Category: Semasa

  • Pengajar kelas renang bakal berdepan 32 pertuduhan rogol anak tiri

    Pengajar kelas renang bakal berdepan 32 pertuduhan rogol anak tiri

    SEORANG lelaki yang dipercayai merogol anak tirinya berusia 16 tahun sehingga mendorong remaja berkenaan melarikan diri baru-baru ini bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 36 tahun akan berdepan 32 pertuduhan termasuk merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek sejak tiga tahun lalu.

    “Arahan pertuduhan telah diperolehi daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) selepas siasatan selesai dilengkapkan manakala isterinya yang sebelum ini turut ditahan tidak didakwa dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

    “Kes ini telah dirujuk kepada PPN dan arahan untuk pendakwaan telah dikeluarkan pada esok iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) KK.

    “Suspek yang bekerja sebagai pengajar kelas renang itu juga akan didakwa bagi 12 tuduhan melakukan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, lapan lagi pertuduhan terhadapnya akan turut dilakukan di bawah Seksyen 377 CA KK kerana melakukan hubungan seks menggunakan objek.

    Katanya, siasatan awal mendapati remaja itu telah menjadi mangsa rogol ayah tirinya itu sejak tahun 2020 lagi.

    “Kejadian dipercayai berlaku di rumah mereka yang mana suspek telah merogol mangsa dalam keadaan tidak rela dan semasa kejadian, ibu kandung remaja itu sedang tidur dalam bilik tidur,” katanya, lapor Astro Awani.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, bapa tiri serta ibu kandung mangsa yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).

    Pasangan itu dipercayai terlibat dalam kejadian merogol anak perempuan mereka berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

    Perbuatan terkutuk suspek yang dipercayai turut diketahui isterinya itu terbongkar selepas mangsa yang sebelum ini melarikan diri selama 18 hari memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak polis.

  • Kerajaan diarah bayar RM1.54 juta kepada keluarga 3 mangsa

    Kerajaan diarah bayar RM1.54 juta kepada keluarga 3 mangsa

    MAHKAMAH memberi pampasan sejumlah RM1.54 juta kepada keluarga mangsa kematian dalam tahanan untuk tiga saman sivil yang berasingan antara 2016 dan 2022.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketiga-tiga kes itu telah diselesaikan.

    “Mahkamah telah menetapkan pampasan kepada keluarga mangsa berjumlah RM1.54 juta bagi kesemua kes itu.

    “Bagaimanapun, polis tidak dapat memastikan sama ada wang pampasan telah dibayar kepada waris mangsa atau masih ada rayuan daripada peguam,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, lapor MalaysiaKini.

    Menteri itu menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang meminta jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada keluarga mangsa yang mati dalam tahanan.

    Kulasegaran juga meminta senarai pesalah dalam kes sedemikian dan sama ada tindakan telah diambil terhadap pegawai polis yang bersalah.

    Azalina berkata, tindakan telah diambil terhadap dua pegawai polis yang didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

    Seksyen 330 memperkatakan sesiapa ‘secara sukarela menyebabkan kecederaan untuk tujuan memeras ugut… sebarang pengakuan atau maklumat yang boleh membawa kepada pengesanan kesalahan atau salah laku’.

    Pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

  • MB Kelantan tak bincang mengenai royalti dengan PM

    MB Kelantan tak bincang mengenai royalti dengan PM

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini hanyalah kunjungan biasa dan tidak membincangkan secara khusus berkaitan tuntutan royalti petroleum.

    Ahmad berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan berhubung isu berkenaan.

    “Royalti seperti mana dulu, kita beri salinan (surat) saja. Tuntutan itu dihantar sebagai mana biasa.

    “Berunding itu atas asas yang lama, apapun itu saja sebagaimana yang lama,” katanya pada sidang media selepas mengagihkan sumbangan kuih raya kepada agensi keselamatan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul yang diterima dewan undangan negeri (DUN) Kelantan sebelum ini yang mahu Menteri Besar berunding dengan Perdana Menteri berhubung royalti petroleum dengan kadar segera.

    Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

    Ini kerana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

    Sementara itu Ahmad berkata, pertemuan yang berlangsung di Putrajaya kelmarin itu adalah kunjungan biasa.

    “Menerusi pertemuan itu, kita memohon supaya semua perkara (diluluskan) pada pentadbiran sebelum ini supaya diteruskan.

    “Berunding atas asas yang lama dan Perdana Menteri memberi maklum balas dengan mengatakan ‘Insya-Allah’.

    “Insya-Allah kita berharap Perdana Menteri memberi sesuatu yang terbaik untuk Kelantan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Bekas setiausaha politik Iris Haron mengaku tak bersalah terima suapan lebih RM400,000

    Bekas setiausaha politik Iris Haron mengaku tak bersalah terima suapan lebih RM400,000

    BEKAS Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 sebagai ‘upah’ projek pembinaan masjid, enam tahun lalu.

