Category: Semasa

  • Koperal tentera hilang semasa operasi di Hutan Simpan Belum ditemui maut

    Koperal tentera hilang semasa operasi di Hutan Simpan Belum ditemui maut

    SEORANG anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu ditemukan meninggal dunia, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mayat anggota dari Batalion ke-35 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang berusia 33 tahun itu dijumpai pukul 10.15 pagi tadi.

    “Ya sudah jumpa (mangsa). Saya akan dapatkan laporan penuh dan muktamadkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dahulu dan siaran media mengenainya akan saya keluarkan, terima kasih,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Bagaimanapun polis belum mendedahkan identiti mangsa ketika tular dalam media sosial Facebook berita berkaitan kehilangan anggota berkenaan dikenali sebagai Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib.

    Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

    Kelmarin, media melaporkan mengenai kehilangan mangsa ketika menjalankan tugas operasi bersama lima anggota lain kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu.

    Kehilangan mangsa yang merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu itu dilaporkan kepada polis pada pukul 12.50 tengah malam Ahad lalu.

    Usaha mencari dan menyrlamst (SAR) mangsa dijalankan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada hari yang sama mangsa hilang (7 April).

  • 183,000 pelarian, pemohon suaka di Malaysia

    183,000 pelarian, pemohon suaka di Malaysia

    SEBANYAK 182,990 pelarian dan pemohon suaka dari 59 negara berada di Malaysia ketika ini dengan Myanmar merupakan golongan tertinggi.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 74 peratus atau 135,440 merupakan pelarian, manakala baki ialah pemohon suaka.

    “Pelarian dan pemohon suaka dari Myanmar merupakan golongan tertinggi, iaitu 158,165 orang (86.43%),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, menurut laporan Free Malaysia Today.

    Armizan berkata, statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan etnik Rohingya membentuk 58 peratus daripada keseluruhan jumlah pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

    Malaysia merupakan destinasi utama untuk pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan dan penghapusan etnik di Myanmar.

    Baki terdiri daripada warga Pakistan (6,876), Afghanistan (3,391), Yemen (3,346), Somalia (3,033), Syria (2,809), Sri Lanka (1,507), Iraq (750), Palestin (639), Iran (393), Sudan (278) dan negara lain (1,803).

    Antara 2019 dan 2022, Armizan berkata, sejumlah 7,557 pelarian ditempatkan semula di negara lain seperti US, Australia dan New Zealand.

  • Farid mohon maaf kepada Diana, ibu mentua

    Farid mohon maaf kepada Diana, ibu mentua

    AKTOR Farid Kamil, 42 memohon maaf kepada isterinya, Diana Danielle dan ibu mentua, Norsiah Ramli susulan kenyataannya kepada media semalam yang ada kaitan dengan pihak ketiga ketika ditemu bual di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

    Farid menerusi hantaran dalam Instagram hari ini berkata, dia menarik balik kenyataan yang menyifatkan sebagai ada hubung kait dengan pihak ketiga.

    “Saya menarik balik kenyataan saya mengenai soalan dari wartawan berkaitan pihak ketiga.

    “Saya dengan rendah diri memohon maaf secara terbuka kepada ibu mentua, Norsiah Ramli dan isteri, Diana Danielle atas kenyataan saya pagi tadi (Selasa).

    “Sekali lagi di bulan Ramadan yang mulia ini saya mohon dimaafkan kekilafan yang terjadi,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Farid ketika ditemubual pemberita di perkarangan mahkamah mendakwa terkejut apabila ibu mentuanya tiba-tiba muncul di mahkamah menemani Diana dalam sesi berhubung konflik rumah tangga mereka sebelum ini.

    Ujar Farid, Norsiah diminta keluar oleh Diana dari rumah mereka pada tahun 2019 dan bertindak memutuskan hubungan dengan wanita terbabit.

    Semalam, demi menyelamatkan rumah tangganya, Farid tampil dengan tawaran pendamaian dengan jumlah keseluruhan RM319,700 untuk memujuk Diana.

    Tawaran itu merangkumi sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000, barangan kemas bernilai RM10,700, wang pendahuluan nafkah dari Mac hingga Jun 2023 bernilai RM40,000, dan bayaran balik tiket umrah yang sepatutnya adalah hadiah dan sudah bertukar menjadi hutang bernilai RM44,000.

  • Pengasas Karangkraf dakwa dikasari pengawal peribadi menteri

    Pengasas Karangkraf dakwa dikasari pengawal peribadi menteri

    PENGASAS Kumpulan Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub mendakwa dikasari pengawal peribadi seorang menteri semasa acara berlangsung di pejabat syarikat media itu.

    Beliau yang juga penasihat Karangkraf mengeluh berkaitan perkara itu di media sosialnya, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut.

    Bagaimanapun setakat ini tidak pasti dia merujuk kepada acara mana.

    Bagaimanapun dua hari lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution hadir dalam acara perbincangan bersama rakyat di pejabat Karangkraf di Shah Alam.

