Category: Semasa

  • Van sekolah terbalik dirempuh treler, 3 pelajar cedera parah

    Van sekolah terbalik dirempuh treler, 3 pelajar cedera parah

    TIGA pelajar cedera parah selepas van sekolah dinaiki bersama 12 penumpang lain terbalik dan terseret sejauh 19 meter dalam kemalangan di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di Gua Musang pukul 2 petang semalam.

    Insiden itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu sebuah kereta jenis Kia Spectra yang bertindak secara cuai keluar dari simpang untuk membelok ke kanan sebelum dirempuh oleh sebuah treler muatan balak yang datang dari arah kanan.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan treler tidak dapat dikawal dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah van jenis Nissan Urban dan kereta Honda Civic.

    “Kesan rempuhan tersebut, van berkenaan diseret sejauh 19 meter sebelum terbalik bersama-sama seorang pemandu dan 15 penumpang pelajar sekolah berumur 7 hingga 17 tahun.

    “Tiga daripada mereka mengalami kecederaan parah, seorang kanak-kanak perempuan, 7, mengalami patah tulang selangka sebelah kanan, kanak-kanak perempuan, 8, alami kecederaan darah beku di dahi dan kanak-kanak perempuan, 10, terkehel tulang paha kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, 12 lagi pelajar hanya cedera ringan, semua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.

    Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

    “Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Wira Perang’ Covid-19, Noor Hisham bersara selepas 35 tahun berkhidmat!

    ‘Wira Perang’ Covid-19, Noor Hisham bersara selepas 35 tahun berkhidmat!

    KHIDMAT bakti Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah kepada bidang kesihatan negara selama 35 tahun akan berakhir apabila beliau bakal bersara wajib pada 21 April ini.

    Semakan dalam Facebook miliknya mendapati beberapa individu dan pihak termasuk Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia memuat hantaran mengenai persaraan beliau sejak beberapa hari lalu.

    Untuk rekod, bapa kepada enam anak berusia 60 tahun itu memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dan tempoh lebih tiga dekad dalam perkhidmatan cemerlang menyaksikan beliau berhadapan saat mencabar ketika negara berhadapan Covid-19.

    Malah, beliau juga dianggap ‘wira’ rakyat melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu.

    Beliau dianggap ‘wajah yang memberi keyakinan’ oleh rakyat negara ini kerana usahanya memberikan maklumat terkini mengenai Covid-19 dalam media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

    Media sebelum ini juga ada melaporkan Dr. Noor Hisham, dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19.

    Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam catatan hantarannya dalam Facebook pada tiga hari lalu memaklumkan pihaknya mengadakan Mesyuarat Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia yang juga mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Dr. Noor Hisham selaku Pengerusi Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia sebelum bersara pada 21 April.

    Hantaran itu berkata, satu sesi khas diadakan sebagai penghargaan di atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia.

    “Beliau turut menitipkan pesanan berikut ‘dalam bekerja kita hendaklah ikhlas, buat yang terbaik dan selanjutnya bertawakal (berserah pada Tuhan)’,” kata hantaran berkenaan.

    Memetik laporan sebuah portal dan media tempatan, Dr. Noor Hisham berkata, beliau tidak sabar meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas dia berundur pada 21 April ini, iaitu hari dirinya mencecah usia 60 tahun, iaitu umur persaraan wajib anggota perkhidmatan awam.

    “Persaraan adalah babak kehidupan seterusnya. Ia adalah perjalanan hidup. Saya akan menyeberangi satu jambatan pada satu masa,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan portal Gempak.

    Ditanya sama ada beliau akan menikmati tempoh persaraannya itu memandangkan dirinya dikenali sebagai seorang yang bekerja keras, Dr Noor Hisham menjawab: “Biar saya bersara dahulu dan saya akan berkongsi dengan anda pengalaman saya kemudian.”

  • Siasatan SPRM atas kes Zahid beri gambaran buruk pada peguam negara

    Siasatan SPRM atas kes Zahid beri gambaran buruk pada peguam negara

    BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman menyifatkan siasatan lanjut yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes jenayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan gambaran buruk pada peguam negara semasa, Tan Sri Idrus Harun.

    Abu Talib berkata, pihak pendakwaan telah pun membuktikan kesnya terhadap Zahid tahun lepas selepas Presiden UMNO itu diperintahkan membela diri atas semua tuduhan yang dihadapinya.

    “Kes prima facie wujud kerana pihak pendakwaan telah membuktikan unsur dalam semua tuduhan.

