Category: Semasa

  • Peniaga didenda RM1,000, sediakan kari ayam tercemar

    Peniaga didenda RM1,000, sediakan kari ayam tercemar

    MAHKAMAH Majistret Muar hari ini menjatuhkan hukukan denda RM1,000 terhadap peniaga makanan atas tuduhan menyediakan kari ayam yang tercemar, tahun lalu.

    Tertuduh, Nur’aisyah Ismail, 64, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

    Majistret Nurfarah Syuhadah Mohd. Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyediakan makanan sedia dimakan yang tercemar dengan mikroorganisma patogenik Coagulase positive staphylococci.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di restoran di Jalan Arab, di Muar pukul 3 petang, 24 Oktober 2022.

    Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Muar, Muhamad Shah Hanadi Khairul Anuar memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan orang awam.

    Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang rendah kerana sedar kesalahan dilakukan dan berjanji lebih berhati-hati serta tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang.

  • Cuepacs saran gaji penjawat awam diawalkan pada 14 April

    Cuepacs saran gaji penjawat awam diawalkan pada 14 April

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya tarikh pembayaran gaji kepada penjawat awam diawalkan kepada 14 April ini.

    Presidennya Datuk Adnan Mat berkata ia bagi membolehkan penjawat awam membeli barangan untuk persediaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 22 April ini.

    “Cuepacs yakin bahawa kerajaan mampu melaksanakan perkara tersebut kerana ia tidak melibatkan proses yang sukar selain dapat memberi kemudahan kepada kakitangan kerajaan sendiri.

    “Cuepacs juga menyeru agar majikan di peringkat swasta turut berbuat demikian sebagai salah satu usaha menjaga kebajikan warga pekerja,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata Cuepacs juga berharap pembayaran gaji awal itu turut melibatkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM700 yang dijadualkan dibayar pada tarikh penerimaan gaji iaitu 17 April ini.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata akan mempertimbang supaya pembayaran gaji penjawat awam pada bulan April dapat diawalkan, sebagai persediaan untuk menyambut Aidilfitri.

    Adnan berkata Cuepacs menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap perkara itu kerana inisiatif bayaran gaji awal dapat memberi kelegaan kepada penjawat awam.

    “Khususnya bagi mereka yang pulang ke kampung, mereka boleh membuat pembelian lebih awal berbanding saat-saat akhir pada minggu terakhir Ramadan,” katanya.

  • Pelajar kecewa, ADUN kesal majlis dialog KPT jadi ‘sesi cuci otak’

    Pelajar kecewa, ADUN kesal majlis dialog KPT jadi ‘sesi cuci otak’

    MAJLIS dialog Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menampilkan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis disifatkan sebagai sesi ‘cuci otak’ selepas kementerian dikatakan mengetepikan soalan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang mendakwa Khaled dan pengurusan universiti terbabit telah mengindoktrinasi pandangan mereka terhadap pelajar dan peserta lain.

    Beliau yang kesal dengan program selama dua jam itu berkata, sesi yang diadakan di Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya itu hanyalah platform untuk para pegawai menayangkan pencapaian penunjuk prestasi utama kementerian itu.

    “Kementerian Pengajian Tinggi jelas tidak berniat untuk mendengar tuntutan pelajar untuk memansuhkan Auku.

    “Mereka mengelak banyak soalan tajam daripada pelajar dan enggan menangani tuntutan untuk memansuhkan undang-undang zalim.

    “Akibatnya, ramai pelajar tidak berpuas hati dan kecewa,” katanya yang juga ketua biro hal ehwal universiti Pemuda DAP.

    Walaupun Khaled hadir sepanjang majlis dialog itu, pemerhatian Malaysiakini menunjukkan menteri itu tidak menjawab majoriti soalan yang diajukan.

    Sebaliknya Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar yang menjawab soalan-soalan yang diajukan siswa.

    Menerusi sidang akhbar lewat hari itu, Khaled berkata, pindaan terhadap Auku berkemungkinan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, dengan draf rang undang-undangnya terlebih dahulu dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan pada pertengahan Jun.

    Patutnya Anwar lebih faham

    Memetik majlis dialog Anwar Ibrahim bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada Jumaat, Ho kecewa kerana perdana menteri menyokong pengekalan undang-undang zalim itu.

    “Terutama kerana beliau adalah salah seorang bekas aktivis pelajar yang menjadi sasaran rejim autoritarian pada 1970-an.

    “Anwar harus berfikiran terbuka dan mendengar suara mahasiswa dan para ahli akademik sebelum membuat keputusan penting berhubung undang-undang zalim itu,” tegasnya.

    Justeru, Ho menyeru kerajaan supaya mematuhi tuntutan mahasiswa untuk memansuhkan Auku kerana ia langkah penting ke arah memperkukuh kebebasan akademik.

