Category: Semasa

  • Hajat beli persiapan raya tak kesampaian, bapa, anak saudara maut kemalangan

    Hajat beli persiapan raya tak kesampaian, bapa, anak saudara maut kemalangan

    HASRAT seorang pekerja kilang membawa bapa saudaranya membeli persiapan raya tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut setelah kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Lendu Masjid Tanah, Alor Gajah malam tadi.

    Kejadian pukul 12 tengah malam itu mengakibatkan, mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Seorang lagi penumpang bahagian belakang, Azizul Hamis@Jainy pula cedera parah dalam kejadian itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, ketiga-tiga mangsa menaiki Perodua Myvi dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke arah Masjid Tanah.

    Namun katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta dipandu Muhammad Hasraf hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

    “Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan menuju ke bazar Aidilfitiri di Masjid Tanah.

    “Impak kemalangan itu pemandu dan bapa saudaranya yang duduk di kerusi penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala, manakala Azizul yang mengalami cedera parah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan dirawat di zon merah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Arshad berkata, mayat kedua-dua saudara itu dibawa ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

  • Pemandu lori buah maut elak tayar atas lebuh raya

    Pemandu lori buah maut elak tayar atas lebuh raya

    SEORANG pemandu lori buah maut selepas kenderaan dipandu terbabas dan terbalik melanggar besi pembahagi jalan setelah dia cuba mengelak tayar yang berada atas lebuh raya, awal pagi ini.

    Dalam kejadian di kilometer 68.3 Lebuhraya PLUS, pukul 2.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa Muhammad Saifuddin Md Lazan, 35, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan, selepas tercampak keluar dari kenderaannya dan jatuh ke bawah jambatan.

    Menurutnya, kemalangan turut membabitkan seorang pemandu treler membawa muatan simen berusia 68 tahun dan pemandu Honda Civic berusia 26 tahun. Bagaimanapun keduanya tidak cedera.

    “Akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori buah terjatuh ke dalam longkang pembahagi jalan dan cedera parah di kepala serta di badan.

    “Seorang pemandu treler yang membawa muatan simen dan pemandu Honda Civic yang berada di belakang lori mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar lori muatan buah-buahan itu yang terbalik atas jalan.

    “Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori simen dan Honda Civic tidak mengalami kecederaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Mengulas lanjut Bahrin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Ketiga-tiga kenderaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

    Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori lima tan jenis Isuzu tercampak keluar ke bawah jambatan. Mangsa lain dalam keadaan selamat dan pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak membawa mangsa naik menggunakan pengusung,” katanya.

  • Normalisasi Arab-Israel perlihat kerapuhan kesatuan negara Islam

    Normalisasi Arab-Israel perlihat kerapuhan kesatuan negara Islam

    DEWAN Pemuda Pas Malaysia menegaskan, langkah normalisasi hubungan antara negara Arab dengan Israel adalah tidak sihat, selain menunjukkan kesatuan negara Islam yang rapuh dalam mengecam kezaliman rejim zionis.

    Menurut Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim, kesatuan ialah kata kunci untuk memastikan tekanan berterusan kepada Israel.

    “Kita telah melihat sebahagian daripada yang telah Malaysia tunjukkan kita tidak pernah ada hubungan diplomatik dengan negara haram israel dan tidak mengiktiraf kewujudan negara haram itu.

    “Kita juga konsisten dalam perkara itu sehingga hari ini. Kata kunci ialah kesatuan. Suara mesti satu, senada dan konsisten membela Palestin.

    “Contoh kalau ini ambil daripada negara-negara Arab, negara-negara yang bukan majoriti orang Islam sekalipun, sepatutnya suara-suara ini disatukan dan mesti menjadi titik kepada persamaan untuk kita duduk semeja dan berunding dan memastikan israel tidak merasakan dirinya satu kewujudan yang disanjungi atau diiktiraf,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Abdul Malik merujuk ketegasan Perdana Menteri yang kini Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan yang menyatakan bantahan secara terbuka dan bersemuka dengan pemimpinan Israel pada tahun 2009.

    “Contoh nama Erdogan, Presiden Turkiye yang telah berjaya melonjakkan nama beliau. Beliau beri amaran dalam satu forum ekonomi kepada (Presiden Israel) Shimon Peres. Ia telah menggemparkan dunia walaupun dunia menyatakan, apalah sangat kata dua yang diberikan oleh Erdogan kepada Peres.

    “Dia besar kepala kerana dia beranggapan masih ada negara yang menyokong kebiadaban yang dibuat,” katanya, lapor Astro AWANI.

  • PN selesai agih kerusi di empat negeri

    PN selesai agih kerusi di empat negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERIKATAN Nasional (PN) selesai mengadakan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen itu di empat negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang antara negeri yang selesai menjalani proses itu.

    Manakala, kerusi DUN di Negeri Sembilan dan Selangor hanya berbaki beberapa kawasan sahaja lagi untuk dimuktamadkan menjelang Ahad ini.