    Tertuduh Datuk Rosli Hasan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 12 pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya bernilai RM323,736 di Taman Pokok Mangga antara Mei 2017 hingga Februari 2018.

    Tertuduh turut didakwa atas 11 pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM85,000 melalui bayaran kad kredit antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017.

    Kesemua suapan berkenaan sebagai dorongan membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serbaguna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai RM5.28 juta.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, lapor Astro Awani.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samad mencadangkan jaminan sebanyak RM80,000 serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain meminta tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 memandangkan tertuduh perlu menanggung dua isteri dan lapan anak dengan hanya mengharapkan pencen sebanyak RM2,018 sebulan.

    Hakim Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan rayuan pihak pembelaan serta cadangan syarat tambahan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mei bagi untuk sebutan semula kes.

  • Dakwaan LGBT:Pas mohon batalkan saman fitnah oleh Mujahid

    Dakwaan LGBT:Pas mohon batalkan saman fitnah oleh Mujahid

    PAS memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah Naib Ketua Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Muhajid Yusof Rawa terhadap parti pembangkang itu.

    Peguam bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu, Noorazmir Zakaria mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Pas memohon untuk membatalkan tindakan sivil itu tanpa mendengar meritnya pada perbicaraan penuh.

    “Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Jun depan untuk pendengaran permohonan selepas mengosongkan tarikh pendengaran hari ini,” katanya.

    Menurut salinan permohonan pembatalan yang dirangka di bawah Perintah 18 Peraturan 19(1)(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, Pas yang disaman melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Mujahid gagal mendedahkan sebarang sebab tindakan yang munasabah terhadap parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.

    Pada 15 Disember tahun lalu, Mujahid mengheret Pas ke mahkamah kerana dakwaan bekas menteri agama itu menyokong golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

    Tindakan sivil itu berkaitan satu hantaran dalam Facebook pada 16 Oktober lalu, yang merujuk ketika beliau menjadi menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga hal-ehwal agama ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

    Pentadbiran PH di bawah teraju Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berlangsung dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

    Menerusi writ saman itu, plaintif memohon antara lain perintah mahkamah agar Takiyuddin atau Pas membuat permohonan maaf terbuka yang disiarkan dalam akhbar harian Melayu dan Facebook parti itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

  • Pelantikan boleh dipertikai jejas keyakinan pelabur, kerajaan diberitahu

    Pelantikan boleh dipertikai jejas keyakinan pelabur, kerajaan diberitahu

    KERAJAAN perlu konsisten dalam membuat pelantikan ke badan kawal selia utama atau berdepan risiko menghalang pelabur memberikan dana kepada industri baharu.

    Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, pelantikan eksekutif kanan Gamuda Bhd. sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini merupakan contoh konflik kepentingan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui.

    “Kerajaan perlu berusaha menggunakan prinsip asas yang diwar-warkan (mengenai tadbir urus baik) berbanding cakap tak serupa bikin. Jika tidak, pelabur tidak akan percaya apa yang dikatakan,” katanya kepada FMT.

    Pelantikan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Rashdan Yusof mengetuai ST pada Februari lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan antirasuah dan ketelusan serta pemain industri dan perniagaan terhadap konflik kepentingan dan tidak akan meningkatkan keyakinan pelabur.

    Gamuda ialah pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, dan Disember lalu, ia mengumumkan RM2 bilion dibelanjakan untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharuinya.

    Setakat ini, ia memperoleh 30 peratus kepentingan dalam ERS Energy Sdn. Bhd , syarikat terlibat dalam tenaga solar.

    Jumaat lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan pelantikan Rashdan dengan berkata ia untuk merombak pendekatan pengawal selia terhadap peralihan tenaga.

    Katanya, terdapat perundangan persekutuan yang ‘menyediakan peruntukan jelas’ bagi contoh konflik kepentingan dan cara menanganinya, memetik Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 sebagai contoh, yang mensyaratkan anggota suruhanjaya mengisytiharkan kepentingan mereka.

    Seorang lagi ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez berkata, justifikasi Nik Nazmi untuk pelantikan Rashdan ‘amat tidak memuaskan’ dan bertanya sama ada menteri itu sedar Gamuda sudah mengisytihar fokusnya terhadap tenaga boleh diperbaharui.

    Beliau berkata, pegangan 30 peratus Gamuda dalam ERS Energy Sdn. Bhd. mencerminkan minatnya dalam tenaga boleh diperbaharui.

    Katanya, jika Nik Nazmi menyedari perkara itu, tetapi meneruskan pelantikan Rashdan, ia menunjukkan ‘penilaian buruk’ oleh menteri.

