Category: Semasa

  • Syarikat barangan kemas Lubnan saman semula Rosmah RM67.5 juta

    Syarikat barangan kemas Lubnan saman semula Rosmah RM67.5 juta

    SYARIKAT barangan kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL memfailkan saman bernilai RM67.461 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut laporan MalaysiaKini, firma itu meminta pemulangan barang kemas yang didakwa dihantar kepada isteri bekas perdana menteri itu untuk tujuan pameran.

    Sebagai ganti, firma itu meminta kos barang kemas itu pada RM67,461, 027 (bersamaan dengan AS$14,567, 270).

    Kenyataan tuntutan itu difailkan bagi pihak Global Royalty oleh firma guaman David Gurupatham and Koay.

    Pada 2019, firma itu memfailkan saman untuk 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi kemudian menarik balik saman tersebut.

    Dalam saman asalnya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, firma itu menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3. 8 juta) kepada defendan, yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.

    Syarikat itu berkata Rosmah telah mengakui penerimaan barangan kemas tersebut.

    Syarikat itu mendakwa Rosmah, menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, turut mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas itu tetapi menyatakan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam simpanannya kerana disita dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa.

  • Adik bongsu Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia

    Adik bongsu Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia

    BENDAHARI Dewan Ulamak Pas Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat kembali ke rahmatullah pada pukul 8 pagi tadi di rumahnya di Pulau Melaka.

    Sebelum ini, Almarhum dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan sebulan lepas dibawa pulang ke rumah.

    Almarhum lahir dalam lingkungan keluarga yang baik dan merupakan adik bongsu kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Negeri Kelantan.

    Almarhum yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), merupakan pendakwah yang cukup gigih khususnya dalam membangunkan institusi pendidikan Islam.

    Almarhum juga merupakan bekas pensyarah Pondok Kandis Bachok dan bekas pengetua Maahad Muhammadi Lelaki, lapor HarakahDaily.

    Solat jenazah Almarhum akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka, petang ini.

    Semoga Allah SWT menempatkan roh Almarhum Tuan Guru bersama para syuhada’ serta muttaqin di syurga-Nya. Amin ya rabbal alamin. Al Fatihah.

  • Sanusi poster boy, kekal MB jika PN menang di Kedah

    Sanusi poster boy, kekal MB jika PN menang di Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    PAS Kedah menegaskan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan menjadi ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak dan kekal menerajui pentadbiran negeri Kedah jika Perikatan Nasional (PN) menang.

    Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sokongan berterusan daripada rakyat negeri berkenaan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN di Kedah khususnya.

    “Kita akan terus pertahan kepimpinan Muhammad Sanusi dalam menerajui pentadbiran Negeri Kedah.

    “Ketegasan beliau menegakkan kebenaran menjadi asbab tekanan politik yang berterusan diarahkan kepada beliau ketika ini.

    “Pas Kedah sedar Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN selepas mendapat dokongan kuat masyarakat Melayu Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

    “Oleh itu, langkah ‘character assassination’ terhadap Muhammad Sanusi dilaksanakan kerana beliau juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Ahmad, pihaknya juga yakin segala penjalanan pentadbiran dan pelaksanaan dasar negeri Kedah berada dalam landasan terbaik seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

    Malah beliau berkata, hasrat The Greater Kedah yang digagaskan Muhammad Sanusi sendiri tidak mustahil akan direalisasikan kelak oleh kerajaan negeri.

    “Tekanan politik yang dihempapkan ke atas kerajaan negeri Kedah menunjukkan Kerajaan Persekutuan membelakangi semangat Madani dalam erti kata sebenar. Ia juga mewajahkan sikap federalisme tempang yang mengundurkan negara ke era politik lapuk.

    “Bukankah berulang kali kita mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya mengekalkan profesionalisme dalam hubungan federalisme di antara Persekutuan-Negeri,” katanya.

    Malangnya kata Ahmad, Kerajaan Persekutuan tetap melaksanakan federalisme terpilih kerana dendam politik serta pembunuhan karakter terhadap Muhammad Sanusi.

    Justeru tegasnya, sokongan berterusan daripada rakyat Kedah terhadap PN di negeri itu turut tidak mustahil dalam misi memberikan impak langsung kepada negeri lain yang ditadbir oleh PH seperti Pulau Pinang.

  • Rumah tangga Zulin Aziz bergolak?

    Rumah tangga Zulin Aziz bergolak?

    PELAKON dan pengacara terkenal, Zulin Aziz mengejutkan peminat dan pengikutnya menerusi akaun Instagram dengan berkongsi hantaran mengenai status rumah tangganya.

    Dalam hantaran yang dikongsi itu, Zulin memberi bayangan rumah tangganya dengan Farhan Norzaini yang berusia 14 bulan seperti tidak dapat dipertahankan lagi.