    “Ada sedikit lagi (belum selesai) iaitu dua ke tiga kerusi di Negeri Sembilan dan dua tiga kerusi juga di Selangor. (Rundingan untuk) Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu selesai. Kita bagi masa seminggu kepada kepimpinan PN negeri itu sehingga Ahad ini dan akan jumpa semula.

    “Bukan pasal apa sebab hang nak (kerusi), aku pun nak jadi kita rundinglah. Itu sebab rundingan tak selesai kita jumpa mereka dan suruh runding lagi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Para Sukma XX di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar.

    Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, perbincangan agihan kerusi DUN dalam kalangan parti dalam PN sudah mencapai 80 peratus yang dibuat secara muafakat.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi menafikan kelewatan rundingan kerusi di kedua-dua negeri tersebut disebabkan ura-ura penyertaan bekas pemimpin daripada parti lawan sebelum ini.

    “(Punca) lambat bukan sebab pemimpin UMNO nak sertai kita dan kita bukan runding calon lagi, cuma runding kerusi sahaja dahulu. Bukan kerusi panas sangat pun, biasa sahaja. Ahad selesai semua,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah itu menegaskan beliau tidak berkecil hati walaupun tidak mendapat jemputan untuk ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Petani, hari ini yang diketahui bukan program rasmi Kerajaan Persekutuan.

    “Tak ada jemputan, saya pun tak tau apa. Depa tak jemput saya tak pergi. Itu benda kecil, buka puasa sahaja tak jemput tak apa. Bukan program rasmi kerajaan walaupun berbuka puasa. Kalau program untuk pentadbiran kerajaan itu betullah kena panggil saya. Tak ada berkecil hatilah,” katanya.

    Tambah Muhammad Sanusi, beliau turut mempunyai program berbuka lain yang harus dihadirinya pada masa yang sama.

    Anwar akan menghadiri beberapa program di Pulau Pinang sebelum berkunjung ke Kedah untuk Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri di Sungai Petani.

    Pada 5 April lalu, Muhammad Sanusi dan beberapa pimpinan kerajaan negeri memenuhi undangan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke majlis berbuka puasa di Masjid A’Ala Pekan Jitra di Kubang Pasu.

  • Padah ceroboh rumah ibu saudara, guru ‘berhari raya’ di penjara

    Padah ceroboh rumah ibu saudara, guru ‘berhari raya’ di penjara

    SEORANG guru terpaksa menyambut Aidilfitri di penjara selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonannya mendapatkan kebenaran merayu terhadap hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan menceroboh rumah ibu saudaranya.

    Panel tiga hakim terdiri Hanipah Farikullah, Hadhariah Syed Ismail dan Azman Abdullah, menolak permohonan Mohamad Hassan@Malek, 43, memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.

    Mohamad sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM10,000 sementara selesai permohonan rayuan.

    Dia didenda RM3,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 24 Ogos tahun lalu atas kesalahan itu.

    Selain itu, dia juga diperintahkan membayar RM500 sebagai kos pendakwaan, jika gagal, dipenjara tiga hari. Dia membayar denda dan kos tersebut.

    Pihak pendakwaan kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi terhadap hukuman itu yang dikatakan tidak memadai, manakala Mohamad tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap sabitan atau hukumannya.

    Pada 31 Jan lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhi hukuman penjara enam bulan terhadap lelaki itu.

    Mahkamah Tinggi juga mengekalkan denda RM3,500 dan kos pendakwaan.

    Mohamad kemudian memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan memohon kebenaran merayu terhadap hukumannya itu.

    Mengikut undang-undang, Mohamad perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan rayuan kerana kesnya bermula di Mahkamah Majistret.

    Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dengan memasuki rumah Suhaida Sulaiman yang juga jirannya di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor pada 4.30 pagi, 12 Feb 2019.

    Mengikut fakta kes, dia memasuki bilik Suhaida dan menutup mulut wanita itu dengan tangannya.

    Anak perempuan wanita itu yang berusia 10 tahun yang sedang tidur dengan ibunya menjerit menyebabkan Mohamad melarikan diri dari tempat kejadian.

    Mohamad diwakili peguam Maidzatul Akmal Daud manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari mewakili pendakwaan.

  • Tiga wanita direman seleweng dana syarikat pusat urut

    Tiga wanita direman seleweng dana syarikat pusat urut

    TIGA wanita direman lima hari kerana disyaki menyeleweng dana sebuah syarikat pusat urut terkemuka berjumlah jutaan ringgit.

    Ketiga-tiga wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu terdiri daripada dua pengarah syarikat pembekal minyak urut manakala seorang lagi adalah isteri kepada bekas pengarah urusan syarikat pusat urut tersebut.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketiga-ketiga individu itu ditahan petang semalam di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kerana disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu untuk memanipulasikan syarikat antara tempoh 2017 hingga 2019.

    Mereka dikatakan menyeleweng wang tersebut menerusi pembelian minyak urut pada harga tinggi berbanding harga pasaran menerusi syarikat pembekal yang merupakan proksi mereka, melibatkan jumlah pembelian bernilai RM9 juta.

    Sumber itu berkata syarikat berkenaan dikatakan mengalami kerugian anggaran RM1.8 juta akibat pembelian tersebut.

