Category: Semasa

  • Pasukan petugas 1MDB bukan untuk ‘jatuhkan’ Najib-Zeti

    Pasukan petugas 1MDB bukan untuk ‘jatuhkan’ Najib-Zeti

    BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pasukan petugas 1MDB yang dibentuk pada 2015 bukan bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 1MDB Najib, Zeti berkata, pasukan petugas yang dianggotainya itu dibentuk untuk menyiasat sama ada 1MDB dan pegawainya melakukan sebarang salah laku.

    “Apabila pasukan petugas itu pertama kali bermesyuarat pada 2015, tidak diketahui sama ada wujud kaitan antara dana 1MDB dan akaun bank Perdana Menteri.

    “Kami tahu tentang (tahap) hutang 1MDB yang tinggi, dan keingkaran mungkin berlaku yang akan memberi impak pada generasi akan datang,” kata Zeti.

    Pasukan petugas itu yang dianggotai wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, BNM, dan Jabatan Peguam Negara, dibentuk pada Julai tahun itu untuk menyiasat dakwaan yang dibuat berhubung dana negara itu.

    Bagaimanapun, dilaporkan kemudian bahawa pasukan petugas itu dibubarkan.

    Zeti menafikan dakwaan peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bahawa pasukan petugas itu dibentuk bagi ‘mencari jalan untuk mendakwa Perdana Menteri dan menyebabkan perubahan dalam kerajaan’.

    “Saya tidak tahu wujudnya draf pertuduhan (terhadap Najib),” katanya ketika ditanya mengenai tuduhan terhadap Najib yang didakwa ‘bocor’.

    Tiada konflik kepentingan

    Zeti juga menafikan bahawa peranannya sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan pada 2018 menyebabkan wujudnya konflik kepentingan baginya.

    Dibentuk sejurus selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan berikutan PRU14 pada Mei 2018, majlis tersebut turut dianggotai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican; hartawan Robert Kuok; dan ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram.

    Zeti berkata, majlis itu bukan ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB. Tugas itu jatuh pada pasukan lain yang diketuai oleh bekas peguam negara Abu Talib Othman.

    “Majlis Penasihat Kerajaan tidak menyiasat 1MDB. Ia tentang reformasi ekonomi.

    “Saya hadiri 100 hari mesyuarat (majlis itu), dan 1MDB tidak pernah dibincangkan. Boleh dapatkan agenda dan tunjuk pada saya (kalau saya silap).”

    Peguam itu mencadangkan bahawa wujud konflik kepentingan bagi Zeti kerana suami dan anak-anaknya didakwa menerima dana daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

    “(Tun) Dr. M. (Mahathir Mohamad) berkata dalam satu temu bual bahawa anda memintanya mengambil tindakan terhadap PM (ketika itu) (Najib) kerana anda tahu dia (Najib) mempunyai banyak wang dalam akaun,” dakwa Shafee, yang disangkal Zeti.

    Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah kemudian secara berseloroh bertanya sama ada pihak pendakwaan berhasrat untuk memanggil Mahathir sebagai saksi, menggunakan sepina, untuk mengesahkan kandungan temu bual itu.

    Secara berasingan, Zeti memberitahu mahkamah bahawa beliau berharap siasatan polis terhadap suaminya, Tawfiq Ayman, akan selesai segera.

    Katanya, polis telah mengeluarkan kenyataan media sebelum ini, mengatakan bahawa mereka sedang menunggu respons daripada kerajaan Singapura.

    Apabila ditanya sama ada beliau individu yang dilindungi kerana tiada tindakan diambil terhadap dirinya dan keluarganya, Zeti menjawab: “Saya rakyat biasa dan tidak dilindungi oleh sesiapa,” lapor FMT.

    Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana didakwa milik 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

  • Tok Mat ‘jurujual’ lebih baik naratif perpaduan UMNO-DAP, bukan Zahid-Khairy

    Tok Mat ‘jurujual’ lebih baik naratif perpaduan UMNO-DAP, bukan Zahid-Khairy

    DATUK Seri Mohamad Hasan lebih sesuai menjadi ‘jurujual’ atas jenama kerajaan perpaduan dalam kalangan ahli UMNO, berbanding Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyebabkan akar umbi tidak menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) kelmarin.

    BN kalah teruk apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi iaitu 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor dan satu di Kelantan manakala kalah semua di Kedah dan Terengganu.

    Bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat dilihat mempunyai kelebihan berbanding Zahid.

    “Tetapi setiap saat dia (Tok Mat) bersama Zahid, nilai ekuitinya turun dan kita tak boleh nafikan perkara ini,” katanya dalam Podcast Sekejap dihoskannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

    Sementara itu, Shahril berkata, kemungkinan pilihan ‘jurujual’ yang tiada kredibiliti menyebabkan masih ramai ahli akar umbi UMNO enggan menerima kerjasama dengan DAP.

    “Masalahnya dalam UMNO, tukang jual naratif ini individu dan kelompok tidak akan dipercayai ahli. Tiada kredibiliti.

    “Anda perlukan tukang jual yang betul untuk membawa sesuatu mesej yang baharu dan mencabar,” katanya, lapor FMT.

    Beliau berkata, selepas kekalahan terbaharu UMNO itu, tiada pemimpin dalam parti itu yang berani untuk menyuarakan sesuatu selain bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang meminta Zahid meletak jawatan.

  • Bersih gesa PM laksana janji lawan korupsi, hormati PN

    Bersih gesa PM laksana janji lawan korupsi, hormati PN

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji melawan korupsi sistemik dan melaksanakan reformasi institusi kepada tata kelola lebih baik untuk akauntabiliti serta kestabilan.

    Jawatankuasa Pemandu dalam satu kenyataan berkata, kelebihan majoriti dua pertiga di Parlimen membolehkan Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi perundangan tanpa mendapat sokongan daripada pembangkang.

    “Tetapi dengan semangat Kerajaan Madani, kami menggesa beliau untuk menghulur tangan dengan ikhlas kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) bagi menghormati peranan penting mereka sebagai pembangkang dan wakil kepada rakyat yang memilih mereka.

    “Perjanjian Damai Semua Parti bersama pembangkang perlu luas dan terperinci, namun perlu meliputi 10 reformasi institusi dan penyusunan politik yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Media pada Julai lalu melaporkan, Bersih telah menggesa Kerajaan Perpaduan dan PN menandatangani perjanjian damai untuk memastikan kestabilan politik selepas tamat pilihan raya negeri (PRN).

    Justeru, Bersih mencadangkan 10 reformasi institusi dan penyusunan politik antaranya, Akta Penggal Tetap Parlimen supaya Parlimen ke-15 dapat berjalan sepenggal penuh sehingga 18 Disember 2027, pengkanunan peruntukan dan proses bagi mekanisme kepercayaan di Parlimen, Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dan reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Jelasnya, cadangan itu adalah berdasarkan pemerhatian antara kedua-dua belahan politik yang mahu korupsi dihapuskan.

    Tegasnya, Perdana Menteri tidak boleh atau dilihat berkompromi dengan janji beliau untuk melawan korupsi.

    “Reformasi untuk membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC), serta reformasi pembiayaan politik adalah maha penting dalam perlawanan ini,” menurutnya.

    Tambahnya, rakyat akan menilai kedua-dua gabungan tersebut melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

    “Bola kini di kaki Perdana Menteri dan beliau perlu buktikan kelayakannya untuk terima mandat diberikan oleh rakyat serta gabungan untuk mentadbir baki penggal selama empat tahun empat bulan lagi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tambah Bersih, tanpa reformasi politik dan institusi berkenaan, kerajaan kini atau seterusnya akan kekal rapuh menghadapi rampasan kuasa pertengahan penggal dan tuduhan salah guna kuasa eksekutif.

