Category: Semasa

  • Warga kota buat persiapan akhir menjelang Syawal

    Warga kota buat persiapan akhir menjelang Syawal

    OLEH: Adam Razak

    PERSIAPAN SAAT AKHIR…Esok umat Islam di negara ini bakal menyambut 1 Syawal selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

    Pastinya ramai sudah berada di kampung bagi menyambut lebaran bersama yang tersayang namun ada juga menggunakan kesempatan cuti umum tambahan untuk membuat persiapan di saat akhir.

    Kelihatan orang ramai memilih baju melayu bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tinjauan Warta Rakyat di sekitar Jalan Tuanku Abdul (TAR) dan Jalan Chow Kit mendapati, suasana masih lagi meriah dengan lokasi popular itu terus menjadi perhatian ramai.

    Meskipun cuaca semasa agak panas dan kering namun ia tidak membantutkan hasrat warga kota memenuhi kehendak serta keperluan mereka menjelang Syawal.

    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat

    Di antara gerai jualan yang menjadi tumpuan adalah baju Melayu, tudung, aksesori wanita, gerai songkok dan kuih raya.

    Turut menjadi tumpuan adalah gerai inai, lokasi kegemaran kaum Hawa untuk ‘menghias’ tangan mereka supaya kelihatan menarik di Aidilfitri.

    Pada saat ini juga kelihatan para peniaga menawarkan potongan harga istimewa bagi menarik perhatian pembeli untuk menghabiskan stok-stok jualan mereka.

    Kelihatan seorang pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menghias tangan di gerai inai sempena menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai memenuhi sekitar Jalan TAR untuk membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan peniaga menyusun stok-stok kuih raya di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan kaum wanita tidak melepaskan peluang memilih pelbagai jenis tudung bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan kaum wanita tidak melepaskan peluang memilih aksesori wanita bagi membuat persiapan akhir sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli belah bagi membuat persiapan akhir membeli kelengkapan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba esok di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR, Kuala Lumpur. GAMBAR: Warta Rakyat
    Walaupun ramai warga kota telah memulakan perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya, namun tidak kurang juga yang masih berada di ibu kota dan memilih saat akhir untuk berbelanja bagi persiapan Aidilfitri. GAMBAR: Warta Rakyat
  • Tersilap sasaran, warga emas maut ditetak dengan parang

    Tersilap sasaran, warga emas maut ditetak dengan parang

    SEORANG warga emas menjadi mangsa keadaan apabila maut ditetak kerana disalah anggap sebagai individu lain dalam kejadian di Siburan, Sarawak.

    Menurut Utusan Borneo, suspek yang bersenjatakan parang pada mulanya mahu menyerang adiknya yang melarikan diri susulan pertengkaran di kediaman mereka selepas berbuka puasa.

    Namun, malang menimpa warga emas itu yang secara kebetulan dalam perjalanan ke kedai apabila ditetak suspek.

    Ketua Polis Simunjan Wong Tee Kui berkata, suspek merupakan warga tempatan berusia 43 tahun.

    “Kejadian dipercayai berlaku sekitar 7.40 malam kelmarin, di mana mangsa seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun telah disahkan meninggal dunia.

    “Susulan itu, suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Wong turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

  • Mangsa banjir berjimat sambut 1 Syawal

    Mangsa banjir berjimat sambut 1 Syawal

    BELANJA secara ‘rahmah’ atau berjimat cermat menjadi pilihan hampir segelintir besar penduduk Batu Pahat, apatah lagi selepas terkesan teruk akibat banjir besar bulan lalu.

    Melalui tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk mahu menyambut lebaran dengan meriah, tetapi perlu berbelanja secara ‘rahmah’ atau berhemah.

    Bagi Mohd Ariff Ab Razak, 37, dia sekeluarga membuat pembelian secara berjimat cermat untuk pakaian raya, sekadar sepasang berbanding dua atau tiga pasang sebelum ini.

