Category: Semasa

  • Umat Islam sambut Aidilfitri Sabtu, 22 April

    Umat Islam sambut Aidilfitri Sabtu, 22 April

    UMAT Islam akan menyambut Aidilfitri Sabtu ini, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan raja-raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ialah pada Sabtu, 22 Apr 2023,” katanya malam ini.

    Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

    Ini bermakna, Jumaat akan menjadi cuti tambahan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.

    Terdahulu, Anwar turut mengumumkan pengecualian tol selama empat hari dari 19 hingga 21 April (Rabu hingga Jumaat), dan pada 24 April (Isnin depan).

    Pengecualian tol ini meliputi 33 lebuh raya dan semua kelas kenderaan, katanya.

    Sementara itu, turut diumumkan hari ini bahawa polis akan memberikan kadar khas bayaran saman, iaitu RM50, bermula 21 April hingga 21 Mei, bagi semua saman trafik polis membabitkan kesalahan tahun lepas dan sebelumnya.

  • Segelintir umat Islam Indonesia sambut Aidilfitri hari ini

    Segelintir umat Islam Indonesia sambut Aidilfitri hari ini

    SEGELINTIR umat Islam di Indonesia sudah meraikan Hari Raya Aidilfitri pada hari ini.

    Menurut laporan Kompas, jemaah Tarekat Naqsabandiyah di Padang, Sumatera Barat dan jemaah Masjid Aolia di Yogyakarta sudah melaksanakan solat sunat Aidilfitri hari ini.

    Imam Surau Baru Kota Padang dikenali sebagai Zahar berkata, jemaah berkenaan mula melaungkan takbir raya semalam.

    “Pagi ini kita melaksanakan solat Aidilfitri selepas berpuasa selama 30 hari,” katanya.

    Jemaah berkenaan dikatakan membuat pengiraan berdasarkan cara hisab Munjid, yang menyambut lebaran lebih awal dari keputusan kumpulan pemerhati kerajaan, sama seperti tahun sebelumnya.

    Selain jemaah Tarekat Naqsabandiyah, jemaah Masjid Aolia turut meraikan 1 Syawal hari ini di Yogyakarta.

    Imam Jemaah Masjid Aolia Ibnu Hajar, Sholeh Pranolo atau dipanggil Mbah Benu berkata, lebaran tahun ini disambut lebih awal kerana keyakinan dan perjalanan spiritual.

    “Sebenarnya ini adalah kerana keyakinan. Di Indonesia kita boleh beraya awal atau puasa awal. Tiada masalah.

    “Yang penting jaga kesatuan dan jangan menyalahkan yang lain,” katanya.

    Dilaporkan jemaah Aolia turut berada di Sulawesi, Kalimantan, Sumatera, India, Filipina, hingga China.

  • SPRM sudah sita dua akaun Bersatu

    SPRM sudah sita dua akaun Bersatu

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 April lalu untuk tindakan lanjut selepas dibekukan pada 12 dan 13 Januari lalu.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sitaan ke atas dua akaun parti terbabit dibuat setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

    “Tindakan sitaan dilakukan selepas akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari lalu, mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

    “Susulan itu, SPRM melaksanakan tindakan sitaan itu pada 11 April lalu berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” menurut kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    Kenyataan itu menyebut, penjelasan berkenaan adalah bagi menjawab laporan berita akhbar, The Edge CEO Morning Brief pada 19 April lalu, yang bertajuk, ‘Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days’.

    Difahamkan, pembekuan akaun berkenaan dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion, yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

    Namun, sehingga kini, kedua-dua pihak, sama ada SPRM atau Bersatu tidak mendedahkan nilai akaun milik BERSATU yang dibekukan sebelum ini.

  • Mengaku tak bersalah cederakan 2 anggota polis dengan pisau Rambo

    Mengaku tak bersalah cederakan 2 anggota polis dengan pisau Rambo

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas tuduhan mencederakan dua anggota polis dan memiliki pisau Rambo, minggu lalu.

    Tertuduh, Zulhilmi Husni Azmi, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohamad Arif Ismail dan Aminullah Islahuddin Selvan masing-masing berusia 28 tahun dengan menggunakan sebilah pisau Rambo yang mana boleh menyebabkan kematian.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, lapor Harian Metro.

    Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah pisau Rambo tanpa maksud yang sah.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang boleh dipenjara minimum lima tahun hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan semak tepi jalan Kampung Siput Meranti, di sini, kira-kira 6 petang pada 13 April lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falena Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

    Terdahulu, Hajarul Falena memohon tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana lelaki itu turut mempunyai kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret.

    Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan perubatan mangsa.

    Media sebelum ini melaporkan, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera selepas bergelut dengan suspek di Kampung Siput, Meranti, di Pasir Mas.

    Muhamad Arif mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan akibat ditikam selain luka pada pergelangan tangan serta pipi, manakala Aminullah pula cedera di lengan kiri, tangan dan tapak tangan.

