Category: Semasa

  • Hari raya suram buat 10 beradik

    Hari raya suram buat 10 beradik

    NASIB 10 adik-beradik di rumah pangsa di Skudai Kanan, Johor Bahru berubah apabila ibu bapa mereka meninggal dunia sekali gus menjadikan sambutan Aidilfitri suram tidak seperti keluarga lain.

    Susulan itu adik beradik yang lebih tua terpaksa menggalas tanggungjawab kepada adik-adik dalam meneruskan kehidupan.

    Anak sulung, Mohd. Shahrul Efendy Nordin Ahmad, 30, kini memikul tanggungjawab sebagai ‘ayah’ mencari rezeki dengan melakukan dua pekerjaan sebagai pekerja hotel dan pembantu gerai di Pasar Karat.

    Sementara, anak keempat Nurin Atikah, 23, yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang, dianggap sebagai ‘ibu’ kerana menguruskan hal rumah seperti makanan, mengemas dan membasuh pakaian.

    Menurut Nurin, bapanya, Nordin Ahmad Mahat yang bekerja sebagai kelindan lori meninggal dunia pada tahun 2016 akibat penyakit darah tinggi.

    Lebih menyayat hati, ibunya, Rozita Mohd. Fauzi, 45, pula meninggal dunia pada Ramadan ketiga bulan lalu, akibat penyakit tiriod.

    “Selepas ayah meninggal dunia, along menjadi tonggak keluarga mencari rezeki kerana ibu tidak bekerja disebabkan masalah kesihatannya. Tanggungjawab along kini lebih besar selepas pemergian ibu.

    “Tiga yang masih bersekolah ialah Najwah Maisarah, 17, Nuranis Elena, 12 dan Nurain Afina, 9. Paling bongsu adik tiri, Nur Qisha Amanda pula baru berusia empat tahun,” katanya.

    Nurin menjelaskan, along begitu gigih bekerja lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan untuk mencari wang lebih bagi membeli persiapan raya seperti baju, kasut dan kuih muih.

    “Abang dah berkahwin iaitu Mohd Rifaieh, 28, adik, Mohd Ridzwan, 27, dan Mohd Afif, 22, yang sudah bekerja turut membantu dan kerap menziarahi kami.

    “Adik, Mohd. Amir, 18, pula kini sedang mencari pekerjaan. Dia minat bidang kemahiran terutama pendawaian elektrik,” katanya.

    Nurin menjelaskan, Allahyarham ibunya ada berpesan agar menjaga adik-adik dengan baik dan mengutamakan persekolahan mereka.

    “Ibu pesan, walau apa pun terjadi, kami adik-beradik jangan terpisah. Saya dan along akan jaga adik sebaiknya.

    “Paling sedih, adik bongsu Nur Qisha yang masih ingat ibu dan kerap memanggil ibu,” katanya dalam nada sebak.

    Nurin berkata lagi, sambutan 1 Syawal yang kebiasaannya meriah bersama adik-adik pasti akan menjadi suram pada tahun ini kerana masih berduka dengan pemergian ibu.

    “Selalunya beberapa hari sebelum raya, saya, along dan adik-adik bertungkus-lumus menyediakan pelbagai persiapan raya.

    “Along dan saya akan sibuk kemas rumah. Adik-adik pula bantu ibu siapkan kuih. Kami sekeluarga akan ke pusat beli belah, membeli baju raya sedondon.

    “Untuk Syawal kali ini, segala persiapan raya disediakan along dan adik-adik memilih baju raya berwarna biru cair untuk dipakai nanti.

    “Saya akan masak hidangan di pagi raya sepertimana ibu masak untuk kami. Antara menunya ialah lodeh, ayam masak merah dan rendang.

    “Selepas solat raya, kami semua akan ziarah kubur ayah dan ibu,” katanya.

    Dalam pada itu, Nurin memberitahu permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sudah dimohon beberapa hari lalu.

    Penolong Setiausaha Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Alwani Mohd. Sabri memaklumkan, Allahyarham ibu kepada 10 beradik ini merupakan penerima sumbangan barangan keperluan seperti minyak, gula, gandum dan beras.

