Category: Semasa

  • Farid, Diana jalani prosiding sulh pagi ini

    Farid, Diana jalani prosiding sulh pagi ini

    PELAKON Farid Kamil, 42, bakal menjalani prosiding sulh bersama isterinya, Diana Danielle, 32, di Mahkamah Tinggi Syariah, di Shah Alam pukul 11.40 pagi ini.

    Perkembangan berkenaan disahkan oleh peguam syarie mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan.

    “Sulh pada pukul 11.40 pagi,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun, lebih kurang 20 pengamal media pelbagai agensi sudah berkumpul di pekarangan mahkamah seawal pukul 8 pagi tadi untuk membuat liputan.

    Sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terbabit dalam suatu pertikaian, membabitkan satu atau lebih tuntutan dengan dipengerusikan oleh pegawai sulh.

    Seandainya suatu persetujuan secara damai dapat dicapai secara sukarela antara kedua pihak, ia akan direkodkan oleh hakim sebagai satu perintah mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.

    Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di Shah Alam.

    Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu kerana tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

    Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

    Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei depan bagi kedua-keduanya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporannya.

    Diana melantik pengurus bagi mewakili dirinya, manakala Farid pula melantik kakaknya.

    Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

  • Bot nelayan tempatan ditahan dikendali PATI

    Bot nelayan tempatan ditahan dikendali PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 12.20 tengah hari semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.


    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan tempatan kelas C itu yang bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Khas Pagar Laut 1/2023.

    Jelasnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan empat  warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 33 hingga 38 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta disyaki telah melanggar syarat sah lesen bot.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 300 kilogram hasil laut dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    Tegasnya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

    “Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Ujar beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Kes Covid-19 meningkat di Kedah

    Kes Covid-19 meningkat di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH 169 kes Covid-19 dicatatkan di Kedah pada minggu epidemiologi ke-14 2023 yang bermula 2 hingga 8 April lalu.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman, jumlah itu sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 141 peratus berbanding minggu sebelumnya.

    Katanya, kebanyakan kes dilaporkan dikesan melalui saringan bergejala dan menunjukkan gejala ringan dengan peratus harian pengisian katil biasa dan rawatan rapi yang diperuntukkan untuk kes-kes Covid-19 pada minggu tersebut, masih berada pada paras 10 peratus.

    “Dalam minggu sama, satu kluster pendidikan dilaporkan dalam negeri ini di asrama sebuah institusi pengajian tinggi di Kulim. Kluster ini melibatkan 47 kes positif terdiri daripada para pelajar warganegara Malaysia.

    “Kes-kes dalam kluster ini mengalami gejala ringan dan telah menjalani kuarantin di asrama. Tiada kes dimasukkan ke wad.

    “Penularan kes dalam kluster ini kini terkawal dan berada di bawah pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang walaupun berlaku peningkatan kes namun perlu berwaspada dengan mengambil langkah pencegahan penularan Covid-19.

    “Orang ramai dinasihati memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak seperti bazar Ramadan, pasar dan pasar raya. Amalan pemakaian pelitup muka di surau adalah digalakkan.

    “Selain itu orang ramai juga disarankan agar terus mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek),” katanya.

    Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan terus memantau perkembangan situasi pandemik Covid-19 dalam dan luar negara dari semasa ke semasa bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya,” katanya.

  • PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dadah berkenaan dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    AFP dalam kenyataan minggu lepas memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

    Menurut kenyataan itu, semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    Kenyataan itu memaklumkan pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin. – BERNAMA

  • Da’i Syed dilepas, bebas daripada tuduhan rogol

    Da’i Syed dilepas, bebas daripada tuduhan rogol

    PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini daripada tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, hampir empat tahun lalu.

    Hakim, Rihaida Rafie, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Shah Iqmal, 27, di akhir kes pendakwaan.

    Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, kira-kira pukul 1.35 malam, pada 11 September 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.

    Sementara itu, Syed Shah Iqmal meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada keluarga, sahabat serta semua yang sentiasa menyokong dan mendoakannya.

    “Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, berkat 19 Ramadan ini, saya diputuskan tidak bersalah. Perkara ini saya terima sebagai hadiah untuk saya sekeluarga dalam membersihkan nama dan maruah diri,” katanya ketika dihubungi.

