Category: Semasa

  • Mohon pengampunan Najib modal PN tawan PRN

    Mohon pengampunan Najib modal PN tawan PRN

    KEPUTUSAN UMNO memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya negeri (PRN) sebagai langkah ‘tidak bijak’.

    Menurut penganalisis politik dari Universiti Tasmania, James Chin, ini kerana seolah-olah memberi senjata politik kepada pembangkang menyerangnya.

    Beliau mendakwa, sentimen majoriti rakyat ketika ini menentang pengampunan diraja terhadap bekas perdana menteri itu, yang pada 31 Mac lalu gagal dalam usahanya menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda.

    “Ia mungkin boleh menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN selain menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang setakat ini hanya memberi maklum balas ‘tidak timbul konflik kepentingan membabitkan dirinya yang berada dalam Lembaga Pengampunan’.

    “PN boleh ambil kesempatan dengan memberitahu orang Melayu yang Umno masih belum berubah dan sokong budaya rasuah, asalkan dapat bantu Najib,” katanya kepada FMT.

    James juga mempersoalkan waktu permohonan pengampunan diraja itu dibuat kerana Najib masih berdepan dengan beberapa lagi pertuduhan yang prosidingnya masih berjalan di mahkamah.

    “Mungkin persidangan Lembaga Pengampunan tidak dipanggil langsung (untuk memberi pengampunan kepada Najib) kerana kes lain masih berjalan,” katanya memetik laporan FMT.

    Najib ketika ini berdepan perbicaraan kes pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM27 juta, penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pecah amanah ke atas harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

    Hukuman itu dijatuhkan atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Pada 3 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah permohonan pengampunan diraja kepada Najib kerana parti itu percaya beliau dinafikan keadilan.

    Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan, isu berkenaan dijangka tidak memberi kesan teruk kepada peluang UMNO dalam PRN di enam negeri kerana permohonan pengampunan itu dibuat berdasarkan pandangan seorang hakim bahawa Najib tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.

    “Jadi ini berbeza dengan UMNO menyokong penyalahgunaan kuasa, walaupun empat hakim mengatakan Najib bersalah namun dengan satu penghakiman berbeza memberi kekuatan kepada parti itu untuk memohon pengampunan,” katanya.

    Azmi merujuk kepada penghakiman minoriti setebal 78 muka surat dikeluarkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli pada 31 Mac yang menyatakan Najib tidak mempunyai representasi undang-undang apabila panel Mahkamah Persekutuan mendengar dan menolak rayuannya dalam kes rasuah SRC International.

    Sehubungan itu, Azmi berkata, kempen PN menggunakan isu itu mungkin kurang berkesan dan gabungan Bersatu serta Pas sepatutnya lebih menyasarkan kepada PH yang bersekongkol dengan UMNO dalam permohonan pengampunan untuk Najib.

  • Syamsul, Puteri Sarah hadir prosiding status JKP

    Syamsul, Puteri Sarah hadir prosiding status JKP

    PELAKON, Puteri Sarah tiba di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada pukul 9.04 pagi ini, bagi sebutan permohonan tuntutan cerai terhadap suaminya, pengarah, Syamsul Yusof.

    Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin hadir dengan memakai jubah putih dan ditemani keluarganya.

    Ibu kepada sepasang anak itu mengakui berdebar menunggu prosiding di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas berhubung status proses Jawatankuasa Pendamai (JKP), yang dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), 24 Mac lalu.

    “Semalam, ibu bapa mentua saya mendoakan agar prosiding ini dipermudahkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara suaminya yang juga Pengarah filem ‘Mat Kilau’, tiba lebih awal iaitu pukul 8.57 pagi dengan ditemani peguam syarie, Azmi Mohd. Rais.

    Pengarah berusia 38 tahun itu kelihatan segak dengan mengenakan kot hitam sempat berseloroh dengan para wartawan yang menunggu di lobi mahkamah.

    Untuk rekod, Syamsul, 38 dan Puteri Sarah, 38, berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

    Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

    Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

    Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

    Pada 7 Mac lalu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas kemudiannya memerintahkan pasangan itu untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

  • Akan ada kejutan, bekas pemimpin UMNO sertai Pas, kata Tuan Ibrahim

    Akan ada kejutan, bekas pemimpin UMNO sertai Pas, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan, akan ada beberapa bekas nama besar dan berpengaruh dari UMNO dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau membayangkan perkembangan tersebut adalah ‘sesuatu berita baik buat PN’.