    Bersama sekeping foto pernikan mereka pada 20 Februari 2022 itu, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz turut menulis kapsyen yang mencetus tanda tanya ramai, lapor Astro Awani.

    Berikut petikan nota yang ditulis Zulin mengiringi foto berkenaan:

    “Mungkin sampai sini saja kisah kami. Tiada persefahaman.

    “Semoga yang baik2 untuk masa akan datang InshaAllah, masa merawat semuanya.”

  • Laporan penuh siasatan dalaman kematian anggota tentera siap dalam dua minggu

    Laporan penuh siasatan dalaman kematian anggota tentera siap dalam dua minggu

    LAPORAN penuh siasatan dalaman insiden kematian anggota tentera Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang ditemukan maut di Hutan Simpan Belum, Perak, pada 12 April lepas dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini, laporan siasatan berkenaan telah lebih 50 peratus siap dan perkembangan terkini siasatan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet pada Rabu ini.

    “Siasatan masih berjalan dan selalulunya laporan daripada siasatan ini akan dibawa dalam Mesyuarat Pasca Kabinet…biasanya kita akan ada mesyuarat berkenaan setiap hari Rabu petang.

    “Jadi pada hari Rabu ini kita akan dapat sedikit laporan tetapi dalam tempoh dua minggu ini, selepas hari raya kita yakin laporan penuh akan dapat diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Alor Gajah, di Alor Gajah malam tadi.

    Beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan memastikan kebajikan ahli keluarga Allahyarham Mohammad Nasri terutama isteri, Nurhayatul Husna, 30, serta sepasang anaknya Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, 2, sentiasa terbela dan mendapat pendidikan yang sempurna.

    Media sebelum ini melaporkan Mohammad Nasri yang merupakan anggota daripada Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang, dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada 7 April lepas.

    Jenazah Allahyarham Mohammad Nasri dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Pulau Mertajam, Penaga di Pulau Pinang pada 13 April lepas.

    Hasil bedah siasat mendapati kematian anggota tentera itu berpunca daripada kecederaan kepala dipercayai akibat terjatuh.

  • SPRM geledah pejabat, kediaman Sivakumar

    SPRM geledah pejabat, kediaman Sivakumar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar semalam bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

    Penggeledahan terbabit bagi menjejaki wang yang didakwa diperolehi Sivakumar.

    Menurut sumber, penggeledahan itu dilakukan SPRM sebaik sahaja keterangan menteri itu diambil pada hari sama bagi mendapatkan bukti-bukti.

    “Sivakumar telah dipanggil SPRM semalam untuk bantu siasatan susulan siasatan terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya minggu lalu.

    “Kehadiran Sivakumar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi menjelaskan dakwaan bahawa beliau telah menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan yang juga ditahan SPRM bersama dua pegawai kanannya.

    “Ahli perniagaan berkenaan dipercayai membuat ‘public relation’ mewakili Sivakumar untuk meminta wang kepada individu tertentu yang menjalankan projek kerajaan di kementerian itu sebagai jaminan agar mereka dapat meneruskan projek dilaksanakan selain menjanjikan akan diberikan projek lain selepas itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya lagi, perbuatan yang dilakukan ahli perniagaan itu disyaki berada di bawah pengetahuan kedua-dua pegawai Sivakumar yang dikatakan pernah menyaksikan pemberian wang itu.

    “Wang berkenaan disyaki dibayar secara tunai sebelum kesemua wang itu didakwa akan diserahkan kepada Sivakumar,” ujarnya.

    Jelasnya, Sivakumar bagaimanapun dibebaskan setelah keterangannya direkod lewat petang semalam.

    Pada 14 April, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

    Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa penahanan beberapa pegawai Sivakumar adalah keputusan SPRM untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja jika ada asasnya.

  • PRN: PN sedia manifesto untuk setiap enam negeri – Faizal Azumu

    PRN: PN sedia manifesto untuk setiap enam negeri – Faizal Azumu

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menyediakan manifesto bagi setiap negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing tidak lama lagi.

    Dalam masa sama, fokus akan diberikan untuk menggerakkan jentera di semua enam negeri tersebut iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Malah, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jentera daripada negeri-negeri lain juga akan diselaraskan untuk bekerjasama dengan jentera di negeri-negeri berkenaan.

    Menurutnya, berdasarkan fokus dan gerak kerja itu, Perikatan Nasional yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi di keenam-enam negeri tersebut.

    “Dari segi maklum balas yang kita terima dalam kalangan para pengundi di keenam-enam negeri ini amat positif.

    “Namun kita tidak boleh berasa begitu selesa, kita perlu menyediakan satu manifesto bagi setiap negeri yang akan diadakan Pilihan Raya Negeri dan dalam masa yang sama, kami nampak, apabila UMNO dan DAP bekerjasama rapat ini, sokongan kepada Perikatan Nasional, terutama sekali parti Pas dan Bersatu ini ada peningkatannya insyaAllah,” katanya.