    Hakikatnya, beliau berkata, Nik Nazmi memetik undang-undang persekutuan sebagai contoh konflik kepentingan juga menunjukkan beliau sedar situasi sedemikian mungkin timbul.

    “Menteri telah mewajarkan pelantikan ini atas alasan mahu melakukan rombakan di ST. Walaupun ini harus dipuji, namun cara dia melakukannya menimbulkan kebimbangan.

    “Beliau patut tahu peranan utama suruhanjaya itu adalah memastikan tatacara pasaran adil, tetapi bagaimana syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui boleh memberi jaminan tentang perkara ini apabila pengerusinya adalah eksekutif kanan sebuah syarikat berminat menceburi industri ini?”

    Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, Putrajaya mesti menjelaskan proses pemilihan Rashdan secara telus, manakala Transparency International Malaysia menggesa Rashdan menolak jawatan itu.

  • Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa terbakar 80 peratus, empat bilik musnah

    Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa terbakar 80 peratus, empat bilik musnah

    KLINIK Kesihatan Pengkalan Chepa di Kota Bharu terbakar 80 peratus akibat kebakaran empat buah bilik dalam kejadian pada pukul 12.26 tengah malam, semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, PKPgB Alam Nasut Ilias berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi pada 12.33 tengah malam dan mendapati empat buah bilik iaitu bilik pemandu ambulans serta tiga bilik pemeriksaan doktor (pesakit luar) di klinik kesihatan berkenaan hangus dijilat api.

    “Seramai 17 anggota termasuk bantuan daripada BBP Kota Bharu terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.18 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Kematian tentera di Hutan Belum tiada unsur jenayah, kata polis

    Kematian tentera di Hutan Belum tiada unsur jenayah, kata polis

    KEMATIAN anggotar tentera berpangkat koperal di Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, tidak membabitkan sebarang unsur jenayah atau binatang buas, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Katanya, mayat Mohammad Nasri Mohd. Nasib berusia 33 tahun dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Kem Sri Bentong, Pahang ditemui dalam keadaan sempurna pada 10.15 pagi semalam.

    “Saya dimaklumkan mayat (ditemui) dalam kawasan hutan berhampiran dengan sungai.

    “Keadaan mayat masih sempurna dan kita percaya tiada unsur jenayah ataupun binatang buas. Jadi kita tunggu hasil bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dipindahkan dari Hospital Gerik ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk dibedah siasat.

    Buat masa ini, katanya, kes diklasifikasikan mati mengejut.

    Media sebelum ini melaporkan kehilangan mangsa ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain kira-kira 5 petang Jumaat lalu.

    Kehilangan mangsa dilaporkan kepada polis hanya pada 12.50 tengah malam Ahad lalu, dengan usaha mencari dan menyelamat dijalankan bersama pasukan tentera pada hari sama mangsa dilaporkan hilang.

  • 2 maut lori rempuh treler

    2 maut lori rempuh treler

    DUA lelaki maut selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di KM402.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.13 pagi.

    “Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah treler Scania yang dilanggar dari belakang oleh sebuah lori Isuzu yang membawa muatan ais batu.

    “Dua lelaki berusia 30-an yang menaiki lori itu masing-masing tersepit di bahagian pemandu dan kelindan. Mereka dipercayai meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.

    Bagaimanapun, katanya, identiti dua mangsa itu belum dikenal pasti.

  • Ibu dalam pantang maut tertusuk pisau di leher

    Ibu dalam pantang maut tertusuk pisau di leher

    SEORANG wanita yang baru sebulan bersalin ditemui maut dengan kesan tikaman pada leher di Kampung Beris Panchor, Tawang, dekat Bachok semalam.

    Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai baru 36 hari melahirkan anak keempatnya.

    Ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, berkata anak perempuannya yang tinggal di Kedah sebelum ini, ditemui berlumuran darah dalam bilik tidur.

    “Kami turut menemui sebilah pisau pemotong sayur berada di bahagian tengah leher mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, mangsa yang berada di ruang tamu sebelum itu, menyerahkan bayinya untuk bercakap dengan suami yang berada di Kedah menerusi telefon dan sempat berpesan menjaga bayinya sebelum memasuki bilik.

    Zuraizah kemudian meminta anak bongsunya mengintai mangsa yang berada dalam bilik menggunakan tangga kerana bimbangkan keselamatannya.

    “Kami juga cuba pecahkan pintu bilik beberapa kali. Apabila berjaya masuk, kami terkejut dia terbaring berlumuran darah dengan pisau tertusuk pada lehernya.”

    Katanya, ketika itu, mangsa masih bernyawa dan beliau meminta ahli keluarga membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor.

    Beliau berkata, mangsa yang sering mengadu sakit di bahagian perut, pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan pagi semalam.

    “Sejak pulang dari sana, dia kelihatan seperti tertekan,” katanya.

    Ketua Polis Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin yang mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasi mati mengejut.