    “Saya fikir akan ada beberapa kejutan… ada sesuatu berita baik,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT.

    “Negara kita ni suka terkejut-kejut, saya nampak macam terkejut belaka.”

    Beliau berkata demikian mengulas laporan beberapa bekas pemimpin UMNO akan menyertai Pas.

    Antara bekas pemimpin UMNO dilaporkan berminat menyertai Pas ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang dipecat Disember lalu.

    Tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO itu dipercayai bagi melebarkan penguasaan PN di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, selain mengekalkan negeri dikuasai mereka seperti di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    Sebelum ini, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata beberapa pemimpin kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Malaysiakini pada 29 Mac, Annuar yang juga bekas menteri era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sudah mengisi borang keahlian Pas, namun bercadang mengumumkan penyertaannya selepas Aidilfitri.

    Laporan itu tidak menolak kemungkinan Annuar menjadi calon pada PRN nanti.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yakin slogan ‘PN Best’ yang berjaya menambat hati pengundi di 74 kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih bersama gabungan itu, walaupun beberapa pemimpin utamanya kini berdepan kes mahkamah.

    Katanya, majoriti pengundi mereka yang berada dalam kelompok ‘atas pagar’ memahami tuduhan dibuat terhadap pemimpin PN bersifat pendakwaan terpilih, ketika beberapa kes seperti penyelewengan dana kapal tempur pesisir (LCS) tidak dibawa ke mahkamah walaupun siasatan telah selesai.

    “Kita akui pendakwaan ini akan memberi kesan khususnya golongan atas pagar tetapi rakyat faham pertuduhan dibuat (ke atas pemimpin PN) dan bagaimana kes itu,” katanya merujuk kepada empat tuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Muhyiddin berkait program Jana Wibawa bernilai RM232.5 juta.

    “Gelombang anak muda masih bersama kita.”

    Slogan PN Best bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ mencetuskan gelombang hijau pada PRU15 yang mana majoriti pengundi gabungan itu adalah anak muda selepas pengundi berumur 18 tahun pertama kali dibenarkan membuang undi.

  • Bekas MB Perlis mengaku tak bersalah kemuka tuntutan palsu lebih RM1 juta

    Bekas MB Perlis mengaku tak bersalah kemuka tuntutan palsu lebih RM1 juta

    BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah atas lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1.18 juta bagi tiket penerbangan pergi balik, penginapan dan kos pengangkutan di UK.

    Menurut kertas pertuduhan, tuntutan dibuat tanpa perjalanan sebenar dilakukan, lapor FMT.

    Azlan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013 dan 2017.

    Beliau membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, manakala peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff mewakili Azlan.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Bufet Ramadan di restoran, hotel tahun ini ‘suram’, kata pengusaha

    Bufet Ramadan di restoran, hotel tahun ini ‘suram’, kata pengusaha

    MESKIPUN sudah masuk minggu kedua berpuasa, ramai pengusaha restoran dan hotel mendakwa pakej bufet Ramadan tahun ini semakin suram dengan ramai pengusaha restoran dan hotel masih belum mendapat tempahan penuh.

    Menurut seorang pemilik restoran dan ketering di Putrajaya, Karim Shah menyifatkan keadaan tersebut sangat berbeza dengan tahun lepas apabila sambutan pelanggan yang “luar biasa” menyaksikan tempahan penuh sepanjang Ramadan dibuat seminggu sebelum bermula.

    Bagaimanapun situasi berbeza tahun ini apabila tempahan awal yang diuar-uarkan bermula awal Mac lalu dengan tawaran harga yang rendah masih tidak mampu memenuhkan slot tempahan hariannya.

    “Restoran kita bokeh muatkan sehingga 120 orang sekali gus.

    “Tetapi sampai Ramadan ke-12, kita tengok hanya ada tiga meja sahaja ditempah,” katanya menurut laporan MalaysiaNow.

    Mengulas lanjut Karim berkata, kadangkala satu meja ditempah hanya memuaskan dua pelanggan sahaja.

    Selain merugikan perniagaan, Karim yang berasal dari Pakistan itu berkata dia tidak sanggup melihat makanan yang disediakan setiap hari dibazirkan begitu sahaja.