    “Sumbangan yang diterima akan diteruskan untuk meringankan beban mereka sekeluarga,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • DAP sanggah Islam, mahu UMNO lebih kuat dari Bersatu dan Pas – Hadi Awang

    DAP sanggah Islam, mahu UMNO lebih kuat dari Bersatu dan Pas – Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa DAP ketika ini secara tersirat menyanggah Islam dengan menggunakan UMNO.

    Hal itu selepas Kit Siang mengeluarkan kenyataan bahawa satu-satunya cara untuk UMNO kembali gemilang seperti dahulu ialah dengan parti tersebut kembali berpegang kepada dasar dan prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan Rukun Negara.

    Menurut Abdul Hadi, kenyataan itu secara tersirat tidak menyembunyikan perjuangan dan hala tuju parti DAP.

    “Tidak menghairankan apabila DAP yang berprinsip dan berkonsepkan sosialisme, sekularisme dan Malaysian Malaysia mengikut undang-undang tubuhnya, mengambil pendekatan pragmatik.

    “Justeru, perlu dilakukan muhasabah terhadap parti yang menjadi salah satu mazhab kepada asal usul falsafah Karl Marx, yang diubah suai mengikut realiti dan situasi yang berbeza dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam perkongsian di media sosial hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sebelum ini, DAP telah menyertai gabungan 55 buah parti demokratik sosial, sosialis dan buruh yang lain di seluruh dunia sebagai ahli Sosialis Antarabangsa (SI) dalam sebuah persidangan di Zurich, Switzerland.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, di Malaysia, semua kumpulan kiri bersekongkol bersama DAP, termasuk kumpulan komunis yang paling ekstrem sehingga diharamkan.

    Beliau mendakwa, setelah kumpulan komunis tidak mempunyai tempat di hutan rimba, ada antara mereka yang bersembunyi dalam DAP.

    “Dulu Pas bertahaluf dengan DAP dan bersama parti-parti lain dalam gagasan pembangkang berkonsepkan titik persamaan kemanusiaan yang tidak menyentuh dasar parti dan tidak terpesong hala tujunya.

    “Apabila Pas mencapai sedikit kejayaan dalam kerjasama itu, sehingga berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu, terkini memimpin Kedah pula, serta menambah kerusi di Parlimen, maka dianggapnya bahaya gelombang hijau kerana Pas mendapat kerusi terbanyak.

    “Tafsiran yang ekstrem terhadap Pas, bukan kerana salahnya, tetapi kerana sikap menolak kebenaran secara tidak adil,” katanya.

    Abdul Hadi berkata, menjadi kewajipan Pas melaksanakan Islam melalui proses demokrasi berparlimen dan konsep federalisme melalui negeri-negeri yang berada di bawah kerajaan Pas dan bersuara di Parlimen berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar.

    Katanya, Pas dapat membuktikan sedikit kejayaan dalam pelaksanaan Islam yang sangat terbatas.

    Menurut beliau, hal itu disebabkan banyaknya sekatan-sekatan yang tidak bermoral politik demokrasi yang sebenar sehingga menyanggah prinsip federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan seperti menafikan perjanjian royalti dan lain-lain kepada Kelantan dan Terengganu.

    Begitupun, katanya, Pas berjaya mencapai banyak perkara yang positif seperti menunjukkan contoh kerajaan negeri yang berintegriti, dan melaksanakan konsep adil kepada semua, sehingga dapat menembusi masyarakat bukan Islam dan berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP).

    “Tiba-tiba DAP mengeluarkan kenyataan terbuka menentang pelaksanaan Islam di negeri di bawah pentadbiran Pas seperti pengharaman arak, judi dan hiburan yang berunsur maksiat kepada penganut Islam sahaja.

    “Malah, DAP juga menentang pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 secara terbuka bersama rakan-rakannya.

    “Dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan bahawa undang-undang Islam hanya dikuatkuasakan kepada penganut Islam sahaja, tanpa gangguan terhadap hak beragama bukan Islam,” katanya, lapor UtusanTV.

