Category: Semasa

  • Singkir Bestinet agar pengambilan pekerja asing lebih telus

    Singkir Bestinet agar pengambilan pekerja asing lebih telus

    KERAJAAN harus menyingkirkan Bestinet Sdn Bhd dan broker buruh agar proses pengambilan pekerja asing menjadi lebih telus.

    Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, ini kerana Bestinet dikawal oleh broker buruh utama.

    “Proses pengambilan mesti terbuka dan telus di kedua-dua negara,” kata bekas Ahli Parlimen daripada DAP itu dalam kenyataan, lapor FMT.

    Bestinet ialah pembekal sistem IT untuk pengambilan pekerja dari semua negara sumber.

    Pada Julai tahun lepas, syarikat itu diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sebuah agensi buruh di Dhaka menuduh pengasas Bestinet ‘meyakinkan’ kerajaan untuk mengehadkan bilangan agensi yang membekalkan pekerja Bangladesh kepada hanya 25.

    Mengulas lanjut Santiago berkata, pengurusan pengambilan pekerja asing harus diletakkan bawah Pejabat Perdana Menteri, bukannya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahupun Kementerian Sumber Manusia (KSM).

    “(Perlu ada) jabatan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diketuai oleh bekas hakim, CEO atau pesara penjawat awam kanan,” katanya.

    Santiago turut menggesa kerajaan supaya menghebahkan penemuan laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing 2019 yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Hishammudin Yunus.

    “Pengurusan pekerja migran boleh jauh ditambah baik, tetapi malangnya, kita lebih suka menanggung akibat tidak bertindak,” katanya.

    Laporan jawatankuasa 2019 itu dikatakan mengesyorkan pengambilan pekerja diletakkan bawah KSM tetapi menurut sumber, Jemaah Menteri Pakatan Harapan (PH) ketika itu membantah penemuan laporan itu dihebahkan.

  • Aidilfitri: PDRM akan laksana Op Lancar, Op Selamat

    Aidilfitri: PDRM akan laksana Op Lancar, Op Selamat

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata fokus Op Lancar tersebut adalah di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.

    Beliau berkata seluruh jentera PDRM di lapangan akan diatur gerak melibatkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan, selain mendapatkan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi melancarkan aliran trafik .

    “Ia akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Acryl Sani berkata selain Op Lancar, PDRM juga akan melaksanakan Op Selamat ke-20 bermula 20 hingga 27 April bertemakan ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’ bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

    Menurutnya fokus utama operasi itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

    “Dalam Op Selamat ini, PDRM akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai, selain mengurangkan beban kesesakan.

    “Selain itu, pemantauan udara oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi titik panas yang telah dikenal pasti, seterusnya menyalurkan info tersebut kepada elemen di lapangan untuk tindakan,” katanya.

    Beliau meminta pengguna jalan raya agar peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak konsesi lebuh raya, selain menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

    Menurutnya keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat sama ada melalui rakaman video atau gambar mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang, juga amat dipuji serta dihargai.

    “PDRM menasihatkan pengguna jalan raya agar bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus di dalam pemanduan sepanjang masa agar Hari Raya Aidilfitri dapat disambut dalam suasana kekeluargaan dan kesejahteraan,” katanya.

  • Suami isteri miliki 5 kg dadah berdepan tali gantung

    Suami isteri miliki 5 kg dadah berdepan tali gantung

    SEPASANG suami isteri ditahan bersama lima kilogram (kg) ganja dalam sebuah kereta yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, pasangan warga tempatan masing-masing berusia 35 dan 34 tahun itu ditahan pukul 1 tengah ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Bukit Berapit, Ayer Panas, di Pengkalan Hulu.

    “Hasil pemeriksaan terhadap Perodua Viva dinaiki pasangan terbabit menjumpai lima ketulan mampat dibalut kertas biru dan balutan plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat lima kg.