    Pada hari biasa, dia menjalankan perniagaan masakan dari tanah Arab dan negara asalnya.

    Bagaimanapun, pada bulan puasa dia sudah mengupah tukang masak khas yang akan menyediakan makanan tradisional orang Melayu dan Barat bagi hidangan 120 orang.

    “Dengan kurang 10 orang sehari, bagaimana kita nak teruskan perniagaan? Membazir dan rugi.” 

    Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Malaysia Christina Toh turut mengakui trend yang sama berlaku pada bufet Ramadan di hotel-hotel seluruh negara. 

    Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata dari maklum balas ahli-ahli persatuan, terdapat kelemahan dan faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut.

    Toh berkata, kemungkinan besar disebabkan masyarakat baru sahaja selepas tempoh panjang cuti sekolah dan mereka sudah berbelanja untuk bercuti dalam tempoh berkenaan. 

    Ditambah pula dengan musim perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, mereka mengandaikan pelanggan sudah mula berjimat dan tidak mahu mengeluarkan duit membayar hidangan bufet Ramadan di hotel. 

    “Kita ingat masa tempahan awal itu ada orang beli tapi masa sampai bulan puasa, bila tengok bisnes pula kebanyakan hotel kurang dari tahun lepas,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Menurutnya lagi, ketika tempahan awal dibuka ramai pengusaha restoran hotel mendapat sambutan yang baik.

    Bagaimanapun, ianya tidak mampu bertahan lama.

    “Mungkin juga disebabkan tahun ini kos barang meningkat jadi harga jualan menjadi tinggi sedikit dari 10% hingga 25%.”

    Atas sebab itu, Toh dan ahli-ahli persatuannya percaya pelanggan menjadi terbeban dengan harga bufet yang baru pada tahun ini.

    Dalam pada itu, Azmi Abdullah seorang pemilik dewan untuk majlis perkahwinan di Skudai, Johor mengesahkan tentang kenaikan harga bufet Ramadan. 

    Dia dan isteri sudah tujuh tahun menjalankan perniagaan bufet Ramadan kerana dewannya tidak mendapat sebarang tempahan sepanjang bulan tersebut.

    Sejak pertama kali membuka bufet Ramadan, dia tidak pernah menaikkan harga tempahan iaitu sebanyak RM58 untuk satu orang dewasa dan hanya RM15 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. 

    Bagaimanapun, tahun ini, dia terpaksa menaikkan harga kepada RM78 satu kepala dan RM30 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun memandangkan peruntukan modal untuk menyediakan makanan sudah jauh meningkat berbanding tahun lalu.

    Paling terkesan, harga barangan mentah seperti ayam, daging dan sayur-sayuran khususnya cili, tomato dan bawang.

    “Jika kita kurangkan bilangan menu, pelanggan akan rasa lebih kecewa kerana tak banyak pilihan.

    “Kalau kekalkan menu-menu yang digemari pelanggan, kita terpaksa naikkan harga.

    “Tapi nampaknya pelanggan tak suka, mereka tak datang. Kita memang tak boleh buat apa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

    Dia mendapati tempahan untuk slot berbuka hanya mendapat sambutan sehingga hari keempat berpuasa, manakala hari-hari seterusnya tidak sampai separuh kapasiti dewan yang disediakan itu kira-kira untuk 200 pelanggan.

    Sedih dengan situasi itu, Azmi menyifatkan dia sudah mempunyai puluhan pelanggan tetap yang datang ke bufet Ramadan miliknya untuk menikmati juadah berbuka sejak beberapa tahun lalu. 

    “Ada yang datang hari Isnin, hari Jumaat dia datang lagi dengan keluarga.

    “Sampai sebulan berpuasa tu, dekat lima atau enam kali mereka saja yang datang.

    “Tapi tahun ini, sekali pun saya belum nampak lagi.” 

  • Kanak-kanak perempuan tujuh tahun rentung rumah terbakar

    Kanak-kanak perempuan tujuh tahun rentung rumah terbakar

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Air Itam, George Town, Pulau Pinang tengah malam tadi.

    Mangsa, G. Sri Laavanya ditemukan maut setelah terperangkap di dalam rumahnya yang musnah akibat kebakaran berkenaan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 11.19 malam.

    Jelasnya, Seramai 19 anggota termasuk penyelia dan ketua balai kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian.

