Category: Semasa

  • Pemuda didakwa pukul, bakar anjing

    Pemuda didakwa pukul, bakar anjing

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menyebabkan kesakitan ke atas seekor anjing betina, pada bulan lalu.

    Braden Yap Hong Seng, 19, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu dengan zalimnya telah menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya kepada seekor anjing betina berwarna perang.

    Perbuatan tersebut dilakukan pada pukul 1.49 pagi di sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di Johor Bahru, 27 Mac lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta yang sama.

    Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan OKS telah memukul dan membakar seekor anjing berwarna perang di premis tersebut.

    Susulan aduan awam, doktor veterinar telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas anjing terbabit di Klinik Vetmedic Petlover, Taman Impian Emas pada 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu.

    Hasil pemeriksaan, mendapati anjing itu berada dalam keadaan ketakutan selain terdapat kesan lebam dan terbakar di bahagian paha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan, Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Mohd. Zamri Shak@Ishak manakala Hong Seng diwakili peguam, P. Rajakunaseelan.

    Bagaimanapun, peguam Rajakunaseelan memohon penangguhan bagi hukuman terhadap Hong Seng, memandangkan peguam G. K. Sritharan yang sepatutnya mewakili anak guamnya itu tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

    Katanya, peguam yang dilantik Hong Seng kini berada di Filipina dan penerbangan pulangnya ke Malaysia adalah pada minggu depan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 18 April ini untuk fakta dan hukuman terhadap Hong Seng.

  • Jari kelingking pelakon Shahronizam terputus ketika potong ayam

    Jari kelingking pelakon Shahronizam terputus ketika potong ayam

    PELAKON Shahronizam Noor, 51, kehilangan jari kelingking selepas pisau terlepas daripada pegangannya ketika memotong ayam di rumahnya pada malam kelmarin.

    Suami kepada penyanyi Safura Yaacob itu kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang selepas jari kelingkingnya terkulai dan putus, lapor portal Berita Harian.

    Menurut anak tiri pelakon berkenaan, Daniel Hairi, kejadian itu berlaku selepas mereka sekeluarga berbuka puasa di rumah.

    “Abah mahu memotong ayam untuk diberikan kepada kucing peliharaan.

    “Malangnya, pisau yang dipegang tersasar lalu terkena jari kelingkingnya ketika sedang memotong ayam.

    “Melihat jari kelingking terkulai dan putus, kami segera membawa abah ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan selepas melihat kecederaannya teruk,” kata Daniel yang juga anak Safura bersama bekas suaminya, Hairi Kool.

    Kata Daniel, petugas perubatan berjaya menghentikan pendarahan dan membalut luka, manakala jari kelingking yang putus dimasukkan dalam bekas serta dibekukan.

    “Ketika itu, tiada doktor pakar, yang ada hanya petugas perubatan.

    “Abah bernasib baik kerana mereka berjaya menghentikan pendarahan walaupun jari kelingking sudah putus.

    “Petugas perlu tunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari kelingking boleh disambungkan atau sebaliknya.

    “Namun, doktor pakar mengesahkan jari kelingking tidak dapat diselamatkan kerana urat arteri sudah putus,” kata Daniel lagi.
    Daniel turut memberitahu, keadaan bapa tirinya kini semakin stabil.

    “Walaupun sedih tiada lagi jari kelingking, abah reda dengan ujian menimpanya pada Ramadan ini.

    “Keadaan abah semakin stabil dan kini sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh sepenuhnya,” ujarnya.

  • Exco Terengganu imbau rasa bimbang mahu rasmikan mesin ‘cucuk pitih’

    Exco Terengganu imbau rasa bimbang mahu rasmikan mesin ‘cucuk pitih’

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim pula mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang merasmikan kemudahan baru mesin pengeluaran wang tunai (ATM) di kawasan parlimennya.

    Beliau mengambil kesempatan mengimbau kembali pengalamannya yang turut terlibat dengan majlis perasmian ATM di kawasannya pada 2019.

    Dr. Azman melahirkan rasa ‘kasihan’ terhadap kecaman diterima Che Mohamad Zulkifly.

    “Kesian MP Besut kena kecam sebab rasmi mesin ATM. Nnebeng (bersungguh) sangat sampai mesin ATM pun kena rasmi!

    “Ambe (saya) cerita sikit, solidariti dengan sahabat MP Besut. ATM memang belambak ada di tempat lain dan tak ada apa yang gah pun.

