Category: Semasa

  • Pecah rumah bekas isteri guna cangkul, lelaki didenda RM3,000

    Pecah rumah bekas isteri guna cangkul, lelaki didenda RM3,000

    MAHKAMAH Majistert Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap seorang jurukimpal kerana melakukan perbuatan khianat di kediaman bekas isteri, minggu lalu.

    Tertuduh, Mohd. Shariman Zul Kapri, 46, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

    Bapa kepada seorang anak itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh memecahkan cermin pintu depan rumah sehingga pecah dengan menggunakan sebatang cangkul hingga menyebabkan Salina Sidit, 45, mengalami kerugian melebihi RM25.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pinji Indah, Ipoh sekitar pukul 9 pagi pada 4 April 2023.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G. Harbhajan Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar tidak mengenakan hukuman penjara memandangkan tertuduh menyesali serta berjanji tidak mengulangi perbuatannya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

    Dalam prosiding berasingan, Mohd. Shariman didakwa memasukkan dadah jenis methaphetamine ke dalam badan yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar pukul 6.15 petang pada 5 April 2023.

    Tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dan menetapkan 19 Jun depan bagi sebutan semula kes dan serahan laporan patologi.

    Tertuduh telah ditahan polis pada 5 April lepas selepas video perbuatannya memecahkan cermin tular di media sosial.

    Ujian awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

  • Ahmad Zahid hantar representasi gugur pertuduhan

    Ahmad Zahid hantar representasi gugur pertuduhan

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bahawa representasi bagi menggugurkan tuduhan kes rasuah dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya telah dihantar kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun, pada Januari dan Februari lalu.

    Peguam, Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika sebutan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan (yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi) Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Menurutnya, representasi setebal 200 muka surat telah dialamatkan kepada Idrus dan ia perlu diteliti oleh pihak pendakwaan.

    Katanya, dokumen itu turut menyertakan fakta dan bukti baharu bagi menggugurkan tuduhan tersebut.

    “Justeru, kami memohon perbicaraan ditangguhkan sementara representasi itu diputuskan oleh pihak AG,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob mengesahkan telah menerima surat representasi yang mengandungi isu kompleks.

    Menurutnya, mereka diarahkan untuk tidak membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.

    “Terdapat dua representasi telah dihantar iaitu pada Januari dan 14 Februari lalu, yang mana ia mengandungi isu kompleks yang dibangkitkan.

    “Selepas berunding dengan pihak atasan iaitu Pendakwa Raya, kami diarahkan tidak membantah permohonan ini kerana pendakwaan memerlukan masa yang munasabah untuk menimbangkannya,” kata Abdul Malik, lapor Sinar Harian.

    Sequerah: Berapa lama masa diperlukan untuk meneliti dan membuat keputusan presentasi itu?

    Abdul Malik: Kami memerlukan masa kerana permohonan itu turut dilampirkan bersama surat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Tan Sri Azam Baki bertarikh 20 Februari lalu yang menyatakan agensi itu menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu berkenaan.

    Sequerah kemudiannya membenarkan perbicaraan kes itu ditangguhkan manakala perbicaraan yang ditetapkan sepanjang bulan ini hingga Julai depan, dilapangkan.

    Mahkamah menetapkan 1 Ogos depan untuk perbicaraan seterusnya atau memaklumkan perkembangan lanjut berhubung representasi itu.

    Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

  • Kerajaan setuju lanjutkan had usia kenderaan teksi, e-hailing kepada 15 tahun

    Kerajaan setuju lanjutkan had usia kenderaan teksi, e-hailing kepada 15 tahun

    KEMENTERIAN Pengangkutan bersetuju untuk melanjutkan had usia maksima penggunaan kenderaan dalam kelas teksi dan e-hailing dilanjutkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun.

    Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu berkuatkuasa dari 1 Januari 2023.

    Jelas beliau, dasar kenaikan had usia itu terpakai ke atas semua kenderaan e-hailing di seluruh negara dan semua teksi di Semenanjung Malaysia merangkumi teksi biasa, teksi lapangan terbang dan teksi mewah.

    “Saya ingin menekankan bahawa penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing adalah sentiasa tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan berkala untuk memastikan hanya kenderaan yang mematuhi syarat- syarat teknikal dan ciri-ciri keselamatan dilesenkan untuk beropeasi di atas jalan raya.

