Category: Semasa

  • Bukan ‘pak turut’, kejujuran MP Pasir Gudang resahkan pimpinan PKR

    Bukan ‘pak turut’, kejujuran MP Pasir Gudang resahkan pimpinan PKR

    AHLI Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Karim mendakwa pandangan jujurnya mengenai kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim meresahkan beberapa pemimpin parti berkenaan.

    Beliau berkata, ada pihak menghantar mesej memintanya “lebih mengawal diri kerana PKR kini kerajaan”.

    “Walaupun saya faham kebimbangan mereka, sukar untuk saya menahan diri atas perkara membabitkan prinsip. Kita memerlukan kejujuran politik,” kata penyokong kerajaan perpaduan itu yang lantang bersuara menurut laporan Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Hassan menegaskan bahawa penggal ini adalah yang terakhir baginya sebagai Ahli Parlimen.

    Katanya, beliau bimbang “salah langkah” boleh merugikan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

    Dalam gesaan terbarunya terhadap Pakatan Harapan (PH), Hassan berkata, gabungan itu berisiko ditolak pengundi jika bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diampunkan dan tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi digugurkan.

    “Mana-mana senario itu akan menjadi malapetaka buat kerajaan,” katanya.

    Hassan, yang mengenali Anwar selama lebih setengah abad, berkata, “Saya tidak pernah jadi pak turut, dan tidak akan pernah jadi sebegitu.”

    Beliau berkata: “Saya berada di barisan hadapan semasa protes Baling sebagai pemimpin pelajar yang diketuai oleh Anwar pada 1974.

    “Selepas itu, saya mengetuai protes setinggan di Johor Bahru, apabila mereka menahan saya. Saya dibuang dari Universiti Pertanian Malaysia dan biasiswa saya ditarik balik.

    “Ketua Cawangan Khas kemudiannya berkata, saya boleh mendapatkan semuanya kembali jika saya sanggup mengaku dalam siaran langsung di TV bahawa saya telah digunakan oleh anasir subversif untuk mencetuskan pemberontakan.

    “Saya berfikir sejenak, kemudian beredar. Mengapa saya perlu berbohong?”

    Hassan yang juga seorang peguam berkata, beliau tidak takut menyuarakan pandangannya ketika itu dan tidak akan berhenti melakukannya sekarang, walaupun itu diinginkan beberapa pemimpin parti.

    “Jika kita tidak bersuara apabila parti dalam haluan yang memudaratkan, kita akan menganiaya rakyat yang percaya kepada kita. Jadi, saya akan buat apa yang perlu untuk negara,” katanya.

  • KSU KPDN akui beri keterangan tapi bukan disiasat SPRM

    KSU KPDN akui beri keterangan tapi bukan disiasat SPRM

    KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Mohd. Yusof mengakui ada dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung terlebih belanja subsidi minyak masak tahun lalu.

    Bagaimanapun, Azman menjelaskan beliau bukannya disiasat agensi itu tetapi memberi keterangan berhubung proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi, lapor Berita Harian.

    Azman berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dua portal tempatan berhubung dakwaan beliau berbelanja melebihi nilai RM9 juta, bagi tambahan kuota subsidi minyak masak pada tahun lepas.

    Portal itu yang memetik sumber, dilapor berkata, SPRM memanggil beberapa pegawai kementerian termasuk Azman.

    “Memang sudah dipanggil tahun lepas lagi dan ia bukannya dipanggil satu kes. Sebaliknya, dipanggil hanya untuk SPRM mendapatkan keterangan tentang proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.

    “Saya tak tahu mengapa berita mengenai isu ini dikeluarkan kembali, sedangkan berdasarkan bacaan saya, seolah-olah ada butiran dalam laporan berita itu tidak sepatutnya keluar kerana di peringkat rahsia, memandangkan itu maklumat berkait dengan siasatan yang dari situ juga mungkin berlakunya ketirisan,” katanya dalam satu majlis di Tambun, Perak.

    Azman berkata, beliau sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Bukit Aman kerana pihaknya turut mendapat kerjasama baik daripada polis untuk membantu membongkar banyak kes penyeludupan, khususnya minyak masak dan diesel.