    Pada 31 Mei tahun lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

    Syed Amirul ketika dihubungi Bernama mengesahkan anak guamnya kini bebas daripada sebarang pertuduhan di mahkamah. – BERNAMA

  • Anggota APM maut kemalangan ketika dalam perjalanan pulang kerja

    Anggota APM maut kemalangan ketika dalam perjalanan pulang kerja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam maut setelah terlibat dengan kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai bertugas, tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan, mangsa, Razali Abdul Manaf, 56, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu.

    Menurutnya, kejadian berlaku di kira-kira pukul 12.55 tengah malam di Kilometer 15.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, tengah malam tadi.

    “Kejadian dipercaya berlaku apabila sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun hilang kawalan lalu terlanggar motosikal dinaiki mangsa di depannya.

    “Mangsa yang terjatuh ke jalan kemudiannya dilanggar sebuah kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 42 tahun yang tidak sempat mengelak,” katanya.

    Berikutan itu katanya, mangsa mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi memaklumkan, mangsa ketika itu baru habis bertugas shift petang yang bermula pukul 4 petang dan berakhir 12 malam.

    Razali yang sudah enam tahun bertugas dengan di APM Kubang Pasu dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya.

    “Saya turut ke lokasi kejadian setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak polis. Jasad arwah juga diuruskan oleh pihak kami yang terlebih dulu dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian itu.

    “Arwah seorang yang rajin dan berdisiplin. Semalam saya dimaklumkan memang arwah ada menunjukkan beberapa perubahan ketika bertugas dengan dia yang biasanya dikenali sebagai individu kurang bercakap, kerap pula bergurau bersama rakan-rakan di pejabat,” katanya.

  • KJ nasihat Anwar hati-hati keluar kenyataan

    KJ nasihat Anwar hati-hati keluar kenyataan

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan melibatkan perkara sensitif yang boleh menyebabkan serangan ke atasnya, kata bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Nasihat Khairy atau KJ itu dibuat menerusi episod terbaharu podcast kelolaannya, Keluar Sekejap, hari ini.

    Menurutnya, beliau menyedari kadangkala Anwar mempunyai tabiat menggunakan ayat dan kenyataan tidak lengkap atau tergantung, sebelum beralih kepada ayat baharu, sekali gus membuatkan pendengarnya keliru.

    Ini katanya memudahkan pembangkang melakukan “serangan” terhadap kenyataannya.

    “Saya faham konteks perdana menteri (semasa membuat kenyataan) tetapi dari segi komunikasi strategik (perspektif) ia mengundang masalah kepadanya,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu merujuk kenyataan Anwar mengenai Laut China Selatan dan peringatannya agar orang Melayu berhenti bersikap selesa dan sombong.

    Khairy mencadangkan pegawai di Pejabat Perdana Menteri menasihatkan Anwar lebih berhati-hati dan mengelak penggunaan ayat tidak lengkap membabitkan isu sensitif, seperti hubungan kaum dan hal ehwal luar negara.

    Minggu lalu, perdana menteri berkata Beijing menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti Petronas di kawasan Laut China Selatan yang dituntut oleh China.

    Ketika bercakap mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini, Anwar dilaporkan berkata, Putrajaya terbuka mengadakan rundingan dengan Beijing berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan “jika China merasakan ini adalah hak mereka”.

    Kenyataannya itu mendapat pelbagai kritikan daripada pembangkang, terutama pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Anwar secara tidak langsung mengakui dakwaan China ke atas kawasan yang secara rasminya milik Malaysia, sambil menambah kedaulatan wilayah Malaysia mesti dipertahankan.

    Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, Anwar harus “lebih tegas” mempertahankan perairan Malaysia selepas beberapa kapal tentera laut China dikesan di kawasan itu.

    Selain itu, dalam lawatan rasminya ke Kemboja, perdana menteri mengingatkan orang Melayu supaya tidak selesa dan angkuh sambil berkata mereka perlu mengambil iktibar daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan umat Islam di negara itu.

    Ini menyebabkan Ketua Penerangan Pemuda Pas Terengganu Irsyad Syafiq Burhanuddin mengkritik Anwar, dengan menyatakan orang Melayu “berjiwa besar” untuk menerima orang bukan Melayu tinggal di “tanah suci Melayu”.