  • PM lulus permohonan Dong Zong:Sekolah persendirian Cina dapat bantuan RM15.75 juta

    PM lulus permohonan Dong Zong:Sekolah persendirian Cina dapat bantuan RM15.75 juta

    KERAJAAN meluluskan bantuan khas RM15.75 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    “Dengan ini, saya ingin mengumumkan bahawa permohonan ini telah diluluskan oleh perdana menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan media berbahasa Cina sebentar tadi.

    Setiausaha agung DAP itu berkata setiap sekolah akan menerima bantuan RM250,000, yang akan diberikan dua minggu selepas cuti hari raya puasa, dengan majlis penyerahan rasmi pada 5 Mei.

    Kelulusan itu diberikan Anwar susulan permohonan bertulis daripada Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 28 Februari lalu, tambah Loke.

    Menurut laporan MalaysiaKini, bantuan ini adalah yang kelima diberikan. 

    Ia bermula pada 2019, setahun selepas kali pertama Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat.

    Berikut jumlah bantuan yang diberikan sebelum ini:

    • 2022: 15 juta
    • 2021: 15 juta
    • 2020: 15 juta
    • 2019: 12 juta
  • Batal festival Aidilfitri saat akhir, penganjur ditahan

    Batal festival Aidilfitri saat akhir, penganjur ditahan

    POLIS menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat untuk siasatan berkaitan festival beli belah sempena Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang dibatalkan pada saat akhir.

    Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, tiga individu itu ditahan susulan beberapa laporan polis yang dibuat peniaga yang menyertai festival tersebut.

    Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan berkaitan laporan tersebut bagi siasatan selanjutnya dijalankan.

    “Susulan siasatan dijalankan, tiga individu terdiri daripada pengarah syarikat serta penganjur festival antaranya seorang lelaki berumur 23 tahun dan dua wanita tempatan berumur 50 dan 51 tahun

    “Semua individu itu ditahan direman dua hari bagi membantu siasatan.

    “Semakan mendapati semua individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, setakat kini sebanyak enam laporan polis telah diterima berkaitan kes yang disiasat itu.

    Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, lapor FMT.

    Sebelum ini, satu festival membeli-belah sempena sambutan Aidilfitri yang dijadual semalam sehingga esok di WTC terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

    Keadaan itu menyebabkan peniaga yang menyertai festival berkenaan mendakwa mengalami kerugian besar.

  • Tiga lelaki ditahan, bantu siasatan dadah bernilai lebih RM180,000

    Tiga lelaki ditahan, bantu siasatan dadah bernilai lebih RM180,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes dadah jenis syabu seberat lebih lima kilogram yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Balor Rambai, Mukim Bukit Tinggi dekat Jitra, Kedah, kelmarin.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada awalnya telah melakukan pemeriksaan di rumah tersebut kira-kira pukul 3.20 petang kelmarin.

    Hasil pemeriksaan dijalankan itu katanya, pihak polis menahan seorang lelaki dan menemukan satu beg kertas mengandungi lima bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 5 kilogram di lantai sebuah bilik.

    “Soal siasat dijalankan kemudiannya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang berada dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard di tempat depan Hotel Raia, Alor Setar kira-kira pukul 4 petang.

    “Pemeriksaan fizikal dijalankan tidak menemukan barangan terlarang namun dua lelaki itu ditahan bersama lima batang anak kunci dalam kenderaan tersebut bagi membantu siasatan. Kenderaan jenis Toyota Alphard itu turut disita bagi tujuan sama,” katanya.

    Tambahnya, nilai rampasan dadah adalah sebanak RM180,900 manakala nilai sitaan harta mencecah RM343,500.

    Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 47 tahun direman selama tujuh hari hingga 24 April dengan siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Kejayaan ini adalah hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya dapat ditumpaskan.

    “Pihak polis juga sentiasa memerlukan kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

  • Saman terhadap MP Kepong: Pampasan RM2 juta untuk cegah kenyataan tak sahih, kata hakim

    Saman terhadap MP Kepong: Pampasan RM2 juta untuk cegah kenyataan tak sahih, kata hakim

    MAHKAMAH sivil memaklumkan pampasan RM2 juta yang perlu dibayar Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bertujuan untuk tidak menggalakkan kenyataan yang tidak wajar dan tidak disahkan dalam era media sosial semasa.

    Dalam alasan penuh penghakiman dalam saman fitnah oleh MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Jessy Lai terhadap ahli parlimen DAP itu, hakim Akhtar Tahir berkata bahawa defendan mesti lebih bertanggungjawab dalam ucapan dan tindakannya.

    Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata bahawa kenyataan Lim menjejaskan reputasi kedua-dua plaintif.

    “Mahkamah juga merasakan bahawa dalam kes ini ganti rugi yang diberikan mesti bertindak sebagai pencegahan (deterrance). Ini bukan untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk mematahkan hasrat mana-mana pihak yang membuat kenyataan yang tidak wajar dan tidak disahkan, terutamanya dalam era penggunaan media sosial yang meluas.

    “Satu lagi sebab mengapa pencegahan diperlukan adalah hakikat bahawa mahkamah dibanjiri dengan kes yang melibatkan fitnah melibatkan semua lapisan masyarakat dari peringkat tertinggi hingga yang paling rendah.