    “Saya berharap beban di atas bahu para pemandu teksi serta e-hailing dapat diringankan serba sedikit khususnya untuk golongan pemandu yang amat terkesan dalam tempoh PKP Covid-19 dari tahun 2020 hingga tahun 2022.

    “Sekiranya tempoh had usia dikekalkan pada 10 tahun, ramai pemandu terpaksa menanggung kos besar untuk membeli kendaraan yang baru dengan cara berhutang walaupun sumber pendapatan mereka masih tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, dasar sedia ada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak masih terpakai bagi had usia teksi di Sabah, WP Labuan dan Sarawak.

    Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), LPKP Sabah dan LPKP Sarawak akan membuat pemakluman lanjut berhubung tarikh mula permohonan dibuka.

    Menurut beliau, langkah itu untuk membolehkan pengendali dan pemandu teksi dan e-hailing datang ke kaunter untuk melesenkan dan memperbaharui permit dengan ketetapan dasar baru had usia ini.

    Sementara itu, Siew Fook berkata, kerajaan juga mengambil beberapa langkah berhubung penambahbaikan prosedur Lesen Vokasional yang terdiri daripada kategori Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

    Katanya, antara langkah yang diambil adalah pemansuhan ujian teori untuk semua Lesen Vokasional dan kelas teori untuk Lesen Vokasional boleh dilaksanakan secara atas talian.

    “Berkenaan dengan pemansuhan ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional (PSV dan GDL) hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sedia ada sahaja sebelum dikeluarkan Lesen PSV.

    “Namun calon-calon bagi kategori Lesen PSV untuk Bas dan GDL untuk Lori Bersendi masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali/praktikal sebelum mendapat Lesen Vokasional.

    “Selaras dengan hasrat pendigitalan Kementerian Pengangkutan, pelaksanaan kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional juga akan dibenarkan secara atas talian, sama ada menerusi platform disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang berkelayakan yang telah dikawal selia oleh JPJ.

    “Tempoh masa kelas teori sedia ada adalah dikekalkan,” katanya.

    Siew Fook menambah, mana-mana pihak IM atau syarikat perniagaan pengantaraan, hendaklah menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori Lesen Vokasional atas talian yang ditetapkan oleh JPJ sepenuhnya.

    Katanya, pihak JPJ akan menetapkan syarat-syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform atas talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon.

    Jelas beliau, data-data dan maklumat kehadiran calon akan diintegrasi dengan sistem MySIKAP bagi membolehkan Lesen Vokasional dikeluarkan secara terus kepada calon tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal ke kaunter JPJ.

    “Silibus kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional terutamanya melibatkan perkhidmatan e-hailing/teksi akan disemak semula dan ditambahbaik oleh JPJ/MIROS dengan mendapatkan input daripada pihak industri agar relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

    “Penambahbaikan silibus akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Perbicaraan rasuah Zahid tangguh, SPRM jalankan siasatan lanjut

    Perbicaraan rasuah Zahid tangguh, SPRM jalankan siasatan lanjut

    PERBICARAAN rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang kini di peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi ditangguhkan untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

    Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan hanya boleh mempertimbangkan representasi Zahid selepas hasil siasatan SPRM.

    Malik, yang membantu Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran berkata, pihak pembelaan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada Januari dan Februari.

    “Ia mencapai kira-kira 200 muka surat dan kami perlu meneliti dokumen itu kerana ia melibatkan isu yang rumit,” katanya.

    Malik berkata SPRM juga sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

    “Selepas berunding dengan peguam negara sendiri, saya diarahkan untuk tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan. Kami memerlukan masa yang munasabah untuk mempertimbangkan representasi itu,” tambahnya, lapor FMT.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Pengampunan untuk Najib: Kerajaan serah kepada Agong

    Pengampunan untuk Najib: Kerajaan serah kepada Agong

    KERAJAAN perpaduan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan proses sewajarnya untuk menentukan permohonan mengampunkan Datuk Seri Najib Razak, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

    Beliau menegaskan pengampunan untuk bekas Presiden UMNO itu bukan pendirian kerajaan dan tidak pernah dibicangkan dalam Jemaah Menteri.

    “Isu itu pendirian UMNO sebagai parti politik … ia tidak pernah dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya, pada sidang media, hari ini.

    Setiausaha Agung DAP itu mengingatkan bahawa sesiapa yang disabit kesalahan oleh mahkamah boleh mohon pengampunan, proses yang beliau sifatkan sebagai adil kepada semua pihak dan biasa.