    Beliau meluluskan kuota tambahan minyak masak peket bersubsidi bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran, selaras dengan perundangan.

  • Kes agensi pekerja asing:Sivakumar belum dipanggil SPRM

    Kes agensi pekerja asing:Sivakumar belum dipanggil SPRM

    MENTERI Sumber Manusia, V. Sivakumar belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    “Belum. Kalau dipanggil saya akan rela pergi beri keterangan,” katanya kepada pemberita selepas acara bersama NGO masyarakat India sempena sambutan perayaan Chithirai Puthandu 2023 di Menara Rakyat, Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas apakah SPRM sudah memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut, lapor MalaysiaKini.

    SPRM sebelum ini telah menahan tiga individu termasuk setiausaha sulit dan pegawai kananannya bagi membantu siasatan.

    Suspek ketiga merupakan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak.

    Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

    “Saya minta semua pihak supaya tidak buat sebarang spekulasi. Tangkapan ini adalah (sebahagian) proses siasatan.

    “Jika ada aduan terhadap seseorang, SPRM akan siasat individu tersebut. Sekiranya ada asas, mereka akan dituduh di mahkamah. Kalau tidak akan dibebaskan.

    “(Dalam kes ini) siasatan masih dalam peringkat awal. Maka, jangan buat sebarang kesimpulan. Biar siasatan dijalankan,” kata Sivakumar.

  • Sokongan Bung dah tak relevan, Hajiji tetap KM Sabah

    Sokongan Bung dah tak relevan, Hajiji tetap KM Sabah

    PENDIRIAN Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sama ada mahu menyokong atau tidak pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sudah tidak relevan lagi.

    Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Ali yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, ini kerana Hajiji tetap akan kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

    “Saya fikir sokong atau tidak, itu hak Bung. Pada masa ini, beliau sokong atau tidak juga sudah tidak relevan.

    “Hajiji tetap akan kekal sebagai ketua menteri Sabah tanpa sokongan Bung. Hajiji mempunyai sokongan majoriti Adun Sabah,” katanya memetik laporan FMT, hari ini

    Pada 11 April lalu, UMNO Sabah mengambil pendirian bertentangan dengan Barisan Nasional (BN) Pusat untuk tidak menyokong kerajaan negeri GRS pimpinan Hajiji.

    Bung berkata, sehingga kini tiada sebarang resolusi ke arah pembentukan kerajaan perpaduan Sabah yang dicapai dalam perbincangan antara UMNO-BN yang diwakili bekas timbalan ketua UMNO Sabah, Yakub Khan.

    Pada 8 Mac, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi menasihatkan ahlinya di Sabah ‘tidak mengguris hati’ rakan dalam kerajaan perpaduan negeri itu demi kestabilan politik.

    Sementara itu, Armizan berkata, GRS mengalu-alukan sokongan semua pihak terhadap gabungan itu.

    “Buat masa ini Hajiji yang memimpin kerajaan GRS bersama Pakatan Harapan (PH) harus fokus untuk melipat gandakan usaha memberikan sepenuh komitmen untuk melaksanakan hala tuju Sabah.

    “Daripada ‘pusing’ tentang pendirian Bung, lebih baik fokus langkah membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negeri Sabah.

    “Semua yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin ada hikmahnya pihak-pihak tertentu berada di luar kapal, apatah lagi setelah mereka sendiri memilih untuk cuba menenggelamkan kapal,” katanya.

  • Dua kanak-kanak lemas ketika mandi sungai

    Dua kanak-kanak lemas ketika mandi sungai

    DUA kanak-kanak lelaki ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal, Segamat, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada keluarga mangsa kira-kira pukul 5.10 petang.

    “Kedua-dua mangsa disedari lemas oleh salah seorang bapa kanak-kanak tersebut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum meminta bantuan orang awam.

    “Dengan bantuan penduduk kampung, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta di sini,” katanya dalam kenyataan di Segamat hari ini.

    Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, dan Ahmad Muhammad Ibnu Hermee, 12.

    Tambah Ahmad Zamry, kedua-dua kanak-kanak terbabit adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jementah.

    Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa pergi untuk mandi di sungai berkenaan.

