI HR-Malaysia untuk mengambil pekerja asing menerusi SPDRM, tetapi bayaran itu tidak termasuk levi dan tiket penerbangan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (Mitda), Mahadzir Mansor dilaporkan berkata, menerusi SPDRM yang disokong penuh KSM serta mematuhi semua peraturan pengambilan pekerja asing, proses pengambilan pekerja boleh dilakukan di hujung jari tanpa orang tengah.

    Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilapor mengesahkan tiada perbincangan antara Malaysia dan Jakarta berhubung SPDRM, selain pihaknya juga tidak jelas sama ada ia sistem rasmi kerajaan Malaysia atau sektor swasta.

  • Khazanah jual seluruh pegangan dalam studio filem Iskandar

    SYARIKAT tujuan khas milik penuh Khazanah Nasional Bhd, Granatum Ventures Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian penjualan saham definitif untuk menjual keseluruhan 100 peratus pegangannya dalam Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd (IMS) kepada Studio Management Services Sdn Bhd (SMS) untuk menarik pelaburan asing serta membawa manfaat ekonomi dan sosial kepada Malaysia.

    Dalam kenyataan hari ini, katanya SMS adalah konsortium yang diketuai oleh pasukan pengurusan semasa Malaysia IMS dengan kerjasama GHY Culture & Media Holding Co Ltd, Singapura dan anak syarikatnya GHY Culture & Media (Malaysia) Sdn Bhd.

    Menurut Khazanah, SMS dijangka meningkatkan lagi perkhidmatan yang disediakan oleh IMS kepada industri serta memudahkan kerjasama pada masa depan dan peluang penerbitan untuk Malaysia.

    “Kerjasama dan kemasukan banyak usahawan Malaysia dan rakan kongsi serantau yang berkebolehan akan memangkin pertumbuhan dan pembangunan ekosistem di IMS,” katanya.

    Khazanah berkata kerjasama ini akan menyumbang kepada penggunaan studio yang lebih tinggi dalam kalangan penggiat serantau dan global, sekali gus dapat menyokong ekosistem penerbitan tempatan dengan kapasiti lebih baik bagi menarik banyak penerbitan dan perkongsian saluran penerbitan kandungan.

    “Khazanah kekal komited untuk mengekalkan manfaat limpahan ekonomi yang positif kepada ekonomi sosial di samping menyelaraskan kepentingan strategiknya untuk memajukan Malaysia, memastikan penciptaan nilai, pembinaan kapasiti dan impak kemasyarakatan kepada negara,” katanya.

  • ‘Pengeluaran kecemasan KWSP lebih baik dari pinjaman bercagar’

    ‘Pengeluaran kecemasan KWSP lebih baik dari pinjaman bercagar’

    LANGKAH membenarkan pencarum membuat pengeluaran terus daripada akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pilihan lebih baik berbanding menjadikannya cagaran untuk membuat pinjaman kecemasan dengan bank, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

    Bekas timbalan menteri kewangan II itu berkata, pinjaman bercagar KWSP akan membebankan pencarum kerana mereka perlu membayar kadar faedah kepada bank.

    “Permohonan pinjaman kecemasan juga akan mengambil masa sebelum pencarum mendapat kelulusan daripada bank.

    “Awak hendak pinjam RM100,000 mungkin bank hanya boleh beri pinjam RM70,000 sahaja. Tapi awak kena bayar juga faedah serta ia juga mengambil masa untuk diproses oleh bank.

    “Katakan umur ketika mahu membuat pinjaman adalah 50 tahun dan awak akan bersara ketika umur 60 tahun. Dalam tempoh 10 tahun pinjaman itu kita kena bayar faedah. Kalau awak pinjam RM70,000 bayar faedah katakanlah lima peratus setahun iaitu RM3,500.

    “Untuk 10 tahun faedah sahaja RM35,000. Maknanya, awak ambil pinjaman RM70,000 dan faedah selama 10 tahun sebanyak RM35,000.

    “Jumlah bersih yang awak terima daripada pinjaman adalah RM35,000. Kalau itu sahaja jumlahnya adalah lebih baik gunakan sahaja duit KWSP secara terus RM35,000. Tak payah nak bayar faedah,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, hari ini.

    Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berhidmat sebagai timbalan menteri II antara Jun 2016 hingga Mei 2018 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung langkah kerajaan memperkenalkan kaedah bagi membolehkan pencarum KWSP yang memerlukan membuat pinjaman bank dengan akaun KWSP mereka dijadikan cagaran.

    Terdahulu Pardana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan itu ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada bulan lalu.

    Sementara itu Johari turut mengkritik pentadbiran kerajaan terdahulu yang melaksanakan kaedah pengeluarkan wang KWSP kerana langkah iu turut dibenarkan kepada mereka yang tidak terkesan dengan pandemik Covid-19.

