Category: Semasa

  • Cara unik masjid di Kuala Pilah beri duit raya`

    Cara unik masjid di Kuala Pilah beri duit raya`

    MASJID Kariah Desa Anggerik di Juasseh, Kuala Pilah mencipta kelainan dengan memberi duit raya kepada kanak-kanak dalam bentuk syiling di dulang sempena Aidilfitri.

    Pengerusinya, Nasarudin Zainal berkata, jumlah duit raya itu bergantung kepada berapa banyak syiling yang boleh diambil kanak-kanak menggunakan dua tangan saja.

     “Duit syiling kita banyak hasil sumbangan orang ramai dalam tabung masjid. Anggarannya lebih kurang RM550, kita beri peluang kepada kanak-kanak sehingga 12 tahun ambil duit raya dalam dulang selepas selesai solat dan khutbah Hari Raya Aidilfitri.

    “Aktiviti ini diadakan secara suka-suka saja bagi menceriakan suasana pagi Syawal, selain menggalakkan kanak-kanak datang ke masjid,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, idea pemberian duit syiling itu datang daripada sumbangan orang ramai dalam tabung masjid.

    Hanya wang kertas kita gunakan untuk pelbagai urusan. Kita sepakat jadikan syiling ini sebagai duit raya, sekali gus memberi manfaat kepada anak kariah. Ini kali pertama kami mengadakan acara seperti ini. Selain duit syiling, wang kertas turut diberikan kepada kanak-kanak sebagai tambahan.”

    Ainnur Qayla Mardhiyya Mohd Farid, 7, yang ke masjid bersama bapanya untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, seronok mendapat duit raya sebanyak RM13 hasil genggaman dua tangannya.

  • Imam cedera dilanggar ketika berjalan kaki

    Imam cedera dilanggar ketika berjalan kaki

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG imam di surau Kampung Parit Haji Yusof, Benu, Pontian yang sedang berjalan kaki cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan di jalan kampung tersebut pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata,

    Kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.43 petang ketika mangsa, Zulkifli A. Ajis, 39, sedang berjalan kaki di tepi jalan itu sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota.

    “Pihak polis menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 2.17 petang.

    “Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa sedang berjalan kaki dari arah rumah kawannya di persimpangan empat jalan tersebut. Kemudian kenderaan tersebut sampai dan melanggar mangsa.

    “Mangsa yang bekerja kampung dan merupakan penduduk kampung berkenaan dilanggar kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Klinik Merlong sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat.

    Menurutnya, punca kemalangan kerana pemandu kenderaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun itu tidak perasan mangsa sedang berjalan kaki di tepi kanan jalan tersebut.

    “Suspek sudah ditahan dan ujian saringan kencing terhadapnya mendapati negatif daripada pengaruh alkohol atau dadah ,” katanya.

    Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • ‘Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ – Hassan

    ‘Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ – Hassan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    V. Sivakumar wajar mengambil cuti daripada menjalankan tugasnya sebagai Menteri Sumber Manusia susulan siasatan kes rasuah kuota pengambilan pekerja asing yang dihadapinya ketika ini.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ahli Parlimen daripada DAP itu perlu mengambil tanggungjawab tersebut sehingga
    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan.

    “Saya berpendapat Sivakumar yang mendukung agenda Pakatan Harapan untuk membasmi rasuah di Malaysia wajar menunjukkan contoh tauladan yang positif dengan sekurang-kurangnya bercuti dari tugas sebagai menteri sehingga agensi penyiasatan SPRM selesai,

    “SPRM sedang menjalankan kerjanya untuk membongkar gejala rasuah yang nampaknya telah berakar umbi dan endemik di kementerian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkata, Sivakumar lebih faham keperluan untuk berbuat demikian dan tidak perlu menunggu sehingga arahan tersebut dikeluarkan.

    “Yang berhormat menteri tentu lebih faham tentang prinsip ‘collective responsibility’ dan ‘ministerial responsibility’ dalam fungsi kerja jemaah menteri atau Kabinet kerajaan Persekutuan.