    Ahmad Zamry berkata, kedua-dua mangsa seterusnya dikejarkan ke sebuah klinik swasta terdekat namun disahkan meninggal dunia. 

    “Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) hari ini bagi mengenal pasti punca kematian. Tiada sebarang unsur jenayah ke atas kematian kedua-dua mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR,” katanya lapor Utusan Malaysia.

  • Gesa batalkan lantikan Rashdan sebagai Pengerusi Suruhanjya Tenaga

    Gesa batalkan lantikan Rashdan sebagai Pengerusi Suruhanjya Tenaga

    JAWATANKUASA Eksekutif Aliran menggesa kerajaan membatalkan pelantikan Mohammed Rashdan Mohd. Yusof sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga yang baharu dan memilih calon bebas untuk mengisi jawatan itu.

    Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendakwa, cukup penting untuk Suruhanjaya Tenaga diketuai oleh seorang yang bebas dan tidak terlibat dengan mana-mana pemain tenaga.

    Bagaimanapun, kumpulan masyarakat sivil itu berkata, Rashdan yang pernah menjadi timbalan pengarah kumpulan pengurusan Gamuda merupakan pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

    Aliran berkata pelantikan Rashdan ‘adalah kes konflik kepentingan yang jelas.’

    “Bagaimanakah syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, sebagai contoh, boleh yakin dengan persaingan yang sama apabila pengerusi Suruhanjaya Tenaga adalah eksekutif kanan sebuah syarikat yang bertujuan untuk menceburi sektor ini secara besar-besaran?

    “Ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur, terutamanya mereka yang berminat untuk melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

    “Untuk menggunakan analogi bola sepak, ia sama seperti melantik penolong jurulatih pasukan bola sepak Argentina atau Perancis sebagai pengadil perlawanan akhir Piala Dunia 2022,” kata Aliran dalam satu kenyataan hari ini.

    Kumpulan itu mengkritik keputusan melantik Rashdan sebagai pertimbangan yang kurang bagus dan berkata ia menimbulkan persoalan tentang bagaimana pengerusi itu dipilih.

    Aliran turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa akan meneliti perkara itu.

    “Aliran menyeru kerajaan untuk membatalkan pelantikan dan memilih seseorang yang bebas untuk mengawal selia sektor penting ini,” katanya, lapor FMT.

    Bulan lalu, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan pelantikan Rashdan sebagai pengerusi barunya berkuat kuasa 15 Februari, bagi menggantikan Azian Osman yang tamat perkhidmatannya pada 14 Februari.

    Bagaimanapun, keputusan itu dilaporkan tidak sesuai dengan pemain industri, yang dikatakan mempunyai kebimbangan kerana kaitannya dengan Gamuda.

    Anwar dilaporkan memberitahu pemberita semalam, bahawa beliau akan meneliti pelantikan itu, dengan mengatakan bahawa ‘tidak sepatutnya ada sebarang konflik kepentingan’.

  • Remaja perempuan OKU dicabul pengawal keselamatan

    Remaja perempuan OKU dicabul pengawal keselamatan

    SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa dicabul oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri dekat Nilai pada jam 4 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa sedang berbual dengan rakannya di hadapan lif pangsapuri terbabit.

    “Mangsa yang ketika itu sedang berbual dengan rakannya telah didatangi seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan di situ.

    “Lelaki tersebut telah menyuruh rakan mangsa pulang ke rumah dan kemudian mahu menghantar mangsa pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun katanya, ketika dalam perjalanan ke rumah mangsa, suspek telah memegang beberapa bahagian tubuh badan mangsa serta meminta mangsa untuk mencium pipinya.

    Ujarnya, mangsa yang ketakutan kemudiannya telah lari pulang ke rumah sebelum ke Balai Polis Nilai membuat laporan berhubung kejadian yang berlaku.

    Kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Nilai, Inspektor Ahmad Kamil Rusli bagi membantu siasatan,” katanya.

    Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian itu membuatkan anaknya yang merupakan orang kurang upaya(OKU) berdepan trauma.

    Sehubungan itu katanya, dia berharap suspek dapat ditahan segera dan dikenakan tindakan sewajarnya.

