Category: Semasa

  • Isu visa: Dua pegawai agensi penguat kuasa Kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan

    Isu visa: Dua pegawai agensi penguat kuasa Kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan

    DUA pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan reman tiga hari kerana disyaki menerima rasuah bagi pengeluaran visa luar negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

    Perintah reman sehingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, Selasa lalu.

    Menurut sumber, penahanan itu dilakukan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek.

    Justeru sumber berkata, mereka diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes tersebut serta merta.

    “Lebih 20 akaun bank yang melibatkan individu dan syarikat berkaitan telah diambil tindakan pembekuan.

    “Sehingga hari ini, jumlah pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tak alih yang melibatkan penyitaan lapan bidang tanah, dianggarkan kira-kira RM3.1 juta,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
    Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

    “Saya tidak menolak kemungkinan akan terdapat lagi beberapa tangkapan lain yang akan dibuat selepas ini,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambah beliau, SPRM juga sedang mengesan seorang individu bernama Siti Liyana Binti Sakijan untuk membantu dalam siasatan ini.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Jayaraj Rajan di talian 016-6371082.

  • Lapan lelaki ditahan terlibat kes bunuh warga India -Polis  

    Lapan lelaki ditahan terlibat kes bunuh warga India -Polis  

    SEORANG suspek utama kes bunuh antara lapan lelaki warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang lelaki warga India di sebuah asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Jalan Sungai Besi, Cheras, Kuala Lumpur, Selasa lepas.

    Kesemua mereka yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan berumur lingkungan 22 hingga 57 tahun merupakan rakan sekerja mangsa di sebuah premis besi buruk di kawasan perindustrian berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata polis menerima maklumat pada 6 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang menerima mangsa berusia 43 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan cedera di muka dan kepala.

    Beliau berkata seorang saksi memberitahu bahawa seorang suspek lelaki warga asing berumur 37 tahun yang bekerja di premis sama ditemukan berlumuran darah di depan bilik mangsa.

    “Saksi yang memasuki bilik itu mendapati mangsa yang dibunuh suspek ditemukan terbaring dengan kesan kecederaan di muka dan memaklumkan perkara itu kepada majikannya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.

    Berikutan itu, majikannya membawa mangsa ke HCTM untuk menerima rawatan, namun dia disahkan meningga dunia oleh pihak hospital.

    Zam Halim berkata semasa rakan sekerja mangsa cuba mengikat suspek atas arahan majikan mereka, lelaki berkenaan cuba membunuh diri dengan menoreh lehernya menggunakan pisau.

    Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke HCTM untuk menerima rawatan oleh majikannya.

    Susulan itu, polis menahan suspek utama di wad pemantauan Unit Kecemasan HCTM untuk tindakan lanjut dan turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

    Beliau berkata ketika kejadian berkenaan, suspek dikatakan dalam keadaan mabuk dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

    Zam Halim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Hotline Polis Cheras menerusi talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Putrajaya anjur rumah terbuka Aidilfitri PM di negeri dikuasai Pas

    Putrajaya anjur rumah terbuka Aidilfitri PM di negeri dikuasai Pas

    PUTRAJAYA akan menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Langkah tersebut dipercayai untuk meraih sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya Barisan Nasional (BN) yang kalah teruk di tiga negeri yang dikuasai Pas serta Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga mengumumkan Kedah dipilih sebagai venue untuk Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan, acara tahunan yang dihentikan sementara akibat pandemik Covid-19. 

    Tahun lalu, ketika negara beralih ke fasa endemik, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri diadakan di Terengganu.

    JPM dalam satu kenyataan berkata, ia menganjurkan acara tahun ini dengan kerjasama kerajaan negeri. 

    Selain Kelantan dan Terengganu, Anwar juga akan menjadi tetamu kehormat kepada rumah terbuka yang akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menambah menteri besar dan ketua menteri masing-masing juga akan dijemput ke majlis itu.

    Pengumuman itu dibuat di sebalik penafian Putrajaya terhadap dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dihalang daripada menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (Lima’23) yang akan diadakan bulan depan di pulau peranginan itu. 

    Kedah adalah negeri utama yang diintai oleh PH dan BN kerana kedua-dua gabungan itu berusaha untuk meningkatkan sokongan orang Melayu. 

    Pada November lalu, Pas, yang merupakan sebahagian daripada PN, memenangi 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah, sambil menang besar di kubu kuat UMNO dan PKR di Pulau Pinang, termasuk kampung halaman Anwar di Permatang Pauh yang ditandingi anak sulungnya Nurul Izzah. 

    Pas juga menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu. 