    “Turut dirampas satu peket plastik lut sinar berisi dedaun kering juga disyaki ganja dianggarkan seberat 7.29 gram (g) yang disorokkan di poket seluar suspek lelaki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Katanya, nilai rampasan dadah itu berjumlah RM15,500 dan disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek lelaki bekerja sebagai buruh turut mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan selain didapati positif dadah.

    Menurutnya, suspek wanita pula yang bekerja di sebuah kilang, tiada rekod jenayah dan saringan air kencing mendapati dia bebas pengaruh dadah.

    Zulkepli berkata, permohonan reman ke atas dua suspek itu dibuat hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Katanya, susulan daripada kelulusan penggunaan ganja di Thailand, polis khususnya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu akan terus meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di sempadan.

    Beliau berkata, justeru pihaknya memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan dan penyalahgunaan dadah di Pengkalan Hulu ke IPD Pengkalan Hulu atau balai-balai polis berhampiran.

  • Polis buru 3 lelaki pecah masuk pejabat Imigresen Tenom

    Polis buru 3 lelaki pecah masuk pejabat Imigresen Tenom

    TIGA lelaki yang memecah masuk Pejabat Imigresen Tenom dan menyerang pengawal keselamatan hingga cedera, pada Khamis lalu kini diburu polis.

    Dalam kejadian pukul 1.11 pagi itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 29 tahun turut diikat oleh suspek yang bertopeng.

    Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati ketika membuat rondaan di luar Pejabat Imigresen Tenom, mangsa terserempak dengan dua lelaki tidak dikenali.

    “Kedua-dua suspek memakai pelitup muka dan seorang daripada suspek menyerang mangsa dengan senjata tajam dipercayai gergaji besi,” katanya.

    Mangsa ujar beliau, cuba menahan menggunakan tangan lalu cedera sebelum kedua-dua suspek kemudian mengikat tangan mangsa.

    “Suspek memecah masuk melalui pintu belakang pejabat Imigresen dan menyelongkar barang-barang di pejabat sebelum melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang menunggu dalam kereta,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

    Hasan berkata, selepas itu mangsa dikatakan menghubungi isterinya menggunakan telefon bimbitnya untuk meminta bantuan.

    Mangsa katanya, mengalami cedera di tapak tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Keningau.

    “Barang-barang yang hilang iaitu dua telefon bimbit, kunci kereta dan dokumen pasport.

    “Identiti semua suspek belum dapat dikenal pasti. Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebat.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini atau suspek boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, Inspektor Mohd Nouraizam Salleh di talian 0138860569 dan mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • ‘Biar MB jawab isu Ketua Pembangkang Selangor’ – Rizam

    ‘Biar MB jawab isu Ketua Pembangkang Selangor’ – Rizam

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail enggan mengulas mengenai kedudukannya selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

    “Sebarang kenyataan mengenai kedudukan saya diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Jawatan Ketua Pembangkang (DUN Selangor)? Saya tiada komen. Biar ia dijawab menteri besar (Selangor),” katanya pada Majlis Perasmian Kembara Sahur di Ley-Park Station, di Sabak Bernam hari ini.

    Rizam berkata, soal jawatan Ketua Pembangkang DUN Selangor tidak sepatutnya dipersoalkan Perikatan Nasional (PN).

    “Pada persidangan DUN Selangor bulan lalu, Amirudin mengumumkan ADUN daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor.

    “Sudah pasti kita ikut apa saranan menteri besar dan seperti sedia maklum, kerajaan di peringkat Persekutuan sudah berlaku gabungan antara BN dan PH (Pakatan Harapan).

    “Di Selangor pun (sama) sekarang seperti (kerajaan) Persekutuan,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.

    Pada 14 Mac lalu, ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membangkitkan Peraturan Mesyuarat ke-87 meminta Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim mengeluarkan petua berkenaan kedudukan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang disandang Rizam berikutan situasi politik semasa dengan UMNO lebih selesa bersama Pakatan Harapan (PH).

    Mohamed Azmin turut mencadangkan ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu di DUN Selangor demi mewujudkan suasana cukup sihat dengan adanya pembangkang efektif dan berkesan.

