Category: Semasa

  • Agihan kerusi PN selesai hampir 90 peratus

    Agihan kerusi PN selesai hampir 90 peratus

    PEMBAHAGIAN kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai antara 85 hingga 90 peratus.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persetujuan itu dicapai selepas rundingan diadakan antara kepimpinan PAS, BERSATU dan GERAKAN.

    “Setakat ini hanya tinggal satu atau dua kerusi di setiap negeri yang keputusannya perlu dibuat kepimpinan tertinggi parti.

    “Pengagihan kerusi itu mengambil kira pelbagai faktor, kita ada ‘aturan’ tersendiri …ada yang mengenai ‘status quo’ ada yang mengenai jentera mana lebih kuat di satu-satu tempat dan ada calon berpotensi serta berwibawa.

    “Paling penting apabila kita bincang dengan rakan Bersatu dan Gerakan, prioriti utama ialah hendak memaksimumkan kemenangan sama ada atas nama Pas atau PN di negeri yang bertanding menggunakan lambang PN dan lambang Pas,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tarik Pukat Raya 2023 di Pantai Pulau Kekabu, Marang, hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

    Ahmad Samsuri berkata, selepas seminggu sambutan Aidilfitri, pihaknya dijangka mengadakan perbincangan semula mengenai baki kerusi yang masih belum diputuskan.

    Katanya, Terengganu akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tempoh tamat hari terakhir pada Jun ini dan tarikh itu tidak jauh berbeza dengan Kelantan.

    “Mungkin Terengganu akan bubar selepas Kelantan, kita sudah bersedia dengan jentera di seluruh Terengganu bermula dari tahun lalu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Oleh kerana terdapat pertimbangan lain pada waktu itu, maka kita kemudiankan PRN.

    “Agihan kerusi sudah dibincangkan beberapa kali pada peringkat negeri terbabit PRN, ia menunjukkan penyelesaian dalam waktu terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas penggunaan lambang parti, beliau berkata, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan lambang Pas, manakala empat negeri lagi akan menggunakan lambang PN seperti pada PRU Ke-15 tahun lalu.

  • Solat Aidilfitri dua kali: Imam tampil beri penjelasan

    Solat Aidilfitri dua kali: Imam tampil beri penjelasan

    IMAM 1 Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) tampil memberi penjelasan berhubung isu solat sunat Aidilfitri yang terpaksa dilakukan semula pada pagi hari raya pertama.

    Imam berkenaan, Mohd Fikir Hamzah menerusi akaun TikToknya semalam mengakui dia adalah imam yang bertanggungjawab hingga solat sunat Aidilfitri di masjid itu menjadi tular kerana terpaksa diulang semula.

    “Saya akui memang terlupa untuk mengangkat takbir lima kali pada rakaat kedua solat berkenaan namun meneruskan solat sehingga selesai.

    “Selepas beri salam, saya berbincang dengan jemaah di saf pertama dan masing-masing beri pendapat ada yang kata terus khutbah dan ada kata buat solat semula, kemudian saya buat keputusan untuk bincang dengan semua jemaah.

    “Saya buat pengumuman solat tadi ada kesilapan, kemudian saya tanya pendapat semua jemaah apakah kita hendak teruskan khutbah atau sembahyang semula.

    “Rata-rata jemaah hendak solat semula, jadi saya buat keputusan untuk solat semula,” katanya.

    Beliau menjelaskan berdasarkan hukum juga tidak jadi masalah solat pertama itu sah dan kedua itu juga sah.

    “Saya dah rujuk guru dan mereka yang pakar dalam bidang ini dan mengulangi solat Aidilfitri itu adalah sah dan tidak menjadi kesalahan,” katanya.

    Dalam pada itu beliau turut menasihati umat Islam supaya datang ke masjid kerana Allah SWT.

    “Datang masjid bukan kerana imam, bukan kerana sebab ada ‘aircond’ atau hendak cari kesalahan orang lain,” ujarnya.

    Mohd. Fikir turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memahami, memuji dan bersangka baik dengan apa yang terjadi.