    “Ujian terbesar saya Ramadan kali ini adalah bila saya ditolak dengan kasar oleh seorang bodyguard menteri yang datang ke event di Karangkraf dan saya adalah hos utamanya,” dakwanya, lapor Malaysiakini.

    Usaha menghubungi Hussamuddin dan Saifuddin bagi mendapatkan maklumat lanjut dan komen mereka sedang dibuat.

    Hussamuddin berkata dia telah menjadi tuan rumah kepada banyak golongan kenamaan termasuk sultan, perdana menteri, menteri besar dan menteri tetapi tidak pernah berlaku insiden seperti itu.

    Dia justeru menyifatkan pengawal peribadi itu sebagai overzealous (melampau).

    Karangkraf adalah pemilik akhbar Sinar Harian.

  • RM11 bilion wang tak dituntut rakyat – Ahmad Maslan

    RM11 bilion wang tak dituntut rakyat – Ahmad Maslan

    TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak RM11 bilion wang tidak dituntut (WTD) direkodkan setakat Mac tahun ini.

    Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebanyak RM3.2 bilion WTD dibuat bayaran balik.

    “Bayaran dibuat kepada empunya membabitkan akaun simpanan, insurans, deposit dan lain-lain.

    “Sebanyak 354,912 permohonan tuntutan dalam talian diterima,” katanya, menurut laporan Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan bercadang meminda Akta Wang Tak Dituntut 1965 yang dijangka dibentangkan hujung tahun ini di Dewan Rakyat.

    Katanya, antara cadangannya adalah untuk meminda tempoh pindahan ke akaun hasil disatukan dari 15 ke 10 tahun.

    “Ini bagi tujuan melancarkan operasi pengurusan WTD supaya lebih cekap dan efisien serta dapat meningkatkan pematuhan syarikat/firma terhadap Akta Wang Tidak Dituntut 1965,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata pelantikan Datuk Seri Jamal Yunos sebagai ahli jawatankuasa UMNO tidak menjadi masalah walaupun disiasat atas dakwaan sogokan untuk memenangi jawatan ketua UMNO Sungai Besar.

    Beliau berkata, ini kerana Jamal belum didapati bersalah.

    “Itu perkara kecil sahaja. Dia belum didapati bersalah, sudah tentulah boleh,” katanya.

    Semalam, Jamal memaklumkan pelantikannya itu selepas menerima watikah daripada Ketua UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

    Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan Jamal dipercayai dipanggil bagi pendengaran Lembaga Disiplin Umno apabila didakwa menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti.

    Kekal tak benar keluar KWSP

    Sementara itu, Ahmad mengulangi kerajaan kekal dengan pendirian tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk secara bersasar.

    Bagaimana, beliau berterima kasih dengan cadangan bekas menteri kewangan, Johari Abdul Ghani supaya kerajaan mempertimbang cadangan pengeluaran KWSP dibuat secara terus berbanding dijadikan cagaran untuk pinjaman bank.

    Ahmad menegaskan, walaupun Akaun 1 tidak dibenarkan keluar, tetapi Akaun 2 masih dibenarkan untuk pengeluaran.

  • Tukang rumah didakwa bunuh isteri

    Tukang rumah didakwa bunuh isteri

    SEORANG tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Besi, awal bulan ini.

    Mohd Amir Hamzah, 32, yang memakai baju lokap berwarna ungu, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

    Dia dituduh menyebabkan kematian Rubiah Sabtu, 41, di Kampung Besol, Batu 6, Bukit Besi antara 7.30 hingga 8 pagi pada 5 April lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Athirah Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizul Faris Che Razlan.

    Media sebelum ini melaporkan, Rubiah yang parah pada bahagian muka, maut dipercayai dipukul dengan tukul besi di kediamannya selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu.

    Mangsa yang merupakan peniaga runcit kecil-kecilan, mempunyai enam anak hasil perkahwinan terdahulu dan selepas mengahwini tertuduh tahun lalu, mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan.

  • Saman 1MDB terhadap anak tiri Najib dibicara penuh tahun depan

    Saman 1MDB terhadap anak tiri Najib dibicara penuh tahun depan

    SAMAN 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah US$248 juta terhadap penerbit filem Hollywood, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya akan melalui perbicaraan penuh pada Oktober dan November tahun depan.

    Peguam Riza, Desmond Low ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Dia berkata kes akan dibicarakan di depan hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada 16 hingga 18 Oktober, 21 hingga 25 Oktober, 28 Oktober dan 1 November dan 4 November 2024.

    Desmond memaklumkan perkara itu selepas pengurusan kes saman tersebut dengan Raja Ahmad Mohzanuddin hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Dua syarikat Riza adalah Red Granite Pictures Incorporated and Red Granite Capital Limited.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan subsidiarinya memfailkan saman terhadap Riza dan dua syarikat itu atas dakwaan memperdaya dan menyalahgunakan US$248 juta miliknya untuk kepentingan peribadi, termasuk mendanai penerbitan filem dan membeli hartanah.