    “Sebagai contoh, Auku kini memberikan kuasa kepada kerajaan dan menteri pengajian tinggi untuk melantik naib canselor, justeru campur tangan politik di universiti sukar dielakkan.

    “Oleh itu, Auku perlu dimansuhkan bagi mewujudkan sistem yang demokratik dan telus dalam memilih jawatan tertinggi universiti,” katanya.

    Ho juga berkata pemansuhan Auku akan menggalakkan tadbir urus yang lebih baik di universiti dan menghapuskan amalan melantik penyokong politik sebagai pemegang kepentingan institusi pengajian tinggi.

    Auku diperkenalkan pada tahun 1971 oleh menteri pendidikan ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dikatakan sebagai cubaan untuk mengekang pergerakan mahasiswa.

    Akta itu telah melalui tujuh pindaan.

    Pindaan terbaru pada 2018, ironinya di bawah kerajaan Dr. Mahathir juga memberikan lebih banyak kebebasan kepada mahasiswa untuk menyertai politik, baik di dalam mahupun di luar kampus.

    Memansuhkan Auku merupakan salah satu janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

    Bagaimanapun, kerajaan sekarang turut menggabungkan Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi penyokong Auku pada masa lalu.

    Khaled yang juga pemimpin utama BN sebelum ini berkata, kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Auku.

  • Dua beranak ditahan bantu siasatan kes tipu kutip derma

    Dua beranak ditahan bantu siasatan kes tipu kutip derma

    POLIS menahan dua beranak bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan kutipan derma di Sentul, Kuala Lumpur, semalam.

    Wanita berusia 60 tahun dan anak lelakinya berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, susulan tujuh laporan polis dibuat terhadap suspek sejak 21 Mac lalu.

    Ketika penahanan dilakukan, polis menemui wang tunai berjumlah RM110,011 manakala RM268,000 lagi dalam akaun bank wanita terbabit dipercayai daripada sumbangan orang ramai.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan terbabit.

    “Suspek wanita akan didakwa di Mahkamah Shah Alam esok (Isnin) manakala anak lelakinya ditahan untuk membantu siasatan,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Dua rakan maut, kereta bertembung van

    Dua rakan maut, kereta bertembung van

    DUA rakan maut selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai bertembung dengan sebuah van dalam kejadian di kilometer 26.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu, 12.40 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa, Mohamad Azrul Hakim Mohd. Rosli dan Muhammad Ammar Hakim Mohd. Zainuddin masing-masing berusia 20 tahun maut di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van lelaki berusia 38 tahun bersama beberapa orang penumpang berada di laluan Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki kedua-dua mangsa telah memasuki laluan bertentangan lalu merempuh van tersebut.

    “Akibat daripada pelanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta terbabit telah maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, pemandu dan penumpang van hanya mengalami kecederaan ringan.

    Mayat kedua-dua rakan terbabit katanya, telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.

    Zaizul Rizal memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi talian 017-2047828,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Budak perempuan 5 tahun maut dihempap ATV dipandu budak 7 tahun

    Budak perempuan 5 tahun maut dihempap ATV dipandu budak 7 tahun

    SEORANG kanak-kanak perempuan lima tahun maut ditimpa sebuah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dipandu kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang terbalik.

    Kanak-kanak perempuan yang tidak memakai topi keledar itu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan dalam kejadian di Daerah Lunenburg, Virginia pada Selasa itu.

    Pihak berkuasa memaklumkan, kemalangan itu berlaku di tanah persendirian, lapor FOX5.

    Pihak berkuasa berkata, kanak-kanak lelaki itu memandu ATV berkenaan apabila ia terbalik menyebabkan kedua-dua mereka tercampak.

    Kenderaan itu bagaimanapun menghempap kanak-kanak perempuan berkenaan.

    Kanak-kanak lelaki itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.

    Polis masih menyiasat lanjut kejadian itu, lapor Agensi.

  • Pemandu dalam video gaduh tular ditahan

    Pemandu dalam video gaduh tular ditahan

    SEORANG lelaki tempatan ditahan polis susulan kejadian pergaduhan membabitkan dua pemandu kenderaan di Jalan Permatang Janggus, Perai, Pulau Pinang yang video itu tular di media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek yang berusia lewat 30-an itu ditahan pada hari sama.

    Jelas beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Permatang Janggus menghala ke Permatang Pauh pada tarikh dan masa yang tidak dapat dipastikan.

    “Menerusi video itu, kelihatan sebuah kereta dan lori berhimpit antara satu sama lain sebelum kedua-dua pemandu memberhentikan kenderaan masing-masing dan bergaduh.

    “Pemandu kereta dilihat telah mengeluarkan satu objek dari dalam bonet belakang keretanya dan bertindak memukul nombor plat di bahagian hadapan lori terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Semalam, video pergaduhan berdurasi dua minit 40 saat itu mula tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Twitter ‘Nan Manjoi’ sebelum dikongsi pengguna sosial lain.