  • Cadang Anwar tawar PN sertai kerajaan perpaduan

    Cadang Anwar tawar PN sertai kerajaan perpaduan

    PRESIDEN Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan Perikatan Nasional (PN) menyertai kerajaan perpaduan berdasarkan keputusan PRN Sabtu lalu.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Julau berkata, tawaran itu mampu mengurangkan ‘politik identiti’ merujuk pendekatan berdasarkan kaum, warganegara, agama, dan latar belakang.

    PRN enam negeri menyaksikan keputusan status quo di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    Bagaimanapun, PN berjaya melebarkan pengaruhnya di beberapa negeri khususnya Pulau Pinang dan Selangor apabila menang masing-masing 11 dan 22 DUN.

    “Selepas PRN baru-baru ini, saya percaya kerajaan Madani harus menjemput semula PN ke dalam kerajaan perpaduan. Ia mampu mengurangkan politik identiti di Malaysia,” kata Sng di Facebook, lapor FMT.

    Sabtu lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengekalkan pentadbiran di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, sementara PN membentuk semula kerajaan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    Keseluruhannya, PN berjaya menawan 146 daripada 245 DUN ditandingi, manakala PH-BN hanya menang 99 kerusi.

  • Penerbangan MH122 tergendala selepas lelaki ancam kru, penumpang

    Penerbangan MH122 tergendala selepas lelaki ancam kru, penumpang

    PENERBANGAN pesawat Malaysia Airlines MH122 dari Sydney, Australia ke Kuala Lumpur tergendala apabila seorang lelaki mengancam kru dan penumpang pesawat berkenaan, tengah hari ini.

    The Sydney Morning Herald melaporkan pesawat itu yang sepatutnya berlepas jam 1.06 tengah hari tadi (waktu tempatan) terpaksa berpatah balik semasa berada di New South Wales sebelum mendarat di Lapangan Terbang Sydney.

    Menurut sumber daripada pelbagai lapangan terbang, sekurang-kurangnya 50 penerbangan masuk dan keluar terpaksa ditunda susulan kejadian itu.

    Apabila berlaku kecemasan, penerbangan akan dihentikan sehingga menerima arahan kecemasan daripada pihak berkuasa.

    Insiden itu tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dalam pesawat berkenaan menjerit terhadap kru dan penumpang lain sambil memeluk sebuah beg di dadanya.

    Pesawat itu berada di Lapangan Terbang Sydney, manakala penumpang akan dibenarkan keluar dari pesawat berkenaan selepas melalui proses pemeriksaan keselamatan.

    Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan ketua penerbangan pesawat itu membuat keputusan untuk berpatah balik ke Sydney atas faktor keselamatan.

    “Pesawat itu membawa 194 penumpang dan lima anak kapal selamat mendarat jam 3.47 petang (waktu tempatan).

    “Keselamatan dan keselesaan kru serta penumpang kami adalah paling penting bagi Malayisa Airlines,” katanya, lapor Harian Metro.

    Jurucakap Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak lapangan terbang dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

    Sementara itu, jurucakap Lapangan terbang Sydney, pihaknya membantu pihak berkuasa bagi menguruskan insiden berkenaan.

  • Belum ada jawapan siapa MB Terengganu

    Belum ada jawapan siapa MB Terengganu

    SELEPAS Pas Terengganu memenangi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) kelmarin belum ada jawapan pasti siapa calon yang akan dilantik untuk menggalas tugas sebagai Menteri Besar.

    Bagaimanapun, desas-desus kuat kedengaran bahawa penyandang jawatan nombor satu negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan dikekalkan bagi menjawat jawatan itu pada penggal ini.

    Menurut perkongsian ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukhairi Wan Abdullah, Pas telah berbincang untuk mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

    “Ini bagi mendapat perkenan sekali gus membolehkan pelantikan Menteri Besar Terengganu dibuat bagi membentuk kerajaan negeri.