    Katanya, ini memandangkan sebahagian pendapatannya turut digunakan untuk membeli barangan lain yang rosak akibat banjir.

    “Tahun ini, kami sekeluarga perlu mendahulukan keperluan dengan membeli katil, perabot dan beberapa peralatan rumah lain serta menjadikan pakaian hari raya bukan keutamaan, tapi jatuh nombor dua,” katanya ketika ditemui di Ekspo Ramadan Dewan Jubli Intan Batu Pahat, baru-baru ini.

    Berkaitan juadah Aidilfitri, katanya, dia bersama keluarga seperti biasa memasak ketupat, rendang dan kuah lodeh, namun mengehadkan pembelian kuih raya.

    Nursamimi Isnin, 24, pula berkata kebanyakan persiapan raya tahun ini dibelinya dalam talian kerana harga lebih murah berbanding di pasar raya atau di kedai mahupun tapak jualan ekspo Ramadan.

    “Tahun ini, saya hanya membeli baju saja di ekspo Ramadan, itu pun kerana bimbang saiz pakaian terlalu besar atau sempit, yang lain saya beli dalam talian.

    “Apa yang penting, raya tahun ini bukannya untuk bermewah-mewah, tetapi lebih menunjukkan rasa kesyukuran setelah kita berjaya menunaikan kewajipan di bulan Ramadan.”

    Bagi peniaga Mohd Nahar Abdullah, 48, ini kali pertama sepanjang 18 tahun dia berniaga pakaian raya di ekspo Ramadan jualan agak merosot dan kurang memberangsangkan.

    “Semasa selepas Covid-19 (Perintah kawalan pergerakan) dulu pun tak teruk macam ni, mungkin masing-masing nak berjimat…suasana di ekspo Ramadan memang penuh, memang ramai tapi kuasa membeli kurang, mungkin masing-masing nakkan suasana raya saja.”

  • Pegawai ditahan: Imigresen serah kepada SPRM siasat

    Pegawai ditahan: Imigresen serah kepada SPRM siasat

    PENAHANAN dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh dilakukan hasil perkongsian maklumat strategik antara jabatan terbabit bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya telah mengesan terdapat dakwaan pegawainya yang bertugas di Dhaka, Bangladesh menerima rasuah melibatkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara tersebut untuk memasuki Malaysia.

    “Pihak imigresen kemudian telah mengarahkan kedua-dua mereka kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan.

    “Hasil maklumat tersebut telah disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan sehingga berlaku penahanan dua pegawai tersebut pada 17 April lalu.

    “Imigresen telah menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya kata beliau, tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan, menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

    Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan kesalahan ini.

    “Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan jabatan ini sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak berintegriti,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Kementerian Luar mengesahkan penahanan dua pegawai terbabit iaitu lelaki dan wanita.

    Pegawai terbabit kemudian direman tiga hari bermula 18 April untuk siasatan lanjut.

  • Serang polis cuba lerai pergaduhan, 2 beradik dipenjara seminggu

    Serang polis cuba lerai pergaduhan, 2 beradik dipenjara seminggu

    DUA beradik di Sabah dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari selepas menyerang seorang anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan antara mereka.

    Menurut Daily Express, kejadian bermula apabila Valley Saitim, 37, bertengkar dengan isterinya di luar sebuah restoran.

    Adiknya, Boby, 30, yang sebelum itu minum bersamanya, cuba meredakan keadaan, namun akhirnya bergaduh dengan Valley.

    Polis dipanggil untuk meleraikan pergaduhan itu dan Farhan Hame Azizon menjadi anggota polis pertama tiba di tempat kejadian.

    Bagaimanapun, ketika cuba meleraikan pergaduhan, anggota polis itu diserang oleh dua beradik itu.

    Valley dan Boby kemudiannya ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

    Mereka mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara.