    “Tapi untuk orang Jabi, sejak Allah menjadikan bumi Jabi, sebelum Jun 2019 kemudahan ini tiada di Jabi. Kita berusaha keras berunding dengan beberapa bank tempatan.

    “Mereka sebenarnya tak yakin dengan kapasiti sosio-ekonomi di Jabi dapat tampung kos operasi ATM.

    “Akhirnya Agrobank sudi membantu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Exco pertanian Terengganu untuk menempatkan sebuah mesen ATM terpakai. Bermula Jun 2019 maka sebuah mesin cucuk pitih jadi realiti di Jabi,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook, hari ini.

    Terdahulu pada Jumaat lalu Che Mohamad Zulkifly dilaporkan melancarkan sebuah mesin pengeluaran wang ATM di kawasan Parlimennya.

    Kemudahan itu diletakkan di sebuah stesen minyak di kawasan parlimen di Terengganu itu bagi memudahkan penduduk setempat.

    Katanya, penduduk Hulu Besut selama ini terpaksa pergi ke bandar Jerteh yang agak jauh untuk mengeluarkan wang.

    Bagaimanapun acara itu menjadi perbincangan sebahagian pengguna maya yang pelik dengan keadaan yang jarang-jarang berlaku itu.

    Mereka berpendapat, perkara itu aneh kerana mesin ATM sudah digunakan secara berleluasa di seluruh Malaysia, tidak seperti di era 90-an.

    Program perasmian itu kemudiannya dipertahankan rakan sejawatannya iaitu Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang mengulas panjang mengenai kepentingan ATM.

    Sementara itu bercerita lanjut, Azman berkata, sebelum kemudahan itu diwujudkan di Jabi ATM terdekat dengan kawasan itu terletak di Bandar Jerteh yang jaraknya agak jauh dan boleh menelan kos petrol RM20.

    “Jauh jugok nak gi dari Jabi. Nak ambil pitih (duit) 50 riyal(RM), habis minyak kereta 20 riyal(RM).

    “Terkejut jugok ambe terima info daripada pihak Agrobank. Sejak Jun 2019, dalam tempoh enam bulan pertama, sebanyak 33,000 transaksi kewangan telah dibuat di ATM Agrobank Jabi dengan jumlah pengeluaran kira-kira RM11 juta.

    “Alhamdulillah, banyak duit orang Jabi rupanya,” katanya, lapor Malaysiakini.

    “Pembangunan ikut cara kita demi keperluan rakyat kita. Selepas daripada itu, ada dua tambahan ATM ditempatkan lagi di Jabi menjadikan ada tiga buah ATM sekarang. Asalnya orang tak yakin, apabila data membuktikan sebaliknya barulah bank lain buka mata.”

    Tambah Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu itu, beliau cuba menilai agar tidak kelihatan berlebihan apabila pihak bank minta merasmikan mesin ATM.

    “Terfikir juga tak ada orang buat sebelum ini. Asalnya saya agak keberatan bimbang orang kata nnebeng (berlebihan). Tapi bila memikirkan, inilah kali pertama dalam sejarah orang Jabi dapat kemudahan mesin ATM dan majlis perasmian ini mampu menjadi satu kaedah promosi dari segi pemasaran untuk menarik pengguna, maka saya setuju.

    “Boleh buat jamuan ala kadar raikan pengunjung serta boleh rapatkan silaturrahim. Agrobank pun nak masukkan acara agihan zakat kepada warga miskin. Maka saya setuju untuk hadir merasmikan majlis. Nak perlekeh Jabi pun silakan,” kata Azman.

  • Reputasi Anwar terjejas teruk jika bebaskan Najib, kata penganalisis

    Reputasi Anwar terjejas teruk jika bebaskan Najib, kata penganalisis

    REPUTASI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya yang selama ini membawa imej reformis akan terjejas teruk sekiranya tunduk kepada tekanan UMNO untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak, kata beberapa penganalisis.

    Penganalisis politik dari University Tasmania, Australia, James Chin berkata, imej Anwar sudah pun tercalar selepas ramai mempersoalkan mengapa beliau berdiam diri apabila UMNO terus memberi tekanan supaya membebaskan Najib.

    Chin turut melihat usaha mendapatkan pengampunan diraja ini hanyalah sekadar amalan perhubungan awam yang tidak akan memanfaatkan bekas perdana menteri itu kerana beliau masih perlu berdepan beberapa lagi tuduhan di mahkamah atas kes lain.