    “Sama ada dibenarkan atau tidak terpulang kepada Agong. Untuk kita (kerajaan), kita menaruh kepercayaan kepada proses sewajarnya dan kebijaksanaan Agong untuk buat keputusan yang terbaik,” katanya, lapor FMT.

    Majlis Kerja Tertinggi UMNO minggu lepas memohon Istana Negeri mempertimbangkan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam kes berkait dana SRC International.

  • ‘Pihak tak puas hati dengan PN sengaja mainkan isu perkauman’ – Muhammad Fawwaz

    ‘Pihak tak puas hati dengan PN sengaja mainkan isu perkauman’ – Muhammad Fawwaz

    AHLI Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan enggan mengulas lanjut mengenai kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman membabitkan dirinya.

    Muhammad Fawwaz hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada pukul 3 petang Jumaat lalu untuk memberi keterangan berhubung perkara tersebut.

    “Isu ini sedang dalam siasatan polis. Saya juga telah memberi keterangan berkaitan isu ini kepada pihak polis (di) IPD Timur Laut. Oleh itu, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai isu ini kerana dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Sebelum ini, Muhammad Fawwaz menerusi entri di Facebooknya dilaporkan berkata “… Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran.”

    Namun tidak lama kemudian beliau memohon maaf dan berkata, kenyataan berkenaan ditulis dan dimuat naik oleh pengendali Facebooknya, selain berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan kerana kenyataan itu sudah dipadam.

    Tambah Muhammad Fawwaz, isu tersebut sudah lama namun sengaja dimainkan semula oleh pihak tidak berpuas hati dengan Perikatan Nasional (PN).

    “Insya-ALLAH tiada apa-apa, pihak yang tidak berpuas hati dengan PN hanya mahu memainkan isu yang sudah pasti rakyat tidak akan termakan dengannya.

    “Saya pun tak ingat bila hantaran itu dibuat dan bila ia dipadam oleh pengendali Facebook saya. Isu ini pun tak ada apa-apa pun, sengaja dibangkitkan. Ia bukan isu baru,” katanya lagi, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat daripada PN.

    Kertas siasatan itu dibuka ke atas Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang.

    Kata Saifuddin, siasatan ke atas Abdul Hadi dan Muhammad Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan yang mana, Muhammad Fawwaz didakwa membuat fitnah ke atas orang bukan Islam.

  • Isu pertikaian Laut China Selatan:Faiz tampil pertahan Muhyiddin

    Isu pertikaian Laut China Selatan:Faiz tampil pertahan Muhyiddin

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas Anggota Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee yang mempersoalkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kenyataannya mengenai pertikaian Laut China Selatan dengan China.

    Dr. Faiz Na’aman berkata, Lee begitu teruja mempertahankan kenyataan ‘rundingan’ dengan China yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga menggunakan perkataan bodoh terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

    “Untuk Howard Lee, tidak pernah mana-mana pihak jadi bodoh atau berpura-pura bodoh jika menegur perdana menteri melalui ayat yang sopan dan teratur seperti orang yang bertamadun.

    “Kita ini negara demokrasi, sudah tentu kritikan akan datang dari pelbagai pihak terutamanya pembangkang.

    “Saya fikir pihak Pakatan Harapan (PH) lagi teruk apabila menghentam Najib Razak sebelum ini yang dilihat rapat dengan projek-projek nasional terkait pembabitan China,” kata Faiz.

    Lee sebelum ini dilaporkan berkata, Muhyiddin bodoh atau pura-pura bodoh ketika mempertikaian istilah ‘diplomasi’ perdana menteri dalam itu pertikaian kawasan di Laut China Selatan.

    Kata Lee, sebagai bekas perdana menteri, beliau sepatutnya tahu bahawa isu hubungan antarabangsa melibatkan banyak perkara, termasuk urus tadbir, pertemuan, dan timbang tara untuk menyelesaikan, atau setidak-tidaknya mengendurkan ketegangan dalam sesuatu isu.

    Muhyiddin sebelum itu membidas Anwar sebagai ‘cuai’ apabila berkata, Putrajaya terbuka kepada rundingan selepas Beijing membangkitkan projek operasi cari gali Petronas di kawasan laut tersebut.

    Muhyiddin berkata, kenyataan Anwar itu secara tidak langsung boleh dianggap memperakui tuntutan China terhadap wilayah Malaysia.