    Sementara itu, bekas timbalan ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan melahirkan rasa kagumnya terhadap keterbukaan Anwar ketika menjawab soalan media serta semasa pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat tanpa merujuk kepada mana-mana skrip.

    Shahril menyifatkan kontroversi membabitkan perdana menteri baru-baru ini sebagai kesan sampingan menjadi seorang negarawan yang berterus terang dengan komennya.

    “Saya khuatir jika ini (kontroversi baru-baru ini) bertukar menjadi polemik, ucapan beliau (Anwar) akan menjadi petikan.

    “Kami mahu pemimpin boleh bercakap secara langsung dan tidak berselindung di sebalik skrip,” katanya.

  • FSA2 KWSP bukan cagaran kepada bank

    FSA2 KWSP bukan cagaran kepada bank

    FASILITI Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan berbentuk cagaran oleh peminjam terhadap pihak bank, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Katanya, pihak bank tidak boleh menggunakan simpanan peminjam KWSP sekiranya ahli atau peminjam gagal membayar ansuran pinjaman mereka.

    “Cagaran maksudnya (pihak bank) mempunyai hak untuk menguatkuasakan cagaran apabila berlaku kegagalan daripada pihak peminjam, maksudnya jika pinjam RM5,000, tak bayar, serta-merta ambil RM5,000.

    “Tetapi FSA2 ini bukan cagaran, pemberi pinjaman iaitu bank tidak boleh menggunakan simpanan KWSP sekiranya ahli gagal membayar ansuran pinjamannya.

    “Ahli mempunyai hak untuk membuat pengeluaran apabila mencapai umur 50 atau 55 tahun kerana ahli masih dilindungi di bawah Seksyen 51 Akta KWSP 1991,” katanya ketika menggulung usul pengeluaran lanjutan KWSP di Dewan Negara, hari ini.

    Terdahulu, usul bagi membahaskan pengeluaran lanjut KWSP dikemukakan Senator Datuk Razali Idris, mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

    Bagaimanapun, usul dibawa Razali yang telah dibahas oleh 12 ahli Dewan Negara ditolak.

    Dalam pada itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar KWSP buat kali yang kelima kerana bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

    “Kalau kita hendak popular bagi sahaja (luluskan) semua pengeluaran, keluarkan sahaja RM5,500 atau RM3,300 sampai kosong tetapi kerajaan ini kerajaan bertanggungjawab sebab itulah kita tidak benarkan,” katanya.

    Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – BERNAMA

  • Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula – PM

    Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula – PM

    PELANTIKAN pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan diteliti semula, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya bincang dengan Presiden UMNO Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), belum dihantar surat, kita akan teliti semula, belum ada pelantikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional Cawangan Meru Raya.

    Anwar berkata demikian bagi mengulas pelantikan beberapa pemimpin UMNO ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

    Pada 5 April lalu, Abdul Azeez Abdul Rahim diumum oleh Zahid sebagai pengerusi Keda.

    Sementara itu, Anwar berkata pelantikan pemimpin UMNO ke dalam GLC berdasarkan kelayakan dan mereka yang dilantik perlu mengikuti syarat ketat.

    “Ia juga bukan syarikat tersenarai awam, kalau ada kelayakan kita akan lantik.

    “Syarat-syarat kita ketat, mereka (yang dilantik) mesti bertanggungjawab, tak boleh berbelanja lebih, elaun juga dihadkan ikut kelayakan,” katanya. – BERNAMA

  • MAQIS rampas herba dari China, AS tanpa permit import sah

    MAQIS rampas herba dari China, AS tanpa permit import sah

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk hasil pertanian tanpa dokumen permit import sah di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada Jumaat lalu.

    Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib Hashim berkata, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana barangan tersebut berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM.

    Ujar beliau, siasatan mendapati keluaran pertanian tersebut tidak mempunyai permit import serta Sijil Fitosanitasi yang sah.

    Katanya, barangan dagangan pertanian yang dibawa dari China, Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain negara itu merupakan jenis tanaman herba seperti ginseng, akar kayu dan pelbagai daun kering.

    “Keseluruhan berat dagangan adalah sebanyak 50 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM 9,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, jelas beliau, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, MAQIS akan sentiasa mempergiatkan kerjasama strategik di antara agensi penguatkuasaan di sempadan bagi menangani isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.