    “Melainkan peguam negara menggugurkan semula kes yang dikaitkan dengan Najib, saya tidak rasa permohonan pengampunan ini akan berjaya,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Apa-apa pun, ini sudah menjejaskan reputasi Anwar kerana ramai bertanya kenapa beliau tidak campur tangan ketika tahu UMNO sedang berusaha ke arah ini.”

    Najib yang juga bekas ahli Parlimen Pekan mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos tahun lalu apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

    Permohonan beliau untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu turut ditolak, menjadikan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan adalah menerusi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

    Baru-baru ini, Anwar mengakui bahawa beliau akan berada dalam Lembaga Pengampunan dan memberi jaminan tidak akan ada konflik kepentingan kerana keputusan akan dibuat oleh Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut Chin, peluang Najib untuk dibebaskan amat tipis, malah, ibarat keajaiban sekiranya ia berjaya.

    Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, sekiranya Najib berjaya dibebaskan, ia akan memberi gambaran buruk terhadap Anwar sebagai pejuang reformasi terutama apabila beliau berada dalam panel Lembaga Pengampunan.

    Katanya, situasi itu juga boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman Malaysia kerana ia akan ditafsirkan sebagai campur tangan politik meskipun keputusan dibuat oleh Agong.

    “Sudah tentu yang paling hampa ialah penyokong Pakatan Harapan (PH) yang selama ini mahukan perubahan menerusi pentadbiran Anwar,” katanya.

    Mengulas lanjut, Azmil berkata, sekiranya situasi ini berlaku, terdapat kemungkinan Najib akan kembali menerajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana sokongannya dalam parti itu dilihat masih kukuh.

    “Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga berdepan 47 tuduhan di mahkamah yang mana beliau juga berpotensi dikenakan hukuman penjara. 

    “Jika ini berlaku maka akan ada kekosongan jawatan dalam UMNO yang boleh diisi oleh Najib atau pemimpin UMNO lain,” katanya.

    Ditanya pendekatan terbaik untuk Anwar memastikan imejnya tidak terjejas, Azmil berkata, sebaiknya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengundurkan diri daripada Lembaga Pengampunan dan meletakkan individu yang tiada kepentingan politik dan boleh menilai permohonan itu secara objektif.

    “Mungkin bekas hakim, peguam atau aktivis masyarakat. 

    “Bukan sekadar orang-orang politik terutama ahli UMNO termasuk Menteri di Jabatan Perdana Mentri (Undang-undang), Datuk Seri Azalina Othman Said kerana ini boleh menimbulkan konflik kepentingan,” tambah beliau.

  • ROS bantah permohonan Zuraida tuntut jawatan Presiden PBM

    ROS bantah permohonan Zuraida tuntut jawatan Presiden PBM

    PENDAFTAR Pertubuhan (ROS) membantah permohonan Datuk Zuraida Kamaruddin untuk diiktiraf secara rasmi sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Bantahan itu dikemukakan oleh wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

    Ketika dihubungi hari ini, peguam Zuraida, Mohamed Ashmeer Ashrof mengesahkan perkara itu.

    Mohamed Ashmeer berkata, inti bantahan ialah permohonan kebenaran semakan kehakiman adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

    Peguam itu menambah bahawa hakim Amarjeet Singh kemudiannya menetapkan 11 Mei untuk penjelasan dan keputusan untuk memberi atau menafikan kebenaran untuk Zuraida meneruskan semakan kehakiman.

    Sekiranya mahkamah membenarkan permohonan itu, ia kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujahan lisan pihak-pihak mengenai merit semakan kehakiman.

    Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Zuraida bulan lepas memfailkan tindakan undang-undang untuk menuntut semula jawatan tertinggi PBM, berikutan perebutan kuasa yang berlarutan.

  • Persatuan hotel mahu kerajaan selesai masalah mereka sebelum sertai inisiatif Rahmah

    Persatuan hotel mahu kerajaan selesai masalah mereka sebelum sertai inisiatif Rahmah

    PERSATUAN Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia yang mewakili hotel bajet menggesa kerajaan menyelesaikan dahulu masalah menjejaskan industri sebelum meminta lebih ramai pengusaha menyertai inisiatif Rahmah yang menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga rendah.

    Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Sri Ganesh Michiel berkata: “Apa yang kami mahu ialah mereka perlu selesaikan masalah kami dahulu, barulah kita boleh lebih untung dan menyalurkan wang ke arah inisiatif Rahmah.”

    Menurut Ganesh, yang persatuannya mewakili lebih 2,000 hotel, pemain industri bersedia menyokong inisiatif kerajaan selagi ada manfaat bersama.

    “Jika mereka gagal menyelesaikan ancaman lama terhadap industri, jangan harap kami akan mengeluarkan lebih banyak wang,” kata Ganesh kepada FMT, hari ini.

    Beliau berkata, rayuan beberapa kali disuarakan pemilik dan pengusaha hotel kepada kerajaan untuk mengawal selia penginapan kediaman jangka pendek dan agensi pelancongan dalam talian tidak diselesai.

    Khamis lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mahu lebih banyak hotel mengambil bahagian dalam inisiatif Rahmah untuk meningkatkan industri pelancongan domestik.

    Ketika ini terdapat dua hotel yang mengambil bahagian dalam inisiatif itu, termasuk satu di Malaysia Timur.

    Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Shaharuddin M. Saaid berkata, walaupun hotel ingin menyokong inisiatif itu, industri masih belum pulih ke tahap pra-pandemik.

    Beliau merujuk kepada kos operasi yang tinggi, berikutan kenaikan 35 peratus dalam gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500, ditambah kenaikan tarif elektrik.

    “Bagaimanakah hotel dapat mengekalkan perniagaan dalam persekitaran ini? Sukar untuk membayangkan apabila mereka mahu kadar bilik dikurangkan ketika berlaku peningkatan kos operasi,” katanya.

    Pandemik dan sekatan menyaksikan hotel mengalami kerugian jutaan ringgit dengan beberapa ditutup termasuk yang bertaraf lima bintang.

  • Pas tidak berpeluk tubuh, sedia kerjasama pastikan RUU 355 lulus

    Pas tidak berpeluk tubuh, sedia kerjasama pastikan RUU 355 lulus

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sedia memberi kerjasama penuh kepada kerajaan perpaduan untuk memastikan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) diluluskan Parlimen

    “Pas tidak berpeluk tubuh selama tiga tahun ia menjadi parti pemerintah, berhubung rang undang-undang untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

    “Kita tengok nanti kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim nak buat ke tidak RUU 355.

    “Kita harapkan menteri agama terlibat teruskan usaha kita sebelum ini dan jika ia dibentang di Parlimen, Pas tidak ada masalah untuk sokong dan beri kerjasama penuh,” katanya kepada FMT.

    Menurut beliau, rang undang-undang itu, yang lebih popular dikenali sebagai RUU 355, beberapa kali dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Sabri.

    “Bahkan persiapan untuk membentangkan ia di Parlimen berada di ‘peringkat akhir’,” ujar beliau.

    Malah katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Idris Ahmad waktu itu sudah dalam proses dan telah dimaklumkan bahawa proses itu berjalan.

    Ia sepatutnya dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada Oktober 2022 namun terbantut susulan pembubaran Parlimen. Draf pindaan kepada akta itu sudah diluluskan Jabatan Peguam Negara.

    Penggubalan semula akta itu, hasil Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021, dikatakan bakal menyeragamkan kuasa mahkamah syariah.

    Tuan Ibrahim berkata dalam tempoh tiga tahun itu, menterinya berusaha melengkapkan RUU tersebut agar pelaksanaannya sempurna, seperti menambah hierarki mahkamah syariah.

    “Ia bukan soal hukuman sahaja. Proses melengkapkan ini yang sedang berjalan sebelum ini,” katanya.

    Hierarki mahkamah syariah mempunyai tiga tahap iaitu mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah; berbanding lima tahap mahkamah sivil iaitu mahkamah majistret, mahkamah sesyen, mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah Persekutuan.

    Tuan Ibrahim berkata, pemerintah mahu memastikan undang-undang itu boleh dilaksanakan sebaik ia diluluskan.

    “Berbanding kita lulus awal tiba-tiba tak boleh nak laksana undang-undang itu, sebagai contoh, katakanlah mahkamah tinggi rayuan syariah tidak ada, mahkamah rayuan syariah ada. Bila dibawa kes lebih tinggi, tak ada mahkamah rayuan,” katanya.

    “Kita juga akui bahawa kaedah pelaksanaan hukum masih lagi perlu diteliti,” katanya lagi.