    “Kepada yang komen tak baik dan sebagainya saya dah maafkan, kira-kosong-kosong tIada masalah,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Polis cari dua suspek samun telefon bimbit, cedera pekerja

    Polis cari dua suspek samun telefon bimbit, cedera pekerja

    DUA suspek terlibat kes samun sebuah kedai telefon bimbit dan mencederakan pekerja sebuah premis perniagaan di Sungai Besar di Sabak Bernam kelmarin kini diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, kejadian itu tular menerusi satu video menerusi media sosial memaparkan tiga lelaki bergelut di hadapan kedai tersebut.

    “Satu laporan polis berkaitan kes samun dibuat seorang wanita yang juga penyelia premis berkenaan.

    “Siasatan mendapati seorang pekerja wanita dan lelaki berada di kedai itu didatangi seorang suspek kononnya mahu membeli telefon jenis Iphone 14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, Agus Salim memberitahu, suspek lelaki itu kemudiannya menyerang seorang pekerja dan merampas telefon di atas meja kaunter jualan.

    Beliau memberitahu, pekerja itu kemudian mengejar suspek hingga ke luar premis dan berlaku pergelutan.

    Katanya, pada waktu itu, seorang lagi rakan suspek turut bergelut dengan pekerja tersebut.

    Namun ujar beliau, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal manakala pekerja tersebut mengalami kecederaan dan telefon yang dirampas turut tercicir di lokasi kejadian.

    Sehubungan itu, tegas Agus Salim, polis sedang giat menjalankan usaha memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sabak Bernam,Asisten Superintendan Khairul Azmani Mohd. Zain di talian 03-32242222,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lari selepas terlibat kemalangan dengan polis

    Lari selepas terlibat kemalangan dengan polis

    SEORANG penunggang motosikal yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan dengan seorang anggota polis di Jalan Bagan Dalam, di Butterworh pukul 7.55 pagi semalam kini diburu polis.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian itu ketika anggota polis terbabit sedang membuat pemantauan anggota bertugas.

    “Siasatan mendapati motosikal yang ditunggang oleh anggota polis terbabit dari arah Bagan Luar menghala ke Bagan Dalam itu bergesel dengan motosikal yang ditunggang individu terlibat.

    “Selepas kemalangan, penunggang dengan nombor pendaftaran motosikal yang tidak diketahui itu disyaki telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu katanya, pihak polis giat mengesan penunggang motosikal terbabit untuk membantu siasatan lanjut.

    Katanya, anggota polis terlibat yang bertugas di Balai Polis Butterworth mengalami kecederaan di bahagian rahang sebelah kiri, cedera mata sebelah kiri, luka di dahi, luka-luka di jari kedua-dua belah tangan dan di kedua-dua belah kaki.

    Menurutnya, anggota terbabit masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Tambahnya, orang ramai, mana-mana pihak atau saksi yang mempuyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122 atau ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Jenny Jay Rumalin di talian 013-8781700.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.

  • Maut dengan isi perut terburai dalam kemalangan

    Maut dengan isi perut terburai dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki meninggal dunia dalam keadaan isi perut terburai selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 37, Jalan Yong Peng-Kluang di Kluang malam tadi.

    Kejadian pada pukul 11 malam itu mengakibatkan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Kanthan, 50, meninggal dunia akibat cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Assisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, kemalangan melibatkan motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa dan sebuah kereta jenis Nissan Sentra.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian didapati kereta tersebut dari arah Paloh menghala ke Kluang telah melanggar motosikal tersebut dari arah belakang disebabkan kawasan kemalangan gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan.

    “Penunggang motosikal cedera parah di badan dan meninggal dunia manakala pemandu kereta, Muhamad Firdaus, 32, tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa berasal dari daerah ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Ajaran sesat: 47 mayat ditemukan satu kubur, disuruh puasa hingga mati

    Ajaran sesat: 47 mayat ditemukan satu kubur, disuruh puasa hingga mati

    POLIS Kenya menemui seramai 47 mayat dipercayai pengikut ajaran sesat selepas mengikut arahan seorang paderi untuk berpuasa sehingga mati.