  • Syawal pertama diramalkan hujan

    Syawal pertama diramalkan hujan

    JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan empat negeri utara tanah air antara kawasan yang dijangka hujan pada pagi 1 Syawal, esok.

    METMalaysia menjangkakan hujan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada sebelah waktu pagi dan cuaca sama turut melanda Johor serta Sabah.

    “Di sebelah petang, hujan atau ribut petir dijangka berlaku membabitkan Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

    “Selain itu, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak juga diramal bakal berdepan cuaca sama pada waktu sama, manakala ramalan hujan sebelah malam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan,” lapor Harian Metro.

    MetMalaysia menjangkakan cuaca lebih baik pada Syawal kedua (Ahad) dengan tiada hujan di sebelah pagi kecuali Sabah.

    Bagaimanapun, hampir keseluruhan negara kecuali Labuan dijangka akan berdepan hujan atau ribut petir di sebelah petang.

    Bagi sebelah malam pula, hujan diramal berlaku di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sabah, Labuan dan Sarawak.

  • ‘Kita sedang hadapi bala tentera Ahzab’, kataHadi

    ‘Kita sedang hadapi bala tentera Ahzab’, kataHadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Islam kini berdepan tentangan melalui kefahaman yang salah berkenaan politik, ekonomi, pendidikan dan akhlak.

    Menurutnya, pelajaran dan penyiaran yang dibaca dan dilihat, khususnya media baharu dan lain-lain dibuat dalam keadaan orang Islam berada dalam kejahilan murakkab iaitu sedar dirinya jahil dan berasa pandai.

    “Alhamdulillah marilah kita panjatkan syukur kepada Allah SWT kerana telah menganugerahkan Ramadan yang sangat bermakna kepada kita semua.

    “Pada masa yang sama, kita memperingati kemenangan Islam dalam peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal tahun yang kelima Hijrah Rasulullah SAW.

    “Pada zaman kini kita sedang menghadapi bala tentera Ahzab yang menentang Islam di seluruh pelosok dunia,” katanya menerusi Perutusan Aidilfitri Presiden Pas hari ini.

    Jelas beliau, serangan bukannya dibuat melalui tentera dan senjata seperti yang berlaku di Palestin, Afghanistan dan Iraq yang telah membunuh manusia, binatang, memusnahkan rumah kediaman, kebun dan ladang, termasuk merosakkan alam sekitar.

    “Sedarlah bahawa musuh Islam lebih mudah merampas tanah air kita dan merompak harta kita kerana kita sedang berpecah dan ada yang berperang saudara, sedangkan musuh itu bersatu menentang kita.

    “Bagi pihak Pas, saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, sama ada yang berada di dalam negara mahupun di perantauan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • “Menyesal kahwin dengan Syamsul” – Puteri Sarah

    “Menyesal kahwin dengan Syamsul” – Puteri Sarah

    KRISIS rumah tangga pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, dan Syamsul Yusof, 39, terus memperlihatkan tanda-tanda belum reda apabila kedua-dua mereka saling berbalas kenyataan dalam media sosial.

    Terbaharu, Puteri Sarah membuat pengakuan, kekesalan yang dilakukan dalam hidupnya ialah berkahwin dengan pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.

    Pengakuan itu dibuatnya dalam hantaran menerusi akaun Instagram peribadinya, hari ini.

    Puteri Sarah turut membuat permintaan buat kesekian kalinya daripada Syamsul supaya menceraikannya agar dia dapat keluar daripada perkahwinan yang disifatkannya penuh toksik.

    “Aku hanya mahu ‘move on’ dan gembira bersama anak-anak aku. Satu benda yang paling aku yakin menyesal aku lakukan dalam hidup aku ialah berkahwin dengan kau, tapi aku bersyukur dapat mak dan bapa mertua yang paling terbaik dalam hidup aku,” kata Puteri Sarah yang memberi penghargaan kepada Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail yang juga bapa dan ibu Syamsul.