  • Kadar khas bayaran saman RM50 setiap satu mulai hari ini – Polis

    Kadar khas bayaran saman RM50 setiap satu mulai hari ini – Polis

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kadar khas bayaran saman berjumlah RM50 setiap satu bagi semua saman trafik termasuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya bermula hari ini hingga 21 Mei depan.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata kadar khas itu julung kali dilaksanakan oleh pihak PDRM bagi memberi peluang ke atas saman yang tidak boleh dikompaun untuk diselesaikan.

    Beliau berkata potongan hampir 85 hingga 86 peratus tersebut untuk menzahirkan hasrat kerajaan menyumbang dari segi memberi kemudahan kepada rakyat dengan mengurangkan bebanan dihadapi masyarakat.

    “Kita buka semua saman yang sebelum ini kita sekat contoh saman-saman yang tidak boleh dikompaun dan perlu ke mahkamah.

    “Kita buka kerana keluhan masyarakat yang jika (saman) disekat tidak boleh dibuat pembaharuan lesen, pembaharuan cukai jalan jadi kita buka supaya masyarakat semua boleh merasai dan dapat kemudahannya,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di laluan alternatif Gua Musang di Gua Musang semalam.

    Mat Kasim berkata walau bagaimanapun tawaran terbabit tidak sah untuk kes saman yang masih melalui proses perbicaraan di mahkamah.

    “Cuma kita sekat hanya kes-kes melibatkan pihak ketiga, contohnya kes dalam perbicaraan yang itu kami tak boleh kerana masih tergantung dengan perbicaraan dan sebagainya,” katanya.

    Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya mengambil peluang yang ditawarkan kerajaan malah tempoh pembayaran juga diberi sehingga selepas perayaan Aidilfitri.

    “Saya mahu tekankan saman yang tidak boleh dikompaun itu perlu diambil kesempatan ini (kerana) sebelum ini tidak pernah (dilaksanakan) dalam sejarah PDRM kerana kami terikat pada peraturan tetapi kerajaan tengok apa yang boleh dibantu, maka kita bantulah sebaik mungkin.

    “Janganlah tergesa-gesa untuk membuat pembayaran, sambutlah Aidilfitri dahulu kita bagi sebulan ada masa lagi,” katanya.

  • Rumah hangus terbakar, 20 sekeluarga beraya di rumah jiran

    Rumah hangus terbakar, 20 sekeluarga beraya di rumah jiran

    LEBIH 20 ahli keluarga yang pulang ke kampung untuk menyambut hari lebaran tidak menyangka rumah yang dihuni kedua ibu bapa mereka hangus dalam kebakaran petang semalam.

    Mangsa, Muhaizar Mohamad, 43, berkata, rumah yang dihuni mentuanya, Md. Jamhuri Sanusi, 70, dan Zabedah Mohd, 68, di Kampung Padang Setar, Kuala Nerang hangus dalam kejadian itu.

    “Ketika kejadian kira-kira pukul 4.10 petang saya ketika itu sedang tidur di beranda, anak-anak sedang bermain manakala isteri, Suria Arfah Md. Jamhuri 39, sedang memasak di dapur bersama ibunya.

    “Ketika bapa mentua berjalan untuk ke dapur, bapa terhidu bau hangit dari dalam salah sebuah bilik lalu memaklumkan kepada saya.

    “Sebaik membuka pintu bilik berkenaan saya melihat terdapat percikan api dan mengambil keputusan untuk memadamkan kebakaran terbabit namun gagal,” katanya.

    Menurutnya, dia bersama isteri dan anak-anak pulang ke rumah mentua kelmarin untuk menyambut Aidilfitri dan tidak menyangka akan berdepan detik cemas namun bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian itu.

    Katanya, adik iparnya, Rizal Md. Jamhuri, 37, pula baru sampai kira-kira pukul 12 tengah hari semalam sebelum keluar ke bandar Kuala Berang, untuk membeli sedikit keperluan harian pada pukul 4 petang.