    “(Istilah) ‘Jumpa di mahkamah’ nampaknya telah menjadi kenyataan fesyen dan bukannya sesuatu yang perlu ditakuti.

    “Faktor terakhir yang mengambil kira dalam kes ini ialah defendan tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap tindakannya dan sebaliknya bersikap agresif dalam sikapnya.

    “Plaintif dengan berbesar hati bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu tanpa pergi ke perbicaraan penuh dengan hanya memohon maaf, tetapi defendan menolak permintaan ini,” kata Akhtar, lapor MalaysiaKini.

    Hakim menambah bahawa kenyataan Lim mengandungi pelbagai dakwaan serius, seperti pemberian sogokan dan wang perlindungan kepada pegawai kerajaan,dan penglibatan dalam aktiviti haram yang menyebabkan beberapa warga China mengalami kerugian kewangan.

    Pada 16 Mac, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Lim telah memfitnah MonSpace dan Lai, dan memerintahkan pemimpin DAP itu membayar ganti rugi RM2 juta.

    Akhtar kemudiannya juga telah memerintahkan defendan membayar kos RM250,000 dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

    Bagaimanapun, Lim sejak itu telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

    Lim juga memohon Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusan sementara menunggu rayuan itu diselesaikan. Mahkamah Tinggi ditetapkan untuk mendengar permohonan itu pada 22 Mei.

    Sebelum ini dilaporkan Lim berjaya dalam usaha kutipan dana awam untuk mengumpul RM2.25 juta untuk kes itu.

    Lim diwakili peguam Guok Ngek Seong, manakala peguam Harpal Singh Grewal bertindak bagi MonSpace dan Lai.

  • Kenapa dulu tak suruh Najib cuti, pemimpin DAP soal MCA

    Kenapa dulu tak suruh Najib cuti, pemimpin DAP soal MCA

    SEORANG Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membidas gesaan MCA supaya Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar bercuti sementara menunggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengambilan pekerja asing.

    “Mengapa MCA tidak minta bekas perdana menteri, (Datuk Seri) Najib (Razak) bercuti apabila terdapat pelbagai siasatan berhubung 1MDB di dalam dan di luar negara.

    “Mengapa MCA bukan sahaja berdiam diri apabila dana negara dirompak oleh Najib, malah memberikannya sokongan tanpa syarat untuk memerintah negara (ketika itu),” soalnya.

    Lip Eng menjawab gesaan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong semalam agar Sivakumar bercuti sementara menunggu hasil siasatan SPRM bagi mengelak menjejaskan imej kerajaan perpaduan.

    Sivakumar, yang juga Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, menarik perhatian umum selepas SPRM menahan dua pegawai kanannya dan seorang ahli perniagaan minggu lalu berhubung siasatan ke atas pengambilan pekerja asing.

    Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada reman pada Isnin.

    Sivakumar juga disoal siasat SPRM sebanyak dua kali sebagai sebahagian daripada siasatan, menurut sumber.

    Apabila ditanya sama ada Sivakumar perlu bercuti, Lip Eng mengulangi pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Sivakumar tidak perlu berundur kerana kes itu masih disiasat dan tiada tuduhan dikenakan terhadapnya.

    “Jadi, saya akan berpegang kepada itu (kenyataan Anwar),” katanya.

    Seorang lagi Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer berkata, beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap integriti Sivakumar dan merasakan menteri itu tidak perlu bercuti.

    “Beliau seorang yang lurus, jujur dan tidak mengarut. Saya percaya beliau tidak bersalah,” kata Ahli Parlimen Jelutong itu, lapor FMT.

  • Edar dadah guna Telegram, 4 ditahan polis

    Edar dadah guna Telegram, 4 ditahan polis

    POLIS membongkar aktiviti pengedaran dadah menerusi aplikasi Telegram susulan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Sungai Besi, Isnin lalu.

    Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin, berkata suspek berusia 26 hingga 43 tahun itu ditahan dalam operasi khas bermula 2 petang hingga 9 malam.

    Katanya, dalam serbuan pertama di lobi kondominium berkenaan, mereka menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama rampasan dadah jenis ganja seberat satu kilogram.

    “Susulan tangkapan itu, kami menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 43 tahun di kondominium sama.

    “Kami turut merampas 41,240 gram ganja, wang tunai RM200, seutas gelang emas, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal Honda RS,” katanya menurut Harian Metro.

    Zam Halim berkata, keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan 42,000 penagih dengan nilai RM130,944.

    Katanya, sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu menggunakan modus operandi berurusan dengan pelanggan di Telegram, selain menjadikan rumah sewa mereka sebagai tempat menyimpan dadah.

    “Hasil perbincangan di Telegram, mereka akan menetapkan lokasi perjumpaan untuk menghantar dadah berkenaan yang diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur bagi pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya.

    Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek lelaki memiliki rekod jenayah dan kes dadah.

    “Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dua suspek lelaki juga positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

    “Semua suspek yang tidak memiliki pekerjaan tetap itu direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.