    “KWSP sudah keluarkan RM145 bilion sepanjang dua tahun Covid-19. Silap kerajaan juga sebab pertama mengapa duit KWSP itu turut diberikan kepada mereka yang tidak terkesan kehilangan pekerjaan seperti kakitangan kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain.

    “Apabila semua orang dibenarkan keluar duit KWSP tanpa sebab ia menyebabkan KWSP terpaksa menjual pelaburan jangka masa panjang mereka untuk menampung pengeluaran tersebut,” katanya.

  • 2 maut, 1 parah Honda Civic rempuh 4 kereta di hadapan bengkel

    2 maut, 1 parah Honda Civic rempuh 4 kereta di hadapan bengkel

    DUA lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas Honda Civic dinaiki terbabas sebelum merempuh empat kereta yang diletakkan di hadapan sebuah pusat servis kenderaan di Kilometer (KM) 11, Jalan Kluang Batu Pahat, Batu Pahat malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, mangsa yang maut adalah pemandu dikenali sebagai Teo Kai Hong, 22; dan penumpang belakang, Marcus Teo Howe Yue, 19.

    “Seorang lagi penumpang hadapan lelaki berusia 19 tahun yang belum dikenal pasti, parah.

    “Tiga sekawan itu dipercayai keluar meronda di sekitar daerah ini sebelum nahas berlaku.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian, mendapati kemalangan dipercayai berlaku pada jam 12.50 pagi apabila pemandu Honda Civic yang bekerja di kedai kereta terpakai bersama penumpang belakang (tidak bekerja) dan penumpang hadapan pekerja sebuah pasar raya di Singapura dalam perjalanan dari bandar Batu Pahat ke Sri Gading.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki oleh semua warga tempatan itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan melanggar empat kereta yang diletakkan di hadapan pusat servis kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, akibat kejadian itu, pemandu dan penumpang belakang parah pada kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan.

    Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dengan kekuatan keseluruhan seramai 12 anggota dihantar ke tempat kejadian.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Shahrul Nizam Sadri, berkata terdapat dua mangsa tersepit dan seorang mangsa keluar sendiri sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    “PKO bertindak mengeluarkan dua yang tersepit menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mereka kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Lebih 2.97 juta pengguna muat turun, daftar MyJPJ

    Lebih 2.97 juta pengguna muat turun, daftar MyJPJ

    SEBANYAK 2.971 juta pengguna kenderaan sudah memuat turun dan mendaftar melalui aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan pada 10 Feb lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim.

    Beliau berkata sehingga kini JPJ masih mempromosikan kaedah tersebut bagi membolehkan pengguna kenderaan mendaftar melalui aplikasi berkenaan.

    “Setakat ini usaha berjalan lancar dan saya menyeru seluruh masyarakat supaya turut sama memuat turun aplikasi ini untuk memudahkan urusan.

    “Sekarang ini kita pamerkan untuk membiasakan masyarakat mengenai MyJPJ digital dan menjelang pertengahan tahun ini aplikasi ini akan dinaik taraf untuk menunjukkan dan memperbaharu lesen,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama 40 Anak Yatim dan Asnaf yang turut dihadiri Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah, di Kota Bharu malam tadi.

    Mengulas lanjut, Zailani berkata usaha pendigitalan itu dilakukan kumpulan teknologi maklumat JPJ sendiri tanpa sebarang konsultan.

    “JPJ akan menggunakan alat Smart Management Enforcement Device (SMED) bagi mereka yang ada isu berhubung ketiadaan liputan Internet dan kesukaran penggunaan telefon.

    “Bagi pemandu yang mempunyai masalah untuk mempamerkan lesen memandu dan cukai jalan digital, kita akan menggunakan alat SMED dengan membuat pendaftaran identiti (ID) mereka untuk mengakses lesen dan cukai jalan secara digital,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Zailani berkata sempena Aidilfitri, jabatan itu turut membekukan cuti anggota penguatkuasanya bagi menjalankan tugas pemantauan.

    “Penguatkuasaan bagi Op Raya akan bermula sebelum, semasa dan selepas Aidilfitri dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan bagi mengelak berlaku banyak kemalangan.

    “Pengguna juga perlu merancang jadual perjalanan terutama mereka yang akan pulang ke Kelantan, yang kita jangka akan berlaku kesesakan di Gua Musang susulan penutupan jalan bagi kerja pemasangan cerucuk jambatan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3B dan 3C,” katanya.

    Beliau berharap pengguna jalan raya tidak hanya bergantung kepada laluan berkenaan kerana masih ada beberapa pilihan laluan untuk masuk ke Kelantan bagi mengelak kesesakan.