    Perintah reman bermula hari ini hingga 17 April dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata SPRM kini sedang mengesan dua suspek utama kes berkenaan iaitu bekas pengarah urusan dan bekas pegawai kewangan syarikat pusat urut tersebut.

  • Lelaki ditahan cuba cabul, tunjuk kemaluan

    Lelaki ditahan cuba cabul, tunjuk kemaluan

    POLIS menahan seorang lelaki kerana cuba mencabul beberapa wanita dan melakukan kelucahan melampau dengan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

    Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, pukul 1.15 tengah hari tadi di sebuah kilang di Jalan Batu Kawa.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan ke atas suspek hasil daripada maklumat orang awam.

    “Setakat ini, polis menerima sebanyak enam laporan kejadian mangsa cuba dicabul kehormatan dan tindakan suspek melakukan kelucahan melampau.

    “Suspek mengekori mangsa dan apabila tiba di kawasan sunyi, suspek mengambil kesempatan menunjukkan kemaluannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Abang Zainal berkata, polis turut merampas sebuah motosikal, dua topi keledar dan pakaian suspek.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    Menurutnya, suspek direman di Mahkamah Kuching esok untuk siasatan lanjut, lapor Harian Metro.

  • Bayi empat bulan maut di rumah pengasuh

    Bayi empat bulan maut di rumah pengasuh

    SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Taman Selayang, Batu Caves, di Gombak semalam.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati bayi tersebut telah dijaga oleh pengasuh seorang wanita berusia 47 tahun.

    Menurutnya, pada pukul 11 pagi, bayi tersebut tidak sedarkan diri semasa dikejutkan daripada tidur.

    “Pengasuh tersebut telah menghubungi ibu bayi berkenaan untuk memaklumkan kejadian tersebut.

    “Bayi tersebut telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Selayang dan telah disahkan meninggal dunia pada pukul 11.53 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Zainal Mohamed berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang memaklumkan kejadian tersebut.

    Katanya, bedah siasat telah dijalankan pada 9 pagi tadi di Hospital Selayang dan punca kematian bayi tersebut adalah masalah jantung sejak lahir.

    Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tambahnya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor J. J. Winson di talian 016-2335454 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak ditalian 03-61262222.

  • Jakim sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah

    Jakim sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah

    LAPORAN yang menyatakan hasil cerapan 1 Syawal 1443H yang ditetapkan pada 2 Mei 2022 tidak sah dan terbatal, adalah tidak benar, menurut Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini.

    Jakim dalam kenyataan hari ini, sebagai maklum balas terhadap laporan bertajuk ‘Cerapan Anak Bulan Lebih Ketat Dan Teliti’ menegaskan hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

    “Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan,” menurut Jakim.

    Selain itu, Jakim memaklumkan kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal (anak bulan/bulan sabit) menerusi peralatan teodolit.

    Menurut Jakim imej yang diperoleh kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur.

    Satu perbincangan khusus juga kemudiannya dilaksanakan oleh mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan, sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat, menurut kenyataan itu. 

    “Kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong,” menurut Jakim.

    Jakim dalam kenyataannya juga menyangkal artikel berkenaan yang menyatakan laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia kerana semakan di laman sesawang itu mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.

    Jakim berkata semua pihak diminta berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.

    “… masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen.

    “Jakim menyeru masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan 1444H/ 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia,” katanya.

  • Bersih gesa kerajaan lakukan segera reformasi, elak pertukaran kerajaan

    Bersih gesa kerajaan lakukan segera reformasi, elak pertukaran kerajaan

    ANCAMAN bahawa kerajaan hari ini bakal tumbang semakin menghampiri tanpa pelaksanaan reformasi, kata pengerusi Bersih, Thomas Fann.

    Bercakap pada pelancaran Laporan Tahunan Bersih 2022 dalam talian menerusi Facebook hari ini, dia berkata bahawa reformasi itu diperlukan bukan sahaja untuk membawa kestabilan politik jangka panjang tetapi juga untuk menghapuskan sebarang tekanan mengenai kemungkinan pertukaran kerajaan.

    Fann berkata, ini kerana negara kini berada dalam situasi yang sama seperti selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui negara.

    “Apabila PH mula membentuk kerajaan pada 2018, jangkaan semua ialah mereka akan mempunyai tempoh empat atau lima tahun untuk membawa pembaharuan institusi yang penting. 

    “Tetapi mereka hanya mempunyai 22 bulan (berkuasa). Kebimbangan itu masih berterusan hari ini, semata-mata kerana keadaan politik masih agak status quo, seperti pada PRU14. Ada kemungkinan kerajaan ini tidak berkekalan.

    “Atas sebab itu (kita lihat) gerakan politik rakan kongsi mereka untuk mendapatkan pengampunan buat Najib dan menggugurkan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad) Zahid (Hamidi).

    “Semua ini adalah spekulasi dan gerakan di belakang tabir,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Justeru, Fann menyeru pentadbiran semasa melaksanakan reformasi parlimen yang membolehkan ahli parlimen, baik pelapis kerajaan mahupun pembangkang, memainkan peranan aktif di Parlimen.