    “Ramai yang tanya bila akan dibentuk kerajaan negeri Terengganu.

    “Pas telah adakan perbincangan untuk mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada tuanku sultan bagi mendapat perkenan pelantikan YAB Menteri Besar negeri Terengganu untuk pembentukan kerajaan negeri,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Katanya, proses pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) akan dilakukan selepas selesai proses pembentukan kerajaan negeri.

    Bagaimanapun, setakat ini, pihak media belum mendapat sebarang perkembangan dari Istana Terengganu berhubung Istiadat Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Terengganu, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan dalam kenyataan berkata, Pas mengekalkan kepimpinan sedia (Ahmad Samsuri) sebagai Menteri Besar.

  • Aminuddin angkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan

    Aminuddin angkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, bagi penggal kedua hari ini.

    Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah pukul 4.15 petang.

    Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

    Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

    Turut hadir, isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

    Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

    Menerusi saingan empat penjuru, Ahli Parlimen Port Dickson itu menang dengan majoriti 2,662 undi.

    Aminuddin memperoleh 12,730 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi).

    Lahir pada 2 Januari 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin dan isteri mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

    Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perniagaan.

    Aminuddin yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008 pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah dari 1991 hingga 1995.

    Pada 1995, beliau menyertai syarikat Golden Hope Furniture Sdn Bhd sebagai ketua pengurusan pengeluaran dan kemudian di MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd sebagai Eksekutif Senior dari 1996 sehingga 2008 sebagai ketua bahagian jualan, jawatankuasa pengurusan, panel siasatan dalaman dan auditor ISO/TS 16949:2002.

    Sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini dikenali Keadilan pada 1999, Aminuddin merupakan anggota UMNO dan pernah menjadi Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Pachitan (1995-1998) serta Setiausaha Pemuda UMNO DUN Jimah (1997-1998).

    Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR sejak 2014 itu turut aktif dalam badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

  • Sanusi mampu bawa Kedah ke tahap lebih tinggi – Muhyiddin

    Sanusi mampu bawa Kedah ke tahap lebih tinggi – Muhyiddin

    PELANTIKAN semula Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah mampu memacu usaha membangunkan negeri tersebut dalam semua aspek ke tahap lebih tinggi.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu mempunyai daya kepimpinan, visi serta pengalaman yang boleh disandarkan memikul amanah menerajui Kerajaan Negeri Kedah.

    ‘Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas pelantikan sebagai Menteri Besar Kedah oleh Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini.

    “Saya yakin pelantikan semula beliau selaku Menteri Besar mampu memacu usaha membangunkan negeri Kedah dalam semua aspek ke tahap lebih tinggi.

    “Saya berharap kompetensi dan prestasi cemerlang beliau sepanjang tiga tahun mentadbir Kedah akan berterusan demi kesejahteraan rakyat.

    “Tahniah dan selamat berkhidmat YAB Datuk Seri Menteri Besar Kedah,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook miliknya hari ini.

  • Amaran akhir untuk ‘survival’ politik UMNO, kata Tengku Zafrul

    Amaran akhir untuk ‘survival’ politik UMNO, kata Tengku Zafrul

    UMNO perlu segera bangkit dengan memperbetulkan keadaan parti, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Menurut beliau, ini supaya UMNO tidak sekadar mengejar kuasa jangka masa pendek, tetapi kembali diyakini rakyat serta akar umbi parti.

    Katanya, keputusan pilihan raya negeri (PRN) menjadi isyarat amaran akhir untuk kelangsungan politik parti itu.

    “Prestasi di Selangor amat lemah kerana daripada 12 kerusi ditandingi, Barisan Nasional (BN) hanya menang dua termasuk satu yang asalnya ialah kerusi DAP.

    “PRN Selangor menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah UMNO hendak menang. Hakikat ini harus diamati.

