Category: Semasa

  • Bekas pegawai bank didakwa ubah suai had kad kredit tanpa kuasa

    Bekas pegawai bank didakwa ubah suai had kad kredit tanpa kuasa

    SEORANG bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengubah suai had kad kredit miliknya antara April tahun lepas sehingga Jun lalu.

    Tertuduh yang merupakan bekas Eksekutif Khidmat Pengesahan di Maybank , Abas Sulaiman, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan capaian kepada sistem Kenaikan Had Kredit Kekal atau ‘Permanent Increase Credit Limit’ (PICL) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap sistem tersebut, lapor Utusan TV.

    Pertuduhan itu didakwa dilakukan di Menara Maybank dekat Dang Wangi, Kuala Lumpur antara 25 April 2022 sehingga 24 Jun 2023.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam Md. Radzi Mustafa memohon jaminan minima dikenakan ke atas tertuduh memandangkan anak guamnya itu kini sudah tidak bekerja dan tiada punca pendapatan selain menanggung isteri dan empat lagi anaknya.

    Hakim Priscilla kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah kemudian menetapkan 29 Ogos ini bagi sebutan semula dan serahan dokumen.

  • Tempoh berpolitik tamat, masa wakil rakyat tunai janji

    Tempoh berpolitik tamat, masa wakil rakyat tunai janji

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mengingatkan ketika ini bukan lagi masa untuk berpolitik, tetapi untuk meneruskan segala usaha pembangunan bagi memenuhi keperluan hidup rakyat dan meratakan kebajikan dan kesejahteraan untuk semua.

    Tegas beliau, setiap wakil rakyat mesti sedar bahawa matlamat sebenar yang dikehendaki di sebalik kemenangan di dalam pilihanraya tidak terhenti dengan kuasa pemerintahan yang berjaya direbut, tetapi perkhidmatan kepada rakyat yang diwakili di dalam pelbagai bidang pembangunan fizikal, mental dan rohani.

    Tambahnya, setiap wakil rakyat yang telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam buah negeri pada 12 Ogos lalu, kini memikul amanah dan tanggungjawab yang berat di hadapan Allah SWT dan rakyat jelata.

    Ujar beliau, seluruh rakyat akan memerhati dan memantau sejauh manakah mereka yang telah dipilih menepati janji-janji yang ditabur melalui manifesto parti yang diwakili

    “Setelah berlangsungnya PRN, maka berakhirlah tempoh berkempen bagi parti-parti politik yang bersaing untuk merebut tampuk pemerintahan.

    “Rakyat telah membuat pilihan, sama ada bersetuju atau tidak maka semua pihak mesti akur dan menghormati keputusan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Ujar Wan Salim, adalah diketahui bahawa kehidupan rakyat terutama di negeri-negeri tertentu masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan dan kemajuan.

    Sehubungan itu, kata beliau, usaha islah atau pembaikan perlu digerakkan dengan lebih lancar dan agresif.

    “Semoga wakil-wakil rakyat yang terpilih akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau mengharapkan kerjasama antara kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terjalin dengan lebih erat.

    Katanya, ia untuk kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi dan kefahaman politik yang didokong oleh parti-parti yang dianggotai.

    “Biarlah semua pihak bekerja untuk negara dan warganya dalam suasana yang aman tenteram tanpa sebarang gangguan.

    “Kita percaya dengan kepimpinan yang efisien dan bijaksana berserta iltizam yang tinggi sama ada di peringkat persekutuan atau negeri-negeri, maka Malaysia akan muncul menjadi antara negara termaju di dunia, insya-Allah,” katanya.

    Tambah beliau, seluruh rakyat juga akan bersama-sama memacu kemajuan yang didambakan dan akan sama-sama berbangga sebagai suatu bangsa yang bermaruah dan berdaulat.

    “Malah Malaysia juga akan menjadi kebanggaan umat Islam seluruhnya sebagai sebuah negara Islam yang maju dan aman sejahtera,” katanya.

  • Muhyiddin bebas empat pertuduhan  guna kedudukan untuk suapan RM232.4 juga berkaitan Jana Wibawa

    Muhyiddin bebas empat pertuduhan  guna kedudukan untuk suapan RM232.4 juga berkaitan Jana Wibawa

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

    “Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan,” katanya.

    Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Pada 18 April lepas, Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, memfailkan notis usul bagi memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lepas selain prosiding kes tersebut di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

    Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan serta menggantung pertuduhan secara kekal.

    Hakim itu berkata empat pertuduhan terhadap Muhyiddin yang menyatakan suapan bagi sekutunya Bersatu tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

    “Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

    “Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ),” katanya.

    –BERNAMA

  • 2 lelaki maut, seorang cedera Mercedes-Benz rempuh belakang lori

    2 lelaki maut, seorang cedera Mercedes-Benz rempuh belakang lori

    DUA lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kereta jenis Mercedes-Benz merempuh belakang sebuah lori lima tan dalam kejadian di Jalan Song Bang Keng, Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

    Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Lim Jeng Yee, 33, dan Ong Zhong Xiang, 26, manakala Lim Chun Hung, 23, dilaporkan cedera.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.07 pagi tadi sebelum tiba di lokasi beberapa minit kemudian.

    Ketika tiba di lokasi kejadian, katanya, didapati mangsa iaitu pemandu dan dua penumpang di dalam kereta jenis Mercedes-Benz telah tersepit manakala pemandu lori berada dalam keadaan selamat.

    “Anggota bomba bertindak menjalankan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa telah berjaya dikeluarkan pukul 4.10 pagi dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambahnya, kerja-kerja menyelamat oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda itu tamat sepenuhnya kira-kira pukul 4.20 pagi.

  • Desak Zahid berundur, suara majoriti senyap dalam UMNO, kata bekas MB Terengganu

    Desak Zahid berundur, suara majoriti senyap dalam UMNO, kata bekas MB Terengganu

    BEKAS Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh menjelaskan, desakannya supaya Presiden parti, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berundur susulan prestasi buruk pada pilihan raya negeri (PRN) kelmarin datang daripada majoriti senyap ahli parti itu.

    Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, pandangan ikhlasnya dan majoriti ahli adalah tanggungjawab mereka yang masih sayang dengan parti Melayu yang ditubuhkan pada 1946 itu.

    “Bersuara (minta Presiden berundur) untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai ahli parti,” kata bekas Ahli Parlimen Besut itu dalam Facebook miliknya malam ini, lapor FMT.

    Semalam, Idris mendesak Zahid berundur susulan prestasi buruk parti itu termasuk kalah di semua kerusi yang ditandingi di Terengganu.

    Dua bekas menteri besarnya, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut tewas.

    PRN di enam negeri menyaksikan UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) kalah 89 daripada 108 kawasan ditandinginya, malah semua calonnya di Terengganu dan Kedah kecundang.

    BN hanya menang dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua); Kelantan (Galas), dan Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh).

    Namun, BN Negeri Sembilan mencatat keputusan baik apabila menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi, menyumbang kemenangan majoriti dua pertiga bersama Pakatan Harapan (PH).

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

  • UMNO masih mengamalkan budaya mengampu, bercakap tidak benar- Shahril

    UMNO masih mengamalkan budaya mengampu, bercakap tidak benar- Shahril

    BEKAS Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berpendapat dengan keadaan gelombang perpindahan undi, mustahil untuk UMNO menang dalam mana-mana pilihan raya.

    “UMNO tidak akan mendapat sebarang kepercayaan daripada pengundi sekiranya masih mengamalkan budaya mengampu dan tidak bercakap benar,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam UMNO budaya mengampu dan tidak mahu bercakap perkara benar masih berlaku.

    “Secara jujurnya, letak siapapun dalam keadaan gelombang ini tiada cara untuk UMNO terus menang,” katanya menerusi program podcast Keluar Sekejap bertajuk ‘post-match analysis’ sempena PRN 2023 bersama Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, hari ini.

    Dalam pada itu, Shahril turut mendedahkan UMNO Terengganu sebelum ini begitu yakin dapat memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) pada PRN.

    “Saya difahamkan apabila bincang kerusi mana yang nak diagih sebelum PRN, kepimpinan UMNO Terengganu yakin menang,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Kedah, bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, kemenangan tersebut bukan sahaja daripada naratif gelombang hijau, sebaliknya ia berkaitan dengan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang berbeza daripada mana-mana figura ahli politik yang lain.