    Muhaizar berkata, adik iparnya tidak sempat menyelamatkan semua barangan yang sudah dibawa naik ke dalam rumah berikutan ketika itu adik ipar keluar bersama ahli keluarganya.

    “Bapa dan ibu mentua masih trauma dengan kejadian ini dan sambutan Aidilfitri kali ini dijangka enam daripada tujuh adik beradik isteri akan pulang berhari raya di sini.

    “Namun, akibat kejadian ini kami sekeluarga kini menumpang rumah jiran yang terletak bersebelahan rumah mentua dan kebetulan rumah jiran berkenaan adalah rumah kosong,” katanya.

    Dia bersama isteri dan ahli keluarga lain mengambil keputusan tetap menyambut Aidilfitri dan tidak pulang ke ibu kota sehingga habis cuti namun dalam suasana berbeza kerana beraya sekadar termampu kerana banyak barangan seperti baju dan kelengkapan lain hangus terbakar.

    Anak sulung keluarga berkenaan, Samsul Md. Jamhuri, 42, berkata, dia tinggal bersama kedua ibu bapanya namun kelmarin, dia ke Chenih, Kemaman, untuk menjemput isterinya pulang beraya di Kuala Berang.

    “Saya menerima panggilan memaklumkan rumah keluarga terbakar dan sebaik tiba saya melihat keseluruhan struktur rumah yang diperbuat daripada kayu hangus.

    “Buat masa ini kami menumpang rumah jiran yang kebetulan kosong dan bolehlah kami berhari raya ala kadar di rumah ini buat sementara waktu,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd. Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.34 petang berhubung kebakaran rumah separuh kekal.

    “Kebakaran membabitkan 75 peratus rumah berkenaan dan api marak dengan pantas berikutan cuaca panas manakala operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6 petang,” katanya, lapor Harian Metro.

  • ‘Aidilfitri macam hari biasa bagi kami, sudah 9 tahun tiada baju raya’

    ‘Aidilfitri macam hari biasa bagi kami, sudah 9 tahun tiada baju raya’

    DUA adik-beradik yatim piatu dari Kampung Slow Pok Long, Dabong di Kuala Krai menyambut Hari hari Raya Aidilfitri seadanya dan tidak seperti orang lain.

    Ini kerana tiada pakaian baharu, apatah lagi hidangan istimewa untuk dinikmati pada hari lebaran yang akan disambut esok.

    Sejak kehilangan kedua ibu bapa iaitu Adi Roni dan Yusni Yusof dalam nahas jalan raya pada tahun 2014, dua beradik itu perlu hidup berdikari walaupun usia mereka terlalu ‘mentah’, selain hanya menumpang kasih datuk dan nenek yang sudah tua.

    Lebih menyedihkan dua beradik tersebut terpaksa berpisah dengan adik bongsu, Mohd. Aliff Adi, 11, yang kini dijaga oleh keluarga sebelah bapa.

    Kesempitan hidup memaksa Mohd. Azwan Abdullah, 16, dan adik perempuannya, Nur Asyikin, 15, melupakan terus keseronokan dan nikmat berhari raya seperti remaja lain seusia mereka.

    Nur Asyikin berkata, dia dan abangnya sudah sembilan tahun tidak berasa pakaian baharu.

    “Pagi raya kami sama seperti hari lain. Kami sudah biasa dengan keadaan tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Jelas remaja itu, melihat orang lain bergembira dengan keluarga memaksa mereka hanya berada di rumah.

    Ujar Nur Asyikin, ketika itu rindu terhadap ibu dan ayah mereka mula ‘membuak-buak’ sehingga menitiskan air mata.

    Tambahnya, mereka perlu tabah dan sedar diri kerana dengan pendapatan abangnya sebanyak RM50 seminggu sebagai penoreh getah hanya cukup untuk berbelanja makan.

    “Setakat ini kami tidak pernah kelaparan, walaupun adakalanya perlu mencatu makanan,” katanya.

    Nur Asyikin memberitahu, dia dan Mohd. Azwan juga sudah lama tidak bersekolah.