    Ditanya mengenai persiapan UMNO dan BN Selangor menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Rizam berkata, parti itu sentiasa dalam berada dalam kesiapsiagaan.

    Bagaimanapun beliau memberitahu, soal pembahagian kerusi DUN di negeri ini, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat rundingan.

    “Saya tiada dalam majlis perundingan (antara BN dan PH). Sebagai ADUN, saya hanya menunggu serta bersedia menerima segala keputusan dan arahan daripada parti,” tambahnya.

  • Pengampunan Najib ‘boleh runtuhkan’ kerajaan, kata Kit Siang

    Pengampunan Najib ‘boleh runtuhkan’ kerajaan, kata Kit Siang

    PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang memberi amaran bahawa Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan diraja.

    Menjelaskan pendapatnya itu, Kit Siang melihat masalah yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih kepada bersifat dalaman daripada luaran.

    “Saya fikir adalah satu kesilapan mempercayai bahawa UMNO dapat kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib diampunkan.

    “Sebaliknya, saya percaya pengampunan Najib pada masa sekarang tidak akan menguntungkan UMNO sama sekali, sebaliknya menguntungkan PAS dan Bersatu, selain menyebabkan kejatuhan kerajaan Anwar,” katanya pada satu kenyataan hari ini lapor Malaysiakini.

    Minggu lalu, majlis kerja tertinggi UMNO sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas rasuah berhubung kes SRC International.

    UMNO juga akan menghantar memorandum yang ditandatangani oleh semua 191 pemimpin bahagian parti itu kepada Seri Paduka baginda.

    Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, satu-satunya cara untuk UMNO mengembalikan semula ‘zaman kegemilangan’ itu adalah dengan kembali kepada prinsip asal pembinaan negara majmuk.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini juga berkata proses pengampunan untuk Najib kini tidak lagi melibatkan prosedur undang-undang, sebaliknya terserah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.

    Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa bahawa kerajaan akan berdepan masalah besar jika Najib diberi pengampunan diraja.

  • Saifuddin nafi kaitan dengan individu ditahan hina institusi diraja

    Saifuddin nafi kaitan dengan individu ditahan hina institusi diraja

    AHLI Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menafikan dakwaan beliau memberikan bantuan kewangan kepada individu yang ditahan pihak berkuasa berkait hantaran menghina institusi diraja.

    Beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkannya dengan individu terbabit.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya memberi sokongan kewangan kepada individu-individu yang bernama Roslizal Razali atau Dato Arshad tersebut.

    “Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan apa yang dilaporkan telah dilakukan oleh mereka berdua,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya, lapor FMT.

    Saifuddin berkata, beliau dinasihatkan oleh peguam untuk membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebar fitnah dan fakta tidak sahih berkenaan isu berkenaan, bertujuan menjejaskannya.

    Pada 12 April, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun bagi membantu siasatan berkait hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja.

    Kesalahan itu dipercayai dibuat menggunakan akaun Facebook ‘Raja Hairun’.

    Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Dua wanita separa sedar diselamatkan bomba dalam kebakaran

    Dua wanita separa sedar diselamatkan bomba dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA wanita yang terperangkap dalam kebakaran di tiga buah rumah di Jalan Tembikai, Jalan Kota Masai, Pasir Gudang, pada pagi tadi diselamatkan bomba dalam keadaan separuh sedar.

    Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.37 pagi.

    Komander Operasi dari BBP Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, berikut itu seramai 21 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres jenis kekal. Dalam kejadian tersebut terdapat dua mangsa telah dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba.

    “Kedua-dua mangsa, Azian Zainalabidin, 20, dan Murni Atikah Zainalabin, 25, didapati separa sedar sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dengan menaiki jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, selain itu tiga buah kereta jenis Toyota Yaris, Toyota Avanza dan Proton Saga terbakar 80 peratus serta tiga buah motosikal terbakar 95 peratus.

    Kebakaran tersebut katanya, mengkibatkan kemusnahan rumah pertama sebanyak 20 peratus, rumah kedua 90 peratus dan rumah ketiga, 40 peratus.