    “Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival (kelangsungan) parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.

    “Di Selangor setelah 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak. Ramai ahli parti yang berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Ujar Bendahari BN Selangor itu, berdasarkan senario politik semasa, strategi dan keterampilan serta daya tarikan parti akan menjadi penentu kejayaan atau kegagalan.

    Jelas beliau, UMNO bukan milik kelompok mana-mana kerana ia ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, maka tidak boleh terlalu radikal sebaliknya perlu meraikan pandangan dengan baik.

    “Hari ini hala tuju dan ideologi UMNO Selangor perlu jelas dan diterima ahli akar umbi, bukan semata-mata dilihat hanya ingin mengejar tampuk kuasa tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memberi keyakinan kepada ahli di bawah dan juga rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Suami saya yang lapor transaksi ‘mencurigakan’, Zeti beritahu mahkamah

    Suami saya yang lapor transaksi ‘mencurigakan’, Zeti beritahu mahkamah

    BEKAS gabenor Bank Negara (BNM), Tan Seri Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes 1MDB Najib Razak bahawa suaminya adalah individu yang melaporkan transaksi ‘mencurigakan’ melibatkan akaun bank syarikatnya ke bank Singapura.

    Beliau berkata, Tawfiq Ayman memiliki syarikat pengurusan aset di Singapura, dan menerima wang daripada pelbagai pelabur untuk tujuan pelaburan.

    Menurut Zeti, Tawfiq menyedari daripada “maklumat sumber terbuka” bahawa dana tertentu yang telah memasuki akaun syarikatnya mungkin berasal dari sumber yang “meragukan”.

    “Oleh itu, beliau melaporkannya secara bertulis kepada institusi kewangan dan meminta mereka memulangkan (dana) kepada pelabur. Dan jika bank gagal berbuat demikian, (dia menyuruh mereka) memajukan (dana) ke bidang kuasa (dari mana ia berasal).

    “Wang ini kembali kerana dia menulis surat kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Shafee Abdullah, lapor FMT.

    Sebelum ini, dilaporkan RM64.4 juta yang dikaitkan dengan 1MDB telah dipulangkan dari Singapura. Wang itu didakwa disimpan dalam akaun bank syarikat Tawfiq, Cutting Edge Industries Ltd.

    Polis juga dilaporkan telah melancarkan siasatan terhadap Tawfiq berhubung jumlah wang itu.

    Ditanya oleh Shafee sama ada beliau dapat mengemukakan surat Tawfiq kepada bank Singapura berhubung transaksi yang mencurigakan, Zeti berkata, polis masih menyiasat kes terhadap Tawfiq dan oleh itu, dia tidak bebas untuk mengulas.

    Ditanya sama ada suaminya yang memberitahu tentang dana itu, Zeti menjawab dengan tegas.

    “Ia adalah khabar angin sehingga dia (Tawfiq) dipanggil,” balas Shafee.

    Dalam pada itu, Zeti juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak melihat dua akuan berkanun yang dikatakan ditandatangani oleh Tawfiq dan anaknya untuk melepaskan hak mereka terhadap jumlah RM64.4 juta itu.

    “Saya tidak boleh mengulas,” katanya, menegaskan bahawa tiada seorang pun dalam keluarganya mengambil satu sen daripada 1MDB.

    Ditanya sama ada beliau bercakap dengan Tawfiq dan anak lelaki mengenai akuan berkanun mengenai mereka yang didakwa menerima dana 1MDB, Zeti berkata: “Kandungan SD, yang saya hanya lihat hari ini, tidak mengatakan mereka menerima wang itu. Ia mengenai pemulangan wang kepada pelabur.”

    Beliau berkata, tiada tindakan diambil oleh kerajaan Singapura terhadap Tawfiq atau anak-anaknya berhubung RM64.4 juta yang dipersoalkan di sana.

    Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan kerana salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

    Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.