    Dia berkata, bukan tidak mahu namun kesempitan hidup memaksa mereka berbuat demikian.

    Tambahnya, pada masa sama mereka tidak mahu menyusahkan datuk serta nenek, Yusof Muda, 61, dan Roslah Aziz, 60, yang juga hidup dalam kesusahan.

  • Dua lori disita ingkar larangan waktu operasi

    Dua lori disita ingkar larangan waktu operasi

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan dua buah lori jenis tipper dumper disita di Koridor Banting-Klang di Banting semalam kerana gagal mematuhi waktu larangan kenderaan berat beroperasi.

    Pengarah Penguat Kuasa Kanan JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, Operasi Khas Road Banned Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 bermula pukul 12.30 tengah malam itu diketuai Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Selangor, Mazlini Yusof.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dua lori tersebut mendapati kedua-dua kenderaan berat itu telah melakukan kesalahan tidak mematuhi waktu larangan kenderaan berat.

    “Pemeriksaan terhadap kedua-dua pemandu berusia lingkungan 50-an itu mendapati mereka tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL),” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Beliau berkata, semakan juga mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insuran telah tamat tempoh.

    Beliau menjelaskan, pihaknya mengesan pelbagai kesalahan teknikal terhadap salah sebuah lori terbabit termasuk tayar ‘botak’.

    “Tindakan tegas ke atas kenderaan tersebut dengan sitaan di bawah Seksyen 64 dan notis di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu lucut hak kenderaan.

    “Kita tidak berkompromi kepada kenderaan ‘overloading’ di mana tindakan sitaan dan lucut hak akan dikenakan jika gagal mematuhi peraturan jalan raya.

    “JPJ juga akan mengambil tindakan keras kepada tonto dan pegawai yang melindungi kegiatan ini,” ujarnya.

    Tambahnya, untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-Aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan.

  • Aidilfitri suram ketika kuasa beli rakyat terus terhakis

    Aidilfitri suram ketika kuasa beli rakyat terus terhakis

    JUTAAN umat Islam Malaysia bakal menyambut Aidilfitri hujung minggu ini namun di sebalik kemeriahan dan keriuhan yang sinonim dengan hari lebaran, tahun ini tampak suram untuk kebanyakan rakyat yang terkesan disebabkan keadaan kewangan mereka. 

    Sebelum ini, rakyat Malaysia secara umum berdepan dengan kenaikan harga barang makanan terutamanya ayam dan telur sehingga kerajaan terpaksa mengimport telur dari India. 

    Umum mengetahui satu Syawal sering disambut dengan kos yang tinggi. 

    Orang Islam akan membeli kelengkapan raya seperti baju baru, kuih-muih dan sedikit perhiasan. 

    Selain itu, perantau juga memerlukan kos untuk balik kampung. 

    Justeru, sebahagian daripada mereka menuntut pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar namun ini tidak diendahkan kerajaan. 

    Ramadan tahun ini, menyaksikan ribuan tan makanan terpaksa dibuang di bazar Kuala Lumpur dan Selangor kerana tidak laku. 

    Ramai peniaga mengeluh kekurangan pelanggan pada tahun ini. 

    Salah seorangnya ialah Pak Nordin yang berniaga ayam berempah dan nasi tomato di bazar Ramadan Seri Kembangan, Selangor. 

    “Hari pertama lagi kita dah nampak trend pembeli bazar macam mana. Pelanggan tidak akan habiskan lebih RM10 untuk makanan di bazar. 

    “Ada rakan sudah menutup tapak awal seminggu dari tarikh tamat Ramadan kerana tidak untung,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Begitu juga bazar Aidilfitri yang menawarkan kuih dan kelengkapan raya. 

    Tidak menghairankan apabila membaca komen di media sosial yang mengakui mereka tidak banyak berbelanja pada tahun ini. 

    Ada yang sanggup memakai baju raya beberapa tahun lepas kerana mendahulukan keperluan lain.