    Pihak berkuasa mula menggali mayat kesemua individu berkenaan di hutan Shakahola sejak Jumaat lalu.

    Berdasarkan laporan awal, kesemua pengikut paderi berkenaan percaya bahawa mereka akan ke syurga sekiranya mereka mati kelaparan.

    Setakat ini, proses menggali kesemua pengikut itu masih berjalan.

    Awal bulan ini, polis menyelamatkan 15 ahli kumpulan itu yang menurut mereka diarahkan untuk mati kelaparan.

    Empat daripada mereka meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

    Suspek, paderi sebuah gereja, Paul Mackenzie telah ditangkap berikutan maklumat yang mencadangkan kewujudan kubur milik sekurang-kurangnya 31 pengikut.

    Media tempatan, memetik sumber polis melaporkan, Mackenzie enggan makan atau minum semasa dalam tahanan polis.

    Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki berkata, keseluruhan hutan seluas 800 ekar telah ditutup dan diisytiharkan sebagai tempat jenayah.

    “Pihak berkuasa akan mengenakan hukuman paling berat kerana melibatkan nyawa yang tidak bersalah,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Malah tambahnya, peraturan dan garis panduan yang lebih ketat setiap gereja, masjid, kuil sedang dikaji susulan daripada kejadian berkenaan.

  • Tiga beradik perempuan lemas di Port Dickson

    Tiga beradik perempuan lemas di Port Dickson

    Tiga beradik ditemukan lemas selepas mandi bersama keluarga di Pantai Cahaya, Port DIckson hari ini.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Penolong Penguasa Bomba Azizee Alias berkata, mangsa masing-masing merupakan wanita berusia 19, 29 dan 30 tahun.

    “Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Teluk Kemang dikejarkan ke lokasi. Kejadian melibatkan sebuah keluarga yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita, empat daripadanya merupakan adik-beradik,” katanya lapor Sinar Harian.

    Ujarnya, kedua-dua mangsa lelaki dalam keadaan selamat manakala tiga wanita berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis, dua lelaki yang selamat dIhantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Bbeliau berkata, berdasarkan maklumat ketiga-tiga mangsa bersama adik lelakinya berusia 26 tahun dari Banting,Selangor dan seorang lagi saudara lelakinya berusia 29 tahun dari Perak dipercayai datang berkelah di lokasi sebelum mereka ditemukan lemas.

  • ”Ini program kempen pilihan raya buka rumah terbuka’ – Sanusi

    ”Ini program kempen pilihan raya buka rumah terbuka’ – Sanusi

    Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.

    Menteri Besar Kedah, Datuk seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana program terbabit melibatkan kos yang tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan supaya langkah penjimatan dibuat oleh semua pihak.

    Katanya, seharusnya jamuan rumah terbuka Aidilfitri diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.

    “Ini program kempen pilihan raya bukan rumah terbuka tetapi ambil kesempatan daripada Aidilfitri apa program sesuai nak buat kempen? Maka buat rumah terbuka.

    “Kita bukan nak halang rumah terbuka kepada orang ramai tetapi sebagai kerajaan yang cakap tentang langkah jimat cermat, tak payah buat program besar-besar, itu bertentangan dengan diri mereka sendiri,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Aidilfitri Mahasiswa bersama Menteri Besar Kedah di Alor Setar hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, penglibatan beberapa kementerian dalam penganjuran program terbabit juga tidak sepatutnya berlaku.

    “Enam negeri ini saya dah maklum lama guna kementerian seperti di Kedah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlibat. Kenapa guna kementerian untuk rumah terbuka, kementerian pun tidak ada bajet khusus untuk buat rumah terbuka,” katanya.

    Muhammad Sanusi berkata, semua tindakan politik itu dapat dinilai oleh orang ramai.

    “Semua tindakan politik ini pergi pada peti undi, rakyat akan nilai hang guna dana kerajaan dana kementerian buat program kempen pilihanraya untuk parti hang, itu tak betul,” katanya.

    Beliau turut menegaskan, tidak ada tkuasa untuk menghalang rumah terbuka itu diadakan di Kedah malah akan turut hadir bersama.