    Penganalisis meramalkan trend sokongan pengundi Melayu kepada PN adalah sama pada pilihan raya negeri akan datang melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu, menurut laporan Malaysianow.

  • Anjing peliharaan serang wanita hingga parah, pemilik dipenjara sebulan

    Anjing peliharaan serang wanita hingga parah, pemilik dipenjara sebulan

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap seorang lelaki yang melepaskan anjing peliharaan jenis Belgian Shepherd hingga menyebabkan seorang wanita parah.

    N. Trini Emmanuel Nettar, 53, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

    Mahkamah memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap iaitu pada 18 April lalu.

    Mengikut pertuduhan, dia dituduh melakukan kesalahan dengan mendatangkan bahaya atau musibah kepada seorang wanita berusia 35 tahun, dengan cara melepaskan haiwan iaitu seekor anjing hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

    Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah, Jalan Nangka, Off Jalan Kovil Hilir Perhentian di Kuala Lumpur pada pukul 7.30 petang, 16 April lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Trini Emmanuel yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia tidak bekerja serta menanggung keluarga.

    “Saya memohon maaf kepada semua pihak atas kesalahan tersebut,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar memohon kepada mahkamah agar menjatuhi hukuman penjara yang setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

    “Tindakan tertuduh melepaskan anjing telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Wanita gagal bayar hutang along, keluarga jadi sasaran

    Wanita gagal bayar hutang along, keluarga jadi sasaran

    SEORANG lelaki kini hidup dalam ketakutan dan tertekan kerana diganggu konco along selepas isterinya gagal membayar pinjaman berjumlah RM116,700 daripada 52 ceti haram sejak awal tahun lalu.

    Mangsa yang hanya mahu sebagai Lim, 32, mendakwa isteri berusia 30 tahun yang dipercayai mengalami masalah kemurungan membuat pinjaman itu tanpa pengetahuannya untuk membeli pelbagai barang.

    “Saya menjumpai sepucuk surat ditulis isteri saya yang memohon maaf dan memintanya menjaga tiga anak mereka sebelum dia segera ke bilik isteri saya, namun berkunci daripada dalam.

    “Selepas panggilan tiada sahutan saya kemudiannya memecahkan pintu dan terkejut melihat beberapa ubat berselerakan di lantai serta isteri terbaring lemah di sofa sebelum membawanya ke hospital.

    “Isteri ketika ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaan sudah agak stabil dan boleh bercakap sedikit,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.

    Sidang akhbar tersebut dikendalikan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

    Dia yang bekerja sebagai mekanik, kecewa dengan situasi itu dan kini keluarganya sering diganggu konco along yang mahu mengutip hutang dengan mengedarkan risalah tertera kad pengenalan isteri selain dia turut mendakwa diganggu hingga di tempat kerjanya.

    “Saya tertekan kerana mereka juga selalu hubungi nombor telefon isteri, malah ibu bapa dan tiga anak serta dua adik yang tinggal serumah juga takut.

    “Isteri memang banyak beli barang termasuk dalam talian. Saya bimbang dengan keselamatan keluarga dan berharap masalah ini dapat dibantu,” katanya turut mendakwa sebelum ini isterinya juga pernah cuba menggantung diri.

    Sementara itu, Michael berkata, isteri mangsa membuat pinjaman berjumlah RM67,200 untuk urusan peribadi sejak Januari lalu daripada 39 peminjam wang.

    Menurutnya, sebanyak RM49,500 lagi dipinjam menerusi 13 along yang mana pinjaman itu didakwa menyalahgunakan butiran suaminya.

    Katannya, berdasarkan suaminya, ini adalah kali ketiga wanita itu membuat pinjaman wang dan keluarga pernah membantunya menyelesaikan hutang sebanyak RM110,000 sejak 2 tahun lalu.

    “Pinjaman baharu itu hanya disedari suami mangsa pada 15 April lalu apabila mendapat tahu beberapa peminjam wang pergi ke rumahnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mereka meletakkan kertas risalah yang menyuruh wanita yang berkerja sebagai pemandu mengambil budak sekolah itu membayar hutangnya.

  • UMNO dah hilang sokongan sebelum kerjasama DAP lagi, KM beritahu Nur Jazlan

    UMNO dah hilang sokongan sebelum kerjasama DAP lagi, KM beritahu Nur Jazlan

    NAIB Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow menegaskan, DAP tidak seharusnya dipersalahkan atas perjuangan UMNO mendapatkan semula sokongan Melayu.

    Jelasnya, ini kerana UMNO sudah kehilangan sokongan masyarakat sebelum kerajaan perpaduan ditubuhkan lagi.