    Beliau bercakap kepada Astro AWANI ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di Ipoh, pada malam tadi.

    Menurutnya, parti-parti komponen di dalam Perikatan Nasional telah berpakat dengan baik dari segi pembahagian kerusi.

    Katanya, tiada masalah besar yang timbul di dalam usaha untuk mengagihkan kerusi dalam kalangan mereka.

  • Jet ski terbabas, warga Myanmar maut

    Jet ski terbabas, warga Myanmar maut

    SEORANG warga Myanmar maut selepas jet ski ditunggangnya terbabas sebelum terlanggar sebuah bot di tepi laut dalam nahas di kawasan pantai belakang sebuah hotel di Batu Ferringhi, dekat Georgetown, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata dalam kejadian 4.45 petang itu, Tun Lin Aung, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dagu dan leher.

    “Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja kilang di Kuala Lumpur dan datang ke Batu Ferringhi di Georgetown untuk menghadiri pesta Songkran bersama rakan senegaranya, sebelum mangsa menyewa sebuah jet ski di kawasan pantai dengan harga RM150.

    “Lelaki itu menunggang bersendirian dan kemudiannya dipercayai terbabas sebelum terlanggar sebuah bot yang diletakkan di tepi laut di kawasan pantai tersebut.

    “Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di dagu dan leher, dia ditarik keluar dari laut oleh beberapa saksi yang nampak kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Saravanan berkata, pemeriksaan pasukan perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kemalangan itu dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat hari ini.

    Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk ketika menyewa jet ski itu dan perkara tersebut turut diakui rakan senegaranya.

    Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati lelaki itu bekerja di negara ini selama tiga tahun dan mempunyai dokumen perjalanan diri serta permit kerja sah.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk merekodkan keterangan beberapa saksi dan rakan mangsa bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

  • Kontraktor setuju bayar 600 pekerja gaji tertunggak RM3.8 juta

    Kontraktor setuju bayar 600 pekerja gaji tertunggak RM3.8 juta

    KONTRAKTOR pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sabah bersetuju membayar tunggakan gaji kira-kira 600 pekerjanya berjumlah RM3.8 juta hari ini dan esok.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, persetujuan itu dicapai selepas perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah semalam.

    Katanya, arahan itu dikeluarkan selepas pergaduhan antara pekerja dan majikan dari Korea itu kelmarin akibat kelewatan membayar gaji bulan lalu.

    “Sepatutnya, mengikut perjanjian, gaji perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan. Maknanya berlaku kelewatan gaji bulan Mac.

    “Jadi, berlaku pergaduhan akibat ketidakpuasan hati pekerja hingga memukul majikan berbangsa Korea.

    “Berikutan itu, pengarah JTK Sabah bersama ketua Balai Polis Manggatal mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan. Hasilnya, majikan bersetuju membayar gaji tertunggak itu pada 17 dan 18 April,” katanya menurut Harian Metro.

    Mustapha mengulas rakaman video tular kelmarin berhubung pergaduhan pekerja dan majikan di sebuah tapak binaan kilang di KKIP.

    Semalam, polis menahan dua pekerja disyaki memukul majikan warga Korea di tapak binaan yang dibangunkan syarikat Korea Selatan selepas mangsa membuat laporan polis.

    Bagi memastikan majikan membayar gaji pekerja seperti dijanjikan, Mustapha berkata, pegawai JTK akan berada di tapak binaan hari ini dan esok untuk memantau dan mendengar jika ada lagi aduan pekerja lain.

  • Tak puas hati ditegur, lelaki ditahan pukul, cederakan abang

    Tak puas hati ditegur, lelaki ditahan pukul, cederakan abang

    SEORANG lelaki ditahan kerana memukul dan mencederakan abangnya akibat tidak puas hati selepas ditegur bertengkar dengan ibu mereka.

    Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata dalam kejadian di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur pada 4 pagi Sabtu lalu, mangsa cedera dan lebam di belakang badan, bahu kanan serta tangan kiri.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku selepas mangsa melihat suspek bertengkar dengan ibu mereka kerana lambat keluar dari bilik air.

    Katanya, mangsa berusia 24 tahun menegur adiknya yang mengamuk dan memaki hamun ibu mereka, sebelum dipukul suspek menggunakan getah paip dan batang besi, selain dicederakan dengan pisau.

    “Suspek berusia 23 tahun ditahan polis dan didapati mempunyai tiga rekod lampau di bawah kes jenayah serta Akta Dadah Berbahaya,” katanya menurut Bernama.

    Beliau berkata, polis merampas pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan suspek direman empat hari hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.