    “Saya tahu pun selepas anak sulung beritahu yang adiknya dicabul. Kedua-dua anak saya memang tinggal di situ dan anak saya masih terkejut dengan kejadian itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Anwar akan hilang sokongan rakyat jika gagal pertahan kehakiman, kata Khairy

    Anwar akan hilang sokongan rakyat jika gagal pertahan kehakiman, kata Khairy

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, meramalkan sokongan rakyat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima kesan jika Perdana Menteri gagal mempertahankan badan kehakiman negara.

    Katanya, Ini susulan tindakan UMNO serta penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terus memberikan tekanan kepada kerajaan Anwar, termasuk terbaharu, berkait isu pengampunan diraja untuk membebaskan Najib.

    “Kedudukan kerajaan Anwar mungkin tidak terjejas dengan tekanan terhadap isu pengampunan ini, bagaimanapun Anwar boleh kehilangan sokongannya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung kelak khususnya di Negeri Sembilan dan Selangor.

    “Sokongan Anwar mungkin merosot jika beliau tidak dapat mempertahankan badan kehakiman daripada tekanan (penyokong) Najib dan UMNO. Arus di bawah ini akan menjejaskan (sokongannya dalam) PRN.

    “Kehilangan Selangor atau Negeri Sembilan akan memberi kesan yang amat besar bagi Anwar. Perikatan Nasional (PN) sudah mengenal pasti kedua-dua negeri ini sebagai medan pertempuran utama mereka.

    “Jika mereka berjaya menawan kedua-dua negeri ini dan mengekalkan momentum untuk beberapa tahun, mereka berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih kemenangan lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam penulisannya yang disiarkan portal berita South China Morning Post semalam.

    Khairy berkata, di atas kertas, kedudukan politik dua negeri ini dilihat masih selamat dan memihak kepada Anwar, bersandar rujukan kepada data keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada November lalu.

    “Analisis pantas keputusan PRU dan disepadankan ke kerusi DUN, menunjukkan perjuangan sukar untuk PN di kedua-dua negeri ini. Pengiraan kasar berdasarkan keputusan PRU itu menunjukkan, PN akan merebut dua kerusi DUN di Negeri Sembilan, dengan selebihnya dikuasai Pakatan Harapan (18) dan Barisan Nasional (16).

    “Di Selangor, PN akan lebih baik dengan 12 kerusi (DUN), tetapi ini masih kurang daripada 41 kerusi (DUN) Pakatan Harapan. Landskap politik Malaysia sudah berubah dengan ketara sejak November. Namun, peluang PN boleh ditingkatkan jika mereka memastikan calon-calon terkenal dan popular untuk bertanding dalam PRN nanti,” katanya, lapor Berita Harian.

    Khairy dalam siaran podcast sebelum ini, menyatakan selain tidak melayan pengampunan diraja terhadap Najib seperti dituntut UMNO, Anwar juga boleh ‘menyingkirkan’ kerjasama politik dengan UMNO-BN, memandangkan Perdana Menteri sudah memperoleh sokongan majoriti termasuk dari parti politik di Sarawak dan Sabah.

    Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat 7 April lalu memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

  • DAP ‘liabiliti’ bagi UMNO untuk pikat semula undi Melayu – Nur Jazlan

    DAP ‘liabiliti’ bagi UMNO untuk pikat semula undi Melayu – Nur Jazlan

    UMNO mengingatkan DAP bahawa parti itu juga menjadi liabiliti bagi rakan gabungannya itu dalam usaha memikat semula sokongan pengundi Melayu.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pakatan dengan DAP akan menjadi cabaran kepada UMNO untuk memenangi semula keyakinan orang Melayu, terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

    Nur Jazlan menjelaskan UMNO sememangnya ikhlas dalam menjayakan ‘kerajaan perpaduan’.

    Disebabkan itu, Nur Jazlan berkata, parti keramat Melayu itu tidak menyuarakan pendapat mereka mengenai perkara terbabit.

    “Tetapi, bila kita diam, DAP pula yang keluarkan ke­nyataan sebegini,” kata Nur Jazlan.