    “Saya tidak ada kuasa nak halang, lagipun bagus untuk rakyat Kedah pi makan. Saya tak tau ada jemputan atau tak tapi itu rumah terbuka, jemput atau tak saya akan hadir sebagai orang Kedah,” katanya.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengadakan Rumah Terbuka sempena sambutan Aidilfitri 2023 pada 1 Syawal 1444H di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

    Menurut kenyataan itu, program anjuran JPM melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku penyelaras utama itu diadakan di Kedah pada 29 April, Kelantan (12 Mei) dan Terengganu pada 13 Mei.

    Selain itu JPM memaklumkan Perdana Menteri turut dijangka menghadiri tiga majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dilaksanakan Kerajaan Negeri masing-masing iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

  • Beku akaun sukarkan operasi Bersatu – Faizal

    Beku akaun sukarkan operasi Bersatu – Faizal

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun bank parti Bersatu   akan menyulitkan operasi parti itu.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika akaun itu dibekukan Januari lalu, pihaknya memohon agar SPRM melepaskan sejumlah wang untuk tujuan operasi seperti membayar gaji dan sewaan pejabat.

     Bagaimanapun, katanya, ia tidak mendapat maklum balas positif daripada pihak SPRM.

    “Perkara itu lebih menggusarkan hati kami lah, tapi dalam masa yang sama, dari segi untuk berbelanja dalam kempen-kempen pilihan raya di keenam-enam negeri yang akan datang ini, tentunya kita terpaksa mencari jalan lain, bergantung kepada ‘public funding’. 
 


    “Nampaknya setakat sekarang ni apabila kita meminta orang ramai untuk memberikan sumbangan, (sambutan) amat-amat mengalakkan,” katanya lapor Astro AWANI.  
 


    Beliau ditemui ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri keluarga Datuk Mohd Radzi Manan dan Datuk Normah Hanum di Tambun Height, di Ipoh hari ini.

    Ahmad Faizal berkata, walaupun mendapat sambutan menggalakkan, namun ia masih sukar kerana mereka tidak dapat membuat perancangan dari segi perbelanjaan.

    Pada Khamis, media melaporkan SPRM menyita dua akaun bank Bersatu, selepas membekukannya pada Januari lepas.

    SPRM dalam kenyataannya memaklumkan tindakan sita itu dibuat pada 11 April lepas setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

  • DUN Kelantan dijangka bubar sebelum akhir Jun – Mohd Amar

    DUN Kelantan dijangka bubar sebelum akhir Jun – Mohd Amar

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dijangka dibubarkan dalam tempoh dua minggu sebelum berakhir bulan Jun depan.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, mengikut makluman yang diperolehi, kesemua negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor telah bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing pada bulan tersebut.

    Beliau bagaimanapun menjelaskan tarikh pembubaran antara satu negeri dengan negeri yang lain tidak sama namun masih pada Jun.

    “Sekiranya semua negeri bubar pada Jun maka kita jangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung pada Julai. Ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari segi pertimbangan akan menjalankan pilihan raya serentak disebabkan sekiranya dibuat berasingan maka akan menelan kos yang besar,” katanya.0

    Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di rumahnya di Kampung Alor Pasir di sini, hari ini.

    Jelasnya lagi, walaupun ada tempoh sehingga Ogos untuk PRN dijalankan namun berdasarkan amalan-amalan yang lepas biasanya tarikh PRN ini adalah satu bulan selepas pembubaran.

    Sementara itu, mengulas mengenai persiapan PRN, Mohd Amar berkata segalanya sudah di peringkat maksimum.

    Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, senarai calon belum diputuskan lagi tetapi senarainya sudah ada dan sudah diserahkan kepada Menteri Besar untuk diputuskan.

    “Calon-calon yang kita ada adalah calon daripada Pas sahaja dan bagi Bersatu akan diputuskan oleh parti berkenaan.

    “Dari segi pembahagian kerusi sekiranya mengikut asas perbincangan kita kekal dengan “status quo” sebagaimana di peringkat Parlimen baru-baru ini iaitu di kawasan yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) akan ditandingi oleh Bersatu.