    Puteri Sarah turut berikrar akan menghargai Yusof dan Patimah sebagai bapa dan ibunya sehingga ke syurga kelak.

    Dalam hantaran itu juga, artis berkenaan turut meluahkan betapa dia sudah terlalu penat untuk melalui proses yang penuh ‘drama’.

    “Sejujurnya aku sangat penat dengan semua drama yang berlaku. Kepada Mohd. Shamsul, kau tak nak bagi nafkah aku? Suka hati kau. Kau nak menang? Kau menanglah, aku kalah.

    “Kau jawab kat akhirat nanti. Aku hanya mahu keluar daripada perkahwinan toksik ini,” tulis Puteri Sarah dalam hantaran yang bercampur bahasa Melayu dan Inggeris itu.

    Ibu kepada dua anak itu juga menegaskan, sekiranya Syamsul mendambakan kemenangan daripada perbicaraan kes itu, dia sedia memberikannya kepada suaminya.

    “U nak menang? U ambillah semua harta-harta u. Aku tak nak satu sen pun. Cuma hak anak sebagai ayah bertanggungjawab. Lepaskan aku, ceraikan aku,” pinta Puteri Sarah daripada Syamsul, lapor Astro Awani.

    Pada 18 April lalu, pasangan berkenaan pada asalnya dijangka menemui jalan penyelesaian terhadap krisis rumah tangga mereka, namun, keadaan sebaliknya pula berlaku apabila Syamsul menarik balik keputusannya untuk menceraikan Puteri Sarah.

    Syamsul berkata, keenggannya melepaskan Puteri Sarah disebabkan oleh isterinya menambah beberapa terma dalam perjanjian perceraian mereka termasuk isu nafkah dan kes terhadap madunya, Ira Kazar.

    Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.

    Pada 6 Januari lalu, Syamsul mengejutkan dunia hiburan apabila membuat pengakuan memadukan Puteri Sarah dengan menikahi Ira Kazar di Thailand.

  • Pas tak boleh masuk ke ‘dapur masakan’ DAP – Hadi Awang

    Pas tak boleh masuk ke ‘dapur masakan’ DAP – Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak boleh ditipu dan diheret keluar daripada dasarnya serta hala tuju Islamnya.

    Sehubungan itu katanya, Pas tidak boleh dimasukkan ke dalam ‘dapur masakan’ DAP yang ada bersamanya makanan tidak halal, walaupun bertukar tukang masaknya atau diambil tukang masak beragama Islam.

    “Pas mempunyai pendekatan Islam dalam masyarakat majmuk yang tidak menghalang kalangan bukan Islam menganut agama masing-masing.

    “Bahkan, perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam dibenarkan kepada mereka secara bertasamuh mengikut sempadan masing-masing dan bersatu dalam titik persamaan dari segi kemanusiaan sejagat.

    “Al-Quran tetap menjadi petunjuk kepada Pas bagi mengenal kawan dan lawan,” katanya menerusi Minda Presiden Pas hari ini.

    Abdul Hadi menjelaskan, Pas tidak lupa sejarah ketika penjajah melakukan tipu helahnya, ketika raja-raja ditawan dan dicabut kuasa yang berdaulat, rakyatnya pula ditipu dan dibuli.

    “Dulu Pas bertahaluf dengan DAP dan bersama parti-parti lain dalam gagasan pembangkang berkonsepkan titik persamaan kemanusiaan yang tidak menyentuh dasar parti dan tidak terpesong hala tujunya.

    “Pas menarik diri daripada tindakan agresif melalui Bersih bersama DAP dan rakan-rakannya yang tidak menunjukkan kebersihannya dalam amalan demokrasi yang sebenar.

    “Sehinggakan, boleh mengundang campur tangan asing dalam urusan tanah air kita,” katanya.