    Sementara itu, Faiz berkata, Anwar yang seringkali menoleh ke Indonesia dalam mencari sokongan politik serta inspirasi, gagal menyelami semangat nasionalisme negara itu yang tidak berkompromi perihal kedaulatan tanah air mereka.

    “Pernah dengar kalimah NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia) harga mati, ngak (tidak) bisa ditawar lagi,” soalnya.

    Faiz juga berkata, tidak pernah mendengar perdana menteri negara serantau, termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam, menggunakan istilah ‘berunding’ apabila melibatkan pertikaian tuntutan hak sempadan maritim negara mereka dengan China.

    “Maka tidak hairanlah Anwar dicop lemah oleh Tan Sri Muhyiddin dalam soal ini.

    “Saya pula ingin soal adakah Anwar ini cuba berlakon lunak dengan China sedangkan satu negara tahu pihak luar mana yang beri sokongan terhadap gerakan politik beliau sejak zaman Reformasi,” soalnya lagi, lapor MalaysiaKini.

  • Beri pengampunan penuh pada pengguna dadah ringan

    Beri pengampunan penuh pada pengguna dadah ringan

    MAJLIS Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac) menyarankan agar kerajaan mewujudkan lembaga keampunan khas bagi bekas-bekas pengguna dadah sebagai peluang kedua.

    Pihak Masac berharap pengampunan penuh automatik dan pembersihan rekod kesalahan diberikan kepada bekas penagih yang menjalani hukuman dan pemulihan serta dijamin bersih dalam tempoh lima tahun.

    Setiausahanya, Raja Azizan Suhaimi berkata, negara ini mempunyai jumlah bekas pengguna bahan terlarang termasuk dadah yang ramai, berjumlah puluhan ribu sejak penggunaan dadah dijadikan satu kesalahan di Malaysia.

    “Mereka yang pernah terlibat dengan masalah pengambilan dadah ini, ramai yang sudah insaf apabila dihukum dan mempunyai sokongan rakan pemulihan agar mereka kekal pulih dan tidak kembali kepada pengambilan dadah.

    “Mereka ini sungguhpun cekal dan menguatkan hati untuk tidak kembali ke kancah dadah berdepan kesukaran mendapat peluang pekerjaan kerana mempunyai rekod sebagai bekas pengguna dadah yang pernah dihukum penjara atau denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Masac berharap kerajaan membantu golongan berkenaan agar mereka dapat meneruskan kehidupan tanpa sebarang stigma dan prejudis masyarakat.

    Sehubungan itu Raja Azizan berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan satu arahan pentadbiran agar bekas pengguna dadah yang sudah bersih secara automatik diberi pengampunan penuh dan data mereka bebas daripada rekod hukuman.

    “Ini kerana banyak kes pengguna dadah yang pernah dihukum kerana ambil dadah atau memiliki dadah penggunaan sendiri dengan jumlah kecil terus punah kehidupannya daripada sudut kerjaya.

    “Sedangkan mereka ini mempunyai latar belakang hebat dari segi pendidikan dan kerjaya,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Tambahnya, bekas pengguna dadah juga boleh memenuhi tawaran kerja bagi sektor yang sering diisi oleh tenaga kerja warga asing.

    Pekerja asing sendiri, katanya, mungkin tidak disaring dengan benar-benar teliti dalam isu rekod penggunaan dadah.

  • Tarikh lihat anak bulan Syawal 20 April

    Tarikh lihat anak bulan Syawal 20 April

    TARIKH bagi melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.

    Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, lapor Sinar Harian.

  • Puteri Sarah – Syamsul bercerai 18 April

    Puteri Sarah – Syamsul bercerai 18 April

    PERKAHWINAN pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dan suaminya, Syamsul Yusof akan menemui titik perakhiran pada 18 April ini.

    Kata sepakat itu dicapai pada pertemuan kedua-dua pihak yang diadakan malam tadi.

    Pada tarikh tersebut, Syamsul akan melafazkan talak terhadap Sarah.

    Hakim Syarie, Akmaluddin Ilyas juga akan merekodkan segala terma-terma penyelesaian dan persetujuan kedua-dua pihak.

    Terma penyelesaian dan persetujuan tersebut akan merangkumi isu-isu berkaitan handanah (hak penjagaan anak), nafkah anak-anak, mutaah, edah dan harta sepencarian.

    Terdahulu, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac lalu dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.

    Selain itu, antara alasan yang dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

    Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 tahun lapor Utusan Malaysia.