    Ketika RUU 355 dibentangkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, di Dewan Rakyat pada 2017, ia mencadangkan hukuman maksimum terhadap pesalah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan, daripada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan.

    Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), ketika berucap di kongres khas partinya bulan lepas mempersoalkan parti pemerintah terdahulu mengenai RUU 355.

    “Kamu pegang tampuk kepimpinan kuasa termasuk kerajaan tiga tahun baru-baru ini, mana RUU355,” soalnya, dipercayai merujuk kepada Pas.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, pada 13 Mac lepas berkata RUU 355 akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan dasar.

  • Pertikaian Laut China Selatan: Howard Lee lucu, tidak cerdik-Ahmad Fayhsal

    Pertikaian Laut China Selatan: Howard Lee lucu, tidak cerdik-Ahmad Fayhsal

    AHLI Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How perlu meneliti dan menyelidik terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan membidas pemimpin lain berkaitan isu Laut China Selatan.

    Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan Howard itu disifatkan lucu dan memalukan dirinya.

    “Ini menunjukkan ahli jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu tidak memahami isu berkenaan sekali gus menonjolkan sisi kurang cerdik.

    “Kedangkalan Howard Lee termasuk dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam memahami isu ini sangat membimbangkan.

    “Sebagai Ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri kepada Menteri Luar Negeri, beliau sepatutnya tegas dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia. Mana mungkin wilayah negara boleh dibawa ke meja rundingan.

    “Kita semua tahu bahawa China berhasrat agar negara-negara ASEAN yang terlibat dalam tuntutan bertindih Laut China Selatan menerima solusi ‘nine-dash line’ yang amat jelas sekali ditentang keras oleh negara terlibat termasuk Malaysia,” katanya.

    Ahli Parlimen Macang itu berkata demikian menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Nine Dash Line merupakan garisan maritim yang dituntut oleh China ke atas lebih 70 peratus dari keluasan Laut China Selatan berdasarkan peta pada tahun 1947.

    Tuntutan China ini turut meliputi keseluruhan Kepulauan Paracel, Spratly sehinggalah terumbu Scarborough.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata, tuntutan tidak berasas China merangkumi dalam 80 peratus daripada keseluruhan Laut China Selatan yang kaya dengan minyak mentah, gas asli dan sumber laut.

    Ujarnya, pendirian Malaysia sebelum ini amat jelas iaitu akan mempertahankan hak negara di Laut China Selatan tanpa menjejaskan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan China.

    “China adalah rakan dan sekutu besar kita dari dulu, sekarang dan akan datang. Takdir geografi meletakkan kita dan China sebagai jiran tetangga yang amat penting.

    “Tetapi itu tidak bermakna perbezaan pendapat dan pendirian dalam soal geopolitik perlu melenturkan ‘posture’ (cara) kita dalam diplomasi,” tegasnya.

    Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri telah menyatakan tuntutan ‘nine-dash line’ itu tidak selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982.

    “Adakah Howard tidak pernah baca konvensyen ni atau memang tak tahu, beliau tidak peka dengan keputusan Tribunal Timbangtara di The Hague pada 13 Julai 2016 yang telah menolak tuntutan China berdasarkan hujah ‘nine-dash line’ terbabit?

    “Ini kerana tribunal antarabangsa di The Hague sendiri sudah menyatakan dengan jelas kedudukan dan hak negara-negara di sekitar Laut China Selatan termasuk Malaysia,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Wan Ahmad Fayhsal juga mencadangkan Menteri Luar untuk memecat dan mencari calon lain kerana Howard Lee memalukan nama Kementerian Luar Negeri dan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sebelum itu, media melaporkan, Howard Lee menyatakan Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bodoh atau pura-pura bodoh ketika mempertikaikan istilah ‘diplomasi’ Perdana Menteri dalam pertikaian kawasan di Laut China Selatan.

    Katanya, sebagai bekas perdana menteri, Muhyiddin sepatutnya tahu bahawa isu hubungan antarabangsa melibatkan banyak perkara, termasuk urus tadbir, pertemuan, dan timbang tara untuk menyelesaikan, atau setidak-tidaknya mengendurkan ketegangan dalam sesuatu isu termasuk tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

  • Dakwa isteri diganggu pegawai atasan DBKL, siasatan tiada kemajuan

    Dakwa isteri diganggu pegawai atasan DBKL, siasatan tiada kemajuan

    SEORANG ejen hartanah kecewa apabila mendapati tiada kemajuan dalam siasatan berhubung dakwaan bahawa isterinya diganggu secara seksual oleh seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Menurut lelaki berkenaan yang enggan dikenali bagi melindungi mangsa, turut mendakwa, pelbagai kesalahan seksual lain telah dilakukan terhadap isterinya.