    Tinjauan beberapa pusat membeli-belah di Kuala Terengganu mendapati keadaan tidak sesesak tahun-tahun ke belakang meskipun masih ramai dengan pengunjung.

    “Jualan agak kurang kerana ramai mahu berjimat cermat. 

    “Kalau dahulu, orang tidak berhenti masuk kedai sampai petang, sekarang apabila petang sudah lengang,” menurut seorang pembantu jualan di sebuah kedai kasut di ibu negeri Terengganu itu.

    Sesi persekolahan yang bermula pada awal bulan lepas bermakna kuasa beli telah banyak dihabiskan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak. 

    Mohamad Fazli Sabri, pakar kewangan keluarga daripada fakulti ekologi manusia, Universiti Putra Malaysia berkata, perbelanjaan dijangka tetap meriah dengan bantuan raya kepada penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini. 

    “Kenal pasti dan susun keperluan mengikut keutamaan, Sekiranya boleh, elakkan pembelian pada saat-saat akhir.”

    Selain itu, ada segelintir individu yang berada dalam dilema untuk pulang ke kampung halaman kerana kosnya melebihi bajet. 

    Namun bagi Mohamd Fazli, wajar untuk setiap individu pulang ke kampung dan menziarahi ibu bapa. 

    Sementara itu, Nordin berkata, dia memahami jika raya kali ini agak suram. 

    “Duit tidak ada, simpanan pun sikit. Barang dapur mahal dan orang jadi tidak gembira,” katanya.

  • Kerajaan tidak bercadang tetapkan SOP khas Aidilfitri

    Kerajaan tidak bercadang tetapkan SOP khas Aidilfitri

    KERAJAAN tidak bercadang untuk menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) khas kepada orang ramai bagi mencegah dan mengawal penularan wabak COVID-19 sempena perayaan Aidilfitri.

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ini kerana kes jangkitan virus itu di negara ini dilihat masih dalam keadaan terkawal.

    “Memang betul kes COVID-19 meningkat, tetapi ia masih dalam keadaan terkawal.

    “Kita tidak perlu panik, walaupun ada peningkatan, kita lihat seperti subvarian Omicron, mungkin ia mudah berjangkit tetapi kes itu (tahap) keterukan adalah sangat rendah,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di Kulai malam ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai.

    Dr Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya kerajaan bercadang untuk membuat sebarang SOP khas sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

    Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai terutama yang mempunyai gejala adalah digalakkan untuk memakai pelitup muka.

    Sementara itu, mengenai pelantikan Ketua Pengarah baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang akan bersara wajib esok, beliau berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Bagi menjawab siapa pengganti Tan Sri Dr Noor Hisham saya minta bersabar. Sudah ada nama-nama yang berpotensi untuk menggantikan beliau, dalam masa terdekat saya akan umumkan,” katanya.

  • Laporan dakwa M’sia sedang usahakan perjanjian bawa balik Jho Low

    Laporan dakwa M’sia sedang usahakan perjanjian bawa balik Jho Low

    PEGAWAI kerajaan Malaysia sedang mengusahakan perjanjian dengan China yang akan menyaksikan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho dihantar pulang ke Malaysia, menurut bekas wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope.

    Dia mendakwa beberapa sumber berkata, usaha itu sedang ‘didebatkan secara hangat’ oleh kerajaan Malaysia susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bulan lepas.

    “Perjanjian sedemikian melibatkan penghapusan jelas mengenai penglibatan China dalam perjanjian yang distrukturkan oleh Jho Low untuk menutup penipuan 1MDB, percubaan China untuk menguatkan kerjaya politik Datuk Seri Najib Razak (termasuk dalam sokongan tunai), menyusun semula projek Belt and Road Initiative di Malaysia untuk menjadi lebih ekonomi dan bermanfaat kepada keperluan infrastruktur Malaysia dan menyerahkan Jho Low (dan semua rampasan rompakannya).

    “Ini akan menjadi sesuatu yang besar, menarik dan menandakan berakhirnya cerita utama skandal 1MDB sejak penubuhannya pada 2009 hingga kejatuhannya akibat skandal pada 2015 dan segala pesta dan perbelanjaan yang tidak masuk akal sehingga 2023.