    “Jangan tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletakkan jawatan,” katanya.

    Menurutnya, setiap menteri perlu ada tanggungjawabnya sendiri untuk menjaga nama baik kerajaan pimpinan Anwar yang amat jelas sedang melakukan tindakan untuk membanteras amalan rasuah dalam kerajaan.

    “Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya lagi.

    Pada 13 April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan dalam serbuan di Kementerian Sumber Manusia (KSM).

    Susulan itu Sivakumar hadir ke pejabat SPRM bagi melengkapkan siasatan selepas badan penguat kuasa berkenaan menahan tiga individu termasuk dua pegawai kementerian tersebut.

    Pada 17 April lalu, Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tiada keperluan untuk Sivakumar mengambil cuti daripada menjalankan tugasnya selepas beliau dipanggil pihak berkuasa tersebut.

  • 47 ditahan cemari hari pertama Aidilfitri

    47 ditahan cemari hari pertama Aidilfitri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama dicemari aktiviti rempit di Dataran Penggaram, bandar Batu Pahat pada petang semalam.

    Menerusi Op Selamat ke-20 yang bermula dari jam 5 hingga 7 petang itu pihak polis telah mengepung kawasan dataran tersebut bagi memastikan semua samseng jalanan itu tidak melarikan diri.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, operasi selama dua jam itu melibatkan 12 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat.

    “Semuanya ditahan berikutan adanya aduan awam menyatakan puluhan remaja sedang berkumpul dan membuat bising mengunakan motosikal di kawasan berkenaan.

    “Pihak polis mengepung kawasan itu dan menahan 47 penunggang motosikal yang berumur antara 15 hingga 30 tahun.

    Sebanyak 47 buah motosikal turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semua mereka diiring ke balai polis trafik kira-kira 200 meter dari kawasan tersebut untuk pemeriksaan lanjut.

    Ismail memberitahu, sebanyak 79 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 10 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tiada lesen menunggang serta mengubah suai ekzos.

    “Dalam operasi ini polis juga menangkap tiga remaja dalam konvoi berkenaan yang melakukan pembakaran suar asap yang boleh mendatangkan bahaya serta mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

    Jelasnya, seorang lagi ditangkap di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana menunggang motosikal dengan melakukan aksi-aksi yang boleh mendatang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Kesalahan Kecil/Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

    “Pihak Polis menasihatkan kepada ibu bapa supaya memantau anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terlibat dengan aktiviti tidak sihat dengan melanggar peraturan dan undang-undang yang sedia ada,” ujarnya lagi.

  • 57 mat rempit menyerah diri akibat tidak tahan lapar, rindu juadah hari raya

    57 mat rempit menyerah diri akibat tidak tahan lapar, rindu juadah hari raya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 57 mat rempit yang bersembunyi dalam kawasan semak dan kebun kelapa sawit di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi di Kulai ‘menyerah diri’ selepas dikejar polis dalam kejadian pada Hari Raya Aidilfitri pertama.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, mereka yang berusia 17 hingga 42 tahun keluar daripada tempat persembunyian kerana lapar dan rindu juadah hari raya selepas berjam-jam berada dalam kawasan tersebut.

    “Pada pukul 9 pagi semalam, satu persatu penunggang motosikal menyerah diri disebabkan menemui jalan buntu untuk melarikan diri.

    “Ini kerana mereka tidak tahan dengan keadaan dalam kebun sawit yang panas ditambah pula ada yang menyatakan ‘lapar dan rindu juadah hari raya pertama’.

    “Semasa operasi dijalankan kebanyakan mat-mat motosikal terbabit sembunyi masuk ke dalam kawasan kebun sawit sekitar pukul 3 pagi dan kebanyakan mereka cuba untuk keluar melalui ‘jalan tikus’ yang telah dikepung pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, semua mereka ditahan dalam Op Selamat yang melibatkan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dibantu cawangan unit peronda (MPV) serta cawangan pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

    Menurutnya, operasi khas selama 18 jam itu yang diketuai Inspektor Alexander Jeremy Jimy dari BSPT IPD Kulai bersama-sama pegawai dan 13 anggota bermula pada jam 11 malam Jumaat sehingga 5 petang Sabtu.