  • Persatuan cadang usia persaraan dinaikkan kepada 65 tahun

    Persatuan cadang usia persaraan dinaikkan kepada 65 tahun

    PERSATUAN Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan pekerja dibenarkan untuk bekerja secara rela sehinga berusia 65 tahun.

    Penasihat tenaga kerja SPCAAM, Callistus Antony D’Angelus membangkitkan isu pengeluaran KWSP yang hangat diperkatakan, yang menurutnya menunjukkan ramai pekerja akan mendapat manfaat daripada pendekatan yang anjal.

    “Mereka tidak sepatutnya diwajibkan bersara ataupun dimestikan bekerja.

    “Bagi mereka yang terus bekerja melangkaui usia persaraan sekarang, ia tidak sepatutnya melibatkan pekerjaan berdasarkan kontrak kerana ia meningkatkan risiko amalan tempat kerja yang bahaya dan bersifat eksploitasi,” katanya.

    D’Angelus berkata langkah itu akan membolehkan orang bekerja sehingga berusia 65 tahun dan justeru meringankan beban ekonomi mereka dan juga negara.

    Katanya, pekerja swasta yang bergantung kepada simpanan dalam KWSP ketika persaraan nanti, kini sangat tercabar.

    “Baru-baru ini EPF melaporkan seramai 51.5 peratus anggotanya yang berusia 55 tahun ke bawah ada simpanan kurang RM10,000.

    “Ini bermakna Malaysia sedang menuju krisis sosioekonomi yang serius melibatkan warga yang telah bersara pada masa akan datang,” katanya.

    D’Angelus memetik Bahagian Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa jangka hayat untuk lelaki dan juga wanita telah meningkat dari 46.5 tahun pada 1950 kepada 71.7 tahun pada 2022.

    “Dalam tempoh sama, jangka hayat di Malaysia meningkat dari 52.8 tahun kepada 76.51 tahun,” katanya.

    Justeru, katanya lagi, ramai yang panjang umur dan berdepan kesukaran untuk menyara kehidupan di hari tua.

    “Jika orang bekerja dan dapat pendapatan yang baik, mereka boleh berbelanja lebih dan mewujudkan stimulus untuk pertumbuhan ekonomi.

    “Sebaliknya, di mana orang tidak cukup secara ekonomi untuk menyara hidup sebaik sahaja mereka bersara, beban itu dirasakannya secara peribadi dan secara umum oleh ekonomi negara,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

  • Pemimpin politik guna gelaran ‘Datuk’ palsu disiasat

    Pemimpin politik guna gelaran ‘Datuk’ palsu disiasat

    POLIS telah merakam keterangan seorang pemimpin bahagian sebuah parti politik yang didakwa menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu untuk tujuan perniagaan dan peribadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, pihaknya telah selesai merakam keterangan individu berkenaan.

    “Semua sudah selesai, kita tunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Sebelum ini, sebuah portal tempatan mendedahkan seorang pemimpin politik didakwa menggunakan gelaran Darjah Kebesaran Istana Pahang palsu untuk tujuan peribadi dan perniagaannya.

    Wakil Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Mohammad Afiq Tahar membangkitkan isu tersebut dengan membuat satu laporan polis pada 7 Mac lalu kerana mendapati wujud unsur-unsur penipuan oleh individu terbabit.

    Mohammad Afiq berkata, pihaknya menerima surat semakan status Darjah Kebesaran Negeri Pahang daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, pada 23 Mac lalu.

    Surat semakan itu mengesahkan individu berkenaan tidak dikurniakan sebarang pingat Darjah Kebesaran oleh Istana Pahang.

  • MTUC gesa perkenal skim kemalangan bukan bencana kerja

    MTUC gesa perkenal skim kemalangan bukan bencana kerja

    KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dengan memperkenalkan perlindungan keselamatan sosial Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK).

    Menurut Presiden MTUC, Effendy Abdul Ghani, pelaksanaan skim itu sudah lama dinantikan pekerja kerana memberi perlindungan komprehensif kepada pencarum yang mengalami kemalangan di luar waktu bekerja tanpa terikat kepada aktiviti pekerjaan mereka.

    “Sejak 2011, lebih 26,000 kes tuntutan permohonan faedah di bawah akta itu ditolak Perkeso kerana kemalangan bukan bencana kerja.

    “Oleh itu, MTUC menggesa kerajaan segera melaksanakan SKBBK dan meminda akta sedia ada.

    “SKBBK adalah penambahbaikan kepada skim sedia ada dan dapat merapatkan jurang perlindungan keselamatan sosial pekerja di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

    Antara faedah yang diterima pekerja sekiranya skim itu dilaksanakan ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, kemudahan pemulihan fizikal dan vokasional.

    Effendy berkata, skim itu sudah dilaksanakan di negara maju seperti New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada, lapor FMT.