    Kon Yeow berkata, parti yang memimpin Barisan Nasional itu sudah kehilangan banyak sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), sebelum bekerjasama dengan DAP.

    “Komen (Nur Jazlan) tidak munasabah langsung. Kehilangan sokongan Melayu terhadap mereka, daripada (menjadi) parti dominan (Melayu) kepada parti yang hanya mempunyai 20 kerusi, (itu) tiada kena mengena dengan DAP,” katanya.

    Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Georgetown.

    Pada Sabtu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, hubungan UMNO dengan DAP dalam kerajaan perpaduan menyukarkan usaha untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

    UMNO mempamerkan prestasi pilihan raya terburuk dengan hanya memenangi 26 kerusi Parlimen pada PRU15. Parti itu kehilangan sebahagian besar kerusi kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kami tak akan ambil kerusi penyandang anda

    Bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Kon Yeow menegaskan UMNO mesti membenarkan parti yang berada di kerusi tertentu untuk mempertahankannya.

    “Pada masa ini, UMNO mempunyai dua kerusi penyandang di Pulau Pinang (Permatang Berangan dan Sungai Dua). Jadi berdasarkan prinsip ini, kita tidak akan meminta kerusi mereka dan ia mesti dibalas semula (oleh UMNO).

    “Mungkin kerusi milik PN itu boleh dirundingkan, (terutama) kerusi yang tidak dimenangi Pakatan Harapan dalam pilihan raya sebelum ini.”

    Kerusi DUN Penaga adalah satu-satunya kerusi Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang yang tidak dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 – Pas memenangi kerusi itu pada PRU14.

    Minggu lalu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Zaidi Said berkata, PH perlu mempertimbangkan untuk memberikan tiga kerusi di Permatang Pauh kepada UMNO untuk PRN dan ini adalah satu isyarat baik kerana kedua-dua parti bekerjasama dalam kerajaan persekutuan.

    Sementara itu, Kon Yeow berkata, PH Pulau Pinang akan mengadakan rundingan kerusi dengan BN selepas sambutan Aidilfitri.

  • Polis tahan tujuh warga asing leka berjudi

    Polis tahan tujuh warga asing leka berjudi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUJUH tujuh lelaki warga asing ditahan ketika leka berjudi dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Lukut Cina di Kota Tinggi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, semua lelaki itu berusia dalam lingkungan 24 hingga 34 tahun.

    “Menerusi serbuan itu polis turut merampas peralatan perjudian dan wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM268.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Menurut Hussin, kesemua lelaki berkenaan akan direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi membantu siasatan.

  • Sederetan rumah kedai lima pintu terbakar

    Sederetan rumah kedai lima pintu terbakar

    SEDERET rumah kedai lima pintu separa kekal di Chabang Tiga, Gaal, di Pasir Puteh, terbakar dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Azhar Elmi Mustofar, berkata kejadian itu melibatkan tiga bangunan iaitu satu rumah kedai tiga pintu, kilang roti dan kedai menjual santan kelapa.

    “Kebakaran ini berjaya dikawal pada pukul 12.21 tengah hari dan padam sepenuhnya pukul 2.15 petang.

    “Kedai runcit terbakar 100 peratus di mana 90 peratus daripada struktur kedai diperbuat daripada kayu, manakala kilang roti hangus 30 peratus serta kedai santan pula terbakar 10 peratus, bahagian selebihnya berjaya diselamatkan oleh kami,” katanya ketika dihubungi di Pasir Puteh.

    Menurutnya api cepat merebak berikutan keadaan cuaca panas terik dan punca serta kerugian sebenar kejadian masih dalam siasatan.

    Azhar Elmi berkata operasi tersebut melibatkan tiga Fire Rescue Tender (FRT), satu pam water tanker, satu RRV dengan enam pegawai dan 15 anggota.

    Menurutnya sepasukan Bomba dan Penyelamat Jerteh, Terengganu juga turut sama membantu mengawal kebakaran rumah kedai berkenaan daripada merebak.

    Sementara itu, seorang mangsa, Wan Mohd Shahrul Wan Ahmad, 40 iaitu pengusaha kedai runcit berkata dia mengalami kerugian sekelip mata sebanyak RM150,000 dalam kebakaran itu.

    “Kira-kira RM100,000 berupa barangan runcit dan selebihnya wang tunai yang dijadikan sebagai modal pusingan turut terbakar.

    “Barangan runcit ini adalah stok jualan sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau apabila anak lelakinya Wan Rizhan Shah, 5 yang tertidur semasa kejadian turut terselamat.