    Katanya, anggota BSPT IPD Kulai telah mengeluarkan sebanyak 140 saman antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, ubah suai ekzos, tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan lain.

    “Sebanyak 39 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah beliau.

  • Wanita maut dalam kemalangan dua kenderaan di Shah Alam

    Wanita maut dalam kemalangan dua kenderaan di Shah Alam

    SEORANG wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderan di Kilometer (KM) 35 Lebuhraya KESAS dari Subang menghala ke Shah Alam, malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata pihaknya menerima laporan pada jam 11.44 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya ke lokasi.

    Katanya, kemalangan membabitkan dua kereta, masing-masing jenis PROTON Wira dan Honda City.

    “Apabila anggota bomba tiba di lokasi, terdapat tiga mangsa kemalangan sudah dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam yang membantu.

    “Dua mangsa didapati hanya mengalami kecederaan namun seorang penumpang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Morni berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai M Shamini berusia 27 tahun.

  • Untitled post 73207

    ‘’Inshaallah kita akan raikan sebagai tetamu istimewa’’ – MB Terengganu

    KERAJAAN negeri Terengganu mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet bagi menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani pada 13 Mei ini.

    Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dan akan menghulurkan bantuan bagi menyambut Aidilfitri menerusi penganjuran rumah terbuka itu.

    Tegas beliau, perbezaaan parti politik yang memerintah di peringkat negeri dan pusat bukan halangan untuk mereka bekerjasama.

    “Walau apa pun objektif (atau) yang ingin dicapai oleh pihak (kerajaan) Persekutuan tetapi bagi pihak kerajaan negeri, kami sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Perdana Menteri dan semua anggota Kabinet untuk berhari raya di Terengganu.

    “Kita cuba buktikan bahawa kita di Terengganu walaupun berbeza parti politik yang memerintah di negeri dan Persekutuan tetapi kita sesekali tidak menganggap ia sebagai satu halangan untuk bekerjasama.Jadi sila datang, Insya-Allah kita raikan sebagai tetamu yang istimewa,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan pada  Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di  Kuala Terengganu hari ini.

    Buat pertama kali dalam sejarah majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri akan diadakan di luar Lembah Klang.

    Selain Terengganu, Kedah, dan Kelantan, majlis serupa juga akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

    Kerajaan negeri akan menjadi tuan rumah majlis berkenaan dan disokong oleh kementerian persekutuan.

    Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri yang terlibat juga akan dijemput hadir pada majlis rumah terbuka itu.

    Sementara itu, ketika ditanya adakah acara berkenaan  bertujuan meraih undi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk membuat penilaian dan tafsiran sendiri.

    “Terpulang pada tafsiran semua orang tetapi kita di peringkat negeri Terengganu, Insha-Allah kita mengalu-alukan kehadiran mereka. Kita tidak merasakan apa-apa (sebaliknya), kita rasa sangat gembira (dan) datang (ke Terengganu). Insha-Allah, kita raikan mereka,” katanya.

  • Pegawai Sivakumar kembali bertugas, Bersatu desak SPRM dedah siasatan

    Pegawai Sivakumar kembali bertugas, Bersatu desak SPRM dedah siasatan

    Sayap Bersekutu Bersatu menggesa SPRM supaya mendedahkan status terkini siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan dua pegawai kanan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

    Ketua Penerangannya, S Subramaniam berkata, ia susulan terlalu banyak spekulasi terhadap siasatan dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang dikatakan melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing dan konflik kepentingan.

    “Kami meminta SPRM segera memberi satu penjelasan mengenai siasatan ini. Ini kerana terlalu banyak spekulasi dan kesimpulan berhubung kes ini. Antaranya, dua pegawai kanan menteri yang disiasat sebelum ini, kini kembali bertugas selepas tamat tempoh reman.