    Pemimpin kanan UMNO itu merujuk kenyataan Na­ib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari berhubung peranan UMNO menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Aziz, berdasarkan rekod pilihan raya umum (PRU) ke 15 lalu pada peringkat awalnya undi PN dijangka meleset namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

    Malah kata Aziz lagi, UMNO dilihat hanya menum­pang kekuatan Pakatan Harapan (PH) kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.

    Mengulas lanjut komen Aziz itu, Nur Jazlan berkata DAP sepatutnya perlu menghargai usaha UMNO dalam membolehkan kerajaan perpaduan dibentuk.

    “Untuk keadaan sekarang pun, kita susah nak tarik so­kongan Melayu kembali kepada UMNO disebabkan DAP sendiri, kerana ramai orang Melayu yang tidak percayakan parti itu.

    “Strategi DAP meletakkan orang Melayu sebagai pemim­pin parti itu tidak lagi berjaya, jadi mereka perlu juga hargai UMNO,” kata Nur Jazlan lagi.

    Semalam, Aziz dilapor sebagai berkata UMNO kini sedang berusaha meneruskan kelangsungan parti itu dan hanya menumpang PH untuk mendapatkan jawatan sahaja bagi membolehkan parti itu terus bergerak.

    “Tetapi untuk PRN, peranan UMNO masih belum nampak kerana sokongan Melayu kita lihat banyak pergi kepada PN, bukan UMNO. Dan pengundi bukan Melayu pula khususnya semua bimbang dengan tindakan ekstrem PN itu.

    “Tetapi hikmahnya undi bukan Melayu ‘solid’ kepada PH, jadi peranan UMNO itu yang masih kita tidak nampak setakat ini,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

    Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dilapor menegaskan bacaan politik pada PRN nanti tidak boleh mengambil kira rekod PRU15.

    Ini kerana jelasnya, politik sekarang sentiasa berubah, sekali gus dia optimis UMNO mampu menarik kembali sokongan orang Melayu dan peroleh kemenangan pa­da PRN kali ini.

  • ‘Gelombang hijau’ PN bertambah kuat

    ‘Gelombang hijau’ PN bertambah kuat

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menafikan ‘gelombang hijau’ di enam buah negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin lemah.

    Ketua Penerangan PN negeri yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, hakikatnya sokongan yang diterima semakin bertambah, bukan sahaja dalam kalangan pengundi saluran empat, lima dan enam malah saluran satu dan dua mula menunjukkan sokongan positif.

    Menurutnya, biarpun beberapa pemimpin PN terpalit dengan kes mahkamah, namun dilihat tidak mengurangkan atau memberi kesan kepada semangat gelombang hijau, kerana rakyat pada hari ini mahukan masalah mereka diselesaikan dan bukannya isu lama ‘dikorek’ dan dijaja.

    “Saya lihat gelombang ini makin lama makin kuat dan tak pernah padam, bertambah kuat.

    “Saya percaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu mahkamah yang dilaporkan, mereka lebih berpengetahuan terutama anak-anak muda yang menggunakan media sosial,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan raya kepada penerima kurang bernasib baik dalam Parlimen Tangga Batu di Bukit Rambai di sini, pada Sabtu.

    Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka berkata, paling penting dan utama, rakyat mahukan masalah mereka termasuk kos sara hidup tinggi diselesaikan dan mempunyai solusi yang bernas, bukan disajikan dengan dakwaan yang tidak berasas.

    Ujar beliau, meskipun belum menerima peruntukan dari kerajaan pusat, namun demi kebajikan rakyat beliau sanggup menggunakan elaun Ahli Parlimen untuk membantu rakyat memerlukan.

    “Sebenarnya banyak lagi rakyat dalam parlimen ini mahu kita bantu, namun dengan kekangan kewangan menyukarkan untuk kita membantu dengan lebih meluas.

    “Harap kerajaan pusat dapat pemudah cara agar wakil rakyat PN juga tidak dipinggirkan untuk menerima bajet, seterusnya disalurkan dan diagihkan kepada rakyat,” katanya lagi.

    Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada Ahad lalu susulan aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon beliau telah ‘digodam’ scammer.

    “Setakat ini lima individu merupakan kenalan saya telah memasukkan wang dianggarkan lebih RM2,000 hingga RM3,000 ke dalam akaun scammer terbabit,” katanya.