    Menurut Sarhan Akmal, operasi berkenaan tamat pada pukul 6.22 pagi.

    “Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih
    dalam siasatan,” katanya lagi.

  • KDN akan bentang rancangan bawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan

    KDN akan bentang rancangan bawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan kertas kerja kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat, mengenai usaha kerajaan untuk membawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan imigresen.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kini KDN dalam peringkat akhir mengumpul data-data mengenai jumlah, umur dan keberadaan kanak-kanak di depot tahanan seluruh negara.

    Beliau berkata dalam melengkapkan kertas kerja berkenaan, KDN telah melakukan beberapa libat urus dengan pihak berkepentingan dan pakar antaranya Pengasas MERCY Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar.

    “Buat masa ini terdapat seramai 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.

    “Daripada jumlah berkenaan, 351 mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga,” katanya dalam sidang media di program singgah sahur di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, di Kajang awal pagi ini.

    Saifuddin berkata KDN sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan kanak-kanak yang berada di depot tahanan imigresen dengan memastikan mereka mendapat akses kesihatan dan menerima rawatan sewajarnya sekiranya sakit, selain memberi akses pendidikan.

    “Setakat ini, terdapat lima depot tahanan imigresen yang menyediakan kelas bagi kanak-kanak ini antaranya di sini (Depot Tahanan Imigresen Semenyih), Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Johor dan Depot Tahanan Imigresen Belantik di Kedah,” katanya.

    Beliau berkata kelas berkenaan dikendalikan oleh kakitangan depot tahanan imigresen berkenaan secara sukarela.

    Sementara itu, Saifuddin berkata sejak Januari sehingga 12 April lepas seramai 14,139 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing melibatkan seramai 10,625 lelaki dewasa, 2,907 perempuan dewasa, 364 kanak-kanak lelaki dan 243 kanak-kanak perempuan.

    “Pengusiran tertinggi merupakan 5,571 warga Indonesia, Myammar (3,285) dan Filipina (2,203),” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh seseorang ditahan di depot tahanan imigresen sebelum dihantar pulang adalah bergantung kepada seberapa segera dokumentasi dapat disiapkan oleh negara asal.

    “Setakat ini, Indonesia merupakan negara yang paling cepat menyediakan dokumentasi untuk warganya yang ditahan di sini, oleh itu kita dapat lihat warganya paling ramai dihantar pulang,” katanya.

    Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

  • Sayap Bersekutu Bersatu gesa Sivakumar bercuti

    Sayap Bersekutu Bersatu gesa Sivakumar bercuti

    SAYAP Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa V. Sivakumar supaya bercuti daripada menggalas tugas sebagai menteri sumber manusia sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Ketua Penerangan Sayap tersebut, S. Subramaniam berkata, tindakan itu wajar memandangkan dua pegawai kanan yang ditahan oleh SPRM bekerja untuk menteri terbabit.

    “Laporan media mengatakan setiausaha sulit dan pegawai tugas-tugas khas menteri telah ditahan oleh SPRM. Kedua-dua suspek ini dilantik oleh menteri selepas beliau menjadi menteri.

    “Maka, beliau wajar bercuti sehingga SPRM menyelesaikan siasatan ini. Mungkin ada konflik kepentingan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

    Selain pegawai kanan menteri, SPRM telah menahan tiga suspek setakat semalam termasuk seorang ahli perniagaan dari Ipoh bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan penggajian pekerja asing.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan penahanan itu.

    Difahamkan siasatan SPRM tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah sebelum ini berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut kerana kes berkenaan sedang disiasat pihak berkuasa.

    Katanya, beliau dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan.

    Sementara itu, Subramaniam meminta pendirian DAP mengenai kes tersebut.

    “Saya masih ingat, pada 2017, DAP mendesak menteri sumber manusia ketika itu Datuk Richard Riot untuk bercuti berkaitan siasatan SPRM terhadap dakwaan penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) melibatkan setiausaha politik menteri.

    “Maka, sekarang kita nak lihat apakah pendirian DAP pada kali ini,” katanya, lapor Malaysiakini.