    “Adakah ini bermakna siasatan ini sudah selesai? Apakah kedua-dua pegawai itu sudah dibebaskan daripada siasatan? Penjelasan ini amat penting kerana sekiranya kedua-dua pegawai itu masih dalam siasatan, maka keputusan menteri untuk membenarkan mereka kembali bertugas kemungkinan akan mengganggu siasatan,” katanya lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata, penjelasan SPRM amat penting untuk mengelakkan orang ramai atau netizen dalam media sosial membuat sebarang spekulasi.

    “Kita semua tahu, dua pegawai digantung kerana terlibat dalam siasatan. Namun, ramai tidak tahu bahawa pegawai ketiga digantung merupakan anak kandung kepada setiausaha sulit. Setahu saya, tidak pernah dalam sejarah seorang ibu dan anaknya dilantik sebagai pegawai oleh mana-mana menteri. Ini yang kami gesa SPRM mendedahkan perkembangan siasatan ini.

    “Saya hairan SPRM sehingga hari ini tidak membuat sebarang kenyataan berhubung siasatan ini. Ketika siasatan hakim Nazlan dan kes pembekuan akaun bank Bersatu, mereka (SPRM) bersungguh-sungguh memberi kenyataan.Tapi, bila melibatkan menteri mereka mengambil sikap berdiam,” katanya.

    Minggu lalu SPRM juga menahan tiga orang – dua daripada mereka adalah pegawai kanan menteri dan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak. Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan selepas perintah reman mereka tamat.

    Terdahulu SPRM memanggil Sivakumar dua kali berhubung siasatan berhubung kes kelulusan pekerja asing.

  • Kereta bertembung bas ekspres, suami isteri maut

    Kereta bertembung bas ekspres, suami isteri maut

    SEPASANG suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera selepas kereta dinaiki keluarga berkenaan bertembung dengan sebuah bas ekspres di KM21, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Sungai Ikan, dekat Kuala Terengganu tengah hari tadi.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, dalam kejadian pada 12.45 tengah hari itu, pemandu Perodua Myvi, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isterinya, Siti Faridaf Ahmad, 46, yang berada di tempat duduk belakang, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sementara itu, anak pasangan itu, Che Ku Batrisya, 18, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, pemandu bas ekspres berusia 51 tahun serta lapan penumpang bas mengalami kecederaan.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika bas ekspres yang membawa seorang kelindan dan 27 penumpang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuantan, Pahang.

    “Sebaik tiba ditempat kejadian, kereta dipandu Che Ku Yusoff Ali dari arah Kuala Terengganu menghala ke Felda Belara di Kuala Terengganu, memasuki laluan bas ekspres dan jarak yang dekat menyebabkan pemandu bas tidak sempat mengelak, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, mayat suami isteri itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Wan Mohd Zaki berkata, anak pasangan itu dan pemandu bas ekspres kini berada di HSNZ untuk menerima rawatan manakala penumpang bas yang cedera dibawa Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut.

  • Ucapan khas Muhyiddin sempena Hari Raya Aidilfitri

    Ucapan khas Muhyiddin sempena Hari Raya Aidilfitri

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang akan menyambutnya di seluruh negara esok.

    Berikut adalah perutusan penuh bekas Perdana Menteri itu yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu):

    Apa khabar semua, alhamdulillah esok seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri.

    Aidilfitri merupakan hari kemenangan kita semua setelah sebulan berpuasa melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang dituntut serta menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah.

    Semoga Allah SWT terima amalan kita sepanjang Ramadan, ampuni dosa-dosa kita dan menjadikan kita insan yang lebih baik.

    Dalam kita bergembira menyambut Aidilfitri ini, jangan sesekali kita lupa insan yang tidak bernasib baik. Bantulah dan santunilah meraka.

    Kepada yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, hati-hati memandu, sentiasa berwaspada dan utamakan keselamtan di jalan raya.

    Saya doakan anda semua tiba di kampung halaman dalam keadaan selamat, insya-Allah.

    Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin daripada saya sekeluarga, terima kasih.