    “Apa lagi yang perlu disiasat lebih lanjut? Melainkan ada sebab lain yang hanya boleh menjadi spekulasi. Pada pandangan saya, ini memberikan gambaran buruk pada peguam negara semasa,” katanya.

    Abu Talib, yang menjadi peguam negara dari 1980 hingga 1993 berkata, demikian selepas perbicaraan Zahid ditangguhkan berikutan representasi yang dibuat oleh pihak pembelaan awal tahun ini.

    Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memaklumkan hakim perbicaraan Datuk Collin Lawrence Sequerah semalam bahawa representasi itu hanya boleh disemak oleh peguam negara selepas SPRM menyelesaikan siasatan.

    Peguam Zahid telah menghantar dua set representasi kepada pihak pendakwaan untuk pertimbangan; yang pertama pada Januari, diikuti satu lagi pada Februari.

    Malik berkata, representasi itu setebal kira-kira 200 muka surat dan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menelitinya kerana ia membangkitkan isu yang rumit.

    Sequerah membenarkan perbicaraan ditangguhkan selepas Malik berkata beliau diarahkan oleh Idrus supaya tidak membantah permintaan itu.

    Abu Talib berkata, unsur representasi bukanlah alasan yang baik untuk menangguhkan kes kerana keadilan dalam perbicaraan jenayah adalah untuk kedua-dua tertuduh dan orang awam.

    “Menurut Perlembagaan Persekutuan, peguam negara mempunyai budi bicara mutlak untuk menarik balik kes itu, (jika gagal) beliau harus meneruskan (perbicaraan) kerana semua keterangan telah dikemukakan di mahkamah apabila pembelaan dipanggil,” katanya.

    Beliau juga berkata, pentadbiran keadilan sewajarnya tidak harus dihalang oleh penangguhan.

    Sementara itu, peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, Zahid hanya perlu menyanggah dan menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan untuk mendapatkan pembebasan.

    “Sebarang siasatan lanjut oleh SPRM selepas pembelaan dipanggil tidak bermakna,” katanya, lapor FMT.

    Tambahnya, Idrus, sebagai penjaga kepentingan awam, mesti bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih apabila menjalankan tugasnya.

    Perbicaraan ditetapkan sementara untuk disambung semula pada 1 hingga 3 Ogos, 7 hingga 10 Ogos, dan antara 21 dan 24 Ogos.

    Pendengaran lanjut juga ditetapkan pada September hingga Disember.

    Pada 2 November tahun lepas, hakim menangguhkan kes kepada 16 Januari sementara menunggu keputusan rayuan Zahid kepada Mahkamah Rayuan berhubung permohonannya mendapatkan keterangan saksi yang dirakam oleh SPRM.

    Bagaimanapun, Zahid tidak meneruskan rayuan itu.

    Tidak dimaklumkan di mahkamah terbuka mengapa perbicaraan yang dijadualkan pada 16 Januari itu ditangguhkan.

    Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi setakat ini.

    Zahid didakwa atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

    Dua belas daripada tuduhan itu berkait pecah amanah, manakala lapan untuk rasuah dan baki 27 lagi membabitkan pengubahan wang haram.

  • Bekas timbalan pengurus ladang PPK didakwa minta suapan RM6,000

    Bekas timbalan pengurus ladang PPK didakwa minta suapan RM6,000

    BEKAS Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini atas dua pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM6,000 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Mohd Asyraf Mohd Fauzi, 36, didakwa secara rasuah meminta wang daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun sebagai dorongan untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan pembekalan anak benih tebu telur berkaitan Projek Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada PPK Sepang.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Kampung Giching, Sepang, sekitar September 2021.

    Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Mohd Asyraf boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan.

    Peguam Saleh Ahmad yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan serta menanggung seorang isteri dan empat orang anak.

    Hakim Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua permohonan syarat tambahan yang dimohon pendakwaan, selain menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

  • ‘Kempen’ burukkan Nazlan, cemari badan kehakiman hanya untuk bebaskan Najib

    ‘Kempen’ burukkan Nazlan, cemari badan kehakiman hanya untuk bebaskan Najib

    DUA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutuk kempen memburukkan Datuk Mohd. Nazlan Ghazali selaku hakim yang mempengerusikan perbicaraan kes penggubahan wang haram dan pecah amanah SRC International dihadapi Datuk Seri Najib Razak pada 2020.

    Melalui satu kenyataan bersama, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) menegaskan kempen digerakkan pihak yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri itu kelihatan direka untuk menjatuhkan pentadbiran undang-undang dan mencemarkan nama baik badan kehakiman Malaysia.