    Beliau berkata, DAP mendedahkan penipuan yang tidak dapat disembunyikan lagi apabila bekerjasama dengan UMNO dengan tujuan mendapat undi Melayu Islam bagi menampung kegagalan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara yang kehilangan undi Melayu Islam.

    “Langkah yang menguji rakan-rakan UMNO, sama ada perjuangan politik kerana cari makan dan jawatan atau kerana syarat menunaikan amanah perjuangan agama, bangsa dan tanah air dengan kuasa politik,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pendakwa raya AS tutup kes ke atas pelobi Jho Low

    Pendakwa raya AS tutup kes ke atas pelobi Jho Low

    JURI Amerika Syarikat (AS) akan mula membincangkan pada Isnin depan jika Pras Michel iaitu seorang penyanyi rap yang memenangi Grammy bertukar menjadi pempengaruh politik bersalah kerana melobi bagi pihak banduan Malaysia Jho Low dan China.

    Rumusan pendakwa raya Sean Mulryne kepada juri bahawa, Michel, 50, adalah penting dalam plot yang gagal dalam usaha cuba melobi pentadbiran Donald Trump untuk menamatkan siasatan AS ke atas Jho Low, yang didakwa membayar AS$100 juta kepada Michel.

    Michel juga dituduh bertindak mewakili China dalam mendapatkan ekstradisi ke atas Guo Wengui.

    Pendakwa raya mendakwa Michel mengaut AS$70 juta daripada cubaan Low untuk melobi kerajaan Trump dan satu lagi bayaran AS$18 juta yang dibayar Low untuk bergambar dengan bekas presiden AS, Barack Obama.

    Perbicaraan itu setakat ini mendedahkan bahawa Jho Low pada 2012 melalui bantuan Michel mendapatkan undangan ke pesta Krismas Obama merangkap pengumpulan dana di Washington DC.

    Jho Low kemudian mengambil gambar yang dirinya diapit oleh bekas pasangan pertama itu.

    Pada awal tahun itu, bapa Jho Low, Larry, berjaya mencari jalan melalui seorang pengumpul dana berlainan di Miami, Florida juga dengan bantuan Michel untuk duduk bersebelahan dengan Obama.

    Saksi pendakwaan, Leonardo DiCaprio memberi keterangan sebelum perbicaraan bahawa Jho Low telah merancang untuk menderma sehingga AS$30 juta untuk membantu kempen pemilihan semula Obama pada 2012.

    Ketika itu, Jho Low sudah menjadi tumpuan kerana penglibatannya dengan 1MDB – dana pelaburan negara yang merupakan hasil idea bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan pestanya dengan selebriti terkenal.

    1MDB mengumpul berbilion-bilion pinjaman untuk pelaburan strategik. Bagaimanapun, pelbagai pihak berkuasa di seluruh dunia termasuk di Malaysia membuat kesimpulan bahawa sebahagian besar dana 1MDB teresebut telah diselewengkan.

    Jho Low telah didakwa bersama Michel. Bagaimanapun, perbicaraan ke atas Jho Low belum dimulakan kerana dia dipercayai bersembunyi di China.

    Michel, dalam pembelaannya, berhujah bahawa dia tidak tahu bahawa adalah menjadi tanggung jawabnya untuk mendedahkan aktivitinya di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing AS dan bahawa sebarang sumbangan kepada kempen Obama oleh sekutunya tidak dibiayai oleh Jho Low.

    Peguam bela David Kenner memberitahu juri bahawa Michel tidak cuba mempengaruhi kerajaan AS.

    “Pada 2012, Jho Low mahukan gambar. Itulah keseluruhan kes ini,” katanya.

    Kenner berkata, bukan tanggungjawab Michel untuk memeriksa atau menyaring Jho Low.

    “Adakah itu satu beban yang perlu dipikul oleh seorang warga negara Amerika sebelum mereka bercampur dengan seseorang?” soal Kenner, lapor Malaysiakini.