    “Ini memang mengejutkan saya kerana keputusan PN Kedah naik daripada 71.7 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ke 73.3 peratus dan kenaikan dua peratus ini memang mengejutkan,” jelasnya.

    Khairy Jamaluddin pula berkata, faktor pengundi Melayu yang memilih PN juga antara penyumbang kepada kemenangan Sanusi sehingga beberapa pemimpin UMNO yang bertanding turut kalah.

    “Orang UMNO tak suka bekerjasama dengan PH. Orang UMNO tidak suka sebab Zahid masih lagi Presiden UMNO semua ini telah menyumbang kepada keputusan tersebut,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Pas pertimbang fail petisyen pilihan raya beberapa kerusi DUN

    Pas pertimbang fail petisyen pilihan raya beberapa kerusi DUN

    PAS akan meneliti keputusan dan laporan pilihan raya bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertikaikan pada PRN enam negeri, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata, parti itu juga tidak menolak kemungkinan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap keputusan berkenaan dalam waktu terdekat, namun tidak menyatakan kawasan berkenaan.

    “PAS percaya perjalanan proses pilihan raya yang baik, teratur, dan aman adalah ciri penting sebuah masyarakat dan negara yang matang dan demokratik.

    “Ia juga adalah petunjuk kepada kesediaan semua pihak untuk mendaulatkan suara dan kehendak rakyat dalam pemilihan wakil mereka, sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita,” katanya dalam kenyataan.

    Dalam PRN kelmarin, Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu dengan menyapu bersih semua 32 kerusi DUN di Terengganu, selain memenangi 43 daripada 45 kerusi di Kelantan dan 33 daripada 36 kerusi di Kedah.

    Takiyuddin berkata, PAS bersama PN komited dan akan meneruskan agenda serta khidmat terbaik untuk semua rakyat di negeri berada bawah pentadbiran PN.

    “Pada masa sama PAS akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab serta konstruktif di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

  • Pasca PRN: ‘UMNO perlu segera tarik diri daripada Kerajaan Perpaduan’

    Pasca PRN: ‘UMNO perlu segera tarik diri daripada Kerajaan Perpaduan’

    BEKAS Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail menyarankan UMNO segera mengambil tindakan drastik untuk keluar daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.

    Sekiranya parti Melayu itu tidak mengambil langkah berkenaan katanya, UMNO tidak lagi berjaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin menunjukkan pengundi Melayu termasuk ahli-ahli UMNO sendiri tidak mengundi parti itu kerana menolak kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP.

    “Berkawan dengan DAP untung seringgit, rugi sejuta.

    “Jika keadaan ini berterusan sehingga PRU16, kemungkinan besar UMNO akan menjadi parti kecil yang menang hanya belasan kerusi Parlimen gara-gara mahu terus bersama DAP dalam kerajaan untuk tiga atau empat tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd. Yusof berkata, Barisan Nasional (BN) yang hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi pada PRN 12 Ogos lalu membuktikan pengundi khususnya Melayu menolak UMNO kerana bersekongkol dengan DAP.

    “Sebagai tanda memahami sentimen pengundi Melayu berhubung kerjasama UMNO dan DAP itu, UMNO perlu bertindak tegas dan segera dengan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya, lapor Asro Awani.

    Terdahulu, kekalahan teruk BN dalam PRN mengundang pelbagai reaksi daripada pemerhati politik dan ahli UMNO sendiri.

    Ini termasuk daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata, keputusan PRN di enam negeri pada Sabtu lepas merupakan amaran akhir untuk kelangsungan politik UMNO dan parti itu perlu berubah.

    Tengku Zafrul menambah, biarpun Kerajaan Perpaduan diberi mandat menerajui Selangor untuk lima tahun lagi, ia tidak menutup hakikat pedih prestasi BN amat lemah di Selangor selepas hanya memenangi dua daripada 12 kerusi ditandingi, dengan satu daripadanya sebelum ini milik DAP.

    Selain itu, penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub sebelum ini menegaskan, UMNO sekali lagi berdepan dengan penolakan orang Melayu dipercayai susulan tindakan parti itu bekerjasama dengan PH terutama DAP dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.

    Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, UMNO perlu mengkaji semula cara parti itu ditadbir.

    Ahli Parlimen Titiwangsa itu menegaskan UMNO harus menilai keupayaan struktur sedia ada untuk menarik pengundi Melayu sebelum PRU16.

  • Utamakan khidmat kepada rakyat berbanding kepentingan politik, peribadi – Tuanku Muhriz

    Utamakan khidmat kepada rakyat berbanding kepentingan politik, peribadi – Tuanku Muhriz

    YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan semua wakil rakyat yang memenangi pilihan raya negeri (PRN) supaya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat berbanding kepentingan politik atau peribadi.

    Baginda bertitah, rakyat telah memberikan amanah kepada mereka untuk menyuarakan segala permasalahan serta keperluan dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan.

    Tuanku Muhriz suka mengingatkan semua wakil rakyat supaya sentiasa bekerjasama, tertib dan mengadakan perbincangan dengan baik mengenai sesuatu permasalahan, terutamanya ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang kelak.

    “Ini bagi memastikan, rakyat beta di negeri yang beta kasihi ini akan sentiasa mendapat nikmat daripada setiap dasar yang dirangka dan dilaksanakan.

    “Justeru, fokus dan keutamaan kamu adalah kepada kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini kerana kesetiaan utama kamu ialah untuk negeri, bukannya kepada mana-mana parti politik ataupun keperluan peribadi,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di Kuala Pilah, hari ini.

    Pada istiadat itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua berturut-turut.

    Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut bertitah mahu melihat kerajaan negeri yang baharu ini ditadbir dengan asas ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh.

    Titah baginda, jabatan dan agensi kerajaan juga perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi tanpa ada kecondongan kepada mana-mana fahaman politik.

    Baginda turut menyeru seluruh anggota tentera dan polis serta semua agensi keselamatan untuk terus berkhidmat kepada Raja dan Negara.

    “Juga kepada badan kehakiman, agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan unit pendakwaan, beta berpesan supaya terus berkhidmat dengan bebas dan profesional berpaksikan keadilan dan kesaksamaan,” titah baginda, lapor Astro Awani.

  • Serangan keterlaluan PH tingkat simpati untuk Azmin-KJ

    Serangan keterlaluan PH tingkat simpati untuk Azmin-KJ

    KHAIRY Jamaluddin berpendapat, sentimen simpati mungkin antara faktor kemenangan Datuk Seri Azmin Ali di Hulu Kelang pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor, kelmarin.

    Jelas bekas Ketua Pemuda UMNO itu, ini akibat serangan berterusan Pakatan Harapan (PH) yang turut menampilkan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Taruddin dalam siri kempennya.

    Katanya, sejak episod Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan Azmin keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), bekas Menteri Besar Selangor itu sering dilabel pengkhianat dan usaha membunuh kerjaya politiknya giat dilakukan.

    “Tetapi beliau berubah (menjelang PRN) menjadi susuk tragis selepas semua orang menyerangnya, nak tamatkan riwayat politiknya di Hulu Kelang, itu sentimennya.

    “Orang Melayu ini bila tekan sampai tahap itu, dia jadi susuk tragis dan dapat simpati,” katanya pada Podcast Keluar Sekejap edisi khas PRN dihoskan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

    Beliau diminta mengulas soalan tetamu program Ong Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi sama ada kempen mega PH di Hulu Kelang memberi kesan kepada keputusan PRN di kawasan itu.

    Ong berkata, kempen itu termasuk menampilkan persembahan Siti Nurhaliza dalam ceramah turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tapak Pasar Malam Ukay Perdana pada 6 Ogos lalu.

    Bagaimanapun, semakan mendapati kempen itu bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa terletak bersebelahan Hulu Kelang, kawasan berkenaan diwakili Azmin sebelum ini.

    Pada PRN Sabtu lalu, Azmin kembali ke DUN Hulu Kelang yang pernah diwakilinya 24 tahun lalu apabila menang kerusi itu dengan majoriti 1,617 undi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu menewaskan pencabarnya, Juwairiya Zulkifli daripada PH.

    Azmin memperoleh 25,297 undi manakala Juwairiya mendapat 23,980 undi.