    ”Apabila pihak bomba tiba di tempat kejadian didapati terdapat kebakaran melibatkan dua buah rumah di mana anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 80 peratus pada rumah pertama dan 50 peratus pada rumah bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, menerusi maklumat awal yang diterima oleh orang awam terdapat seorang mangsa kanak-kanak yang terperangkap di dalam salah sebuah rumah yang terbakar.

    ”Komander Operasi membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.

    ”Kebakaran dapat dikawal pukul 12.45 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pukul 12.55 pagi,” katanya.

    Tambahnya, mangsa ditemukan dalam keadaan rentung pada pukul 12.33 pagi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis.

    ”Kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan sehingga operasi tamat sepenuhnya pukul 1.23 pagi dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

    ,

  • UMNO tidak boleh mohon pengampunan untuk Najib

    UMNO tidak boleh mohon pengampunan untuk Najib

    UMNO tidak boleh memfailkan permohonan pengampunan bagi pihak Datuk Seri Najib Razak, kata Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

    Beliau berkata, Peraturan 113 Peraturan-peraturan Penjara 2000, memperuntukkan bahawa petisyen pengampunan itu hanya boleh dilakukan oleh Najib, ahli keluarga atau peguam yang dilantik bekas Perdana Menteri itu.

    “Bagaimanapun UMNO boleh memfailkan surat, petisyen atau kenyataan sokongan yang ditandatangani ahli-ahlinya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong permohonan Najib.

    “Begitu juga dengan orang ramai yang ingin membantah permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan dengan petisyen maya yang ada, individu yang menaja itu boleh memajukan bantahan berkenaan kepada permohonan.

    “Tiada isu untuk berbuat demikian, tetapi mereka dengan sendirinya tidak boleh membuat permohonan, sebaliknya memajukan sokongan terhadap permohonan Najib,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Majlis Kerja Tertinggi UMNO memohon pertimbangan supaya Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi pengampunan penuh kepada Najib, yang kini menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd.

    Dalam pada itu, Asyraf berkata, MKT UMNO sudah menerima memorandum dari 191 bahagian termasuk Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri yang memohon kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden itu, yang disifatkan mempunyai banyak jasa kepada rakyat dan negara.

    Katanya, MKT UMNO juga sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Al-Sultan Abdullah berserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO dari 191 bahagian.

    Sementara itu, pengamal undang-undang, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir berkata, petisyen pertama boleh dibuat seberapa segera yang dapat dilaksanakan oleh Najib selepas sabitannya.

    Bagaimanapun katanya, sekiranya permohonan pertama ditolak, petisyen buat kali kedua hanya dibenarkan apabila seseorang banduan sudah menyempurnakan tiga tahun dari tarikh sabitan.

    “Petisyen pengampunan itu perlu dikemukakan kepada Urus Setia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan iaitu Seksyen Dasar, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, di Putrajaya.

    “Antara perkara yang akan dipertimbangkan dalam permohonan pengampunan itu adalah tempoh masa yang mana banduan sudah menjalani hukuman,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Ada gerakan singkir saya daripada Majlis Kewangan Negara-Sanusi

    Ada gerakan singkir saya daripada Majlis Kewangan Negara-Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor mendakwa ada usaha terancang menggantikannya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datik Norizan Khazali untuk mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.

    Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan itu kerana gerakan berkenaan belum menjadi realiti.

    “Saya bercakap sebelum benda ini berlaku dan saya tak boleh biarkan perkara seperti ini berlaku. Kalau orang minta bukti memanglah tiada sebab gerakan ini belum menjadi realiti.

    “Depa (mereka) akan kata cakap tak ada bukti, nak bagi bukti macam mana kalau benda belum jadi tetapi saya akan pastikan gerakan ini tak akan berlaku,” katanya pada sidang media Majlis Iftar Anak Kedah di Perantauan di Petaling Jaya, malam ini.

    Menurut Sanusi, tindakan itu bertentangan dengan konvensyen Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan perdana menteri diurus selia menteri kewangan dan dianggotai Jemaah Menteri serta wakil negeri iaitu dalam kalangan menteri besar atau ketua menteri.

    Sanusi turut mendakwa gerakan itu dibuat kerana kelantangannya mengkritik kerajaan Persekutuan dan wujud usaha melobi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah bagi tujuan demikian.

    Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri dilantik manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

    Antara peranan majlis itu adalah menasihati berhubung pengurusan kewangan kerajaan Pusat dan negeri selain pembahagian hasil cukai serta royalti.

    Terdahulu ketika berucap, Muhammad Sanusi mendakwa, gerakan terbabit berlaku akibat kelantangannya mengkritik Kerajaan Persekutuan, selain wujud usaha melobi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah, bagi tujuan demikian.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengadakan sidang media ketika hadir ke Majlis Iftar Anak Kedah Di Perantauan di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Sampai ke situ depa sanggup buat. Bangsa yang melakukan diskriminasi, parti berpakat menganaktirikan orang lain, dijatuhkan selepas puluhan tahun berkuasa.

    “Barisan Nasional (BN) akhirnya tumbang selepas mereka mendiskriminasikan Kelantan.

    “BN tumbang selepas 50 tahun atas sikap diskriminasi akibat maklumat yang lewat, tetapi ketika ini tindakan Perdana Menteri akan segera diketahui rakyat Baling dalam waktu sangat singkat walaupun beliau berada di China.

    “Parti, pemimpin yang mendiskriminasi, melakukan penindasan atau ketidakadilan akan ditolak pada setiap pilihan raya.

    “Kalau bukan pada pilihan raya pun, akan ditumbangkan secara berperlembagaan melalui Parlimen kerana maklumat sedemikian sangat cepat tersebar,” katanya.

    Mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan mengaturkan pertemuan antara pihaknya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Muhammad Sanusi berkata, kesediaan itu dinyatakan ketika lawatan Ahmad Zahid ke Kedah baru-baru ini tetapi pihaknya belum menerima sebarang maklum balas.

    “Saya sudah cakap dengan Ahmad Zahid dan minta bantuan beliau menjadi ‘jambatan’ bagi membentangkan (projek KXP) kepada Perdana Menteri,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Bekas MB Perlis dituduh atas dakwaan rasuah esok

    Bekas MB Perlis dituduh atas dakwaan rasuah esok

    SEORANG bekas Menteri Besar Perlis yang bergelar Datuk Seri bakal dituduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Kangar esok pagi.

    Ahli politik tersebut dijangka dituduh pada pukul 8.30 pagi berdasarkan satu jemputan liputan media yang dikeluarkan oleh SPRM, namun tidak menamakan identiti sebenar bekas menteri besar berkenaan.

    “Dengan ini adalah dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa terhadap seorang bekas menteri besar,” kata kenyataan itu petang tadi.

    Difahamkan, ahli politik tersebut bakal dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan atau mengesahkan dokumen mengandungi butiran palsu.

    Individu tersebut difahamkan juga pernah menjadi pemimpin utama sebuah parti di negeri tersebut sebelum ini.

  • REE: Kedah tegaskan tiada aktiviti perlombongan

    REE: Kedah tegaskan tiada aktiviti perlombongan

    PENEROKAAN unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik masih di peringkat penyediaan laporan penilaian alam sekeliling (EIA).

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada aktiviti perlombongan dilakukan sehingga kini kecuali yang diteroka secara haram oleh pihak tertentu yang sudah pun dikenakan tindakan.

    Menurutnya, syarikat Prospek Suria Sdn. Bhd. yang diberikan lesen eksplorasi untuk mengkaji hasil mineral tersebut sedang menyediakan laporan EIA untuk fasa berikutnya sebelum cari gali dibenarkan.

    “Mereka yang curi REE tu memang tidak ada EIA, buat pun secara tidak sah. Syarikat yang MBI Kedah (Perbadanan Menteri Besar Kedah) jalin kerjasama dan berikan lesen masih lengkapkan proses EIA,” katanya di Alor Setar hari ini.

    “Kerajaan negeri lakukan semua proses mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada, antaranya sediakan laporan EIA yang lengkap selain tunggu prosedur operasi standard (SOP) untuk melombong. Kita tidak akan bertindak sesuka hati,” ujarnya lapor Sinar Harian.

    Disebabkan itu, jelasnya, kerja-kerja mengeksplorasi sehingga kini belum dilakukan secara sah kerana masih menunggu SOP daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

    Dalam pada itu, beliau membidas pihak yang masih mempersoal kewajaran Kedah untuk meneroka REE sehinggakan meminta kerajaan Persekutuan menasihati kerajaan negeri untuk tidak meluluskan perlombongan mineral tersebut.