    “Isteri saya diganggu sejak pertengahan tahun lepas dan kini mengalami kemurungan.

    “Pegawai kanan tersebut seorang kaki perempuan berusia lewat 40-an.

    “Selama berbulan-bulan, dia akan menghantar mesej dan gambar yang secara terang-terangan berunsur lucah kepada (isteri saya) serta meminta gambarnya.

    “Dia juga menyatakan keinginan mengadakan hubungan seksual sebagai balasan bagi kenaikan pangkat dan pertumbuhan kerjaya.

    “Atas alasan kerja, dia telah beberapa kali memanggil (isteri saya) ke pejabatnya dan menggunakan peluang itu untuk memeluk dan menyentuhnya dengan cara tidak senonoh,” katanya, lapor FMT.

    Walaupun isterinya menolak, kata lelaki itu, pegawai berkenaan terus menganggunya.

    Katanya, isterinya tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian yang berlaku, termasuk dirinya, sehingga lama kemudian kerana bimbang akan tindak balas daripada pegawai itu.

    Ibu kepada beberapa anak itu juga bimbang akan reaksi daripada keluarga dan rakan sekerjanya.

    Lelaki itu membuat dua laporan polis, pertama pada November lepas dan satu lagi pada Januari.

    Beliau dimaklumkan bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

    Perkara ini turut disahkan kepada FMT oleh polis Dang Wangi.

    Bagaimanapun, lelaki itu kesal kerana kes disiasat kerana memikat, bukannya mencabul kehormatan dan tingkah laku tidak senonoh.

    Beliau berkata, laporan polis kedua sedang disiasat oleh Bukit Aman.

    “Menurut pegawai penyiasat polis, suspek telah dipanggil dan keterangannya telah diambil.

    “Polis turut merampas telefon bimbit isteri saya dan pegawai berkenaan, namun tiada maklumat terkini berhubung siasatan,” dakwanya lagi.

    Lelaki itu bimbang pegawai berkenaan akan terlepas tanpa sebarang hukuman.

  • Lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah di Masjidil Haram setiap hari sejak awal Ramadan

    Lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah di Masjidil Haram setiap hari sejak awal Ramadan

    MASJIDIL Haram, masjid paling suci umat Islam yang terletak di tengah-tengah Kota Makkah, Arab Saudi, mencatat kedatangan lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah dari serata dunia setiap hari sejak awal Ramadan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Menurut SPA, pengurusan Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut menyatakan kesiapsiagaannya untuk menerima pertambahan jumlah kedatangan jemaah dalam 10 hari terakhir Ramadan.

    “Jabatan akan menggerakkan semua sumber manusia dan peralatan operasinya bagi menjamin kelancaran ibadah umrah dan keselamatan jemaah”, kata jabatan itu seperti dipetik SPA.

    Tambahnya, operasi pembersihan dan pensterilan di Masjidil Haram melibatkan lebih 4,000 pekerja pembersihan sebanyak 10 kali setiap hari.

    Setiap proses pembersihan menggunakan lebih 80,000 liter (L) sabun cecair, 1,600L penyegar dan kira-kira 15,000L cecair pembasmi kuman.

    Lebih 70 pasukan lapangan juga digerakkan 24 jam setiap hari untuk menyahkuman setiap ruangan di Masjidil Haram dan halaman luarnya, menggunakan bahan mesra alam dan lebih 500 pembersih tangan automatik.

    Pengagihan air Zamzam juga digandakan dengan lebih 200,000 botol diagihkan di halaman Tawaf (Mataf) menggunakan robot AI, tidak termasuk pengagihan secara beg silinder oleh lebih 1,400 pekerja dan puluhan tong statik setiap hari.

    Selain itu, lebih 8,000 kerusi roda biasa dan berkuasa elektrik disediakan untuk kegunaan jemaah umrah dan pengunjung warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

    Jabatan itu turut menekankan keperluan bagi jemaah dan pengunjung untuk mematuhi arahan semasa melaksanakan ibadah dan memberi kerjasama penuh kepada anggota keselamatan dan petugas bagi menjamin suasana keagamaan yang tenang dan selamat.