    Plaintif mendakwa memandangkan Riza menguruskan kedua-dua syarikat itu, dia sepatutnya tahu yang dana yang berasal dari 1MDB itu telah disalahgunakan.

    Plaintif antara lain menuntut pengisytiharan yang Riza bertanggungjawab terhadap dana tersebut dan membayarnya semula.

    Dalam pernyataan pembelaannya, Riza mendakwa wang tersebut diterima menerusi pinjaman daripada kerabat diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC), bukannya 1MDB.

    Anak tiri Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa sebagai penerbit filem yang tidak dikenali, sukar untuknya mendapatkan pinjaman daripada bank komersial dan ia membuatkannya perlu mencari dana daripada individu atau syarikat.

    Pada 5 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan 1MDB utnuk mendapatkan dokumen bagi saman itu.

    Dokumen yang diminta berkaitan resit dan penggunaan US$10,173,104 oleh Red Granite Pictures dan US$238 juta oleh Red Granite Capital Limited.

    Selain 1MDB, tiga lagi plaintif adalah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

  • Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

    Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

    SEKURANG-KURANGNYA 100 orang awam termasuk beberapa kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara tentera di Myanmar, menurut laporan media dan saksi.

    Tentera melancarkan roket ke perbandaran Pazigyi di wilayah Sagaing pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Roket itu dilancarkan ketika upacara pembukaan pejabat baharu Angkatan Pertahanan Rakyat antijunta di situ. Ramai penduduk kampung dilaporkan datang ke bandar untuk menghadiri majlis berkenaan.

    Pertempuran sengit juga dilaporkan tercetus di kawasan itu baru-baru ini antara tentera dan kumpulan bersenjata yang menentang junta.

    Myanmar diperintah junta tentera selepas rampasan kuasa pada Februari 2021.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam sekeras-kerasnya serangan pada Selasa itu dan meminta mereka yang melakukannya supaya bertanggungjawab.

    Laporan media menunjukkan Pazigyi kini dalam keadaan huru-hara. Menurut saksi, jumlah kematian mungkin akan meningkat.

    Penduduk berkata tentera menunggu upacara bermula bagi melancarkan serangan udara dan gambar yang disiarkan di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan.

    Kerajaan bayangan antijunta di Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional dalam satu kenyataan menyifatkan serangan itu sebagai ‘perbuatan keji’ dan bukti keganasan junta terhadap orang awam yang tidak bersalah.

  • Tengku Zafrul dilantik bendahari UMNO Selangor

    Tengku Zafrul dilantik bendahari UMNO Selangor

    MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dilantik sebagai bendahari UMNO Selangor.

    UMNO Selangor dalam kenyataan memaklumkan ketuanya Megat Zulkarnain Omardin turut melantik Abdul Mutalif Abdul Rahim sebagai setiausaha UMNO negeri dan Mohd Zaidi Md Zain sebagai ketua penerangan UMNO negeri.

    Pelantikan itu dibuat semasa mesyuarat pertama UMNO negeri itu semalam, selepas pemilihan parti selesai pada 18 Mac lalu.

    Mesyuarat itu juga mengambil ketetapan iaitu UMNO Selangor akan terus mendukung kerajaan perpaduan dan komited memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan demi kestabilan negara.

    Menurut kenyataan itu, UMNO Selangor mengambil maklum perjalanan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia dan akan mewujudkan Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri dalam masa terdekat serta mengadakan program bersama pimpinan kerajaan negeri.

    Selain itu, UMNO Selangor turut memutuskan rangka kerja dalam penyediaan jentera di setiap peringkat dan memulakan gerakan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) serta meneruskan perundingan bersama Pakatan Harapan Selangor dalam menentukan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN.

    Mesyuarat itu juga menyatakan UMNO Selangor sebulat suara bersetuju dan menandatangani memorandum memohon kepimpinan tertinggi parti itu membela bekas presiden Datuk Seri Najib Razak yang banyak berjasa kepada negara.

  • Dua tahanan Indonesia lolos berjaya ditahan semula

    Dua tahanan Indonesia lolos berjaya ditahan semula

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA tahanan yang melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Satelit Ledang, pagi semalam sudah berjaya diberkas semula.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua suspek berkenaan itu dikenali sebagai Haji Samirudin, 36 dan Riki Rinaldi, 40.

    “Riki Rinaldi telah dijumpai pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pukul 9 malam tadi hasil maklumat daripada orang awam.

    “Suspek ditemui pada jarak lebih kurang 10 km dari tempat kejadian dalam keadaan tidak bermaya berikutan kecederaan yang dialami ketika terjun daripada kenderaan.

    “Sementara Haji Samirudin ditemui pada pukul 10.40 pagi tadi di ladang berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Kulai.

    Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan melakukan siasatan dalaman dan mengambil tindakan sekiranya berlaku perlanggaran prosedur keselamatan semasa membawa tahanan.

    Semalam dua tahanan tersebut melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kedua-dua tahanan itu membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

    “Sebelum itu suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sebelum itu, dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada pukul pukul 8 pagi semalam, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini,” ujar Beng Yeow.