    “Ini juga mungkin bermakna pemulihan tunai yang besar bagi Malaysia, kerana (Low) – menurut anggaran kami dan sumber yang telah mengikuti kes itu dengan rapat masih mengawal simpanan tunai bernilai berbilion dolar,” tulisnya, lapor MalaysiaKini.

    Dakwaan itu diterbitkan dalam edisi buletin Whale Hunting hari ini, yang dikendalikannya bersama rakan wartawan Tom Wright.

    Kedua-duanya adalah pengarang bersama buku Billion Dollar Whale yang mengupas mengenai peranan Low dalam skandal 1MDB.

    China sebelum ini menafikan berkali-kali bahawa mereka memberikan perlindungan kepada Jho Low, tetapi laporan bahawa dia bersembunyi di negara itu masih berterusan.

    Merumitkan keadaan, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

  • Menteri Sarawak gelar Ahli Parlimen DAP ‘dungu’ berkait penerbangan butik

    Menteri Sarawak gelar Ahli Parlimen DAP ‘dungu’ berkait penerbangan butik

    DUA ahli Parlimen Sarawak bertelagah berhubung cadangan kerajaan negeri menubuhkan syarikat penerbangan butik.

    Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah membidas Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii dengan melabelkannya sebagai ‘dungu’ kerana mempersoalkan kemampanan ekonomi mempunyai syarikat dimiliki kerajaan negeri.

    Ini susulan Yii pada kelmarin, mengingatkan kemungkinan jamin keluar (bailout) memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri dan menggesa lebih banyak maklumat dikemukakan membabitkan kos projek, analisis kos-manfaat, dan pihak yang terlibat.

    Beliau juga menuntut kerajaan Sarawak bekerjasama dengan syarikat penerbangan nasional dan swasta dalam meningkatkan kesalinghubungan terutama di laluan domestik, dengan menawarkan insentif dan subsidi.

    Bagaimanapun, Karim mempertahankan inisiatif penerbangan butik berkenaan, sambil menyatakan kerajaan perlu melaksanakan pelan besar itu walaupun tidak mengaut keuntungan memandangkan ‘Sarawak berada di pulau’, lapor Dayak Daily.

    Katanya, rakyat Sarawak terpaksa menanggung tambang penerbangan terlampau mahal, terutama pada musim perayaan, dan penerbangan butik membuka laluan kepada kerajaan negeri menentukan harga tambang.

    “Tiba-tiba ‘dungu’ ini datang. Apabila saya baca (kenyataan), saya kecewa. Apa yang sebenarnya beliau mahu sampaikan,” kata Karim dipetik sebagai berkata.

    Dalam pada itu, Yii memberi maklum balas beliau sebenarnya ‘dungu’ jika tidak menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam langkah berisiko itu kerana memberi kesan besar kepada negeri dan rakyatnya.

    Beliau menyokong inisiatif demi kebaikan Sarawak, namun berpendirian tegas sama ada penerbangan butik merupakan langkah terbaik meningkatkan kesalinghubungan dan menstabilkan harga tambang.

    “Jadi, berbanding menunjukkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan kos keseluruhan projek, termasuk kajian kebolehlaksanaan dan kemampanan, serta analisis kos-manfaat, mereka akhirnya menggunakan gaya politik remeh dengan memberi ‘gelaran’ untuk mengelak isu sebenar,” katanya dalam kenyataan.

    Yii berkata, kenyataan Karim itu mengesahkan desakan menubuhkan penerbangan butik adalah untuk ‘menstabilkan’ harga tambang penerbangan ketika musim perayaan dan menteri mengakui langkah itu tidak menguntungkan.

    “Kita tidak mahu melihat selepas beberapa tempoh, kerajaan Sarawak tidak mempunyai pilihan apabila menggunakan sejumlah besar dana awam untuk jamin keluar syarikat penerbangan itu untuk terus beroperasi kerana tidak mampan,” katanya.