  • Bekas menteri Sabah buat rayuan terakhir ketepi sabitan pemalsuan

    Bekas menteri Sabah buat rayuan terakhir ketepi sabitan pemalsuan

    BEKAS Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony merayu kepada Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan pemalsuan, yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi awal minggu ini.

    Peguam mewakili Peter, S. Devanandan berkata, notis rayuan difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi semalam.

    Jelasnya, ini bagi membolehkan Mahkamah Tinggi menyediakan rekod rayuan termasuk penghakiman bertulis dan nota prosiding.

    “Petisyen rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan kemudian selepas rekod rayuan diperoleh,” katanya lapor FMT, hari ini.

    Mengikut peraturan mahkamah, petisyen rayuan mesti difailkan dalam tempoh 10 hari selepas rekod rayuan diserahkan kepada perayu.

    Rekod rayuan akan menggariskan di mana perayu mengatakan hakim tersilap dalam undang-undang dan fakta.

    Rayuan kepada Mahkamah Rayuan ialah peluang terakhir Peter untuk mengetepikan sabitannya kerana perbicaraannya didengar di Mahkamah Sesyen.

    Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan awalnya.

    Hakim Ahmad Bache berkata, hakim perbicaraan tidak melakukan sebarang kesilapan, sama ada dari segi undang-undang mahupun fakta, apabila mendapati Adun Melalap itu bersalah atas tuduhan terbabit pada Mei lepas.

    Ahmad turut mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 ke atas Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

    Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan sabitan dan hukuman penjara Peter sementara menunggu rayuan terakhirnya. Peter telah membayar denda.

    Peter, 52, yang ketika itu Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, disabitkan kesalahan memalsukan surat daripada pejabat naib canselor Universiti Malaysia Sabah, bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan kenyataan palsu dengan niat menggunakannya bagi tujuan penipuan.

    Dia melakukan kesalahan itu di pejabat Setiausaha Sulit Utama Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, di bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

  • Penemuan rangka mayat wanita:2 dipanggil untuk rakam keterangan

    Penemuan rangka mayat wanita:2 dipanggil untuk rakam keterangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sudah memanggil dua individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes penemuan rangka mayat wanita yang ditemui mereput dalam sebuah bagasi di kios perhentian bas terbiar berhadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kulai, Rabu lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua individu tersebut merupakan lelaki yang memberikan maklumat dan seorang lagi individu yang membuat laporan polis berkenaan penemuan rangka mayat berkenaan.

    Beliau memberitahu, itu merupakan perkembangan terkini siasatan kes tersebut setakat ini.

    “Pada masa sama kita juga sedang menunggu laporan akhir bedah siasat daripada pihak hospital. Ini perlukan masa dan sekarang ini kita masih tidak dapat petunjuk yang lebih untuk memudahkan perjalanan siasatan ini.

    “Ini kerana cap jari mangsa tiada kerana kita tidak dapat. Seperti yang saya katakan sebelum ini tiada kesan suntikan bacillus calmette-guerin (BCG) ditemukan pada mayat itu yang dipercayai bukan warga tempatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Tahun 2023 di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Johor Bahru malam tadi.

    Pada Rabu lalu, satu orang awam menemukan rangka mayat seorang wanita dalam sebuah beg bagasi di perhentian bas berkenaan dalam keadaan telah mereput lebih 50 peratus selain sudah berulat.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, mayat wanita berkenaan dianggarkan berusia 25 tahun ke atas dan telah
    meninggal dunia sejak dua minggu lepas, selain terdapat kecederaan di kepala.

    Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, 90 peratus atau kira-kira 8,000 sehingga 9,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.

    Katanya, penugasan anggota terbabit akan dibahagikan kepada tiga syif sehari bagi memastikan trafik berjalan lancar di semua tempat.

    Jelasnya, ini juga bagi memastikan kelancaran kemasukan lebih dua juta kenderaan ke Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

    Beliau memberitahu, seramai 326 anggota dan pegawai akan ditempatkan di BSI di sini manakala 30 lagi di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri dan mereka juga akan mendapat pertolongan polis bantuan.

    “Kita menempatkan anggota yang lebih ramai di BSI kerana menjangkakan kesesakan luar biasa manakala di KSAB dijangka tidak terlalu banyak kenderaan masuk atau keluar ke Johor,” katanya.

    Selain itu kata Kamarul Zaman, satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan ditempatkan di semua 13 daerah di negeri ini sebagai persediaan jika berlaku kemalangan atau kegiatan jenayah.

    “Kita juga akan adakan sekatan jalan raya (SJR) di 24 lokasi pada sebelah malam. Jika SJR itu mengganggu kelancaran trafik, polis akan
    pindahkan SJR tersebut ke tempat lain supaya tiada kesesakan,” katanya.