    “Bersih dan GBM percaya bahawa kempen memburukkan Mohd. Jazlan dan sistem kehakiman Malaysia oleh peguam dan rakan-rakannya berniat untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Najib yang akan membebaskan beliau daripada penjara.

    “Kami dengan rendah diri memohon Yang di-Pertuan Agong dan semua rakyat Malaysia untuk menolak percubaan daripada penjenayah yang disabitkan dan rakan-rakannya untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan, serta mencemarkan nama baik badan kehakiman.

    “Harus ditegaskan bahawa Ketua Hakim Negara perlu diberikan ruang untuk menentukan sebarang tindakan yang bersesuaian secara bebas berdasarkan maklumat yang dirujuk kepada beliau,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Kenyataan dikeluarkan Bersih dan GBM turut menggariskan beberapa fakta untuk menyokong pendirian mereka termasuk isu pelanggaran kod etika hakim membabitkan Mohd. Nazlan yang dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam salinan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang tular baru-baru ini.

    Surat berkenan tular hanya beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk membuat semakan ke atas sabitan dan hukuman dikenakan terhadapnya.

    Bersih dan GBM menegaskan, SPRM tidak memiliki kepakaran atau bidang kuasa untuk menentukan sama ada hakim yang mempengerusikan perbicaraan jenayah mempunyai konflik kepentingan yang mengkehendakinya menarik diri daripada perbicaraan, atau untuk menentukan sama ada seseorang hakim melanggar Kod Etika Hakim 2009.

    “Pengurusan perbicaraaan jenayah adalah urusan mahkamah perbicaraan atau rayuan yang secara konsisten menolak tuduhan dibuat peguam Najib, dengan urusan etika kehakiman adalah untuk Hakim Negara, Jawatankuasa Etika Kehakiman dan/atau tribunal yang dilantik Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

    “Campur tangan SPRM dalam urusan pengurusan perbicaraan kehakiman dan etika kehakiman menunjukkan keangkuhan, kebiadapan dan penghinaan kepada kebebasan badan kehakiman,” kata kenyataan itu.

    Sehubungan itu, Bersih dan NGO menegaskan jelas sekali daripada episod ini bahawa SPRM memerlukan reformasi struktur yang mendalam untuk membebaskannya daripada pengaruh eksekutif dan tidak dijadikan senjata untuk kepentingan politik.

    “Sebarang siasatan terhadap tindakan SPRM yang dinilai sebagai niat jahat terhadap Mahkamah Persekutuan dan tempoh masa ‘meragukan’ untuk menguar-uarkan siasatan mereka sebelum rayuan akhir SRC Najib di mahkamah tertinggi tahun lalu, perlu dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

    “Perlu dinyatakan tuduhan semberono salah laku kehakiman sangat serius dan berpotensi merosakkan. Bahkan, Parlimen dilarang oleh Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan perjalanan mahkamah dibahaskan di Parlimen, kecuali dengan usul substantif yang dibawa oleh tidak kurang daripada satu perempat ahli Dewan.

    “Oleh itu, tidak ada jawapan untuk mengatakan bahawa seorang menteri berhak untuk mendedahkan kandungan penyiasatan kepada hakim hanya kerana soalan telah diajukan di Dewan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan laporan berhubung pelanggaran kod etika membabitkan Mohd. Nazlan sudah dikemukakan kepada Tengku Maimun bertarikh 21 Februari lalu.

    Azalina berkata, pelanggaran itu dikenal pasti menerusi kesimpulan dikemukakan dalam Laporan SPRM yang mendapati Mohd. Nazlan selaku Hakim Mahkamah Rayuan melanggar peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 dengan dokumen berkenaan turut dikemukakan kepada Tengku Maimun pada hari sama.

  • Kes basikal lajak: Sam Ke Ting dibebaskan mahkamah

    Kes basikal lajak: Sam Ke Ting dibebaskan mahkamah

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini membebaskan Sam Ke Ting dalam kes basikal lajak.

    Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail sebulat suara membenarkan rayuan kerani itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

    Panel turut dianggotai Hakim Hashim Hamzah dan Azman Abdullah.

    Mahkamah menegaskan bahawa tuduhan terhadap Sam adalah cacat, lapor FMT.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Wanita, adik ipar direman bantu siasatan salah guna kuasa

    Wanita, adik ipar direman bantu siasatan salah guna kuasa

    SEORANG kakitangan awam dan adik iparnya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa bagi mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di sebuah jabatan Persekutuan sejak 2019.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Tarmizie Nik Mohd Sukri terhadap ketua pembantu tadbir berusia 44 tahun dan pemilik syarikat berusia 39 tahun itu.

    Kedua-dua wanita itu masing-masing ditahan pada pukul 1.45 petang dan 2.10 petang semalam, di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

    Menurut sumber SPRM, kes salah guna kuasa itu dipercayai telah berlaku sejak 2019 dan melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM30,000.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

  • Polis dijangka guna kamera badan tahun ini

    Polis dijangka guna kamera badan tahun ini

    ANGGOTA polis di seluruh negara dijangka menggunakan kamera badan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

    Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelaksanaan kini dalam fasa terakhir, melibatkan penelitian oleh jawatankuasa penilaian.

    “Baru-baru ini, proses taklimat kepada pembida berminat sudah diberikan dan jawatankuasa akan membuat penilaian sebelum perolehan lanjut dibuat.

    “Saya yakin ia akan dilaksanakan tahun ini. Jika melihat proses itu, ia tidak memakan masa sehingga hujung tahun, dan boleh jadi pada suku kedua atau ketiga ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Disember lepas, Saifuddin dilaporkan berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menyegerakan perolehan kamera badan untuk kegunaan polis dan ia akan dilakukan dengan ketelusan dalam urusan perolehannya.

    Katanya, penggunaan kamera badan mampu memudahkan pengumpulan bahan bukti dan meningkatkan integriti pasukan polis, tetapi perlu mengelak dimanipulasi mana-mana pihak.

    Saifuddin berkata, polis bersedia sepenuhnya menggunakan kamera badan dalam usaha menangani isu rasuah dan integriti.

    “Kerajaan berpegang kepada prinsip sifar toleransi terhadap isu rasuah di negara ini. Antara langkah memperkukuhkan integriti itu adalah menerusi teknologi dan salah satunya adalah penggunaan kamera badan,” katanya.

  • 5 termasuk penyerang maut dalam insiden tembakan di sebuah bank

    5 termasuk penyerang maut dalam insiden tembakan di sebuah bank

    SEORANG lelaki bersenjata dan empat yang lain terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah bank di bandar Louisville di negeri Kentucky Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, menurut polis.

    Lapan orang turut cedera termasuk dua pegawai polis. Seorang daripada pegawai polis itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, lapor Agensi Berita Jermam (dpa).

    Timbalan ketua polis Louisville Paul Humphrey berkata, polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan.

    Dua pegawai polis itu cedera ketika berbalas tembakan dengan penyerang.

    Humphrey berkata, setakat ini belum jelas sama ada penyerang ditembak oleh polis atau membunuh diri.

    Menurut siasatan awal, suspek merupakan kakitangan bank itu atau pernah bekerja di bank berkenaan.

  • Lelaki putus pergelangan tangan ubah suai mercun masuk ICU

    Lelaki putus pergelangan tangan ubah suai mercun masuk ICU

    SEORANG lelaki yang cedera parah di tangan akibat letupan mercun yang diubah suai dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

    Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Kuala Nerus pukul 3.30 pagi semalam, ketika mangsa berusia 27 tahun itu membuat sendiri mercun menggunakan mercun bola dan paip polivinil klorida (PVC).

    “Ia menyebabkan berlaku letupan besar, dan kesan letupan itu, mangsa mengalami kecederaan parah putus pergelangan tangan kanan, beberapa jari kiri hancur serta kecederaan lain di bahagian badan,” katanya, menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, susulan laporan polis dibuat abang mangsa.

    “Usaha mengesan dan menangkap pengedar dan penjual mercun itu sedang dilakukan,” katanya.

    Dilaporkan semalam bahawa kejadian disedari abang mangsa selepas terdengar bunyi letupan kuat berdekatan rumahnya.

    Abang mangsa pada mulanya menyangka berlaku pergaduhan dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan, namun kemudian mendapati adiknya mengalami kecederaan di kedua-dua tangan disyaki akibat letupan mercun.

    Rohaimi berkata, terdapat 17 kes berkaitan mercun di Terengganu membabitkan 18 tangkapan dan nilai rampasan berjumlah RM18,835 sejak 23 Mac hingga kelmarin.

    Beliau memberi amaran keras bahawa mana-mana individu didapati mengedar atau menjual bunga api mercun tanpa permit akan dikenakan tindakan bawah seksyen dan akta sama.

    Menurutnya, ini kes kedua selepas kejadian membabitkan empat kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun di Kuala Nerus pada Selasa lalu.